Tuesday, February 4, 2014

Kemusnahan Tanah Suci Mekah Yang Disembunyikan

Kemusnahan Tanah Suci Mekah Yang DisembunyikanPosted on Tuesday, February 04 @ 21:09:19 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol



Kontra Artikel

Konsep Baru Mekah
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca.
Hari ni nak sembang-sembang pasal perkembangan sejarah sikit sebanyak. Walaupun nampak macam lari sikitniche blog ni yang lebih kepada kesihatan dan bisnes tapi anyway sekali-sekala tak salahkan?!



Just nak sedarkan dari terlambat dan sebenarnya niche blog ni yang hakiki adalah KESEDARAN. Sebab mungkin ramai orang TAHU tapi sedikit sangat orang yang SEDAR. So, kerja saya adalah untuk sedarkan serami mungkin orang yang masih tidur.

Siapa yang baru sahaja pulang dari umrah sekarang pasti membawa gambar-gambar kawasan Arab Saudi yang semakin maju, gilang gemilang dengan segala puncak menara di merata-rata ceruk Mekah dan Madinah. Sebanyak $ 26 billion telah dibelanjakan untuk tujuan ini. Tapi tahukah anda, apa yang berlaku di sebaliknya?!

Dari apa yang kita boleh lihat struktur ikonik lama Masjidil Haram telah pun dimusnahkan untuk memberi laluan kepada rekaan model lebih kontemporari. Pemusnahan bangunan Masjidil Haram yang dibina oleh kerajaan Ottoman/Uthmaniyah ini menerima tentangan ramai pihak terutamanya ahli arkaelogi yang merasakan kerajaan Saudi merosakkan struktur bersejarah Islam tanpa mempedulikan kesannya.


Pihak Saudi memberi alasan bangunan binaan kerajaan Ottoman/Uthmaniyah ini mempunyai rekaan bida'ah/syirik kerana terdapat ukiran nama sahabat. Selain itu juga terdapat perancangan untuk memusnahkan stukutur kubah Masjid Nabawi sekarang kerana ia juga dikatakan tidak cukup Islamik.

Kenapa tidak cukup Islamik? Kerana kubah hijau yang menutupi makam Rasulullah SAW juga dikatakan bida'ah. Kubur tidak boleh mempunyai tanda mengikut fahaman Wahhabi. Kuburan Saidina Umar dan Abu Bakar yang disemadikan bersebelahan makan Rasulullah juga akan dimusnahkan suatu hari nanti jika keadaan ini berterusan.

Walaupun atas nama pemodenan dan pembesaran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tetapi itu bukanlah tiket khas untuk menutup sejarah dan tempat tinggalan Nabi SAW dan para sahabat!

Persoalan ini membawa kepada soalan  seterusnya, iaitu, "Mengapa hanya pihak SAUDI mempunyai hak membentuk arah tuju Mekah dan Madinah? Kenapa tiada persetujuan diambil terlebih dahulu sebelum projek pembinaan/pemusnahan ini dilakukan? dan haruskah Mekah dan Madinah berada di bawah jajahan keluarga Al Saud"

PERSOALAN DEMI PERSOALAN

Kesemua projek naik taraf dan pembangunan di kedua-dua kota suci Islam ini dilakukan di bawah arahan Raja dari keturunan Saud, sebab tu nama negara tersebut Arab Saudi. Beliau juga digelar "Penjaga Dua Masjid Utama".

Keyword disini ialah PENJAGA dan bukannya TUAN PUNYA. Di dalam Islam sendiri kita sedia maklum wujud konsep MUSYAWARAH. Jadi mengapa tiada musyawarah dilakukan diantara kesemua pemimpin negara Islam untuk membincangkan hala tuju permodenan Mekah dan Madinah?

Pihak Saudi nampaknya sangat autokratik dalam membuat keputusan permodenan. Tak mengapalah untuk keselesaan orang awam tapi kalau dah sampai menghancurkan termpat-tempat sejarah sahabat dan Nabi SAW, apa cerita ni?!

Kemudian semua projek pembinaan diberikan kepada firma Saudi Bin Ladin Group. Kita semua sedia maklum bila seseorang Muslim itu menderma kepada pembinaan sebuah masjid, surau atau tanah wakaf, pahala dari pemberian mereka itu akan berterusan sehingga hari kiamat. Kenapakah keluarga Al Saud dan Bin Ladin memonopoli projek ini tanpa perbincangan dari semua negara Islam?

