Saturday, September 6, 2014

5 PRINSIP AMAL JAMAEI

HAYATI DAN LAKSANA 5 PRINSIP AMAL JAMAEI dalam PAS .
Sebahagian dari usaha untuk memperkasakan PAS agar Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang , kita sewajarnya memastikan intima' atau penglibatan kita dengan PAS ini benar - benar dihayati bersama 5 prinsip Amal Jamaei .
5 Prinsip yang saya maksudkan itu ialah :
1. Iltizam
Memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap aktiviti amal Islami yang dianjurkan oleh PAS demi menjayakan gerakkerja pengkaderan atau pembinaan :
1. Aqidah yang sohih ,
2. Fikrah yang syumul
3. Syakhsiyyah yang soleh
4. Dakwah yang benar
5. Tanzim @ Organisasi yang mantap
Jangan abaikan setiap keputusan jamaah apalagi membuat keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan secara jamaei melalui prosedur mesyuarat yang sah . Pastikan juga kita tidak mengakibatkan aktiviti jamaah lumpuh atau terbiar dengan sikap yang acuh tidak acuh dalam menjayakannya .
Terapkan rasa wajib ke atas diri dalam menunaikan semua peraturan dan arahan jamaah yang tentunya untuk kepentingan perjuangan Islam yang suci dan bersih dari sebarang elemen yang bersifat kepentingan diri sendiri .
Rasa diri terpanggil untuk menyelesaikan apa jua tanggungjawab dan amanah perjuangan yang terbengkalai walaupun bukan kita pemegang amanah yang bertanggungjawab langsung terhadapnya .
2. Wala'
Kesetiaan dan kejujuran kita terhadap perjuangan Islam yang didokong dengan PAS sebagai platform untuk menjayakannya , lalu menggapai objektif dan matlamat .
Tidak berlaku curang atau tidak mengkhianati perjuangan dengan melakukan sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dengan dasar perjuangan tetapi juga mendedahkan jamaah kepada risiko ekoran tindakan kita yang kurang berhati - hati seperti mengakibatkan kebocoran rahsia dan lainnya .
Jangan sekali - kali bermain kayu 3 dengan jamaah yang akhirnya mencetus dilemma dalam melaksanakan arahan pimpinan . Antaranya sikap menyertai 2 atau 3 jamaah sekali gus kononnya didirikan atas kefahaman bahawa yang penting ialah Islam bukan jamaah , maka boleh menyertai mana - mana jamaah yang mahukan Islam .
Tindakan ini membawa kepada pecah wala' lalu timbul pula 'fatwa' kononnya wala' tidak wajib kecuali kepada Allah dan Rasul demi menghalalkan tindakan mereka menyertai 2 atau 3 jamaah secara serentak .
Menyertai 2 atau 3 jamaah serentak sebenarnya menggangu proses pembinaan secara terancang dan mencetuskan kekeliruan fikrah serta membawa kepada dilemma dalam ketaatan dan komitmen . [ perbincangan panjang dan jelas telah saya tulis dalam kertas kerja saya yang bertajuk Ummah Centric : satu kekeliruan . ]
3. Dengar dan Taat.
Melancarkan misi dan operasi yang telah dirancang demi mencapai objektif dan matlamat perjuangan suci ini pastinya dengar dan taat adalah mekanisme yang tidak dapat tidak mesti dihayati dan dilaksanakan .
Kita tidak selayaknya mengklasifikasikan ketaatan kita kepada pimpinan dan jamaah selama mana ia tidak mengheret kita dan jamaah ke kancah maksiat dan mungkar . Sekalipun pemimpin yang mengeluarkan arahan hanya seorang junior atau pimpinan bertaraf cawangan , jika kita bertanggungjawab langsung dengan arahan tersebut maka hendaklah ianya dilaksanakan dengan penuh amanah .
4. Ukhuwwah fillah
Jalinan persaudaraan antara ahli PAS mestilah diikat dengan semangat berlapang dada , berbaik sangka , tawadhu' atau merendah diri antara satu sama lain , kasihkan saudara sebagaimana kita kasih kepada diri sendiri , mengutamakan kebaikan buat saudara kita mengatasi diri sendiri .
Eratnya jalinan antara ahli sesama ahli dan ahli dengan pimpinan membentuk benteng kukuh buat jamaah dari sebarang anasir yang merosakkan struktur kepimpinan dan pentarbiyahan jamaah .
Usaha dan aktiviti yang menumbuhkan kemesraan sesama ahli atau program yang menanam rasa kasih yang mendalam mestilah diberikan keutamaan . Justeru ukhuwwah yang terbina utuh antara ahli dan pimpinan akan meminimakan ruang khilaf dan menutup peluang krisis .
5. Tadhiyyah [ pengorbanan ]
Tiada perjuangan tanpa pengorbanan malah pengorbanan antara pra syarat kemenangan . Sukar untuk kita jayakan misi dan visi perjuangan besar ini tanpa pengorbanan semua pihak . Mengorbankan tenaga , harta benda dan nyawa demi perjuangan Islam ini sememangnya telah diwartakan oleh Allah dalam al Quran sebagai sunnah perjuangan sejak zaman Nabi saw.
Kegagalan berkorban memerangkap diri dan jamaah dalam kelemahan yang tidak mungkin boleh diatasi .
Terutama kita berjuang di era menang , kedengaran akhir - akhir ini suara yang mahu titik peluh dan penat lelahnya untuk perjuangan ini dibayar dengan imbuhan dunia . Tanpa imbuhan atau perolehan lumayan maka tiada tenaga jauh sekali nyawa untuk perjuangan . Ini satu musibah !
Pengorbanan adalah tuntutan perjuangan yang sama samaada sebelum atau selepas menang . Tanpa pengorbanan terlalu sukar untuk kita mencapai kemenangan sebagaimana jua tanpa pengorbanan pasti sahaja kemenangan yang dicapai tidak akan bertahan lama .
Ringkasan ini sebagai satu nota kecil buat petugas , ahli dan pimpinan PAS yang saya dedikasikan buat semua khasnya diri saya sendiri yang masih perlu dibimbing dan dibina dengan apa yang telah saya notekan di sini .
Saya harap perbincangan lanjut dibawa ke usrah atau liqa fikri berkait 5 prinsip amal jamaei ini dan dilengkapkan dengan nas qura'ani dan dalil sunni berasaskan manhaj perjuangan an nabawi .
catatan : YB Ustaz Nasrudin Hassan

