Wednesday, July 12, 2017

Kredit kepada Dr. Saadan Man.: Polemik Anjing: Khilaf Fiqh dan Sanggah Budaya Melayu Islam

Kredit kepada Dr. Saadan Man.
Polemik Anjing: Khilaf Fiqh dan Sanggah Budaya Melayu Islam
Kini berulang lagi polemik anjing untuk kesekian kalinya ketika mood Aidil Fitri masih menebal. Awal Ramadan baru-baru ini ada isu anjing dibawa ke meja makan McDonalds. Namun itu hanya melibatkan ceroboh budaya dari kaum lain ke atas sensitiviti dan nilai budaya Melayu Islam, iaitu isu yang mungkin agak mudah dipersepsikan. Namun bila ia melibatkan isu bela dan belai anjing dalam kalangan Melayu Muslim sendiri, polemik ini menjadi kompleks dan mengundang debat tanpa noktah lantaran ia melibatkan isu khilaf fiqh yang tercerna dalam isu nilai sakral budaya Melayu Islam.
Polemik anjing sebenarnya bukan isu besar dalam tasawwur perjuangan ummah kini. Ia hanya juzuk kecil dalam isu furuk taharah yg diulang dalam sekuel debat aliran-aliran semasa di Malaysia ini. Namun ia agak menarik untuk diulas kerana melibatkan hukum agama yang resiprokal dengan nilai tradisi budaya umat Melayu Muslim di samping saat ini juga wabak anjing gila sedang menular.
Sejarah Debat Anjing Di Malaysia
Debat tersohor tentang anjing yang pernah tercatat dalam sejarah Malaya ialah pada 1937 antara Kaum Tua dan Kaum Muda di Istana Sri Cemerlang Kelantan yang dihadiri lebih 2000 audiens. Debat ini dianalisis secara ilmiah oleh ramai cendekiawan termasuk cendekiawan Barat, William R Roff yang juga merupakan second supervisor PhD saya. Sila cari artikel menarik beliau “Whence Cometh The Law? Dog Saliva in Kelantan 1937” di Google Scholars. Artikel ini sangat baik utk dihadam oleh pengkaji ikhtilaf di Malaya. Keputusannya setiap pihak kekal dengan pegangan masing-masing. Kedua pihak bersetuju merujuk isu ini kepada Al-Azhar yang akhirnya merumuskan pandangan status quo sebagaimana dalam fiqh.
2014 juga kecoh tentang program I Want To Touch The Dog yg juga meributkan polemik anjing buat seketika hingga melibatkan campurtangan pihak berkuasa. Sebelum dan selepas itu ada tularan sekali sekala di internet dan media sosial di mana beberapa individu lelaki bani Melayu termasuk yg berjubah memperagakan belaian anjing belaan mereka yang pelbagai jenis. Lalu pelbagai kritikan dan herdikan dihamburkan di blog2 dan di laman sosial kerana seolah mereka ini telah tercampak keluar dari batas agama.
Kini Syawal 2017, seorang wanita Melayu berhijab berlatar pendidikan dari universiti Islam tersohor negara yg membela dan membelai anjingnya muncul dan ditonjolkan di laman sosial dengan motif hakiki yg masih tidak dapat dipastikan. Sama ada tujuannya utk mempromosi satu "nilai budaya" baru berteras fikrah "liberal" untuk bani Melayu sekaligus meroboh benteng tradisi kudus sedia ada, atau semata-mata satu persembahan kecenderungan baru gen Y dan Z yg mahu menampilkan peribadi insan berjiwa halus yang menyayangi haiwan, ia tetap memprovokasi majoriti umat Melayu.
Justeru medan debat anjing dibuka lagi. Debat anjing ini adalah salah satu dari sequel konflik yang panjang antara dua aliran pemikiran di alam Melayu Islam. Ia simbol dikotomi aliran reformis dan tradisionalis yang kekal hingga hari ini walaupun corak, orientasi dan fokus agak berbeza mengikut zamannya. Justeru, oleh kerana anjing isu khilaf dalam fiqh, ia sentiasa menjadi mauduk kegemaran para pendebat dari kedua aliran hingga era millenium ini.
