Monday, August 2, 2010

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke-5,

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KELIMA

1.Matapelajaran:Tafsir Ayat al Quran

2.Tajuk: ISLAM ITU MUDAH

3.Ayat: Ayat 101, Surah al Maa’idah:


يايها الذين ءامنوا لاتسئلوا عن أشياء ان تبدلكم تسؤكم وان تسئلوا عنها حين ينزل القرءان تبدلكم عفا الله عنها والله غفور حليم

4.Terjemahan:

Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu bertanyakan ( kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan ( kamu ) dari ( kesalahan bertanya ) perkara-perkara itu ( yang tidak dinyatakan dalam al Quran ); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (1)

5.Mafhum:

Daripada ayat ini menegah orang-orang yang beriman daripada banyak mempersoalkan mengenai perkara-perkara yang boleh menyusahkan diri sendiri.

Di samping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa Islam menggalakkan pertanyaan yang betujuan untuk mencari ilmu.


6.Asbabun Nuzul:

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ada orang suka bertanya kepada Rasulullah dengan maksud untuk mempermainkannya. Ada orang yang bertanya, “Siapakah bapa saya? Dan ada pula yang bertanya; “ Dimanakah untaku yang hilang?”.
Maka Allah menurunkan ayat ini yang melarang orang-orang Mukmin bertanya akan perkara yang bukan-bukan.
( Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Abbas)2

7.Mufradhat:

لاتسئلوا

Janganlah kamu bertanyakan

أشياء

perkara-perkara

تبدلكم

Menyusahkan kamu

ينزل القرءان

Diturunkan al Quran

عفا الله

Allah maafkan

حليم

Penyabar

8.Huraian(3):

Allah S.W.T memerintahkan agar tidak banyak bertanya kerana ianya mungkin akan menyusahkan.

يايها الذين ءامنوا لاتسئلوا عن أشياء ان تبدلكم تسؤكم

Firman Allah S.W.T : " Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu bertanyakan ( kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu”. Ayat ini merupakan pelajaran dari Allah S.W.T bagi hamba-hambaNya yang beriman. Dia melarang mereka menanyakan aneka perkara yang tidak berguna bagi mereka sebab jika perkara itu diterangkan maka akan menyusahkan bila didengar dan merugikannya.


وان تسئلوا عنها حين ينزل القرءان تبدلكم

Firman Allah S.W.T :" dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu”yakni jika kamu menanyakan tentang perkara yang dilarang untuk ditanyakan ketika diturunkan wahyu kepada Rasulullah S.A.W, maka wahyu akan menjelaskannya kepadamu, hal itu mudah bagi Allah S.W.T

عفا الله عنها

Firman Allah S.W.T: " Allah akan memaafkan hal itu“ apa yang dilakukan olehmu sebelumnya.

9.Hukum:

a.Makruh :

Setiap orang Islam makruh untuk banyak bertanya.

b.Sunnat :
Setiap orang Islam disuruh bertanya untuk mendapatkan ilmu.

c. Haram :

Dilarang bertanya dalam perkara yang tidak berguna.

10.Pengajaran:

i. Islam melarang bertanya dalam perkara yang tidak berguna.

ii. Islam juga melarang terlalu banyak bertanya.

iii. Pertanyaan untuk mendapat ilmu.

iv. Setengah jawapan pertanyaan itu boleh menyusahkan.

v. Al Quran boleh menjelaskan setiap jawapan.

11. Kesimpulan:

Ayat ini memberikan peringatan agar jangan banyak bertanya dalam perkara yang tidak berguna kerana setengah jawapan pertanyaan itu boleh menyusahkan.


12.Rujukan:

1. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12

2. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua.

3.Muhamad Nasir Ar-Rifa’i; Ringkasan Tafsir Ibnu Katsir, Jakarta; Gema Insani, 1999; Jilid kedua.

