Thursday, May 8, 2014

Orang Cina berjasa menyebarkan Islam di Rembau dan Melaka

Orang Cina berjasa menyebarkan Islam di Rembau dan Melaka
Posted on Thursday, May 08 @ 22:40:21 MYT 
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur


Artikel

"Kalau diperhatikan banyak masjid-masjid lama di Rembau dan Melaka mempunyai senibina bercirikan budaya dari negara China. Misi Laksamana Cheng Ho ke Tanah Melayu dan Tanah Jawa telah banyak mengIslamkan penduduk di sini termasuk Parameswara sendir.

Penemuan batu bersurat di Phang-rang, Vietnam memberi petunjuk bahawa Islam turut disebarkan  dari jurusan selatan Negara China. Besar kemungkinan juga batu bersurat yang ditemui di Terengganu pada 702 H ada kaitannya dengan arus kedatangan Islam dari China. 


Cheng Ho dilahirkan pada tahun 1371 di Distrik Kunyang, Provinsi Yunnan, sebuah wilayah Tiongkok yang sejak lama sudah dihuni masyarakat China pemeluk agama Islam. Cheng Ho berasal dari bangsa Hui, salah satu bangsa minoriti Tionghoa.
Menurut buku "Ahlul Bait Rasulullah SAW & Kesultanan Melayu", Laksamana Cheng Ho (Haji Mahmud Shams 1371–1433) adalah dari keturunan Rasulullah dari Yi-Bu-Lai-Xi-Mo (Ali Zainal Abidin) bin Hou Sai-Ni (Sayidina Hussain) bin Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.
Diceritakan Parameswara hanyalah dianggap sebagai ketua suku bagi sebuah perkampungan kecil sehinggalah beliau diakui oleh Maharaja China, Yung Lo sebagai Raja Melaka. Cheng Ho telah memerdekakan Melaka daripada Siam. Cheng Ho telah meninggalkan sebuah batu bersurat mengenai pengisytiharan ini namun ianya telah dimusnahkan pada 1512M ketika jatuh ketangan Portugis.
Warna kuning yang menjadi warna kebesaran sultan adalah anugerah kerajaan China yang bermula dengan pelbagai hadiah kebesaran yang dipersembah oleh Cheng Ho seperti payung berwarna kuning.
Ukiran masjid-masjid telah dibantu oleh petukang dari China yang pulang bersama-sama Parameswara yang berangkat dengan 450 orang pengiring setelah menerima jemputan Maharaja Yung Lo selepas Parameswara memeluk agama Islam.
Di Jawa Timur ada dua masjid yang menggunakan nama Masjid Muhammad Cheng Ho di Surabaya dan satunya lagi di Pandaan, Kabupaten Pasuruan.
Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai di kata
Badan dan nyawa saya berikan
Pantun ini memberi gambaran bagaimana orang Cina yang menetap di tanah Jawa datang membantu mempertahankan Melaka ketika Portugis menyerang Melaka.
Pemerintah China dari Dinasti Ming telah mengadakan hubungan dagang yang akrab dengan Melaka sebelum kedatangan Portugis. Dinasti Ming begitu marah apabila Portugis menyerang Melaka. Sebagai tindakbalas, apabila wakil tentera Portugis tiba di tanah besar China, mereka telah diserang, dibunuh atau dipenjara.
Pedagang dari China telah memboikot urusan dagang dengan Portugis di pelabuhan Melaka. Orang-orang Cina di Melaka telah berpindah untuk berdagang melalui Sg Linggi dan di pelabuhan Lubok China, Rembau.
Itulah sebabnya nama tempat ini diberi nama Lubok China. Anak Bendahara Tun Perak iaitu Tun Zainal Abidin telah dilantik menjadi Dato Lubok China.
Oleh kerana itu Dato Syahbandar telah dilantik merupakan Orang Besar Undang di Rembau dari suku Biduanda Sedia Raja (Waris Nan Dua Carak) untuk menjaga perihal pengurusan pelabuhan dan percukaian di Lubuk China.
 


