Monday, June 4, 2018

ZAMAN PENJAJAHAN DI TANAH MELAYU

ZAMAN PENJAJAHAN DI TANAH MELAYU

Zaman Penjajahan :

Apabila dunia Eropah telah mulai terdedah aktiviti penjajahan dan penerokaan, maka Tanah Melayu tidak terlepas dari menjadi tumpuan kuasa-kuasa barat ini. Tanah Melayu mula dikuasai barat dengan penaklukan Portugis ke atas kerajaan Melayu Melaka.

Tanah Melayu pernah dijajahi oleh Portugis ( 1511-1641 ), Belanda ( 1641 – 1824 ), British ( 1824 – 1941 ), Jepun ( 1941 – 1945 ) dan British sekali lagi ( 1945 – 1957 ).

Penjajahan Portugis :

Kejayaan Portugis menakluki Kerajaan Melaka pada tahun 1511 dan Sultan Mahmud Syah dan anaknya telah melarikan ke selatan. Penjajahan Portugis ini telah bermula era penjajahan di Tanah Melayu. Portugis telah menduduki Melaka dari tahun 1511 hingga 1641 selama 130 tahun. Alfonso de Albuquerque merupakan wizurai ( gabenor ) yang bertanggungjawab menyusun sistem pentadbiran Portugis di Melaka dan membina sebuah kota ‘A Farmosa’ untuk melindungi Melaka daripada sebarangan terutamanya dari Sultan Mahmud Syah yang melarikan diri. Pentadbiran di Melaka berbentuk ketenteraan dan ketuanya bergelar kapten Kota Melaka.

Dalam proses pentadbiran, Kapten Kota dibantu oleh tiga Majlis Penasihat iaitu Majlis Penasihat Hal Ehwal Militer, Majlis Pentadbiran Sivil dan Kewangan serta Majlis penasihat orang tempatan yang terdiri daripada Bendahara, Temenggung dan Syahbandar. Di antara sistem pentadbiran perdagangan yang dilaksanakan ialah kapal pedagang diwajibkan membayar cukai 6% hingga 10% daripada hasil dagangan, mendapatkan pas kebenaran berdagang, mendiskriminasikan pedagang islam dan memonopoli barang dagangan utama dengan membeli barang harga murah dan menjual harga mahal.

Portugis cuba meluaskan pengaruhnya untuk pengembangan agama kristian ke Naning dan Rembau tetapi gagal. Kesan peninggalan Portugis ialah kelahiran masyarakat Serani ( perkahwinan campuran antara Portugis dan penduduk tempatan ), tulisan roman dan penyerapan perkataan Portugis ke bahasa Melayu seperti almari, jendela, tuala, garfu dan palsu.

Di zaman Portugis menduduki Melaka, rantau Melayu menyaksikan era peperangan tiga penjuru iaitu antara Portugis di Melaka, Aceh dan Johor untuk menguasai perdagangan Kepulauan Melayu. Disebabkan dasar Portugis yang tidak disenangi oleh pedagang-pedagang, maka pedagangan di Pelabuhan Melaka menjadi merosot dan akhirnya jatuh ke tangan Belanda.

Penjajahan Belanda :

Ekspedisi Belanda yang terawal di Kepulauan Melayu pada tahun 1559. Ramai pedagang Belanda telah datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan rempah ratus, buah pala dan kayu cengkih. Pedagamg Belanda ini telah menubuhkan Syarikat Bersatu hindia Timur ( V.O.C ) untuk menguasai perdagangan rempah dan biji timah di Kepulauan Melayu. Pada tahun 1619, Belanda telah berjaya menguasai Betawi di Pulau Jawa dan menjadikannya sebagai pelabuhan alternatif. Belanda telah beberapa kali melancarkan serangan dan akhirnya pada tahun 1641, Belanda telah berjaya mengusir Portugis dari Melaka dengan bantuan Kesultanan Johor yang merupakan warisan Kesultanan Melayu Melaka. Pada tahun 1824, melalui Perjanjian Inggeris-Belanda ( Perjanjian London), Melaka menjadi wilayah penguasaan Inggeris ( British ) secara rasmi.


