Tuesday, July 23, 2013

5 PERKARA DI BULAN RAMADHAN

PENGERTIAN PUASA

'Al Siam' dalam bahasa Arab bermaksud meninggalkan ( Al Imsa').  Ahli Feqah memberikan erti puasa ialah meninggalkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu bermula dari terbit fajr hingga terbenamnya matahari dan disertakan dengan niat. Manakala ahli Tasauf menambahkan erti puasa yang tersebut di atas dengan meninggalkan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. 

Puasa merupakan ibadat yang tidak boleh dinilai oleh manusia tetapi hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Puasa tidak sama seperti sembahyang yang manusia nampak orang yang melakukannya. Begitu juga, ibadat zakat akan nampak benda yang dikeluarkan. Begitu juga haji, akan nampak orang yang pergi ke Mekah untuk menunaikan haji.

DALIL :

" Wahai Orang-orang yang beriman diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan puasa atas orang yang terdahulu supaya moga-moga kamu bertaqwa"

Daripada dalil ini menunjukkan Iman yang menentukan orang berpuasa. Puasa atau tidak berpuasa adalah ditentukan iman seseorang. Ayat ini juga menunjukan bahawa puasa itu bukan sahaja dikerjakan oleh ummah pada zaman tetapi juga orang terdahulu seperti umat Nabi Daud AS sehari berpuasa sehari berbuka. Malahan kalau zaman sekarang pula orang bukan Islam juga berpuasa seperti sambut hari Thaipusam.

Di akhir ayat ini pula menyebutkan "moga-moga bertaqwa", ini menunjukan bahawa tidak semua orang yang berpuasa akan mendapat darjah ketaqwaan. Tanda aras bagi melihat ketaqwaan seseorang itu ialah dengan melihat amal mereka sebelum bulan Ramadhan dan selepas bulan Ramadhan. Kalau amal mereka lebih baik daripada sebelum Ramadhan, maka itu menunjukkan bahawa puasa seseorang itu mencapai ketqawaan.

Dalam bulan Ramadhan ada lima masa perlu dijaga, lima amalan patut dilaksanakan dan lima perkara perlu di jauhi iaitu :-

A. LIMA MASA PERLU DIJAGA :

i. Masa berbuka : Masa ini perlu disegerakan apabila masuk waktu. Begitu juga dalam hal keabjikan kita jangan menangguhkan. Hal Kebajikan Perlu disegerakan.

ii. Masa Imsak : Masa ini digalakan daripada makan dan minum kerana dikhuatiri akan terlajak makan dan minum sehingga masuk fajar sidek. Begitu juga dalam hal kemaksiatan dan kemungkaran, kita hendaklah berhati-hati jangan terjebak dalam mukadimah kemaksiatan dan kemungkaran kerana dikhuatiri kita akan terlajak untuk melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.

iii. Sepuluh Malam Pertama Ramadhan : Sepuluh malam pertama Ramadhan  perlu dijaga dengan memenuhi solat terawih di masjid atau surau. Al hamdulillah, sepuluh malam pertama ini ramai umat Islam yang datang solat terawih berjemaah di masjid atau surau. Sepuluh yang pertama ini merupakan malam kerahmatan umat Islam.

iv. Sepuluh Malam Pertengahan : Sepuluh malam kedua Ramadhan ini perlu dikekalkan untuk melaksanakan solat terawih berjemaah kerana dia merupakan malam-malam keampunan bagi umat-umat Islam.

v. Sepuluh Malam Terakhir : Sepuluh malam terakhir Ramadhan ini merupakan malam-malam pembebasan daripada api neraka. Terdapat disepuluh yang terakhir ini malam Lailatul Qadr. Sepatutnya semakin ramai umat Islam memenuhi solat terawih berjemaah tetapi malangnya pada sepuluh yang terakhir ini solat terawih ramai yang tidak datang berjemaah.