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke-3,

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KE- 3

1.Matapelajaran : Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk: GALAKAN BERDOA

3.Ayat : Ayat 186, Surah al Baqarah:


واذا سألك عبادى عنى فانى قريب أجيب دعوة الداع اذا دعان فليستجيبوأ لى وليؤمنوابى لعلهم يرشدون
4.Terjemahan:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka ( beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada mereka) ; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu ( dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.(1)

5.Mafhum:

Daripada ayat ini –

i. Allah sentiasa hamper kepada hamba-hambaNya yang selalu berdoa.

ii. Allah sentiasa memperkenankan doa hamba-hambaNya yang beriman. (2)


6.Ashabul Nuzul:

Ayat ini turun adalah disebabkan pertanyaan seorang Badwi kepada Nabi S.A.W :” Apakah Tuhan kami dekat sehingga kami dapat munajat dan memohon kepadaNya ataupun Dia jauh sehingga kami harus menyeruNya?”
Nabi Muhammad S.A.W terdiam sehingga turun ayat ini sebagai jawapan kepada pertanyaan tersebut.
( Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, Ibnu Hatim Ibnu Marduwaih, Abu Syaikh dan selainnya dari beberapa jalan, dari Jarir bin Abdul Hamid dari Abdah As Sajastani dari as Shalt bin Hakim bin Nuawiyah bin Jaidah dari bapanya dari datuknya.(3)

7. Mufradhat:

سألك

bertanya kepadamu

قريب

sentiasa hampir ( kepada mereka)

أجيب

Aku perkenankan

الداع

orang yang berdoa

فليستجيبوأ لى

dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)

يرشدون

mereka menjadi baik serta betul

8. Huraian(4):

Allah S.W.T menyatakan bahawa Allah S.W>T sentiasa hamper dengan hamba-hambaNya dan sentiasa memperkenankan doa mereka.


واذا سألك عبادى عنى فانى قريب

Firman Allah S.W.T : " Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka ( beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada mereka)”. Maksud ayat ini dijelaskan berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W :
Dari Ahmad meriwayatkan dari Abu Musa al Asy’ari bahawa ia mengatakan,“ Ketika kami bersama Rasulullah S.A.W dalam suatu peperangan, tidaklah kami mendaki batasan, menaiki bukit dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir. Kemudian beliau mendekati kami dan bersabda:
Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kalian, sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Rabb yang tuli dan jauh, akan tetapi kalian berdoa kepada Rabb yang Maha mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Rabb yang kalian seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kalian daripada leher binatang tunggangannya. Wahai Abdullah bin Qais, mahukah engkau aku ajar sebuah kalimat yang termasuk perbendaharaan Syurga? Yaiitu ucapan Lau haula walaa quwwata illaa billaah“
( Diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim serta beberapa rawi lainnya )


أجيب دعوة الداع اذا دعان فليستجيبوأ لى وليؤمنوابى لعلهم يرشدون

Firman Allah S.W.T :" Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu ( dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul“
Maksud ayat ini dijelaskan berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W:
Dari Imam ahmad meriwayatkan dari Abu Sa’id bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Tidaklah seorang muslim berdoa kepada Allah S.W.T dengan doa yang tidak mengandung dosa atau memutuskan tali silaturrahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya satu di antara tiga perkara: (1) boleh jadi Allah S.W.T menyegerakan ( pengabulan ) baginya di dunia, atau (2) Allah S.W.T menyimpan baginya sebagai pahala di akhirat, atau (3) Allah menahan keburukan dari dirinya semisal dengan apa yang ia minta“. Mereka mengatakan:“Kalau begitu kami akan memperbanyak doa“. Beliau bersabda:“ Allah lebih banyak lagi ( pemberianNya)“.


9.Hukum:

Wajib :

i. Setiap orang Islam wajib menyakini bahawa Allah S.W.T sentiasa hampir dengan mereka.

b. Sunnat :

Disunatkan supaya banyak berdoa.

b. Haram ;

Diharamkan berdoa dalam perkara dosa dan memutuskan silaturrahim.