Anjing Dalam Tamadun Manusia dan Tradisi Islam
Dalam tamadun manusia, anjing mempunyai hubungan baik dengan manusia sejak awal lagi terutama sebagai pembantu manusia memburu. Ia antara haiwan yang IQnya tinggi dan memiliki upaya mengesan yang sangat baik serta mudah dilatih manusia. Ia haiwan pertama yang dijadikan sebagai pet (binatang belaan di dalam rumah, disayangi dan dimanjakan dan dianggap sebagai rakan) oleh masyarakat Barat. Banyak variasi baka anjing yang dimanfaatkan oleh manusia sebagai pemburu, pengawal, penjaga, termasuk baka garang spt Rottweiler yang sering menyerang dan membahayakan manusia. Tidak seperti babi, anjing secara umumnya tidak dianggap sebagai binatang yang biasa dimakan oleh manusia melainkan oleh sesetengah bangsa di Asia termasuk kaum Batak di Medan.
Dalam tamadun dunia moden, selain dijadikan pet oleh golongan non Muslim anjing digunakan oleh pihak pasukan keselamatan untuk tujuan pengesanan dan SAR. Terdapat unit khas anjing iaitu K-9 (asal perkataaan canine -anjing) dlm pasukan polis, tentera, bomba, kastam dsb bagi tujuan tersebut. Di Barat, ia juga dijadikan sebagai guide-dog yang membantu memimpin pergerakan dan perjalanan orang buta di luar rumah.
Masyarakat Barat sangat menyayangi anjing, bukan sahaja menganggap ia sahabat baik tetapi menganggapnya sebagai anak yang taat. Jiran sebelah rumah saya semasa di UK memperkenalkan dua ekor anjingnya kepada saya sebagai anak-anaknya yang sangat baik. Menjauhi dan mentakuti anjing di UK adalah satu sikap yang dianggap sebagai tidak bertamadun. Menyantuni dan menyayangi binatang adalah budaya yang asas dalam masyarakat Barat. Sebelum memahami budaya ini, saya dan isteri pernah beberapa kali dikejar dan hampir digigit anjing ketika berjalan balik ke rumah kerana diarahkan oleh pemilik anjing tersebut (yang agak racist mungkin) yang marahkan kami kerana kami mengelak jauh dari anjing yang dibawanya. Rupanya mengelak jauh ketika bertembung dengan anjing dianggap biadab dan seolah-olah kita menganggap anjing itu sangat jijik, atau binatang ganas, sesuatu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat barat.
Dalam Islam, sebagai makhluk ciptaan Allah SWT, anjing ada manfaat yang tersendiri kepada manusia. Dalam al-Quran, watak anjing digambarkan dalam dua sisi, positif dan negatif. Sisi positif:
(i) Sebagai pengawas atau penjaga, iaitu anjing milik Ashab al-Kahfi yang mengawasi gua lokasi persembunyian mereka. Ia disebut berkali kali dalam penegasan bilangan pemuda Kahfi dan perihal tidur mereka (Al-Kahf 18, 22). 
(ii) Sebagai pemburu binatang yg terlatih. Anjing diizinkan dlm al-Quran dijadikan binatang pemburu terlatih bagi menangkap binatang buruan utk si pemiliknya. Dalam tradisi Arab Badawi, mereka menggunakan binatang pemburu seperti anjing, singa, helang dsb utk membantu menangkap binatang buruan (Al-Maidah 4).

Sisi negatif: Sifat anjing yg menjelirkan lidahnya termengah-mengah sama ada dihalau atau dibiarkan, sebagai bidalan kepada golongan pendusta ayat-ayat Allah yg mempertuhankan nafsu (Al-A'raf 176).
