Saturday, August 7, 2021

Sebab Kristian Bersungguh Ingin Menggunakan Kalimah Allah

 Mengapa Kristian Bersungguh Ingin Menggunakan Kalimah Allah?

==============

1. Sinar Harian melaporkan semalam keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu. Mereka juga dibenarkan untuk menggunakan perkataan Solat, Kaabah dan Baitullah.


2. Timbul persoalan di sini, mengapa sebahagian penerbitan Kristian bersungguh menterjemahkan perkataan God kepada Allah sedangkan ia di sisi umat Islam memberikan makna yang berbeza? Bukankah ia akan menimbulkan lebih keraguan? Mengapa Kristian ingin menggunakan perkataan Solat sedangkan kita tahu Prayer dan Solat mempunyai pemaknaan yang berbeza? 


3. Perkara yang sama pernah diutarakan oleh Prof Syed Naquib al-Attas pada rombongan Kristian yang datang bertamu ke ISTAC. Prof al-Attas mengajukan soalan tentang mengapa kamu ingin menggunakan kalimah Allah setelah sekian lama menggunakan perkataan God atau Tuhan?


4. Mereka menjawab: “Kami ingin bersikap lebih patriotik dan kami akan berdoa menggunakan Bahasa Malaysia.” Anehnya perkataan Allah bukanlah berasal dari Bahasa Malaysia bahkan konsep ketuhanan dalam kedua agama ini sangat berbeza.


5. Umat Islam meyakini Allah itu satu melalui konsep Tauhid sedangkan Kristian percaya pada doktrin Trinity yang menampilkan tiga elemen dalam perkara ketuhanan. Kedua konsep ini amat jauh bertentangan.


6. Malah penggunaan Kalimah Allah pernah dibantah dperingkat antarabangsa oleh paderi Kristian sendiri kerana ia menimbulkan keraguan terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian sendiri. Sebagai contoh:


[a] Rob Phillips iaitu Pengarah Komunikasi Missouri Baptist Convention dan mubaligh Gereja Baptis melalui artikelnya bertajuk “Yahweh (the God of the Bible) vs Allah (the God of the Koran)” menyatakan bahawa Allah bukanlah Tuhan yang dinyatakan dalam Al Kitab.


[b] Dr. R. Albert Mohler Jr. iaitu Presiden The Southern Baptist Theological Seminary mempertikaikan saranan penganut Kristian menggunakan nama Allah kerana al-Quran secara jelas menegaskan Allah tidak mempunyai anak dan menolak prinsip triniti yang dibawa oleh Kristian.


[c] Dave Armstrong tokoh dari Gereja Roman Katolik dalam artikelnya berjudul “Does the Catholic Church Equate Allah and Yahweh?” menegaskan bahawa Allah dan Tuhan yang dimaksudkan dalam Kristian adalah entiti yang tidak sama.


7. Biarpun sebahagian tokoh Kristian antarabangsa tidak bersetuju dalam isu terjemahan perkataan God kepada Allah, kesungguhan gerakan Kristian di Malaysia dalam memperjuangkan kalimah Allah ini menimbulkan pelbagai pertanyaan.


8. Dari aspek positifnya, penggunaan kalimah Allah dalam kalangan Kristian membuka dimensi baharu dalam medan dakwah. Kita berpeluang memahamkan kepada pelajar atau sahabat Kristian kita tentang Allah dari perspektif Muslim.


9. Allah adalah Tuhan yang sama buat Muslim mahupun Kristian. Namun kita harus tegaskan kepada mereka bahawa ajaran Trinity yang dibawa oleh Kristian adalah bercanggah dengan konsep Tauhid yang jelas ditegaskan oleh al-Quran bahawa Tuhan itu satu, Dia tidak mempunyai anak dan Nabi Isa (Jesus) hanyalah seorang Nabi.


Semoga Allah membimbing kita.


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi


Sumber:

[1] Temubual Prof al-Attas: https://www.facebook.com/193058140711532/posts/571149779569031/


[2] Buku MAIS:

http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/Buku-Kalimah-Allah-Full-Version_BM.pdf

Sajak : Covid 19

 Corona virus 19

Ringkasmu covid 19

Asalmu tidak diketahui

Ada yang menyatakanmu...........

Asal dari Wuhan, China


Kau melanda seluruh pelusuk dunia

Dari utara hingga selatan

Dari timur hingga barat

Dari Amerika hingga ke Austaria

Dari Jepun hingga ke Arab

Kau melanda tidak terhingga


Kau pembunuh senyap

Anak kehilangan ibu

Anak kehilangan bapa

Cucu kehilangan datuknya

Rakan kehilangan taulannya

Kawan kehilangan sahabatnya


Kau bunuh semuanya

Para doktor

Para pensyarah

Para ilmuan

Para pendidik

Orang kecil

Orang besar

Orang kenamaan

Orang tua

Orang muda

Itulah takdir Ilahi

Tapi kau la sebabnya.