Tidak banyak pemimpin Muslim yang berani menegur monopoli  2 masjid suci ini untuk kerabat dan kroni mereka sendiri? Hanya Presiden Turki dan Iran yang mempunyai semangat dan keberanian untuk mempersoalkan kemusnahan bangunan bersejarah Islam di Kota Mekah dan Madinah yang sedang giat dilakukan kerajaan Saudi. Mereka juga membantah pengkomersilan melampau yang berlaku di Mekah.

Contoh pengkomersilan melampau ialah Raffles Makkah Palace, hotel mewah siap dengan butler yang terletak bersebelahan Masjidil Haram. Menara jam gergasi yang ada sekarang pula rata-rata dipersetujui telah mengalihkan perhatian umat Islam dari memandang Kaabah.

Saya yakin anda pasti bersetuju bahawa tarikan utama Mekah sepatutnya ialah untuk beribadah dan melihat Kaabah. Bukannya pergi hotel mewah dan jam gergasi tertinggi di dunia. Agak ironik rumah nabi, sahabat, makam isteri-isteri nabi dan telaga nabi dimusnahkan kerana "bida'ah" dan di atas tapak yang diratakan itu pu dibina cawangan makanan 'HARAM' Starbucks, Marks and Spencer, Raflles Hotel dan McDonalds.

Antara kesan yang nyata akibat permodenan Mekah dan Madinah ialah kos untuk menunaikan haji serta umrah menjadi terlalu mahal. Ini mengakibatkan umat Islam yang sepatutnya sudah mampu menunaikan haji terpaksa mengumpul lebih banyak wang untuk memenuhi rukun Islam ke 5.

Ramai golongan tua yang baru pulang umrah mengeluh Mekah yang mereka lawati pada tahun 90-an ketika menunaikan haji dahulu sudah hilang. Menurut mereka pengkomersilan yang melampau membuatkan Mekah terasa seperti seakan sebuah theme park dan bukan lagi tempat untuk beribadat kepada Allah.

Salah siapa kalau bukan kerajaan-kerajaan Islam sendiri yang memberikan keluarga As-Saud keizinan mutlak untuk melakukan apa yang mereka suka. Kalau berani bersuara kuota Haji negara akan dikurangkan oleh As-Saud and Co. Islamik kah ini?!
Last but not least mungkin lebih baik jika Makkah dan Madinah menjadi mini country seperti Vatican dimana penjaganya digantikan mengikut undian umat Islam. That way tak ada one person yang boleh buat keputusan sesuka hati. Ini juga akan membebaskan Mekah dari menjadi milik keluarga As-Saud untuk mendesak negara Islam lain untuk menutup mulut mereka atau dikurangkan kuota apabila sebarang rancangan mereka digugat atau dipersoalkan.

Masjidil Haram 2020: Sanggupkah kita kehilangan segala tinggalan Rasulullah SAW?!
Semoga Allah membantu kita semua dan Islam walaupun saya sedar bahawa salah satu daripada tanda akhir zaman atau kiamat kecil adalah apabila kaum yang dahulunya mengembala kambing di gurun-gurun mula berlumba-lumba membina bangunan yang tinggi-tinggi (atas tujuan menonjolkan kekayaan mereka).

Moga Allah sentiasa merahmati kita dan memahamkan kita betapa pentingnya peninggalan sejarah tamadun awal Islam kepada kita.

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia.

Sumber link



Pemuafakatan politik PAS: Meruak kabut sejarah

    
Pilihan Raya Umum 1955 diperkenalkan oleh British untuk menyediakan pemimpin sebelum kemerdekaan diberikan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Dalam pilihan raya di bawah tekanan Ordinan Darurat 1948 yang menyediakan iklim intimidasi dan euforia ketakutan ini - UMNO, MIC dan MCA berada dalam satu koalisi yang dikenali sebagai PERIKATAN yang berlambangkan kapal layar. Impaknya seperti diduga, PERIKATAN UMNO, MCA,MIC telah berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. PAS melalui calonnya Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Husain telah memenangi kerusi Krian Perak.

Selepas mencapai kemerdekaan, pihak oposisi yang mengadakan pemuafakatan politik ialah parti berhaluan sosialis iaitu Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh. Jalur Melayu dan Cina sosialis-marhaenism ini juga menjadi kelompok yang kuat berkubu di bandar dan pinggir bandar dan menjenamakan mereka sebagai Sosialist Front (SF). PAS yang mula dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmi pada tahun 1956 mengakar kukuh di kawasan Melayu dan seterusnya memenangi negeri Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959.