Dalam hadis Nabi SAW banyak disebut tentang anjing. Antara yg masyhur ialah hadis jilatan anjing yg perlu dibasuh (disertu) 7 kali; Jibril AS tidak memasuki rumah Nabi SAW kerana terdapat seekor anak anjing sesat di bawah katil baginda, arahan Nabi SAW supaya semua anjing di Madinah dibunuh dan hadis tentang berkurangan pahala orang yang membela anjing di dalam rumahnya. Semua ini dalam konotasi negatif. Dalam kes positif pula Nabi SAW membenarkan anjing digunakan utk berburu dan menjaga tanaman dan ternakan. Pemberi minum anjing kehausan termasuk wanita bernoda Bani Israel juga diampun dosanya menurut satu hadis'.
Allah SWT menjadikan haiwan termasuk anjing utk diambil 'ibrah oleh manusia. Banyak sifat baik anjing yg boleh difikirkan oleh insan. Anjing mudah terlatih dan mendengar kata tuannya. Ibnu al-Marzuban ulama kurun ke 3H mengarang karya sinis terhadap manusia menerusi kitabnya Fadl al-Kalb 'ala Kathir min man Labisa al-Thawb yg menonjolkan sifat-sifat baik anjing dari segi kepatuhan dan kesetiaan berbanding ramai manusia yg selalu ingkar dan diselaputi pelbagai sifat mazmumah.
Jadi, dalam tradisi Islam, anjing dianggap haiwan yg bermanfaat kpd manusia utk membantu menjalankan tugas-tugas tertentu terutamanya bagi masyarakat Badawi. Bagaimanapun penggunaannya adalah terhad kpd tujuan penjagaan kawasan pertanian, penternakan dan menjalankan tugas hirasah. Ia tidak biasa dijadikan haiwan belaan dan belaian manja manusia. Justeru, dari perspektif agama, penggunaan manfaat anjing tertakluk kepada hukum fiqh.
Fiqh al-Kalb
Antara khilaf fuqaha yang panjang dalam isu taharah ialah tentang kenajisan anjing. Tiada dalil qat’i tentang kenajisan anjing dalam al-Quran atau Hadis dan tiada ijmak mujtahidin dalam isu ini. Yang ada ialah petunjuk dan isyarat yang terbuka kepada pelbagai interpretasi fuqaha. Ringkasan khilaf anjing antara fuqaha adalah seperti berikut:
Khilaf paling utama ialah sama ada 'ain atau fizikal anjing itu najis atau tidak:
Jumhur fuqaha dari mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali berpandangan 'ain anjing itu najis, manakala fuqaha Maliki tidak menganggapnya najis. Jika badan anjing kering, fuqaha Hanafiyyah berpandangan tidak najis, tetapi Syafiiyyah dan Hanabilah menyatakan ia tetap najis kerana tabiat anjing yg suka menjilat badannya.

Air liur, lembapan (peluh dari tapak kaki dan bahagian domoinya – anjing tiada kelenjar peluh di badannya), darah, kencing, tahi anjing dsb adalah najis ittifaq fuqaha mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali. Bagi fuqaha Maliki air liur dan lembapannya tidak najis tetapi perlu disertu kerana ta`abbud berdasarkan hadis. Kencing dan tahinya adalah najis dan perlu disertu.
Hampr semua fuqaha mengharamkan makan daging anjing kerana kenajisannya (jumhur) dan kerana ia bertaring (Maliki), tetapi ada riwayat bahawa sebahagian fuqaha mazhab Malik yang memakruhkannya.
