Wednesday, February 15, 2023
Gambar Terakhir Zawjahku sebelum Meninggal Dunia
Gambar terakhir yang diambil pada 1.45 tengahari Hari Rabu, 8 Februari, 2023 sebelum meninggal dunia pada 6.00 petang, hari Jumaat; 10 Februari, 2023
Petua Rawatan Sakit Buah Pinggang
Petua Merawat Sakit Buah Pinggang
(Tip dan Rawatan Tradisional)
Petua atau tip ni saya [admin sendiri] ambil dari sepupu yang tinggal di Muar, Johor. Dia mengalamai komplikasi ni semasa umur awal 20 tahun kalau tak silap saya, lebih kurang 10 tahun dulu. Dia boleh dikatakan di tahap kritikal terpaksa kena buat pembedahan untuk buang buah pinggang. Tempoh lagi 2 minggu untuk buat operation di hospital.
Tombong Kelapa
Datuknya [kini arwah] bagi tombong kelapa [bila belah buah kelapa tua ada anak biji di dalamnya] dan minum air perahannya. Pesan datuknya amalkan sehingga 2 minggu setiap pagi. Sepupu saya amalkan selama 2 minggu sebelum operation. Tiap-tiap pagi dia minum air tombong kelapa dan makan 2-3 biji tombong kelapa sekali [bukan isi kelapa - jangan tersilap].
Sampai masa untuk tarikh operation, doktor sahkan penyakit buah pinggang tidak ada lagi selepas buat pemeriksaan. So, insyaAllah jika pembaca/blogger atau bagi tau kawan-kawan suruh amalkan tip ni. Tapi make sure sebelum buat pembedahan.
Alhamdulillah sepupu saya masih sihat sehingga sekarang.
Sebenarnya tip ni orang-orang dulu-dulu amalkan.
Cara-Cara Rawatan Dengan Air Tombong Kelapa
1. Ambil tombong atau dalam bahasa Jawa dipanggil 'Kentos Kelapa' tidak kira berapa biji setiap pagi. 2 atau 4 biji tombong kelapa sudah cukup.
2. Perah airnya dan minum dan dimakan tombong macam biasa pun boleh.
3. Saiz tombong tidak kisah besar atau kecil, tapi seboleh-bolehnya yang ada air di dalamnya.
4. Jika orang Islam, baca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW 3 kali sebelum minum airnya atau makan.
5. Amalkan sehingga 7 -14 hari. Mudah-mudahan sembuh. InsyaAllah. [Pastikan amal setiap pagi].
Kongsikan agar bermanfaat bersama
Friday, July 29, 2022
Muhaddiths
*Siapakah MUHADDITH?*
- Iaitu mereka yang mempelajari ilmu hadith secara riwayah dan dirayah hadith dan hafal 100,000 hadith berserta dengan sanadnya. Ada sesetengah kitab hadith menyebut kedudukan muhaddith dan HAFIZ AL HADITH ini sama dan ada sebahagian mengatakan hafidz hadith ini lebih tinggi kedudukannya. Mereka yang mencapai kedudukan muhaddith dan hafiz hadith ini juga mempelajari ilmu rijal (perawi) dengan terperinci beserta dengan keadaan mereka. Di Malaysia menggunakan istilah Al HAFIZ ini untuk mereka yang menghafal Al Quran, tetapi di negara yang terkenal dengan pengajian hadith seperti di IndoPak (benua hindi), mereka yang hafal al Quran digelarkan dengan gelaran QARI.
*Al HUJJAH*
- Al Hujjatul Hadith juga mempelajari hadith secara riwayah dan dirayah serta mempelajari selok belok rijal hadith secara terperinci beserta dengan sanadnya. Yang membezakannya ialah mereka menghafal 300,000 hadith beserta dengan sanad-sanadnya.
*AL HAKIM*
Iaitu mereka yang menguasai keseluruhan ilmu dalam hadith dan hafalan mereka sudah jauh melebihi dari golongan Al HUJJATUL HADITH. Nama-nama ulama hadith yang menyusun kutubbussittah seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmidzi, dan lain-lain lagi, adalah mereka yang bergelar Al Hakimul Hadith.
Adapun para imam MUJTAHID mutlaq yang layak berijtihad dan membentuk kerangka fiqh mereka sehingga berdirinya mazhab fiqh seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah mereka yang berada di tingkatan ilmu jauh lebih atas dari AL HAKIM.
