Wednesday, July 20, 2022

Meluruskan Kefahaman Antara Adat Melayu dan Amalan Islam dalam urusan kematian

 MELURUSKAN KEFAHAMAN ANTARA ADAT MELAYU DAN AMALAN ISLAM DALAM URUSAN KEMATIAN


📌 (Berdasarkan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah)


1️⃣ Bila mendapat berita kematian


• Alhamdulillah ramai sekarang yang mengucap kalimah istirja' (Innalillahi wainna ilaihi roji'un) & baca Al-Fatihah yang diniatkan pahalanya buat si mati.


2️⃣ Bacaan ketika usung jenazah


• Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Azkar menyebutkan, "Ketika seseorang itu mengiringi jenazah hendaklah sentiasa ingat kepada Allah dengan berzikir, ingat akan apa yang akan ditemui oleh si mati di dalam kubur & ke mana kesudahannya.


• Maka jika ada yang membacakan Al-Fatihah, ia adalah bahagian zikir bahkan afdhol kerana ia adalah ayat Al-Quran.


• Takkan baca Al-Quran untuk si mati pun boleh dikira melambatkan pengembumian? Itu kan manfaat kebaikan buat si mati. Hal menunggu waris sampai selagi mana tidak terlalu lama pun dibolehkan, inikan pula nak baca Al-Quran.


• Dan menunggu jemaah yang ramai hadir untuk mensolatkan jenazah pun diharuskan (dibolehkan) bahkan sunnah sebagai syafaat untuk si mati (Riwayat Muslim - 947).


3️⃣ Kebumikan jenazah di tempat lain, bukan di tempat jenazah meninggal


• Sunat hukumnya kebumikan jenazah di tempat dia meninggal (Kitab al-Awsat fi al-Sunan, al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 5 : 464).


• Harus hukumnya kebumikan jenazah di tempat lain selagi mana tidak terlalu lama.


• Makruh hukumnya jika melambatkan pengembumian disebabkan jarak yang jauh sehingga mendedahkan jenazah kepada perkara yang mungkin mencemarkan kehormatannya. Contohnya mengakibatkan perubahan bau dan keadaan jenazah.


• Imam Syafi'i juga menghukumkan sunat jika memindahkan jenazah di tempat lain (bukan tempat meninggalnya) sekiranya tempat itu mulia seperti Mekah dan seumpamanya (Kitab Fath al-Bari 4 : 117).


4️⃣ Jirusan air pada kubur


• Jug tidak perlu diikat dengan kain putih. Cuma alasan diikat jug dengan kain putih untuk membezakan air jirusan untuk kubur dengan air minuman agar orang yang hadir tidak minum, apalah salahnya. Pun begitu, tak semestinya diikat dengan kain putih. Nak tanda guna marker pun boleh. 🙂


• Jirusan air bukan untuk sejukkan mayat, tapi untuk memendapkan tanah serta membasahkan kepada batang pohon kecil yang akan bertasbih & meringankan azab kepada si mati (Kitab Tuhfatul Muhtaj : 3/197).


• Namun adalah baik juga jika sambil menjirus itu mendoakan juga buat si mati dengan doa yang diajarkan Nabi SAW dalam hadith;


 اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ


*Nota : Kalau jenazah perempuan tukar kepada 'Ha'

Contoh : Allahummaghfirlaha, Warhamha, Wa 'afiha, Wa'fu 'anha.....


Ertinya : "Ya Allah, ampunilah ia, kasihilah ia, berilah ia kekuatan, maafkanlah ia. Dan tempatkanlah pada tempat yang mulia (syurga), luaskan kuburannya, mandikan ia dengan air salju dan air sejuk. Bersihkan ia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju putih dari kotoran. Berilah ganti rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia). Berilah ganti keluarga (atau isteri di syurga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia), isteri (atau suami) yang lebih baik daripada isterinya (atau suaminya), dan masukkan ia ke syurga, jagalah ia dari seksa kubur dan neraka.” (Kitab Sahih Muslim : 3/59)


5️⃣ Membuat binaan, kepok dan ada nama atas kubur


• Isu binaan atas kubur ini terdapat khilaf dikalangan ulama' dan panjang perbahasannya.


• Makruh binaan di tanah perkuburan milik peribadi kecuali kubur para nabi, para sahabat, wali, ulama' dan seumpama mereka untuk tujuan menggalakkan orang menziarahi.


• Haram membina binaan di atas kubur di tanah perkuburan musabbalah atau wakaf kecuali kubur para nabi, para sahabat, wali, ulama' dan seumpama mereka.


• Melainkan jika binaan itu dibuat semata-mata bertujuan untuk melindunginya daripada digali binatang buas atau memelihara supaya tanah di atasnya tidak melimpah keluar ke tempat lain seperti kepok, maka tidaklah diharamkan dan harus membina di atasnya sekadar yang diperlukan sahaja.


• Perbuatan menulis nama si mati sama ada pada kepingan batu atau pada batu nisannya lalu dipacakkan di bahagian kepala adalah makruh. Tapi jika ia bertujuan supaya dikenali dan memudahkan orang menziarahi kuburnya, maka hukumnya adalah sunat sekadar untuk keperluan.


• Hikmah disebalik meletakkan tanda atau batu nisan adalah supaya diketahui waris dan tidak ada orang lain dikebumikan di tempat sama. (Kitab Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il)


6️⃣ Upah kepada jemaah solat jenazah, bacaan Al-Quran, penggali kubur dan khairat kematian


• Menyifatkan upah adalah tidak benar. Sebetulnya ia hanyalah saguhati/hadiah/sedekah yang waris boleh niatkan pahala pemberian tersebut atas nama si mati.


• Dan tidaklah menjadi kemestian dan berdosa jika tidak dilakukan.


• Sunat baca ayat Al-Quran atas kubur. (Kitab Syarh al-Muhazzab)


• Jika tidak tahu atau ada halangan maka boleh juga dibacakan Al-Fatihah, 3 Qul, Ayatul Kursi, berdoa, istighfar (Kitab at-Tazkirah Lil Qurthubi 1/84)


• Bahkan ada ulama' berpendapat afdhal mengkhatamkan Al-Quran. (Mura'ah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masobih : 5/466)


• Tidak menjadi kesalahan memberi saguhati (bukan upah) kepada pembaca Al-Quran seperti pelajar tahfiz. Bahkan jika pelajar tahfiz menepati ciri-ciri fisabilillah, maka mereka boleh menerima zakat.


• Belum pernah berlaku pelajar tahfiz tak mahu hadir baca Al-Quran jika tidak diberikan saguhati. Cuma untuk keduniaan yang sementara kita sanggup laburkan, takkan sebagai pahala si mati untuk akhirat yang kekal abadi kita tak sanggup laburkan. Waris harus fikirkan dan jangan berkira-kira.


• Tidak menjadikan kubur sebagai masjid. Tapi hari ini ramai menjadikan masjid sepi seperti kubur dengan tidak diimarahkan.


• Tidak menjadi kesalahan jika kubur hampir dengan masjid. Contoh kubur Nabi SAW dan kebanyakkan masjid di Malaysia pun begitu.


• Kubur terletak di bahagian depan masjid bukan bermakna menyembah kubur. Ini salah faham yang teruk. Kubur Nabi juga terletak di bahagian depan Masjid Nabawi, apakah dikira umat Islam menyembah Nabi? Pastinya tidak!


• Imam Nawawi letakkan pengurusan jenazah adalah perkara pertama yang wajib dilakukan oleh waris. (Minhaj at-Tholibin)


• Dan di Malaysia biasanya kaedah yang digunakan adalah caruman khairat kematian berkonsepkan takaful (saling bantu membantu) untuk pengurusan jenazah dan ia dibolehkan.


• Kos memandikan, mengkafankan, perkuburan kebiasaannya telah termasuk dalam kos khairat kematian yang si mati sendiri menjadi pencarum sebagai persediaan kematian yang pasti berlaku.


• Jika si mati miskin, waris yang berkemampuan boleh menanggungnya atau Baitul Mal.


• Realiti hari ini semua perkara melibatkan pengurusan jenazah perlukan kos tersendiri dan tidak semua percuma.


7️⃣ Majlis bacaan Yaasin, zikir tahlil, doa dan jamuan pada tempoh tertentu


• Baginda SAW bersabda : Bacalah Surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu (Riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban).


• Ramai juga ulama menyebut di dalam kitab mereka mengenai kewajaran membaca Surah Yasin di sisi si mati. Mereka termasuklah al-Imam al-Nawawi, al-Khatib al-Syarbini, Wahbah al-Zuhayli, Sayyid Sabiq dan Syeikh Daud al-Fathoni.


• Membaca Al-Quran dengan diniatkan sebagai pahala untuk si mati dan pahalanya sampai kepada si mati seperti ijtihad para ulama'.


• Dalam majlis tersebut bukan sahaja baca Yasin, malah ada zikir tahlil, mendoakan buat si mati dan menjamu orang ramai makan dengan niat sebagai pahala kebaikan buat si mati.


• Waris yang terdiri daripada anak-anak si mati yang mendoakan buat si mati mendapat pahala sunat kerana anak mendoakan si mati, melakukan amal soleh dan menggunakan ilmu yang bermanfaat yang telah diajarkan oleh si mati. Ia sabit dengan hadis sahih riwayat Muslim.


• Tidak perlu terikat dengan masa tertentu. Nak buat hari-hari pun tiada masalah jika mampu.


• Anjuran memberi makan kepada orang ramai itu sunnah Nabi SAW.


• Dan tidak menjadi masalah pun jika waris tak mahu buat kenduri jika takut miskin jika buat kenduri. 


8️⃣ Talqin, upah Imam dan soalan bocor


• Hukum talqin sunat menurut pendapat ulama' Mazhab Syafi'e. Juga disebutkan nama si fulan/fulanah. (Kitab al-Majmu' : 5/303 - 304 & Kitab al-Iqna' : 1/210)


• Mazhab Hanbali juga mengatakan sunat. Juga dihukum harus (dibolehkan) menurut mazhab yang lain.


• Talqin untuk si mati dan juga pengajaran buat waris yang hidup.


• Si mati boleh mendengar ucapan kita. Cuma kita tidak mendengarkan suara mereka. Ini sabit dengan hadis Nabi (Riwayat Muslim).

• Cuma talqin kita lebih kepada doa, bukan mengajar si mati.


• Sebab itu kita diajarkan oleh Nabi SAW untuk memberi salam dan mendoakan orang mati di kubur. Mereka mendengar doa kita.


• Bukan upah, tapi saguhati kepada Imam. Kalau tak nak bagi, tidak jadi masalah. Tapi ingat, Imam datang naik kenderaan, dia bagi masa. Atau berkira sangat, waris baca je la sendiri. Mudah juga kerja Imam. 🙂


• Talqin memang boleh disifatkan jawapan bocor sebab si mati pun pernah mendengar saat dia hidup di dunia dan samada boleh jawab soalan munkar nakir atau tidak bergantung kepada amal. Tukang talqin berkali-kali baca sampai menjadi lancar pun belum tentu lancar menjawab soalan kubur.


Catatan :

Ustaz Mohd Amirul Aqif Ismail

Ilmuwan ISLAMI Putrajaya

No comments:

Post a Comment