Membela anjing tanpa sebab syar’ie adalah haram atau makruh berdasarkan hadis berkurangannya pahala seseorang satu qirat atau 2 qirat sehari bagi pembela anjing tanpa tujuan yang dibenarkan. Jumhur ulama menyatakan haram kerana secara mafhum, tidaklah berkurangannya pahala seseorang melainkan dengan dosa kerana dosa hanya terhasil dari perbuatan haram. Justeru membela anjing dalam situasi tiada keperluan syar’ie adalah berdosa. Sebahagian lagi menyatakan makruh kerana istidlal terhadap haram dan dosa tidak jelas dalam nas. Bagaimanapun,tiada seorang fuqaha pun yang mengharuskan anjing diambil sebagai pet.
Perbahasan yang lengkap dan terperinci tentang kenajisan anjing mengikut mazhab boleh dirujuk dalam Fiqh al-Taharah karya Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Salam Tawilah.
Rumusannya, membela anjing untuk tujuan yang syar’ie diharuskan seperti yang telah disebut di atas, iaitu sebagai haiwan pemburu, menjaga ladang, mengawal ternakan, menjaga harta benda dan rumah, mencari orang hilang (SAR), mengesan barangan terlarang spt dadah dsb. Kaedah membelanya telah diperincikan oleh para fuqaha khususnya dari aspek kebersihan dengan tidak membenarkan anjing bebas bergerak di kawasan rumah sehingga tercemar dengan najis.
Dari segi beramal, kita boleh sahaja berpegang kepada keluasan fiqh Islam. Di Malaysia yang umumnya berzhab Syafi’e, fiqh anjing berasaskan mazhab Syafie terpakai secara meluas hatta di Perlis sekali pun yang tidak terikat dengan mazhab Syafi'e. Tetapi jika kita berada di kawasan majoriti penduduknya non Muslim yang membela anjing atau tinggal di barat di mana majoriti rakyatnya membela anjing sebagai pet, boleh sahaja kita yang bermazhab Syafie beramal dengan pandangan mazhab Hanafi atau Maliki berasaskan prinsip umum al-balwa dan raf’u al-haraj.
Pihak berautoriti agama kita telah menggariskan panduan dalam isu anjing. Tidak susah pun untuk mengikut garis panduan berkenaan. Cuma dalam isu mengambil dan membela anjing terbiar di kawasan rumah masih belum ada satu panduan dan pengurusan secara holistik. Dulu ada arwah Pak Mie di Alor Setar yang membela anjing terbiar di kawasan rumahnya sebagai pusat perlindungan. Sekarang ada Norashikin di Melaka yang megusahakan rumah perlindungan anjing dan kucing terbiar. Sebaiknya pihak PBT atau NGO yang menjalankan kerja ini, bukan individu lebih-lebih lagi yang Muslim. Ini boleh mengelakkan fitnah dan elemen sanggah budaya dalam masyarakat Melayu Islam.
Budaya Melayu
Selain babi, anjing adalah binatang yang paling banyak berlaku polemik dalam masyarakat Melayu kini. Dua binatang ini adalah taboo dalam budaya Melayu Islam terutama di Malaysia ini. Bagi Bani Melayu Muslim, babi adalah binatang paling jijik tahap maha, manakala anjing jatuh nombor dua. Nilai ini telah diindoktrinasi sejak generasi datuk nenek moyang kita hingga kini. Amalan syirik, tahayul, judi, rasuah, zina dan dadah pun tidak dapat menandingi kejijikan babi dan anjing dari perspektif kaum Melayu. Ramai yang tergamak makan rasuah tetapi tidak sanggup makan babi padahal kesemuanya haram secara qat’ie. Status mughallazah babi dan anjing tersemat kemas di benak pemikiran mereka dan menjadi nilai yang kudus dalam budaya Melayu Muslim.