Kepentingan Peribadi, Parti dan Islam

 Tulisan yg baik utk ummah bermuhasabah


Oleh Dato Hj Asad Awang (Ahli Majlis Fatwa Perak)


KEPENTINGAN PERIBADI, PARTI DAN ISLAM


1. Setiap pemimpin dan ahli pertubuhan politik mestilah jelas tujuan mereka bergiat aktif dalam pertubuhan berkenaan.  Parti politik yang disertai itu hanyalah perantaraan dan platform untuk mencapai sesuatu. Menurut Islam, berjamaah, bersatu dan mendapatkan kuasa politik adalah wajib kerana ia adalah alat yang mesti ada bagi melaksanakan hukum Allah. Tanpa kuasa politik kebanyakan hukum berkaitan jenayah umpamanya tidak boleh ditegakkan atau dilaksanakan. Tanpanya juga sebahagian besar prinsip keadilan, pemeliharaan agama, nyawa, maruah, akal dan harta tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kaedah Fiqh menyebut: 

“Sesuatu perkara yang tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan adanya suatu perkara, maka mengadakan perkara itu adalah wajib”


Ibarat nak solat memerlukan kain penutup aurat. Mengadakan kain tersebut juga adalah wajib. Demikianlah juga, tanpa adanya kerajaan yang kukuh yang dipimpin oleh orang  Islam, hukum-hukum Islam tidak dapat dilaksanakan. 


2. Dalam kalangan orang Islam ada yang bergiat active dalam parti politik tertentu dengan niat untuk menjadi Presiden, Perdana Menteri, Menteri, MP, Adun atau jawatan-jawatan lain yang dapat memenuhi cita-citanya untuk memiliki kekayaan, pangkat dan kedudukan, kekuasaan dan sebagainya. Ia percaya parti politik tersebut sesuai dan boleh dijadikannya tunggangan mencapai hasrat tersebut. Baginya parti politik tersebut hanyalah semata-mata tunggangan, bukannya kejelasan dasar, visi, misi atau objektif parti tersebut yang didokong atau diperjuangkannya. Jarang berlaku parti politik mengubah dasar perjuangannya, namun sering berlaku ahli melompat, keluar masuk dari satu parti ke parti lain kerana kehilangan keyakinan parti itu dapat dipergunakannya bagi mencapai cita-citanya. Sebagai helah bagi menghalalkan dirinya menjadi katak lompat diberikan pelbagai alasan seperti parti atau pucuk pimpinan tidak lagi memperjuangkan dasar utama parti. Baginya niatnya bergiat sebagai ahli politik bukanlah untuk membela Agama, bangsa atau negara. Niatnya ialah untuk kepentingan peribadi.


3. Ada juga individu yang berlagak seperti pejuang dan pemimpin Islam, namun hatinya diselaputi sifat kemunafikan. Kepetahannya berpidato dan mempunyai ramai pengikut digunakan untuk menonjolkan diri kekedudukan tertinggi dalam parti bagi merealisasikan impian peribadinya menjadi pemimpin negara. Apabila dirasakan kedudukan dan kepentingan peribadinya tergugat atau tidak menjadi pilihan utama lagi, lantas ia keluar dari parti berjenama Islam yang didokongnya selama ini dan menubuhkan parti baru atau melompat ke parti lain atau bergabung dengan parti lain, hatta parti yang memusuhi Islam itu sendiri. 

4. Amat sukar menemui orang yang berjuang ikhlas dalam parti, sanggup menghadapi cabaran kesusahan, kesempitan kehidupan atau kehidupan yang sederhana sehingga ke akhir perjuangan. Perkembangan semasa politik negara memaparkan ramai pemimpin katak yang sanggup menggadaikan agama, maruah diri demi menjaga kepentingan diri. Pemimpin-pemimpin yang terbabit dengan kes mahkamah, rasuah dan penggelapan wang rakyat pula sanggup menghancurkan partinya sendiri, memusnahkan bangsa sendiri bahkan agama yang dianutinya.


5. Sudah 64 tahun negara ini merdeka. Sudah lapan orang Melayu Islam menduduki kerusi Perdana Menteri. Bahkah ada yang mendudukinya dua kali untuk tempoh suku abad. Dalam keadaan amat berkuasa begitupun, kedudukan Islam dan orang Melayu tidak diperkukuhkan. Tanah rezab Melayu semakin mengecil. Hutan simpan dicerobohi dan diserahkan kepada bukan Melayu. Bukit bukau digondolkan. Kekebalan raja-raja Melayu dihapuskan. Kalimah Allah yang selama ini dikhususkan kepada orang Islam dibenarkan untuk dikongsi dengan penganut lain. Keputusan mahkamah Syariah berkaitan anak jagaan pasangan berlaingan agama dan undang-undang liwat dibatalkan oleh Mahkamah Sivil. Bahkan banyak lagi kes-kes lain yang menunjukkan pemerkasaan Islam tidak pun dilakukan dengan baik seperti yang diwar-warka


n dalam ucapan sewaktu majlis-majlis rasmi sewaktu sambutan Maal Hijrah atau Maulid Nabi s.a.w. Kuasa mahkamah Syariah terus ketinggalan dengan keadaan 3,5,6.


6. Parti utama orang Melayu di Semenanjung dahulunya hanyalah UMNO dan PAS sahaja. Perebutan menjadi pemimpin secara tidak sihat menjadi barah dalam kalangan orang Melayu Islam. Natijahnya perpecahan semakin parah, kuasa politik orang Melayu semakin lemah. Dari PAS lahir Amanah. Dari UMNO pula lahir PKR, BERSATU  dan parti-parti nyamuk yang lain seperti pejuang.  Sewaktu majoriti dua pertiga  berada di tangan UMNO dan BN pun peluang memperkasakan Islam tidak diambil atau digunakan . Sewaktu Dr. Mahathir berkuasa kira-kira suku abad, beliau tidak pun mengambil peluang meminda perlembagaan bagi memperkasakan kedudukan Islam. Kini setelah hampir semuanya hilang atau luput, dan semua parti orang Melayu menjadi parti nyamuk pun mereka masih saling fitnah memfitnah, cantas mencantas, jatuh menjatuhkan demi menjaga kepentingan peribadi masing-masing. 


