Saturday, August 7, 2021

PhD bukan Mudah

 Kadang-kadang saya bertemu dengan kawan yang menyatakan minat untuk sambung pengajian PhD. Biasanya orang akan galakkan ambil pengajian PhD. Tetapi saya akan katakan kepadanya, Jangan ambil PhD!


Pengajian PhD bukan semudah disangka. Ia satu perjalanan seorang diri mencari satu penyelesaian bagi benda yang tidak pasti. Jika tidak boleh berdikari dalam penyelidikan maka PhD bukan untuk anda.


Penyelia hanya sebagai pemudah cara. Ada penyelia yang membantu dari hingga A hingga Z. Ada penyelia yang hanya membantu dengan sekuntum senyuman. Jika mengharapkan penyelia maka PhD bukan untuk anda.


Pengajian PhD melibatkan pengorbanan yang banyak. Pengurusan rumah tangga seperti masa untuk pasangan dan anak bertembung dengan masa berfikir, menulis dan blur. Jika tidak bijak mengurus rumah tangga maka PhD bukan untuk anda.


Pengajian PhD bukan kunci untuk dapat kerja. Ramai graduan PhD tiada kerja. Hendak masuk industri dikatakan 'over qualified'. Hendak masuk universiti syarat amat sukar. Jika mengharap dengan PhD untuk dapat kerja maka PhD bukan untuk anda.


Pengajian PhD adalah satu tahap dalam pendidikan terhadap satu kajian khusus dan spesifik. PhD bukan menyebabkan kita menjadi mahaguru dalam semua topik. Jika mengharapkan PhD untuk menjadi cerdik pandai dalam semua perkara maka PhD bukan untuk anda.


Pengajian PhD cukup sukar. Bayangkan selama 4-5 tahun hidup dalam dunia sendiri. Jangan percaya dengan orang kata PhD adalah mudah. PhD hanya berasa mudah setelah siap PhD. Jika anggap PhD adalah mudah maka PhD bukan untuk anda.


Selepas saya jelaskan perkara-perkara di atas kepada kawan saya. Saya melihat kawan saya masih berminat untuk mengambil pengajian PhD. Saya boleh rasakan semangatnya yang membara. Barulah saya katakan kepadanya seperti berikut: 


"Nampaknya hang bersungguh hendak ambil PhD. Hang cari tajuk yang mudah. PhD bukan nak dapat Hadiah Noble. PhD hanya sekeping sijil. Pastikan habis PhD. Jangan sangkut tengah jalan. Moga Allah permudahkan segala urusan"


Kesimpulannya, pengajian PhD bukan untuk semua orang. Tetapi jika pengajian PhD adalah satu impian dan sudah memahami implikasi pengajian PhD. Maka terus melangkah ke depan. Allah bersama kamu!


Dr. Abdél Rahmanov

28 Mei 2021

No comments:

Post a Comment