Wednesday, July 18, 2018

TEMUDUGA

Foto Useful Info.

Foto Useful Info.

Foto Useful Info.

Foto Useful Info.

Foto Useful Info.

Foto Useful Info.

Foto Useful Info.



Foto Useful Info.



Foto Useful Info.

KONSEP ISLAM SEBAGAI AL DIN


KONSEP ISLAM SEBAGAI AL DIN
Pengertian agama dan Al Din adalah berbeda. Pengertian agama adalah lebih sempit berbanding dengan pengertian al Din. Pengertian al Din lebih luas dari agama.
Allah SWT menyebut Islam itu sebagai al Din sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Maidah, ayat 3 yang bermaksud,
 “ ………Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu Din kamu, dan Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan Aku redha Islam Din kamu.”
( Terjemahan ayat )

Dasar Islam :
Islam itu mempunyai dasar yang syumul berkait rapat antara hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dan alam. Ia tidak hanya hubungan manusia dengan Allah SWT semata-mata seperti yang terdapat dalam pengertian agama itu. Din al Islam itu lebih luas daripada agama. Din al Islam merupakan satu system yang teratur yang disyariatkan oleh Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW. Ini bersesuaian dengan amanah manusia itu sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi Allah SWT ini.

Falsafah :
Falsafah Islam itu mengatur hubungan antara manusia dengan manusia dengan membentuk sistem munakahat untuk membina hidup berumahtangga. Ia juga membentuk sistem muamalat yang mengujudkan hubungan persahabatan, kejiranan, kepimpinan, kebudayaan, hubungan antara sesama orang Islam dan dengan bukan orang Islam.
Dalam hubungan dengan Allah SWT pula akan membentuk sistem beribadat untuk menjadikan manusia sebagai hamba Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab dalam beribadat seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji.
Hubungan dengan alam pula, Islam akan menganjurkan kepada manusia agar mentadbir alam ini dengan cara saksama, mengikut fitrah dan adil. Alam ini bukan digunakan secara membazir, memberikan kemudharatan dan merosakan alam tabie secara sewenang-wenangnya.


