Wednesday, June 18, 2014

Memahami Islam Dalam Perlembagaan Malaysia

Memahami Islam Dalam Perlembagaan MalaysiaPosted on Wednesday, June 18 @ 14:17:47 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan


Artikel Oleh Khairil Anuar Ramli

Ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Negara bukanlah satu kebetulan yang dilakukan secara tidak sengaja oleh mereka yang merundingkan Kontrak Sosial lebih lima puluh tahun yang lampau. Ia adalah pernyataan tegas oleh semua yang telah berperanan merundingkan proses kemerdekaan. Ia adalah rumusan yang telah mengambilkira latar belakang sejarah, dinamika budaya tempatan, ciri-ciri ketamadunan dan ketatanegaraan di Persekutuan Tanah Melayu. Ketetapan ini tidak pernah menolak keperluan mana-mana anggota masyarakat yang lain untuk menghayati mana-mana agama yang menjadi anutannya.

Peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan ini merupakan salah satu dari tujuh ciri-ciri asas Perlembagaan Negara sepertimana yang dicatat oleh Tun Mohamed Suffian, bekas Ketua Hakim Negara (1974-1982). Menurut beliau,
“The fourth basic feature of theConstitution providing for Islam to be the religion of the federation (Article 3(1)) (not for a theocratic state) and at the same time guaranteeing freedom of religion was accepted without controversy and debate.

The rulers of the Malay States and the Malay population were Muslims even before the arrival of the Portuguese in the sixteenth century and the Muslim population have always been tolerant towards the followers of any or no religion." (An Introduction to the Legal System in Malaysia, 1989, hal. 13).


Lain-lain ciri-ciri asas Perlembagaan Malaysia, menurut beliau lagi, ialah:-

(1) Malaysia sebagai sebuah Persekutuan (Perkara 1);
(2)Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan (supremacy of the Constitution) (Perkara 4(1));
(3) Pengasingan Kuasa antara Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman (separation of powers);
(4) Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) (Perkara 39);
(5) Demokrasi Berparlimen (Perkara 44); dan
(6) Badan Kehakiman yang terpisah dan bebas dari penguasaan Parlimen dan Eksekutif (Perkara 128).

Kesemua ciri-ciri asas ini sememangnya wajar dipertahankan! Menurut almarhum Profesor Ahmad Ibrahim (m. 1998) di dalam kertaskerjanya, “Islam and The Constitution" yang dibentangkan di Universiti Malaya pada 23 Ogos 1987, ketika Suruhanjaya Perlembagaan dibentuk pada 1956, terma rujukannya (terms of reference) secara khusus memperuntukkan, antara lain, bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu mempunyai peruntukan-peruntukan seperti:-

(a) melindungi kedudukan (position) dan mertabat (prestige) Raja-Raja Melayu di negeri-negeri masing,
(b) Yang Di-Pertuan Agung perlu dipilih dari kalangan Raja-Raja Melayu, dan
(c) melindungi kedudukan istimewa kaum Melayu.

Profesor Ahmad Ibrahim kemudiannya merumuskan kertaskerja beliau:
“There seems a need therefore to give a proper place to the Islamic law and the Shariah Courts and thus to implement the provision that Islam is the religion of the Federation. As Islam is the religion of the Federation the Shariah as based on the Holy Quran and the Sunnah must be enforced in the Federation and it should be provided that any law which is inconsistent with the HolyQuran and the Sunnah shall be void to the extent of such inconsistency.

The Privy Council has ruled that in the case of Singapore a law to be valid must conform to the fundamental rules laid down by the English Common Law. This view seems to be acceptable to some in Malaysia too but as Islam is the religion of the Federation surely the fundamental principles of the laws should be based in Malaysia not on the English Common Law but on the Shariah.

"Tidak sampai setahun kemudiannya, pada 10 Jun 1988, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan memperuntukkan fasal 1A kepada Artikel 121 Perlembagaan yang menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai sebarang bidang kuasa (jurisdiction) terhadap perkara-perkara yang menjadi bidang kuasa Mahkamah Shariah. Pelaksanaan pindaan ini, pada awalnya, menemui beberapa kesukaran sehinggalah Mahkamah Agong membuat keputusan di dalam kes Mohd Habibullah Mahmood v Faridah Dato’ Talib pada tahun 1993. Dengan kes ini, kedudukan Mahkamah Shariah semakin diperkukuhkan. Perdebatan kemudiannya merujuk kepada apa yang dimaksudkan dengan “bidang kuasa Mahkamah Shariah".

Kini setelah hampir dua puluh tahun pindaan ini dilakukan, bukan sahaja pindaan ini yang dicabar, malah beberapa peruntukan lain secara tidak langsung turut menjadi pertikaian termasuklah apa yang disifatkan sebagai ciri-ciri asas kepada Perlembagaan Persekutuan. Beberapa akta dan mekanisme baru pula cuba diketengahkan untuk mencabar secara tidak langsung institusi-institusi yang telah diwujudkan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini, umpamanya institusi mufti dan pihak pentadbiran agama negeri-negeri. Keputusan Mahkamah Shariah dipertikaikan. Perjalanan pentadbiran agama negeri negeri diperlekehkan. Malah tanggungjawab keagamaan untuk mengawal moral dan akhlak umat Islam sendiri ditanggapi sebagai mengganggu “privacy” golongan-golongan tertentu dan berselindung di sebalik hak asasi manusia. Yang sedihnya, gelombang reformasi yang diharapkan dapat mengembalikan kemuliaan insan (karamah insaniyyah) semakin karam dalam agenda perebutan undi dan kuasa. Tegasnya, apa yang telah diperkukuhkan selama 50 tahun negara merdeka, kini sedang cuba dirungkai. Kita semakin kembali ke zaman ketika kita dijajah.

Fenomena murtad dan implikasinya menjadi isu hangat yang mencabar keputusan dan kedudukan Mahkamah Shariah. Hal ini menjadi lebih sulit sekiranya disulami dengan campurtangan politik dan ketidakcekapan (incompetence) birokrasi. Ada pula yang mengambil untung dari kemelut kekeluargaan yang timbul berikutan fenomena murtad dan perceraian ini. Apakah kepentingan mereka ini adalah untuk mendamaikan perpecahankeluarga atau mengambil kesempatan politik (political mileage)? Apa yang berlaku kini cuba ditunjuk-tunjukkan sebagai permulaan satu perpecahan besar yang sudah tidak terelak, hanya retak menanti belah. Bagaikan kaum-kaum tertentu dihimpit, didiskriminasi habis-habisan tanpa belas kasihan dan dianiayai manakala kaum-kaum lain begitu zalim menguasai dan mendominasi. Sedangkan nilai-nilai yang menyatukan pelbagai kaum jauh lebih banyak dari yang membezakan mereka. Sesetengahnya pula begitu alergik dengan istilah-istilah kemelayuan dan Islami. Manakala sesetengah yang lain pula melihat sesuatu hanya menerusi kaca mata politik. Segala-gala dihitung melalui untung rugi politik dan perspektif perkauman sempit.

Sudah tidak ada lagi yang sanggup berlapang dada.Hari ini apa yang disifatkan berlapang dada ialah mengorbankan prinsip asasi yang mendefinisi seseorang. Sedangkan sebenarnya kita perlu bersatu dalam soal-soal yang dibolehkan dan berlapang dada dalam soal-soal prinsip yang memerlukan kita berbeza. Yang penting bukannya berbeza atau tidak berbeza; tetapi memahami di mana titik-titik perbezaan tersebut dan memastikan kita tidak akan berpecah hatta ketika kita berbeza.Sememangnya kita bersetuju dengan pandangan ramai pihak untuk kita mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah seruan YM Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak pada 3 April 2007 ketika menyampaikan ucaputama di Young Malaysians’ Roundtable Discussion on National Unity and Development in Malaysia: Prospects and Challenges for Nation Building. Di dalam ucaptamanya, beliau juga menganjurkan agar semua mengamalkan sikap kompromi (compromise) dan akomodasi (accommodation) ketika begitu ramai enggan berkorban dan hanya ingin menang serta mendominasi.

Malah, ramai yang masih tidak mahu menerima hakikat bahawa Mahkamah Shariah adalah setaraf dengan Mahkamah Sivil, sebagaimana yang telah diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan sejak hampir 20 tahun lalu. Ketika golongan-golongan ini bersetuju dengan pendirian untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, pada masa yang sama, mereka menafikan kedudukan dan peranan Islam di dalam Perlembagaan. Sesungguhnya kedudukan Islam tersebut bukannya sekadar hiasan. Ia perlu diagendakan. Usaha untuk menterjemahkan Islam dalam dasar pentadbiran dan sebagainya tidak boleh diharapkan ke atas mereka yang sinis dengan potensi dan peranan Islam meskipun mereka beragama Islam. Di atas pertimbangan tersebut, demi memastikan tiada sebarang pencapaian generasi lampau dalam mengukuhkan peranan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, beberapa usaha perlu difikirkan. Pertama, sebuah gerakan pencerdasan undang-undang kepada masyarakat Islam perlu diusahakan.

Ia perlu menjelaskan tentang hak dan keperluan mempertahankan serta melaksanakan peruntukan Perlembagaan khususnya yang bersangkutan dengan Islam. Gerakan pengilmuan ini lebih menjamin keberkesanannya pada tempoh jangka panjang. Kedua, sebab-sebab yang mendorong fenomena murtad berlaku perlu didalami dengan mengkaji apakah mereka terdorong murtad kerana ketidakyakinan mereka kepada Islam atau sebab-sebab lain yang belum kita ketahui. Seandainya ia disebabkan oleh ketidakyakinan mereka, maka cara bagaimana mereka mempelajari Islam dan bagaimana masyarakat Islam mendekati mereka perlu diperkemaskan. Akhirnya yang menjadi keutamaan kita ialah proses pengilmuan dan pendakwahan. Hanya inilah benteng ketahanan yang paling ampuh yang boleh dibina di dalam setiap diri penganut Islam, tanpa sebarang pindaan kepada mana-mana peruntukan Perlembagaan!

Sumber: Minda Madani 

30 Orang Pertama Dalam Islam

30 Orang Pertama Dalam IslamPosted on Wednesday, June 18 @ 14:39:22 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan



Info @ Maklumat 1. Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS.

2. Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS.

3. Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim AS.

4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS.

5.. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat : Nabi Adam AS.

6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah : Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS)

7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat : Nabi Muhammad SAW.

8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam : Abu Bakar As Siddiq RA.

9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah : Umar bin Al-Khattab RA.

10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hasan bin Ali RA.

11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW : Thuwaibah RA.

12.. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah RA.

13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita : Sumayyah binti Khabbat RA.

14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA.

15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas RA.

16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan adzan: Bilal bin Rabah RA.

17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib RA.

18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-dary RA.

19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam RA.

20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW : Ibban bin Othman bin Affan RA.

21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah binti Khuwailid RA.

22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH.

23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam: Ali bin Abi Tholib RA.

24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam : Muawayah bin Abi Sufyan RA.

25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam : Harun Ar-Rasyid RH.

26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal : Umar Al-Khattab RA.

27. Orang yang pertama menghafal Al-Qur'an selepas Rasulullah SAW : Ali bn Abi Tholib RA.

28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah : Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur RH.

29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair RA.

30. Orang yang pertama masuk ke dalam syurga : Nabi Muhammad SAW.

Sumber dari saidinhasnam.blogspot.com