Wednesday, May 7, 2014

Siapa kata hanya PAS parti fundamentalis

Siapa kata hanya PAS parti fundamentalis

Sebagai seorang yang semakin pesimis, saya selalu mengambil jarak dari mengulas tulisan-tulisan di media massa. Bagaimanapun, tulisan cerdas Fathi Aris Omar, "Siapa kata hudud PAS demi undi", berjaya menarik tangan saya mengetik bagi memberi sepintas tanggapan.

Tesis, kalau saya boleh guna istilah ini, Fathi mudah: Bahawa impian PAS melaksanakan hudud adalah bukan demi undi. Tapi, demi agama.

Saya fikir tesis ini sudah ranum. Seraya, sebahagian besar analisa Fathi telahpun diperkukuhkan dengan istilah-istilah, penjelasan-penjelasan dan contoh-contoh yang wajar.

Justeru, tanggapan saya ini adalah tidak lebih dari menolong dalam menempatkan analisa yang Fathi paparkan tersebut ke dalam sebuah kerangka yang mungkin lebih sedikit tersusun, meskipun pada akhirnya ini hanyalah sebuah catatan sederhana sahaja.

Ini kerana, Fathi secara umumnya hanyalah menjelaskan fenomena bagi sebuah konteks parti politik agama, yang mana dalam kes ini adalah PAS.

Namun, Fathi -- secara sengaja mungkin -- telah mengabaikan bahawa fenomena yang serupa juga sedang terjadi pada sebahagian besar kelompok-kelompok yang terdapat di Malaysia.

Misalnya, Fathi menegaskan bahawa PAS meletakkan sistem agama adalah sistem yang tertinggi, hingga mengatasi segala sistem yang sedia ada, termasuklah sistem politik, sistem hukum, sistem ekonomi, sistem ketenteraan, hatta sistem hubungan intim sekalipun.

Hemat saya, ini adalah pandangan yang berdasar.

Sungguhpun begitu, jangan kita lupa, bahawa kebanyakan pergerakan (politik mahupun NGO) di Malaysia turut mengusung kecenderungan yang sama.

Maksud saya di sini, kecenderungan organisasi pegerakan di Malaysia untuk menempatkan sebuah sistem tunggal yang mampu melarutkan semua sistem yang lain.

Slogan eufemisme

Sebagai contohnya, terdapat parti politik lainnya di Malaysia yang berkira-kira bahawa dengan menguasai sistem politik (lewat slogan eufemisme seperti keadilan, hak asasi manusia, kebebasan, ruang awam, rakyat, dll), maka mereka kemudiannya dapat mengubah sistem-sistem yang lain, termasuklah ekonomi, agama, hukum, pendidikan dan lain-lain.

Jadi, dalam hal ini, saya fikir fenomena fundamentalisme bukan hanya terperangkap dalam jasad PAS semata, sebaliknya itu seakan sudah sebati dalam amalan kebanyakan organisasi yang bersifat politik di Malaysia.

Malah, penyakit yang sama juga lebih-lebih lagi menimpa kelompok yang bersifat ideologi (katakan saja, sosialisme, libertarianisme, anarkisme, liberalisme, Trotskyisme, feminisme, dan lain-lain) yang mana kalangan ini percaya pada ideologi tertentu lalu ingin menerapkan seluruh sistem kemasyarakatan (social system) yang sedia ada ke dalam sebuah pandangan-alam ideologi mereka.

Bagi saya, inilah kemelutnya: Di mana terdapat kegagalan kita untuk memisahkan sistem-sistem kehidupan dalam masyarakat, yang mana ini akhirnya berupaya menjadikan sesebuah kelompok itu condong ke arah ekstremisme, atau dalam bahasa Fathi, fundamentalisme.

Sebab itu, sekali lagi, saya sepakat dengan Fathi bahawa PAS adalah sebuah parti fundamentalis. Sepakat, kerana saya mendefinisikan fundamentalisme sebagai keadaan di mana adanya kelompok yang secara sembarangan membahagikan seluruh dunia (lebih tepat lagi: Dunia, dengan D besar) ini antara "kami" dan "mereka", atau dalam kes ini, antara "PAS" dan "bukan-PAS".

