Monday, August 2, 2010

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke-2,

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KE- 2

1. Matapelajaran: Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk : TUNTUTAN MENCARI KESEIMBANGAN DUNIA DAN AKHIRAT

3. Ayat : Ayat 77, Surah al Qasas:


وأبتغ فيما ءاتىك الله الدار الأخرة ولاتنس نصيبك من الدنيا وأحسن كما أحسن الله اليك ولاتبغ الفساد فى الأرض ان الله لايحيب المفسدين

4.Terjemahan:

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu ) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu ( dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (1)

5.Mafhum:

Daripada ayat ini –

i. Tujuan hidup di dunia adalah untuk mencari bekalan menuju akhirat.

ii.Islam tidak menghalang umatnya dari mencari kemewahan di dunia.

ii. Islam mengesa umatnya melakukan kebaikan dan melarang melakukan kerosakan sama ada pada diri dan orang lain. (2)


7. Mufradhat :

وأبتغ

Tuntutlah

ءاتىك

dikurniakan

ولاتنس

dan janganlah engkau melupakan

نصيبك

bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu )

وأحسن

dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)

الفساد

Kerosakan

لايحيب

tidak suka

8. Huraian(4):

Allah S.W.T menyatakan umat Islam berusaha mencari kekayaan di dunia namun jangan lupa mencari balasan di akhirat.


وأبتغ فيما ءاتىك الله الدار الأخرة

Firman Allah S.W.T : " Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat”. Maksudnya adalah, gunakanlah anugerah Allah berupa harta yang berlimpah dan nikmat yang tak ternilai besarnya ini dalam ketaatan kepada Rabbmu. Mendekatkan dirilah kepadaNya dengan berbagai macam ibadah yang akan menjadi pahala bagimu, baik di dunia mahupun di akhirat.


ولاتنس نصيبك من الدنيا

Firman Allah S.W.T :" dan janganlah engkau melupakan bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu ) dari dunia ”yaitu segala yang dibolehkan oleh Allah baik itu berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan isteri. Hal itu kerana pada dirimu terdapat hak Rabbmu. Demikian pula dirimu sendiri memiliki hak atasmu, juga keluargamu dan orang-orang yang berkunjung kepadamu. Maka hendaklah kamu menunaikan hak-hak mereka dengan benar.

وأحسن كما أحسن الله اليك

Firman Allah S.W.T:“ dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu ( dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah)“ Maksudnya berbuat baiklah kepada makhlukNya sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.

ولاتبغ الفساد فى الأرض

Firman Allah S.W.T:“ dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi“ Maksudnya janganlah cita-citamu hanya untuk meluaskan kerusakan di muka bumi sehingga kamu merugikan makhluk Allah.

9. Hukum :

Wajib :

i. Setiap orang Islam wajib melakukan ketaatan kepada Allah.

ii. Setiap orang Islam wajib berbuat baik sesama manusia.

iii. Setiap orang Islam wajib menunaikan hak-haknya.

b. Haram ;

Diharamkan melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini.


10. Pengajaran:

i Umat Islam digalakkan berusaha mencari kekayaan dunia tanpa meninggal urusan akhirat.

ii. Umat Islam diperintah untuk berbaik sesama makhluk.

iii. Umat Islam dilarang membuat kerosakan di muka bumi ini.

iv.Allah benci makhluk melakukan kerosakan di muka bumi ini.

11.Kesimpulan:

Ayat ini menjelaskan agar umat Islam berusaha untuk kebaikan di dunia dan di akhirat serta berbuat baik sesama makhluk.

12.Rujukan:

1. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12. Mukasurat 1024.

2. Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007, Mukasurat 81.

3. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua, Muka surat 355-356.

4.Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke enam; Mukasurat 817.

No comments:

Post a Comment