Tuesday, March 17, 2020

FATWA KEDUA PULUH DUA SAHAM WAKAF DAN WAKAF GANTIAN

Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Berhubung Dengan Isu-isu Muamalat 

FATWA KEDUA PULUH DUA SAHAM WAKAF DAN WAKAF GANTIAN 

KEPUTUSAN 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 pada 13 hingga 14 April 1982 di Kuala Lumpur telah membincangkan hukum berkaitan Saham Wakaf Dan Wakaf Gantian (Wakaf Ibdal). Muzakarah memutuskan bahawa: 

1. Mengadakan saham wakaf yang musytarik dengan syarikat-syarikat perniagaan melalui belian saham, kemudian diwakafkan dengan tujuan memajukan harta wakaf, adalah diharuskan mengikut syaratsyarat wakaf. 

2. Wakaf Gantian (wakaf ibdal) yang bermaksud menukar harta wakaf dengan harta yang lain melalui jualan atau belian atau sebagainya dengan tujuan mengekalkan harta wakaf, adalah diharuskan mengikut pendapat Imam Abu Hanifah. 

LATAR BELAKANG 

Sebagaimana yang telah termaktub dalam Persidangan Ketua-Ketua Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia Kali Ke-18 pada 21 April 1981 di Kota Kinabalu, Sabah, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor telah diminta supaya menyediakan kertas kerja berkaitan dengan Saham Wakaf dan Wakaf Gantian (wakaf ibdal) untuk dibahaskan dalam perjumpaan Majlis Mufti seluruh Malaysia. 

Saham Wakaf merangkumi dua pengertian iaitu, 

a) mewujudkan suatu wakaf musytarik melalui saham-saham dengan syarat-syarat wakaf. 
b) ia merujuk kepada usaha mewakafkan saham-saham syarikat perniagaan melalui belian dan kemudian diwakafkan atau pewakafan saham-saham yang telah sedia ada. 

Manakala Wakaf Gantian boleh dirujuk kepada gabungan tiga istilah yang saling berkaitan iaitu istibdal ( ), abdal ( ) dan badal ( ) atau tabadul ( ). Istibdal ertinya menjual harta wakaf dengan wang. Abdal pula merujuk kepada belian harta wakaf dengan mata wang, dan badal atau tabadul bermaksud menukar harta wakaf dengan harta lain. Ketiga-tiga istilah ini disatukan dan disebut sebagai istibdal iaitu menukar atau menggantikan harta wakaf dengan harta yang lain melalui jualan atau belian atau sebagainya dengan tujuan mengekalkan harta wakaf. 

HUJAH DAN DALIL 

Ulama berselisih pendapat dalam membolehkan istibdal terhadap harta wakaf. Imam Malik menegah amalan istibdal kecuali kerana darurat dan hajat seperti membesarkan masjid atau tanah perkuburan. Adapun berkaitan wakaf yang boleh alih, imam Malik mengharuskan Istibdal kerana perbuatan itu akan dapat mengekalkan wakaf. Imam Syafie pula tidak mengharuskan sama sekali istibdal sekalipun masjid yang diwakafkan telah roboh dan tidak boleh digunakan.98 Segala alat-alatan hanya dibenarkan sebagai hibah kepada masjid yang lain sahaja. Manakala Imam Abu Hanifah, amalan istibdal diberi keluasan jika istibdal itu lebih memberi faedah yang mendatangkan hasil yang lumayan. Imam Abu Hanifah berpendapat sesuatu harta wakaf itu boleh dijual apabila keadaan memerlukan.99 

Selaras dengan perubahan zaman di mana pembangunan sedang berjalan dengan pesat, maka sudah sampai masa segala amalan wakaf dan urusan-urusan tentangnya diubahsuai dengan tidak terikat kepada Mazhab Syafie sahaja. Kaedah-kaedah pengurusan wakaf perlulah didasarkan kepada Mazhab Hanafi atau mana-mana mazhab yang lebih sesuai dengan keadaan dan masa. Namun demikian, amalan tersebut hendaklah dibuat dengan berhati-hati supaya tidak dipergunakan sewenang-wenangnya. Bagi mengimarahkan mana-mana tanah wakaf yang terbiar, maka diutamakan ia diurus melalui Saham Wakaf. Sekiranya tidak dapat diimarahkan dengan saham wakaf kerana sebab-sebab tertentu, maka amalan melalui istibdal bolehlah dilaksanakan dengan syarat-syarat tertentu dan pentadbiran yang sempurna. 98 Al-Zarkashi, ‘ilam al-sajid bi ahkam al-masajid. hlm.345. 99 Al-Zuhaily, Wahbah, al-Wasaya wa al-waqf fi al-fiqh al-Islami, hlm.133&135. 85 

No comments:

Post a Comment