Maqasid Syari’ah
ialah matlamat-matloamat Syariah di dalam kesemua atau kebanyakan hukum-hukum
syara’.
Sesungguhnya
Syariah Islam diperuntukan bagi kepentingan umat di dunia dan juga di akhirat.
Syariah Islam bertujuan untuk memberikan kebaikan atau menghalang kemudharatan
ke atas mereka. Syariah Islam menuju ke arah membahagiakan individu dan
masyarakat, menjaga sistem dan membangun dunia bagi membolehkan manusia sampai
ke kemuncak kesempurnaan, kebaikan dan ketamadunannya.
Di antara maslahah
dari sudut kesannya terhadap masyarakat ialah Dharuriah al Khamsah. Dharuriah al
Khamsah ialah maslahah asasi yang merupakan perkara pokok untuk kehidupan
beragama dan keduniaan manusia. Tanpa maslahah ini, nescaya berlakulah
kepincangan hidup manusia di dunia dan kehilangan nikmat yang abadi serta
mengalami keseksaan di akhirat nanti.
Dharuriah al
Khamsah ini ialah agama, jiwa, aqal, nasab ( keturunan ) dan harta benda.
Segala urusan keagamaan dan keduniaan dibina atas maslahah-maslahah ini dan
hanya dengan memeliharanya, segala urusan individu dan masyarakat berjalan
dengan baik.
Islam menjaga
maslahah-maslahah ini di dalam dua segi iaitu mewujudkanya dan mengekalkannya.
Yang pertama merupakan dari segi positif yang berkaitan dengan penjagaannya dari
sudut wujud dan yang kedua merupakan segi negatif yang berkaitan penjagaannya
dari sudut tidak ada.
Untuk
merealisasikan agama, Allah telah mewajibkan perlaksanaan segala rukun Islam
yang lima, jihad dan mengenakan seksa ke atas mereka yang keluar daripada
Islam.
Bagi
mententeramkan jiwa, Islam telah mensyariatkan perkahwinan untuk kesinambungan
generasi manusia, mewajibkan makan, minum dan berpakaian serta mengenakan hukum
ke atas pembunuhan iaitu qisas, diat dan kaffarat.
Untuk mewujudkan
aqal yang sihat, Islam mengharuskan setiap perkara yang menjamin keselamatan
aqal dan menyuburkannya dengan menuntut ilmu pengetahuan. Untuk menjaga aqal
ini, Islam mengharamkan setiap perkara yang boleh merosakkan atau melemahkan
kekuatan aqal seperti minum minuman yang memabukkan dan mengambil sesuatu yang
boleh mengkhayalkan seperti dadah. Islam juga mengenakan hukuman yang
menakutkan ke atas mereka yang mengambil sesuatu yang memabukkan atau
merosakkan aqal.
Untuk mewujudkan
keturunan, Islam telah mensyariatkan perkahwinan. Untuk menjaga keturunan ini,
Islam mengharamkan zina dan qazaf serta mengenakan hukuman ke atas orang yang
berzina dan membuat qazaf. Lantaran itu, keturunan manusia akan berterusan dan
terpelihara dari bercampur aduk keturunan.
Untuk menghasilkan
harta, Islam mewajibkan berusaha mencari rezeki yang halal dan mensyariatkan
muamalat di antara manusia seperti berjual beli, sewa menyewa, hibah, syarikat
dan pinjam meminjam.
Untuk memelihara
harta, Islam mengharamkan mencuri, mengharamkan penipuan, khianat, riba dan
memakan harta orang lain secara tidak sah. Islam mewajibkan hukum potong tangan
dan ganti rugi ke atas harta-harta yang dimusnahkan.
Menurut syariat
ada lima ragam perintah Allah SWT yang diistilahkan al ahkam al khamsah ( hukum
yang lima ):
1. Wajib atau fardhu; mesti dikerjakan. Kalau dikerjakan
mendapat pahala dan ditinggalkan mendapat dosa.
2. Sunat atau mandub; dianjurkan untuk dikerjakqan. Kalau
dikerjakan mendapat pahala dan kalau ditinggalkan, tidak mendapat dosa.
3. Jaiz atau mubah; terserah: boleh dikerjakan, boleh
ditinggalkan. Kalau dikerja atau ditinggalkan tidak mendapat apa-apa.
4. Makruh; dianjurkan untuk ditinggalkan. Kalau
ditinggalkan mendapat pahala dan sekiranya dikerjakan, masih belum berdosa.
5. Haram; dilarangkan mengerjakan. Kalau dikerjakan
mendapat dosa dan kalau ditinggalkan mendapat pahala.
Semua perkara yang
diwajibkan oleh Allah SWT adalah bagi pembinaan kesejahteraan manusia itu
sendiri. Semua yang diharamkan Allah SWT adalah untuk menjaga keselamatan dan
kesejahteraan aqidah atau agama, diri ( rohani dan jasmaniah ), kehormatan
diri, keselamatan harta benda dan keselamatan dan kesejahteraan keturunan.
Setiap yang
mengancam atau merosakan aqidah, diri, aqal, harta dan keturunan itu diharamkan
oleh Allah SWT. Contohnya :
i.
Diharamkan syirik, bida’ah, khurafat dan mementingkan lain daripada
Allah SWT kerana merosakan aqidah atau agama.
ii.
Diharamkan arak, heroin, membunuh dan makanan tertentu kerana ia
merosakkan rohaniah atau jasmaniah.
iii.
Diharamkan cabul, membuka aurat, berkhinat, melanggar janji dan rogol
kerana ia merosakan kehormatan.
iv.
Diharamkan judi, boros dan riba’ kerana ia merosakan harta benda.
v.
Diharamkan zina dan mendirikan keluarga tanpa nikah kerana ia merosakkan
keturunan.
vi.
Oleh itu, syari’at
itu adalah jalan bagi mewujudkan keselamatan dan kesejahteraan naluri asasi
manusia.