NUR NABI MUHAMMAD ﷺ : SUATU PENCERAHAN
Dalam artikel ini, saya tumpukan perbincangan mengenai keawalan Nur Nabi Muhammad ﷺ dan kefahamannya menurut Ulama Deobandi. Kemudian disusuli dengan penjelasan dari para Ulama Muktabar dari berbagai aliran.
Mawlana Husayn Ahmad al-Madani dalam al-Shihab al-Thaqib (ms.47) menegaskan bahawa pendirian Ulama Kibar Deobandi mengenai kejadian pertama yang diciptakan Allah ialah Nur Nabi Muhammad ﷺ.
Mawlana Shabbir Ahmad Uthmani (w.1368H/1949M) dalam kitabnya Tafsir al-‘Uthmani, pada Firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari nabi-nabi dan dari kamu (sendiri) dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putra Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh” (al-Ahzab:7), Mawlana Shabbir Ahmad Uthmani berkata:
“Allah Ta’ala telah menyebut Nabi Muhammad ﷺ yang paling awal berbanding Nabi-Nabi Ulul Azmi yang lain, sedangkan Baginda ﷺ yang terakhir datang di alam dunia, adalah kerana hakikat kedudukan Baginda ﷺ adalah Nabi yang pertama, sebagaimana Baginda ﷺ adalah yang terawal wujud di alam ghayb, sepertimana ia telah sabit di dalam hadith”.
Pada Firman Allah, “Allah adalah nur langit dan bumi”, Mawlana Shabbir menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan bahawasanya seluruh makhluk mendapat nur wujud yang dipancarkan oleh Allah Ta’ala (kullu makhluq hasala lahu nur al-wujud minaAllah).
Mawlana Abd al-Halim al-Laknawi (ayah Mawlana Abd al-Hayy) dalam kitabnya Nur al-Iman Bi Ziyarat Habib al-Rahman (ms.9) menyatakan bahawa seluruh alam adalah diliputi dengan Nur Nabi Muhammad ﷺ. Kenyataan yang sama juga dinukil oleh Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi dalam kitabnya al-Si’ayah Sharh al-Wiqayah (j,2, ms.228, Bab al-Tashahhud, Kanpur: Matba’ Mujtaba’i).
Maulana `Abd al-Hayy al-Laknawi rahimahuLlah (w.1304H/1886M) dalam al-Athar al-Marfu`ah (ms.43) telah menyatakan bahawa keawalan (awwaliyyah) Nur Nabi Muhammad ﷺ (al-Nur al-Muhammadi) telah diperkukuhkan sebagai tetap mendahului semua kejadian.
al-Muhaddith Shah `Abd al-Haqq al-Dehlawi rahimahuLlah (w.1642M) dalam Madarij al-Nubuwwah mensahihkan riwayat yang menyatakan keawalan Nur Muhammad ﷺ. Dalam kitabnya Lama’at al-Tanqih Sharh al-Mishkat, beliau menyatakan bahawa hadith yang menyebutkan “Nabi Muhammad ﷺ telah menjadi Nabi ketika Nabi Adam berada antara roh dan jasad” adalah menunjukkan kepada keawalan kejadian Nabi Muhammad ﷺ.
Ketika mensyarahkan makna hadith Mishkat yang berbunyi “Aku adalah Penghulu anak Adam”, Shah Abd al-Haqq tekah menukilkan dari al-Muhaddith al-Qustullani yang mengatakan bahawa kedudukan Baginda sebagai penghulu menunjukkan bahawa alam ini kesemuanya dijadikan Allah adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ dan jika bukan kerana Nabi Muhammad ﷺ, alam ini tidak tercipta.
