Thursday, June 28, 2018

Asas-asas Syariat - akhlak



PENDAHULUAN :

Islam itu merangkumi aqidah, syari’ah dan akhlak. Akhlak merupakan roh yang menyerapi semua aspek dan bidangnya. Matlamat terakhir dalam risalah Islam ialah kesempurnaan akhlak.

Akhlak seseorang muslim itu merangkumi hubungan dengan Allah SWT sama ada dalam ibadat umum atau pun ibadat khusus. Manusia yang berakhlak mulia itu akan menjadi niat dan tujuannya semata-mata untuk Allah SWT tanpa mengharap kepada yang lain daripada Allah SWT.

Akhlak karimah merupakan suatu perkara yang amat dituntut oleh Islam. Agama Islam itu bukan hanya mementingkan persoalan aqidah dan Syariah semata-mata tetapi juga menuntut pelaksanaan akhlak karimah sama ada yang berhubung dengan Allah atau berhubungan dengan sesame manusia. Ini telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW seperti hadithnya :

انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Ertinya : “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan keluhuran budi pekerti”.

Di sini menunjukkan kepentingan akhlak Islam itu sendiri patut diamalkan oleh semua individu muslim.

PENGERTIAN :

Perkataan akhlak berasal dari Bahasa Arab yang bererti budi pekerti, perangai, tingkah laku      ( tabiat ) dan adat kebiasaan.

Perkataan akhlak adalah kata majmuk kepada perkataan khulq yang bermakna penyatuan pengaturan adalah kuasa semulajadi ( malakah ) jiwa yang merupakan sumber kepada segala kegiatan yang dilakukan oleh manusia secara spontan tanpa memikirannya. Malakah merupakan milik jiwa yang wujud melalui penggunaan dan amalan yang berulang-ulang dan tidak mudah dimusnahkan.

Akhlak itu ada yang baik dan ada pula yang tidak baik. Dalam masyarakat kita kenal ucapan akhlak baik dan akhlak yang buruk. Begitu juga, penyataan yang sama sering diungkapkan dengan budi pekerti, tingkah laku ( tabiat ) atau adat kebiasaan yang baik atau tidak baik. Akhlak yang baik umpamanya benar, amanah, menepati janji, sabar              ( tabah ), pemaaf dan pemurah. Akhlak yang buruk umpamanya sombong ( takbur ), dendam, mengadu domba, mengumpat, riya’ dan khianat.

TUJUAN :

Tujuan pokok akhlak ialah agar setiap orang berbudi pekerti, bertingkah laku, berperangai atau beradat istiadat yang baik yang sesuai dengan ajaran Islam. Dalam Islam yang menjadi dasar atau alat pengukur yang menyatakan bahawa sifat seseorang itu baik atau buruk adalah al Quran dan al Sunnah. Apa yang baik menurut al Quran dan al Sunnah itulah yang baik untuk dijadikan pegangan dalam kehidupan sehari-harian. Sebaliknya apa yang buruk menurut al Quran dan al Sunnah bererti tidak baik dan seharusnya dijauhi. Jadi orang yang menjadikan  dasar akhlak itu adalah adat kebiasaan yang berlaku dalam suatu masyarakat, maka untuk menentukan atau menilai baik buruknya akan sesuatu adat kebiasaan itu, harus dinilai dengan norma-norma yang ada dalam al Quran dan al Sunnah. Kalau sesuai dengan al Quran dan al sunnah, harus dipupuk dan dikembangkan dan kalau tidak sesuai, hendaklah ditinggalkan

MATLAMAT :

Matlamat akhlak Islam ialah untuk membentuk dan memimpin manusia dari kedudukan yang paling rendah seperti haiwan kepada kedudukan yang terpuji sehingga lebih tinggi dari kedudukan para malaikat. Malah, di masa-masa yang lalu, ahli-ahli falsafah tidak menganggap mana-mana bidang pengajian yang lain daripada ilmu akhlak bersifat ilmu yang bebas sepenuhnya daripada ilmu akhlak. Mereka percaya tanpa ilmu akhlak dan pembersihan rohani, penguasaan ilmu-ilmu yang lain bukan sahaja tidak bernilai, malah ia akan membawa kepada terhalangnya pengamatan dan kemusnahan sepenuhnya kepada mereka yang mencari ilmu-ilmu tersebut.

BAHAGIAN :

Akhlak itu mengandungi dua perkara utama iaitu akhlak terhadap Khaliq dan akhlak terhadap makhluk. Akhlak terhadap makhluk terbahagi kepada dua bahagian iaitu akhlak terhadap manusia dan akhlak terhadap bukan manusia. Akhlak terhadap manusia terdiri daripada akhlak terhadap diri sendiri, ibubapa, tetangga dan masyarakat.Manakala akhlak terhadap bukan manusia terdiri daripada akhlak terhadap flora, fauna dan binatang.

KESIMPULAN :

Akhlak karimah merupakan sebahagian daripada ajaran Islam. Semua umat Islam hendaklah berakhlak karimah sesuai dengan martabat mereka yang diangkat oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam al Quran al Karim, surah al Mujadalah, ayat 11 :

يرفع الله الذين ءامنوأ منكم والذين أوتواالعلم درجت

Ertinya,” …nescaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu beberapa derajat ….”.

Lantaran itu, seharusnya umat Islam seluruhnya mempunyai akhlak karimah yang dituntut oleh ajaran Islam itu.