Bahaya Tak Tutup Aurat Dari Kajian Sains

Bahaya Tak Tutup Aurat Dari Kajian Sains | Rasulullah bersabda, "Para wanita yang berpakaian tetapi (pada hakikatnya) telanjang, lenggak-lengkok, kepala mereka seperti punuk unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak mencium semerbak harumnya (HR. Abu Daud) Rasulullah bersabda," Tidak diterima solat wanita dewasa kecuali yang memakai khimar (tudung) (HR. Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, bn Majah)

Kajian ilmiah kontemporari telah mendapati perempuan yang tidak bertudung atau berpakaian tetapi ketat, atau telus, akan mengalami pelbagai penyakit kanser di bahagian anggota tubuhnya yang terbuka dan yang mengenakan pakaian ketat-ketat.

Majalah perubatan Britain mengeluarkan hasil kajian ilmiah ini dengan mengutip beberapa fakta, antaranya bahawa kanser milanoma pada usia awal, dan semakin bertambah dan merebak sehingga di kaki.

Sebab utama penyakit kanser ini adalah pakaian ketat yang dikenakan oleh perempuan di bawah terik matahari dalam waktu yang panjang selepas bertahun-tahun. Sarung kaki nilon yang mereka kenakan tidak sedikitpun bermanfaat dalam menjaga kaki mereka dari kanser.

Majalah perubatan Britain tersebut telah pun telah melakukan undian tentang penyakit milanoma ini, dan seolah keadaan mereka mirip dengan keadaan orang-orang penderhaka (orang-orang kafir Arab) yang di da'wahi oleh Rasulullah.

Tentang hal ini Allah berfirman: "Dan ingatlah ketika mereka katakan: Ya Allah andai hal ini (Al-Qur'an) adalah benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih" (Surah Al-Anfaal: 32) Dan sungguh telah datang azab yang pedih ataupun yang lebih ringan dari hal itu, iaitu kanser di mana kanser itu adalah seganas-ganasnya kanser dari pelbagai kanser.

Penyakit ini merupakan akibat dari sengatan matahari yang mengandungi ultra violet dalam waktu yang panjang disetiap pakaian yang ketat.
Sumber Asal : Here

Tuesday, September 2, 2014

Kisah Penyertaan Anwar Ibrahim Dalam UMNO

Kisah Penyertaan Anwar Ibrahim Dalam UMNOPosted on Thursday, August 21 @ 15:04:05 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Kontra Artikel 

Oleh Tun Mahathir Mohamad



Anwar Ibrahim menyertai UMNO tidak lama selepas saya jadi Perdana Menteri pada 1981.....

Saya terkejut juga apabila dapat tahu beliau mahu menyertai UMNO memandangkan pembabitannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (1) dan kenyataan-kenyataan awamnya jelas menjadikan beliau sekutu semula jadi PAS.
Bagaimanapun saya fikir, tentulah lebih menguntungkan beliau jika menyertai UMNO kerana beliau tidak akan dapat mara dalam politik selagi berada di luar UMNO. Besar kemungkinan beliau akan selama-lamanya terumbang-ambing dalam politik pembangkang dan ini tentulah bukan apa yang dikehendakinya.Saya juga berpendapat beliau berguna kepada UMNO.
 
Bagi saya,parti lebih penting dan sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada parti, walaupun orang itu tidak sependapat dengan saya, saya tidak akan halang kemasukannya.
 
Umum beranggapan UMNO yang mengambil langkah pertama membawa masuk Anwar, tetapi itu tidak benar. Bagi tempoh masa yang lama,UMNO telah menjadi parti yang besar dan berjaya. Ia tidak perlu bersusah-payah mencari ahli. Waktu itu,menyertai UMNO adalah satu keistimewaan.
 
Dalam tempoh beberapa bulan,sebilangan orang telah datang memberitahu saya yang Anwar berminat untuk sertai UMNO. Jadi saya pun bersetuju menemui beliau. Pertemuan pertama kami berlangsung di pejabat saya. Itulah interaksi sebenar yang pertama antara kami tanpa kehadiran orang lain.
 
Beliau nampak begitu berminat untuk menyertai UMNO,jadi beliau sedia bertolak-ansur dan tidak memperlihatkan tindak-tanduk yang boleh menyebabkan hasratnya ditolak. Apabila saya bertanya mengapa beliau mahu menjadi sebahagian daripada UMNO, beliau berkata yang beliau kini bersetuju dengan perjuangan UMNO.
 
Beliau mengaku kepimpinan ABIM agak kritikal dengan keputusannya dan mereka juga hendak tahu mengapa beliau mahu sertai UMNO. Beliau memberitahu mereka yang beliau mahu mengubah UMNO supaya sependapat dengan ABIM dan mempengaruhi Kerajaan dari dalam.
 
Menurut Anwar, agenda beliau adalah mahu mengubah Kerajaan menjadi Kerajaan Islam dan dengan itu, menyertai UMNO adalah cara paling berkesan untuk melakukannya. Pada masa itu pun beliau sudah menunjukkan kepintarannya.
 
Beliau berjaya menyakinkan ABIM dan membuat peralihan tanpa memutuskan hubungan dengan pergerakan itu. Bahkan kemudiannya saya mendapati beliau boleh menyakinkan pihak yang bertelingkah dengannya bahawa beliau bersetuju dengan mereka semua.
 
Rancangan beliau untuk mengubah UMNO dari dalam tidak membimbangkan saya sebab saya yakin saya boleh menangani beliau. Lagi pun saya berpendapat, kalau beliau sertai PAS tentu beliau boleh menang pilihan raya dan ini mungkin akan membantu menarik keluar ahli UMNO daripada parti.
 
Dalam erti kata lain, besar kemungkinan beliau akan jadi duri dalam daging jika berada di luar UMNO. Ciri positif penyertaan beliau dalam UMNO boleh dilihat dari sudut seorang pemimpin muda yang memiliki ramai pengikut, maka sudah tentu beliau mempunyai banyak kenalan di kalangan pemimpin belia seluruh dunia.
 
Bentuk Islam yang diperjuangkannya tidak mengasingkan beliau daripada pemimpin belia bukan Islam manakala pemimpin belia Islam dan aktivis Islam yang lain menganggap beliau seorang pemimpin besar Islam.
 
Sebagai pemimpin ABIM, beliau mempunyai pengikut yang ramai dan ini boleh memberi kelebihan kepada UMNO. Di kalangan pergerakan Islam Malaysia, ABIM memang luar biasa. Ia cergas membantu belia Islam menimba ilmu, menyebarkan ajaran Islam dan membuat kerja-kerja kebajikan.
Walaupun ABIM tidak rapat dengan UMNO atau kerajaan pimpinan UMNO, ia pula tidak menampakkan sifat melampau. Penyertaan Anwar dalam UMNO mungkin dapat melembutkan pendirian ABIM terhadap kerajaan atau setidak-tidaknya menumpulkannya sedikit.
 
Dengan imej Islamnya,saya berharap Anwar akan memperkukuhkan kewibawaan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan Islam. Setelah saya putuskan untuk menerima keahlian beliau dan mendapati tidak ada bantahan kuat daripada rakan-rakan, maka saya pun mengaturkan supaya beliau menandatangani borang keanggotaan di pejabat saya.
 
Anwar secara rasmi menyertai UMNO pada 1982. Saya adakan satu sidang akhbar di pejabat saya bagi mengumumkan hal itu dengan dihadiri oleh Anwar sendiri. Tindakan saya menggunakan premis kerajaan untuk urusan parti dikecam oleh Tan Sri Tan Chee Khoon, bekas pemimpin Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS) (2).
 
Tan terkenal di seluruh negara sebagai Mr Opposition (Tuan Pembangkang). Saya membalas dengan mengatakan bahawa ia akan dilihat sebagai satu lakonan kalau saya keluar dari pejabat bagi urusan menandatangani surat penyertaan itu dan kemudian balik semula ke pejabat untuk menemui Anwar seperti yang lazim saya lakukan dengan semua tetamu, tidak kira orang politik atau bukan politik.
 
Saya kenal bapa Anwar,Datuk Ibrahim Abdul Rahman,seorang penyokong kuat UMNO yang menjadi Ahli Parlimen bersama-sama saya di antara tahun 1964 dan 1969. Dengan itu saya berpendapat tentulah di dalam hatinya, Anwar juga orang UMNO. Malah beliau menjadi penyokong saya sewaktu saya berselisih faham dengan Tunku sekitar tahun 1969-1970.
 
Anwar juga mempunyai ciri-ciri yang boleh menyumbang ke arah memperbaiki kedudukan UMNO di kalangan cendekiawan. Beliau banyak membaca dan boleh memetik kata-kata hikmat ramai ahli falsafah dan pemikir, daripada Sun Tzu kepada Malik Bennabi.
 
Pencapaian bahasa Melayu beliau cemerlang dan gemar menggunakan bahasa sastera dalam ucapan-ucapannya. Walaupun ramai yang terpaksa merujuk kamus kerana istilah-istilah yang digunakannya, gaya beliau berucap tetap mengagumkan mereka.
 
Beliau juga boleh bergaul baik dengan ahli akademik di dalam dan luar negara. Saya benar-benar percaya beliau akan menjadi aset kepada parti, jadi saya cenderung untuk memberi sokongan saya kepada beliau.
 
Sesetengah ahli UMNO bagaimanapun bimbang dan berasa terancam oleh Anwar. Ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri,golongan ini telah bekerja keras menentang kegiatan anti kerajaan Anwar.
Kumpulan yang tidak sukakan Anwar itu dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan antara anggotanya ialah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Setiausaha Politik saya yang kemudiannya dilantik menjadi Menteri.
 
Saya tidak fikir Aziz menerima hakikat kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Bahkan kedua-dua Tun Abdullah dan Aziz berpendapat tindak-tanduk dan kata-kata Anwar hanyalah satu lakonan.
Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmud, yang kemudiannya menjadi bapa mertua Anwar, juga adalah antara orang yang menentang keras terhadap beliau. Pada masa itu, Wan Ismail bekerja dengan sebuah unit perang saraf dan menjadi seorang penyokong kuat Kerajaan.
 
Apabila saya mendapat tahu yang beliau membantah Anwar mengahwini anaknya, Dr Wan Azizah, saya memujuk beliau agar berlembut. Ini berlaku sebelum Anwar menyertai UMNO. Petanda tidak baik yang pertama mengenai Anwar muncul apabila saya membentuk Kabinet pada 1982 dan melantik beliau sebagai Timbalan Menteri.
 
Beliau datang berjumpa saya bagi menyatakan kehampaan kerana tidak dilantik menjadi Menteri penuh. Saya tergamam. Saya kata: “Ada ramai lagi orang yang lebih kanan daripada awak. Bagaimana saya hendak melantik awak..?”
Saya juga memberitahunya belum pernah sesiapa yang menjadi pengkritik kerajaan diangkat sebagai anggota penuh Kabinet dalam masa yang singkat. Lagipun, beliau baru sahaja menyertai UMNO. Anggota kanan Kabinet tentu tersinggung kalau beliau terlalu cepat dinaikkan pangkat menjadi Menteri penuh. Saya sudah pun memberi beliau jawatan yang tinggi dengan melantiknya menjadi Timbalan Menteri.
 
Jadi, tindakan beliau merungut mengenainya adalah tidak wajar dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa itu saya tidak sedar betapa tingginya cita-cita beliau. Mungkin saya sepatutnya berhati-hati sejak saat itu lagi mengenai cita-cita beliau dan kemarahannya yang amat sangat apabila rancangannya dihampakan.
Satu lagi bukti tentang cita-cita Anwar yang tinggi dapat dilihat pada pemilihan UMNO 1982 apabila beliau memutuskan untuk bertanding jawatan tertinggi Pemuda. Ketua Pemuda waktu itu, Datuk Suhaimi Kamaruddin suka memegang lama jawatan yang disandangnya dalam mana-mana pertubuhan yang diketuainya.
 