PAS pernah berpakat dengan Parti Negara yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar sehingga pengasas Umno itu memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. PAS, selepas tragedi 13 Mei 1969 telah dijemput untuk berada dalam koalisi baru yang dinamakan Barisan Nasional, walaupun telah membayar harga yang mahal apabila segelintir pemimpin dan ahlinya tidak bersetuju dengan tindakan PAS ang dipimpin oleh Datuk Asri. Suara vokal PAS yang mula mengendur akibat berada dalam kerajaan campuran, maka anak-anak muda bernuansa Islam menubuhkan ABIM pada tahun 1971. PAS semasa dalam kerajaan campuran telah melakukan pemberdayaan Islamisasi dalam pentadbiran, antaranya menghapuskan iklan arak di media perdana, mewujudkan laungan azan di media eletronik, mengadakan bulan dakwah, mengaktifkan YADIM dan pelbagai jasa yang masih dikecapi masyarakat negara ini.

Jodoh PAS tidak panjang bersama BN. Umno tidak pernah jujur bersahabat dan PAS ditendang keluar pada tahun 1977. BN menaja serpihan yang dikenali sebagai Berjasa dalam pilihan raya umum tahun 1978 dan PAS hilang pangkalan kuasanya di Kelantan. Awan hitam pekat mengarak di dada langit, namun tempohnya singkat apabila ulama-ulama PAS dengan pantas menggerakkan gerakan jihad ta'lim serta pentarbiahan kepada ahli yang agak merosot akibat keputusan teruk PRU 1978.

Dalam dekad 1980-an, di tengah gelombang kebangkitan Islam pencapaian PAS dalam persaingan demokrasi agak suram dan dramatik. PRU 1982, aktivis gerakan Islam terpanar dengan kemasukan Presiden ABIM ke dalam Umno, juga menyaksikan masyarakat yang teruja dengan peralihan kepimpinan negara pada tahun 1981. Mahathir menggantikan Husein Onn dan memperkenalkan dasar Penerapan Nilai Islam (PNI), diikuti beberapa institusi berbau Islam sebagai tarikan pesona untuk masyarakat Muslim negara ini mengekalkan sokongan kepada kerajaan BN. Dalam PRU 1986, PAS cuba membina hubungan dengan kaum Cina negara ini dengan penubuhan CCC (Chinese Consultative Council), namun PAS dipukul dengan keputusan paling teruk dalam sejarah penyertaannya di medan persaingan kuasa. PAS hanya menang satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa, yang dimenangi oleh Haji Nik Abdullah Nik Arsyad.

Langit tak selalu siram, sinar mentari akhirnya memancar terik, berkat dedikasi dan keikhlasan amilin PAS, Allah menghadirkan kekuatan demi kekuatan apabila sistem dokongan PAS mula melebar akibat program pencerahan semakin mengisi ruang masyarakat. Kelompok kelas menengah Melayu semakin bertambah manakala kebejatan pemerintahan regim BN makin dihidu rakyat. Umno berpecah pada tahun 1987, antara kem Mahathir dan kem Ku Li, menatijahkan lahirnya parti Semangat 46.

Pilihan raya kecil Teluk Pasu Terengganu pada tahun 1989, menyaksikan calon PAS, Ustaz Harun Taib memenangi kerusi panas tersebut. PRK itu menjadi asas permulaan untuk pemuafakatan politik yang lebih menyakinkan kepada front Melayu Islam negara ini. Angkatan Perpaduan Ummah yang digagaskan untuk PRU 1990 menyaksikan PAS, Semangat 46, Berjasa, Hamim berjaya menyapu bersih semua kerusi di Kelantan. PAS memperolehi manfaat paling besar dengan kembalinya negeri jantung Melayu itu kepada parti Islam tertua negara ini.

Gegaran politik paling dramatik yang berlaku akibat pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, juga menyaksikan lanskap dan demografi politik Malaysia berubah dengan pantas. PAS yang dipimpin oleh almarhum Datuk Fadhil Noor telah menguruskan kebangkitan rakyat dengan berkesan, tertubuhnya GERAK, seterusnya pakatan politik pelbagai kaum dan jaringan sivil yang menghantar kejayaan besar PAS dalam PRU 1999.