Penjajahan Inggeris ( British ) :

Kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu :

Pedagang Inggeris telah sampai ke Tanah Melayu, sejak abad ke 16 lagi. Pedagang Inggeris telah menubuhkan Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1600 untuk menguruskan perdagangan mereka di Asia Tenggara dan Negara China. Pada peringkat awalnya, kedatangan pedagang Inggeris ini hanya memonopolikan hasil ekonomi sahaja tetapi penguasaan mereka itu telah terganggu akibat perebutan tahta dan daerah di kalangan putera raja dan kongsi gelap Cina ( Ghee Hin dan Hai San ) untuk menguasai kawasan perlombongan bijih timah.

Campu Tangan Inggeris dalam politik Negeri-Negeri Selat :

 Secara rasminya penglibatan Inggeris di Tanah melayu ialah selepas Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari, 1874, namun penglibatan secara tidak langsung bermula lebih awal dari itu.

Pada 11 Ogos, 1786, Inggeris telah menguasai Pulau Pinang di mana Francis Light telah berjaya mengambil alih Pulau Pinang setelah dianugerahkan oleh Sultan Abdullah, Sultan Kedah kerana Francis Light telah membantu baginda dalam pertelingkahan dengan kerajaan Siam mengenai ufti dan juga kumpulan Bugis dari Selangor dan Johor mengenai tuntutan hutang. Sultan Abdullah telah mendapat pampasan berjumlah 30 ribu dolar Sepanyol.

Manakala, Stamford Raffles telah berjaya menduduki Singapura pada 6 Februari 1819 dengan pembukaan pangkalan tentera dan perdagangan di Singapura. Ini berlaku setelah Stamford Raffles melantik Tengku Husin sebagai Sultan di Singapura. Peristiwa ini adalah hasil campur tangan Stamford Raffles dalam urusan pertikaian antara Sultan dengan Yang Dipertuan Muda Kerajaan Johor. Dalam peristiwa, Yang dipertua Muda, Raja Jaafar telah melantik adik Sultan Husin; Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor-Riau menggantikan ayahandanya; Sultan Mahmud yang mangkat.

Melalui Perjanjian Inggeris-Belanda, Kawasan ke utara Kepulauan Melayu ( termasuk Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei ) telah diberikan hak kepada Inggeris ( British ).

Apabila Inggeris berjaya menduduki negeri-negeri di Tanah Melayu dan membuat petempatan di Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, mereka menyatukan wilayah ini di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Negeri-negeri Selat ini telah diwujudkan pada tahun 1826 dan diletakan di bawah unit pentadbiran Presiden Negeri-Negeri Selat.  Pulau Pinang menjadi pusat pertama Negeri-Negeri Selat.

Gabungan ini diketuai oleh seorang Gabenor Negeri-Negeri Selat dan setiap negeri ini diketuai oleh seorang Residen Konsular. Gabenor Negeri-Negeri Selat yang pertama ialah Robert Fullerton. Pada tahun 1830, Negeri-Negeri Selat dijadikan pula sebuah residensi dan diletakkan di bawah Presidensi Benggala. Akhirnya pada 1 April 1867, pentadbiran Negeri-Negeri Selat telah diletakan secara rasmi di bawah kawalan pejabat tanah jajahan di London ekoran status Negeri-Negeri Selat yang dijadikan wilayah pentadbiran Tanah Jajahan Mahkota ( Crown Colony ). Melalui sistem ini, gabenor dibantu oleh dua majlis iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Majlis Undangan.

 Campur Tangan Inggeris di Negeri-Negeri Melayu dan Pengenalan Sistem Residen :

Ada dua faktor-faktor yang menyebabkan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu,    di antaranya ialah :

1. Faktor Ekonomi :
Bagi memastikan usaha memonopoli hasil-hasil dagangan utama sepeerti bijih timah terutama perkembangan revolusi perusahaan pada persetengahan abad ke 19 dengan aktiviti mengetin makanan.

2. Faktor Politik :
Bagi mengelakkan persahabatan dan hubungan perekonomian dengan raja-raja melayu dengan kuasa-kuasa lain.

Campur tangan Inggeris di Perak :

Campur tangan Inggeris di Perak disebabkan perebutan takhta kerajaan Perak dan perbalahan antara kumpulan kongsi gelap Cina.

