Sunday, August 22, 2010

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke- 9

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KE- SEMBILAN

1. Matapelajaran : Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk : KETAATAN YANG DIPERINTAHKAN

3. Ayat : Ayat 59, Surah al Nisa'.

يأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم فان تنزعتم فى شئ فردوه الى الله والرسول ان كنتم تؤمنون بالله واليوم الأخر ذلك خير وأحسن تأويلا
4. Terjemahan :

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “uli’l Amri ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah ( berselisih ) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada ( kitab ) Allah ( al Quran ) dan (Sunnah ) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik ( bagi kamu ), dan lebih elok pula kesudahannya.[1]


5. Mafhum : a. Orang Islam hendaklah mentaati Allah, Rasul dan Ulil
Amri.

b. Islam memberikan panduan agar sebarang pendebatan /
perselisihan pendapat dalam sesuatu perkara dirujuk kepada
al Quran dan al Hadis.[2]

6. Asbabun Nuzul :

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa penurunan ayat ini adalah berkenaan dengan Abdullah bin Hudzafah bin Qais yang pada ketika telah diutuskan oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk memimpin suatu pasukan.
( Diriwayatkan oleh al Bukhari dan perawi lainnya dari Ibnu Abbas dengan riwayat yang ringkas )

Menurut pendapat Imam ad Dawudi riwayat tersebut menyalah gunakan nama Ibnu Abbas kerana cerita mengenai Abdullah bin Hudzafah itu adalah sebagai berikut: “Ketika Abdullah marah kepada pasukannya, dia menyalakan unggun api dan memerintahkan pasukannya untuk terjun ke dalam api tersebut. Pada waktu itu, sebahagian di antara mereka menolak dan sebahagian lagi hamper melakukan apa yang diperintahkan.”

Sekiranya ayat ini turun sebelum kisah Abdullah bin Hudzafah mengapa ayat ini dikhususkan untuk mentaati Abdullah sahaja sedangkan pada lain tidak. Akan tetapi jika ayat ini turun selepas peristiwa tersebut, maka berdasarkan kepada hadis yang telah mereka ketahui, perkara yang wajib ditaati adalah di dalam perkara maaruf ( kebaikan ) dan tidak boleh dikatakan kepada mereka mengapa tidak taat.

Manakala menurut pendapat Ibnu hajar peristiwa Abdullah Bin Huzaifah ini boleh dijadikan alas an munasabah berhubung sebab penurunan ayat ini kerana di dalam kisah ini dituliskan adanya batasan untuk taat kepada pemimpin dan menolaknya dengan tidak terjun ke dalam api. Sesungguhnya pada waktu itu mereka memerlukan petunjuk dengan apa yang harus mereka lakukan.

Maka penurunan ayat ini member petunjuk kepada mereka, apabila mereka berbantah-bantahan hendaklah kembali kepada Allah dan RasulNya.

Menurut pendapat Ibnu Jarir, penurunan ayat ini adalah berkenaan dengan Ammar bin yasir yang melindungi seorang tawanan tanpa perintah dari Panglimanya ( Khalid bin Walid ) sehingga mereka berselisih faham.[3]

7. Mufradhat :

a.
أطيعوا
- Taatlah kalian

b.
وأولى الأمر
- Dan Ulil Amri ( pemegang kekuasaan )

تنزعتم
c.
- Kalian berselisih

فردوه
d.
- Maka kembalikan ia

خير
e.
- Lebih baik/utama

وأحسن
f.
- Dan sebaik-baik

تأويلا
g.
- Kesudahan / akibatnya[4]

8. Huraian :

Ayat ini Allah S.W.T menjelaskan bahawa orang Islam hendaklah mentaati Allah, Rasul dan Ulil
Amri sekiranya terdapat sebarang pendebatan / perselisihan pendapat dalam sesuatu perkara hendaklah dirujuk kepada al Quran dan al Hadis.

