Tuesday, August 20, 2019

MENUNTUT ILMU UNTUK MEMPERJUANGKAN ISLAM, BUKANNYA MENGELIRUKAN MASYARAKAT

MENUNTUT ILMU UNTUK MEMPERJUANGKAN ISLAM, BUKANNYA MENGELIRUKAN MASYARAKAT

1. Islam merupakan agama yang menekankan aspek keilmuan, pengetahuan dan intelektual. Banyak ayat al-Quran dan hadith yang menyentuh hal tersebut. Sementara yang menjadikan asas kepada ilmu yang dimiliki oleh para ulama ialah hadirnya perasaan takut kepada Allah SWT. Inilah yang membezakan ulama yang sebenar di dalam Islam dengan pengkaji orientalis yang juga mengkaji Islam namun tujuan untuk memburukkan dan mencari kesalahan Islam. Sedangkan hakikat ilmu menjadikan seseorang itu tunduk dan patuh kerana takutkan Allah SWT. Firman Allah SWT :

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya : "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang Ulama. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.[Fathir : 28]

2. Kegagalan dalam implimentasikan ilmu untuk memperjuangkan Islam adalah bukti kekeliruan dalam menuntut ilmu yang akhirnya ilmu yang dimiliki hanya bermain di bibir sahaja tanpa mampu memimpin manusia ke jalan Allah SWT. Akhirnya istilah ilmu menjadi suatu penceritaan penglipur lara di tengah masyarakat tanpa membina kefahaman sebenar dalam kehidupan masyarakat mengenai hakikat hidup di dunia ini serta tugasan yang digalas selaku khalifah Allah.

Berkata Imam al-Zahabi di dalam kitabnya yang masyhur iaitu as-Siyar A'lam an-Nubala' :

العلم ليس هو بكثرة الرواية ولكنّه نور يقذفه الله في القلب وشرطه الإتباع والفرار من الهوى والإبتداع

Maksudnya : "Ilmu itu bukanlah semata-mata dengan banyakkan (menghafaz) riwayat. Akan tetapi ilmu itu adalah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati seseorang dengan syarat dia mengikuti (ilmu itu) dan menjauhkan diri daripada hawa nafsu serta perkara yang direka-reka."

3. Disebabkan itu, Imam al-Ghazali di zamannya pernah mengkritik sekumpulan masyarakat yang berlumba-lumba dalam pengajian fiqh namun dengan niat yang tersasar iaitu inginkan kemsyahuran di khalayak manusia dengan petah menuturkan nas serta hukum. Menjadikan ilmu sebagai alat untuk kemasyhuran dan mencari pengikut bukannya sebagai wasilah untuk mengenal Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya. Akhirnya nilai ilmu yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah tidak lagi berfungsi sebagai pembeza hak dan batil. Inilah yang dinamakan pengkhianatan ke atas ilmu.

4. Amatlah malang jika mereka yang berada di atas jalan menuntut ilmu tidak mengambil pengajaran daripada ulama terdahulu yang memimpin ummah dengan prinsip kebenaran serta berani berhadapan dengan sesiapa sahaja termasuk kalangan pemerintah. Bahkan ada kalangan mereka yang menerima seksaan berat semata-mata mempertahankan kebenaran Islam.

5. Malah Ulama Rabbani juga terkehadapan dalam membela rakyat atas isu semasa dan politik dengan memimpin rakyat berhadapan pemerintah yang zalim. Jangan pula menjadi ulama yang membodek pemerintah atas kesalahan mereka. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya "al-Azhar Baina al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghad" tentang kisah Syeikh as-Syarqawi bersama memimpin kebangkitan 40 ribu rakyat berdemontrasi di hadapan Khurrashid Basha. Walaupun Khurrashid Basha menghantar pegawai agamanya dengan menggunakan hujah menerusi ayat 59 Surah an-Nisa supaya rakyat tidak bangkit, tetapi dibidas semula secara tegas oleh Syeikh as-Syarqawi supaya rakyat bangkit menentang kezaliman.

6. Sehubungan dengan itu, penuntut ilmu di seluruh negara mesti amanah dengan ilmu mereka dan menjauhi daripada method pengajian yang suka mengkritik dan menolak para ulama yang telah memberi sumbangan besar kepada ummah. Jangan sekali-kali menuntut ilmu melalui para asatizah atau ulama yang menjual ilmu demi kepentingan peribadi dan menutup kesalahan pemerintah yang zalim apatah lagi menjadi penasihat agama kepada pemerintah zalim serta menyokongnya.

7. Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP) memperingatkan kepada para penuntut ilmu bahawa apa sahaja yang boleh menyebabkan tersasarnya matlamat sebenar dalam menuntut ilmu mesti dijauhi seperti inginkan kemsyhuran, membodek kesalahan pemerintah, takabbur dan apa sahaja yang bercanggah dengan syarak. Kehadiran penuntut ilmu ditengah-tengah masyarakat sangat dinantikan sebagai pembimbing ke jalan kebenaran, bukannya menjadi alat yang menyebabkan kecelaruan dalam pemikiran masyarakat.

8. LPUP sangat berdukacita apabila mendapati sebuah pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Ruwak Jawi versi baru yang menyewa bahagian di sebuah bangunan di kawasan Hayyu Sabik, Mesir kerana banyak membuat penolakan serta kritikan berat terhadap ulama yang diiktiraf oleh jumhur  ummah. Tenaga pengajar ditempat berkenaan membuat tanggapan bahawa Tafsir Zhilal Al-Quran sebagai bahan bacaan biasa dan bukan kitab tafsir, Usul 20 susunan Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna sebagai bercanggah dengan Ahli Sunnah Waljamaah, banyak agenda PAS di Malaysia tidak menepati Ahli Sunnah yang hanya beberapa pimpinan PAS sahaja yang boleh diterima oleh pihak mereka adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan mereka yang bertalaqqi ilmu secara tepat.

9. Hal ini juga tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah pusat pengajian yang dicanangkan ingin melahirkan pelapis ulama masa hadapan. Kekeliruan sebegini hendaklah dijauhi dan tidak disokong oleh mana-mana pihak yang cintakan kebenaran. Ini kerana kekeliruan yang timbul dari pusat pengajian ini akan menjadikan para penuntut ilmu lari dari maksud dan objektif menuntut ilmu yang sebenarnya.

"Islam Memimpin Perpaduan"
"Ulamak Memimpin Jalan Penyelesaian"

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI BIN SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat
18 ZulHijjah 1440 / 19 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment