Tuesday, August 9, 2011

PENDIDIKAN ISLAM : MATLAMAT, PENCAPAIAN,CABARAN DAN PERANCANGAN MASA DEPAN – PENGALAMAN MALAYSIA

OLEH USTAZ ZAINAL ABIDIN BIN HAJI OTHMAN,

KOLEJ ISLAM TEKNOLOGI ANTARABANGSA ( KITAB ) PULAU PINANG.




MUKADIMAH



Secara umumnya, pendidikan islam adalah segala aktiviti pendidikan yang berasas Islam bagi melahirkan insan yang beriman, berilmu dan beramal soleh. Pendidikan Islam melahirkan insan yang soleh di dunia dan di akhirat.

Pendidikan Islam itu boleh dibahagikan kepada empat jenis penggunaan iaitu pendidkan Muslim ( education of Muslim ), pendidikan untuk Muslim ( education for Muslim ), pendidkan tentang Islam ( education abaout Islam ) dan pendidikan Islam dalam kerangka, semangat dan tradisi Islam ( education in the Islamic perspective ). Pendidikan Muslim merupakan aktiviti kemasyarakatan tentang ajaran Islam yang dijalankan di surau, masjid dan tempat-tempat yang seumpama dengannya melalui program ceramah, syarahan dan kuliah-kuliah. Pendidikan untuk Muslim adalah program formal dan sepenuh masa yang dijalankan di sekolah agama, madrasah dan pondok atau sekolah orang Islam. Pendidikan tentang Islam berkaitan topik-topik dalam sukatan pelajaran dan buku teks atau program yang dijalankan di televisyen, radio dan seumpamanya melalui pengajaran, pembacaan atau ditonton dan didengar. Pendidikan Islam dalam kerangka, semangat dan tradisi Islam merujuk kepada pandangan, pendirian dan pendekatan yang jelas dan khusus tentang pendidkan. Ia meliputi falsafah, matlamat, kurikulum, pengajaran-pembelajaran dan penilaian.( Ahmad Mohamad Said, 2011 ) 

FALSAFAH DAN KONSEP PENDIDKAN ISLAM :

Pendidikan Islam ialah satu proses untuk menyediakan individu dari aspek aqal, tubuh badan, rohani dan akhlak yang mulia berasaskan al Quran dan al sunnah untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
Falsafah pendidikan Islam itu merupakan pendidikan yang meningkatkan potensi manusia secara bersepadu merangkumi kehidupan sebagai hamba Allah s.w.t dan hamba yang ditugaskan untuk memakmurkan dunia ini. Ia berkonsepkan penggabungan fahaman teras keIslaman dan penghayatan hidup semasa untuk menggunakan potensi yang ada untuk mencapai tujuan manusia dijadikan Allah s.w.t.

MATLAMAT PENDIDKAN ISLAM :

Matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan yang betaqwa dan berakhlak mulia serta dapat menggunakan potensi aqal untuk memakmurkan dunia ini dan mendapat keredhaan Allah s.w.t di akhirat ( Zainal Abidn, 2006 ).

PERKEMBANGAN INSTITUT PENDIDIKAN ISLAM :

Perkembangan institut pendidikan Islam terbahagi kepada tiga tahap iaitu Khuttab, masjid dan institut pengajian tinggi.

Kuttab ini adalah tempat pelajaran asas seperti menulis dan membaca untuk ke peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu ke masjid. Masjid bukan sahaja dijadikan tempat ibadat tetapi juga sebagai tempat pengajian. Pengajian dijalankan secara halaqah. Peringkat seterusnya ialah institusi pengajian tinggi. Ia telah berkembang di zaman kerajaan Abbasiyyah. Dua institusi yang berkembang itu ialah Institusi al Nizamiyyah dan Institusi al Mustansiriyyah. Institusi telah menawarkan kursus Ulum Diniyyah, Syariah, Usuluddin, Sains Kemanusiaan. Falsafah, Adabiyyah dan Perubatan.

PERKEMBANGAN PENDIDKAN ISLAM DI MALAYSIA:

Pendidikan Islam merupakan usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam bersumber al Quran dan As-Sunnah. Ia mempunyai peranan yang besar untuk membina individu dan masyarakat yang mulia dari kemajuan kebendaan dan kerohanian. Ia bukan membina insan untuk kehidupan di dunia sahaja tetapi juga untuk di akhirat.