B. LIMA AMALAN UNTUK DILAKSANAKAN :

i. Iktikaf : Di antara amalan yang terbaik untuk diamalkan pada bulan Ramadhan ialah Iktikaf terutama 10 akhir bulan Ramadhan. Iktikaf ini dibuat di Masjid Jamek yang dibuat solat Jumaat yang mempunyai syiar Islam. Iktikaf ini hendaklah dilakukan sepenuh hari tanpa keluar daripada masjid terutama 10 hari terakhir Ramadhan. Kalau tidak dapat sepenuhnya, buatlah setengah hari. Sekurang-kuirang iktikaf ini ialah sekejap sahaja.

ii. Tadarus al Quran : Al Quran telah diturunkan di bulan Ramadhan. Oleh itu, Al Quran ini jangan dilupakan dalam bulan ini. Bertadarus al Quran bukan bermakna bertahsin al Quran tetapi membaca al Quran dengan membetulkan kesalahan yang besar sahaja. Ramai orang menjadikan majlis tadarus al Quran ini sebagai majlis membetulkan bacaan al Quran yang menyebabkan ramai yang tidak berminat dan dapat menarik mereka yang baru belajar al Quran. Ramai di kalangan umat Islam yang mampu membaca 'al Koran' ( surat khabar - bahasa Indonesia ) tetapi tidak mampu membaca al Quran.

iii. Sederkah : Amalan bersederkah ini bukan sahaja di bulan Ramadhan sahaja tetapi di bulan lain juga tetapi bulan Ramadhan menjadi pendorong dan dilipat-gandakan amalan ini. Selain kita bersederkah hendaklah kita membuat wakaf. Wakaf ini bukan sahaja untuk membuat masjid tetapi apa-apa sahaja yang memberi manfaat untuk umat Islam seperti wakaf pokok buah-buahan, pot air minuman dan jalan.

iv. Solat Nawafil : Dalam bulan Ramadhan ini jangan dilupakan untuk melakukan solat nawafil. Bukan sahaja solat Terawih dan solat Witr tetapi ditambah dengan solat sunat yang lain seperti solat Tahjud, Taubat, Tasbih dan Hajat.

v. Qiamulail : Digalakkan di bulan Ramadhan ini melakukan qiamulail. Qiamulail ini bukan sahaja untuk makan sahur tetapi melakukan solat Tahjud, Tasbih dan Hajat terutamanya di 10 akhir bulan Ramadhan. Mudah-mudahan akan dapat berbetulan dengan malam  Lailatul Qadr.

C. LIMA PERKARA UNTUK DIJAUHI :

i. Menjauhi makan dan minum yang diharamkan : Semasa kita berpuasa, kita bukan sahaja diharamkan makan dan minum yang diharamkan  tetapi makan dan minum yang halal juga dilarang untuk makan dan minum. Namun demikian, semasa berbuka puasa hendaklah dihindari makan dan minum yang haram walaupun sedikit.

ii.  Menjauhi penglihatan yang maksiat : Pandangan mata semasa berpuasa hendaklah dijaga supaya tidak memandang perkara maksiat seperti melihat aurat perempuan ajnabi agar pahala puasa dapat dikekalkan sehingga berbuka puasa.

iii. Menjauhi pendengaran yang mungkar : Pendengaran juga hendaklah dijaga semasa berpuasa. Mendengar perkara yang maksiat dan mungkar seperti mendengar orang mengumpat akan mengurangkan pahala puasa.

iv. Menjauhi kaki dan tangan yang jahat : Dalam bulan puasa ini, kaki dan tangan hendaklah dipelihara supaya melakukan perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa seperti pergi ke tempat mungkat dan menulis dalam 'facebook' perkara yang berupa fitnah.Fitnah lebih dasyhat daripada membunuh.

v. Menjauhi perut dari yang haram : " Tiada ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah SWT dari perut yang penuh dengan makanan yang halal". Perut hendaklah dipelihara daripada diisi dengan yang haram. Ini merugikan ibadat puasa yang dilakukan oleh kita.





Tazkirah lepas solat Terawih ini telah disampaikan di Surau al Masakin, Teluk Bahang pada 20 Julai, 2013 dan  Surau Taman Sr Indah, Balik Pulau pada 15 Julai, 2013.