Tuesday, September 2, 2014

Nafsu makan ada kaitan hormon seks


Memikirkan berat badan semakin bertambah, dari sehari ke sehari Maznah memasang keazaman untuk menurunkannya lebih-lebih lagi apabila si suami beberapa kali menyindir fizikalnya tidak seperti baharu berkahwin dahulu.
Malangnya, cubaan tersebut selalu digagalkan oleh nafsu makannya yang sentiasa meluap-luap.
Pantang nampak makanan, selera makan Maznah sentiasa terbuka. Malah dia mempunyai tabiat buruk yang sukar dibuang iaitu menjadikan makanan sebagai tempat ‘mengadu’ sama ada ketika dirundung masalah apatah lagi ketika gembira.
Dilema yang dihadapi oleh Maznah sebenarnya turut dialami oleh ramai wanita lain yang selera atau nafsu makan mereka kadang kala sukar untuk dibendung.
Namun kajian terbaharu mengandaikan bahawa suatu hari nanti nafsu makan mungkin dapat diatasi melalui rawatan hormon, mungkin memberi harapan baharu kepada golongan ini.
Para penyelidik mendapati paras hormon seks wanita, estrogen, yang rendah mungkin telah mencetus keadaan (sentiasa bernafsu untuk makan) tersebut.
Mereka kini berharap untuk membangunkan terapi berasaskan estrogen bagi merawat masalah nafsu makan ini.
Secara umumnya, nafsu makan digambarkan sebagai individu yang kerap makan dalam kuantiti yang banyak dan pada tempoh yang singkat. Ia dialami pada sekurang-kurangnya seorang dalam 10 orang atau 20 orang, dan lebih ketara berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
Penyelidikan terbaharu yang disiarkan dalam Journal of Clinical Investigation ini, yang telah dijalankan oleh Doktor Yong Xu, seorang pembantu profesor pediatrik di Baylor College of Medicine and Texas Children’s Hospital, Amerika Syarikat.
Dr. Xu berkata, data terdahulu telah menunjukkan bahawa wanita yang mengalami kitaran haid tidak teratur cenderung untuk bernafsu makan.
“Ini menunjukkan bahawa hormon seks wanita, estrogen, memainkan peranan yang signifikan dalam membangun atau menghalang tabiat tersebut.
“Data-data terdahulu juga mendapati terdapat kaitan yang kuat antara estrogen dan nafsu makan pada manusia,
“Apabila paras estrogen tinggi, nafsu makan dapat dielak tetapi apabila paras estrogen rendah, nafsu makan menjadi bertambah kerap.
“Kami juga telah membuat kajian dengan melihat apa kesan estrogen terhadap tabiat nafsu makan pada tikus betina," katanya.
Dr. Xu dan rakan-rakannya mendapati estrogen mampu membantu mengelak nafsu makan pada tikus, sebagaimana yang berlaku pada manusia.
“Kita boleh mengandaikan bahawa wanita yang bernafsu makan juga mengalami kitaran haid yang tidak teratur.
“Ini mungkin disebabkan fungsi estrogen mereka yang rosak, yang membawa kepada timbulnya masalah sentiasa bernafsu untuk makan," katanya.
Bagaimanapun, masalahnya pengambilan tambahan hormon estrogen sebagai suplemen secara tetap, akan menimbulkan masalah kerana paras hormon yang tinggi dikaitkan dengan kanser payu dara.
Hormon baharu mungkin berkesan
Para saintis di Universiti Indiana telah membangunkan kumpulan hormon apa yang dipanggil sebagai GLP-1-estrogen.
Mereka berkata, ia membantu mengawal berat badan dan tidak akan meningkatkan risiko kanser payu dara kerana tidak membawa estrogen ke tisu-tisu payu dara.
Dr. Xu dan rakan-rakannya kemudian menggunakan GLP-1-estrogen tersebut bagi menunjukkan keberkesanannya apabila ia disuntik pada tikus, tidak terdapat peningkatan aktiviti estrogen dalam kawasan serotonin otak.
Ini bermakna bahan baharu ini boleh mambawa estrogen ke kawasan serotonin di mana tabiat nafsu makan dicetuskan.
“Kami berpendapat jika kami dapat memahami di mana dan bahagian mana estrogen tersebut bertindak, mungkin akan dapat membantu kami membangunkan terapi berasaskan estrogen yang lebih spesifik dan hanya memberi faedah kepada pengurangan nafsu makan dan tidak mempunyai kesan samping, seperti kanser payu dara," katanya.

No comments:

Post a Comment