Pada awal abad ke 14, dari Sumatera agama Islam disebarkan ke Semenajung Tanah Melayu. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu dibuktikan dengan penemuan batu bersurat yang bertarikh 1303 masihi di Kuala Berang, Terengganu. Tulisan yang terdapat pada batu bersurat itu adalah tulisan jawi. Manakala isi atau kandungan tulisan itu menyatakan tentang hukum-hukum Islam. Agama Islam telah dibawa masuk ke Melaka pada abad ke 14. Pengaruh agama ini disebarkan oleh pedagang-pedagang Islam dari Arab, Gujerat, Perlak dan Pasai ( 2005)

Oleh itu, pendidkan Islam telah di Malaysia dengan serentak perkembangan Islam itu sendiri. Di Malaysia, terdapat 3 peringkat pendidikan Islam iaitu pendidikan rendah, menengah dan pengajian Tinggi. Di peringkat rendah seperti pendidikan Islam dalam kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR ), Jawi, alQuran, bahasa Arab dan Fardhu Ain ( J-QAF ) dan Kelas Al Quran dan Fardhu Ain ( KAFA ). Di peringkat sekolah menengah pula terdapat Pendidikan Agama Islam dalam Kurikulum Baru Sekolah Menengah ( KBSM ), Kelas Aliran Agama dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Di peringkat pengajian Tinggi pula, terdapat beberapa universiti yang ditubuhkan di atas asas pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dan Univeristi Sains Islam Malaysia. Terdapat juga universiti yang menawarkan kursus pengajian Islam di peringkat fakulti seperti Universiti Kebangsaan dan Universiti Malaya. Selain itu terdapat universiti menjadi pengajian Islam sebagai mata pelajaran wajib bagi kursus yang bukan berorientasikan Islam. Namun, pengajian Islam masih menjadi sebagai ilmu pengetahuan dan bukan sebagai penghayatan seorang Islam ( Nasrudin Yunos, Roziah Sidak, Zulkarnain Mohamad, 2007 )

Disampingan itu, sumbangan pondok-pondok yang masih wujud dan institusi pendidikan yang didirikan oleh badan bukan kerajaan dan swasta tidak dapat dinafikan memainkan peranan yang besar dalam pendidkan Islam. Hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai Kolej Univeristi dan Kolej Islam tersendiri seperti Kolej Universiti Insaniah di kedah dan Kolej Islam Teknologi Antarabansga Pulau Pinang.

Selain itu, sumbangan media massa seprti televisyen dan teknologi seperti internet telah memberikan sumbangan yang benar dalam perkembangan pendidikan Islam melalui teknologi maklumat. Perlbagai aplikasi baru dalam teknologi telah dihasil seperti CD dan perpustakaan maya.

OKJEKTIF PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

Kursus-kursus yang ditawarkan dalam pendidkan Islam disediakan untuk melahirkan warganegara khususnya pelajar Islam yang faham tasawur Islam sebagai satu cara hidup yang bersepadu dan seimbang serta berupaya menghadapi pelbagai masalah dan cabaran.

PENCAPAIAN PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

Setelah tamat mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan dalam pendidikan Islam, pelajar akan dapat menyatakan tasawwur Islam dengan tepat, menerangkan Islam sebagai sebuah peradaban dan tamadun yang menyumbang kepada pembangunan ummah.menjelaskan keupayaan Islam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya.

Selain daripada itu, pelajar dapat mengaplikasi pendidikan Islam yang dipelajari dalam kehidupan. Dengan perkembangan institusi-institusi Islam seperti Bank Islam, Takaful, Pajak Gadai, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Mufti. Pusat Urusan Zakat dan Television Islam, maka hasil pendidkan Islam Malaysia bukan sahaja untuk pembanguan insan semata-mata tetapi juga mempunyai nilai pasaran ( market value ) untuk kepentingan institusi Islam.

CABARAN PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA :

1. Globalisasi :

Diantara cabaran yang dihadapi pendidikan Islam di Malaysia ialah globalisai pendidikan . Menurut Dr. Taha jabir Al-Alwani, globalisasi ialah usaha pihak yang mempunyai kuasa dan pengaruh (global power) untuk mewujudkan centralization iaitu memaksa agenda ekonomi, politik dan sosial mereka kepada pihak yang lemah. Superpower tersebut akan memimpin dan memandu negara-negara lain dalam acuan yang telah disediakan dengan meletakkan mereka sebagai pusat dan pihak lain sebagai pinggiran. Pengaruhi amat berkesan untuk menghalang kejayaaan pendidikan Islam.