Ini sebenarnya adalah satu nilai budaya suci yang tercerna dari yang kefahaman hukum berteraskan fiqh Islam mazhab Syaf’ie. Ia menjadi nilai sejagat masyarakat Melayu yang terpelihara sejak sekian lama. Justeru, sebarang percubaan untuk keluar dari nilai ini dianggap sebagai percubaan menyanggah dan meruntuhkan sistem nilai yang telah well established sejak sekian lama. Hakikat ini yang gagal difahami oleh sebahagian mereka yang cuma mempromosikan belaan anjing sebagai pet. Ia ibarat satu cubaan berunsur jahat atau jahil yang perlu dibanteras atau diperbetulkan. Tidak hairanlah percubaan sebegini akan mendapat tentangan sengit dari masyarakat Melayu Islam. Alasan “ia tidak ada kena mengena dengan Islam” adalah natijah pemikiran sekular dan tidak boleh diterima kerana semua amalan kita tertakluk kepada dosa pahala.
Kecenderungan keluar dari budaya asal berasaskan agama ini seolah-olah menjadi satu trend masa kini. Ini adalah natijah dari cengkaman pemikiran sekular barat dan liberal yang jauh dari nilai, prinsip dan teras agama. Dalam masyarakat elit Kuwait kini, hobi membela anjing sebagai pet semakin membudaya. Di Malaysia ini, percubaan demi percubaan dilakukan oleh mereka-mereka yang tertentu untuk menguji sensitiviti atau mungkin membebaskan diri dari budaya Melayu Islam yang mungkin dirasakan mengongkong atau cuba membawa “Islam versi baru” yang lebih bebas dan melakukan “ijtihad” secara semberono dengan justifikasi akal dan nafsu semata-mata.
Isu anjing sebagai pet ini menyamai isu LGBT, wanita sebagai imam solat jamaah lelaki, kahwin tanpa wali dan saksi, arak harus diminum jika tidak memabukkan dsb, yang dimanifestasikan oleh pemikiran songsang yang cuba dipaksakan terhadap syariat Islam yang suci. Jika kita tidak sama-sama mengawal fenomena songsang ini, tunggulah pelbagai isu pelik lagi yang akan dipromosikan oleh golongan ini.
Rumusan:
1. Anjing ada banyak faedah yang boleh dimanfaatkan manusia. Bagi umat Islam ia boleh dimanfaatkan dalam limitasi yang dibenarkan oleh syariat Islam. Adapun keburukan anjing terutama spesis super garang dan menyerang manusia perlu dihadkan kegunaannya kerana mungkin mafsadahnya lebih besar dari faedahnya. Telah berlaku banyak kes serangan anjing peliharaan dari spesis garang ke atas manusia. Pihak berautoriti tidak sepatutnya membenarkan spesis ini dibela di rumah.
2. Anjing terbiar dan terbukti menyebarkan virus berbahaya spt rabies dsb haruslah dielakkan dan dimusnahkan atau diberi pelalian oleh pihak berkuasa. Ia satu bentuk sadd al-zari'ah sbgmana Nabi SAW mengarahkan anjing-anjing terbiar di Madinah dibunuh kerana mungkin menyebarkan penyakit, menyebabkan kekotoran persekitaran dan menggigit atau menyerang manusia.
3. Pihak kerajaan perlu menyediakan prasarana perlindungan yg bersesuaian utk menempatkan anjing terbiar bagi mengelakkan penyakit dan gangguan. Ini juga boleh mengelakkan fitnah dan persepsi negatif terhadap pencinta binatang khususnya anjing dlm kalangan Muslim yg mengambil anjing terbiar sebagai peliharaan tanpa sebab syar'ie. PBT atau NGO haruslah mengambil tanggungjawab ini dan mengelakkan orang Islam dari berkhidmat di sini.
