Thursday, April 2, 2015

Hukum Berzikir Dan Berdoa Secara Israr Atau Jahr

Hukum Berzikir Dan Berdoa Secara Israr Atau Jahr
Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bilangan 2 / 2012 yang telah bersidang pada bulanMac 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Berzikir & Berdoa Secara Israr atau Jahr. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut: Bagi orang yang sembahyang seorang diri dan makmum adalah lebih baik berdoa dengan suara yang perlahan sekadar hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri.
...
Manakala dalam sembahyang berjamaah pula adalah sunat bagi imam membaca doa dengan suara yang boleh didengari oleh jamaahnya jika ia bertujuan untuk mengajar mereka (jemaah), atau untuk mereka bersama-sama mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam dengan syarat janganlah sampai mengganggu para jamaah lain yang sedang melaksanakan sembahyang, beriktikaf dan sebagainya.
Ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al Malibari Rahimahullah bahawa Imam Ibnu Hajar Rahimahullah berkata :
"Adapun berlebih-lebihan pada mengangkat suara di dalam masjid ketika membaca zikir dan doa sekiranya mengganggu orang yang sedang mengerjakan sembahyang, maka sayugia dihukumkan haram". (Hasyiah I’anatu Al Tolibin, Jilid 1, Hlmn. 186)
Berkata Al Imam Al Syafie di dalam Al Umm :
‘’Saya memilih bagi imam dan makmum hendaklah berzikir ke hadrat Allah setelah memberi salam, mereka melakukannya secara perlahan kecuali Imam yang bermaksud supaya dapat diikuti, maka boleh dengan suara yang keras dan setelah mengetahui bahawa makmum telah dapat mengikutinya, maka kembali berzikir dengan suara yang perlahan’’ (Hasyiah I’anatu Al Tolibin, Jilid 1, Halaman 185)

No comments:

Post a Comment