Pada tahun 1857, bermulalah perebutan takhta di perak apabila Sultan Abdullah mangkat dan diganti oleh Sultan Jaafar. Dalam masa yang sama, Raja Ismail dilantik Raja Bendahara ( jawatan pewaris takhta yang kedua kanan sebelum Raja Muda ) tetapi jawatan itu sepatutnya diberikan kepada Raja Yusof.  Apabila Sultan Jaafar mangkat pada tahun 1865, Raja Abdullah ( putera sultan Abdullah ) dilantik Raja Muda bukan Raja Yusof. Ini telah menimbulkan perbalahan antara Raja Yusof, Raja Ismail dan Raja Abdullah.

Di kalangan masyarakat Cina telah timbul perbalahan di antara dua kumpulan kongsi gelap iaitu Ghee Hin dan Hai san sehingga mencetuskan Perang Larut pertama pada tahun 1861, yang kedua pada tahun 1865 dan yang ketiga pada tahun 1872.

Perebutan takhta kerajaan Perak dan perbalahan dua kongsi gelap telah menyebabkan Inggeris membuat perundingan antara mereka sehingga menghasilkan Perjanjian pangkor yang dimeterai pada 20 Januari, 1874 ini.

Di antara syarat utama dalam perjanjian ini ialah :
i. Raja Abdullah telah diserahkan takhta kesultanan Perak.
ii. Raja Ismail diberikan sultan muda dan diberikan pencen.
iii. Ngah Ibrahim, pembesar Larut telah berada di bawah seorang penolong residen Inggeris sebagai penasihat. 
iv. Sultan Abdullah telah bersetuju menerima Residen Inggeris sebagai penasihat dalam hal ehwal pentadbiran kecuali dalam aspek keagamaan dan adat istiadat melayu. Di samping itu, Residen Inggeris juga berkuasa dalam urusan pentadbiran kewangan dan hasil ekonomi negeri.
v. Ketua puak Ghee Hin dan Hai San bersetuju untuk berdamai, melucutkan senjata dan menubuhkan sebuah jawatankuasa Bersama untuk menangani masalah Kawasan perlombongan.

Campur tangan Inggeris di Selangor:

Perbalahan antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi telah menimbulkan Perang Klang kerana kedua-dua mereka ingin menguasai daerah Klang yang kaya dengan bijih timah. Sultan Abdul Samad telah melantik Tengku Kudin untuk menyelesaikan maslah perbalahan ini akan tetapi Tengku Kudin telah berpihak kepada Raja Abdullah dan anaknya Raja Ismail.

Disamping itu, dua pelombong Cina iaitu Kah Yeng Chew dan Fei Chew telah menimbulkan perbalahan. Dalam pada itu, Yap Ah Loy  seorang kapitan Cina telah memberikan sokongan kepada Tengku Kudin manakala Chong daripada kumpulan Kah Yeng Chew telah memberikan sokongan kepada Raja Mahadi.

Dengan dua isu ini, Sir Andrew Clarke telah memberikan sokongan kepada Tengku Kudin dan secara tidak langsung telah melibatkan Sultan Abdul Samad serta secara tidak langsung juga telah memberikan peluang perlantikan Residen Inggeris di Selangor. Pada bulan Oktober, 1874, J.G.Davidson telah dilantik sebagai Residen Inggeris yang pertama di Selangor manakala Frank Swettenham telah dilantik sebagai Penolong Residen. Raja Mahadi pula telah disingkirkan dan Tengku Kudin telah dilantik wizurai Selangor.

Campur Tangan Inggeris di Sungai Ujong :

Isu perbalahan di antara datuk Kelana dan Datuk Bandar di Sungai Ujong dalam usaha menguasai kuasa kutipan cukai bijih timah di sungai Linggi telah menyebabkan Inggeris masuk campur tangan. Pada 21 April, 1874, Datuk Kelana bersetuju untuk menerima perlindungan Inggeris dan dengan itu, beliau telah diiktiraf sebagai pemerintah yang sah di Sungai Ujong. Datuk Bandar telah membuat bantahan dan ancaman kepada Datuk Kelana. Pada 16 September, 1874, Datuk Kelana telah diberikan seorang Penolong Residen iaitu W.I.Tatham. Akhirnya, Datuk Bandar tidak lagi masuk campur dalam hal ehwal pentadbiran Sungai Ujong.