2. Sains, teknologi dan ICT :

Sains, teknologi dan ICT bukan boleh dipisahkan secara mutlak daripada falsafah, teori dan aplikasi ilmu Islam kerana Islam membekalkan sumber asas pelbagai yang komprehensif dan boleh dikembangkan mengikut kepelbagaian displin( Nasrudin Yunos, Roziah Sidak, Zulkarnain Mohamad, 2007 ).

Namun perkembangan sains, teknologi dan ICT boleh disalahgunakan untuk merosakkan manusia, makhluk Allah, alam sekitar dan akhlak. Pendidikan Islam menanamkan pembangunan Insan yang kukuh untuk cabaran dalam menghadapi kemajuan.

3. Kemerosotan Budaya Ilmu :

Dengan pelbagai pengaruh ini menyebabkan dorongan untuk belajar semakin berkurangan. Tambahan pula, setengah pendidikan Islam itu tidak dapat diaplikasikan dalam kehidupan walaupun pada teorinya pendidikan Islam dapat digunakan dalam pelbagai situasi. Timbul dalam jiwa generai baru kurang berminat untuk mempelajari ppendidikan Islam.

4. Pengaruh Lingkungan :

Sekiranya suasana masyarakat yang terdidik dengan lingkungan pendidikan Islam akan mendorong generasi itu mencintai ilmu Islam tetapi sekiranya masyarakat tidak terdidikan dengan suasana mencintai ilmu Islam maka mereka akan mendorong displin ilmu yang lain. Tambahan pula sekiranya pendidikan Islam tidak melahirkan graduan mempunyai nilai pasaran kerja.

Disamping pendidikan Islam hendaklah kehadapan dalam menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan semasa dalam pembinaan insan dan nilai pasaran dalam pekerjaan di dalam dan luar negara. Sedangkan cabarannya adalah besar dengan perkembangan maklumat tanpa sempadan yang berkembang pesat.

PERANCANGAN MASA DEPAN :

1. Pengajian Serantau :

Program pendidikan Islam akan dijalankan di masa hadapan bukan lagi tertumpu di Malaysia sahaja tetapi di luar negara Malaysia tetapi menjalankan pendidikan Islam seperti mana di Malaysia. Mahasiswa akan dapat menikmati program tersebut di mana-mana rantau ini.

Pendidikan Islam di Malaysia akan berkembang ke negara serantau sama ada program ataupun penyelidikan dalam menghasilkan idea-idea baru dalam kehidupan harian. Di samping melahirkan mempunyai daya tahan yang mantap menghadapi cabaran semasa.

2. Pendidikan Islam Maya :

Selain pendidikan Islam dengan menghadirkan diri dalam kuliah, mahasiswa akan dapat mengikuti kuliah secara maya tanpa perlu menghadirkan diri dalam kuliah. Pendidikan Islam akan dapat tersebar dengan lebih luas dengan kos yang rendah dan mampu untuk semua peringkat mahasiswa.

3. Universiti Terbuka :

Gabungan daripada beberapa universiti di rantau ini menjalankan kursus secara bersama dengan perkongsian kepakaran dalam bidang masing-masing. Melalui jalinan MOU yang dibuat dengan universiti yang ada akan melahirkan hasrat murni ini.

KESIMPULAN :

Pendidikan Islam merupakan sumber yang amat penting melahirkan generasi yang berilmu dan berwawasan. Gabungan semua pihak sama ada keluarga, masyarakat, institusi dan kerajaan hendaklah digembelingkan bagi matlamat yang murni untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam menghadapi cabaran semasa.


• Kertas kerja ini telah dibentangkan di seminar pendidkan Islam seAsean di Prince of Songkhla University, Pattani, Thailand pada 6 Julai, 2011.



RUJUKAN :



1. Ahmad Mohamad Said, Kertas kerja seminar pendidkan umat-sorotan pendidkan Ii Islam di Malaysia pada 25 Jun, 2011 di Universiti Sains Malaysia.

2. Nasrudin Yunos, Roziah Sidak, Zulkarnain Mohamad, Pengajian Islam, Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd, 2007 : Pertama.

3. Zainal Abidin bin Haji Othman, Nota Islam; Konsep, tamadun, institusi dan cabarannya.

4. Malaysia Kita, Petaling Jaya : International Law Book Service, 2005: Cetakan keenam.

No comments:

Post a Comment