PAS memenangi  27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi DUN di seluruh negara dalam PRU 1999. Barisan Alternatif yang menampilkan PAS, Parti Keadilan, DAP memberikan tentangan sengit kepada koalisi BN. Terengganu dan Kelantan diperintah oleh PAS, dua buah negeri yang didominasi oleh orang Melayu .

Episod pemuafakatan politik pelbagai kaum makin terserlah dengan berlakunya tsunami politik pada tahun 2008, lima buah negeri tumbang kepada parti oposisi yang akhirnya dijenamakan sebagai Pakatan Rakyat. Semenjak 2008, serangan hodoh BN terhadap PR tidak pernah berhenti sehingga kini. Pelbagai drama, kejutan demi kejutan sentiasa berlaku, ramai pemain politik sama ada PR dan BN turun dan naik daripada panggung politik sehinggalah kini.

Pakatan Rakyat tidak pernah sunyi dilambung gelombang, diterjah krisis, disepuh masalah, apatah lagi dengan pelbagai variasi para penyokongnya. Koalisi paling besar pengaruhnya ini dalam sejarah parti oposisi berjaya membentuk kerajaan negeri dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN dalam PRU13. Keberadaan PR menjadi kuasa semak dan imbang yang kuat kepada regim BN dan dua blok kuasa politik ini menjadi pilihan rakyat negara ini. PAS dalam sejarahnya melalui pelbagai tajribah politik dalam usaha memenangi rakyat serta salah satu usaha parti Islam ini melebarkan dakwah. Kebijakan politik PAS ini akhirnya juga diadaptasi oleh gerakan Islam di dunia seperti memunculkan MMA di Pakistan, koalisi parti-parti muslim yangtelaah menyatukan Jamiatul Ulama dan Jamiat Islami. PAS tidak pernah mengkhianati rakan pemuafakatannya dalam sejarah, pernah sepi bersendirian, disakiti  teman tahalluf siyasi namun harakatul ummah ini dengan jiwa yang besar terus membadai perjuangan. Keikhlasan berteman inilah antara sifir congak paling ampuh mengapa parti Islam ini makin melebar sokongan dan dokongan termasuk kaum bukan Islam.

Hormatilah PAS sebagai teman pemuafakatan politik, jangan sakiti gerakan Islam ini kerana sejarah menunjukkan PAS tidak pernah rugi dalam berkawan. Parti berbasis aqidah ini mempunyai prinsip dan didokong jutaan manusia, ia terus bergerak dan mara untuk menyampaikan dakwah dan merengkuh sokongan siasah untuk menunjang Syariah dalam tanah air tercinta ini. Tiada madah berhelah, kerana obligasi akhirat adalah matlamat pasti harakatul ummah ini.

(Penulis ialah Setiausaha lujnah Dakwah PAS Pusat)

Sunday, February 2, 2014

LADY EVELYN COBBOLD : WANITA BRITISH PERTAMA TUNAI HAJI

Hidup sebagai kaum bangsawan dengan kegelimangan harta, kehormatan, dan kemasyhuran sering kali diimpikan ramai orang.
Hidup sebagai bangsawan laksana hidup di sebuah negera dongeng dengan sekali perintah segala keinginan boleh menjadi kenyataan. Begitu juga yang dialami oleh Lady Evelyn Cobbold.

Sesuai dengan gelaran Lady yang melekat pada namanya, Evelyn Cobbold lahir sebagai seorang anak bangsawan. Lahir dengan nama Evelyn Murray di Edinburgh pada 17 Julai 1867, Evelyn merupakan anak tertua dari bangsawan Scotland, Charles Adolphus Murray, Pangeran Dunmore ke-7 dan Lady Gertrude Coke, anak perempuan dari Pangeran Leicester kedua.
Dengan takdir hidup yang dijalaninya sebagai anak bangsawan, sejak kecil Evelyn merasa berbagai macam kenikmatan. 

Namun, Evelyn dan keluarganya berhijrah mengikut ayahnya ke Wilyah yang lebih eksotik di Afrika Timur. Sejak itu kehidupan Evelyn banyak dikelilingi pembantu tempatan dari penduduk asli Mesir dan Algeria. Evelyn banyak menghabiskan musim sejuk bersama dengan pembantu tersebut dan kehidupannya juga banyak dipengaruhi oleh cara-cara Islam dan tradisi Arab.