7. Parti politik dan kuasa memerintah itu hanyalah alat untuk mendaulatkan kalimah Allah. Ia adalah alat bagi membolehkan dilaksanakan hukum-hukum Allah. Ia adalah alat bagi menegakkan keadilan sesama hamba Allah dan menjamin seseorang dapat beribadah kepada Allah dengan aman damai. Mendapat kuasa bukannya matlamat perjuangan. Ia juga bukan matlamat hidup yang mengukur kejayaan seseorang. Matlamat sebenar ialah mendapat keredaan Allah. Keredaan Allah boleh dicapai oleh orang yang berjaya memegang kuasa dan yang tidak memegang kuasa. Orang yang memegang kuasa belum tentu mendapat keredaan Allah. Ramailah para syuhada’ yang gugur tetapi mencapai keredaan Allah. Kuasa itu sendiri suatu amanah yang amat besar dan berat yang boleh menceburkan seseorang kelembah kehinaan dan kemurkaan Allah jika tidak ditunaikan sebaiknya.


8. Firman Allah: 


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka menyembahKu” Al-Dzariat 56. Firman Allah : 


وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ

“Dan mereka tidak disuruh melainkan agar menyembah Allah dengan ikhlas mentaatiNya demi Agama” a-Bayyinah 5. 


 Abdullah bin Qais al-Asya’ari r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. pernah ditanya mengenai seorang yang berperang menunjukkan keberanian, seorang yang berperang kerana menunjukkan semangat kesukuannya, dan seorang yang berperang kerana ria’, mana satu termasuk dalam Fi SabililLah?. Sabda RasululLah s.a.w.; Sesiapa yang berperang (berjuang) dengan niat agar kalimah Allah itu tinggi, itulah yang dikira Fi SabililLah”. Muttafaq Alaih.


Dalil-dalil berkenaan merujuk kepada perjuangan yang ikhlas kerana meninggikan kalimah Allah, kerana mencari keredaanNya, bukan kerana keduniaan atau kepentingan peribadi.


9. Semua pemimpin politik beragama Islam sewajarnya sanggup mengorbankan kepentingan peribadi, bahkan kepentingan parti demi masa depan Islam dan kelangsungan umat Islam di negara ini. Apalah ertinya meraih kepentingan peribadi atau parti sekiranya tidak diredai Allah. Pemimpin yang curang atau tidak berintegriti akan dilaknat Allah serta generasi akan datang. Pemimpin-pemimpin yang tidak berintegriti, terlibat dengan kes-kes mahkamah, wajar mengundurkan diri, bukannya menggunakan kedudukan dan parti bagi menggugurkan semua pertuduhan yang dihadapi. Hadapilah kes dan pertuduhan dengan alibi, bukti dan saksi yang dapat membersihkan diri mereka dari pertuduhan berkaitan. Ibarat kata; “Berani kerana benar, takut kerana salah.” “Berani buat, beranilah tanggung”. Menggunakan kedudukan bagi menggugurkan pertuduhan amatlah keji dan terkutuk. Aishah r.a. meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:

لو أنَّ فاطمةَ بنتَ مُحمَّدٍ سرَقَتْ، لقطَعْتُ يدَها.

Andainya Fatimah binti Muhammad mencuri (pun), pasti aku potong tangannya.

      Riwayat Abu Daud & Nasai’e

     Hukum dan undang-undang tidak mengenal sesiapa, meskipun pemimpin atau keluarga pemimpin.

10. Akhir sekali penulis menyeru semua pemimpin Islam agar bersatupadu, duduk semeja berunding dan berto

PhD bukan Mudah

 Kadang-kadang saya bertemu dengan kawan yang menyatakan minat untuk sambung pengajian PhD. Biasanya orang akan galakkan ambil pengajian PhD. Tetapi saya akan katakan kepadanya, Jangan ambil PhD!


Pengajian PhD bukan semudah disangka. Ia satu perjalanan seorang diri mencari satu penyelesaian bagi benda yang tidak pasti. Jika tidak boleh berdikari dalam penyelidikan maka PhD bukan untuk anda.


Penyelia hanya sebagai pemudah cara. Ada penyelia yang membantu dari hingga A hingga Z. Ada penyelia yang hanya membantu dengan sekuntum senyuman. Jika mengharapkan penyelia maka PhD bukan untuk anda.


Pengajian PhD melibatkan pengorbanan yang banyak. Pengurusan rumah tangga seperti masa untuk pasangan dan anak bertembung dengan masa berfikir, menulis dan blur. Jika tidak bijak mengurus rumah tangga maka PhD bukan untuk anda.


Pengajian PhD bukan kunci untuk dapat kerja. Ramai graduan PhD tiada kerja. Hendak masuk industri dikatakan 'over qualified'. Hendak masuk universiti syarat amat sukar. Jika mengharap dengan PhD untuk dapat kerja maka PhD bukan untuk anda.


Pengajian PhD adalah satu tahap dalam pendidikan terhadap satu kajian khusus dan spesifik. PhD bukan menyebabkan kita menjadi mahaguru dalam semua topik. Jika mengharapkan PhD untuk menjadi cerdik pandai dalam semua perkara maka PhD bukan untuk anda.


Pengajian PhD cukup sukar. Bayangkan selama 4-5 tahun hidup dalam dunia sendiri. Jangan percaya dengan orang kata PhD adalah mudah. PhD hanya berasa mudah setelah siap PhD. Jika anggap PhD adalah mudah maka PhD bukan untuk anda.