10.Pengajaran:

i. Umat Islam digalakkan selalu berdoa.

ii. Umat Islam diperintah menyakini bahawa Allah S.W.T sentiasa bersama mereka.

iii. Dilarang berdoa dalam perkara dosa dan memutuskan silaturrahim

iv.Allah akan mengakbulkan doa orang Islam yang berdoa.

11.Kesimpulan:

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah sentiasa hampir dengan hambaNya dan menerima doa orang Islam.

12. Rujukan:

1. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12. Mukasurat 70.

2. Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007, Mukasurat 81.

3. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua, Muka surat 76..

4.Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 588-590.

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke-2,

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KE- 2

1. Matapelajaran: Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk : TUNTUTAN MENCARI KESEIMBANGAN DUNIA DAN AKHIRAT

3. Ayat : Ayat 77, Surah al Qasas:


وأبتغ فيما ءاتىك الله الدار الأخرة ولاتنس نصيبك من الدنيا وأحسن كما أحسن الله اليك ولاتبغ الفساد فى الأرض ان الله لايحيب المفسدين

4.Terjemahan:

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu ) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu ( dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (1)

5.Mafhum:

Daripada ayat ini –

i. Tujuan hidup di dunia adalah untuk mencari bekalan menuju akhirat.

ii.Islam tidak menghalang umatnya dari mencari kemewahan di dunia.

ii. Islam mengesa umatnya melakukan kebaikan dan melarang melakukan kerosakan sama ada pada diri dan orang lain. (2)


7. Mufradhat :

وأبتغ

Tuntutlah

ءاتىك

dikurniakan

ولاتنس

dan janganlah engkau melupakan

نصيبك

bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu )

وأحسن

dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)

الفساد

Kerosakan

لايحيب

tidak suka

8. Huraian(4):

Allah S.W.T menyatakan umat Islam berusaha mencari kekayaan di dunia namun jangan lupa mencari balasan di akhirat.


وأبتغ فيما ءاتىك الله الدار الأخرة

Firman Allah S.W.T : " Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat”. Maksudnya adalah, gunakanlah anugerah Allah berupa harta yang berlimpah dan nikmat yang tak ternilai besarnya ini dalam ketaatan kepada Rabbmu. Mendekatkan dirilah kepadaNya dengan berbagai macam ibadah yang akan menjadi pahala bagimu, baik di dunia mahupun di akhirat.


ولاتنس نصيبك من الدنيا

Firman Allah S.W.T :" dan janganlah engkau melupakan bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu ) dari dunia ”yaitu segala yang dibolehkan oleh Allah baik itu berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan isteri. Hal itu kerana pada dirimu terdapat hak Rabbmu. Demikian pula dirimu sendiri memiliki hak atasmu, juga keluargamu dan orang-orang yang berkunjung kepadamu. Maka hendaklah kamu menunaikan hak-hak mereka dengan benar.

وأحسن كما أحسن الله اليك

Firman Allah S.W.T:“ dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu ( dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah)“ Maksudnya berbuat baiklah kepada makhlukNya sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.

ولاتبغ الفساد فى الأرض

Firman Allah S.W.T:“ dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi“ Maksudnya janganlah cita-citamu hanya untuk meluaskan kerusakan di muka bumi sehingga kamu merugikan makhluk Allah.

9. Hukum :

Wajib :

i. Setiap orang Islam wajib melakukan ketaatan kepada Allah.

ii. Setiap orang Islam wajib berbuat baik sesama manusia.

iii. Setiap orang Islam wajib menunaikan hak-haknya.

b. Haram ;

Diharamkan melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini.


10. Pengajaran:

i Umat Islam digalakkan berusaha mencari kekayaan dunia tanpa meninggal urusan akhirat.

ii. Umat Islam diperintah untuk berbaik sesama makhluk.

iii. Umat Islam dilarang membuat kerosakan di muka bumi ini.

iv.Allah benci makhluk melakukan kerosakan di muka bumi ini.

11.Kesimpulan:

Ayat ini menjelaskan agar umat Islam berusaha untuk kebaikan di dunia dan di akhirat serta berbuat baik sesama makhluk.

12.Rujukan:

1. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12. Mukasurat 1024.

2. Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007, Mukasurat 81.

3. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua, Muka surat 355-356.

4.Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke enam; Mukasurat 817.

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke- 1

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : PERTAMA

1. Matapelajaran : Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk : GESAAN SUPAYA MENCARI KEMULIAAN

3. Ayat : Ayat 10, Surah al Faatir :


من كان يريد العزة فلله العزة جميعا اليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصلح يرفعه والذين يمكرون السيىات لهم عذاب شديد ومكر أولىك هويبور

4. Terjemahan:

Sesiapa yang mahukan kemuliaan ( maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah ), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah-lah naiknya segala perkataan yang baik ( yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan ), dan amal yang salih pula di angkatNya naik ( sebagai amal yang makbul-yang member kemuliaan kepada yang melakukannya ). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan ( untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka ( kalau berkesan pun ) akan rosak binasa.(1)

5. Mafhum:

Daripada ayat ini mengalakkan umat Islam mencari kemuliaan dalam kehidupan sama ada menerusi kata-kata mahupun perbuatan.

Dalam ayat ini juga menyatakan bahawa orang yang melakukan kejahatan akan menrima balasan yang setimpalnya.


6. Mufradhat

العزة

Kemuliaan

الكلم الطيب

Perkataan yang baik

العمل الصلح

Amalan yang salih

يمكرون السيئات

Melakukan kejahatan

لهم عذاب شديد

Azab yang dahsyat

أولىك هويبور

Mereka akan binasa

8. Huraian:

Allah S.W.T menjelaskan bahawa segala kemuliaan adalah kembali kepadaNYa. Kemuliaan itu hendaklah dikerjakan dengan jalan taqwa iaitu dengan perkataan yang baik dan amalam solih,

من كان يريد العزة فلله العزة جميعا اليه

Firman Allah S.W.T : "Sesiapa yang mahukan kemuliaan ( maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah ), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan" menjelaskan bahwa mereka yang inginkan kemuliaan hendaklah mereka jalan taqwa dengan mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Sesungguhnya Allah itu adalah mulia dan segala kemuliaan itu kembali kepada Allah jua.

يصعد الكلم الطيب والعمل الصلح يرفعه

Firman Allah S.W.T :" Kepada Allah-lah naiknya segala perkataan yang baik ( yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan ), dan amal yang salih pula di angkatNya naik ( sebagai amal yang makbul-yang member kemuliaan kepada yang melakukannya )“ menjelaskan perkataan yang baik lahir dari penegasan keimanan disertai dengan amalan yang solih akan diterima di sisi Allah termasuk dalam kiraan amal di akhirat nanti.

والذين يمكرون السيىات لهم عذاب شديد

Firman Allah S.W.T: " Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan ( untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat”menjelaskan bahawa setiap rancangan jahat yang dilakukan untuk mendapat kemuliaan akan di azab dengan seksa oleh Allah S.W.T

9. Hukum:

Wajib :

Setiap orang beriman diwajibkan mengucapkan perkataan yang baik dan melakukan amal yang soleh

Haram :

Setiap orang yang beriman itu dilarang untuk melakukan kejahatan kerana akan diseksa dengan azab Allah.

10.Pengajaran :

Perkataan yang baik adalah satu kemuliaan.

Amalan yang solih merupakan satu cara untuk mendapat kemuliaan.

Segala kemuliaan itu akan kembali kepada Allah S.W.T.

Rancangan jahat akan menerima azab seksa daripada Allah S.W.T.

Segala rancangan jahat akan menemui kegagalan.

11. Kesimpulan:

Ayat ini merupakan peringatan Allah agar sentiasa mengucapkan perkataan yang baik dan melakukan amalan yang solih kerana merupakan satu kemuliaan serta rancangan jahat menerima azab seksa dan kegagalan.

12. Rujukan:

1. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12

2. Ringkasan Tafsir Ibnu Katsir, Jilid kedua, karangan Muhammad Nasib Ar-Rafai, terbitan Gema Insani, Jakarta, tahun 1999.