Pembahagian semberono ini juga, sebetulnya hanyalah gambaran dari pemakaian kaedah mudah, yang mana ia tidak memerlukan kejelasan operasi, kod, medium, dan program yang teratur dan canggih dalam menganalisa sistem kemasyarakatan.

Kalau anda bukan beragama Islam yang dalam corak PAS, maka ringkasnya anda adalah bukan-Islam-PAS (yang perlu diselamatkan atau perlu dilawan).

Jadi, dengan mempertimbangkan pendekatan pemasukan/ pengecualian (inclusion/exclusion), maka PAS di sini telah memuatkan semua sistem yang sedia ada ke dalam sebuah sistem agama mereka.

Maka, dalam kata lain, bagi PAS, agama adalah sebuah supersistem, yang boleh campurtangan dalam segenap aspek kehidupan bermasyarakat.

Lalu, dengan menjadikan agama sebagai sebuah supersistem, maka seluruh kemajuan analisa moden sebenarnya tidaklah diperlukan lagi. Ini kerana, seluruhnya sudah tertumpuk pada sebuah takrif agama versi PAS.

Persoalan moraliti

Maka, bertitik-tolak dari keadaan inilah, fundamentalisme boleh muncul. Manakala, fundamentalisme agama, sejauh yang saya faham pula, adalah sebuah wabak kepada kelompok yang memikirkan bahawa semua sistem adalah ternaung di bawah payung agama (versinya!).

Dengan mengambil kedudukan ini, maka kita akan dapat melihat sikap puak PAS terhadap tema-tema, seperti yang dikutip Fathi, "rasuah, demokrasi, pilihan raya adil, kebebasan media, kemiskinan, kemerosotan universiti, kerjasama dengan DAP atau Pakatan Rakyat" sebagai hal yang enteng sahaja berbanding dengan agama.

Apapun, sekali lagi, kita tidak sepatutnya menunding sepuluh jari kepada PAS tentang fundamentalisme ini. Ini kerana, fundamentalisme adalah sebuah cabaran bagi pemodenan, dan ini lazim boleh ditemui di dalam kebanyakan pergerakan yang bersifat ideologi dan keagamaan.

Dengan izin, kalau saya boleh memperluaskan lagi konteks ini, maka saya ingin menyatakan bahawa dilema masyarakat kita (yang sedang dalam transisi ke arah moden) ini bukan hanya persoalan perlaksanaan atau penolakan hudud, bahkan lebih dari itu.

Maksud saya ialah, kita pada hakikatnya sedang terjebak dalam persoalan moraliti tatkala mengamati sebarang fenomena kemasyarakatan.

Masyarakat kita, juga seperti masyarakat kebanyakan negara-negara membangun yang lain, memang gagal untuk mengobjektifkan sistem-sistem kehidupan yang sedia ada. Natijahnya, kita dengan mudah akan melakukan pemoralan terhadap segala fenomena kemasyarakatan.

Maaf, sekiranya ada kesulitan untuk memahami tentang frasa "mengobjektifkan sistem-sistem kehidupan" dan "pemoralan."

Namun, apa yang ingin saya tekankan di sini ialah mengenai kegagalan masyarakat kita untuk bertindak dalam lingkungan autonomi sistem, yang mana autonomi sistem ini sebenarnya boleh membantu masyarakat moden untuk berfungsi secara efektif dan lancar.

Maka, dengan kegagalan memastikan autonomi sistem ini, sudahnya kita dengan senang akan jatuh dalam kegiatan pemoralan.

Misalnya, kita akan tergoda untuk menilai sesuatu berdasarkan kepada pembahagian baik-jahat, sepertimana yang sedang PAS lakukan terhadap sebahagian warganegara Malaysia yang menentang perlaksanaan hudud.

Neutral, amoral, non-humanistik

Walhal, konsep autonomi sistem itu mestilah bersifat neutral, amoral, dan non-humanistik.

Saya ingin berhati-hati dengan tiga istilah terakhir yang saya petik ini, kerana kata-kata ini boleh diperbincangkan lagi.