Firman Allah S.W.T :

يأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم

Ertinya, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “uli’l Amri ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” Al Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas tentang firman Allah ini, ia berkata, “Ayat ini turun tentang Abdullah bin Hudzafah bin Qais bin’Adi, ketika diutuskan oleh Rasulullah S.A.W pada sebuah pasukan.Inilah yang dikeluarkan oleh seluruh jamaah kecuali Ibnu Majah. Dan at Tirmizi mengatakan : “Hadis hasan gharib”[5]

Firman Allah S.W.T :

أطيعوا الله

Ertinya, “Taatlah kamu kepada Allah.” Iaitu ikutilah KitabNya.[6]


Firman Allah S.W.T :

وأطيعوا الرسول

Ertinya, “Dan taatlah kamu kepada Rasulullah.” Iatu berpeganglah kepada Sunnahnya.[7]

Firman Allah S.W.T :

وأولى الأمر منكم

Ertinya, “Dan kepada “uli’l Amri ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” Iaitu apa yang mereka perintahkan kepada kalian, selama dalam rangka taat kepada Allah, bukan dalam maksiat kepadaNya. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah.[8]

Firman Allah S.W.T :

فان تنزعتم فى شئ فردوه الى الله والرسول

Ertinya, “Kemudian jika kamu berbantah-bantah ( berselisih ) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada ( kitab ) Allah ( al Quran ) dan (Sunnah ) RasulNya.” Mujahid dan banyak ulama salaf berkata: “Ertinya, kepada Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Ini perintah Allah S.W.T, bahawa segala sesuatu yang diperselisihkan manusia, baik tentang usuluddin ( pokok-pokok agama ) mahupun furu’-furu’nya ( cabang-cabangnya ), maka wajib dirujuk kembali kepada al Kitab dan as-Sunnah.”[9]

Firman Allah S.W.T :

ان كنتم تؤمنون بالله واليوم الأخر

Ertinya, “Jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.” Maksudnya, hendaklah kalian kembalikan berbagai pertengkaran dan ketidaktahuan kalian kepada Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Berhu7kumlah kalian kepada keduanya, pada berbagai hal yang kalian sengketakan, jika kamu beriman kepada Allah dan hari Akhir. Ertinya, orang yang tidak berhukum kepada al Kitab dan as Sunnah dalam setiap pertikaian, serta tidak merujuk pada keduanya, maka ia tidak termasuk orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhir.[10]

Firman Allah S.W.T :

ذلك خير

Ertinya, “Yang demikian adalah lebih baik ( bagi kamu ).” Iaitu berhukum kepada Kitabullah dan Sunnah rasulNya, serta merujuk kepada keduanya dalam memutuskan segala perselisihan adalah lebih baik.[11]

Firman Allah S.W.T :

وأحسن تأويلا

Ertinya, “ Dan lebih elok pula kesudahannya..” Yakni sebaik-baik akibat dan sebaik-baik rujukan, sebagaimana dikemukakan oleh as Suddi dan yang lainya.[12]


9. Hukum :

a. Wajib :

· Diwajibkan setiap muslim beriman dengan ayat-ayat Allah adalah benar.
· Diwajibkan mentaati dengan ayat-ayat Allah S.W.T zahir dan batin.

10. Pengajaran :

a. Ilmu itu adalah pembimbing bagi manusia.
b. Ayat-ayat keterangan yang benar itu dari Allah S.W.T.
c. Orang yang berilmu sentiasa di bawah bimbingan Allah.
d. Orang-orang yang berilmu akan dapat mengenal yang haq dan batin.
e. Allah S.W.T sentiasa memimpin orang beriman ke jalan yang lurus.

11. Kesimpulan :

Ayat tersebut menjelaskan ilmu dapat membimbing seseorang mengenali dan mentaati
perintah Allah.Disamping itu, Orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan akan
sentiasa berada di bawah bimbingan Allah.

12. Rujukan :

i. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12,
ii. Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007.
iii. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua.
iv. Yayasan Penyelenggara penerjemahan/Penafsir al Quran,Syaamil al Quran The Miracle 15 in 1, Bandung : PT Sygma Examedia Arkanleema, Tahun 2009.
v..Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama.


[1] Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12, Mukasurat 200.

[2] Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007, Mukasurat 83
[3] Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua. Mukasurat 219-220.
[4] Yayasan Penyelenggara penerjemahan/Penafsir al Quran,Syaamil al Quran The Miracle 15 in 1, Bandung : PT Sygma Examedia Arkanleema, Tahun 2009. Mukasurat 171.

[5] Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 562.

[6] Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 565.

[7] Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 565.

[8] Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 565.

[9] Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 565.

[10] Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 566.

[11] Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 566.

[12] Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 566.

2 comments:

  1. assalamualaikum

    tahniah
    teruskan usaha ustaz berdakwah di alam cyber

    imran
    jaipp

    ReplyDelete