Melaka luaskan wilayah, bina empayar

KERAJAAN Melaka yang mewarisi Empayar Sriwijaya melalui jalur Kerajaan Singapura pada zaman Majapahit, merupakan Empayar Melayu terbesar pada abad ke-15M. Melaka mempunyai keistimewaan khas di mana ia mewarisi Kerajaan Melayu Sriwijaya dari sudut bangsanya, tetapi turut mewarisi Kerajaan Islam Perlak dari sudut agama. Ini kerana pengasasnya, Parameswara adalah putera berdarah Palembang sebelum mengasaskan Melaka pada 1262M, dan menjadi menantu Sultan Perlak sebelum 1267M. Melaka mewarisi dua tradisi, iaitu Melayu sebagai kuasa politik dan perdagangan yang menguasai Nusantara semenjak abad ke-7 Masehi, dan Islam sebagai agama dan kuasa politik baru dunia yang juga muncul pada abad ke-7 Masehi di Tanah Arab. Percantuman dua kekuatan ini telah membangkitkan Melaka sebagai Empayar Melayu Islam yang pertama dan terbesar di Nusantara.
Pembangunan Melaka boleh dikatakan berlaku pada empat tahap iaitu pertama, tahap penubuhan, di mana Parameswara menjadikan Melaka sebuah kota pelabuhan dan mengadakan hubungan dengan Perlak dan Samudera-Pasai sehingga Islam mula berkembang di Melaka. Kedua,tahap kebangkitan iaitu ketika Islam mulai diterapkan dalam kerajaan pada zaman Sultan Muhammad Shah, kemudian Sultan Muzaffar Shah menjadikan Islam agama rasmi dengan Hukum Kanun Melaka mula berkuat kuasa. Pada zaman Sultan Mansor Shah, Sultan Alaiddin Riayat Shah dan awal pemerintahan Sultan Mahmud Shah adalah tahap ketiga, tahap kemuncak. Pada tahap ini, pelaksanaan Syariat, pengukuhan hubungan dengan Khalifah dan China, penguasaan ke atas perdagangan, penyebaran dakwah dan perluasan kuasa telah berlaku. Pada tahap ini juga, Melaka telah muncul sebagai empayar besar di Alam Melayu yang setanding dengan Majapahit di Jawa. Keempat, tahap keruntuhan di mana pada akhir zaman Sultan Mahmud Shah, tersebar fitnah dan kekacauan dalam negeri yang akhirnya mengundang serangan Portugis ketika Melaka dipimpin oleh Sultan Ahmad Shah. Dengan empat tahap perkembangan ini, Melaka telah bangkit sebagai Empayar Melayu Islam bermula awal abad ke-15M dan bertahan selama satu abad.
Pengukuhan Melaka: Membangun Empayar Melayu
Selepas Islamnya Parameswara sekitar 1267M, para ulamak telah datang berdakwah dan meng-Islam kerabat Diraja, pembesar dan rakyat Melaka seluruhnya. Kesan daripada itu, pada zaman Sultan Muhammad Shah, walaupun Hindu masih kuat, tetapi penerapan Syariat Islam mulai diberlakukan, termasuk memulakan penggubalan Hukum Kanun bagi Negeri Melaka. Apabila Raja Kassim atau Sultan Muzaffar Shah menaiki takhta pada 1343M, baginda telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara, menguatkuasakan Hukum Kanun Melaka dan melantik Maulana Syed Yusof sebagai Qadhi Melaka yang dikenali sebagai Qadhi Yusof. Kemudian peranan ulamak turut diperluaskan dengan membawa masuk para ulamak dari luar termasuk Arab, Parsi dan India, untuk menjadi pegawai pelaksana Syariah, mengajar agama, menterjemah kitab-kitab dan berdakwah. Pengukuhan ini telah membina kekuatan kepada Melaka dalam masa yang cepat untuk ia bangkit sebagai kuasa politik kemudiannya.
Selain faktor pelaksanaan Syariat yang memberi kekuatan kepada Melaka, hubungan dengan China yang dibina sejak 1404M telah meredakan tekanan Siam dan Majapahit, di samping Kerajaan Melaka menguasai kekuatan ekonomi melalui perdagangan di Selat Melaka. Kedatangan Laksamana Cheng Ho telah memberikan kekuatan politik kepada Melaka, sedangkan sebelumnya Melaka telah berbaik-baik dengan Majapahit. Dari sudut pemerintahan sendiri, Melaka bukan sahaja memiliki Sultan-sultan yang berwibawa, tetapi juga pembesar seperti Tun Perak dan Hang Tuah yang menjadi tiang seri kerajaan, di samping struktur pentadbiran yang tersusun terutama dalam mengendalikan keamanan negeri dan mentadbir pelabuhan dengan cekap. Apabila gerakan dakwah ke atas Jawa yang dikuasai Majapahit dimulakan pada 1404M oleh Wali Songo, ia bukan sahaja melemahkan kuasa politik Hindu itu, tetapi menjadi pemangkin kepada kekuatan Melaka dalam pembinaan empayarnya.
Perluasan Wilayah Melaka