Campur Tangan Inggeris di Negeri Sembilan :

Melalui Sir Frederick Weld, daerah-daerah di Negeri Sembilan telah diletakkan di bawah seliaan Inggeris kecuali daerah Tampin sehingga menjelang tahun 1888. Pada tahun 1889, daerah Rembau dan daerah Tampin bersetuju bergabung menjadi Seri Menanti dan menerima Residen Inggeris bernama Martin Listert. Gabungan ini menjadi lebih besar dengan masuknya Sungai Ujong dan Jelebu.

Campur Tangan Inggeris di Pahang :

Campur tangan Inggeris diPahang bermula pada awal tahun 1800an lagi. Campur tangan Inggeris bermula apabila timbul perbalahan pada tahun 1884 antara Bendahara Wan Ahmad dengan adiknya; Wan Mansur di mana pada tahun Disember, 1884, Wan Ahmad telah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Pahang ( Sultan Ahmad Muazam Syah ) dan melantik puteranya; Tengku Mahmud sebagai pewaris takhta. Wan Mansur cuba melancarkan serangan tetapi gagal dengan bantuan Inggeris. Pada bulan April, 1885, Frank Swettenham telah ke Pahang untuk menyelesaikan perbalahan antara kedua-dua mereka dan mendesak untuk menerima Residen Inggeris tetapi tidak diterima sehingga melalui Perjanjian 8 Oktober, 1887, barulah wakil Inggeris diterima. Pada bulan Oktober, 1889, John Pickergill telah dilantik sebagai Residen Inggeris di Pahang.

Perlaksanaan Sistem Residen :

Dari segi pelaksanaan, Residen Inggeris ini dilantik oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat dan bertanggungjawab untuk menasihati Sultan atau Yang Dipertuan Besar dalam hal-hal pentadbiran negeri tetapi di setengah negeri, Residen Inggeris sering bertindak sebagai pemerintah mutlak seperti di Perak. Sistem ini mendapat  tentangan yang hebat sehingga berlakunya pembunuhan J.W.W Birch, Residen Inggeris pada tahun 1875.

Di Perak ini, untuk mendapat sokongan masyarakat, Inggeris telah memperkenalkan Majlis Mesyuarat Negeri yang dianggotai oleh Raja, Residen, Pembesar-Pembesar Melayu dan wakil masyarakat Cina. Majlis ini telah berjaya dan kemudiannya diperkenalkan di negeri-negeri lain.

Di antara kesan Sistem Residen ini ialah :

i. Kemajuan Ekonomi Negeri :

Negeri-negeri yang terbabit dalam sistem residen ini telah mencapai kemajuan dengan adanya perkembangan perusahaan bijih timah dan tanaman ladang seperti getah dan kopi, peningkatan kemasukan buruh asing dan munculnya penempatan baru yang menjadi bandar. Namun terdapat kesan buruknya pula iaitu terdapat ketidakseragaman pengagihan pembangunan antara negeri dan wilayah serta hasil ekonomi dikuasai oleh barat sedang kaum peribumi telah ketinggalan.

ii. Sistem Politik :

Melalui sistem residen ini, keamanan negeri-negeri telah berjaya dipulihkan. Walau bagaimanapun sultan telah kehilangan kuasa mutlak dan peranan pembesar-pembesar semakin berkurangan kerana telah diambil alih oleh Residen Inggeris dan pegawai-pegawai Inggeris.

iii. Sistem Sosial :

Pembangunan kemudahan awam negeri-negeri telah berjalan dengan baik seperti wujudnya jalan raya, jalan keretapi, pusat kesihatan, bekalan air, bekalan elektrik, perkhidmatan pos dan telegraf.

Negeri-Negeri Melayu Bersekutu :

Sejarah Penubuhan :

Pada tahun 1895, melalui Perjanjian persekutuan, Kerajaan Inggeris telah menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang menggabungkan Negeri Perak, Negeri Selangor, Negeri Pahang dan Negeri Sembilan. Penubuhan ini berkuatkuasa secara rasmi pada 1 Julai, 1896.