Selepas saya jelaskan perkara-perkara di atas kepada kawan saya. Saya melihat kawan saya masih berminat untuk mengambil pengajian PhD. Saya boleh rasakan semangatnya yang membara. Barulah saya katakan kepadanya seperti berikut: 


"Nampaknya hang bersungguh hendak ambil PhD. Hang cari tajuk yang mudah. PhD bukan nak dapat Hadiah Noble. PhD hanya sekeping sijil. Pastikan habis PhD. Jangan sangkut tengah jalan. Moga Allah permudahkan segala urusan"


Kesimpulannya, pengajian PhD bukan untuk semua orang. Tetapi jika pengajian PhD adalah satu impian dan sudah memahami implikasi pengajian PhD. Maka terus melangkah ke depan. Allah bersama kamu!


Dr. Abdél Rahmanov

28 Mei 2021

Memilih PhD yang betul

 Memilih PhD yang betul


July 22, 2021


Menulis cadangan penyelidikan yang baik


Memandangkan tahap dan kualiti pengajian PhD yang tinggi, calon mestilah memastikan projek kajian yang dicadangkan adalah sesuai dengan tahap PhD. Kerana itu, dalam membuat cadangan penyelidikan (research proposal), seseorang calon digalakkan membaca tesis PhD dalam bidang dan contoh cadangan penyelidikan. Ini dapat membantu calon menyiapkan cadangan penyelidikan yang baik. Dapatkan nasihat daripada pakar bidang. 


Setelah tajuk kajian itu dihantar ke fakulti atau universiti untuk mendapatkan tempat pengajian, projek kajian PhD ini akan dibuat penilaian untuk penawaran tempat. Seperti yang disebut sebelum ini, projek kajian akan berubah dengan maklum balas oleh jawatankuasa penilaian defend proposal yang lazimnya dibuat dalam tahun pertama pengajian. Jangan malu untuk berkongsi dengan mereka yang lebih mahir dalam penyelidikan PhD untuk mendapat nasihat. 


Mencari penyelia yang berpengalaman


Penyelia sangat penting dalam pengajian PhD. Dalam mencari penyelia atau yang ditentukan oleh fakulti atau jabatan di universiti, satu perkara pokok ialah penyelia mempunyai pemikiran yang dikongsi bersama dengan calon PhD (share the same school of thought). Terdapat beberapa kes di mana calon PhD dan penyelia mempunyai fikrah berbeza yang membawa kepada pertikaian pandangan sehingga ada yang membawa kepada perbalahan. Agak sukar bagi calon PhD untuk meneruskan pengajian sekiranya keadaan ini wujud. Maka, perlu calon PhD membuat sedikit semakan latarbelakang penyelia dengan membaca tulisan beliau.


Satu lagi kriteria penting kejayaan ialah hubungan yang baik antara penyelia dan calon PhD kerana ia akan membawa hasil yang positif. Justeru, pepatah yang mengatakan ‘supervisor is always right’ amat tepat sekali. Ini kerana kejayaan seseorang calon PhD banyak bergantung kepada persetujuan penyelia.


Pengalaman belajar semasa di peringkat Sarjana (LLM) dan PhD di SOAS, kebanyakan pensyarah Undang-undang Islam adalah bukan-Islam. Mereka adalah orientalist tetapi tidak bermusuhan dengan Islam. Untuk dua subjek Undang-undang Islam semasa ambil LLM, ketiga-tiga pensyarah adalah penganut agama Kristian tetapi fasih berbahasa Arab. 


Prof Chibli Mallat seorang bangsa Arab Kristian yang selalu membawa tasbih semasa memberi kuliah. Dr Doreen Hinchcliffe pakar Faraid dan Mr Ian Edge, penyelia kedua PhD saya adalah juga seorang peguam Undang-undang Komersial Arab, mahir berbahasa Arab. Prof Menski pula seorang Pakar Undang-undang India dan Pakistan. Seorang lagi pensyarah dalam Undang-undang Perbandingan Komersial Arab, Prof. Ballantyne amat fasih berbahasa Arab. Kebanyakan Pakar Undang-undang Islam di Jabatan Undang-undang SOAS adalah anak murid Prof Coulson, Pakar Undang-undang Islam yang merupakan penyelia kepada Prof Dato’ Dr Mohammad Hashim Kamali (PhD) dan Prof Dato’ Dr Monir Yaacob (MPhil).


Satu keunikan belajar Undang-undang Islam di SOAS ialah pensyarah dan penyelia meraikan pandangan calon selagi mana ia mempunyai fakta dan alasan yang kukuh. Adunan rujukan buku Arab dan Inggeris serta bahasa lain termasuk Bahasa Melayu menjadi kekuatan sesebuah tesis.


Semasa saya memohon kemasukan pengajian PhD di SOAS, saya memilih Prof Andrew Harding, Pakar Undang-undang Perlembagaan Malaysia termasuk negara Asia Tenggara. Penyeliaan di bawah Prof Harding berjalan sehingga pengajian di awal tahun ketiga bila mana dia memaklumkan bahawa beliau akan berhijrah ke Kanada. Seperti yang saya kongsi sebelum ini, Mr Ian Edge mengambil alih tugas sehingga saya berjaya mendapat PhD. Kedua-dua penyelia ini menerima hujah, fakta dan pandangan yang saya kemukakan dalam tesis saya. Pendek kata tiada perbezaan fikrah.