Setelah Melaka berdiri kukuh, proses perluasan wilayah telah mula berlaku pada zaman Sultan Muzaffar Shah apabila kawasan Dinding, Kelang, Selangor, Muar, Batu Pahat, Singapura, Bintan dan Pahang berjaya ditakluk dan dikuasai oleh Melaka. Perluasan ini diteruskan pada zaman Sultan Mansor Shah di mana Kedah, Johor, Bernam, Beruas, Perak dan Terengganu pula menjadi wilayah taklukan Melaka. Pada zaman Sultan Mahmud Shah, Melaka meluaskan pengaruhnya ke Utara Semenanjung Tanah Melayu dengan menguasai Manjong, Kelantan, Mahligai, Pattani hingga ke Singgora (Songkhla). Ini bermakna seluruh Tanah Melayu dari Singgora hingga Singapura berada dalam penguasaan Melaka. Di luar Tanah Melayu, Melaka turut menguasai Aru, Deli, Serdang, Siak, Kampar, Indragiri, Jambi, Tungkal dan Rokan di Sumatera, serta Kepulauan Riau-Lingga hingga ke Brunei di Laut China Selatan. Ini bermakna seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Pantai Timur Sumatera dan kepulauan di Selatan Semenanjung adalah termasuk dalam Empayar Melaka, sekali gus meletakkan penguasaan Melaka ke atas Selat Melaka, Laut China Selatan dan Selat Singapura.
Dari segi kepentingan jajahan takluk Melaka ini, ada beberapa aspek yang boleh dinilai. Pertama, kawasan yang kaya dengan hasil bumi seperti timah dan emas telah dikuasai. Negeri Kedah, Perak, Beruas, Kelang, Selangor dan Manjung adalah pengeluar timah utama, manakala Siak, Rokan, Kampar, Pahang dan Kelantan adalah pengeluar emas. Kedua, negeri-negeri yang kaya dengan hasil tanaman seperti rempah, lada, kelapa dan lain-lain yang banyak dikeluarkan di Rokan, Kampar dan Perak juga jatuh ke tangan Melaka. Ketiga, penguasaan ke atas semua laluan perdagangan utama iaitu semua Negeri Pantai Barat Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera adalah pesisir Selat Melaka, sedangkan Singapura, Riau, Batam dan Lingga adalah pengawal kawasan Selatan Laut China Selatan dan Selat Singapura, manakala Pattani, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Brunei adalah mengawal laluan utama Laut China Selatan dari Utara. Keempat, menguasai kawasan ancaman lanun yang mengganggu perdagangan di Selat Melaka dan Kepulauan Riau-Lingga. Perluasan ini telah memberi manfaat politik dan ekonomi kepada Melaka, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai Empayar Melayu di Nusantara.
Perluasan wilayah dan pengembangan Islam
Di samping manfaat politik dan ekonomi, perluasan jajahan takluk Melaka dalam membentuk empayar ini turut memberi manfaat kepada perluasan pengaruh Islam. Ia berlaku dalam beberapa bentuk. Pertama,pertabalan Sultan-sultan dari kalangan putera Melaka yang menjadi negeri tersebut Wilayah Islam seperti Sultan Abdul Jamil di Pahang, Sultan Abdullah di Kampar dan Sultan Muzaffar Shah di Perak. Kedua,peng-Islaman Raja-raja seperti yang berlaku di Kota Mahligai di mana Raja Siam di situ, Cau Seri Bangsa, telah memeluk Islam dan diberi nama Sultan Ahmad Shah oleh Sultan Melaka. Ketiga, merapat hubungan dengan Kerajaan Islam sedia ada melalui perkahwinan seperti perkahwinan Sultan Mahmud Shah dengan Puteri Onang Kening, puteri Sultan Mansur Shah (1467-1521M), Raja Kelantan. Dan keempat, penaungan ke atas negeri-negeri yang meminta perlindungan seperti Pattani dan Kedah. Di samping mengukuhkan Negeri Islam sedia ada, pendekatan Melaka yang mengekalkan pemerintahan Raja-raja yang memeluk Islam, telah menyebabkan Wilayah Melaka semakin berkembang. Begitu juga perkahwinan Sultan Mansor Shah dengan Puteri Hang Li Po yang telah menyebabkan negeri-negeri naungan Melaka terselamat dari ancaman kuasa asing.
Perluasan wilayah ini juga telah memberi manfaat terhadap proses dakwah Islamiyah yang berkembang pada abad ke-14 dan 15M. Negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Jawaka dikatakan telah menerima Islam sebelum Melaka terus bangkit sebagai kuasa politik Islam sebagaimana peranan Pattani dalam Pendidikan Islam misalnya. Sedangkan, negeri-negeri lain masih beragama Hindu-Buddha, walau mulai menerima pengaruh Islam, telah mula didakwahkan. Dengan penaklukan ini, seluruh Semenanjung hingga ke Singgora telah dapat di-Islamkan. Demikian juga bekas jajahan Buddha Sriwijaya dan Hindu Majapahit di seluruh Pantai Timur Sumatera yang turut di-Islamkan sebagai negeri jajahan Melaka. Sementara berkembangnya dakwah di negeri-negeri tersebut, kekuatan politik Melaka telah membolehkan pendakwah dikirim ke Brunei, Mindanao, Sulu, Sulawesi, Maluku dan Jawa. Perkembangan ini telah meluaskan pengaruh Islam di seluruh Nusantara dalam tempoh 100 tahun, sebelum kedatangan Portugis pada 1511M. Kesannya, terbina pula Kerajaan-kerajaan Islam yang baru seperti Demak di Jawa, Brunei di Borneo, Sulu dan Maguindanao di Mindanao dan lain-lain, yang membawa kepada penguasaan politik Islam di Nusantara. 
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
2 Zulkaedah 1439 / 15 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 17/7/2018


Melaka empayar Islam pertama Nusantara

SELEPAS 436 tahun tertegaknya Kerajaan Islam di Nusantara dengan berdirinya Kerajaan Perlak pada 840M, hanya pada tahun 1276M barulah Islam bangkit berkembang menjadi sebuah empayar di Nusantara dengan berdirinya Kerajaan Melaka. Kerajaan Melaka yang diasaskan oleh Parameswara yang merupakan seorang putera dari Palembang, dikatakan didirikan pada 1262M. Walaupun masih menjadi perbahasan mengenai tarikh sebenar penubuhan Kerajaan Melaka, sama ada 1278M atau 1360M atau 1401M, namun yang pasti ia telah mencapai kemuncaknya pada abad ke-15M. Islam dikatakan mulai masuk dan berkembang di Melaka sejak Islamnya Raja Melaka pada 1276M. Sejak itu Islam bukan sahaja berkembang pesat di Melaka, tetapi Melaka telah bangkit menjadi sebuah pusat penyebaran Islam yang paling berpengaruh di Nusantara pada abad ke-15M sehingga dapat menyaingi pengaruh Majapahit yang berpusat di Jawa.
Berbeza dengan Kerajaan-kerajaan Islam yang muncul lebih awal daripada Melaka, kerajaan baru yang bangkit di Semenanjung Tanah Melayu ini telah muncul sebagai sebuah empayar yang menguasai Selat Melaka dan Laut China Selatan. Penguasaan Melaka ke atas seluruh Semenanjung Tanah Melayu dari Singgora (Songkhla) hingga seluruh Kepulauan Riau, dan Pantai Timur Sumatera meliputi kawasan dari Aru hingga ke Jambi telah menjadikannya sebuah empayar besar seperti Sriwijaya dan Majapahit. Dengan luasnya jajahan Kerajaan Melaka dan penguasaan Melaka ke atas perdagangan rempah di Nusantara, Melaka telah bergerak sebagai sebuah Kerajaan Islam yang mengembang luaskan dakwah Islam di rantau ini. Kemunculan Kerajaan Melaka sebagai sebuah empayar telah meletakkan ia sebagai Empayar Islam yang pertama dalam sejarah Nusantara.
Hubungan Melaka-Sriwijaya
Kewujudan Kerajaan Melaka mempunyai kaitan dengan Kerajaan Sriwijaya yang runtuh pada akhir abad ke-12M. Keturunan Raja-raja Sriwijaya telah berpindah dari Sumatera dan membina kerajaan di Temasik (Singapura) pada 1324M (berdasarkan tarikh lama penubuhan Melaka, iaitu 1401M yang disepakati sebelum ini atau tarikh baru pada 1185M). Ia bermula apabila Maharaja Sang Nila Pahlawan (Sangsa Purba) yang disebut dari keturunan Iskandar Zulkarnain oleh Sejarah Melayu, dan dianggap sebagai bapa kepada Raja-raja Melayu tidak dapat lagi bertahan di Palembang akibat serangan berterusan daripada Majapahit. Kisah kerajaannya bermula dengan waad daripada pemerintah Palembang, Demang Lebar Daun untuk memberikan kesetiaan dan ketaatan kepada Sangsa Purba. Selepas menjadi Raja Palembang menggantikan mertuanya, Demang Lebar Daun, akibat serangan Majapahit, baginda berhijrah ke Pulau Bintan dan mangkat di sana. Anakandanya, Sang Nila Utama yang beraja di Bintan berpindah ke Temasik pada 1324M (atau 1185M) dan mendirikan kerajaan di pulau yang dinamakan Kota Singa (Singapura).
Kerajaan Singapura yang didirikan oleh Sang Nila Utama telah mewarisi Kerajaan Palembang yang berpusat di Bukit Siguntang. Ketika tiba di Temasik, baginda melihat seekor binatang yang diberitahu kepadanya sebagai "singa," lalu pulau dinamakan sebagai Singapura. Selepas memerintah selama 48 tahun, pada 1372M (atau 1233M), baginda digantikan oleh anakandanya, Paduka Seri Pekerma Wira Diraja. Seramai empat Raja yang memerintah Singapura dari keturunan Sangsa Purba iaitu Sang Nila Utama (1324-1372M atau 1185-1233M), Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372-1386M atau 1233-1247M), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386-1399M atau 1247-1260M) dan Paduka Seri Maharaja Parameswara (1399-19401M atau 1260-1262M). Walau bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-13, Majapahit yang sedang meluaskan wilayah jajahannya, telah menyerang Singapura dan memaksa Paduka Seri Maharaja Parameswara berundur ke Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Muar, kemudian ke Melaka. Baginda kemudiannya menamakan tempat tersebut sebagai "Melaka" dan membangunkan kerajaan di sana. Dari situlah bermulanya sejarah Kerajaan Melaka menurut Sejarah Melayu.
Tarikh sebenar penubuhan Melaka
Pendapat lama mengenai tarikh penubuhan Melaka yang dikatakan berlaku pada 1400M atau 1401M telah ditolak oleh para sarjana tempatan yang membuat pendirian berdasarkan manuskrip dan artifak-artifak lama Melaka. Teori baru yang dikemukakan mengenai tarikh penubuhan Melaka adalah pada 1262M, hampir serentak dengan penubuhan Kerajaan Samudera-Pasai pada 1267M. Teori baru yang dikemukakan oleh sekumpulan sarjana dan pengkaji sejarah ini telah diiktiraf oleh Kerajaan Melaka pada 2010M dengan menolak tiga tarikh yang dikemukakan sebelumnya, iaitu 1401M, 1360M dan 1278M. Penetapan tarikh baru ini adalah hasil Resolusi Seminar Tahunan Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) bersama tiga buah universiti pada 31 Mei 2010M. Kajian turut disertai oleh sembilan orang pakar sejarah diketuai oleh Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali telah mencadangkan tahun 1262M sebagai tarikh sebenar penubuhan Kerajaan Melaka, berdasarkan bukti-bukti yang lebih kukuh, sekali gus menolak hujah-hujah sarjana sebelumnya yang mengatakan Melaka ditubuhkan pada awal abad ke-15.
Antara hujah yang dikemukakan oleh mereka untuk menolak tarikh yang lama dan menerima tahun 1262M sebagai muktamad ialah:
●     Tahun 1401M dan 1278M tidak mempunyai asas yang kukuh, sebaliknya ia hanyalah andaian yang dikemukakan oleh pengkaji awal berdasar sumber-sumber yang ada;
●     Tarikh yang dikemukakan oleh Silalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Raja Bongsu (MS 18 Stamford Raffles) iaitu 660H (1262M) adalah lebih tepat dan diterima sebagai tarikh sebenar pengasasan Kerajaan Melaka;
●     Para penyelidik menyimpulkan tarikh 1401M yang dikemukakan oleh penulis Barat dari Portugis bukan berdasarkan fakta sejarah; dan
●     Maklumat-maklumat yang dikemukakan oleh Tome Pires dalam Suma Oriental yang ditulis pada 1512-1514M adalah berdasarkan maklumat lisan yang didengar pada masa itu.
Berdasarkan fakta-fakta sejarah yang baru ini, maka tarikh sebenar penubuhan Melaka adalah 139 tahun lebih awal daripada tarikh yang diguna pakai sebelum ini. Silalatus Salatin versi Raja Bongsu yang mencatat dengan jelas tarikh penubuhan Kerajaan Melaka yang berlaku 660 tahun sesudah hijrahnya Nabi S.A.W telah menjadi bukti kukuh mengenai tarikh pembentukan kerajaan ini. Dalam kata lain, Kerajaan Melaka sebenarnya telah wujud ketika Kerajaan Perlak sedang berada pada 30 tahun terakhirnya, sebelum runtuh pada 1292M. Bahkan kewujudan Melaka adalah lebih awal daripada Samudera-Pasai yang berdiri pada 1267M, sedangkan ia hanya menguasai dan menggantikan Perlak selepas 1292M. Tarikh baru ini akan memudahkan kita memahami proses peng-Islaman Kedah, Kelantan dan Terengganu, bahkan Leran, Jawa juga yang berlaku sebelum abad ke-14M.
Parameswara dan Raja-raja Melaka
Sepanjang 249 tahun sejarah Kerajaan Melaka, ia telah diperintah oleh sembilan orang Raja dan Sultan. Raja pertamanya, Parameswara telah mengasaskan Melaka pada 1262M setelah memerintah Singapura selama tiga tahun, sebelum diserang oleh Majapahit pada sekitar 1260M. Sebagai putera Raja dari Palembang, Parameswara dan pembesarnya telah dapat membina sebuah negeri baru yang strategik di pesisir Selat Melaka dan dapat memerintah selama 20 tahun. Pada zamannya, Islam telah tiba di Melaka dan baginda memeluk Islam selepas 14 tahun menjadi Raja Melaka. Selepas memeluk Islam, baginda dikenali sebagai Raja Seri Iskandar Shah. Berikut adalah senarai Sultan-sultan Melaka:
     Paduka Seri Maharaja Parameswara atau Raja Seri Iskandar Shah (1262-1282M)
     Sultan Mahkota atau Raja Kechil Besar (1282-1284M)
     Sultan Mohammad atau Raja Tengah (1284-1341M)
     Sultan Abu Syahid atau Raja Ibrahim (1341-1343M)
     Sultan Muzaffar Shah atau Raja Kassim (1343-1373M)
     Sultan Mansur Shah atau Raja Abdul (1373-1446M)
●     Sultan Alaiddin Riayat Shah atau Raja Raden (1446-1479M)
     Sultan Mahmud Shah atau Raja Mamat (1479-1510M)
     Sultan Ahmad Shah (1510-1511M).
Keseluruhan tempoh pemerintahan Kerajaan Melaka adalah 257 tahun Hijriyah atau 249 tahun Masehi. Dan secara jelas bahawa Kerajaan Melaka jatuh dalam peperangan kedua dengan Portugis pada 24 Ogos 1511M. Selepas kejatuhan Kerajaan Melaka, Sultan Mahmud Shah (1479-1511M) telah berundur ke Johor, sebelum menguasai semua wilayah asalnya dan mendirikan Kerajaan Johor-Riau dan membentuk dinasti baru di Johor-Riau bermula dengan Sultan Alaiddin Riayat Shah II pada 1528M.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
23 Syawal 1439 / 7 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 8/7/2018


Monday, July 16, 2018

Malaysia dalam geo-politik baru Asia Tenggara (Siri 1)

PENGENALAN
Kedudukan Malaysia di Laut China Selatan menjadikan negara ini sebagai salah sebuah Negara Islam yang berkedudukan paling strategik dalam perkembangan politik dan ekonomi global. Menurut Friedman, peta tumpuan politik dan ekonomi global pada masa yang akan datang beralih dari Lautan Atlantik ke Lautan Pasifik, justeru mana-mana negara yang mendominasikan Lautan Pasifik akan menjadi kuasa besar dunia. Kedudukan Laut China Selatan yang boleh dianggap sebagai sabagai satu juzuk kepada Wilayah Lautan Pasifik, boleh jadi merupakan rantau terpenting kepada persaingan politik dan ekonomi global pada masa kini. Negara China dan Jepun, negara Ekonomi kedua dan ketiga terbesar di dunia, terletak berhampiran rantau ini di samping Negara-negara ASEAN yang juga mempunyai peranannya yang penting. Situasi ini sekali gus meletakkan Malaysia, sebagai salah sebuah Negara Islam yang berperanan penting dalam perkembangan geo-politik serantau, secara tidak langsung berperanan penting di peringkat global.
Rantau Asia Tenggara hari ini
Mutakhir ini, Negara-negara ASEAN yang terletak di rantau Laut China Selatan dilihat semakin penting dari segi kestabilan politik dan ekonomi global. Kawasan ini telah diisytiharkan sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) pada tahun 1971, menandakan komitmen negara-negara anggota untuk menjadikan kawasan ini aman dan stabil dari segi politik. Manakala pada tahun 2015 yang lalu pula, negara-negara anggota ASEAN telah bersepakat untuk menjadikan ASEAN sebagai komuniti politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya yang akan menyemarakkan lagi pembangunan di rantau ini. Kewujudan keamanan dan kestabilan politik menjadikan rantau ini sebagai rantau yang terhindar dari konflik-konflik besar sejak Perang Vietnam yang lalu. Kerjasama ekonomi dan kedudukannya yang strategik menjadikan rantau ini pula terus makmur dan subur untuk pertumbuhan di masa hadapan. Oleh sebab itu, Asia Tenggara menjadi antara rantau yang paling giat berkembang pada hari ini, dan ASEAN merupakan forum serantau yang memainkan peranan yang sangat penting.

Dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN, terdapat tiga buah Negara Islam yang menjadikan pengaruh Islam cukup besar dalam perkembangan politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya di rantau ini. Negara-negara tersebut ialah Indonesia, Malaysia dan Brunei. Selain daripada tiga Negara Islam tersebut, terdapat komuniti Islam yang agak ramai di negara-negara lain seperti Filipina, Thailand dan Myanmar. Jumlah keseluruhan populasi Islam di rantau Asia Tenggara ini ialah menghampiri 270 juta orang, iaitu hampir separuh daripada populasi keseluruhan. Selain daripada itu, dari segi akar umbi sejarah, pengaruh Islam sememangnya cukup kuat di rantau ini sejak 800 tahun yang lalu. Beberapa Kesultanan Melayu-Islam telah lahir dalam tempoh tersebut seperti Kesultanan Kedah, Kesultanan Melaka, Kesultanan Campa dan Kesultanan Acheh. Kedua-dua faktor silam dan faktor semasa ini, menjadikan pengaruh Islam begitu penting terhadap geo-politik rantau Asia Tenggara hari ini terutamanya dalam aspek kestabilan politik.
Pengaruh Negara China terhadap geo-politik rantau Asia Tenggara juga semakin signifikan semenjak negara itu mengamalkan dasar terbuka mulai awal 1990-an. Hubungan Negara China dan rantau Asia Tenggara bukanlah baru, malah telah bermula sejak zaman silam lagi. Semasa era Dinasti Ming, hubungan diplomatik antara China dan Kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara semakin diperluaskan. Berlaku juga migrasi penduduk daripada Tanah Besar China ke Negara-negara Asia Tenggara, sehingga terdapat ramai Etnik Cina yang menduduki Negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kelompok-kelompok migran Etnik Cina tersebut, kemudiannya menjadi penting pada hari ini disebabkan mereka menjadi pemain utama pembangunan ekonomi di negara-negara yang dinyatakan. Secara tidak langsung, peranan China dan migran Cina yang dikenali sebagai kelompok Cina Antarabangsa, juga begitu penting dalam mencorakkan geo-politik rantau Asia Tenggara terutama yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi.
Disebabkan pengaruh besar China terhadap geo-politik rantau Asia Tenggara ini, maka China telah dianggap rakan dagangan ASEAN yang begitu penting. Akibat daripada krisis mata wang pada tahun 1997, mesyuarat berkala antara ASEAN dan China yang turut melibatkan Jepun dan Korea Selatan telah digerakkan. Forum ini lebih dikenali sebagai ASEAN Plus Three (APT) yang berperanan sebagai penyelaras kerjasama antara ASEAN dengan tiga negara besar Asia Timur. Semenjak perisytiharan Kenyataan Bersama Tentang Kerjasama Asia Timur hasil daripada Sidang Kemuncak APT di Manila pada tahun 1999, negara-negara yang terlibat telah menjalankan perundingan yang berterusan. Di peringkat awal penubuhannya, APT bukan sahaja berunding mengenai perkara yang berkaitan krisis mata wang, tetapi diperluaskan kepada perkara-perkara yang lain seperti perdagangan, keselamatan makanan, pengurusan bencana, pembangunan lestari dan gerakan anti-terrorisme. Dengan tertubuhnya APT ini, kedudukan geo-politik Asia Tenggara menjadi semakin signifikan dalam lakaran peta global.
Semenjak wujudnya APT, forum ini telah memainkan peranan yang cukup penting kepada kestabilan politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya di Wilayah Laut China Selatan dan Asia Timur. Pada tahun 2001, APT telah membentuk satu Kumpulan Pengkaji Asia Timur untuk mencadangkan mekanisme terbaik untuk APT berperanan. Salah satu saranan kumpulan ini ialah dengan penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) setiap tahun. EAS yang pertama telah dianjurkan oleh Malaysia pada tahun 2005, yang turut dihadiri oleh Russia sebagai negara pemerhati. Pada persidangan yang pertama ini, keanggotaan APT telah diperluaskan dengan turut melibatkan negara-negara yang boleh menjadi rakan strategik di Asia Timur iaitu India, Australia dan New Zealand. Berikutan dengan itu, APT telah mula dikenali sebagai ASEAN Plus Six (ASEAN+6). Keanggotaan ASEAN+6 ini menjadikan forum ini sebagai salah satu forum serantau yang cukup berpengaruh dari segi politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya di peringkat global.
Peranan ASEAN+6 sememangnya mendapat perhatian dua kuasa besar dunia, Russia dan Amerika Syarikat. Pengaruh besar China di Wilayah Laut China Selatan ini dilihat menimbulkan kebimbangan kedua negara tersebut, justeru usaha perlu diambil untuk mengimbangi dominasi China di wilayah ini. Pada EAS ke-6 tahun 2011, keanggotaan persidangan ini telah diperluaskan dengan turut melibatkan Russia dan Amerika Syarikat. Keanggotaan baru dalam EAS ini kadang-kadang turut dikenali sebagai ASEAN Plus 8. Dengan keanggotaan baru Russia dan Amerika Syarikat ini, menjadikan rantau Asia Tenggara semakin penting dalam mencorakkan kestabilan politik, ekonomi dan masyarakat global. Sepertimana yang disepakati, persidangan ini bukan sekadar menjadi forum untuk membincangkan aspek kewangan dan perdagangan, tetapi juga seluruh aspek yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan masyarakat termasuklah alam sekitar dan keselamatan. Dengan pengertian lain, faktor geo-politik Asia Tenggara semakin penting dalam percaturan global.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Pusat Penyelidikan PAS - HARAKAHDAILY 17/7/2018

Sistem pemerintahan Kesultanan Melaka

PEMBENTUKAN Pemerintahan Islam telah berlaku secara beransur-ansur di Nusantara, bermula dari tahap penyebaran Islam kepada tahap penerapan Syariah, sehingga akhirnya mewujudkan sebuah Kerajaan dan Pemerintahan Islam. Berbanding dengan Samudera-Pasai yang menjadi pusat perkembangan dakwah Islam, kemunculan Melaka dengan Sistem Pemerintahan Islam adalah lebih menonjol. Walaupun secara relatif, kewujudan Melaka adalah sezaman dengan Samudera-Pasai, tetapi kerana Samudera-Pasai mewarisi Perlak yang wujud sejak 840M, maka perkembangan Sistem Pemerintahan Islam di Melaka lebih mendapat perhatian. Latar belakang Kerajaan-kerajaan Islam di Utara Sumatera itu lebih dipengaruhi oleh tradisi Arab-Parsi-India, kerana Raja-raja mereka dikaitkan dengan negara-negara tersebut, sedangkan Melaka benar-benar mewarisi dan mewakili peradaban Melayu Islam. Kewujudan Melaka yang merupakan lanjutan Kerajaan Sriwijaya, telah memperlihatkan percantuman Sistem Pemerintahan Islam dengan tradisi Kekerajaanan Melayu di Nusantara.
Menurut Auni Abdullah, Kerajaan Islam di Melaka telah menyambung tradisi sebelumnya (Perlak dan Samudera-Pasai) dengan mewujudkan kesinambungan Pemerintahan Islam dan pelaksanaan Syariat. Pemerintahan Islam di Melaka lebih bertenaga, perkasa dan berwibawa berbanding Kerajaan-kerajaan Islam di Utara Sumatera, di mana Melaka bukan sahaja menjadi pusat peradaban Islam, tetapi sebuah kuasa politik yang mampu membentuk empayar dan menjadi tumpuan pedagang dari seluruh dunia. Hakikat kemajuan yang dicapai oleh Melaka ini adalah berpunca daripada Sistem Pentadbiran dan Pemerintahan Islam yang dipraktiskan. Dengan Sistem Pemerintahan Islam yang dicantumkan dengan Sistem Pemerintahan Melayu Tradisional telah dapat membina kekuatan baru sehingga mengangkat kedudukan Melaka dalam bidang politik dan juga ekonomi. Tradisi Pemerintahan Islam yang diterap daripada model kepemimpinan Rasulullah S.A.W dan para Khulafa' ar-Rashidin telah melahirkan suasana baru dalam kehidupan bernegara bagi orang Melayu yang sebelum ini sangat mendewa dan mensucikan Raja-raja melalui konsep "devaraja", kepada menjadikan Sultan sebagai bayangan Allah di atas muka bumi yang ditaati selagi baginda semua mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Sultan: Zilalullah Fil Ardh
Sebelum penubuhan Melaka, belum ada Kerajaan-kerajaan Tanah Melayu menggunakan istilah "Sultan" untuk merujuk kepada Rajanya, kecuali Raja Kedah, Sultan Muzaffar Shah yang memeluk Islam pada 1136M. Penggunaan gelaran Sultan telah menjadi tradisi di Utara Sumatera sejak 840M, kemudian dikembangkan oleh Melaka sejak peng-Islaman Parameswara sekitar 1267M. Dalam sejarah Islam, istilah Sultan hanya muncul selepas zaman Dinasti Saljuk (1037-1194M), sedangkan sebelumnya hanya wujud Khalifah. Nizam al-Mulk (m. 1085M), pemimpin dan pemikir Saljuk yang terkenal, melalui karyanya, Siyasat al-Muluk mengatakan Sultan adalah institusi yang sah dalam Islam, di mana ia bertindak sebagai pemerintah yang memegang kekuasaan, manakala Khalifah kekal sebagai ketua negara. Pendapat ini turut didukung oleh ulamak besar, Imam al-Juwaini (m. 1092M) dan Imam al-Ghazali (m. 1111M). Pandangan mereka menjadi landasan terhadap kewujudan sistem kesultanan dalam Pemerintahan Islam di Nusantara.
Oleh kerana Sultan-sultan di Alam Melayu yang wujud sejak 840M, termasuk Kesultanan Melaka menjadi pemimpin umat dan negara, maka ia memenuhi maksud al-Ghazali apabila mereka memerintah berpandukan Islam. Menurut al-Ghazali, Kesultanan adalah suatu keperluan yang menjadi jambatan antara agama dan urusan dunia, iaitu bertanggungjawab menguatkuasakan Syariat dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara keseluruhannya. Pada zaman Melaka, disebabkan peranan ini, Sultan-sultan memakai gelaran "Khalifatullah fil Ardh" (Pengganti Allah di muka bumi) dan "Zilalullah fil Ardh" (Bayangan Allah di muka bumi) untuk menggambarkan peranan Sultan terhadap pelaksanaan Hukum Allah dan penyebaran agama-Nya. Atas sebab itu, walaupun Melaka adalah sebuah empayar yang merdeka, ia tetap mempunyai hubungan dan ketundukan kepada Khalifah-khalifah Islam di Kaherah (Daulah Abbasiyah) dan Istanbul (Daulah Othmaniyah). Melaka tetap menerima bahawa Khalifah adalah ketua bagi orang-orang beriman (Amir al-Mukminin).
Struktur pentadbiran Melaka
Dengan berasaskan Sistem Kesultanan, Pemerintahan Melaka mengekalkan tradisi pentadbiran Melayu, di mana para pembesar menjadi pentadbir atau Wazir-wazir dengan portfolio khusus. Pada asasnya, sistem ini berasaskan pentadbiran Kerajaan Melayu di Palembang dan Singapura, sebelum Sistem Islam diterapkan. Dalam sistem pentadbiran yang bermula pada zaman Sultan Muhammad Shah, pembesar utama Melaka ada empat tingkat iaitu Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar 16 dan Orang Besar 32. Pentadbir utama ialah Orang Besar Empat yang terdiri dari Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Bendahara yang menjadi Menteri Utama Melaka adalah ketua pentadbir (seperti Perdana Menteri), dengan tokoh yang paling terkenal ialah Tun Perak. Di samping itu juga, wujud jawatan-jawatan lain yang merupakan pengukuh pentadbiran di Melaka, yang biasa bergelar Datuk, Penghulu, Pemungut Cukai dan Saudagar. Struktur ini menggambarkan ketersusunan sistem pentadbiran Kerajaan Melaka.
Selaku ketua pentadbir, Bendahara adalah penasihat utama Sultan dalam soal pentadbiran dan hubungan luar negara, memberi arahan-arahan atas kepentingan negara dan menjaga alat-alat kebesaran ketika kemangkatan Sultan, selain sebagai Ketua Hakim dan Ketua Pentadbiran. Selalunya Bendahara terlebih dahulu memegang jawatan Temenggung dan Penghulu Bendahari, sebelum dilantik ke jawatan tertinggi itu, dan memakai gelaran Seri Nara Diraja. Pada awalnya Bendahara dibantu oleh dua Wazir, Temenggung dan Seri Bija Diraja yang masing-masing bertanggungjawab terhadap keamanan dan perdagangan serta ketumbukan hulubalang di Melaka. Selain bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri, Temenggung yang bergelar Seri Maharaja juga adalah ketua protokol dan bertanggungjawab terhadap Hulubalang Besar dan Laksamana. Penghulu Bendahari yang diwujudkan kemudian adalah Setiausaha Kerajaan dan penjaga khazanah negara, manakala Syahbandar pula menjadi penyelia pelabuhan dan pemungut cukai. Pada zaman Sultan Mansor Shah, jawatan Laksamana diwujudkan secara rasmi sebagai ketua angkatan laut, yang setara dengan Seri Bija Diraja yang bertanggungjawab terhadap pertahanan darat. Dengan struktur pentadbiran dan bidang tugas para pembesar yang tersusun ini, Melaka telah bangkit sebagai kuasa politik Islam di Nusantara.
Pengaruh Islam dalam sistem pemerintahan
Pemerintahan Kesultanan Islam yang berasaskan struktur pentadbiran Melayu di Melaka telah memperlihatkan pengaruh Islam yang kuat apabila Sultan Muzaffar Shah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Melaka, sekali gus meletakkan Islam sebagai Dasar Pemerintahan Negara. Semua urusan negara ditadbir menurut peraturan Syariat dan hubungan dengan Negara-negara Islam, khususnya Khalifah di Kaherah diperkukuhkan. Sultan Muzaffar Shah kemudiannya memperkenalkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka sebagai penguatkuasaan Undang-undang Syariat, di mana jawatan Qadhi diwujudkan untuk mengendalikan urusan kehakiman negara di bawah Bendahara. Elemen-elemen pentadbiran tradisional Melayu dikekalkan dalam pentadbiran Melaka, tetapi unsur-unsur Islam diterapkan sehingga elemen Melayu tradisional tidak bercanggah dengan Syariat. Keterbukaan Islam menerima sistem-sistem pentadbiran yang sedia ada, kemudian diterapkan dengan prinsip-prinsip Islam seperti persamaan, keadilan, Syura dan sebagainya, telah membolehkan Islam berperanan besar terhadap Kerajaan Melayu di Melaka.
Pengaruh Islam yang lebih ketara dalam pemerintahan di Melaka ialah dengan berlakunya penglibatan para ulamak dalam pentadbiran kerajaan dan peranan kerajaan sendiri yang mendukung gerakan dakwah Islamiyah di Nusantara. Semenjak Makhdum Syed Abdul Aziz menjadi guru agama dan penasihat kepada Parameswara dan Raja Kechil Besar, para ulamak seperti Qadhi Yusof, Qadhi Munawar Shah, Maulana Abu Bakar dan Maulana Sadar Jahan telah berperanan sebagai penasihat Sultan, Qadhi dan juga penggubal undang-undang yang berasaskan Syariat sebagai Undang-undang Melaka. Kerajaan Melaka juga menggalakkan kehadiran ulamak luar untuk mengembangkan ilmu dan berdakwah di Melaka. Kemudian, melalui aktiviti pendidikan, penterjemahan dan penulisan yang berlaku di istana-istana dan masjid, telah melahirkan pula para pendakwah seperti Sunan Gunung Jati dan Sunan Kalijaga, yang kemudiannya dengan dukungan Kerajaan Melaka, telah mengembangkan dakwah ke seluruh pelusuk Nusantara. Tidak dapat ditolak, bahawa peranan Pemerintahan Islam di Melaka sangat membantu proses dakwah ini, sehingga para sarjana merumuskan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam pada abad ke-15M.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
1 Zulkaedah 1439 / 14 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 16/7/2018