Thursday, May 23, 2019

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-200: QUNUT WITIR DI BULAN RAMADHAN

Soalan: Apakah dalil disunatkan membaca qunut di dalam witir pada 15 akhir Ramadhan?

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami’ al-Tirmizi dan juga di dalam Sunan Abi Daud:

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الوِتْرِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ... Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu…”. [Riwayat al-Tirmizi (464)]

Di dalam mazhab al-Syafie, disunatkan kepada imam atau orang yang solat bersendirian untuk membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat Witir dan ia dibaca pada 15 malam terakhir bulan Ramadhan. [Lihat: al-Muktamad, 1/309]

Doa Qunut
Ini adalah bacaan bagi doa Qunut sebagaimana yang terdapat di dalam Sunan Abi Daud:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu, sihatkan diriku di kalangan mereka yang Engkau berikan kesihatan. Tolonglah daku di kalangan mereka yang mendapat pertolongan-Mu. Berkatilah nikmat yang engkau kurniakan kepadaku. Peliharalah diriku daripada segala keburukan yang Engkau tentukan. Sesungguhnya Engkaulah penentu dan tiada sesiapa yang berkuasa ke atas-Mu. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau muliakan dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci lagi yang Maha Tinggi”.

Tambahan pula, disunatkan juga membaca selawat kepada Nabi SAW selepas daripada membaca doa di atas sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi RA di dalam al-Azkar. Selain itu, disunatkan kepada orang yang bersolat bersendirian atau imam jika mereka ingin memanjangkan bacaan doa qunut dengan membaca doa qunut Umar bin al-Khattab RA yang panjang dan kami nyatakan sebahagiannya dan doa ini juga terdapat di dalam kitab al-Azkar oleh Imam al-Nawawi RA:

اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَلاَ نَكْفُرُكَ، وَنُؤْمِنُ بِكَ وَنَخْلَعُ مَنْ يَفْجُرُكَ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُد، ولَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُد...
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon pertolongan kepada-MU, kami memohon ampun kepada-Mu dan kami tidak mengkufuri-Mu, kami beriman dengan-Mu dan kami membenci sesiapa yang menderhakai-Mu. Ya Allah Ya Tuhan kami, hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya untuk-Mu kami bersolat dan bersujud…”.

Penutup
Kesimpulannya, kami menutup perbahasan ini dengan sebahagian kata-kata imam al-Nawawi RA bahawa jika seseorang itu berdoa dengan apa-apa doa samada dengan satu ayat atau beberapa ayat daripada al-Qur’an yang merangkupi erti doa maka dia telah berqunut. Akan tetapi, yang lebih afdhal adalah membaca doa berdasarkan apa yang terdapat dan diajar di dalam sunnah Nabi SAW. Ini kerana, seseorang imam itu perlulah melihat makmumnya terlebih dahulu sebelum memanjangkan bacaan doa agar tidak memudharatkan orang yang berimamkannya. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima semua amalan kita di dalam bulan yang mulia ini serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya. Amin.

Wallahua’lam

Monday, May 20, 2019

DAP tak terlibat 13 Mei: Mahu tipu siapa? DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF 18 MAY 2019

TULISAN Ketua Pemuda DAP (DAPSY) merangkap Ahli EXCO Kerajaan Perak, Howard Lee, dalam portal berita Malaysia Kini bertajuk “Adakah PAS Mahu Tutup 'Bangkai Gajah' Guna Isu 13 Mei?” adalah jelas satu cubaan untuk menipu rakyat dan memesongkan sejarah negara.
 
Di dalamnya, Howard Lee menggunakan Kertas Putih Kerajaan bertarikh 9 Oktober 1969, dengan judul penuhnya adalah “The May 13 Tragedy: A Report, The National Operations Council”, untuk menyatakan Peristiwa 13 Mei bukan berpunca daripada DAP tetapi PKM.
 
Hakikat sebenarnya adalah:
 
(1) Pada muka surat iv kertas putih ini disebutkan bahawa salah satu punca Peristiwa 13 Mei adalah calon-calon pembangkang dalam PRU 3 yang berkempen atas garis perkauman serta menyerang Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
 
(2) Pada muka surat 21 kertas putih ini disebutkan mengenai tindakan lebih ekstrem sesetengah calon pembangkang dalam PRU 3 yang mempersoalkan hak dari sudut sejarah orang-orang Melayu untuk menganggap diri mereka sebagai Bumiputera.
 