Persamaan fikrah juga penting dalam penentuan pemeriksa dalaman dan luaran tesis. Saya bernasib b


aik kerana University of London bersetuju melantik Dr Doreen Hinchcliffe sebagai pemeriksa dalaman dan Dr Dawood El-Alami sebagai pemeriksa luar. Kedua-dua pemeriksa memberi laporan pemeriksaan yang baik untuk pra viva dan pasca viva. 


Saya juga mendapati Dato’ Dr Mohd Daud Bakar (dulu UIAM kini Kumpulan Amanie) juga berjaya mendapat PhDnya dalam masa 3 tahun 1 bulan. Pembetulan hanya pada satu perkataan dalam abstrak, bagi saya adalah lulus dengan cemerlang tanpa pindaan. Begitu juga Dr Danial Yusof (kini di ISTAC-UIAM) juga berjaya memperolehi PhD dan lulus tanpa pindaan dalam masa 3 tahun 5 bulan. Dr Danial berjaya menyerahkan tesis PhDnya dalam tempoh 3 tahun tetapi ia mengambil masa 5 bulan untuk viva. Dr Ramadan Fitri (Maybank Islamic) berjaya mendapat PhD di Jabatan Near and Middle Eastern Studies, SOAS dalam tempoh 3 tahun dengan hanya minor corrections yang hanya mengambil masa 2 minggu sahaja.


Saya dapati kesemua kejayaan calon PhD without correction atau with minor corrections menjurus kepada penyelia dan pemeriksa yang berkongsi fikrah yang sama. Terdapat kes di mana tesis seorang calon PhD mengkritik hebat pemikiran seorang Sarjana agung dalam pemikiran Islam di Amerika Syarikat. Nasib tidak menyebelahi calon bila mana pemeriksa luar adalah anak murid dan penyokong kuat Sarjana agung tersebut. Akhirnya, calon ini menghadapi masalah besar dengan major corrections.


Memilih Institusi atau Fakulti atau Jabatan Pengajian PhD


Cadangan penyelidikan yang baik memudahkan untuk mendapat tempat pengajian yang baik malah yang berprestij tinggi. Ini kerana, lazimnya penganjur biasiswa melihat kepada ranking universiti yang dipohon dan latarbelakang pemohon dalam membuat penilaian penganugerahan biasiswa tersebut. Justeru itu, memilih tempat pengajian amat penting dalam pengajian PhD.


Menjadi kebiasaan seseorang calon PhD mencari penyelia bidang agar ia memudahkan perjalanan kajian PhD yang dibuat. Namun, yang lebih memahami dan ‘pakar’ dalam kajian PhD itu adalah calon sendiri. Penyelia hanya memberi tunjuk ajar agar penyelidikan dan penulisan yang dibuat mengikut landasan yang betul.


Maka, di mana penyelia yang tersohor dalam bidang berkhidmat akan menjadi kriteria pilihan tempat pengajian pemohon. Maka tidak hairanlah terdapat seseorang penyelia yang mempunyai ramai calon PhD berbanding rakannya kerana kemasyhuran bidang penyelia tersebut.


Apa yang penting ialah, tempat pengajian yang kita akan belajar untuk tempoh 3-4 tahun mestilah mendapat pengiktirafan pihak berkuasa di Malaysia. Terdapat juga pihak yang tidak bertanggung jawab ‘membeli’ dan memperolehi PhD bogus untuk mendapat gelaran ‘Dr’. Malah ada nama universiti tersebut tidak langsung dikenali dan modus operandinya hanyalah untuk mengaut keuntungan.


Carilah tempat pengajian yang rankingnya tinggi agar di kemudian hari kelak tidak dipertikaikan oleh  sesiapa. Meskipun begitu, universiti yang rankingnya pertengahan tidak menjadi isu pertikaian dari aspek kualiti. Di UK misalnya, seseorang pemohon yang berjaya mendapat tawaran pengajian PhD dari 10 universiti teratas dan terbaik ranking akan dipandang tinggi dan pihak penganjur biasiswa mudah menawarkan tawaran biasiswa kepada pemohon tersebut.


Universiti di UK yang rankingnya tinggi lazimnya mengenakan syarat kemasukan yang ketat. Di samping cadangan penyelidikan yang baik, latar belakang pencapaian akademik pemohon serta penguasaan Bahasa Inggeris yang tinggi menjadi pra syarat permohonan. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris adalah mengikut jabatan atau fakulti atau universiti. 


Lazimnya, bagi pengajian Sains Sosial, pra syarat pencapaian band kelayakan Bahasa Inggeris berbeza mengikut bidang pengkhususan. IELTS band 7.5 dan ke atas dikenakan kepada calon yang mendaftar di Jabatan atau Fakulti Undang-undang manakala 5.5 dan ke atas bagi jabatan atau fakulti Pengajian Islam. Meskipun begitu, kebanyakan penaja biasiswa mensyaratkan skor band 6.5 – 7.5 sebagai syarat minima kemahiran Bahasa Inggeris mengikut bidang pengajian. Malah terdapat universiti tempatan mensyaratkan skor minima 6.5 untuk pengajian d


alam negara dan 7.5 bagi pengajian di luar negara.


Bersambung di Bab 3: Langkah Kedua – Menjadi Calon PhD Yang Efektif.


PROFESOR MADYA DR MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia– HARAKAHDAILY 22/7/2021


Sumber Asal: https://www.facebook.com/577910208/posts/10159555345715209/


Bersama Dr Doreen Hinchcliffe dan rakan-rakan dalam kelas Islamic Law of Succession.Bersama Prof Andrew Huxley dan rakan-rakan dalam kelas Law, State and Society in SEA.Bersama Prof. Dato’ Dr Ahmad Hidayat Buang .Bersama Prof. Dr Amir Husin Mohd Nor.Dari kiri: Adik kepada Prof Dr Ahman Farhan, Prof Dr Azlina, Prof Ahmad Farhan Sadullah(dukung Shafiq), saya, Prof Dr Amir Husin & isteri Nurul Huda Osman serta 2 anaknya.Bersama Prof Dr Amir Husin Mohd Nor & isteri Nurul Huda Osman serta 2 anak lelaki mereka- Shakir & Afif dan Dr Mdm Fauziah Mohd Noor .Bersama Prof.Dato’ Dr Ahmad Hidayat Buang dan Prof Amir Husin Mohd Noor & isteri Nurul Huda Osman dan 2 anak lelaki mereka – Shakir dan Afif.

Tuesday, August 3, 2021

Berinisiatif mercu tanda sebenar wala'

 Berinisiatif mercu tanda sebenar wala’


July 22, 2021


TOPIK ini adalah kesinambungan dari subtopik yang telah dikupas pada siri 3. Melihat kepada kepentingan subtopik ini, ia akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam siri yang khusus ini.


Apa itu berinisiatif?


Berinisiatif bermaksud bertindak sewajarnya atas kesedaran sendiri. Tidak diarah dan mungkin di luar bidang tugas. Berinisiatif sinonim dengan terma proaktif. Kalau ada kesalahan, kekurangan dan kelemahan yang dilihat, kita terus bertindak mengatasi perkara tersebut. Kalau dapat kesan ancaman, masalah, bahaya dan risiko yang mungkin berlaku, kita terus ambil langkah sewajarnya. Kalau ada peluang, potensi dan kelebihan yang boleh diambil, kita terus lakukannya. 


Walaupun tidak ada arahan spesifik untuk bertindak, tetapi atas kesedaran demi kepentingan Islam, kita ambil langkah tersebut. Walaupun di luar bidang tugas kita, tapi kita lakukan dengan kemampuan yang ada.


Namun berinisiatif perlu dipagari dengan beberapa kriteria iaitu:

1. Demi kepentingan Islam dan jamaah.

2. Tidak bercanggah dengan syarak.

3. Selari dengan objektif, dasar dan matlamat jamaah.


Kenapa berinisiatif diketengahkan?


Terdapat banyak manifestasi wala’ sebagaimana disenaraikan pada siri 3. Tetapi siri ini hanya memfokuskan perihal berinisiatif sahaja melihat kepada kepentingan berikut:


1. Mengimbangi dominasi taat dalam wala’.


Berbicara mengenai wala’, ramai menghurai dari perspektif taat. Sedangkan seperti yang dijelaskan pada siri 1, taat hanya sebahagian ciri wala’ sahaja. Mengabaikan ciri wala’ yang lain akan membawa masalah kepada Islam.


Taat bergantung kepada arahan dan ketetapan. Tanpa arahan, taat tidak wujud. Orang yang memahami wala’ dari sudut taat sahaja akan membuatkan mereka terus hilang wala’ jika arahan tidak ada.


Lebih membimbangkan, jika seseorang tidak berlaku taat kepada ketua, terus dituduh tidak wala’. Sedangkan ia tidak semestinya. Presiden PAS dalam penggulungan Muktamar 2019 pernah memberi contoh sejarah seorang pemimpin yang tidak taat tetapi wala’. Ia berkait mengenai konsep wala’ yang sebenar sebagaimana digariskan oleh al-Quran. Boleh lihat penerangan pada siri 2.


2. Menampung lompang.


Jamaah Islam adalah makhluk. Begitu juga dengan pemimpinnya. Pasti ada kesalahan, kekurangan dan kelemahan yang timbul. Berinisiatif mampu menampung lompang tersebut. Sekurang-kurangnya dalam ruang dan batas yang dimiliki.


Proses mengeluarkan arahan dan ketetapan berkait dengan birokrasi yang sulit dan panjang. Sedangkan terdapat perkara yang perlu ditangani segera. Kelemahan proses ini boleh ditangani dengan inisiatif anggota jamaah.


Pemimpin melihat sesuatu secara helicopter view. Secara kasar dan makro. Tetapi di lapangan realiti, terdapat beberapa perbezaan halus yang perlu dicermati. Mengharapkan sesuatu arahan bersifat spesifik yang sesuai untuk semua situasi dan lokasi adalah mustahil. Justeru memerlukan kebijaksanaan pengikut dalam mengambil inisiatif tersendiri.


Biasa juga berlaku, sesuatu agenda tidak dapat berjalan baik kerana kekurangan tenaga kerja. Di sinilah inisiatif semua pihak diperlukan walaupun hakikatnya, kerja tersebut di luar bidang tugas yang ditetapkan.


3. Menangani ancaman luar.


Berinisiatif bukan sekadar menampung kekurangan dalaman sesebuah jamaah, tetapi ia juga bertindak sebagai penampan bagi ancaman luaran. Sebagai sebuah jemaah Islam, terdapat berbagai pihak luar yang beragenda terhadapnya. Justeru perlunya anggota mengambil inisiatif untuk peka terhadap sebarang ancaman yang mendatang.


Sunnah perjuangan ini sentiasa menjadi golongan sedikit berbanding musuh. Justeru jika sekadar mengharap unit-unit tertentu untuk menjaga keselamatan jamaah adalah sangat bahaya.


Anggota jamaah perlu sentiasa menjadi mata dan telinga untuk jamaah. Memerhatikan sebarang anasir tidak normal yang berlaku di peringkat masing-masing. Jika boleh ditangani terus, maka bertindaklah sewajarnya. Jika perlu dirujuk kepada pihak atasan, maka segeralah laporkannya.


4. Merebut peluang yang ada.


Anggota jamaah ini umumnya dari berba


gai latar belakang, tempat dan bidang. Kepelbagaian ini pastinya membuka banyak peluang bagi jamaah untuk mencapai objektifnya. Di sinilah penting inisiatif anggota jamaah yang berada pada posisi peluang itu muncul untuk segera direbut sebelum terlepas.


Poin ini boleh menjadi pencetus kepada orientasi dan hala tuju jamaah. Gerakan Islam sifatnya ber’gerak’, perlu terlebih dahulu mengenalpasti ‘lokasi’ dan ‘jalan’ untuk bergerak. Maka anggota jamaah perlu sama-sama mengambil inisiatif melihat ‘jalan-jalan’ baharu yang ada setiap masa.


Poin ini juga berkait rapat dengan agenda tajdid (pembaharuan) yang menjadi sifat jamaah Islam. Sebelum melakukan pembaharuan, perlu terlebih dahulu mengenalpasti teori-teori dan pendekatan baharu yang mungkin ada dan sesuai diadaptasi oleh jamaah. Pendekatan ini kurang lebih seperti tinjauan literatur dalam kaedah kajian.


5. Menjawab di depan Allah.


Menjaga jamaah ini adalah amanah buat semua anggotanya. Jamaah ini bukan milik pemimpin semata-mata. Semua akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.


Jika ada masalah berlaku dalam jamaah, ia tidak semudah menjawab ‘ia bukan tugas saya’ atau ‘tiada arahan dari pimpinan’ begitu sahaja. Jika tuhan beri peluang dan ruang untuk menanganinya tapi kita enggan, ia tetap dikira salah. Hukumnya seperti dosa orang yang pandai berenang tetapi membiarkan sahaja orang lemas di hadapan matanya atas alasan ‘saya bukan lifeguard’.


Berinisiatif mengikut konsep Fardu Kifayah


Sebenarnya berinisiatif bukan hukum baharu. Ia adalah termasuk dalam perbahasan konsep Fardu Kifayah. Fardu Kifayah adalah kewajipan yang bersifat mencukupkan. Jika sesuatu kewajipan dijalankan oleh sesuatu kumpulan dalam jumlah yang mencukupi keperluan, maka gugur kewajipannya pada orang lain. Tapi jika tiada yang ambil tanggungjawab, maka kewajipan masih ditanggung semua orang.


Menyusun keperluan Fardu Kifayah secara asasnya perlu dikendalikan oleh pemimpin. Mereka perlu melihat apa keperluan wajib bagi memenuhi objektif jamaah, seterusnya mencari orang yang sesuai bagi menjalankan kewajipan tersebut. Tetapi profil ahli jamaah yang ada dalam maklumat pemimpin mungkin tidak menggambarkan kemampuan sebenar ahli-ahli yang ada. Maka di sinilah ahli perlu turut peka dan sentiasa bersedia untuk menawarkan diri memenuhi keperluan tersebut.


Perlu diingatkan, mengambil inisiatif bukan boleh mengikut minat dan kemahuan sendiri. Ia mesti berasaskan keperluan dan kemampuan. Malangnya ramai memilih untuk menceburkan diri hanya dalam ruang yang popular, yang kadangkala ruang tersebut melebihi keperluan atau di luar kemampuan.


Berinisiatif menurut neraca korporat


Berinisiatif ini juga sebenarnya bukan dituntut dalam jamaah Islam sahaja. Malah sektor pentadbiran dan korporat juga turut menggunakannya. Biasanya dalam laporan KPI tahunan pekerja, ada skala khusus yang diperkenalkan bagi mengukur prestasi pekerja.


Skala ini berbeza bagi setiap organisasi. Tapi secara umumnya ada 5 iaitu:


1. Gagal.

2. Tidak memuaskan.

3. Memuaskan.

4. Baik.

5. Cemerlang.


Bagi yang bekerja sekadar memenuhi bidang kuasa, ia berada pada skala 3 sahaja iaitu memuaskan. Mereka tak melakukan kesalahan. Mereka jalankan semua kerja dengan lengkap. Tetapi cuma buat kerja ikut arahan sahaja. Tak lebih dari itu.


Sebagai balasan, mereka layak dapat gaji penuh. Tapi mereka hakikatnya tak layak untuk kenaikan pangkat atau bonus. Skala 4 dan 5 adalah contoh berinisiatif. Mereka bukan sahaja menjalankan tugas dengan sempurna, malah melakukannya lebih dari ketetapan dan memberi pulangan baik kepada organisasi. Merekalah layak dapat lebih dari gaji yang ditetapkan.


Ada juga yang memperkenalkan tangga kecemerlangan pekerja seperti berikut:


1.Tidak mencapai ketetapan.

2. Hanya mencapai ketetapan.

3. Melebihi capaian ketetapan.

4. Mampu mengesan ancaman atau peluang dan mengambil tindakan sewajarnya.

5. Mampu mempengaruhi dan membawa budaya positif dalam kalangan sekerja.


Menurut tangga ini, sekadar taat hanya pada tangga kedua. Selebihnya adalah berinisiatif dan mempamerkan wala’ yang sebenar.


