Sunday, August 22, 2010

YA'JUJ DAN MA'JUJ

YA’JUJ DAN MA’JUJ:

Kisah Ya’juj dan Ma’juj disebut oleh Allah S.W.T di dalam al Quran di dalam dua surah iaitu pertamanya dalam surah al Kahfi, ayat 94:

قالوا يذا القرنين ان يأجوج ومأجوج مفسدون فى الأرض ..........

Ertinya, “Mereka berkata, “Wahai Zu’l Qarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; ………”[1]
Keduanya dalam surah al Anbiya’, ayat 96:

حتى اذا فتحت يأجوج وماجوج وهم من كل حدب ينسلون
Ertinya, “ ( Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj serta meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi”.[2]

Di dalam al Quran tidak disebut secara langsung keturunan dan bangsa Ya’juj dan Ma’juj ini maka timbul perselisihan pendapat tentang keturunannya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka dari keturunan Yafist Bin Nuh, setengah yang lain menyatakan bahawa Ya’juj dari Yurkeq dan Ma’juj dari suku Jaili dan Bailam.

Menurut pendapat Ka’ab al anbar, seorang pendeta Yahudi yang masuk Islam bahawa terjadinya Ya’juj dan Ma’juj daripada mani Nabi Adam yang tertumpah ke bumi ketika baginda bermimpi bersetubuh tetapi ianya dinafikan oleh al Qutubi dengan berkata bahawa ‘ Nabi-Nabi tidak ada bermimpi bersetubuh’.

Menurut riwayat hadis bahawa Ibnu Abbas telah berkata bahawa tinggi Ya’juj dan Ma’juj ialah satu telapak tangan dan dua tapak tangan serta paling tinggi tiga tapak tangan. Mereka juga dari anak Adam.
Setengah ahli tafsir ada mengatakan bahawa Ya’juj dan Ma’juj ialah bangsa Monggol Tartar yang membunuh berjuta-juta umat Islam termasuk Khalifah al Musta’shim di sekitar tahun 656 H.

Dari segi bahasanya, pokok kata kalimah Ya’juj dan Ma’juj iaitu,
اج تاجج
Yang bererti: Nyala, menjulang, dipakai bumi api.

Daripada kalimah ini dapat difahami bahawa zaman sekarang ini juga zaman Ya’juj dan Ma’juj kerana gaya hidup sekarang ini bersumberkan produk perindustrian yang dihasilkan daripada putran mesin yang menyalakan api sehingga dapat mencipta bom nuclear yang boleh membunuh berjuta-juta manusia.

Oleh kerana dalam al Quran tidak menjelaskan secara jelas bangsa dan keturunan Ya’juj dan Ma’juj, maka diambil kesimpulan dari ayat 94, surah al Kahfi dan ayat 96, surah al Anbiya bahawa segala pelakuan dan gerakan yang merusakan di dunia ini adalah Ya’juj dan Ma’juj apabila dibukakan pintu atau ruangan kepadanya.Ia mungkin boleh ditafsirkan segala fikiran-fikiran dan ideology-ideologi yang sesat.

Oleh itu, individu, keluarga, masyarakat dan Negara hendaklah membina kekuatan mental dan rohani sebagai benteng bagi menghalang turun Ya’juj dan Ma’juj dalam bentuk baru.
Menurut riwayat Ibnu Asahir, Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda bahawa Ya’juj dan Ma;juj itu dari anak Adam juga dan sekiranya ianya dibiarkan bebas akan merusakkan hidup manusia. Kalau seorang daripada mereka mati, akan meninggalkan keturunan sehingga lebih daripada seribu orang. Di belakang mereka ini terdapat umat yang dipanggil Tawil, Tarir dan Mansak.

Akhirnya, menurut sebuah hadith yang diriwayatkan Zainab binti Jahny, isteri Rasulullah S.A.W meriwayatkan bahawa pada suatu hari bangunlah Rasulullah S.A.W dari tidur dan muka beliau merah lalu beliau mengucap La Ilaha Illallah telah dibuka hari ini dari tirai Ya’juj dan Ma’juj seumpama sebesar ini. Lalu beliau gelangkan ibu tangan dan telunjuk beliau. Aku bertanya sambung Zainab, “Apakah kita akan dibinasakan? Pada hal bersama-sama kita orang-orang salih?
Kata beliau,” "قال نعم اذا كثر الخبث.Ertinya “Tentu, apabila telah banyak kekejian”.

Dapatlah difahami daripada hadith ini, baginda menyuruh kita berwaspada tentang kekejian dan keruntuhan akhlak kerana dinding Ya’juj dan Ma’juj telah terbuka. Al Qurtubi menjelaskan pula banyak kekejian itu ialah bertebarannya anak zina.

Demikianlah secebis kisah Ya’juj dan Ma’juj di dalam al Quran.

[1] Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada pengertian Al Quran, Kuala Lumpur: Darul Fikr, Tahun 2001: Cetakan Ke-12, Mukasurat 741.
[2] Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada pengertian Al Quran, Kuala Lumpur: Darul Fikr, Tahun 2001: Cetakan Ke-12, Mukasurat 830-831.

No comments:

Post a Comment