(3) Pada muka surat 24 kertas putih ini disebutkan mengenai amaran Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, di Kuala Pilah pada 15 April 1969 bahawa jika DAP cuba mengubah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan maka akan berlaku huru-hara.
 
(4) Pada muka surat 29 kertas putih ini disebutkan mengenai tindakan provokatif peserta perarakan kemenangan DAP pada jam 5 petang 11 Mei 1969 yang menghamburkan kata-kata “Apa polis boleh buat – kita raja” dan “Buang semua Polis Melayu”.
 
(5) Pada muka surat 29 kertas putih ini disebutkan mengenai tindakan provokatif peserta perarakan kemenangan DAP pada jam 10 malam 11 Mei 1969 yang menghamburkan kata-kata “Mati Melayu, sakai pergi masuk hutan” kepada polis-polis Melayu.
 
Ekoran Peristiwa 13 Mei ini, pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang, telah ditahan di bawah Seksyen 11(2)(b) ISA pada 18 Mei 1969 di mana asas utama penahanan ini adalah tindakan beliau mempertikaikan pembahagian rakyat kepada 'Bumiputera' dan 'bukan Bumiputera'.
 
Menjawab pertuduhan terhadap beliau pada 30 Julai 1969, Lim Kit Siang dengan berani mengakui penentangan beliau ke atas pembahagian rakyat kepada 'Bumiputera' dan 'bukan Bumiputera' kerana beranggapan bantuan perlu diberi berasaskan ‘need’ bukan ‘race’.
 
Dalam sidang Parlimen pada 3 Mac 1971, Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, menggelar Ahli-Ahli Parlimen DAP sebagai seperti “ruthless,  tricky,  smooth,  suave,  slick  political  rogues” yang menggunakan isu-isu sensitif untuk menang dalam PRU 3.
 
Diungkapkan balik oleh Tun Dr Ismail petikan pelbagai kenyataan sensitif Lim Kit Siang, antaranya yang menolak Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dan yang didakwa tidak mengiktiraf kedudukan istimewa Melayu, tanpa apa-apa bantahan dari wakil DAP.
 
Semua ini adalah bukti nyata DAP tidak boleh berlepas tangan daripada Peristiwa 13 Mei.
 
Menariknya, walaupun Lim Kit Siang telah ditahan di bawah ISA pada 18 Mei 1969 kerana mempertikaikan pembahagian rakyat kepada 'Bumiputera' dan 'bukan Bumiputera', selaras dengan Deklarasi Setapak 1967, hingga kini prinsip ini tetap menjadi pegangan DAP.
 
Bandingkan sahaja kenyataan Lim Kit Siang mengenai perkara ini sebelum beliau ditahan di bawah ISA, antaranya ialah pada 29 September 1968, 2 November 1968, 7 Januari 1969, 25 Januari 1969, 26 Januari 1969, 7 Mei 1969 dan 13 Mei 1969, dengan kenyataan baru beliau.
 
Contoh kenyataan baru beliau ini adalah:
 
(1) “Saya dengan ini mendesak pembahagian rakyat Malaysia kepada bumiputera dan bukan-bumiputera dihapuskan” atau “I would therefore call for the abolition of the division of Malaysians into bumiputeras and non-bumiputeras” (10 September 1995).
 
(2) “DAP mendesak pembahagian rakyat Malaysia kepada bumiputera dan bukan-bumiputera dihapuskan segera” atau “DAP calls for the immediate abolition of the division of Malaysians into bumiputeras and non-bumiputeras” (15 September 1995 dan 20 September 1995).
 
Ini belum lagi diambil kira kenyataan lebih baru Lim Guan Eng dan Anthony Loke. Soalnya kini, setelah menang, bila dan bagaimana pembahagian ini mahu dihapuskan? Cukupkah agaknya dengan pemberian bantuan berasaskan ‘need’ bukan ‘race’ sahaja dahulu? - HARAKAHDAILY 18/5/2019