Meskipun begitu, menurut saya, sebahagian besar sisi pandang kita terhadap konsep masyarakat selama ini sudah dicemari dengan tindakan campurtangan (tindakan dari atas), moraliti (sukatan kebaikan-keburukan dalam menilai sesuatu) dan kemanusiaan (manusia adalah segalanya).

Bagaimanapun, hal ini tidaklah saya ingin bahas lanjut, melainkan ada debat yang mungkin akan sampai ke sini.

Pokoknya, apa yang ingin saya nyatakan dalam tulisan ini adalah ringan sahaja: Bahawa wabak fundamentalisme bukanlah penyakit PAS semata, tapi juga penyakit hampir semua kelompok (terutamanya kelompok idealogi dan keagamaan) di Malaysia.

Lantaran itu, kesan fundamentalisme ini tetaplah sama, dengan apa dikumandangkan oleh PAS: iaitu ekstremisme dan keringkasan (simplicity).

Namun, saya akur, bahawa tentu sekali fundamentalisme agama ini barangkali adalah paling lantang digegerkan oleh PAS.

Agama, dalam penakrifan PAS, tidak lain dan tidak bukan adalah sebuah supersistem yang kononnya merupakan penawar kepada seluruh fenomena kemodenan.

Tapi, sejauh yang saya insaf, itu bukanlah penawar. Sebaliknya, apa yang PAS perjuangkan pada tahap awalnya adalah merupakan gangguan (irritation) kepada evolusi masyarakat moden.

Sementara, pada tahap terakhirnya boleh bertukar wajah menjadi supersistem -- sebuah sistem agama gergasi yang mampu menelan serba-serbi.

Dan, malangnya, nama lain bagi supersistem (dalam konotasi politiknya) ini ialah totalitarianisme.

DIAN ERFANI surirumah sepenuh masa dan boleh dihubungi menerusi erfani.dian@gmail.com.

apa kita risau hudud PAS

Untuk apa kita risau hudud PAS?

ULASAN Tidak semua Islamis, termasuk dalam PAS, percaya strategi politiknya harus mengutamakan pelaksanaan hudud. Mereka percaya pada hudud tetapi tidak melihat keutamaannya membuta tuli.

Golongan ini bolehlah digelar "Islamis moderat" atau "rasionalis", bagi membezakan puak fundamentalis totok yang menafsir hudud sebagai keutamaan politik.

Kita gelar mereka ini "moderat" atau "rasionalis" kerana mereka lebih memberatkan realiti semasa dan konteks zaman dalam projek Islamisasi.

Mereka ini "kaum kontekstual" – yang menyusun strategi kuasa melalui kajian, pujukan dan bahasan – berbeza daripada "puak tekstual" yang memberatkan firman kitab suci dalam kerangka pertolongan ghaib dari Tuhan melalui tekanan propaganda.

Semua Muslim, termasuk dalam gerakan-gerakan Islam, yang beriman pada pelaksanaan hudud dan syariah berada dalam dua kelompok besar ini.

Tidak sama dengan Muslim yang ragu atau risau, Islamis moderat ini lebih mempercayai hudud dalam semangat asas atau tujuan pokok agama: Keadilan dan rahmat seluruh alam.

Hudud itu hanya satu "bentuk" kehidupan beragama yang harus bernafas dalam "semangat" agama yang lebih besar.

Mereka melihat "isu keselamatan" yang luas; bukan sekadar pakaian seragam, gelar ketenteraan atau persenjataan. Mereka melihat "persoalan pendidikan", bukan sekadar buku teks, sukatan pelajaran atau bilik darjah.

Fundamentalis percaya hudud sebagai senjata dan pakaian seragam; sebagai buku teks dan bilik darjah; bukan persoalan-persoalan keselamatan dan pendidikan. Mereka melihat "bentuk hukuman", bukannya keadilan, kesejahteraan awam atau kesaksamaan umum.

Islamis moderat atau rasionalis selalunya tidak terburu-buru menyediakan enakmen hudud; sebaliknya mereka lebih memikirkan strategi meyakinkan masyarakat, mengukuhkan kerjasama politik dan mengekalkan populariti kuasa.

Sebab tanpa kuasa, hudud hanyalah angan-angan, buku teks atau kuliah di rumah ibadat.

Fundamentalis totok tidak memberatkan hal ini. Paradoks pelik yang mereka lupakan dalam imaginasi keagamaan; paradoks Tuhan tanpa manusia.

Paradoks atau tidak, fundamentalis lebih yakin pada pertolongan ghaib dari Allah jika kita sungguh-sungguh beriltizam inginkan hudud. Laksanakan dulu, sediakan enakmen, cuba dulu dan kita lihatlah kesannya nanti.

Sebab itu, PAS dalam semangat fundamentalismenya segera meluluskan enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu, masing-masing tiga tahun selepas memenangi pilihan raya umum.

Soal bagaimana mengekalkan kuasa, dan melegakan pengundi agar terus selesa bawah pentadbirannya, bukan isu terlalu pokok. Bagaimana mencipta keyakinan rakyat pada kepemimpinannya dan mensejahterakan mereka, itu bukanlah isu utama.

Biar rakyat tolak, termasuk majoriti pengundi Islam di Terengganu, yang penting -- sewaktu berkuasa, PAS mesti melaksanakan hudud sebagai tiang seri pentadbiran Islamnya.

Tidak penting bagaimana pengundi menaikkan PAS, atas semangat agama atau sentimen lain; yang penting, selepas diberi kuasa, kita mesti laksanakan hudud.

Kata-kata Tuhan harus dengan pantas dipasakkan begitu sahaja atas kepala-kepala manusia. Lagi pula, bagi fundamentalis, kata-kata suci memang untuk ditukulkan saja ke dalam benak manusia yang banyak kerenahnya.

Namun, sama ada Islamis moderat atau fundamentalis totok, jika strateginya kini mendendangkan agenda hudud, maka tokoh-tokoh PAS tiada pilihan lain kecuali mengazankan seruan yang sama.

(ii)

Di luar lingkungan fundamentalis, Muslim moderat, modenis atau rasionalis melihat agenda hudud PAS dengan sejumlah keraguan pelik.

Bagi fundamentalis, hudud itu ibarat Tuhan yang diktator; manusia harus diam; hanya Tuhan berbicara.

Bagi Islamis moderat atau rasionalis, hudud itu umpama Tuhan yang memimpin di tengah-tengah manusia. Dialog dimungkinkan tetapi keputusan-Nya muktamad.

Bagi Muslim yang bukan fundamentalis dan bukan pula Islamis, hudud itu bicara Tuhan di pentas perdebatan; banyak pertikaian dan banyak pula sanggahannya.

Apakah memang hudud itu sejenis hukuman beku yang tidak boleh diubah-ubah lagi? Bukankah masyarakat sebelum Quran juga pernah melaksanakan hukuman itu?

Apakah sememangnya begitulah maksud Tuhan atau Dia hanya menyampaikan hukuman dalam konteks zaman Nabi Muhammad saja? Kita boleh mengubah "bentuknya" selagi tujuan asasinya –  keadilan – tercapai.

Kita boleh menambah lagi pertikaiannya; kita tidak meragui hukum hudud tetapi tidak yakin PAS boleh melaksanakannya atas was-was kita pada parti itu. Selalunya, dulu, beginilah hujah Umno mempertikaikan "hudud PAS".

Sementara yang lain tercengang-cengang: Apakah sememangnya hudud dapat menyelesaikan kemelut umat?

Tiada negara yang melaksanakan hudud boleh dijadikan contoh; malah pelaksanaan hudud di negara yang kacau (failed states) tidak membawa rahmat yang dihajati.

Seperti solat hajat tidak menemukan kita pesawat hilang; seperti ibadat dan doa kita tidak menambahkan kemanusiaan diri Islam kita.

Semua ritual dan simbolisme agama hanya cabang kebudayaan umat yang tidak meningkatkan darjatnya di mata dunia.

Tidak mungkin hudud dengan automatis merungkai semua malapetaka itu. Jadi, hudud atau tidak, beginilah nasib umat Islam jika hal-hal lain tidak sama-sama dititikberatkan.

Pertikaian lain, yang selalu kita dengar, hudud itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ia akan mewujudkan dualisme perundangan; akan merungkai asas kenegaraan kita yang sekular. Hudud akan memacunya menjadi sebuah negara teokrasi.

Ada juga yang berhujah, saya menolak hudud kerana saya tidak mahu dikawal undang-undang agama, tidak kira Islam, Kristian atau agama apa sahaja!

(iii)

Keraguan dan was-was hudud itu di kalangan Muslim, dan bukan Muslim juga, kadang-kadang sampai di peringkat berhujah dengan tidak konsisten.

Sehingga kaum penentang fundamentalisme agama ala PAS turut termakan propaganda parti itu sewaktu mereka cuba mempertikaikan hudud!

Mereka menolak, atau mempertikai, pelaksanaan hudud atas dua cabang teknikal utama (a) keperlembagaan dan dampak perundangannya, dan (b) keagamaan dan kesan sosio-budayanya.

Cabang pertikaian (a) kini cuba diselesaikan antara Kota Bharu dengan Putrajaya.

Selain azam politik yang kuat, ia boleh diatasi dengan syarat enakmen hudud dibuang nilai sakral agamanya dan dianggap satu ruang perundangan sekular.

Cabang sanggahan (b) boleh dipatahkan dengan cara yang sama, dengan membuang nilai sakral agama.

Ertinya enakmen hudud itu dianggap satu set perundangan yang sama dengan undang-undang ciptaan manusia.

Ia tiada nilai agama dan tidak relevan dirujukkan pada hal-hal keagamaan (kecuali pada mereka yang meyakini sedemikian).

Seperti set perundangan nikah kahwin dan pembahagian harta yang dijadikan berbeza antara Islam dan bukan Islam.

Walaupun Muslim beranggapan hukum-hakam agama harus memandu perundangan nikah kahwin dan pembahagian harta, hakikatnya perkahwinan dan pengagihan harta dua kaedah sekular dan manusiawi yang rutin-rutin saja.

Hakikatnya, tanpa agama, manusia menguruskan sistem pernikahan dan pembahagian aset.

Seperti juga jual beli dan perbankan. Walau Muslim beranggapan sistemnya mempunyai nilai agama (sakral) tetapi perbankan, insuran dan jual beli boleh dikendalikan dengan beberapa cara, termasuk tanpa merujuk agama.

Atas pilihannya, penyimpan wang bukan Muslim boleh mengambil untung dalam kaedah perbankan Islam.

Begitu juga enakmen hudud. Kepada kaum liberal, rasionalis dan modenis Muslim, apa lagi perlu dirisaukan jika kita anggap hudud itu seperti akta sekular?

Ia hanya satu set undang-undang jenayah, selain tidak banyak dilaksanakan, ia juga kelihatan kejam. Apakah anda menolak hudud atas sandaran ini: Kerana ia tidak manusiawi dan bersumberkan sejarah purba?

Kepada bukan Islam, lupakan hudud datang daripada al-Quran atau anggap sahaja kitab suci itu setaraf Das Kapital atau Mahabharata. Apakah agaknya hujah anda?

Kita belum membahaskan merit perundangan hudud atas merit sekularnya tetapi sering risau kerana bayangan sakral agamanya.

Jika hudud itu dibayangkan sebagai satu set perundangan sekular – yang dicipta dari akal, boleh dibantah, dipinda dan singkirkan melalui undi – apakah tafsiran isu hudud boleh membawa kefahaman baru?

Bahagian 1: Siapa kata hudud PAS demi undi

Bahagian 2: Hudud PAS: Apa lagi Najib mahu?

FATHI ARIS OMAR seorang editor di Malaysiakini.
 

Tuesday, May 6, 2014

Waspada Melayu Kristian seperti Muslim

NGO: Waspada Melayu Kristian seperti Muslim

Sebuah NGO Muslim hari ini memberi amaran agar orang Melayu berwaspada terhadap kewujudan Melayu Kristian yang hidup seperti Muslim dan menyembunyikan kepercayaan mereka.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) Abd Karim Omar mendakwa golongan itu tidak menyimpan tanda salib di rumah dan tidak melakukan upacara keagamaan di depan orang lain.

Malah mereka kadang kala didakwa melakukan ibadah Muslim seperti berpuasa dan ke masjid, serta tidak mempamerkan sebarang bahan bacaan Kristian di rumah mereka.

Menurutnya, kewujudan golongan itu adalah berdasarkan satu disertasi kedoktoran berjudul “Religious identity and life of Malay Christians of Malaysia”.

Disertasi itu didakwa disediakan John Cheong pada September 2012 sewaktu mengikuti pengajian peringkat kedoktoran falsafah di Trinity International University, Illinois.

Beliau berkata demikian pada "Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Shah Alam, petang ini.

Menurutnya, gerakan ini dikenali sebagai 'gerakan dalaman' dan jika ia berterusan, populasi Kristian Malaysia yang kini 9.2 peratus daripada penduduk Malaysia boleh meningkat kepada 40 peratus dan sama ramai dengan Muslim.

'Kontekstualisasi' mubaligh

Beliau memberi contoh penganut Kristian di Nigeria yang mewakili 21.4 peratus daripada populasi negara itu pada tahun 1953 berkembang biak kepada 49.3 peratus tahun 2010.

Jumlah itu mengatasi populasi Muslim di negara itu pada tahun 2010 yang hanya membentuk 48.8 peratus.

"Bolehkah ini berlaku di Malaysia?" tanya beliau kepada hadirin seminar itu.

Bagaimana pun, Karim tidak menyokong unjuran populasi Kristian di Malaysia itu selain daripada membandingkannya dengan perkembangan penganut agama itu di Nigeria.

Jelasnya lagi, kewujudan komuniti Melayu Kristian ini adalah hasil 'kontekstualisasi' mubaligh Kristian.

Ia adalah strategi menyuai padan elemen agama asal seorang Muslim ke dalam agama Kristian.

Menurutnya, golongan itu tidak perlu ke gereja tetapi cukup dengan berbaju Melayu, berkopiah dan membaca Bible dengan meletakkannya di atas rehal, seperti membaca al-Quran.
LIHAT APA KATA ORANG KRISTIAN :SAM SAMUEL DARI CAMPUS CRUSADE FOR CHRIST.
Faqirah Abdullah mrk bukan org 'munafik' spt yg sdri dakwa tetapi mrk tidak berdaya menyatakan iman mrk krn agama dan kerajaan sendiri yg 'mengancam!'. adil ker klu org Melayu dan muslim pindah agama masuk penjara dan dihukum mcm penjenayah? sedangkan penganut agama lain masuk Islam ok jak. Melayu bukannya untuk Islam saja. Isa Almasih pun mengasihi org Melayu!
org Melayu yg percaya Isa Almasih hidup menderita dan mengalami tekanan bukan dari agama atau bangsa lain tetapi saudara sebangsa sendiri. mrk dikejar dan mau dihukum spt penjenayah di tanah air sendiri sedangkan mrk tidak melanggar undang2. Org Sabah byk yg convert ke Muslim malah hidup senang krn ditanggung kerajaan dan dinaikkan pangkat dlm sektor kerajaan, keluarga tak pernah pulaukan malah menerima kenyataan. Org Melayu percaya Isa Almasih belum masuk Kristian sdh dikejar dan mau dibunuh oleh keluarga dan kerajaan sendiri.
rg Melayu yg percaya Isa Almasih seharusnya dibenarkan berpindah agama bukan diancam dan dihadapkan ke mahkamah spt penjenayah! Isa Almasih juga mengasihi orang Melayu!
 
 
 

Monday, May 5, 2014

Kandungan hudud di Brunei

Kandungan hudud di Brunei
Kesalahan ketiga dan seterusnya bagi seorang pencuri ialah penjara tidak lebih 15 tahun.
bruneiHukum Hudud telahpun dilaksanakan di Brunei. Berikut adalah kandungan hudud yang dijalankan di Brunei pada ketika ini. Sila rujuk Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.
LELAKI BERLAGAK MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA 198
(1) mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yg memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam tanpa alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3bulan atau kedua-duanya sekali.
(2) mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam untuk tujuan yangg tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
TIDAK MEMBAYAR ZAKAT ATAU FITRAH 236
(1) mana-mana orang Islam yang telah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.
KHALWAT 196.
(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan khalwat adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
(2) Mana-mana orang bukan Islam yg melakukan khalwat dengan
orang Islam adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
(3) Dalam bab ini, KHALWAT bermakna
(a) bersekediaman, bersekedudukan, berkurung; atau
(b) Mengasingkan diri dalam keadaan berhampiran yg mendatangkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan maksiat,
TIDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG JUMAAT 194.
Mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syar’ie atau tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.
TIDAK MENGHORMATI BULAN RAMADHAN 195.
(1) Mana-mana orang yang memakan atau meminum atau menghisap apa jua tembakau ditempat awam semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
(2) Mana-mana orang yg menjual atau menghidang ada jua makanan atau tembakau untuk dimakan,diminum atau dihisap dengan serta merta di tempat itu juga, di tempat awam, semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya sekali.
(3) Ceraian (2) hendaklah tidak dikenakan kepada mana-mana pengamal perubatan atau mana-mana orang lain yang menghidang apa jua makanan, minuman atau ubat kepada mana-mana pesakit semasa waktu-waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan yang tanpanya pesakit itu terjejas.
(4) Jika mana-mana orang yang gagal mematuhi ceraian (2) dalam kedudukannya sebagai pekerja kepada orang lain, majikannya hendaklah dianggap telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut dan telah menyebabkan kesalahan itu dilakukan oleh sebab subahat itu melainkan dia dapat membuktikan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan tanpa kebenaran, kuasa, pengetahuan atau keizinannya dan dia telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mencegah daripada perbuatan itu dilakukan.
HUKUMAN ZINA 69.
(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara’ setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman hadd seperti berikut –
(a) jika dia muhshan, direjam sehingga mati dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam; atau
(b)jika dia ghairu muhshan, disebat 100 sebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam dan dihukum penjara selama tempoh satu tahun.
(2) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan dengan keterangan selain yang diperuntukan di bawah ceraian (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan-
(a) jika dia muhshan, disebat tidak melebihi 30 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 7 tahun; atau
(b) jika dia ghairu muhshan, disebat tidak melebihi 15 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.
(3) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seorang Islam dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak- kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan di bawah ceraian (1).
(4) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seseorang Islam dan dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah ceraian (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan, dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan dibawah ceraian (2).
HUKUMAN ZINA JIKA PESALAH BUKAN MUKALLAF ATAU BELUM MENCAPAI UMUR
BALIGH. 70. Jika mana-mana orang yang bukan mukallaf atau belum mencapai umur baligh melakukan zina dan-
(a) dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara’ setelah Mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 30 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun; atau
(b) dibuktikan dengan keterangan selain daripada yg diperuntukan dibawah perenggan (a) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 15 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.
HUKUMAN MENCURI
Nilai minimum barang curi untuk kena hukum hudud ialah 1 dinar (4.25g emas)
(A) Jika didapati bersalah (dengan cara pengakuan sendiri atau saksi2 yang sah) maka :
kesalahan pertama potong tangan kanan hingga pergelangan tangan.
-kesalahan kedua potong kaki kiri hingga lutut
-kesalahan ketiga dan seterusnya – penjara tidak lebih 15 tahun
Kalau bersalah bukan cara diatas (A) : kena penjara dan denda.
Pengecualian :
-pesalah 15 tahun ke bawah atau tidak siuman…
-owner memang tak jaga keselamatan barang
-pencuri bayar sikit, lepas tuh lari….
-benda curi senang dapat dan mudah hancur (contoh : buah-buah)
-benda curi tiada nilai di sisi syarak (arak, alat musik)…
-pencuri curi dari penghutang yang tak nak bayar hutang pencuri…. (nilai jangan lebih pulak)
-keadaan memaksa : bencana alam, perang
-bini curi dari suami atau sebaliknya (kecurian dalam keluarga sendiri)…FMT