Misalnya, sewaktu memimpin Gerakan Belia 4B Malaysia (4) beliau sentiasa mengubah peraturan supaya boleh terus memimpin. Saya menyokong usaha Anwar itu, tetapi Suhaimi menolak cadangan mengundurkan diri untuk Anwar. Akibatnya,hubungan saya dengan Suhaimi jadi agak tegang.
Beliau tetap berkeras mahu menentang Anwar. Suhaimi kalah dan berasa amat marah. Pada 1987, beliau menyokong Tengku Razaleigh mencabar kepimpinan saya. Hal ini akan saya ceritakan kemudian.
 
Mulai saat itu, cita-cita Anwar yang tidak kenal sempadan semakin jelas. Beliau mahu mara dalam hieraki UMNO secepat mungkin, seolah-olah itu sahajalah matlamat beliau menyertai UMNO. Saya segera menyedari hal ini, tetapi tidak mengambil sebarang langkah untuk menghalang kerana saya tahu beliau mempunyai sifat seorang pemimpin yang baik.
Lagipun, elok juga kalau ada seorang yang boleh diharapkan dalam barisan kepimpinan untuk bersedia mengambil alih tempat saya. Bagaimanapun, menjadi Ketua Pemuda UMNO tidak memberi kepuasan yang lama kepada Anwar.
 
Beliau mahu menjadi Naib Presiden yang dipilih pula. Sebagai Ketua Pemuda, beliau secara automatik adalah Naib Presiden sebagaimana ketua-ketua sayap UMNO yang lain kecuali Puteri UMNO kerana baru ditubuhkan.
 
Saya dapat tahu hasrat Anwar untuk bertanding jawatan Naib Presiden daripada Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang ketika itu adalah seorang Timbalan Menteri. Saya beritahu Megat bahawa Anwar sepatutnya berpuas hati dengan kedudukannya dan bagi peluang orang lain untuk naik.
Bagaimanapun akhirnya, disebabkan Anwar begitu mendesak, saya biarkan juga beliau bertanding. Mengapa saya sokong beliau...? Mengapa saya tidak sekat beliau daripada bertanding...?
Sebenarnya saya tidak menyokong beliau, tetapi saya juga tidak menghalang. Apakah ada cara bagi saya untuk berkata jangan bertanding..? Sesetengah orang mungkin menganggap bahawa kebenaran yang saya berikan kepada Anwar untuk bertanding menandakan saya menyokongnya. Tidak sama sekali.....
 
Ia bukanlah sokongan cuma saya tidak ada sebarang alasan untuk menyekat hasrat beliau. Namun saya ada beritahu Megat bahawa pada pendapat saya, langkah Anwar itu tidak patut dan sikap tidak sabar beliau jelas kurang sopan. Bagaimanapun, tindakan beliau itu tidak melanggar parti.
Ada tiga jawatan Naib Presiden yang dipilih di dalam UMNO. Ia adalah jawatan paling kanan selepas Presiden dan Timbalan Presiden. Mengikut resam,Presiden akan jadi Perdana Menteri dan Timbalan Presiden jadi Timbalan Perdana Menteri.
 
Disebabkan kedudukan Naib Presiden hanya setapak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, maka pertandingan untuk kerusi itu amat sengit. Inilah peringkatnya penyandang cuba membuktikan kebolehan dan memperkukuhkan kedudukan sebagai bakal pengganti untuk jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya Presiden.
Saya tahu benar betapa sengitnya pertandingan jawatan itu, terutama kalau penyandang tidak bersedia mengundurkan diri untuk mewujudkan kekosongan. Ini kerana saya sendiri pernah bertanding merebut salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden di mana semua tiga penyandang turut bertanding, iaitu pada 1971/1972 dan saya tewas.
 
Saya tidak pernah bercakap dengan Anwar mengenai hasrat beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Tindakan saya yang tidak melarang atau menggalakkan Anwar daripada bertanding tidak ada kena-mengena dengan sikap saya terhadap beliau. Itu memang cara dan peribadi saya.
Sebagai Presiden UMNO juga, saya jarang cuba mempengaruhi pemilihan parti. Jika saya melibatkan diri, ia adalah dengan matlamat umum dan buka peribadi. Saya memilih untuk tidak campur tangan dalam pertandingan untuk jawatan tertentu parti. Saya tidak suka menyokong seorang yang tewas dan kemudian terpaksa bekerja dengan yang menang.
 
Namun saya sedar bahawa walaupun saya sendiri tidak peduli sangat hal-hal sebegitu, ramai ahli UMNO menganggap pendirian berkecuali saya sebagai tanda sokongan dan meletakkan nilai yang tinggi kepada etika dan petunjuk lampau tradisi Melayu.
Apa pun, mereka masih melihat sikap gelojoh Anwar untuk naik sebagai tidak wajar sama sekali. Sebahagian sebab Anwar pantas membina asas kuasa dalam parti adalah kerana imej keagamaannya dan apabila beliau menjadi Menteri Pelajaran, beliau berbuat baik dengan guru-guru Melayu dan kesatuan mereka.
 
Sebelum orang Melayu menonjol dalam sektor perniagaan sekitar 1990-an, guru adalah kumpulan yang mempunyai pengaruh kuat di dalam UMNO dan dianggap sebagai satu blok kuasa yang besar di dalam parti. Mereka juga mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Melayu akar umbi, pengundi di kampung dan Melayu bandar. Mereka memahami sentimen dan aspirasi orang Melayu.
Apabila Anwar hendak mengambil hati dan mendapatkan sokongan, beliau sangat berbudi bahasa dan menawan. Beliau boleh memikat hati orang alim Arab dan berbaik-baik dengan pelampau Yahudi yang anti-Arab. Beliau tidak dilihat sebagai seorang ekstremis Islam.
 