Saidina Umar ikon berinisiatif


Ramai Sahabat yang boleh dijadikan contoh berinisiatif tinggi. Tetapi bagi saya, Saidina Umar adalah refleksi inisiatif yang paling menonjol. Beberapa titik hidupnya yang boleh dijadikan contoh:


1. Keluar solat sejurus peluk Islam.


Sebelum keislaman Umar, umat Islam takut untuk menzahirkan keIslaman walaupun setelah turun ayat wajib berdakwah terang-terangan. Ini kerana reaksi kuffar sangat dahsyat apabila melihat perkara tersebut. Ibnu Mas’ud pernah dibelasah teruk hanya kerana membacakan beberapa potong ayat al-Quran di hadapan Kaabah.


Tetapi sebaik Umar melafazkan syahadah, beliau terus mencadangkan untuk mereka keluar menzahirkan keIslaman di hadapan khalayak. Berbekalkan kelebihan peribadi yang gagah dan berani, terus sahaja Nabi bersetuju dan mengikut pandangan Umar.


Mereka berarak ke hadapan Kaabah dan melakukan solat di hadapan pemuka Quraisy. Tiada seorang berani menyentuh mereka sehingga selesai.


2. Cadang tawanan Badar dibunuh.


Walaupun Nabi S.A.W cenderung kepada pandangan Saidina Abu Bakar untuk menjadikan tawanan sebagai tebusan, tetapi Saidina Umar tampil memberi pandangan bahawa mereka perlu dibunuh. Ini kerana tawanan tersebut berprofil tinggi dan sangat bahaya untuk masa akan datang jika dilepaskan. Tidak berbaloi dengan harta tebusan yang diperoleh.


Akhirnya turun ayat al-Quran membenarkan pandangan Umar. Walau bagaimanapun, Nabi telah terlebih dahulu melepaskan tawanan dengan tebusan. Tawanan itulah yang menjadi dalang perang Uhud yang sangat besar impaknya terhadap umat Islam.


Menunjukkan bagaimana Umar mampu mengesan ancaman dan mengambil langkah mengikut ruang kuasanya bagi kepentingan Islam. 


3. Persoal Sulh Hudaibiyyah.


Saidina Umar sekali lagi menimbulkan polemik apabila mempersoalkan ketetapan Nabi S.A.W untuk mengadakan Sulh Hudaibiyyah. Saidina Umar melihat banyak ketidakadilan dalam syarat-syarat Sulh lalu berjumpa beberapa Sahabat termasuk Rasulullah S.A.W sendiri untuk cuba memperbetulkan keadaan yang dirasakannya salah. Akhirnya setelah lama, baru beliau melihat kebijaksanaan politik Baginda. Beliau mengakui kesilapan pandangannya.


Walaupun kisah ketiga ini agak berbeza dari kisah kedua, namun pengajarannya adalah Saidina Umar mengambil inisiatif cuba memperbetulkan keadaan yang difikir salah. Pengajarannya juga adalah bagaimana Saidina Umar menggunakan salurkan yang betul dalam mengambil inisiatif, tidak sabotaj atau merugikan jamaah.


4. Desak al-Quran dikumpul.


Zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, Saidina Umar melihat perlunya al-Quran dikumpul dan dijadikan naskhah rasmi supaya ianya tidak hilang dengan matinya Sahabat yang menyimpan dan menghafal al-Quran.


Saidina Abu Bakar tegas menolak cadangan itu pada awalnya kerana beranggapan, ia adalah bidaah. Namun Saidina Umar cuba meyakinkan atas dasar maslahah masa depan yang besar, sehingga berkata ‘inilah sebaik-baik bidaah’.


Akhirnya cadangan beliau dipersetujui. Kesan inisiatif yang diambil itu membuahkan natijah yang baik buat generasi umat Islam kemudian hinggalah hari ini.


5. Tajdid corak pentadbiran.


Pada era kekhalifahannya, berbagai ‘bidaah’ baharu yang diperkenalkan. Mewujudkan taqwim Hijri, menetapkan cuti jihad, membezakan gaji mengikut jawatan dan banyak lagi.


Menunjukkan sifat berinisiatif bukan hanya tanggungjawab pengikut, malah ketua juga. Tidak rigid dengan amalan biasa dan panduan normal, tetapi berani melakukan pembaharuan yang difikirkan sesuai dari semasa ke semasa.


Ramai profesional dalam jamaah?


Kesimpulannya, berinisiatif adalah mercu tanda sebenar wala’. Kerana wala’ adalah mengandungi makna setia, kasih dan sanggup melakukan apa sahaja demi Islam. Berinisiatif adalah manifestasi kesetiaan, lambang kasih yang tidak berbelah bahagi sehingga sedia mengambil apa jua langkah yang perlu demi kebaikan apa yang dikasihi, sekalipun mengorbankan diri.


Ia juga boleh menjadi renungan buat mereka yang selalu tertanya-tanya, dalam jamaah ini ramai profesional tetapi kenapa tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ya, dari satu sudut puncanya kerana tiada penyusunan yang strategik di peringkat sumber manusia. Te


tapi dari sudut lain, ia juga berpunca dari profesional yang segan mengambil inisiatif, hanya menunggu arahan dari jamaah sahaja. Walaupun peluang atau ancaman terpampang di hadapan mata.


Pada siri akan datang, Insya-Allah kita akan bincang mengenai virus perosak wala’ pula. Doakan supaya lengkap kesemua 7 siri yang dirangka. Selepas itu saya akan susun dalam bentuk ebook untuk manfaat bersama.


ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 22/7/2021