Sunday, February 23, 2014

Peningkatan muflis & pinjaman peribadi, manifestasi kesempitan hidup rakyat Malaysia

Peningkatan muflis & pinjaman peribadi, manifestasi kesempitan hidup rakyatPosted on Sunday, February 23 @ 14:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo


Berita 1. Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia terkini menunjukkan bahawa semenjak bulan Januari hingga September 2013, seramai 16,306 orang telah diisytiharkan muflis atau purata 1,812 orang setiap bulan.

Pada tempoh yang sama juga, sebanyak 27,432 petisyen kebankrapan telah difailkan di mahkamah. Statistik selebihnya, iaitu untuk Oktober hingga Disember 2013 bakal dikeluarkan pihak Jabatan sekitar bulan Mac 2014 nanti.

2. Pada tahun 2012, sejumlah 19,575 orang telah diisytiharkan muflis atau purata sebanyak 1,631 orang telah muflis setiap bulan sepanjang 2012. Jelas, kadar purata bilangan muflis bulanan pada Januari hingga September 2013 sebanyak 1,812 adalah 11% lebih tinggi berbanding kadar purata bulanan 2012 sebanyak 1,631.

Sekiranya data untuk keseluruhan 2013 dikeluarkan nanti, saya menjangkakan bahawa lebih daripada 20,000 kes muflis akan dilaporkan untuk 2013 akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kesan daripada pengurangan subsidi.

3. Fenomena muflis ini bukan sahaja tertumpu kepada Semenanjung Malaysia, bahkan telah menular ke seluruh negara, terutama sekali di kawasan bandar. Merujuk kepada kenyataan akhbar (Utusan Malaysia 2 Disember 2014), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hjh Nancy Shukri; Kuching, Miri dan Sibu, masing-masing telah mencatatkan sebanyak 6,925 , 4,058 dan 2,557 kes-kes muflis.

4. Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia untuk 2012 juga menyebut bahawa daripada jumlah muflis tersebut, 48.4% adalah berbangsa Melayu, 33.2% Cina dan 14.1% India. Mengejutkan juga bahawa sebanyak 4,100 (21%) adalah berumur di bawah 34 tahun. Antara penyebab utama muflis yang dilaporkan adalah kegagalan membayar pinjaman kenderaan, perumahan dan kad kredit.

5. Angka Bank Negara juga menyatakan bahawa pada tahun 2013, bank-bank di Malaysia telah mencatatkan jumlah tertinggi (semenjak 2006) untuk pinjaman peribadi dan kad kredit iaitu pada jumlah RM 139 billion berbanding RM 124 billion (2012) dan RM 67 billion (2006).

6. Boleh dirumuskan bahawa rakyat terbanyak, terutama sekali bangsa Melayu, sedang berhadapan dengan kesempitan kewangan akibat kadar kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan. Akibatnya, rakyat terpaksa menampung perbelanjaan harian samada melalui penambahan pinjaman peribadi ataupun kad kredit yang akhirnya mendedahkan mereka kepada risiko untuk menjadi muflis kerana terdedah kepada kadar faedah yang tinggi.

7. Penambahan pinjaman sebegini adalah disebakan oleh penyusutan pendapatan lebihan akibat kenaikan kos sara hidup dan bukannya semata-mata disebabkan oleh kegagalan rakyat menguruskan kewangan peribadi.

Anwar Ibrahim
18 Februari 2014

keadilandaily.com 

No comments:

Post a Comment