Tentang kehidupan masa kecilnya, Evelyn menulis: "Aku menghabiskan musim sejuk di Vila Moorish, di sebuah lembah di luar Algeria. Di sanalah aku belajar bahasa Arab dan yang paling aku gemari adalah saat melarikan diri dari status bangsawanku dan melawat masjid bersama teman-teman Aljazairku. Tanpa sedar, aku merasa menjadi seorang Muslim di dalam hatiku.

"Beberapa tahun berlalu dan aku tinggal di Rom bersama beberapa rakan Itali dan tuan rumah menawarkan aku adakah aku mahu bertemu Paus. Tentu saja saya sangat mahu. Kemudian, semasa Yang Mulia Paus tiba-tiba bertanya adakah aku seorang Katolik, beberapa saat lamanya aku tidak menjawab untuk kemudian berkata bahawa aku seorang Muslim."

Untuk seorang wanita bangsawan, umur seperti Evelyn adalah lewat dalam bab pernikahan. Dia berkahwin pada usia 24 tahun dengan John Dupuis Cobbold, seorang lelaki keturunan keluarga pembuat bir yang kaya raya di sebelah timur Inggeris.
Mereka bertemu di Kaherah dan berkahwin di sana pada April 1891. Pasangan suami isteri ini dikurniakan tiga orang anak yang lahir antara tahun 1893 hingga 1900.

Pada tahun 1900, Lady Evelyn melakukan perjalanan tanpa suaminya. Dia kembali ke Afrika Utara tahun 1911 pada usia 43 tahun dan melakukan perjalanan di Mesir. Pada tahun 1912, buku tentang perjalanannya tersebut diterbitkan dengan judul Wayfarers in the Libyan Desert.
Sejak saat itulah dan seterusnya, pengakuan dirinya sebagai seorang Muslim semakin meningkat. Lady Evelyn kemudian menukar namanya menjadi Lady Zainab.

Setiap musim sejuk Lady Zainab melawat Mesir dan sejak tahun 1915 dia menjalin persahabatan dengan Marmaduke Pickhall, dengan seorang Inggeris Muslim yang menghasilkan salah satu penterjemahan Al-Quran ke dalam bahasa Inggeris yang sangat dihargai.

Pada tahun 1920, maklumat yang bersifat jenaka menyebarkan bahawa Lady Evelyn masuk Islam menjadi penyebab kerenggangan hubungannya dengan keluarga Cobbold. Akhirnya, pada tahun 1922 Evelyn dan suaminya rasmi bercerai.
Evelyn memperoleh harta yang sangat banyak, termasuk hutan mengandungi rusa di Glencarron. Harta tersebut menjadikan dirinya sebagai wanita terkaya di wilayahnya. Selepas kematian suaminya pada tahun 1929, Evelyn mula serius untuk melakukan perjalanan haji ke Mekah.

Keseriusannya pergi mengerjakan haji diwujudkan dengan mengemukakan permohonan ke Hafiz Waba, Menteri Arab Saudi di London yang kemudian menuliskan surat permohonan rasmi kepada Raja Abdul Aziz di Riyadh.
Lama permohonan tersebut untuk dibalas. Bukan sifat Evelyn untuk menunggu, dia kemudian menghantar surat perkenalan kepada Harry St . John (Abdullah Philby) di Jeddah.
Philby sendiri telah menjadi Muslim sejak tahun 1930. Sambil menunggu izin dari Raja, Philby lah yang menetapkan perjalanan menggunakan kereta ke Madinah.

Akhirnya, pada tahun 1933, keinginan evelyn untuk menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan selepas Raja Abdul Aziz mengabulkan permohonannya.


Demikianlah kisah Lady Evelyn Cobbold, seorang wanita bangsawan Inggeris pertama yang menunaikan haji ke Mekah. Bahkan, boleh dikatakan bahawa Lady Evelyn lah wanita asli kelahiran Inggeris pertama yang melakukan perjalanan haji. Kisah perjalanan haji Evelyn dituliskan dalam buku yang berjudul Pilgrimage to Mecca (Berhaji ke Mekah).

Dalam sejarahnya, tidak banyak fakta yang didapati bahawa Evelyn secara rutin melaksanakan ibadah solat. Namun, diyakini bahawa dia telah mengisytiharkan syahadah dan mengerjakan haji menjadi puncak membuktikan dunia sebagai Muslim.
Lady Evelyn Zainab meninggal 30 tahun selepas menunaikan haji, tepatnya pada Januari 1963, salah satu bulan yang paling sejuk dalam sejarah Inggeris. Evelyn dikebumikan mengikut syariat Islam di kawasan Glencarron.

* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com