Tuesday, June 20, 2017

Ringkasan daripada teks asal : UNTUK SIAPAKAH ZAKAT DAN SEDEQAH ANDA DIBERIKAN?

UNTUK SIAPAKAH ZAKAT DAN SEDEQAH ANDA DIBERIKAN?
( Ringkasan daripada teks asal )

Kepada siapakah anda harus memberikan zakat dan sedeqah?...

Allah swt. berfirman: "Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki (menurut aturan-aturanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. (Al-Baqarah: 269)

Firman ini datang berhubung dengan ayat-ayat yang mengarahkan supaya berbelanja (berinfaq) yang disebut di dalam surah Al-Baqarah. Sesungguhnya telah mendahului ayat tersebut oleh beberapa ayat lain.

 Antaranya ialah sebagaimana firman Allah swt: "Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik." (Al-Baqarah: 267)

Hakikatnya terdapat banyak gambaran yang telah disebut oleh fuqaha' silam yang kiranya dilaksanakan masa kini memberi manfaat yang amat banyak.

Natijah daripada banyak pertimbangan syariah, maka saya merasakan bahawa pada zaman kini tidak ada satu perkara pun yang dapat menandingi tindakan memberikan zakat kepada lima pihak berikut, di samping mengambil kira institusi zakat yang lain, fatwa dan juga taqwa.

 Lima pihak tersebut ialah:
1. Gerakan jihad Islami.
2. Gerakan dakwah dan pendakwah ke jalan Allah.
3. Melahirkan ulama'-ulama'.
4. Melahirkan pakar-pakar yang mempunyai pengkhususan dalam bidang ilmu yang diperlukan oleh umat Islam.
5. Jemaah-jemaah Islam yang bekerja untuk menegakkan Islam.

Bilamana wujud jemaah Islam yang syumul dan mampu melaksanakan hal ehwal ini, serta cukup pula syarat syarat yang diyakini iaitu mempunyai anggota yang dipercayai dan jemaah itu bekerja mengikut atau berpandukan fatwa yang kukuh, maka memberikan zakat kepada pihak yang sebegini adalah lebih utama. Keadaannya sama dengan usaha golongan yang berusaha mendekatkan diri kepada Allah.





Pandangan Imam Syafei:

Diberikan habuan di bawah peruntukan fi sabilillah kepada orang yang berperang dari tetangga (ahli / asnaf) zakat sama ada ia miskin ataupun kaya. Tidak boleh diberikan kepada orang yang selain dari mereka kecuali ia perlu untuk mempertahankan diri. Diberikan kepada orang yang mempertahankan diri dari golongan musyrikin.

Bekas mufti Mesir, Al-Syaikh Hasanain Makhluf pernah ditanya tentang keharusan membayar zakat kepada sebahagian pertubuhan kebajikan Islam. Beliau menfatwakan bahawa harus berbuat demikian dengan 18 bersandarkan hujah yang dinukilkan oleh Al-Razi daripada Al-Qaffal dan ulama' yang lain mengenai makna 'fi sabilillah'.

Pandangan Syed Qutb Rahimahu Allah mengenai 'fi sabilillah':

Ia merupakan perbincangan yang luas merangkumi segala bentuk kepentingan (maslahah) jemaah untuk menegakkan agama Allah. Yang paling utama sekali ialah menyediakan persiapan jihad, menguruskan para sukarelawan dan melatih mereka, menghantar pendakwah untuk menyeru kepada Islam bagi menjelas 19 hukum-hukum syariat kepada seluruh manusia, menubuhkan sekolah-sekolah dan universiti-universiti bagi mendidik pemuda-pemuda dengan tarbiyyah Islam yang sebenar. Jadi tidaklah lagi kita perlu menghantar mereka ke sekolah-sekolah kerajaan yang mengajar mereka semua bentuk ilmu kecuali Islam. Kita juga tidak perlu lagi mengharapkan sekolah-sekolah Kristian yang mempengaruhi cara hidup mereka sedangkan mereka tidak mampu untuk menghalangnya.

Pada pendapat saya:

Hendaklah disempitkan fatwa terhadap kerajaan, justeru tidak boleh difatwakan pembayaran zakat hanya khusus kepada amil semata-mata serta asnaf yang lain.  Sebaliknya, fatwa hendaklah diluaskan bidangnya dengan mengharuskan membayar zakat kepada jemaahjemaah Islam yang bekerja memberi perkhidmatan yang tidak dibuat oleh orang lain. Jadi pekerja-pekerja jemaah ini hendaklah diberi saguhati dari hasil zakat walaupun mereka sudah kaya. Ini adalah sebagai bayaran terhadap perkhidmatan yang mereka berikan kepada kaum muslimin. Bila kita tidak mengatakannya begini, banyaklah fardhu ain dan fardhu kifayah yang tertinggal begitu sahaja. Dalam hal ini, sesetengah ulama' mengharuskan membayar zakat hingga dapat menampung keperluan seumur hidup dalam keadaan kita menyangka bahawa orang-orang yang bekerja untuk Islam itu tidak boleh langsung mengambil gaji bagi kerja Islami yang mereka lakukan bila ia sudah mempunyai pendapatan yang dapat menampung keperluan hidup. Walau bagaimanapun, kami membuat seruan kepada setiap muslim yang wajib berzakat supaya meminta fatwa daripada orang-orang yang berilmu, arif dan berkelayakan masa kini, sebelum ia membuat keputusan akhir untuk membayar zakat. Ini ialah supaya ia benarbenar jelas mengenai perkara ini.


Akhirnya saya mengharapkan agar dengan risalah ini saudara-saudaraku kaum muslimin akan terbuka pintu hati untuk melakukan perkara yang sewajarnya. Wa Allahu aklam

No comments:

Post a Comment