Faktor yang menyebabkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah ditubuhkan ialah :

i. Kekurangan Kewangan di Pahang :

Akibat penentangan yang berterusan terhadap Inggeris di Pahang, menyebabkan banyak kerosakan yang teruk telah berlaku dan memerlukan perbelanjaan yang besar dari segi pembelian senjata dan bekalan makanan tentera untuk membanteras pemberontakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tempatan. Justeru itu, Negeri Perak dan Selangor diperlukan membantu kewangan tersebut.

ii. Pelaksanaan Sistem Residen Yang Lemah :

Residen-Residen Inggeris yang mengurus hal ehwal pertanian, perlombongan, sistem cukai dan lain-lain isu dengan cara yang tersendiri di negeri masing-masing sehingga sampai mengatasi kuasa Gabenor Inggeris ( British ) yang berpusat di Singapura. Melalui garis panduan yang disediakan, penubuhan ini dapat mengawal kuasa Residen Inggeris di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.


iii. Perbelanjaan Pentadbiran Dapat Dikurangkan :

Melalui sistem pemerintahan yang dibahagikan mengikut wilayah kecil akan menggunakan perbelanjaan yang besar. Lantaran itu, dengan adanya penubuhan ini telah dapat menggurangkan perbelanjaan, menyelaraskan pentadbiran dan mengeratkan sistem perhubungan antara Negeri-negeri Bersekutu.

Pelaksanaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 1896 :

Negeri-negeri Melayu Bersekutu diketuai oleh Residen Jeneral yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dan bertanggungjawab kepada gabenor di Negeri-negeri Selat. Manakala gabenor bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di London. Residen Inggeris di empat negeri tersebut dikekalkan tetapi tertakluk di bawah bidang kuasa Residen Jeneral. Melalui Residen ini, Residen Jeneral bertanggungjawab menasihati Raja-Raja Melayu dalam hal ehwal pentadbiran kecuali hal ehwal agama Islam dan adat istiadat melayu. Kuasa pentadbiran dibahagikan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Sebuah majlis yang dipanggil Durbar telah ditubuhkan yang merupakan persidangan Raja-Raja Melayu bersama pegawai Inggeris ( British ) untuk membincangkan kepentingan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Kesan Penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu :

Dengan adanya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, beberapa jabatan telah ditubuhkan seperti Jabatan Kerja Raya, Kewangan dan Keadilan. Dengan ini pegawai Inggeris bertambah ramai dibawa masuk. Disamping itu, kuasa raja dan pembesar tempatan semakin merosot.

Residen Jeneral semakin berkuasa dan raja Melayu perlu menerima nasihat daripada Residen Inggeris di setiap negeri dan Residen Jeneral di peringkat pusat.

Dengan pentadbiran yang tersusun ini telah menarik pelabur dan meningkatkan ekonomi. Ini menyebabkan ramai buruh asing dari Cina dan India telah masuk ke Tanah Melayu. Kemasukan ini menyebabkan persaingan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang tidak adil.

Sistem pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah menimbulkan rasa tidak puas hati raja kerana pemusatan kuasa kepada Residen Jeneral. Durbar hanya dua kali diadakan iaitu pada 1887 di Kuala kangsar dan pada 1903 di kuala Lumpur. Sultan Idris dari Negeri Perak telah mengemukan dalam Durbar ini agar kuasa raja dikembalikan semula pada raja.

Pada tahun 1909, Majlis Mesyuarat Persekutuan telah ditubuhkan bagi menggantikan Durbar. Keanggotaannya ialah :
i.                     Pesuruhjaya Tinggi ( Gabenor Negeri-Negeri Selat ) di Singapura sebagai Presiden.
ii.                   Residen Jeneral.
iii.                 Empat orang Raja Melayu.
iv.                 Empat Orang Residen Inggeris.
v.                   Empat Orang Ahli yang dilantik mewakili peniaga.
Majlis Mesyuarat Persekutuan yang pertama diadakan pada 11 Disember, 1909.

Kesan Buruk Yang Timbul Dengan Penubuhan ini ialah :

i. Tiada wakil orang Melayu dalam pentadbiran negara dan menghilangkan hak orang Melayu.
ii. Raja Melayu yang mewakili orang Melayu tidak dapat berperanan langsung.
iii.Kuasa Raja semakin merosot kerana :
a.       Taraf raja dalam majlis ini hanya sebagai ahli biasa.
b.       Mesyuarat boleh diadakan tanpa kehadiran raja.
c.       Tiada hak membuat keputusan.
iv. Pesuruhjaya Tinggi mempunyai kuasa tertinggi dalam :
a.       Hal Ehwal Pentadbiran dan bukan Sultan lagi.
b.       Melantik dan memberhentikan ahli tidak rasmi mengikut budi bicara.

Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu :

Pada tahun 1909, perjanjian Bangkok telah ditandatangani antara Inggeris dan Siam di mana empat buah negeri di bawah naungan Siam iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan kepada Inggeris dan setiap negeri tersebut diletakan seorang penasihat Inggeris.

Kuasa raja di Negeri-negeri Melayu tidak bersekutu lebih besar berbanding dengan Negeri-negeri Melayu Bersekutu kerana kuasa residen lebih luas berbanding kuasa penasihat. Inggeris gagal menggabungkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Tidak Bersekutu sehingga selepas perang dunia kedua kerana mendapat tentangan hebat daripada raja-raja Melayu.

Pengagihan Kuasa Pusat ( Disentralisasi 1920 -1941 ):

Rancangan ini telah dikemukakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu disebabkan beberapa faktor :

1.Rasa tidak puas hati sultan kerana :

                i. Pesuruhjaya Tinggi lebih berkuasa berbanding dengan sultan.
                ii. Sultan tiada kuasa pemutus dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan.
                iii. Majlis Mesyuarat Persekutuan boleh dijalankan tanpa kehadiran sultan.

2. Penggabungan Negeri-negeri Melayu :

Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu telah disatukan.

3. Kemelesetan Ekonomi Dunia :

Disebabkan kemelesetan dunia pada tahun 1920an, Kerajaan Inggeris berhasrat mengurangkan perbelanjaan pentadbiran.

4. Perebutan Kuasa :

Telah wujud perebutan kuasa antara Residen Jeneral dan Pesuruhjaya Tinggi dalam hal ehwal pentadbiran Tanah Melayu.
  
Sir Lawrence Gullermand telah mencadangkan beberapa perubahan melalui rancangan ini ialah :
i.                     Raja Melayu telah dikeluarkan daripada Majlis Mesyuarat Persekutuan dan berhubng terus dengan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris.
ii.                   Majlis mesyuarat Negeri telah diberikan kuasa yang telah dalam pentadbiran negeri termasuk menguruskan belanjawan negeri.
iii.                 Beberapa buah jabatan kerajaan di peringkat pusat telah dipindahkan ke peringkat negeri.
iv.                 Jawatan Residen Jeneral telah dihapuskan.

Pada tahun 1923, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji pengagihan kuasa ini dan cadangan ini telah diluluskan. Cecil Clement telah dilantik menggantikan Guillermand sebagai Pesuruhjaya Tinggi Inggeris.

Kesan dari pelaksanaan disentralisasi ini ialah :

i.    Kuasa raja dipulihkan iaitu rang undang-undang hanya sah selepas ditandatangani oleh raja.
ii. Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertanian telah diletakan di bawah kawalan kerajaan negeri.
iii.  Kuasa Majlis negeri dalam hal pentadbiran dan kewangan telah diperluaskan.

Walau bagaimanapun, penguasaan ekonomi Tanah Melayu masih dikuasai oleh Inggeris dan usaha ini sebagai satu strategi Inggeris untuk menguasai Tanah Melayu. Rancangan pengagihan kuasa berpusat ini tergendala setelah Jepun menyerang Tanah Melayu.

Penjajahan Jepun :

Sejarah Politik Jepun :

Sejak tahun 1932, golongan tentera telah pun menguasai Jepun. Pada tahun 1937 pula, tentera Jepun telah menyerang Negara Cina. Jepun telah bersekutu dengan Jerman dan Itali dalam perang Dunia Kedua untuk menentang Kuasa Berikat yang dianggotai oleh Inggeris ( British ) dan Amerika Syarikat. Pada 8 Disember, 1941, Jepun telah menyerang Tanah Melayu. Pada pertengahan bulan Februari, 1942, Tanah Melayu dan Singapura telah jatuh ke tangan Jepun.

Di antara faktor Tanah Melayu dan Singapura jatuh ke tangan Jepun ialah :

1. Kekurangan persediaan dari pihak Inggeris ( British ) kerana mereka menyangka bahawa serangan tentera Jepun adalah bermula dari Selatan Tanah Melayu tetapi berlaku sebaliknya, serangan bermula dari utara Tanah Melayu.