Bahkan selepas didapati bersalah kerana rasuah dan liwat pada 1999, pun masih ramai orang Islam yang terus mempercayai Anwar. Mereka juga percayakan cerita kejadian itu mengikut versi beliau.Dalam hubungan ini, jelaslah beliau seorang lelaki yang agak luar biasa.
Anwar begitu menyakinkan dan tahu bagaimana memujuk orang ramai agar mempercayai beliau.Bagi kebanyakan orang Islam, Anwar tampil sebagai seorang yang sangat warak. Sebelum menyertai UMNO, beliau sudah pun membentuk barisan pengikut yang besar di kalangan orang Islam antarabangsa.
 
Saya teringat seorang anggota Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur memandang serong terhadap saya, tetapi mengubah pendiriannya terhadap kepemimpinan saya selepas Anwar menyertai Kerajaan.
Anwar pandai berbaik-baik dengan orang dan tahu bagaimana memenangi sokongan mereka. Beliau banyak mengembara sewaktu menjadi pemimpin belia, menemui orang Afghanistan, Pakistan dan ramai pemimpin belia Islam dan bukan Islam yang terkemuka. Beliau memastikan dapat berjumpa dan berbincang dengan mereka. Beliau adalah segala-galanya kepada semua orang.
 
Beliau juga berbaik-baik dengan orang seperti Paul Wolfowotiz yang ketika itu Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika dan penyokong kuat pencerobohan Israel ke atas Palestin dan Iraq.
Anwar juga mesra dengan media antarabangsa melalui paparan imej seorang liberal. Beliau tidak teragak-agak menunjukkan kepada mereka bahawa beliau menentang banyak amalan Kerajaan Malaysia yang beliau sendiri adalah salah seorang anggotanya. Beliau mengumpan mereka dengan janji bahawa keadaan akan berubah sebaik sahaja beliau mengambil alih.
 
Ramai orang datang memberitahu saya yang beliau sedang berusaha membina populariti peribadi, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli UMNO. Beliau kerap melawat bahagian dan cawangan parti, yang pada pandangan saya adalah perkara biasa. Semua ahli politik cuba mendampingi orang ramai dengan tujuan menjadi popular.
 
Jadi apabila Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, saya anggap hubungan baik beliau dengan pemimpin bahagian adalah sesuatu yang berguna. Suatu hari nanti, beliau akan mengambil alih kepemimpinan. Apabila ini berlaku, beliau memerlukan orang yang begitu kenali dalam parti untuk membantunya memimpin UMNO dan negara secara lebih berkesan.
Untuk beberapa tahun lamanya, kami mempunyai hubungan peribadi yang baik. saya menunggang kuda dan beliau pun belajar menunggang kuda, tetapi Anwar terbukti seorang penunggang yang tidak sabar.
 
Sebelum beliau belajar menunggang dengan betul, beliau sudah mula menderap menyebabkannya terjatuh dan hampir patah tengkuk. Beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Kemudian (semasa dibicara atas tuduhan) beliau mendakwa polis mencederakan tengkuknya.
Sebelum beliau jadi Timbalan Perdana Menteri, saya kerap bawa beliau bersama-sama saya dalam lawatan rasmi ke luar negara. Di dalam kapal terbang, kami akan berbual dan berbincang mengenai politik dan agama, dua tajuk yang kami berdua minati.
Beliau begitu berpengetahuan dan nampak komited dalam hal-hal agama – mengambil wuduk dan bersolat walaupun di dalam pesawat. Beliau memikat saya sebagai seorang yang mengagumkan dan warak. Beliau adalah salah seorang penyokong kuat saya dan sering mengucapkan kata-kata yang betul. Tidak syak lagi ada aura istimewa – satu karisma – mengenai beliau dan saya juga mungkin terpengaruh.
 
Salah satu amalan dalam UMNO adalah bagi Perdana Menteri mengunjungi rumah Timbalannya pada petang hari pertama Aidilfitri selepas semua pelawat meninggalkan kediamannya. Kunjung-mengunjungi di kalangan orang Islam bertujuan menghapuskan segala salah faham dan memperbaharui muhibah dan persaudaraan untuk tahun akan datang.
Ini adalah amalan orang Islam di mana sahaja dan amat dihargai oleh orang Melayu dan orang Islam Malaysia.
Hubungan di antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sebagaimana yang saya sendiri alami dengan Tun Hussein, adalah sangat kompleks. Jadi amat penting, kepercayaan antara dua pemimpin tertinggi parti dan kerajaan ini diulang tegas.
Bagaimanapun, di antara Anwar dan saya tidak wujud keperluan khusus untuk membina muhibah atau mengubati luka kerana keluarga kami sangat rapat antara satu sama lain. Isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyediakan masakan utara yang saya suka dan beliau dengan Hasmah sangat akrab.
 
Saya menyenangi Wan Azizah yang mempunyai tarikan tersendiri. Walaupun selepas kami berpecah haluan, saya tidak dapat menganggap beliau sebagai musuh politik atau seseorang yang bergaduh dengan saya. Saya faham keputusan beliau untuk menyokong suaminya.
Anwar juga seorang yang gemar menerima tetamu. Pada bulan puasa, beliau akan menghabiskan banyak hari untuk berbuka dengan ramai orang di rumahnya. Di majlis itu, saya dapati beliau juga menjemput Menteri Besar dari semua negeri.
Saya sendiri tidak pernah melakukannya kerana memikirkan tentulah sukar bagi orang di luar Kuala Lumpur hendak datang hanya kerana jamuan malam yang pendek. Kerajaan yang bayar belanja perjalanan mereka. Namun Anwar tentu merasakan ia adalah satu amalan hubungan awam yang baik dan menguntungkan dari segi politik.
 
Selepas dapat jawatan Naib Presiden, Anwar masih resah. Matlamat beliau seterusnya ialah jawatan Timbalan Presiden. Beliau tahu Timbalan Presiden akan jadi Timbalan Perdana Menteri. Pada masa lalu, Timbalan Presiden jarang dicabar.
Cabaran hanya berlaku dalam keadaan luar biasa seperti pada 1987 apabila saya sebagai Perdana Menteri dan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri, telah ditentang. Saya dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah manakala Tun Musa Hitam mencabar Tun Ghafar.
Jadi dengan mencabar Tun Ghafar, Anwar bukan sahaja melanggar tradisi parti, tetapi juga mempamerkan ketidaksabaran beliau untuk sampai ke puncak....! Apabila beliau datang menemui saya untuk menyatakan hasratnya itu, saya tegaskan kepadanya bahawa tidak sesuai mencabar Tun Ghafar kerana Tun Ghafar adalah calon saya untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Saya minta beliau agar tidak bertanding....! Buat seketika beliau nampaknya mendengar nasihat saya dan tidak berkempen.
 
Bagaimanapun apabila saya mengkritik sesetengah pemimpin UMNO Terengganu kerana kekal terlalu lama dalam jawatan dan tidak memberi peluang kepada golongan muda, beliau menakrifkan hujah saya itu sebagai bermaksud bahawa saya mahu pemimpin yang lebih tua seperti Tun Ghafar berundur.....
 
Anwar anggap cabaran beliau terhadap Tun Ghafar adalah sejajar dengan pandangan saya. Jadi tanpa meminta kebenaran saya, beliau memulakan kempennya. Saya tidak tahu macam mana Anwar melakukannya, tetapi lebih daripada dua pertiga bahagian mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Malah bahagian-bahagian yang memang diketahui penyokong kuat Tun Ghafar pun tidak mencalonkan Tun Ghafar dan jelaslah beliau akan kalah.
Melihat keadaan yang tidak memberi harapan kepada beliau maka Tun Ghafar memilih untuk mengundurkan diri dan Anwar menang tanpa dicabar. Saya tidak mahu menggugurkan Tun Ghafar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi apakah alasan saya kalau tidak melantik Timbalan Presiden baru UMNO ke jawatan itu...?
 
Saya sentiasa menimbang dan mengikut kehendak UMNO. Misalnya, pada 1993 apabila parti memilih Tun Abdullah sebagai salah seorang Naib Presiden, saya bawa beliau balik semula ke dalam Kabinet walaupun beliau menyokong Tengku Razaleigh menentang saya pada pemilihan 1987.
Kemudian saya diberitahu yang Anwar sedang giat mencari sokongan untuk dirinya di kalangan bahagian UMNO dan pada masa yang sama menggesa mereka mengkritik saya. Itu pun saya tidak peduli. Saya beritahu diri sendiri, tidak mengapalah Anwar buat begitu sebab beliau pun akan menjadi Perdana Menteri menggantikan saya. Saya mahu mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan beliau, jadi saya bersedia mengetepikan sikap tidak sabar beliau berhubung persaraan saya.
Adalah sukar untuk menyalahkan ahli politik kerana bercita-cita besar, bekerja kuat dan berpandangan jauh. Mungkin masyarakat Melayu sekarang memerlukan pemimpin seperti beliau dan lagi ramai lagi baik. Kita sudah jauh meninggalkan zaman ramah mesra Tunku yang amat membimbangkan saya sekitar lewat 1960-an. Mungkin itu ada baiknya, dan pendekatan agresif Anwar adalah manifestasi politik baru orang Melayu.
 
Seperti yang telah saya katakan bahawa apabila Anwar menyertai UMNO, ramai ahli kanan parti tidak sukakan beliau kerana beliau menjadi ancaman kepada cita-cita mereka. Hubungan Anwar dan Tun Abdullah tidak pernah baik kerana sewaktu Tun Abdullah menjadi kakitangan awam, beliau telah ditugaskan oleh Tun Razak untuk menentang kepemimpinan Anwar dalam gerakan pelajar dan belia Islam.
Dengan peningkatannya yang pantas dalam UMNO, Anwar sudah tentulah menjadi ancaman kepada kepemimpinan Tun Abdullah di dalam UMNO Pulau Pinang. Kebimbangan Tun Abdullah itu menjadi kenyataan apabila Anwar menjadi Timbalan Persiden dan menggantikan Tun Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri.
 
