Wednesday, June 8, 2022

Bon Odori

 *_BON ODORI_* *MANIFESTASI PLURALISME AGAMA YANG SEMAKIN MENJOLOK MATA*


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.


Jamak agama atau  Pluralisme agama di atas nama keharmonian kaum, keserasian etnik, toleransi beragama  dan merapatkan jurang segregasi kaum adalah racun yang membunuh akidah. Simptom ini makin mencolek mata dan nurani kita semua yang beriman. Berdoa beramai-ramai dengan pelbagai fahaman agama diperkuburan bukan Islam, iftar jamaie di rumah ibadah bukan Islam, kongsi raya bahkan meletakkan semua agama menuju ke arah shurga dan semua agama menuju kearah kebenaran adalah fahaman jamak agama yang membaham kemuliaan Islam. 


Pluralisme agama adalah bayi dibidani daripada pemikiran neo muktazilah, dalam sejarahnya sangat bejat menyerang Indonesia semenjak zaman Bung Karno serta pintu banjir kesesatan Islam inklusif terbuka luas dizaman transisi pasca Mei 1998. Pluralisme di Indonesia ditentang sejak zaman Soekarno lagi, Prof Dr Hamka telah membayar harga yang mahal sehingga dipenjara dalam penjara Cipinang Jakarta. Perkahwinan campur bersemarak termasuk oleh artis dan selebriti, berkongsi rumah ibadah juga tak menjadi kepelikan kepada penyokong pluralisme agama ini.


Negara kita minggu ini menyaksikan polemik sambutan perayaan Bon Odori, satu perayaan yang berasal daripada Jepun yang diamalkan sejak 500 tahun dahulu. Perayaan ini bukan sekadar santai budaya namun meliputi ritual memuja roh nenek moyang yang diklasifikasikan oleh pihak otoriti agama sebagai syirik terhadap Allah. Menteri Agama (JPM), Datuk Idris Ahmad telah menegaskan agar ummat Islam menjauhi perayaan ini agar tidak tergelincir akidah . Respon yang sama muncul daripada Mufti Pulau Pinang agar ummah menjauhi acara ritual ini. Di negara kita, dalam tahun 1977, perayaan ini dirayakan oleh kelompok ekspatriat Jepun, namun akhirnya kuat tarikan pesonanya digemburkan oleh umat Islam sendiri.


Betapa tololnya umat ini daripada kelas ningrat sehinggalah kutu jalanan yang mempunyai peranti pintar. Tanpa ilmu dan rasa malu kepada Allah, masing- masing memberikan pandangan bermuarakan akal nafsu agar perayaan Bon Odori mempunyai kewajaran untuk disambut. Ini termasuk langkah sumbang kerajaan Selangor yang memberikan keizinan untuk perayaan Bon Odori disambut (lega barangkali apabila PAS bukan sebahagian daripada kerajaan Selangor). Akira Takasaki dan Minoru Hirata pun tidak pernah menyeru agar disambut perayaan puja ruh nenek moyang ini walaupun mereka berbangsa Jepun yang menganut agama Buddha Shinto!.


Dengan terjahan dunia langit terbuka, kelompok penyokong pluralisme agama ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka. Diruang komen medsos , Menteri Agama serta mufti dimaki secara berjemaah seolah-olah melakukan proses Talibanisasi ditanah leluhur ini.


Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman pluralisme agama sebagai cabang daripada kesesatan Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai lokasi dan kondisi. Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.


Isu menyanggah pluralisme agama bukanlah perkara baru, antara yang pernah menjadi isu ialah tentang sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh mufti dan para ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam liberal menolak pandangan mufti dan ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot, dogmatik  atau berfikiran tertutup.


Pada pandangan akal sempit mereka  mereka hukum syariat Islam adalah ciptaan ulama dan fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah hukum-hakam syariat yang qatie. Antara hukum-hakam syariat yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula . Wahai umat Islam jauhi perayaan Bon Odori, jangan jadi manusia tolol yang menolak peringatan yang diberikan oleh ar Rasul SAW.

"Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka termasuklah mereka dalam kaum tersebut".


_(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)_

No comments:

Post a Comment