2. Kekurangan kewangan pihak Inggeris yang menyebabkan tentera bantuan dari London dan India lewat sampai di Tanah Melayu.

3. Kelemahan tentera Laut Inggeris ( British ) terutamanya selepas tengglamnya dua kapal perang utama Inggeris iaitu Prince of Wales dan Repulse dan serangan tentera Jepun pula melalui Laut.

4. Maklumat kubu kuat Inggeris ( British ), landasan kapal terbang dan lokasi kem tentera telah diketahui awal oleh pengintip Jepun bagi memudahkan tentera Jepun membuat persediaan serangan.

5. Kualiti tentera Jepun yang cukup baik seperti mempunyai latihan, pengalaman, semangat tinggi dan taktik perang.

Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu :

Sistem yang dijalankan ialah pemerintahan tentera dengan bermatlamatkan :

1. Memulihkan ketenteraman awam disebabkan penentangan terhadap barat dan mewujudkan pemerintahan ‘asia untuk orang Asia’.

2. Memonopolikan sumber ekonomi di Tanah Melayu untuk pembiayaan ketenteraan seperti senjata, makanan dan kemudahan ketenteraan.

Cara pentadbiran ketenteraan Jepun di Tanah Melayu ( Malai Baru ) terdiri dari :

1.       Gunseikan ( Presiden Jepun ).
2.       Syuchokan ( Gabenor Jepun )
3.       Singapura ( Syonan ) ditadbir Bersama dengan Malai Baru dan Sumatera.
4.       Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah diserahkan kepada Negara Thai pada bulan Ogos, 1943.

Kesan-Kesan Penjajahan Jepun di Tanah Melayu :

1.       Kesan Sosial :

Orang Cina telah ditindas oleh tentera Jepun. Ramai di kalangan pemuda telah dikerahkan menjadi buruh paksa membina lantasan Keretapi Maut. Tanah Melayu telah mengalami masalah kekurangan beras, kekurangan bekalan perubatan dan makanan berzat. Di samping itu, penjajahan Jepun ini juga telah menimbulkan permusuhan antara Orang Cina dan Orang Melayu kerana tentera Jepun memberi lebih peluang pentadbiran kepada Orang Melayu.

2.       Kesan Ekonomi :

Semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu, ekonomi Tanah Melayu sangat merosot di peringkat individu mahupun di peringkat keluarga. Hasil perusahaan bijh timah dan ladang getah merosot kerana akibat kemusnahan serangan yang dilakukan oleh tentera Jepun. Manakala harga barang keperluan seperti tekstil dan ubatan menjadi mahal. Nilai mata wang negara jatuh teruk.

3.       Kesan Politik :

Penjajah Jepun telah menimbulkan kesedaran untuk mencapai kemerdekaan di kalangan pendudukan tempatan. Tambahan pun, penjajah Jepun juga telah mempelopori propaganda ‘Asia untuk orang Asia’. Mereka telah membuka peluang dan pengalaman pentadbiran kepada orang Melayu. Kejayaan Jepun menakluki Tanah Melayu daripada Inggeris telah mencabar kekuatan Inggeris ( British ) di Tanah Melayu. Disamping itu, penjajahan Jepun ini menimbulkan semangat nasionalisme masyarakat tempatan. Orang Cina mula aktif berpolitik dalam Parti Komunis Malaya (PKM ).

Pada 15 Ogos, 1945, Tentera Jepun telah menyerah kalah di Tanah Melayu selepas berlakunya pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat. Dengan kekalahan Jepun di Tanah Melayu ini, Inggeris ( British ) telah mengambil masa 14 hari untuk kembali semula ke Tanah Melayu. Dalam tempoh 14 hari ini, Parki Komunis Malaya ( PKM ) melalui Bintang Tiga telah menguasai Tanah Melayu.

Pada bulan September, 1945, Inggeris ( British ) telah kembali semula ke Tanah Melayu dan berusaha memerangi kumpulan berideologi komunis dengan mengisytiharkan darurat. Rancangan Briggs dan Rancangan Templer telah diperkenalkan untuk memulihkan keadaan dan melemahkan PKM. Darurat telah diisytiharkan tamat pada 31 Julai, 1960.








No comments:

Post a Comment