Anwar segera mengambil alih jawatan Tun Abdullah sebagai Ketua Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional Pulau Pinang. Masa berlalu dan saya dapati kecaman Anwar terhadap Kerajaan, terutama berkaitan dakwaan kronisme menjadi semakin terbuka. Beliau bercakap mengenai apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan amanah rakyat dan dengan menyusun kata-kata sebegitu rupa, beliau memberi gambaran saya terbabit.
Secara prinsipnya beliau mengutuk kronisme dan ini sangat saya alu-alukan, tetapi kata-kata beliau itu ibarat gergaji bermata dua. Retorik beliau adalah mainan moral – beliau adalah baik dan sesiapa sahaja yang ditendangnya adalah jahat.
Apabila beliau bercakap lantang menentang kronisme di peringkat atas, kepada siapakah beliau tujukan kata-kata itu kalau bukan kepada saya..? Di atas adalah saya dan beliau, tidak ada orang lain lagi.
Lagipun dengan mengutuk kronisme, beliau cuba memberi gambaran yang beliau sendiri tidak terlibat. Ia adalah strategi yang baik bagi mengalih pandangan daripada kronisme beliau sendiri. Ahli kanan UMNO memberi amaran kepada saya bahawa Anwar sedang merancang sesuatu yang tidak baik dan beliau tidak setia kepada parti. Selepas menyingkirkan Tun Ghafar, kata mereka, sasaran Anwar yang berikutnya adalah saya.
Namun saya tidak bimbang..... Saya tidak fikir beliau akan berjaya dan saya amat yakin dengan kedudukan saya. Walaupun keadaan sudah menjadi tidak ‘selesa’ lagi, saya fikir saya boleh menanganinya. Saya tidak percaya beliau boleh mendapat cukup sokongan kalau menentang saya. Sekalipun saya masih anggap Anwar sebagai seorang pemimpin yang berkesan, saya rasa hasrat beliau untuk menyingkirkan saya terlalu tergesa-gesa.
Bagaimanapun, dengan keyakinan teguh terhadap diri sendiri dan jalan yang saya pilih telah membolehkan saya menerima sebarang perbezaan pendapat dengan orang yang berfikir dan bertindak berlainan daripada saya. Mungkin saya terlalu yakin, tetapi bagi saya adalah penting semua pihak yang bertelagah diberikan ruang di dalam parti.
Kalau kita menyingkirkan seorang pemimpin, seorang yang lain pasti akan mengorak langkah untuk mengambil tempatnya. Tidak ada jaminan orang yang menggantikan itu tidak bercita-cita besar atau menimbulkan masalah. Kita masih terpaksa berdepan dengannya. Saya tahu mesti ada yang akan menyokong Anwar jika beliau mencabar saya, dan pergeseran ini akan melemahkan UMNO.
Namun, saya bersedia menangani semua ini. Beberapa orang yang rapat dengan saya – orang yang tidak ada kedudukan atau kepentingan dalam politik – juga memberitahu saya tentang apa yang mereka lihat dan dengar mengenai Anwar. Mereka tidak disuruh oleh sesiapa untuk memaklumkannya kepada saya, jadi tidak ada sebab untuk saya mempersoalkan motif mereka.
Ketika itu, bermacam-macam cerita sudah disebarkan dan digalakkan penyebarannya. Sesetengah khabar angin mengenai tuduhan rasuah dan kronisme terhadap saya mula sampai kepada akhbar. Kesudahannya, bagi menghentikan semua tuduhan itu, saya terpaksa siarkan nama semua orang yang mendapat kontrak kerajaan sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan.
Senarai itu menunjukkan ramai daripada mereka yang mendapat kontrak secara rundingan adalah kawan-kawan dan anggota keluarga beliau. Terdapat juga seorang dua anggota keluarga saya dan orang yang ada kaitan dengan saya, tetapi kontrak mereka terlalu kecil.
Memekik “pencuri” adalah helah terbaik untuk mengalih perhatian orang daripada kita dan itulah strategi yang diguna oleh Anwar. Saya khuatir strategi itu masih digunakannya. Saya perhatikan Anwar mempamerkan watak yang mengagumkan di khalayak ramai. Beliau juga berjaya meninggalkan kesan kepada wartawan Amerika dan Barat dengan idea-idea beliau yang pada zahirnya nampak liberal.
Beliau mengatur lawatan senator dan ahli kongres Amerika ke Malaysia setiap tahun dengan dibiayai oleh tabung yang ditubuhkannya. Senator dan ahli kongres itu percaya Anwar adalah seorang ahli politik yang liberal dan demokratik. Mereka sukakan Anwar.
Pada masa yang sama, beliau mengekalkan hubungan dengan ramai aktivis Islam di dunia Islam. Semua landasan yang beliau bina ini terbukti berguna kemudiannya. Perhubungan yang dijalin dan imejnya yang menyerlah telah meletakkan beliau di atas landasan yang kukuh apabila beliau dihadapkan ke mahkamah dan dihukum atas tuduhan jenayah.
Mereka percaya dengan cerita beliau yang ianya telah diperangkap bagi menghalangnya menjadi Perdana Menteri. Tidak syak lagi orang Amerika anggap beliau akan menjadi Perdana Menteri yang lebih baik daripada saya. Itulah yang diuar-uarkan oleh sebilangan akhbar dan majalah perdagangan utama mereka.
Saya kononnya kasar dan tidak pernah disukai oleh orang Amerika. Itu pun saya masih cuba memenuhi kehendak Anwar dengan menemui senator dan ahli kongres yang dijemputnya ke Malaysia dan menyertai seminar yang beliau anjurkan.
Mengapa pula saya mesti menolaknya...? Saya tidak mempertikaikan matlamat beliau mengundang mereka ke Malaysia setiap tahun atas andaian membolehkan mereka mengenali Malaysia dengan lebih baik.
Apabila tindakan diambil terhadap beliau kerana melanggar undang-undang jenayah kita, semua orang ini mengutuk saya dan menuntut pembebasan beliau. Memandangkan Anwar popular di pentas antarabangsa maka penangkapan dan perbicaraannya atas dua tuduhan jenayah menjadi masalah yang terpaksa kerajaan tangani.
Sekali lagi masalah timbul apabila Anwar mendakwa beliaulah yang berjaya menangani krisis mata wang 1997/1998.
Di dalam negara, sesetengah pemimpin UMNO yang beliau tidak suka atau yang rapat dengan saya, mengadu bahawa sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar buat hidup mereka susah. Seorang Ketua Menteri dituduh mempunyai hubungan sulit dengan seorang pelajar perempuan.
Beliau mendakwa, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan kes itu diberikan publisiti yang luas dan akhirnya, Ketua Menteri itu hilang jawatan. Pada 1993, Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohamad Hanif Omar datang menemui saya dengan bukti salah laku seksual Anwar.
Tuduhan itu terlalu serius sehingga saya fikir, mustahil ia benar dan mungkin itu adalah sebahagian daripada rancangan tak masuk akal untuk menjatuhkan beliau. Saya tidak mencadangkan agar tindakan diambil, tetapi mengikut amalan polis, mereka akan tetap meneruskan pengawasan.
Selepas itu, tidak ada lagi laporan dibuat kepada saya sehinggalah pada 1998 apabila terdapat bukti yang sangat kuat sehingga memaksa saya bertindak. Saya akan bincangkan perkara ini di dalam bab yang lain.
Sementara itu, percubaan Anwar untuk memaksa saya berundur semakin ketara. Walaupun saya tidak begitu bimbang, hubungan kami terus tegang dan saya mula ragu-ragu sama ada beliau boleh menjadi pemimpin yang baik dan seterusnya menggantikan saya.
Saya tetap meneruskan tugas seolah-olah tidak ada apa yang berlaku, sama seperti keadaan menjadi sukar dengan Tun Musa. Itulah cara saya berurusan dengan orang – saya tidak menuduh mereka apa-apa. Saya teruskan kerja.
Sewaktu Tun Musa menentang saya, saya fikir beliau merosakkan dirinya sendiri kerana beliau menjadi tidak popular dengan parti. Saya sedia menerima beliau semula dan saya tidak membantah apabila penyokongnya mahu beliau kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden parti. Itu terbukti satu strategi yang betul.
Kini dengan Anwar, saya mengambil pandangan dan pendekatan yang serupa. Anwar kekal dengan sifat mengambil hati dan bertindak seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Sementara itu, saya dengar ada beberapa orang anggota Kabinet yang pergi merata-rata tempat bercakap buruk mengenai saya. Namun apa pun yang beliau dan sekutunya lakukan serta taktik kotor yang digunakan, Anwar kekal dengan reputasinya sebagai orang warak dan terhormat.
Saya simpan di dalam hati sebarang keraguan mengenai beliau. Saya yakin jika beliau melancarkan cabaran terbuka terhadap kedudukan saya sebagai Presiden UMNO, saya boleh menewaskannya.
Rancangan saya meletak jawatan selepas Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 bagaimanapun terbantut akibat serangan terhadap ringgit Malaysia oleh peniaga mata wang antarabangsa pada 1997-1998.
Apa pun rancangan peribadi saya, ternyata saya tidak boleh berundur dalam keadaan sebegini. Saya tidak boleh bersara sewaktu negara menghadapi krisis besar. Saya berpendapat bahawa menjadi tugas saya memperbetulkan keadaan.
Ini menjadi lebih mendesak kerana Anwar, sebagai bakal pengganti saya, nampaknya tidak berupaya menangani krisis itu. Beliau telah bertindak mengikut formula IMF dan keadaan menjadi bertambah buruk. Kecuali tindakan pembetulan dibuat, negara yang bakal diwarisi oleh pengganti saya akan menderita kemelesetan ekonomi yang teruk.


