Wednesday, September 26, 2018

Industri 4.0 ubah cara kerja, hidup Oleh Profesor Madya Dr Afandi Ahmad

PADA 2020 dengan anggaran penduduk dunia mencecah 7.6 bilion, perkembangan semasa teknologi meramalkan 50 bilion peranti elektronik akan saling berinteraksi antara satu sama lain.
Ini menunjukkan jumlah peranti yang berkomunikasi adalah melebihi jumlah manusia dengan setiap manusia memiliki kira-kira 6.58 peranti elektronik. Peranti yang saling berhubungan ini menjana data raya dan pengetahuan.
Perkara yang sangat luar biasa dan syabas kepada Gordon Moore menerusi hukumnya yang diilhamkan pada 1965.
Pengasas dan pengerusi eksekutif WEF, Klaus Schwab, menerusi bukunya The Fourth Industrial Revolution menjelaskan Industri 4.0 mengubah cara kita bekerja dan hidup. Perubahan ini dipacu tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak Industri 4.0, merangkumi simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisis data raya dan robot automasi.
Mendepani cabaran Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat, pelajar di universiti mesti keluar daripada kebiasaan. Forum Ekonomi Dunia (WEF) menggariskan pentingnya penguasaan elemen 4C iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity pada semua peringkat pengajian, termasuk di menara gading. Jika di sekolah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menjadi nadi, pelajar di universiti usahlah leka berdiam diri.
Kemahiran 4C mesti diasah setiap penjuru kehidupan, di kolej kediaman, dewan kuliah, merentasi aktiviti kesukarelawanan dan keusahawanan dan juga di padang sukan. Sebagai persiapan menghadapi cabaran Industri 4.0, pelajar di universiti perlu mempertimbangkan tindakan berikut.
Tajamkan kemahiran penyelesaian masalah kompleks
Sembilan teras Industri 4.0 boleh dirumuskan dengan satu perkataan, iaitu kompleks.
Apakah itu masalah yang kompleks? Masalah yang kompleks diukur menerusi kelebaran julat konflik yang terlibat, kedalaman analisis dan pengetahuan diperlukan, keterlibatan isu yang unik, keperluan mematuhi piawaian ditetapkan, kehendak pengguna dan pemegang taruh pelbagai, impak penyelesaian terhadap pelbagai aspek seperti ekonomi, persekitaran, sosial, politik, etika, kesihatan dan kelestarian.
Justeru, jelaslah siswa tidak lagi terikat dengan bidang pengajian dan peperiksaan semata-mata. Kebolehlenturan kognitif amat diperlukan agar masalah kompleks ditangani secara agresif dan holistik.
Kemaskan kemahiran komunikasi lisan, bertulis
Dengan IoT sebagai nadi, keupayaan berkomunikasi dengan efisyen secara lisan dan bertulis adalah kritikal. Suatu masa dahulu, mesyuarat bersemuka, tetapi hari ini diskusi kita di mana-mana.
Banyak konflik akibat komunikasi, andai aspek bahasa dan seni komunikasi tidak diteliti. Dengan salah faham, terencatlah kerja berpasukan, kepemimpinan dan proses penyelesaian masalah.
Maka, menjunamlah produktiviti organisasi, soal kualiti dan kuantiti. Selain teknologi, ketidakupayaan berkomunikasi dengan berkesan menggunakan bahasa Inggeris tidak lagi boleh dijadikan sempadan.
Dengan lebih banyak kompetensi bahasa dimiliki, pelajar akan berdiri megah di arena globalisasi.
Kukuhkan diri sebagai pemimpin dan ahli pasukan
Penyelesaian masalah kompleks merentasi disiplin secara tuntas memerlukan kerjasama berpasukan cemerlang, sebagai ketua dan ahli pasukan yang berkesan. Selain pengetahuan teknikal, karisma dan kepemimpinan berinovasi adalah resipi kejayaan kerja berpasukan.
Memimpin dan menjadi ahli pasukan yang baik memerlukan ilmu dan kemahiran. Di universiti, pelbagai peluang ditawarkan misalnya menerusi projek berkumpulan, selain kegiatan di kolej kediaman dan badan beruniform yang semuanya adalah peluang seluas lautan.
Kayakan diri dengan kepintaran emosi
Untuk Industri 4.0, bijak sahaja tidak memadai. Pekerja cemerlang bukan sahaja perlu mahir tindakannya dan penuh hikmah penuturannya, malah perlu pintar emosinya.
Kepintaran emosi adalah keupayaan mengenalpasti dan mengurus emosi diri dan pihak lain dengan tiga teraju utama iaitu kesedaran, jaringan dan kawalan emosi.
Kepintaran emosi kunci kejayaan hubungan sosial dan profesional. Bertegas tidak semestinya bermaksud seorang ketua perlu membaling fail, tidaklah juga bermaksud seorang ketua sunyi kata-kata apabila anak buah bermasalah.
Soalnya, bagaimana dalam ketegasan tetap berupaya memacu semangat kerja adalah ibadah dan memupuk rasa kepunyaan tinggi kepada organisasi? Kepintaran emosi itu pasti.
Manfaatkan semua peluang, sentiasa kreatif
Peluang pada era Industri 4.0 adalah umpama emas yang bertaburan di jalanan, hanya menunggu siapa yang datang mengutipnya. Dengan Industri 4.0 menekankan misalnya aspek pembuatan pintar maka sumber manusia yang bakal mengisinya mestilah bijak merebut peluang, kreatif dan berinovatif dalam mengemukakan cadangan dan berani ambil risiko.
Rumusannya, dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan dan demi Malaysia yang dicintai, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjadi induk kepada pelajar jelas begitu proaktif dengan pelbagai strategi ke arah menyediakan pendidikan terbaik bertaraf dunia.
Ini tidak lain agar anak-anak di universiti tidak mati langkah untuk bersilat dengan cabaran Industri 4.0. Dunia yang kompleks hanya dapat kita tawan dengan memiliki generasi masa depan yang penuh dengan ilmu dan akhlak. Demi Malaysia yang kita cintai, berusahalah agar hari ini lebih baik daripada semalam dan esok akan jauh lebih bersinar daripada hari ini.