4. Dalam semua ikhtilaf tentang kenajisan anjing sejak zaman fuqaha hingga kini, tiada keputusan tuntas yang boleh dibuat kerana tabii isu khilaf yang tiada dilalah qat`iyyah dari nas, ia terbuka kepada ijtihad fuqaha’ yang menatijahkan hukum yang bersifat zanni. Lantaran sifat hukum yang zanni dan masih berlegar dalam domain khilaf, ia tidak boleh “dipaksakan” kepada semua umat melainkan dalam 3 situasi: (i) apabila difatwakan; (ii) dijadikan keputusan mahkamah; (iii) dikodifikasikan sebagai perundangan oleh pemerintah. Justeru, dalam konteks Malaysia hari ini, pemerintah di negeri masing-masing boleh membuat peraturan atau undang-undang atau mengeluarkan fatwa yang jelas tentang isu anjing ini. Yang melanggar fatwa dan undang-undang ini boleh dikenakan tindakan. Ini boleh mengelakkan umat Islam dari mempromosikan idea songsang mereka di media umum.
5. Islam menggalakkan umatnya menyayangi binatang, tetapi melalui kaedah yg betul. Menyayangi anjing perlu dibatasi oleh hukum dan tidak boleh dijadikannya sebagai pet. Banyak lagi spesis binatang suci yg boleh dijadikan pet. Jika berpegang kpd mazhab Maliki sekalipun, tiada qawl dari mazhab itu yg mengharuskan anjing dibela sebagai pet. Malah tidak ada qawl dalam mana-mana mazhab dalam Islam harusnya membela anjing sbg pet. Jika sesiapa ingin melakukan ijtihad baru yg berbeza darinya, pastikan anda berkelayakan sebagai mujtahid dan ada kompetensi untuk berijtihad!
6. Membela anjing sbg pet bukan tradisi Islam dan bukan budaya Melayu. Umat Melayu Islam secara tuntasnya tidak boleh menerima anjing sbg pet. Tradisi dan budaya ini diterima sebagai suatu nilai yg sakral oleh umat Islam Malaysia. Budaya ini menjadi uruf yg muktabar dan menjadi 'adah yg muhakkamah.
7. Jika ada bani Melayu yang mahu keluar dari tradisi ini kerana elemen rebel, liberal, raver, hipster, atau mengidolakan western culture sekalipun, maka hilanglah jatidirinya dan mereka perlu berhadapan dengan segala kemungkinan risiko perundangan atau cercaan dan nistaan yg tidak terkawal. Jika kerana jahil, belajarlah dengan guru yang muktabar. Jika tersilap, kembalilah ke dasar agama. Hukum berkaitan anjing dan babi termasuk perkara yang wajib diketahui oleh semua umat Islam (ما يعلم من الدين بالضرورة).
8. Provokasi terhadap nilai yg sudah bersemi sekian lama tidak membantu apa-apa dalam kemajuan tamadun sesebuah bangsa. Apa tujuan dan faedah provokasi sedemikian, hanya sekadar mahu meruntuhkan nilai suci agama dan budaya warisan bangsa.
9. Org mahu keluar dari tradisi dan budaya Melayu Islam perlu belajar lebih tentang kaitan nilai hukum agama dan budaya bangsa dan perlu menghadam fiqh budaya supaya akal mereka tidak direndahkan oleh nafsu dan budaya barat.
10. Jika ada bani Melayu yang kononnya melakukan ijtihad sendiri dengan melaungkan tiada larangan dalam Islam untuk membela anjing, babi dsb sebagai pet, tidak perlulah anda mempromosikan dan berkongsi video, foto dan idea songsang anda di laman sosial sehingga menimbulkan fitnah dan kekecohan. Jika yakin dengan “ijtihad” anda sendiri, amallah secara peribadi dan tidak perlulah kecoh-kecoh di media sosial. Apa tujuan anda berbuat demikian? Untuk populariti, untuk dikecam, untuk mempromosi budaya baru yang menyanggah agama dan budaya atau untuk apa? Apa yang kita lakukan buatlah atas dasar ilmu dan panduan syariat yang jelas. Jangan kerana terikut dengan runtunan nafsu, kita melicikkan akal untuk menjustifikasikannya lalu meruntuhkan prinsip agama.
Allah al-Musta’an
DSM
15 Syawal 1438

Terima kasih sudi baca walaupun agak panjang. Boleh share..