Shah Abd al-Rahim rahimahuLlah (w.1131H/1719M) yang merupakan ayah kepada Shah WaliyuLlah al-Dihlawi rahimahuLlah, mempunyai karangan berjudul Anfas Rahimiyyah (ms.13) yang di dalamnya beliau menukilkan hadith bahawa ciptaan pertama adalah Nur Nabi Muhammad ﷺ lalu menyatakan bahawa seluruh kejadian dari langit sehingga ke bumi yang merangkumi semua malaikat, jin, manusia dan lain-lain adalah diciptakan dari Hakikat Muhammadiyyah (Nur Muhammad ﷺ).
Shah WaliyuLlah Dehlawi (w.1762M) pula dalam kitabnya Fuyud al-Haramayn (ms.52, 97) meriwayatkan hadith yang menyatakan bahawa Nur yang pertama diciptakan Allah adalah Nur Nabi Muhammad ﷺ dan beliau tidak menolak hadith tersebut. Beliau menjelaskan bahawa Baginda SAW adalah wasitah kepada kewujudan alam ini. Beliau juga menyatakan bahawa jika bukan kerana Nabi Muhammad ﷺ nescaya alam ini tidak tercipta.
Cucu Shah WaliyuLlah bernama Shah Ismail Shahid Dehlawi (w.1247H/1831M) dalam kitabnya Yak Roza (ms.10) menyatakan bahawa kedudukan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Khatam al-Nabiyyin (Mohor Kenabian) menuntut bahawa dirinya adalah makhluk pertama yang diciptakan Allah Ta’ala.
Maulana Asyraf Ali Thanwi rahimahuLlah [w.1943M] di dalam kitabnya Nashr al-Tib fi Zikri al-Nabiy al-Habib telah menyatakan bahawa kejadian pertama yang dicptakan Allah ialah Nur Nabi Muhammad ﷺ.
Mawlana Anwar Shah al-Kashmiri (w.1352H/1933M) dalam al-‘Arfu al-Shaziy Sharh al-Tirmidhi (j.3, hadith no.2155) telah menerima riwayat yang diketengahkan oleh Imam al-Qustullani dalam al-Mawahib iaitu hadith yang direkodkan oleh Imam al-Hakim bahawasanya ciptaan yang pertama adalah Nur Nabi Muhammad ﷺ. Mawlana al-Kashmiri menyatakan bahawa Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah termasuk dalam ikhtilaf muktabar yang diterima oleh para Ulama dalam perbincangan kejadian yang terawal.
___________________
Dalam catatan saya, terdapat 15 ayat al-Qur’an dan 15 hadith yang dijadikan oleh Ulama sebagai jalan pendalilan kepada sabitnya Nur Nabi Muhammad ﷺ sebagai ciptaan yang terawal. Namun dalam artikel ini, saya hanya membawa satu versi hadith sahaja daripadanya supaya artikel ini tidak terlalu panjang. Ma qalla wa dalla wa li al-‘aqil takfihi al-isharah.
وعن ميسرة الفجرقال: قلت: يا رسول الله متي كنت نبيا؟ قال:"كنت نبيا وآدم بين الروح والجسد " رواه الامام احمد والبخاري في التاريخ والطبراني والحاكم وصححه وقال الحافظ الهيثمي في رجال احمد والطبراني: رجالهما رجال الصحيح
Bermaksud: Dari Sayyidina Maysarah al-Fajr bahawa aku bertanya kepada RasuluLlah SAW, “Ya RasuluLlah, bilakah engkau menjadi Nabi”. Baginda menjawab, “Aku adalah Nabi ketika Nabi Adam antara roh dan jasad”. (status hadith adalah sahih)
Hadith yang seumpama di atas juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam al-Jami’, namun dari jalur riwayat Sayyidina Abu Hurayrah sebagai berikut:
روى الترمذي عن أبي هريرة قال: قالوا: يارسول الله، متي وجبت لك النبوة؟ قال :"وآدم بين الروح والجسد" . وقال الترمذي حديث حسن صحيح غريب ورواه ابو نعيم والبيهقي والحكم وصححه، ورواه البزار والطبراني وابونعيم ايضا من رواية ابن عباس رضي الله عنهما
Bermaksud: Dari Sayyidina Abu Hurayrah bahawa para sahabat telah bertanya kepada RasuluLlah ﷺ, “Ya RasuluLlah, bilakah Tuan mendapat Kenabian?”. Baginda menjawab, “Ketika Nabi Adam antara roh dan jasad”. (status hadith adalah sahih)
Pertama kali saya mempelajari hadith ini adalah ketika dalam kelas al-Tirmidhi dibawah pengajian Mufti ‘Alauddin al-Afghani rahimahuLlah, syarahan hadith yang digunakan dalam kelas ialah Qut al-Mughtadhi ‘ala al-Tirmidhi karangan Imam al-Suyuti. Oleh kerana hadith ini juga terdapat dalam kitab Mishkat, maka syarahan yang tercatat dalam kelas juga turut dipetik dari kitab Lama’at al-Tanqih Sharh al-Mishkat al-Masabih karangan Shah Abd al-Haqq al-Dihlawi.
Syarah hadith: Imam al-Suyuti telah menukilkan dari Imam al-Rafi’i bahawasanya RasuluLlah SAW adalah Nabi pertama yang diciptakan dan yang paling akhir diutus.
Shah Abd al-Haqq al-Dihlawi menyatakan bahawa maksud “Nabi Adam antara roh dan jasad” ialah ketika roh belum ditiup ke jasad Nabi Adam, maksudnya ialah Nabi Muhammad ﷺ adalah terlebih dahulu wujud sebelum Nabi Adam (al-murad al-sabqu wa al-taqaddum). Selanjutnya beliau menukilkan bahawa Roh Nabi Muhammad ﷺ telah menjadi Nabi bagi sekalian roh bahkan Baginda ﷺ adalah murabbi mereka. Dan telah sabit bahawa Allah menciptakan roh sebelum jasad.
Mulla Ali Qari rahimahuLlah (w.1014H/1605M) dalam Mirqat al-Mafatih dan al-Mawrid al-Rawiy menjelaskan bahawa apabila disebut Nur Nabi Muhammad ﷺ, yang dimaksudkan ialah roh Baginda ﷺ. Imam Ibrahim al-Laqqani dalam ‘Umdah al-Murid menegaskan bahawa jumhur Ulama Aqidah berpegang bahawa roh adalah merupakan nur yang bersifat tinggi. Oleh itu, kedudukan Nur Nabi Muhammad ﷺ sebagai ciptaan pertama di alam roh tidak menafikan kejadian Rasulullah ﷺ sebagai manusia di alam dunia yang mempunyai unsur tanah, air dan lain-lain.
____________________________
Penjelasan lanjut oleh para Ulama Muktabar mengenai hadith di atas
Imam Abu Bakr al-Wasiti rahimahuLlah (w.320H/932M) beliau telah ditanya apakah sebabnya RasuluLlah SAW disebut sebagai manusia yang paling berhikmah, lalu beliau menjawab, “Kerana Nur Nabi Muhammad SAW adalah yang paling awal mendapat perdampingan yang tetap dan teguh disisiNya, tidakkah kalian pernah mendengar hadith: Aku telah menjadi Nabi ketika Adam antara roh dan jasad, yakni ketika Nabi Adam a.s. masih belum dalam keadaan roh dan jasad”.(Ruj: Haqa’iq al-Tafsir li al-Imam al-Sulami (w.412H/1021M))
Imam Taqiyyuddin al-Subki (w.756H/1355M) dalam al-Fatawa pada bab al-Ta’zim wa al-Minnah ketika mengulas mengenai hadith di atas yang menyatakan RasuluLlah ﷺ telah menjadi Nabi ketika Nabi Adam antara roh dan jasad (yakni sebelum Nabi Adam hidup sebagai seorang manusia), mereka bersepakat mengatakan bahawa telah sabit bahawa Allah Ta’ala menciptakan roh sebelum jasad.
Imam al-Subki menegaskan bahawa keawalan Kenabian Rasulullah ﷺ bukan hanya sekadar di dalam Ilmu Ilahi, akan tetapi keawalan pada kejadian yang nyata. Jika ia sekadar di Ilmu Ilahi atau suratan Taqdir semata-mata, nescaya semua manusia boleh mengatakan "kuntu insanan wa Adam bayna al-ruh wa al-jasad" (aku telah menjadi manusia ketika Nabi Adam antara roh dan jasad), maka jika demikian itulah keadaannya, maka hadith ini tidak menyerlahkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW sedangkan tujuan hadith ini adalah untuk memberitahu keistimewaan Nabi Muhammad SAW.
Penerangan Imam al-Subki di atas telah dipersetujui oleh Imam al-Munawi (w.1030H/1621M) dalam Fayd al-Qadir, Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam al-Ahādith al-Muntaqāh fi Faḍā’il Sayyidina RasuliLlah SAW dan Shah Abd al-Haqq al-Dihlawi dalam Lama’at al-Tanqih.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali (w.795H/1393M) dalam Lata’if al-Ma’arif mengulas bahawa hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah hidup sebelum Nabi Adam memperolehi hayat. Maka tidak boleh dikatakan bahawa Nabi Adam dicipta sebelum Nabi Muhammad SAW kerana Nabi Muhammad ﷺ telah wujud sebelum Nabi Adam ditiupkan roh padanya. Dan jika bukan kerana Nabi Muhammad ﷺ, nescaya tidak diciptakan Nabi Adam. Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam Irshad al-Talib al-Najib telah menukilkan Imam Ibnu Rajab di atas dan menyatakan bahawa kalam beliau ini adalah sangat berharga (kalamuhu wa huwa nafis).
Imam al-Suyuti (w.911H/1505M) dalam Khaṣa’iṣ al-Kubra (Bab Khususiyyah al-Nabiy SAW bi Kawnihi Awwal al-Nabiyyin fi al-Khalqi wa Taqaddama Nubuwwatuhu wa Akhdhi al-Mithaq ‘Alayh, Bab Pertama, jil.1, ms.5-8) menyatakan bahawa hadith di atas adalah berkait dengan hadith “Aku adalah Nabi pertama dalam penciptaan dan yang terakhir dalam pengutusan” sebagai tafsiran kepada ayat al-Qur’an, “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari Nabi-Nabi dan dari kamu (sendiri) dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putra Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh” (al-Ahzab:7). Imam al-Suyuti meriwayatkan sebelas hadith dalam bab pertamanya ini sebagai dalil untuk mensabitkan keawalan kejadian Nabi Muhammad ﷺ.
Imam al-Bayjuri dalam kitabnya Sharh al-Burdah li al-Busayri (Bayt: fa innama ittasalat min nurihi bihim) menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW mendahului para Nabi yang lain adalah dari sudut kejadian Baginda dalam bentuk Nur Muhammadi, kerana pada sudut itu, Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah kejadian yang terawal dan menjadi asal kepada kepada sekalian makhluk, maka seluruh Nabi dan mukjizat-mukjizat mereka termasuk ciptaan syurga dan neraka adalah berasal dari Nur Nabi Muhammad SAW.
Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam al-Ahādith al-Muntaqāh fi Faḍā’il Sayyidina RasuliLlah ﷺ (ms.7) menyatakan bahawa hadith di atas menjelaskan keistimewaan Nabi Muhammad ﷺ sebagai kejadian yang pertama diciptakan Allah Ta’ala. Beliau telah menetapkan secara jelas keawalan kejadian Nabi Muhammad ﷺ secara hakiki yakni pada penciptaan rohnya, lalu beliau menolak sebarang pihak yang cuba mengalihkan maknanya kepada selain dari itu.
_______________________
Sanad riwayah dan dirayah
1. Habibuna Rasulullah ﷺ
2. Sayyidina Maysarah al-Fajr radiyaAllahu 'anhu
3. Imam Abdullah bin Shaqiq
4. Imam Budayl bin Maysarah
5. Imam Ibrahim bin Tahman
6. Imam Muhammad bin Sinan al-Bahili
7. Imam al-Bukhari
8. Imam Muhammad al-Farbari
9. Imam Abdullah al-Sarkhasi
10. Imam Abu al-Hasan Abd al-Rahman al-Dawudi
11. Imam Abu al-Waqt Abd al-Awwal
12. Imam Siraj al-Din al-Hasan al-Zabidi
13. Imam Ahmad bin Abi Talib
14. Imam Ibrahim al-Tanukhi
15. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani
16. Imam Zakariyya al-Ansari
17. Imam Najmuddin Muhammad al-Ghayti
18. Imam Shihabuddin al-Subki
19. Sultan al-Mizahi
20. Shaykh Ibrahim al-Kurdi al-Kurani
21. Shaykh Abu Tahir al-Madani dan Shah Abd al-Rahim al-Dihlawi
22. Shah Waliyyullah Dehlawi
23. Shah Abdul Aziz Dehlawi
24. Shah Ishaq Dehlawi dan Shah Isma‘il Shahid Dehlawi
25. Shah Abdul Ghani Mujaddidi Dehlawi dan Mawlana Abd al-Halim al-Laknawi
26. Mawlana Qasim Nanotwi dan Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi
27. Mawlana Mahmudul Hasan Shaykh al-Hind
28. Mawlana Husayn Ahmad al-Madani dan Mawlana Ashraf Ali Thanwi dan Mawlana Anwar Shah Kashmiri
29. Mawlana Shabbir Ahmad al-Uthmani
30. Mawlana 'Aziz al-Haq al-Banladishi
31. Mufti Radha ul Haq, Mawlana Shabbir Ahmad Salooji, Mufti Alauddin al-Afghani dan lain-lain.
32. iqbal Zain al-jauhari
___________________
Pencerahan lanjut mengenai Nur Nabi Muhammad SAW
Imam Sa’id Ibnu Jubayr (w.93H/714M) berkata “Yang dimaksudkan dengan cahaya yang kedua dalam Surah al-Nur ayat 35 (dalam ayat Cahaya di atas cahaya) ialah Nabi Muhammad SAW. Dan mengenai Firman Allah Ta’ala, “Perumpamaan CahayaNya…” (mathalu nurihi..) ialah Nur Nabi Muhammad SAW. (al-Shifa’, Qadi ‘Iyad).
Imam Qatadah (w.117H/735M) yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Nabi yang pertama diciptakan (awwal al-nabiyyin khalqa) (Tarikh al-Kabir li al-Bukhari dan Tafsir al-Tabari) dan beliau memberi tafsiran kepada perkataan nur yang berada pada Surah al-Ma’idah:15 ialah Nabi Muhammad SAW (Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir li Ibni al-Jawzi)
Setelah itu ialah Imam Ja’far al-Sadiq rahimahuLlah (w.143H/765M) ketika mengulas ayat dalam Surah al-Zukhruf ayat 81, “Maka akulah orang yang awal pertama yang menyembah”, berdasarkan ayat ini beliau telah berkata, “Nur Muhammad SAW adalah ciptaan yang pertama dijadikan Allah Ta’ala sebelum segala sesuatu”. (Tafsir Ruh al-Bayan, Imam Isma’il Haqqi)
Imam Ibnu Battah al-‘Akbari al-Hanbali (w.387H/997M) telah menulis kitab yang mengumpulkan fakta-fakta yang disepakati oleh para Ulama pada zamannya yang berjudul al-Sharh wa al-Ibanah. Pada Bab Permulaan Penciptaan Nabi dan Cahaya-Cahaya Kelahirannya (Ibtida’ Khalqi al-Nabiy wa Anwar Wiladatihi), beliau menyatakan:
“Dan sesungguhnya Nabi kita adalah Nabi pertama yang dicipta dan yang terakhir diutuskan".
Shaykh Abd al-Qadir al-Jaylani al-Hanbali (w.1166M) dalam Sirr al-Asrar menyatakan bahawa ciptaan pertama yang dijadikan Allah ialah Nur Nabi Muhammad SAW.
Imam Zakariyya al-Ansari (w.926H/1520M) dalam Asna al-Matalib (jil.3, ms.107) dan al-Ghurar al-Bahiyyah sharh al-Mandhumah al-Bahjah al-Wardiyyah berkata bahawa doa nur yang dibuat oleh RasuluLlah SAW (واجعلني نورا) merupakan bukti bahawa diri Baginda SAW adalah diliputi dengan nur.
Imam Mansur al-Buhuti al-Hanbali rahimahuLlah (w.1051H/1641M) dalam Kashshaf al-Qina’ (jil.6, ms.31) menyatakan bahawa doa nur yang dibaca RasuluLlah ﷺ (waj’alni nura) adalah dalil bahawa diri Baginda ﷺ adalah bersifat nurani.
al-Muhaddith al-Musnid Shaykh Ibrahim al-Kurani rahimahuLlah (w.1690M) dalam Ithaf al-Dhaki menyatakan bahawa telah sabit dalam riwayat bahawa kejadian yang pertama ialah Nur Nabi Muhammad SAW.
___________________________
Pergulungan
Para Ulama Muktabar telah memahami Nur Nabi Muhammad ﷺ dan keawalannya dengan kefahaman yang sahih berdasarkan kepada al-Qur’an dan Sunnah. Demikian itulah latarbelakang perguruan saya yang bersanad dari Masha’ikh Deobandi bahawa mereka menetapkan suatu fakta yang mempunyai sandaran yang teguh di dalam agama.
Kekeliruan yang terjadi pada zaman ini ialah apabila segelintir pihak yang menyangka bahawa faham Nur Nabi Muhammad ﷺ hanyalah bersandar kepada satu hadith sahaja iaitu riwayat Sayyidina Jabir dari Musannaf Abd al-Razzaq.
Oleh kerana mereka tidak menerima Hadith Jabir ini, akibatnya, mereka menolak suatu fakta yang diterima oleh para Ulama Muktabar sepanjang lebih 1400 tahun hanya kerana satu hadith. Sejujurnya, saya sendiri mengetahui pertama kali mengenai faham Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah melalui hadith al-Tirmidhi, bukan menerusi Hadith Jabir.
Sedangkan kesimpulan yang telah dicapai oleh para Ulama Muktabar mengenai faham Nur Nabi Muhammad ﷺ dan keawalannya adalah berdasarkan kefahaman para mereka di atas penelitian terhadap seluruh nas agama, bukan hanya bergantung kepada satu dua hadith semata-mata.
Sesungguhnya hadith “Aku telah menjadi Nabi ketika Adam antara roh dan jasad” yang saya kongsikan di atas mempunyai banyak sokongan dari al-Qur’an dan hadith-hadith yang lain yang menunjuk kepada keawalan Nur Nabi Muhammad SAW. Mawlana Anwar Shah al-Kashmiri telah berkata, “Peranan isnad ialah agar tidak dimasukkan dalam agama sesuatu yang tidak ada sandaran daripadanya, bukan untuk mengeluarkan dari agama apa yang telah sabit padanya dari pengamalan ahli isnad”.
Sebagaimana yang disebutkan oleh Mawlana al-Kashmiri dalam Sharh al-Tirmidhi bahawa perbincangan Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah ikhtilaf yang muktabar, ini bermakna perselisihan dalam hal penciptaan pertama adalah termasuk di dalam Ikhtilaf Tanawwu’ iaitu perbezaan kepelbagaian pandangan yang dibolehkan dalam persoalan cabang (furu’) dikalangan antara Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah, dan bukannya Ikhtilaf Taḍad yang membawa kepada perpecahan (al-iftiraq wa al-tafarruq) disebabkan perselisihan yang melibatkan persoalan usul yang mewujudkan berbagai firqah seperti Khawarij, Syiah, Murji’ah, Jabariyyah, Muktazilah, Qadariyyah dan lain-lain.
Shaykh Muhammad Zahid al-Kawthari dalam Irgham al-Murid menjelaskan bahawa perbincangan mengenai ikhtilaf yang terjadi antara Ulama mengenai ciptaan pertama yang muncul dari Allah sama ada ianya al-Haqiqah al-Muhammadiyah, nur, Qalam atau Aqal, adalah terjawab dengan meneliti risalah yang ditulis dengan penuh tahqiq oleh Shaykh Ibrahim al-Kurani yang merupakan sumber kepada sanad hadith bagi seluruh Ulama Deobandi.
Jika anda menyangka bahawa perbincangan Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah merupakan Usul Aqidah, maka sangkaan anda setentunya tidak tepat kerana perbincangan mengenai ciptaan pertama ttidak pernah berada dalam Usul Aqidah.
Imam al-Bukhari sendiri tidak meletakkan hadith-hadith berkaitan makhluk terawal yang diciptakan Allah dalam bab pertama Sahihnya iaitu Kitab al-Iman. Sebaliknya beliau meletakkannya jauh terpisah iaitu pada Kitab Bad’i al-Khalq yang berada selepas Kitab al-Buyu’ dan bersebelahan dengan Kitab al-Anbiya’ dan Kitab al-Manaqib yang terkandung di dalamnya hadith-hadith berkaitan kisah-kisah sirah para Nabi, sejarah bangsa Arab, biografi ahli keluarga RasuluLlah SAW dan para sahabat Baginda ﷺ.
Demikian juga Imam Ibnu Kathir membincangkan perihal ciptaan pertama dalam kitab TARIKH-nya berjudul al-Bidayah wa al-Nihayah (Jil.1, Fasal Pertama) dan Imam Ibnu Jarir membincangkannya dalam TARIKH al-Tabari (Bab:al-Qawl fi Ibtida’i al-Khalqi ma kana Awwaluhu).
Jika ada berlatarbelakangkan perguruan yang memberi syarahan yang lain daripada apa yang saya dapat dalam latar belakang perguruan saya mengenai hadith yang saya kongsikan di atas, maka teruskanlah dengan kefahaman dari perguruan anda, kita masih boleh berbeza pendapat dengan harmoni dalam tradisi keilmuan yang penuh wibawa.
Jika anda berasal dari latarbelakang perguruan yang tidak menyokong faham Nur Nabi Muhammad ﷺ, maka silakanlah dengan pegangan perguruan anda, kita masih boleh berselisih pendapat, namun dalam masa yang sama kita mesti saling hormat menghormati antara satu sama lain. Tidak perlu saling sesat menyesatkan antara satu sama lain dalam hal furu’ yang berada dalam lingkungan ikhtilaf yang muktabar.
Seandainya anda adalah seorang yang mengkaji faham Nur Nabi Muhammad ﷺ dan dalam kajian itu, anda hanya berjumpa dengan segelintir pihak yang memahami faham Nur Nabi Muhammad ﷺ dengan cara yang salah dan silap, maka anda tidak perlu pukul rata bahawa semua orang yang berpendirian dengan faham Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah semuanya sesat, kerana ramai Ulama Muktabar telah dapat memahaminya dengan kefahaman yang sahih.
Disediakan oleh: iqbal Zain al-jauhari
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى ال سيدنا محمد