Note: Kisah dihantar melalui emel kepada kami. Saya ambil keputusan untuk siar - PK


Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya

 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

- Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bah...awa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.

- Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan (HALAL).

Rujuk : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-memakan

Nafsu makan ada kaitan hormon seks


Memikirkan berat badan semakin bertambah, dari sehari ke sehari Maznah memasang keazaman untuk menurunkannya lebih-lebih lagi apabila si suami beberapa kali menyindir fizikalnya tidak seperti baharu berkahwin dahulu.
Malangnya, cubaan tersebut selalu digagalkan oleh nafsu makannya yang sentiasa meluap-luap.
Pantang nampak makanan, selera makan Maznah sentiasa terbuka. Malah dia mempunyai tabiat buruk yang sukar dibuang iaitu menjadikan makanan sebagai tempat ‘mengadu’ sama ada ketika dirundung masalah apatah lagi ketika gembira.
Dilema yang dihadapi oleh Maznah sebenarnya turut dialami oleh ramai wanita lain yang selera atau nafsu makan mereka kadang kala sukar untuk dibendung.
Namun kajian terbaharu mengandaikan bahawa suatu hari nanti nafsu makan mungkin dapat diatasi melalui rawatan hormon, mungkin memberi harapan baharu kepada golongan ini.
Para penyelidik mendapati paras hormon seks wanita, estrogen, yang rendah mungkin telah mencetus keadaan (sentiasa bernafsu untuk makan) tersebut.
Mereka kini berharap untuk membangunkan terapi berasaskan estrogen bagi merawat masalah nafsu makan ini.
Secara umumnya, nafsu makan digambarkan sebagai individu yang kerap makan dalam kuantiti yang banyak dan pada tempoh yang singkat. Ia dialami pada sekurang-kurangnya seorang dalam 10 orang atau 20 orang, dan lebih ketara berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
Penyelidikan terbaharu yang disiarkan dalam Journal of Clinical Investigation ini, yang telah dijalankan oleh Doktor Yong Xu, seorang pembantu profesor pediatrik di Baylor College of Medicine and Texas Children’s Hospital, Amerika Syarikat.
Dr. Xu berkata, data terdahulu telah menunjukkan bahawa wanita yang mengalami kitaran haid tidak teratur cenderung untuk bernafsu makan.
“Ini menunjukkan bahawa hormon seks wanita, estrogen, memainkan peranan yang signifikan dalam membangun atau menghalang tabiat tersebut.
“Data-data terdahulu juga mendapati terdapat kaitan yang kuat antara estrogen dan nafsu makan pada manusia,
“Apabila paras estrogen tinggi, nafsu makan dapat dielak tetapi apabila paras estrogen rendah, nafsu makan menjadi bertambah kerap.
“Kami juga telah membuat kajian dengan melihat apa kesan estrogen terhadap tabiat nafsu makan pada tikus betina," katanya.
Dr. Xu dan rakan-rakannya mendapati estrogen mampu membantu mengelak nafsu makan pada tikus, sebagaimana yang berlaku pada manusia.
“Kita boleh mengandaikan bahawa wanita yang bernafsu makan juga mengalami kitaran haid yang tidak teratur.
“Ini mungkin disebabkan fungsi estrogen mereka yang rosak, yang membawa kepada timbulnya masalah sentiasa bernafsu untuk makan," katanya.
Bagaimanapun, masalahnya pengambilan tambahan hormon estrogen sebagai suplemen secara tetap, akan menimbulkan masalah kerana paras hormon yang tinggi dikaitkan dengan kanser payu dara.
Hormon baharu mungkin berkesan
Para saintis di Universiti Indiana telah membangunkan kumpulan hormon apa yang dipanggil sebagai GLP-1-estrogen.
Mereka berkata, ia membantu mengawal berat badan dan tidak akan meningkatkan risiko kanser payu dara kerana tidak membawa estrogen ke tisu-tisu payu dara.
Dr. Xu dan rakan-rakannya kemudian menggunakan GLP-1-estrogen tersebut bagi menunjukkan keberkesanannya apabila ia disuntik pada tikus, tidak terdapat peningkatan aktiviti estrogen dalam kawasan serotonin otak.
Ini bermakna bahan baharu ini boleh mambawa estrogen ke kawasan serotonin di mana tabiat nafsu makan dicetuskan.
“Kami berpendapat jika kami dapat memahami di mana dan bahagian mana estrogen tersebut bertindak, mungkin akan dapat membantu kami membangunkan terapi berasaskan estrogen yang lebih spesifik dan hanya memberi faedah kepada pengurangan nafsu makan dan tidak mempunyai kesan samping, seperti kanser payu dara," katanya.