Sunday, July 17, 2022

Bidaahkah bacaan Yassin masuk rumah baru

 Bid'ah ke baca Yasin Masuk Rumah Baru?


Baru-baru ini ada yang memberitahu saya bahawa apabila beliau menyuarakan kepada rakannya untuk membaca surah Yasin ketika hendak berpindah rumah, maka rakannya itu terus menegah perbuatan membaca Yasin tersebut dengan alasan nabi tidak pernah melakukan sedemikian, dan ia merupakan perkara bid'ah! Persoalannya, benarkah membaca Yasin ketika mendiami rumah baru itu satu perbuatan bid'ah yang sesat yang akan menghumbankan pembacanya itu ke dalam neraka??


Sebenarnya, perlu difahami dengan jelas apakah itu bid'ah. Bid'ah menurut istilah syara' ialah sesuatu perbuatan, perkataan atau pegangan yang tidak mendapat keizinan syara' sama ada daripada al-Qur'an, Sunnah, Ijma' dan Qiyas dan tidak termasuk dalam kaedah dan dasar umum bagi Islam (iaitu yang bercanggah dengan dasar ajaran Islam). Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Qur'an, Sunnah, Ijma' atau Qiyas. Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bid'ah...tetapi kalau sebaliknya iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bid'ah.


Apakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bid'ah? Sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bid'ah ini ialah ibadah yang dilakukan oleh nabi saw boleh dibahagikan kepada dua iaitu:


1. amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat , hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya. Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan. Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat maghrib umpamanya daripada 3 rakaat kepada 4 rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bid'ah.


2. amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas untuk memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut dengan syarat tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang telah dibuat itu. Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam. 


Oleh itu, tidak ada salahnya membaca al-Quran ketika berpindah ke rumah baru kerana nabi tidak pernah menetapkan atau mengkhususkan waktu-waktu tertentu sahaja untuk membaca al-Quran, bahkan bacaan al-Quran memang digalakkan pada setiap masa dan ketika tanpa terikat dengan waktu. Allah telah menyatakan dalam surah al-Ra'd ayat 28 bermaksud: 'Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang...". Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment