Monday, August 2, 2010

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke-5,

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KELIMA

1.Matapelajaran:Tafsir Ayat al Quran

2.Tajuk: ISLAM ITU MUDAH

3.Ayat: Ayat 101, Surah al Maa’idah:


يايها الذين ءامنوا لاتسئلوا عن أشياء ان تبدلكم تسؤكم وان تسئلوا عنها حين ينزل القرءان تبدلكم عفا الله عنها والله غفور حليم

4.Terjemahan:

Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu bertanyakan ( kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan ( kamu ) dari ( kesalahan bertanya ) perkara-perkara itu ( yang tidak dinyatakan dalam al Quran ); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (1)

5.Mafhum:

Daripada ayat ini menegah orang-orang yang beriman daripada banyak mempersoalkan mengenai perkara-perkara yang boleh menyusahkan diri sendiri.

Di samping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa Islam menggalakkan pertanyaan yang betujuan untuk mencari ilmu.


6.Asbabun Nuzul:

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ada orang suka bertanya kepada Rasulullah dengan maksud untuk mempermainkannya. Ada orang yang bertanya, “Siapakah bapa saya? Dan ada pula yang bertanya; “ Dimanakah untaku yang hilang?”.
Maka Allah menurunkan ayat ini yang melarang orang-orang Mukmin bertanya akan perkara yang bukan-bukan.
( Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Abbas)2

7.Mufradhat:

لاتسئلوا

Janganlah kamu bertanyakan

أشياء

perkara-perkara

تبدلكم

Menyusahkan kamu

ينزل القرءان

Diturunkan al Quran

عفا الله

Allah maafkan

حليم

Penyabar

8.Huraian(3):

Allah S.W.T memerintahkan agar tidak banyak bertanya kerana ianya mungkin akan menyusahkan.

يايها الذين ءامنوا لاتسئلوا عن أشياء ان تبدلكم تسؤكم

Firman Allah S.W.T : " Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu bertanyakan ( kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu”. Ayat ini merupakan pelajaran dari Allah S.W.T bagi hamba-hambaNya yang beriman. Dia melarang mereka menanyakan aneka perkara yang tidak berguna bagi mereka sebab jika perkara itu diterangkan maka akan menyusahkan bila didengar dan merugikannya.


وان تسئلوا عنها حين ينزل القرءان تبدلكم

Firman Allah S.W.T :" dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu”yakni jika kamu menanyakan tentang perkara yang dilarang untuk ditanyakan ketika diturunkan wahyu kepada Rasulullah S.A.W, maka wahyu akan menjelaskannya kepadamu, hal itu mudah bagi Allah S.W.T

عفا الله عنها

Firman Allah S.W.T: " Allah akan memaafkan hal itu“ apa yang dilakukan olehmu sebelumnya.

9.Hukum:

a.Makruh :

Setiap orang Islam makruh untuk banyak bertanya.

b.Sunnat :
Setiap orang Islam disuruh bertanya untuk mendapatkan ilmu.

c. Haram :

Dilarang bertanya dalam perkara yang tidak berguna.

10.Pengajaran:

i. Islam melarang bertanya dalam perkara yang tidak berguna.

ii. Islam juga melarang terlalu banyak bertanya.

iii. Pertanyaan untuk mendapat ilmu.

iv. Setengah jawapan pertanyaan itu boleh menyusahkan.

v. Al Quran boleh menjelaskan setiap jawapan.

11. Kesimpulan:

Ayat ini memberikan peringatan agar jangan banyak bertanya dalam perkara yang tidak berguna kerana setengah jawapan pertanyaan itu boleh menyusahkan.


12.Rujukan:

1. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12

2. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua.

3.Muhamad Nasir Ar-Rifa’i; Ringkasan Tafsir Ibnu Katsir, Jakarta; Gema Insani, 1999; Jilid kedua.

No comments:

Post a Comment