Ada tujuan sesetengah ulama memasukkan hadith dhaif ke dalam kitab mereka dan setiap dari ulama hadith ada manhaj serta uslub yang berbeza ketika menyusun kitab mereka. Contohnya Imam Bukhari menyusun semua hadith yang sahih kerana memang tujuannya untuk menghimpunkan hadith sahih, adakah beliau menolak hadith dhaif? Jawapannya tidak kerana kitab Sahih Bukhari bukan satu-satunya kitab beliau, kitab lain yang disusun beliau ada dimuatkan hadith dhaif.
Imam Tirmidzi pula manhaj beliau ialah memasukkan hadith beliau yang ada sokongan dari jalan sanad yang lain sehingga hadith dhaif tadi naik darjatnya menjadi hasan lighairihi. Hadith dhaif ni bukan hadith palsu tetapi hadith yang hilang syarat maqbul yang lima untuk menjadi hadith sahih. Cuma ia tidak dapat dijadikan hujah dalam berhukum tapi masih dipakai dalam perkara taghrib wa tarhib (fadhilat amal).
Adapun kita pula, tingkatan yang paling rendah dalam ilmu hadith iaitu MUHADDITH pun tak tercapai, tapi tiba-tiba tanpa pernah belajar hadith secara riwayah dan dirayah bersanad, cuba membetulkan pula golongan ulama terdahulu. Nauzubillahi min dzalik.
-u.d-
C&P M2
#ilmumilikAllah
Wednesday, July 20, 2022
Meluruskan Kefahaman Antara Adat Melayu dan Amalan Islam dalam urusan kematian
MELURUSKAN KEFAHAMAN ANTARA ADAT MELAYU DAN AMALAN ISLAM DALAM URUSAN KEMATIAN
📌 (Berdasarkan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah)
1️⃣ Bila mendapat berita kematian
• Alhamdulillah ramai sekarang yang mengucap kalimah istirja' (Innalillahi wainna ilaihi roji'un) & baca Al-Fatihah yang diniatkan pahalanya buat si mati.
2️⃣ Bacaan ketika usung jenazah
• Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Azkar menyebutkan, "Ketika seseorang itu mengiringi jenazah hendaklah sentiasa ingat kepada Allah dengan berzikir, ingat akan apa yang akan ditemui oleh si mati di dalam kubur & ke mana kesudahannya.
• Maka jika ada yang membacakan Al-Fatihah, ia adalah bahagian zikir bahkan afdhol kerana ia adalah ayat Al-Quran.
• Takkan baca Al-Quran untuk si mati pun boleh dikira melambatkan pengembumian? Itu kan manfaat kebaikan buat si mati. Hal menunggu waris sampai selagi mana tidak terlalu lama pun dibolehkan, inikan pula nak baca Al-Quran.
• Dan menunggu jemaah yang ramai hadir untuk mensolatkan jenazah pun diharuskan (dibolehkan) bahkan sunnah sebagai syafaat untuk si mati (Riwayat Muslim - 947).
3️⃣ Kebumikan jenazah di tempat lain, bukan di tempat jenazah meninggal
• Sunat hukumnya kebumikan jenazah di tempat dia meninggal (Kitab al-Awsat fi al-Sunan, al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 5 : 464).
• Harus hukumnya kebumikan jenazah di tempat lain selagi mana tidak terlalu lama.
• Makruh hukumnya jika melambatkan pengembumian disebabkan jarak yang jauh sehingga mendedahkan jenazah kepada perkara yang mungkin mencemarkan kehormatannya. Contohnya mengakibatkan perubahan bau dan keadaan jenazah.
• Imam Syafi'i juga menghukumkan sunat jika memindahkan jenazah di tempat lain (bukan tempat meninggalnya) sekiranya tempat itu mulia seperti Mekah dan seumpamanya (Kitab Fath al-Bari 4 : 117).
4️⃣ Jirusan air pada kubur
• Jug tidak perlu diikat dengan kain putih. Cuma alasan diikat jug dengan kain putih untuk membezakan air jirusan untuk kubur dengan air minuman agar orang yang hadir tidak minum, apalah salahnya. Pun begitu, tak semestinya diikat dengan kain putih. Nak tanda guna marker pun boleh. 🙂
• Jirusan air bukan untuk sejukkan mayat, tapi untuk memendapkan tanah serta membasahkan kepada batang pohon kecil yang akan bertasbih & meringankan azab kepada si mati (Kitab Tuhfatul Muhtaj : 3/197).
• Namun adalah baik juga jika sambil menjirus itu mendoakan juga buat si mati dengan doa yang diajarkan Nabi SAW dalam hadith;
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ
*Nota : Kalau jenazah perempuan tukar kepada 'Ha'
Contoh : Allahummaghfirlaha, Warhamha, Wa 'afiha, Wa'fu 'anha.....
Ertinya : "Ya Allah, ampunilah ia, kasihilah ia, berilah ia kekuatan, maafkanlah ia. Dan tempatkanlah pada tempat yang mulia (syurga), luaskan kuburannya, mandikan ia dengan air salju dan air sejuk. Bersihkan ia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju putih dari kotoran. Berilah ganti rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia). Berilah ganti keluarga (atau isteri di syurga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia), isteri (atau suami) yang lebih baik daripada isterinya (atau suaminya), dan masukkan ia ke syurga, jagalah ia dari seksa kubur dan neraka.” (Kitab Sahih Muslim : 3/59)
5️⃣ Membuat binaan, kepok dan ada nama atas kubur
• Isu binaan atas kubur ini terdapat khilaf dikalangan ulama' dan panjang perbahasannya.
• Makruh binaan di tanah perkuburan milik peribadi kecuali kubur para nabi, para sahabat, wali, ulama' dan seumpama mereka untuk tujuan menggalakkan orang menziarahi.
• Haram membina binaan di atas kubur di tanah perkuburan musabbalah atau wakaf kecuali kubur para nabi, para sahabat, wali, ulama' dan seumpama mereka.
• Melainkan jika binaan itu dibuat semata-mata bertujuan untuk melindunginya daripada digali binatang buas atau memelihara supaya tanah di atasnya tidak melimpah keluar ke tempat lain seperti kepok, maka tidaklah diharamkan dan harus membina di atasnya sekadar yang diperlukan sahaja.
• Perbuatan menulis nama si mati sama ada pada kepingan batu atau pada batu nisannya lalu dipacakkan di bahagian kepala adalah makruh. Tapi jika ia bertujuan supaya dikenali dan memudahkan orang menziarahi kuburnya, maka hukumnya adalah sunat sekadar untuk keperluan.
• Hikmah disebalik meletakkan tanda atau batu nisan adalah supaya diketahui waris dan tidak ada orang lain dikebumikan di tempat sama. (Kitab Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il)
6️⃣ Upah kepada jemaah solat jenazah, bacaan Al-Quran, penggali kubur dan khairat kematian
• Menyifatkan upah adalah tidak benar. Sebetulnya ia hanyalah saguhati/hadiah/sedekah yang waris boleh niatkan pahala pemberian tersebut atas nama si mati.
• Dan tidaklah menjadi kemestian dan berdosa jika tidak dilakukan.
• Sunat baca ayat Al-Quran atas kubur. (Kitab Syarh al-Muhazzab)
• Jika tidak tahu atau ada halangan maka boleh juga dibacakan Al-Fatihah, 3 Qul, Ayatul Kursi, berdoa, istighfar (Kitab at-Tazkirah Lil Qurthubi 1/84)
• Bahkan ada ulama' berpendapat afdhal mengkhatamkan Al-Quran. (Mura'ah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masobih : 5/466)
• Tidak menjadi kesalahan memberi saguhati (bukan upah) kepada pembaca Al-Quran seperti pelajar tahfiz. Bahkan jika pelajar tahfiz menepati ciri-ciri fisabilillah, maka mereka boleh menerima zakat.
• Belum pernah berlaku pelajar tahfiz tak mahu hadir baca Al-Quran jika tidak diberikan saguhati. Cuma untuk keduniaan yang sementara kita sanggup laburkan, takkan sebagai pahala si mati untuk akhirat yang kekal abadi kita tak sanggup laburkan. Waris harus fikirkan dan jangan berkira-kira.
• Tidak menjadikan kubur sebagai masjid. Tapi hari ini ramai menjadikan masjid sepi seperti kubur dengan tidak diimarahkan.
• Tidak menjadi kesalahan jika kubur hampir dengan masjid. Contoh kubur Nabi SAW dan kebanyakkan masjid di Malaysia pun begitu.
• Kubur terletak di bahagian depan masjid bukan bermakna menyembah kubur. Ini salah faham yang teruk. Kubur Nabi juga terletak di bahagian depan Masjid Nabawi, apakah dikira umat Islam menyembah Nabi? Pastinya tidak!
• Imam Nawawi letakkan pengurusan jenazah adalah perkara pertama yang wajib dilakukan oleh waris. (Minhaj at-Tholibin)
• Dan di Malaysia biasanya kaedah yang digunakan adalah caruman khairat kematian berkonsepkan takaful (saling bantu membantu) untuk pengurusan jenazah dan ia dibolehkan.
• Kos memandikan, mengkafankan, perkuburan kebiasaannya telah termasuk dalam kos khairat kematian yang si mati sendiri menjadi pencarum sebagai persediaan kematian yang pasti berlaku.
• Jika si mati miskin, waris yang berkemampuan boleh menanggungnya atau Baitul Mal.
• Realiti hari ini semua perkara melibatkan pengurusan jenazah perlukan kos tersendiri dan tidak semua percuma.
7️⃣ Majlis bacaan Yaasin, zikir tahlil, doa dan jamuan pada tempoh tertentu
• Baginda SAW bersabda : Bacalah Surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu (Riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban).
• Ramai juga ulama menyebut di dalam kitab mereka mengenai kewajaran membaca Surah Yasin di sisi si mati. Mereka termasuklah al-Imam al-Nawawi, al-Khatib al-Syarbini, Wahbah al-Zuhayli, Sayyid Sabiq dan Syeikh Daud al-Fathoni.
• Membaca Al-Quran dengan diniatkan sebagai pahala untuk si mati dan pahalanya sampai kepada si mati seperti ijtihad para ulama'.
• Dalam majlis tersebut bukan sahaja baca Yasin, malah ada zikir tahlil, mendoakan buat si mati dan menjamu orang ramai makan dengan niat sebagai pahala kebaikan buat si mati.
• Waris yang terdiri daripada anak-anak si mati yang mendoakan buat si mati mendapat pahala sunat kerana anak mendoakan si mati, melakukan amal soleh dan menggunakan ilmu yang bermanfaat yang telah diajarkan oleh si mati. Ia sabit dengan hadis sahih riwayat Muslim.
• Tidak perlu terikat dengan masa tertentu. Nak buat hari-hari pun tiada masalah jika mampu.
• Anjuran memberi makan kepada orang ramai itu sunnah Nabi SAW.
• Dan tidak menjadi masalah pun jika waris tak mahu buat kenduri jika takut miskin jika buat kenduri.
8️⃣ Talqin, upah Imam dan soalan bocor
• Hukum talqin sunat menurut pendapat ulama' Mazhab Syafi'e. Juga disebutkan nama si fulan/fulanah. (Kitab al-Majmu' : 5/303 - 304 & Kitab al-Iqna' : 1/210)
• Mazhab Hanbali juga mengatakan sunat. Juga dihukum harus (dibolehkan) menurut mazhab yang lain.
• Talqin untuk si mati dan juga pengajaran buat waris yang hidup.
• Si mati boleh mendengar ucapan kita. Cuma kita tidak mendengarkan suara mereka. Ini sabit dengan hadis Nabi (Riwayat Muslim).
• Cuma talqin kita lebih kepada doa, bukan mengajar si mati.
• Sebab itu kita diajarkan oleh Nabi SAW untuk memberi salam dan mendoakan orang mati di kubur. Mereka mendengar doa kita.
• Bukan upah, tapi saguhati kepada Imam. Kalau tak nak bagi, tidak jadi masalah. Tapi ingat, Imam datang naik kenderaan, dia bagi masa. Atau berkira sangat, waris baca je la sendiri. Mudah juga kerja Imam. 🙂
• Talqin memang boleh disifatkan jawapan bocor sebab si mati pun pernah mendengar saat dia hidup di dunia dan samada boleh jawab soalan munkar nakir atau tidak bergantung kepada amal. Tukang talqin berkali-kali baca sampai menjadi lancar pun belum tentu lancar menjawab soalan kubur.
Catatan :
Ustaz Mohd Amirul Aqif Ismail
Ilmuwan ISLAMI Putrajaya
Sunday, July 17, 2022
Pandangan Alan Kedidie mengenai Wahabi
Sejarah ini mungkin ramai yang lupa atau tak tau dan bahkan ada yang ingkarinya.
Saya nak tulis ulang untuk pembaca dan sahabat facebook saya semua.
Wahhabi yang diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab 1206H sehingga mendorong pengikutnya mengkafirkan umat islam dan menghalalkan darah mereka.
Sudah pasti manusia yang lebih mengenali perihal Muhammad bin Abdul Wahhab adalah saudara kandungnya dan bapanya sendiri.
Saudara kandungnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab sering memberi peringatan kepada umat Islam dizamannya agar tidak mengikut ajaran baru Muhammad bin Abdul Wahhab kerana ajaran itu menghina ulama Islam serta mengkafirkan umat Islam.
Sebagai bukti sila rujuk 2 kitab karangan Syeikh Sulaiman tersebut, Fashlul Khitob Fir Roddi ‘Ala Muhammad bin Abdul Wahhab dan Sawaiqul Ilahiyah Fi Roddi ‘Ala Wahhabiyah.
Bapanya juga iaitu Abdul Wahhab turut memarahi anaknya iaitu Muhammad kerana enggan mempelajari ilmu Islam dan beliau menyatakan kepada para ulama, Kamu semua akan melihat keburukan yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ini.
Sebagai bukti sila rujuk kitab As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah cetakan Maktabah Imam Ahmad m/s 275.
Demikianlah saudara kandungnya sendiri mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan ajaran Takfir yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Mufti Mazhab Hambali Muhammad bin Abdullah bin Hamid An-Najdy 1225H menyatakan dalam kitabnya, As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah m/s 276, Apabila ulama menjelaskan hujah kepada Muhammad bin Abdullah Wahhab dan dia tidak mampu menjawabnya serta tidak mampu membunuhnya maka dia akan menghantar seseorang untuk membunuh ulama tersebut kerana dianggap sesiapa yang tidak sependapat dengannnya adalah kafir dan halal darahnya untuk dibunuh.
Mufti Mazhab Syafi’e Ahmad bin Zaini Dahlan 1304H yang merupakan tokoh ulama Mekah pada zaman Sultan Abdul Hamidmenyatakan dalam kitabnya, Ad-Durarus Saniyyah Fir Roddi ‘Alal Wahhabiyah m/s 42,..Wahhabiyah merupakan golongan pertama yang mengkafirkan umat Islam 600 tahun sebelum mereka dan Muhammad bin Abdul Wahhab berkata: Aku membawa kepada kamu semua agama yang baru dan manusia selain pengikutku adalah kafir musyrik.
Sejarah membuktikan Wahhabi telah membunuh keturunan Rasulullah serta menyembelih kanak-kanak kecil di pangkuan ibunya ketika-mana mereka mula-mula memasuki Kota Taif. (Sila rujuk Kitab Umaro’ Al-bilaadul Haram m/s 297 – 298 cetakan Ad-Dar Al-Muttahidah Lin-Nasyr).
Demikian tinta sejarah yang tidak boleh dipadamkan lagi perihal menceritakan kisah sejarah Wahhabi sebenar dari ulama Islam yang thiqah.
Dimanakah kesalahan dan penyelewengan Wahhabi ?
1-Kesalahan & penyelewengan Wahhabi dari segi Aqidah.
Pengkaji sejarah ajaran Wahhabi mendapati fahaman ini mirip kepada sistem akidah dibawa oleh seorang bergelar Jahmu bin Sofwan.
Dia meletakkan sistem akidahnya yang celaru berdasarkan kaedah yang digelar “tasybih la tasybih” atau “tajsim la tajsim” iaitu menyamakan dan mentajsimkan Allah dengan makhlukNya kemudian dihujung kenyataan tersebut menafikan pula.
Ini dikenali oleh ulama tauhid sebagai “tamwih” iaitu berdusta dengan cara memutar belit fakta.
Asas akidah Wahhabi adalah memilih seluruh ayat mutasyabihat sebagai sumber rujukan utama akidah dan membelakangi ayat muhkamat dengan hanya mempercayai zahir maknanyasahaja.
Inilah punca utama asas sistem akidah mereka terpesong dari akidah Islam.
Di antara akidah golongan Wahhabi yang jelas bercanggah dengan akidah salaf dan khalaf serta bercanggah dengan akidah Islam adalah :
1- Wahhabi mempercayai bahawa Allah duduk diatas Kursi.
Lihat kitab Wahhabi Fathul Majid Syarah Kitabut Tauhid m/s 485 cetakan Maktabah Muayyad dan Maktabah Darul Bayan karangan Abdur Rahman bin Hasan yang merupakan cucu kepada Muhammad bin Abdul Wahhab.
Ini merupakan akidah yang bercanggah dengan Islam kerana menyamakan Allah dengan makhlukNya, ianya juga tidak dinyatakan dalam Al-Quran dan Al-Hadith serta bercanggah dengan usul keimanan mensucikan Allah dari sifat makhluk Nyasepertimana dinyatakan oleh Allah di dalam surah Al-Ikhlas ayat 4 yang bermaksud.
Dan tiadalah bagiNya persamaan dengan sesuatu.
2- Wahhabi beriktikad bahawa Arash merupakan tempat bagi zat Allah.
Lihat kitab yang sama m/s 627, 629. Ini merupakan mirip kepada akidah yahudi yang sering menyatakan perkara sama di dalam kitab Injil Muharrafah mereka.
Sedangkan akidah Islam perihal kewujudan Allah adalah Dia tidak memerlukan tempat kerana Dia yang mencipta tempat maka wujudNya tidak di tempat dan akidah Wahhabi bercanggah dengan sabda Rasulullah yang bermaksud.
Dan Engkau Ya Allah, Yang Az-Zhohir, maka tiada sesuatu diatasMu, dan Engkau Ya Allah, Yang Al-Bathin, maka tiada sesuatu dibawahMu. Sohih Muslim.
Di dalam hadith yang sama riwayat Imam Baihaqi didalam kitab beliau yang berjudul Al- Asma’ Wa As-shifat m/s 400dinyatakan selepas sabda Nabi saw.
Maka, jika diatas Allah tiada sesuatu dan dibawahNya pula tiada sesuatu ini menunjkkan bahawa Allah bukan ditempat.
3- Wahhabi menyatakan bahawa Allah mempunyai kedua belah kaki dan Allah akan meletakkan kakiNya didalam api neraka.
Lihat kitab Syarah Tafsir Ayatul Kursy oleh Soleh Uthaimin m/k 19 cetakan Maktabah Ibnu Jauzy .
Ini merupakan persamaan Allah dengan makhlukNya dan ia jelas bercanggah dengan akidah Islam kerana Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 74 yang bermaksud.
Maka janganlah kamu menyamakan Allah swt.
Ini semua merupakan akidah tasybih, dibawa serta diakui oleh mereka sendiri sedangkan ianya bercanggah dengan akidah Islam yang menafikan sifat kaki, bertempat dan duduk bagi Allah Ta’ala.
Sekiranya hendak saya nyatakan kesemua, maka kita akan dapati lebih dari 20 perkara akidah mereka terpesong dari landasan akidah para Nabi, sahabat, ulama Islam dan seluruh umat Islam sedunia yang lebih ramai bilangannya dari puak Wahhabi.
2. Kesalahan Pendekatan Fiqh Wahhabi.
Dalam segi fekah, golongan Wahhabi mirip kepada Al-La Mazhabiyah iaitu yang mengetepikan dari mengikut hukum hakam yang telah di istimbatkan oleh mana-mana mazhab muktabar dalam Islam.
Walaupun demikian mereka tetap mendakwa sebagai pengikut mazhab Hambali untuk mengaburi mata masyarakat agar tidak membenci mereka.
Tujuan mereka agar kesemua umat Islam mengikut mereka dari segala aspek hukum dan akidah.
Selain itu hukum bid’ah membid’ah juga menjadi cara utama mereka dalam menetapkan sesuatu hukum.
Contohnya, Wahhabi membid’ahkan dan menyamakan sambutan Maulidur Rasul dengan yahudi. Lihat kitab At-Tauhid karangan Soleh bin Fauzan m/s 116 cetakan Riyadh, Saudi. Ini membawa kepada kekecohan umat Islam sejagat. Sedangkan hukumnya adalah diharuskankerana Rasulullah telah bersabda apabila ditanya mengenai puasa sunat hari Isnin baginda menjawab :
“ Hari itu adalah hari kelahiranku ”. HR Sohih Muslim.
Begitu juga mereka mengharamkan pengkhususan solat dan puasa pada nisfu sya’ban. Lihat kitab yang sama m/s 101. Kenyataan yang popular dari kalangan Wahhabi ini sebenarnya jelas bercanggah dengan hadith yang bermaksud :
Apabila tiba malam nisfu sya’ban maka bangunlah pada malamnya (qiamullai) dan berpuasalah pada siangnya. Hadith riwayat Ibnu Majah.
Sememangnya dari segi fekah, cara pendekatan mereka cukup terkenal dengan hukum hakam yang ganjil. Jika hendak disenaraikan disini tidak mencukupi kerana ianya melebihi puluhan perkara.
BERHATI-HATILAH, KERANA GOLONGAN INI SANGAT LICIK DALAM MENYEBARKAN DAKYAH SONGSANG MEREKA DAN SERING BERSELINDUNG DIRI DAN MENDAKWA MEREKA AHLUL SUNNAH WAL JAMAAH YANG BETUL....."
WAHABBI TERKENAL DENGAN KERJA MEMBIDAAHKAN ORANG , MENOLAK HADITH DHAIF (MAUDHU' BAGI MEREKA) DAN MENTAFSIR SECARA SALAH AYAT AL QURAN DAN HADITH
AWAS.....MEREKA DI MANA-MANA. TIDAK SUKA BERSERBAN DAN BERJUBAH DAN SELALU BERBANGGA DENGAN KELULUSAN AKADEMI (PHD DALAM TAFSIR AL QURAN DAN HADITH).
Wahabi bukan kerana mereka tidak membaca Qunut Subuh, kerana tiga Mazhab lain tidak pun membaca Qunut Subuh, itu khilaf mazhab; bukan juga kerana tidak buat kenduri arwah kerana ada Qawl dalam Mazhab Shafie yang tidak menggalakkannya, bukan juga kerana itu dan ini tetapi Wahabi adalah satu cara berfikir yang salah yang membentuk satu gerakan ekstrem yang boleh memecahbelah masyarakat.
Kemuncak ekstrem dan radikal Wahabisme boleh sehingga membawa pertumpahan darah seperti IS,ISIL, ISIS, al-Qaeda, Taliban...semua itu adalah didikan Wahabi. Dakyah Wahabi berjaya menarik ramai pengikut kerana slogan menarik mereka yang menyeru kononnya jangan "taqlid", jangan "mengikut membuta tuli"; menyeru kononnya "kembali kepada Al-Quran dan al-Sunnah".
1. Wahabi sebenarnya adalah gerakan MEMBIDAAHKAN amalan orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka dan merasakan hanya amalan mereka sahaja yang betul. Hanya mereka sahaja kononnya mengikut "Sunnah". Mereka kelompok manusia yang tidak boleh berbeza pandangan, tidak menghormati ikhtilaf atau khilafiyyah (perbezaan pendapat di kalangan ulamak). Wahabi menolak bahawa Bid'aah ada dua bentuk (i) Baik (Hasanah) dan (ii) Sesat (Dolalah). Bagi Wahabi semua Bid'aah sesat dan masuk neraka. Oleh itu setiap Bid'aah adalah mungkar dan bagi mereka wajib ditentang. Lalu mereka membesarkan perbezaan pendapat dan membikin kecoh seluruh dunia tanpa boleh berlapang dada. Pra-syarat menjadi Wahabi ialah kena memperbanyak menuturkan "BID'AAH" terhadap amalan orang lain dan menjadikan ianya "wirid" harian.
2. Wahabi MELARANG BERAMAL apabila tiada nas khusus untuk amalan tersebut walaupun di sana ada perintah umum daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Bagi Wahabi setiap ibadat kena ada nas dan dalil, walhal perintah yang bersifat umum sudah ada namun mereka menolaknya. Wahabi marah membaca Surah Yasin malam Jumaat kerana tiada nas. Bukankah perintah memperbanyakkan membaca al-Quran sudah cukup banyak dan memadai? Adakah nas melarangnya pula? Tiada larangan.
3. Wahabi adalah gerakan MENSYIRIKKAN orang lain: tawassul bagi mereka syirik kecuali tawassul dengan amalan soleh, dan dengan Asmaul Husna saja. Walhal para Sahabat dan Salafus Soleh bertawassul dengan pelbagai bentuk lain;
4. Wahabi gerakan MENTAJSIMKAN Allah SWT mensifatkan Allah "bertangan", "duduk" atas Arasy, "ketawa", Allah di atas langit. Wahabi menolak takwil yang dibawa oleh manhaj Ashairah dan Maturidiyyah sedangkan manhaj Ashairah itu lebih selamat dari mensifatkan Allah dengan sifat makhluk.
5. Wahabi juga gerakan MENTADHA'IFKAN hadith dan MEMARDUDKAN hadith dhaif, menolak penggunaan hadith-hadith dhaif dan membakulsampahkan semua hadith-hadith dhaif. Sedangkan sejak seribu tahun lebih para ulama hadith membenarkan penggunaan hadith dhaif dalam hal fadhailul 'amal dan targhib wa tarhib. Kiblat rujukan hadith Wahabi ialah Sheikh Nasruddin Al-Albani. Mereka tidak sedar mereka bertaqlid dan mengikut membuta tuli apa sahaja takhrij hadith oleh al-Albani. Ulama rujukan Wahabi pula ialah sekalian "kibarul ulama" Saudi hari ini manakala kitab-kitab rujukan Wahabi ialah kitab karangan Muhammad Abdul Wahab. Mereka membutakan mata dan memekakkan telinga apabila didatangkan hujah daripada para ulamak lain yang muktabar namun tidak sealiran dengan mereka.
6. Wahabi gerakan MEMBURUKKAN ahli Sufi dan tasawuf. Mereka secara terpilih memetik yang mana sesuai dengan fikrah mereka kitab-kitab Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Al-Dhahabi, al-Syawkani khususnya di bab memburuk dan mencemuh para Sufi kerana Wahabi gerakan anti-Sufi. Walhal Ibn Taymiyyah sendiri adalah pengikut tarekat Qadiriyyah. Wahabi Malaysia ada yang mengatakan tasawuf lebih kotor daripada air longkang. Sedangkan Sufi ada yang baik dan ada yang sesat sepertimana umat Islam yang lain juga amnya: ada yang Soleh, ada Munafik dan ada yang berdosa. Sufi juga tidak maksum. Bahkan Imam Ghazali sendiri turut mengkritik "Sufi palsu" walaupun beliau sendiri seorang ahli Sufi.
7. Wahabi MENOLAK Imam al-Ghazali ra dan jarang dengar mereka mengutip kalam Imam al-Ghazali ra. Bagi mereka Imam al-Ghazali ra Hujjatul Islam itu jahil hadith.
Itulah Wahabi, dan jangan terkeliru dengan suara-suara membela Wahabi walaupun mereka malu mengaku diri mereka Wahabi. Ada ketikanya mereka cuba menyembunyikan punca kenapa mereka digelar Wahabi, kononnya Wahabi itu "hantu", "momok" dan tidak wujud. Kenal dulu ciri-ciri Wahabi maka tahulah anda siapa pendokong mereka.
Kalau yang melenting apabila Negeri Sembilan mengharamkan Wahabi, hampir pasti 99.9% mereka pendokong tegar Wahabi (yang malu mengaku). Hati-hati dengan mereka ini walaupun petah berbicara, dan mulut penuh dengan ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadith. Ada Wahabi Malaysia yang sangat terkenal dan bicara memukau sehingga ramai orang awam tertipu. Dengan pengharaman Wahabi di Negeri Sembilan dan Perak, moga-moga makin ramai yang sedar dan makin jelas siapa pendokong Wahabi sebenar yang bertopeng dan begitu licik selama ini. Jangan terkejut jika ustaz yang anda kagumi selama ini itu sebenarnya mungkin pendokong Wahabi.
Hanya jauhari yang kenal manikam.
اعرف الحق تعرف أهله.
Kopy & paster.
Bidaahkah bacaan Yassin masuk rumah baru
Bid'ah ke baca Yasin Masuk Rumah Baru?
Baru-baru ini ada yang memberitahu saya bahawa apabila beliau menyuarakan kepada rakannya untuk membaca surah Yasin ketika hendak berpindah rumah, maka rakannya itu terus menegah perbuatan membaca Yasin tersebut dengan alasan nabi tidak pernah melakukan sedemikian, dan ia merupakan perkara bid'ah! Persoalannya, benarkah membaca Yasin ketika mendiami rumah baru itu satu perbuatan bid'ah yang sesat yang akan menghumbankan pembacanya itu ke dalam neraka??
Sebenarnya, perlu difahami dengan jelas apakah itu bid'ah. Bid'ah menurut istilah syara' ialah sesuatu perbuatan, perkataan atau pegangan yang tidak mendapat keizinan syara' sama ada daripada al-Qur'an, Sunnah, Ijma' dan Qiyas dan tidak termasuk dalam kaedah dan dasar umum bagi Islam (iaitu yang bercanggah dengan dasar ajaran Islam). Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Qur'an, Sunnah, Ijma' atau Qiyas. Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bid'ah...tetapi kalau sebaliknya iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bid'ah.
Apakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bid'ah? Sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bid'ah ini ialah ibadah yang dilakukan oleh nabi saw boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
1. amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat , hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya. Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan. Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat maghrib umpamanya daripada 3 rakaat kepada 4 rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bid'ah.
2. amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas untuk memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut dengan syarat tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang telah dibuat itu. Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam.
Oleh itu, tidak ada salahnya membaca al-Quran ketika berpindah ke rumah baru kerana nabi tidak pernah menetapkan atau mengkhususkan waktu-waktu tertentu sahaja untuk membaca al-Quran, bahkan bacaan al-Quran memang digalakkan pada setiap masa dan ketika tanpa terikat dengan waktu. Allah telah menyatakan dalam surah al-Ra'd ayat 28 bermaksud: 'Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang...". Wallahu'alam