Sunday, June 26, 2022
Monday, June 20, 2022
Kelebihan Kota Makkah
KELEBIHAN KOTA MAKKAH
Nama:
Kota Mekah mempunyai banyak nama. Ini menandakan lebihnya Kota Mekah terutamanya apabila gelaran yang melambangkan kebaikan dan kehebatan diberikan kepadanya.
Mekah ertinya membinasakan atau mengurangkan. Dinamakan Mekah kepada Tanah Haram Mekah seluruhnya, kerana Mekah mengurang dan menghapuskan dosa orang yang datang kepadanya atau membinasakan orang yang melakukan kezaliman di Mekah atau kerana Mekah menghapuskan pemerintah yang zalim dan menundukkan kesombongan mereka.
Seperkara lagi nama kota ini dirakamkan dalam nas al-Quran dan hadis dan sudah pasti ia akan diabadikan di sepanjang zaman kehidupan manusia.
Sejarah
Kota Mekah mempunyai sejarah yang cukup istimewa, antaranya ia merupakan sejarah rumah Allah yang pertama didirikan untuk manusia. Sejarah kehidupan Hajar dan Ismail sebagai manusia yang membuat pembaharuan semula bagi Kota Mekah amatlah unik. Seterusnya catatan kehebatan Mekah berlangsung daripada generasi terdahulu hingga kini.
Karamah
Penulis maksudkan dengan kemuliaan yang Allah wujudkan pada Kota Mekah, sama ada dinaskan dalam al-Quran dan hadis. Hal ini jelas dengan rakaman firman Allah SWT berkenaan Ashabul Fil. (rujuk al-Fil: 1-5)
Tawaran pahala
Terlalu banyak tawaran pahalanya dan digandakan berbanding tempat lain. Ini terbukti dengan banyak nas seperti solat di Masjidil Haram di beri ganjaran 100,000 berbanding masjid lain. Begitu juga dengan pahala tawaf, umrah, hatta melihat Kaabah.
Oleh itu, semestinya jemaah haji tidak melepaskan peluang melakukan ibadat dengan sebaik mungkin dan sebanyak mungkin.
Keistimewaan Mekah
Telaga Zam Zam di mana airnya adalah antara yang terberkat di muka bumi. Mempunyai pelbagai kelebihan dan mengikut niat seseorang yang meminumnya akan diberikan dengan izin Allah. Hal ini dinaskan dalam hadis. Wujudnya tempat-tempat yang ada nilai berbanding dengan yang lain seperti Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Hajar Aswad, Multazam dan lain-lain.
Mekah sebagai Tanah Haram. Dalam sebuah riwayat Muslim, menyebut Rasulullah SAW bersabda: Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan Kota Mekah: Sesungguhnya Negeri Mekah ini dijadikan Allah SWT sebagai Tanah Haram ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Mekah ialah tanah haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak dibenarkan berperang di Mekah kepada sesiapa pun sebelumku, dan tidak dibenarkan kepadaku kecuali beberapa masa sahaja (pada hari pembukaan Kota Mekah tahun ke 8 Hijrah).
Mekah ialah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak boleh memotong pohon, tidak boleh menangkap binatang pemburuan (yang hidup bebas), tidak boleh mengambil barangan yang tercicir kecuali mereka yang mahu mengumumkannya kepada orang ramai dan tidak boleh mengerat rumput di Mekah. Kata al-Abbas (bapa saudara Rasulullah): “Kecuali Izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya) untuk dibuat bahan bakar kepada tukang besi dan dibuat atap rumah. Jawab Rasulullah SAW: “Kecuali Izkhir.
Tidak dimasuki Dajjal. Hal ini berdasarkan hadis dalam Sahih Bukhari Rasulullah SAW bersabda: Semua negeri akan dimasuki oleh Dajjal kecuali Mekah dan Madinah, semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan bergoncang sebanyak tiga kali. Dan Allah SWT akan mengeluarkan semua orang kafir dan munafik darinya.
Mendapat keamanan. Ini kerana telah diisytiharkan Allah SWT. Al-Maghari berkata seluruh bangsa Arab sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah ini. Sesiapa yang masuk ke dalamnya pasti berasa aman daripada gangguan penganiayaan orang lain, pembunuhan atau pelanggaran kehormatannya, selama mereka berada di dalamnya. Amalan kebiasaan ini telah berjalan sejak zaman jahiliah.
Melakukan ibadah sunat sepanjang masa. Walaupun ia tidak disepakati oleh para ulama tetapi mengikut mazhab Syafie dan Hambali ia boleh dilakukan solat sunat dan tawaf pada bila-bila masa. Tetapi mengikut mazhab Hanafi dan Malik hukum Mekah sama seperti tempat lain tanpa bezanya ini berdasarkan kepada perbuatan Saidina Umar.
Kaabah. Ia adalah Baitullullah al-Haram dan kiblat umat Islam. Berkenaan dengan kelebihannya tiada syaknya lagi berdasarkan nas al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah sebagai tempat ibadat yang berada di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.
Penulis suka menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan hati-hati manusia merinduinya dan mewajibkan ke atas hamba-hambanya yang mampu agar mengunjunginya dengan dijanjikan pahala yang berganda-ganda, juga memberi amaran daripada melakukan kejahatan ketika berada di dalamnya.
Allah SWT telah menyebutnya dalam al-Quran, Rasulullah SAW seringkali menyebutnya dalam hadis serta para ulama dan ahli sejarah telah banyak menulis mengenai sejarah Mekah yang tua ini. Amin.
Kredit :
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM)
Join our telegram channel for latest update https://t.me/tiramtravel
Saturday, June 18, 2022
4 Musnid Nusantara kini
4 MUSNID NUSANTARA KINI
Pendokumentasian sanad merupakan salah satu elemen penting bagi menjaga rekod pertalian keilmuan di antara guru dengan murid. Meskipun demikian, tidak ramai ilmuwan Nusantara pada masa kini yang dilihat memberikan tumpuan dan perhatian terhadap aspek berkenaan. Berdasarkan tinjauan awal, ditemukan empat orang di antara mereka yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka kepada para penuntut ilmu. Dengan syarat ini, maka selayaknya mereka itu digelar sebagai al-musnid. Mereka ialah:
1. SYEIKH NURUDDIN BIN MARBU AL-BANJARI
Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin ‘Abdullah Tayyib al-Banjari al-Makki. Beliau berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Lahir di desa Harus, Amuntai pada 1 September 1960M. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sehingga pada tahun 1974, seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke Makkah. Beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Sawlatiyyah sehingga tahun 1982. Di samping mengikuti pengajian yang diadakan di Masjidil Haram dan juga di rumah para syeikh. Pada tahun 1983, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang syariah. Kemudian meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali li al-Dirasat al-Islamiyyah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am Dirasat 'Ulya pada tahun 1990. (al-Fanshuri 2007)
Antara guru-gurunya ialah Syeikh Isma‘il ‘Uthman Zayn al-Yamani, Syeikh Hasan al-Masysyat, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Karim Banjar, Syeikh Suhaili al-Anfenani, al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Syeikh Sa‘id al-Bakistani, Syeikh ‘Abdullah Sa‘id al-Lahji, Syeikh Zakariyya Bila, Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, al-Habib ‘Abdul Qadir al-Saggaf dan ramai lagi. (al-Fanshuri 2007)
Beliau pernah mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah mulai tahun 1998 sehingga tahun 2002. Di samping aktif sehingga kini mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan majlis-majlis sambutan agama di seluruh Malaysia. Beliau pernah menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan, Indonesia. Pada tahun 2004, beliau menubuhkan pula Maahad az-Zein al-Makki al-‘Ali li al-Tafaqquh fi al-Din di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. (al-Fanshuri 2007)
Syeikh Nuruddin juga giat berkarya dan mentahqiq kitab yang jumlahnya lebih dari 50 buah dan kebanyakannya di dalam bahasa Arab. Antaranya: Adab al-Musafahah, Man Huwa al-Mahdi al-Muntazar, al-Durar al-Bahiyyah fi Idah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, Asma’ al-Kutub al-Fiqhiyyah li Sadatina al-Syafi‘iyyah, al-‘Ibar bi Ba‘d Mu‘jizat Khayr al-Basyar SAW, Makanah al-‘Ilm wa al-‘Ulama’ wa Adab Talib al-‘Ilm, Tahdhib al-Adab al-Mufrad, Tahdhib Misykat al-Masabih dan sebagainya.
Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1. al-Ahadith al-Musalsalah. Ia mengandungi 34 buah hadith musalsal.
2. al-Awa’il wa al-Awakhir wa al-Asanid.
2. SYEIKH MOHD. FUAD BIN KAMALUDDIN
Nama penuh beliau ialah Syeikh Dato’ Mohd. Fuad bin Kamaluddin bin Mahat al-Rembawi. Lahir di Rembau, Negeri Sembilan pada 16 September tahun 1974. Berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar Mesir cawangan Tanta. Namun, beliau juga telah menimba ilmu dari ramai guru di luar Universiti al-Azhar. Selain Mesir, beliau pernah mengunjungi Makkah, Madinah, Sudan, Syria, Lubnan, Palestin, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Indonesia, Singapura dan lain-lain untuk tujuan mencari ilmu. (Mujahid 2007: 32)
Antara guru-guru beliau ialah Syeikh Dr. ‘Ali Jum‘ah, Syeikh ‘Abd al-Ghani bin Salih al-Ja‘fari, Syeikh Dr. Judah Abu al-Yazid al-Mahdi, Syeikh Abd al-Salam Abu al-Fadl, Dr. Ahmad ‘Umar Hasyim, Syeikh Dr. Mahmud Sa‘id Mamduh, Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kattani, Dr. Sa‘ad Jawisy, Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari, Syeikh Sa‘ad Badran, Syeikh Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil, Dr. ‘Isa bin ‘Abdullah al-Himyari, Dr. Ahmad bin Muhammad Nur Sayf, Dr. Muhammad Muti‘ al-Hafiz, al-Habib ‘Umar bin Hafiz, al-Habib ‘Ali al-Jufri dan lain-lain. (Mujahid 2007: 35-70)
Beliau merupakan penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang telah banyak membangunkan berbagai usaha kebajikan dan program pendidikan seperti rumah anak yatim, sekolah dan juga pusat-pusat pengajian. Beliau telah menghasilkan hampir 200 buah buku dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti sirah nabawiyyah, biografi tokoh, tasawwuf, tauhid, tafsir, hadith, fiqh dan sebagainya.
Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1. Al-Musalsalat al-‘Asyarah.
2. Musalsal Orang-orang Mulia.
3. Al-Bahjah al-Mardiyyah fi Musalsalat al-Rembawiyyah.
4. Bulugh al-Amani al-Muntakhab min Musalsalat al-Maliki.
5. Hadith-hadith Musalsal Berkaitan al-Qur’an al-Karim. Ia menghimpunkan 11 buah hadith musalsal berkaitan al-Quran.
6. Al-Tali‘ al-Sa‘id.
7. Kunuz al-Anwar al-Muntakhab min Asanid al-Akhyar.
8. Al-Jawahir al-Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari. Ia menghimpunkan sanad sepuluh buah kitab hadis daripada Syeikh Salih al-Ja‘fari.
9. Al-Yaqut al-Nafis min Asanid al-Muhaddith Sayyid Ahmad bin Idris.
10. Fath al-Rahman bi Asanid Mufti Negeri Sembilan.
11. Sanad al-Awrad al-Qusyasyiyyah.
12. Al-Manhal al-Karim fi Asanid al-Qur’an al-‘Azim.
13. al-Nafahat al-Aqdasiyyah fi Asanid al-‘Ulum al-Qur’aniyyah.
14. al-Lumma‘ fi Asanid Qira’at al-Sab‘. Ia menghimpunkan sanad qiraat tujuh.
3. USTAZ MOHD. ZAIDI ABDULLAH
Nama penuh beliau ialah Mohd. Zaidi bin Abdullah bin Ahmad al-Shah Alami. Lahir di Selangor pada tahun 1975. Seorang yang gigih menuntut ilmu sejak dari mudanya. Beliau telah menimba ilmu di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan sejak dari tahun 1990 sehingga tahun 2008. Di samping itu, gigih bertalaqqi daripada alim ulama yang terkenal memiliki sanad keilmuan dan sehingga kini telah mengumpulkan sanad kira-kira 60 orang ulama Tanah Melayu. Antara guru-gurunya ialah: Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman, Tuan Guru Hj. Hasyim bin Abu Bakar, Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki, Syeikh Wan Zakaria bin Ahmad Wan Besar, Tuan Guru Hj. Yahya Zikri, Tuan Guru Wan Izzuddin bin Wan Ibrahim, Syeikh Saleh bin ‘Uthman Jalaluddin, Tuan Guru Hj. Saleh bin Musa dan lain-lain. (al-Langkati t.t.: 287)
Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
i. Subul al-Sa‘adah bi Asanid al-Syaykh al-Muhaqqiq ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Kelantani, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman.
ii. Al-Majalis al-Hadithiyyah: wa hiya Musalsalat wa Asanid al-Syaykh Wan ‘Izz al-Din bin Wan Ibrahim al-Fatani al-Qadahi, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Wan ‘Izzuddin bin Wan Ibrahim.
iii. Juz’ fi Masmu‘at al-Ustadh Taha al-Falaki, yang merupakan himpunan sanad-sanad al-Fadhil Ustaz Taha al-Falaki, Klang.
iv. Talkhis al-Jami‘ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar li al-Bukhari min Marwiyyat Syaykh ‘Abdullah Lubuk Tapah wa Syaykh Hamzah Bukit Tanah. Ia mengandungi 100 hadith pilihan daripada kitab Sahih al-Bukhari daripada riwayat Tuan Guru Hj. ‘Abdullah Lubuk Tapah dan Tuan Guru Hj. Hamzah Bukit Tanah.
v. Asanid al-Kutub al-Masyhurah, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Hasyim Pasir Tumboh.
vi. ‘Unwan al-Asanid, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Sulaiman Kg. Siram.
vii. Arba‘un Hadithan min Musnad Imamina al-Syafi‘i melalui sanad Maulana Lambak bin Ibrahim Kg. Tok Jiring.
viii. Himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Yahya Zikri Telok Intan.
4. SYEIKH HUSNI GINTING AL-LANGKATI
Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Husni Ginting bin Muhammad Hayat Ginting bin Muhammad Ilyas Ginting bin Muhammad Salih Ginting al-Langkati. Beliau merupakan seorang alim muda dari Medan, Sumatera Utara, Indonesia yang gigih menimba ilmu pengetahuan. Lahir di Besitang, Langkat pada tarikh 26 Zulqa`idah 1400H (1980). Beliau mendapat pendidikan-pendidikan formal di peringkat Ijazah Thanawiyah Negeri (1996), Ijazah Thanawiyah Ma`had Musthafawiyah (1997), Musthafa, Ijazah Mas (1999), Ijazah Lisence Universiti Al-Azhar (2004), dan Ijazah Diploma Master Ma`had ‘Ali Dirasat Islamiyah (2007), Fakulti Usuluddin al-Azhar dalam Jurusan Hadith.
Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
Ghayah al-Rusukh fi Mu‘jam al-Syuyukh. Ia menghimpunkan senarai guru-guru beliau yang berjumlah seramai 165 orang dan juga sebahagian sanad mereka.
Asanid al-Jawiyyin.
Al-Ayat al-Mufassalat fi al-Ahadith al-Musalsalat.
Ithaf al-Akabir bi Asanid al-Syaykh ‘Abd al-Qadir.
Asanid al-Kutub al-‘Asyarah.
Al-Awa’il al-Lankatiyyah.
‘Iqd al-Farid al-Muntakhab min al-Asanid.
Fayd al-Jari bi al-Ittisal bi Thulathiyyat al-Bukhari.
Al-Kawakib al-Darari bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh ‘Ali Hasan Ahmad al-Dari.
al-Muntakhab min al-Musalsalat.
Nihayah al-Zayn bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh Mustafa Husayn.
Kemungkinan masih ada beberapa ilmuwan lagi yang masih hidup selain di atas yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka. Namun, maklumat mengenainya masih perlu dicari dan digali agar dapat direkodkan dengan yang sewajarnya.
Wallahu a‘lam.
https://sawanih.blogspot.com/2019/02/4-musnid-nusantara-kini.html?m=1
_Bicara Hadith Bersama Ustaz Mohd Khafidz Soroni
Nur Nabi Muhammad SAW
NUR NABI MUHAMMAD ﷺ : SUATU PENCERAHAN
Dalam artikel ini, saya tumpukan perbincangan mengenai keawalan Nur Nabi Muhammad ﷺ dan kefahamannya menurut Ulama Deobandi. Kemudian disusuli dengan penjelasan dari para Ulama Muktabar dari berbagai aliran.
Mawlana Husayn Ahmad al-Madani dalam al-Shihab al-Thaqib (ms.47) menegaskan bahawa pendirian Ulama Kibar Deobandi mengenai kejadian pertama yang diciptakan Allah ialah Nur Nabi Muhammad ﷺ.
Mawlana Shabbir Ahmad Uthmani (w.1368H/1949M) dalam kitabnya Tafsir al-‘Uthmani, pada Firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari nabi-nabi dan dari kamu (sendiri) dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putra Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh” (al-Ahzab:7), Mawlana Shabbir Ahmad Uthmani berkata:
“Allah Ta’ala telah menyebut Nabi Muhammad ﷺ yang paling awal berbanding Nabi-Nabi Ulul Azmi yang lain, sedangkan Baginda ﷺ yang terakhir datang di alam dunia, adalah kerana hakikat kedudukan Baginda ﷺ adalah Nabi yang pertama, sebagaimana Baginda ﷺ adalah yang terawal wujud di alam ghayb, sepertimana ia telah sabit di dalam hadith”.
Pada Firman Allah, “Allah adalah nur langit dan bumi”, Mawlana Shabbir menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan bahawasanya seluruh makhluk mendapat nur wujud yang dipancarkan oleh Allah Ta’ala (kullu makhluq hasala lahu nur al-wujud minaAllah).
Mawlana Abd al-Halim al-Laknawi (ayah Mawlana Abd al-Hayy) dalam kitabnya Nur al-Iman Bi Ziyarat Habib al-Rahman (ms.9) menyatakan bahawa seluruh alam adalah diliputi dengan Nur Nabi Muhammad ﷺ. Kenyataan yang sama juga dinukil oleh Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi dalam kitabnya al-Si’ayah Sharh al-Wiqayah (j,2, ms.228, Bab al-Tashahhud, Kanpur: Matba’ Mujtaba’i).
Maulana `Abd al-Hayy al-Laknawi rahimahuLlah (w.1304H/1886M) dalam al-Athar al-Marfu`ah (ms.43) telah menyatakan bahawa keawalan (awwaliyyah) Nur Nabi Muhammad ﷺ (al-Nur al-Muhammadi) telah diperkukuhkan sebagai tetap mendahului semua kejadian.
al-Muhaddith Shah `Abd al-Haqq al-Dehlawi rahimahuLlah (w.1642M) dalam Madarij al-Nubuwwah mensahihkan riwayat yang menyatakan keawalan Nur Muhammad ﷺ. Dalam kitabnya Lama’at al-Tanqih Sharh al-Mishkat, beliau menyatakan bahawa hadith yang menyebutkan “Nabi Muhammad ﷺ telah menjadi Nabi ketika Nabi Adam berada antara roh dan jasad” adalah menunjukkan kepada keawalan kejadian Nabi Muhammad ﷺ.
Ketika mensyarahkan makna hadith Mishkat yang berbunyi “Aku adalah Penghulu anak Adam”, Shah Abd al-Haqq tekah menukilkan dari al-Muhaddith al-Qustullani yang mengatakan bahawa kedudukan Baginda sebagai penghulu menunjukkan bahawa alam ini kesemuanya dijadikan Allah adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ dan jika bukan kerana Nabi Muhammad ﷺ, alam ini tidak tercipta.
Shah Abd al-Rahim rahimahuLlah (w.1131H/1719M) yang merupakan ayah kepada Shah WaliyuLlah al-Dihlawi rahimahuLlah, mempunyai karangan berjudul Anfas Rahimiyyah (ms.13) yang di dalamnya beliau menukilkan hadith bahawa ciptaan pertama adalah Nur Nabi Muhammad ﷺ lalu menyatakan bahawa seluruh kejadian dari langit sehingga ke bumi yang merangkumi semua malaikat, jin, manusia dan lain-lain adalah diciptakan dari Hakikat Muhammadiyyah (Nur Muhammad ﷺ).
Shah WaliyuLlah Dehlawi (w.1762M) pula dalam kitabnya Fuyud al-Haramayn (ms.52, 97) meriwayatkan hadith yang menyatakan bahawa Nur yang pertama diciptakan Allah adalah Nur Nabi Muhammad ﷺ dan beliau tidak menolak hadith tersebut. Beliau menjelaskan bahawa Baginda SAW adalah wasitah kepada kewujudan alam ini. Beliau juga menyatakan bahawa jika bukan kerana Nabi Muhammad ﷺ nescaya alam ini tidak tercipta.
Cucu Shah WaliyuLlah bernama Shah Ismail Shahid Dehlawi (w.1247H/1831M) dalam kitabnya Yak Roza (ms.10) menyatakan bahawa kedudukan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Khatam al-Nabiyyin (Mohor Kenabian) menuntut bahawa dirinya adalah makhluk pertama yang diciptakan Allah Ta’ala.
Maulana Asyraf Ali Thanwi rahimahuLlah [w.1943M] di dalam kitabnya Nashr al-Tib fi Zikri al-Nabiy al-Habib telah menyatakan bahawa kejadian pertama yang dicptakan Allah ialah Nur Nabi Muhammad ﷺ.
Mawlana Anwar Shah al-Kashmiri (w.1352H/1933M) dalam al-‘Arfu al-Shaziy Sharh al-Tirmidhi (j.3, hadith no.2155) telah menerima riwayat yang diketengahkan oleh Imam al-Qustullani dalam al-Mawahib iaitu hadith yang direkodkan oleh Imam al-Hakim bahawasanya ciptaan yang pertama adalah Nur Nabi Muhammad ﷺ. Mawlana al-Kashmiri menyatakan bahawa Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah termasuk dalam ikhtilaf muktabar yang diterima oleh para Ulama dalam perbincangan kejadian yang terawal.
___________________
Dalam catatan saya, terdapat 15 ayat al-Qur’an dan 15 hadith yang dijadikan oleh Ulama sebagai jalan pendalilan kepada sabitnya Nur Nabi Muhammad ﷺ sebagai ciptaan yang terawal. Namun dalam artikel ini, saya hanya membawa satu versi hadith sahaja daripadanya supaya artikel ini tidak terlalu panjang. Ma qalla wa dalla wa li al-‘aqil takfihi al-isharah.
وعن ميسرة الفجرقال: قلت: يا رسول الله متي كنت نبيا؟ قال:"كنت نبيا وآدم بين الروح والجسد " رواه الامام احمد والبخاري في التاريخ والطبراني والحاكم وصححه وقال الحافظ الهيثمي في رجال احمد والطبراني: رجالهما رجال الصحيح
Bermaksud: Dari Sayyidina Maysarah al-Fajr bahawa aku bertanya kepada RasuluLlah SAW, “Ya RasuluLlah, bilakah engkau menjadi Nabi”. Baginda menjawab, “Aku adalah Nabi ketika Nabi Adam antara roh dan jasad”. (status hadith adalah sahih)
Hadith yang seumpama di atas juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam al-Jami’, namun dari jalur riwayat Sayyidina Abu Hurayrah sebagai berikut:
روى الترمذي عن أبي هريرة قال: قالوا: يارسول الله، متي وجبت لك النبوة؟ قال :"وآدم بين الروح والجسد" . وقال الترمذي حديث حسن صحيح غريب ورواه ابو نعيم والبيهقي والحكم وصححه، ورواه البزار والطبراني وابونعيم ايضا من رواية ابن عباس رضي الله عنهما
Bermaksud: Dari Sayyidina Abu Hurayrah bahawa para sahabat telah bertanya kepada RasuluLlah ﷺ, “Ya RasuluLlah, bilakah Tuan mendapat Kenabian?”. Baginda menjawab, “Ketika Nabi Adam antara roh dan jasad”. (status hadith adalah sahih)
Pertama kali saya mempelajari hadith ini adalah ketika dalam kelas al-Tirmidhi dibawah pengajian Mufti ‘Alauddin al-Afghani rahimahuLlah, syarahan hadith yang digunakan dalam kelas ialah Qut al-Mughtadhi ‘ala al-Tirmidhi karangan Imam al-Suyuti. Oleh kerana hadith ini juga terdapat dalam kitab Mishkat, maka syarahan yang tercatat dalam kelas juga turut dipetik dari kitab Lama’at al-Tanqih Sharh al-Mishkat al-Masabih karangan Shah Abd al-Haqq al-Dihlawi.
Syarah hadith: Imam al-Suyuti telah menukilkan dari Imam al-Rafi’i bahawasanya RasuluLlah SAW adalah Nabi pertama yang diciptakan dan yang paling akhir diutus.
Shah Abd al-Haqq al-Dihlawi menyatakan bahawa maksud “Nabi Adam antara roh dan jasad” ialah ketika roh belum ditiup ke jasad Nabi Adam, maksudnya ialah Nabi Muhammad ﷺ adalah terlebih dahulu wujud sebelum Nabi Adam (al-murad al-sabqu wa al-taqaddum). Selanjutnya beliau menukilkan bahawa Roh Nabi Muhammad ﷺ telah menjadi Nabi bagi sekalian roh bahkan Baginda ﷺ adalah murabbi mereka. Dan telah sabit bahawa Allah menciptakan roh sebelum jasad.
Mulla Ali Qari rahimahuLlah (w.1014H/1605M) dalam Mirqat al-Mafatih dan al-Mawrid al-Rawiy menjelaskan bahawa apabila disebut Nur Nabi Muhammad ﷺ, yang dimaksudkan ialah roh Baginda ﷺ. Imam Ibrahim al-Laqqani dalam ‘Umdah al-Murid menegaskan bahawa jumhur Ulama Aqidah berpegang bahawa roh adalah merupakan nur yang bersifat tinggi. Oleh itu, kedudukan Nur Nabi Muhammad ﷺ sebagai ciptaan pertama di alam roh tidak menafikan kejadian Rasulullah ﷺ sebagai manusia di alam dunia yang mempunyai unsur tanah, air dan lain-lain.
____________________________
Penjelasan lanjut oleh para Ulama Muktabar mengenai hadith di atas
Imam Abu Bakr al-Wasiti rahimahuLlah (w.320H/932M) beliau telah ditanya apakah sebabnya RasuluLlah SAW disebut sebagai manusia yang paling berhikmah, lalu beliau menjawab, “Kerana Nur Nabi Muhammad SAW adalah yang paling awal mendapat perdampingan yang tetap dan teguh disisiNya, tidakkah kalian pernah mendengar hadith: Aku telah menjadi Nabi ketika Adam antara roh dan jasad, yakni ketika Nabi Adam a.s. masih belum dalam keadaan roh dan jasad”.(Ruj: Haqa’iq al-Tafsir li al-Imam al-Sulami (w.412H/1021M))
Imam Taqiyyuddin al-Subki (w.756H/1355M) dalam al-Fatawa pada bab al-Ta’zim wa al-Minnah ketika mengulas mengenai hadith di atas yang menyatakan RasuluLlah ﷺ telah menjadi Nabi ketika Nabi Adam antara roh dan jasad (yakni sebelum Nabi Adam hidup sebagai seorang manusia), mereka bersepakat mengatakan bahawa telah sabit bahawa Allah Ta’ala menciptakan roh sebelum jasad.
Imam al-Subki menegaskan bahawa keawalan Kenabian Rasulullah ﷺ bukan hanya sekadar di dalam Ilmu Ilahi, akan tetapi keawalan pada kejadian yang nyata. Jika ia sekadar di Ilmu Ilahi atau suratan Taqdir semata-mata, nescaya semua manusia boleh mengatakan "kuntu insanan wa Adam bayna al-ruh wa al-jasad" (aku telah menjadi manusia ketika Nabi Adam antara roh dan jasad), maka jika demikian itulah keadaannya, maka hadith ini tidak menyerlahkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW sedangkan tujuan hadith ini adalah untuk memberitahu keistimewaan Nabi Muhammad SAW.
Penerangan Imam al-Subki di atas telah dipersetujui oleh Imam al-Munawi (w.1030H/1621M) dalam Fayd al-Qadir, Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam al-Ahādith al-Muntaqāh fi Faḍā’il Sayyidina RasuliLlah SAW dan Shah Abd al-Haqq al-Dihlawi dalam Lama’at al-Tanqih.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali (w.795H/1393M) dalam Lata’if al-Ma’arif mengulas bahawa hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah hidup sebelum Nabi Adam memperolehi hayat. Maka tidak boleh dikatakan bahawa Nabi Adam dicipta sebelum Nabi Muhammad SAW kerana Nabi Muhammad ﷺ telah wujud sebelum Nabi Adam ditiupkan roh padanya. Dan jika bukan kerana Nabi Muhammad ﷺ, nescaya tidak diciptakan Nabi Adam. Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam Irshad al-Talib al-Najib telah menukilkan Imam Ibnu Rajab di atas dan menyatakan bahawa kalam beliau ini adalah sangat berharga (kalamuhu wa huwa nafis).
Imam al-Suyuti (w.911H/1505M) dalam Khaṣa’iṣ al-Kubra (Bab Khususiyyah al-Nabiy SAW bi Kawnihi Awwal al-Nabiyyin fi al-Khalqi wa Taqaddama Nubuwwatuhu wa Akhdhi al-Mithaq ‘Alayh, Bab Pertama, jil.1, ms.5-8) menyatakan bahawa hadith di atas adalah berkait dengan hadith “Aku adalah Nabi pertama dalam penciptaan dan yang terakhir dalam pengutusan” sebagai tafsiran kepada ayat al-Qur’an, “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari Nabi-Nabi dan dari kamu (sendiri) dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putra Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh” (al-Ahzab:7). Imam al-Suyuti meriwayatkan sebelas hadith dalam bab pertamanya ini sebagai dalil untuk mensabitkan keawalan kejadian Nabi Muhammad ﷺ.
Imam al-Bayjuri dalam kitabnya Sharh al-Burdah li al-Busayri (Bayt: fa innama ittasalat min nurihi bihim) menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW mendahului para Nabi yang lain adalah dari sudut kejadian Baginda dalam bentuk Nur Muhammadi, kerana pada sudut itu, Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah kejadian yang terawal dan menjadi asal kepada kepada sekalian makhluk, maka seluruh Nabi dan mukjizat-mukjizat mereka termasuk ciptaan syurga dan neraka adalah berasal dari Nur Nabi Muhammad SAW.
Shaykh AbduLlah al-Ghumari dalam al-Ahādith al-Muntaqāh fi Faḍā’il Sayyidina RasuliLlah ﷺ (ms.7) menyatakan bahawa hadith di atas menjelaskan keistimewaan Nabi Muhammad ﷺ sebagai kejadian yang pertama diciptakan Allah Ta’ala. Beliau telah menetapkan secara jelas keawalan kejadian Nabi Muhammad ﷺ secara hakiki yakni pada penciptaan rohnya, lalu beliau menolak sebarang pihak yang cuba mengalihkan maknanya kepada selain dari itu.
_______________________
Sanad riwayah dan dirayah
1. Habibuna Rasulullah ﷺ
2. Sayyidina Maysarah al-Fajr radiyaAllahu 'anhu
3. Imam Abdullah bin Shaqiq
4. Imam Budayl bin Maysarah
5. Imam Ibrahim bin Tahman
6. Imam Muhammad bin Sinan al-Bahili
7. Imam al-Bukhari
8. Imam Muhammad al-Farbari
9. Imam Abdullah al-Sarkhasi
10. Imam Abu al-Hasan Abd al-Rahman al-Dawudi
11. Imam Abu al-Waqt Abd al-Awwal
12. Imam Siraj al-Din al-Hasan al-Zabidi
13. Imam Ahmad bin Abi Talib
14. Imam Ibrahim al-Tanukhi
15. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani
16. Imam Zakariyya al-Ansari
17. Imam Najmuddin Muhammad al-Ghayti
18. Imam Shihabuddin al-Subki
19. Sultan al-Mizahi
20. Shaykh Ibrahim al-Kurdi al-Kurani
21. Shaykh Abu Tahir al-Madani dan Shah Abd al-Rahim al-Dihlawi
22. Shah Waliyyullah Dehlawi
23. Shah Abdul Aziz Dehlawi
24. Shah Ishaq Dehlawi dan Shah Isma‘il Shahid Dehlawi
25. Shah Abdul Ghani Mujaddidi Dehlawi dan Mawlana Abd al-Halim al-Laknawi
26. Mawlana Qasim Nanotwi dan Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi
27. Mawlana Mahmudul Hasan Shaykh al-Hind
28. Mawlana Husayn Ahmad al-Madani dan Mawlana Ashraf Ali Thanwi dan Mawlana Anwar Shah Kashmiri
29. Mawlana Shabbir Ahmad al-Uthmani
30. Mawlana 'Aziz al-Haq al-Banladishi
31. Mufti Radha ul Haq, Mawlana Shabbir Ahmad Salooji, Mufti Alauddin al-Afghani dan lain-lain.
32. iqbal Zain al-jauhari
___________________
Pencerahan lanjut mengenai Nur Nabi Muhammad SAW
Imam Sa’id Ibnu Jubayr (w.93H/714M) berkata “Yang dimaksudkan dengan cahaya yang kedua dalam Surah al-Nur ayat 35 (dalam ayat Cahaya di atas cahaya) ialah Nabi Muhammad SAW. Dan mengenai Firman Allah Ta’ala, “Perumpamaan CahayaNya…” (mathalu nurihi..) ialah Nur Nabi Muhammad SAW. (al-Shifa’, Qadi ‘Iyad).
Imam Qatadah (w.117H/735M) yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Nabi yang pertama diciptakan (awwal al-nabiyyin khalqa) (Tarikh al-Kabir li al-Bukhari dan Tafsir al-Tabari) dan beliau memberi tafsiran kepada perkataan nur yang berada pada Surah al-Ma’idah:15 ialah Nabi Muhammad SAW (Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir li Ibni al-Jawzi)
Setelah itu ialah Imam Ja’far al-Sadiq rahimahuLlah (w.143H/765M) ketika mengulas ayat dalam Surah al-Zukhruf ayat 81, “Maka akulah orang yang awal pertama yang menyembah”, berdasarkan ayat ini beliau telah berkata, “Nur Muhammad SAW adalah ciptaan yang pertama dijadikan Allah Ta’ala sebelum segala sesuatu”. (Tafsir Ruh al-Bayan, Imam Isma’il Haqqi)
Imam Ibnu Battah al-‘Akbari al-Hanbali (w.387H/997M) telah menulis kitab yang mengumpulkan fakta-fakta yang disepakati oleh para Ulama pada zamannya yang berjudul al-Sharh wa al-Ibanah. Pada Bab Permulaan Penciptaan Nabi dan Cahaya-Cahaya Kelahirannya (Ibtida’ Khalqi al-Nabiy wa Anwar Wiladatihi), beliau menyatakan:
“Dan sesungguhnya Nabi kita adalah Nabi pertama yang dicipta dan yang terakhir diutuskan".
Shaykh Abd al-Qadir al-Jaylani al-Hanbali (w.1166M) dalam Sirr al-Asrar menyatakan bahawa ciptaan pertama yang dijadikan Allah ialah Nur Nabi Muhammad SAW.
Imam Zakariyya al-Ansari (w.926H/1520M) dalam Asna al-Matalib (jil.3, ms.107) dan al-Ghurar al-Bahiyyah sharh al-Mandhumah al-Bahjah al-Wardiyyah berkata bahawa doa nur yang dibuat oleh RasuluLlah SAW (واجعلني نورا) merupakan bukti bahawa diri Baginda SAW adalah diliputi dengan nur.
Imam Mansur al-Buhuti al-Hanbali rahimahuLlah (w.1051H/1641M) dalam Kashshaf al-Qina’ (jil.6, ms.31) menyatakan bahawa doa nur yang dibaca RasuluLlah ﷺ (waj’alni nura) adalah dalil bahawa diri Baginda ﷺ adalah bersifat nurani.
al-Muhaddith al-Musnid Shaykh Ibrahim al-Kurani rahimahuLlah (w.1690M) dalam Ithaf al-Dhaki menyatakan bahawa telah sabit dalam riwayat bahawa kejadian yang pertama ialah Nur Nabi Muhammad SAW.
___________________________
Pergulungan
Para Ulama Muktabar telah memahami Nur Nabi Muhammad ﷺ dan keawalannya dengan kefahaman yang sahih berdasarkan kepada al-Qur’an dan Sunnah. Demikian itulah latarbelakang perguruan saya yang bersanad dari Masha’ikh Deobandi bahawa mereka menetapkan suatu fakta yang mempunyai sandaran yang teguh di dalam agama.
Kekeliruan yang terjadi pada zaman ini ialah apabila segelintir pihak yang menyangka bahawa faham Nur Nabi Muhammad ﷺ hanyalah bersandar kepada satu hadith sahaja iaitu riwayat Sayyidina Jabir dari Musannaf Abd al-Razzaq.
Oleh kerana mereka tidak menerima Hadith Jabir ini, akibatnya, mereka menolak suatu fakta yang diterima oleh para Ulama Muktabar sepanjang lebih 1400 tahun hanya kerana satu hadith. Sejujurnya, saya sendiri mengetahui pertama kali mengenai faham Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah melalui hadith al-Tirmidhi, bukan menerusi Hadith Jabir.
Sedangkan kesimpulan yang telah dicapai oleh para Ulama Muktabar mengenai faham Nur Nabi Muhammad ﷺ dan keawalannya adalah berdasarkan kefahaman para mereka di atas penelitian terhadap seluruh nas agama, bukan hanya bergantung kepada satu dua hadith semata-mata.
Sesungguhnya hadith “Aku telah menjadi Nabi ketika Adam antara roh dan jasad” yang saya kongsikan di atas mempunyai banyak sokongan dari al-Qur’an dan hadith-hadith yang lain yang menunjuk kepada keawalan Nur Nabi Muhammad SAW. Mawlana Anwar Shah al-Kashmiri telah berkata, “Peranan isnad ialah agar tidak dimasukkan dalam agama sesuatu yang tidak ada sandaran daripadanya, bukan untuk mengeluarkan dari agama apa yang telah sabit padanya dari pengamalan ahli isnad”.
Sebagaimana yang disebutkan oleh Mawlana al-Kashmiri dalam Sharh al-Tirmidhi bahawa perbincangan Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah ikhtilaf yang muktabar, ini bermakna perselisihan dalam hal penciptaan pertama adalah termasuk di dalam Ikhtilaf Tanawwu’ iaitu perbezaan kepelbagaian pandangan yang dibolehkan dalam persoalan cabang (furu’) dikalangan antara Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah, dan bukannya Ikhtilaf Taḍad yang membawa kepada perpecahan (al-iftiraq wa al-tafarruq) disebabkan perselisihan yang melibatkan persoalan usul yang mewujudkan berbagai firqah seperti Khawarij, Syiah, Murji’ah, Jabariyyah, Muktazilah, Qadariyyah dan lain-lain.
Shaykh Muhammad Zahid al-Kawthari dalam Irgham al-Murid menjelaskan bahawa perbincangan mengenai ikhtilaf yang terjadi antara Ulama mengenai ciptaan pertama yang muncul dari Allah sama ada ianya al-Haqiqah al-Muhammadiyah, nur, Qalam atau Aqal, adalah terjawab dengan meneliti risalah yang ditulis dengan penuh tahqiq oleh Shaykh Ibrahim al-Kurani yang merupakan sumber kepada sanad hadith bagi seluruh Ulama Deobandi.
Jika anda menyangka bahawa perbincangan Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah merupakan Usul Aqidah, maka sangkaan anda setentunya tidak tepat kerana perbincangan mengenai ciptaan pertama ttidak pernah berada dalam Usul Aqidah.
Imam al-Bukhari sendiri tidak meletakkan hadith-hadith berkaitan makhluk terawal yang diciptakan Allah dalam bab pertama Sahihnya iaitu Kitab al-Iman. Sebaliknya beliau meletakkannya jauh terpisah iaitu pada Kitab Bad’i al-Khalq yang berada selepas Kitab al-Buyu’ dan bersebelahan dengan Kitab al-Anbiya’ dan Kitab al-Manaqib yang terkandung di dalamnya hadith-hadith berkaitan kisah-kisah sirah para Nabi, sejarah bangsa Arab, biografi ahli keluarga RasuluLlah SAW dan para sahabat Baginda ﷺ.
Demikian juga Imam Ibnu Kathir membincangkan perihal ciptaan pertama dalam kitab TARIKH-nya berjudul al-Bidayah wa al-Nihayah (Jil.1, Fasal Pertama) dan Imam Ibnu Jarir membincangkannya dalam TARIKH al-Tabari (Bab:al-Qawl fi Ibtida’i al-Khalqi ma kana Awwaluhu).
Jika ada berlatarbelakangkan perguruan yang memberi syarahan yang lain daripada apa yang saya dapat dalam latar belakang perguruan saya mengenai hadith yang saya kongsikan di atas, maka teruskanlah dengan kefahaman dari perguruan anda, kita masih boleh berbeza pendapat dengan harmoni dalam tradisi keilmuan yang penuh wibawa.
Jika anda berasal dari latarbelakang perguruan yang tidak menyokong faham Nur Nabi Muhammad ﷺ, maka silakanlah dengan pegangan perguruan anda, kita masih boleh berselisih pendapat, namun dalam masa yang sama kita mesti saling hormat menghormati antara satu sama lain. Tidak perlu saling sesat menyesatkan antara satu sama lain dalam hal furu’ yang berada dalam lingkungan ikhtilaf yang muktabar.
Seandainya anda adalah seorang yang mengkaji faham Nur Nabi Muhammad ﷺ dan dalam kajian itu, anda hanya berjumpa dengan segelintir pihak yang memahami faham Nur Nabi Muhammad ﷺ dengan cara yang salah dan silap, maka anda tidak perlu pukul rata bahawa semua orang yang berpendirian dengan faham Nur Nabi Muhammad ﷺ adalah semuanya sesat, kerana ramai Ulama Muktabar telah dapat memahaminya dengan kefahaman yang sahih.
Disediakan oleh: iqbal Zain al-jauhari
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى ال سيدنا محمد
Friday, June 17, 2022
Lot Lidi/ Geran Kongsi
RISIKO BELI TANAH LOT TIADA GERAN INDIVIDU
(LOT LIDI / GERAN KONGSI) (SHARE POSTING INI)
PENGENALAN
Kegiatan menjual lot lidi yang semakin berleluasa berpunca daripada masalah harga rumah yang semakin mahal, tiada ilmu berkaitan dengan urusan jual-beli hartanah dan keinginan untuk membina rumah di atas tanah sendiri. Tinjauan mendapati kegiatan ini sering tertumpu di kawasan pinggir bandar, yang mana sasaran pembelinya terdiri dari penduduk-penduduk kampung, pesara atau keluarga muda. Pejabat Tanah dan Galian Selangor ingin memaklumkan bahawa terdapat banyak risiko yang akan dihadapi kepada pembeli-pembeli lot lidi ataiu geran kongsi.
TAKRIFAN
LOT LIDI :
Sebidang tanah yang mempunyai geran yang sah, tetapi kemudiannya dipecah-pecahkan lot kecil untuk dijual semula dengan tujuan untuk membina rumah.
PEMEGANG AMANAH :
Salah seorang yang melantik diri sendiri atau dilantik oleh pembeli-pembeli lot lidi untuk memegang amanah bagi semua pembeli dan hanya namanya seorang yang didaftarkan di dalam geran.
SURAT PEMEGANG AMANAH :
Surat berupa perjanjian di antara pembeli-pembeli dengan Pemegang Amanah yang menyatakan bahawa Pemegang Amanah akan memegang hak di atas tanah berkenaan. Ia juga dipanggil Surat Ikatan Amanah.
PUSAKA :
Prosedur pembahagian tanah kepada waris selepas berlakunya kematian pemilik tanah.
RISIKO BELI TANAH LOT BANGUNAN TIADA GERAN INDIVIDU (LOT LIDI / GERAN KONGSI)
1. Tidak Boleh Dipindah Milik Kepada Pembeli
Sekiranya salah seorang pembeli lot lidi ingin menjual semula lotnya kepada orang lain, tiada prosedur undang-undang yang sah boleh dilaksanakan untuk urusan jual beli berkenaan melainkan mereka terpaksa membuat Surat Pemegang Amanah baru yang memerlukan Pemegang Amanah sendiri untuk melaksanakannya. Sekiranya Pemegang Amanah itu enggan untuk menukar nama atas apa-apa sebab (perbalahan, tiada masa, malas, nyanyuk, sudah meninggal dunia atau sebagainya) maka proses pertukaran nama itu tidak boleh berlaku.
2. Nama Pembeli Tiada Dalam Geran
Dokumen yang menunjukkan anda ialah seorang pemilik di dalam lot lidi hanyalah dengan melalui Surat Pemegang Amanah sahaja. Hanya seorang yang akan menjadi Pemegang Amanah bagi kesemua pemilik-pemilik lot lidi dan nama Pemegang Amanah itu sahaja yang akan didaftarkan di dalam geran. Sebagai contoh jika ada 12 orang pembeli lot lidi di dalam satu kawasan, nama Pemegang Amanah akan tertera di dalam geran sebagai mewakili 11 pembeli yang lain. Pemegang Amanah ini boleh jadi terdiri daripada salah seorang pembeli lot lidi atau boleh jadi juga pemilik asal tanah berkenaan. Hakmilik adalah punca kuasa yang sangat penting di dalam apa-apa urusan tanah. Jika nama tiada di dalam hakmilik, mereka tidak layak untuk berurusan apa-apa mengenai tanah berkenaan walaupun diikat dengan Surat Pemegang Amanah.
3. Tidak Tahu Kedudukan Sebenar Tanah
4. Tidak Boleh Bina Rumah Secara Sah Di Atasnya
Lot lidi lazimnya ialah lot yang bersyarat pertanian. Membina rumah di atas lot bersyarat pertanian adalah kesalahan serius seperti yang termaktub di dalam Seksyen 125 Kanun Tanah Negara. Anda akan dikenakan denda atau tanah anda boleh dirampas.
5. Tidak Boleh Digadaikan Kepada Bank Untuk Mendapatkan Pinjaman
6. Tidak Boleh Diwariskan Kepada Waris Apabila Pembeli Meninggal Dunia
Ini adalah risiko terbesar yang perlu dihadapi oleh pemilik-pemilik lot lidi. Jika Pemegang Amanah meninggal dunia, pembeli-pembeli lot lidi bolehlah diibaratkan seperti layang-layang terputus tali. Memang benar mereka boleh melantik Pemegang Amanah yang baru, tetapi prosedurnya bukanlah semudah seperti yang disangka. Anda akan berhadapan dengan ketidaktentuan, prosedur pesaka yang rumit, masa yang lama, kos yang tinggi dan kemungkinan berlaku perbalahan yang berpanjangan.
7. Tanah Masih Menjadi Hak Pemilik Asal
8. Tidak Layak Dapat Pampasan Jika Tanah Diambil Oleh Kerajaan
Jika Kerajaan berhasrat untuk membuat pengambilan di atas tanah berkenaan kerana sebab-sebab tertentu, pembeli lot tidak mempunyai apa-apa hak untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan. Hanya Pemegang Amanah yang akan dipanggil untuk sesi pendengaran malah wang pampasan akan diberikan kepada Pemegang Amanah sahaja. Pembeli-pembeli lot perlu berurusan dengan Pemegang Amanah untuk membahagi-bahagikan wang pampasan.
9. Tidak Boleh Dipindahmilik Kepada Waris
Oleh kerana nama pemilik-pemilik lot lidi tidak didaftarkan di dalam geran, waris-waris si mati tidak boleh memulakan prosedur pesaka kerana secara teorinya tanah berkenaan adalah milik Pemegang Amanah.
10. Terdedah Kepada Unsur-Unsur Penipuan Dan Perbalahan
JANGAN TERPEDAYA DENGAN KATA-KATA PENJUAL LOT LIDI SEPERTI :
1. Akan membuat tukar syarat atas tanah itu selepas semua lot habis dijual.
2. Akan mengemukakan pelan pembangunan kepada pihak berkuasa.
3. Akan pecahkan lot secara betul menggunakan juruukur berlesen pada masa akan datang.
4. Sempadan lot lidi akan ditanam dengan batu sempadan.
5. Nama akan ditukar secara automatik jika Pemegang Amanah meninggal dunia.
6. Tidak akan ada masalah kerana ada Surat Pemegang Amanah.
7. Lot lidi adalah sah dari segi undang-undang.
PTGS menasihatkan supaya mengelakkan diri dari terlibat dengan pembelian lot lidi. Biarlah membeli tanah atau rumah yang mahal sedikit asalkan mengikut lunas undang-undang kerana ia akan membantu sekiranya terdapat masalah-masalah pada masa akan datang. Adalah dikhuatiri kediaman idaman anda yang sepatutnya memberi keselesaan kepada keluarga dan boleh diwariskan kepada anak-anak akan berakhir dengan kerugian yang besar, perbalahan keluarga dan penyesalan di kemudian hari.
Siapa Syeikhul Hadis dan Mujtahid ini?
Malaysia ada pakar hadis???????
Siapa syeikhul hadis (ahli hadis) dan mujtahid ini???
_Maulana Husein Al Yusufi
🛑 Ahli hadis paling tertinggi adalah amirul mukminin fil hadis, manakala yang ke 2 adalah al hakim yang menghafal melebihi 300,000 hadis termasuk sanad yang lengkap.
Untuk mencapai tahap mujtahid seperti 4 imam mazhab, perlu terlebih dahulu lalu title amirul mukminin fil hadis ,peringkat tertinggi ahli hadis.
Oleh itu,perlu/ wajib nya kita kepada mazhab, jangan terus kembali kepada al quran dan hadis kalau kita bukan di peringat ini.
📃PERINGKAT GELARAN PAKAR HADIS
Menjadi ahli/pakar hadis menjadi rebutan ramai pada akhir zaman ini. Sedangkan para alim ulama begitu tawadhuk tidak mahu menyandang gelaran ini. Terdapat beberapa peringkat gelaran bagi ahli hadis, saya akan senaraikan dari peringkat tertinggi :
1) Amirul Mukminin Fil Hadis
* gelaran yang diberikan kepada tokoh paling menonjol pada zamannya dalam bidang hafalan dan dirayah hadis serta segala cabang-cabangnya.
* gelaran ini diberikan oleh ulama sezaman dan terkemudian daripadanya sebagai penyaksian terhadap kedalaman ilmu hadisnya
* antara yang mendapat gelaran ini ialah :
• Imam Syu'bah ibn Al-Hajjaj
• Imam Bukhari
• Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani
2) Al-Hakim
* ulama yang menguasai seluruh ilmu hadis sehingga tidak ada yang tertinggal baginya serta mengetahui setiap ta'dil dan tajrih bagi perawi hadis yang dihafalnya.
* menghafaz melebihi 300,000 hadis termasuk sanad yang lengkap
* antara yang mendapat gelaran ini ialah :
• Imam Malik bin Dinar
• Imam Laith bin Saad
• Imam Al-Hakim An-Naisaburi
3) Al-Hujjah
* ulama yang memiliki pengetahuan sempurna mengenai hadith dari aspek matan dan sanad hadith, perihal perawi dari sudut al-jarh wa al-ta'dil serta tarikh kelahiran dan kewafatan mereka.
* menghafaz tidak kurang daripada 300,000 hadis berserta perawi yang lengkap
* ulama yang tergolong dalam gelaran al-Hujjah ini antaranya:
• Imam Sufian bin Uyainah
• Imam Al-Darimi
• Imam Al-Tabrani
4) Al-Hafiz
* Seseorang yang masyhur menuntut ilmu hadis di kalangan ulama dan mengetahui tabaqat perawi-perawi dan martabat mereka.
* Mengetahui al-tajrih dan al-ta'dil, membezakan antara sahih dan sebaliknya, sehingga hadith-hadith yang dihafal melebihi 100,000 hadis.
* antara ulama yang tergolong dalam gelaran ini ialah :
• Imam Al-Mizzi
• Imam Al-Baihaqi
• Imam Al-Suyuthi
5) Al-Muhadith
* Al-Muhadith merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang yang melibatkan diri dalam ilmu hadith riwayat, dirayah serta mempunyai pengetahuan mengenai sebahagian besar hadith-hadith dan para perawi pada zamannya.
* Gelaran ini adalah lebih tinggi daripada gelaran al-musnid
* Antara ulama yang tergolong dalam gelaran ini :
• Maulana Zakaria Al-Kandahlawi
• Syeikh Mahmud Said Mamduh
• Syeikh Taqi Uthmani
6) Al-Mufid
Al-Mufid :
* Seseorang yang terhimpun pada dirinya syarat-syarat al-muhaddith, serta memenuhi keahlian untuk memberi manfaat kepada para pelajar yang menghadiri majlis mendengar dan menyalin hadith.
* Ia adalah suatu mertabat yang digunakan pada kurun ketiga hijrah.
7) Al-Musnid
* Seorang perawi yang meriwayatkan hadith dengan sanadnya sendiri, sama ada dia mengetahui maknanya atau tidak, melainkan sekadar meriwayatkannya semata-mata.
* Ulama yang menghimpunkan sanad yang banyak dari kebanyakan Al-Muhadith di zamannya.
* Antara ulama yang digelar dengan Al-Musnid :
• Syeikh Alawi Al-Maliki
• Maulana Syah Waliyullah Al-Dahlawi
• Syeikh Yasin Al-Fadani
Inilah darjat-darjat bagi pakar hadis berserta syarat-syarat yang mesti dipenuhi.
Disediakan oleh: Ust Hafiz Al Za'farani (HAZA)
Thursday, June 16, 2022
Faktor Hassan alBasri selalu merendah diri
Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka terletak sebotol arak. Lalu Hassan al-Basri berbisik, alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau seperti aku.
Tiba-tiba Hassan al-Basri melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berjaya diselamatkannya.
Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata: "Jika tuan memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkanlah seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Tuan diminta untuk menyelamatkan seorang saja sedangkan saya telah menyelamatkan enam orang."
Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang lagi itu. Maka lelaki itu berkata padanya: "Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan."
Hassan al-Basri terpegun lalu berkata: "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan". Orang itu menjawab: "Mudah-mudahan Allah memperkenankan permohonan tuan".
Sejak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan dia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain