Wednesday, February 10, 2010

ULANG TAHUN PERTAMA KEMBALI KE RAHMATULLAH BAPAKU : ALAHYARHAM HAJI OTHMAN BIN HAJI KETENI

Pada pagi 11 Februari, 2009, lebih kurang 11.00 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada adik perempuanku di kampung Sungai Pulai, Parit Jawa, Muar, Johor. Panggilan itu terputus tetapi aku dapati daripada dalam telefon itu bunyi riuh rendah macam ada sesuatu yang cemas. Aku cuba hubungi telefon rumah bapaku di kampong. Diangkat oleh adik perempuanku. Dia tidak bercakap apa-apa kecuali mengatakan bahawa abah dah tak ada.

Aku terus berjumpa pemangku Rektor beritahu kematian bapaku dan minta izin untuk balik serta merta. Dalam perjalanan, aku hubungi isteriku untuk dia hubungi sekolah anak-anakku untuk dibawa balik ke Johor.

Aku pergi ambil anakku di SK Kongsi, isteriku di rumah Taman Pondok Upeh dan anakku di Yayasan Khairiah, Baling.

Aku bertolak dari Pulau Pinang lebih kurang 2.45 petang dengan kelajuan antara 160 - 180 km/j aku dapat sampai di masjid Sungai Pulai tepat azan waktu maghrib.

Lepas solat maghrib, aku solatkan jenazah bapaku dan hantar ke kubur. Malam itu, jenazah bapaku dikebumikan. Aku dan adik-adik lelaki berserta orang kampong mengkebumikan jenazah bapaku. Aku yang baca Talqin dengan berdiri atas permintaan bapa saudaraku.

Lepas kebumi jenazah bapaku, aku balik ke rumah berjumpa dengan ibuku kerana dia tidak datang ke kubur kerana dia tidak boleh berjalan. Malam itu juga ada kenduri bacaan Yasin dan Tahlil. Aku minta izin daripada Imam kampung untuk mengetuai majlis tersebut.

Hari ini genaplah setahun bapaku pergi meninggalkan aku. Tiada yang dapat ku berikan dengan kebahagian di dunia ini kepada bapaku kecuali aku pohom kepada Allah agar bapaku di tempatkan dalam syurgaNya. Amin.

Satu perkara yang tidak dapat kulupa bersama bapaku ialah bapaku pernah pergi jual kerang di Parit Sulong tetapi tiada seorangpun yang membelinya.

Ya, Allah! Ku pohon agar kau cucuri rahmat ke atas roh bapaku, lepaskan azab dalam kubur dan tempatkan di kalangan orang yang beriman di dalam syurgaMu, Ya! Allah. Amin

1 comment: