Monday, March 31, 2014

Selawat Nabi, bukan puja Nabi

Selawat Nabi, bukan puja NabiPosted on Monday, March 31 @ 19:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Pendapat

Saya ucapkan tahniah atas inisiatif menganjurkan Selawat Perdana Putrajaya, Malam Cinta Allah dan Cinta Rasul, dengan tema Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan, yang sedang menjelajah seluruh negara masa kini, yang dijayakan hampir seratus peratus oleh pendakwah seberang.

Saya tidak pasti sama ada ia telah menjadi ‘fenomena’ ataupun tidak, di kalangan anak muda, seperti rancangan Pencetus Ummah, Astro Oasis. Saya juga tidak mahu termasuk dalam golongan ‘membidaahkan’ program yang sebegitu baik ini, dalam mendidik hati-hati manusia.



Sejujurnya, program ini amat baik untuk sebagai ‘hiburan’ altenatif kepada masyarakat. Tetapi, agak stereotaip. Jika tidak diberikan penambahbaikan, sekali itulah sahaja. Ia sukar untuk menarik perhatian buat kali kedua, kerana semuanya sama, termasuk tazkirah yang disampaikan sebelum ini,    

Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian adalah;

Pertama, penonjolan kepada Rasulullah terlalu berlebihan sehingga menenggelamkan penonjolan kepada Allah SWT.

Pada hemat saya, perkara ini patut diperbaiki. Majlis ini sepatutnya membawa kita mengingati Allah, kemudian baharulah utusanNya, Rasulullah SAW, seperti mana temanya, Malam Cinta Allah dan Cinta Rasul. Dalam kata lain, utamakan Allah dalam segala hal. 

Kita memang diminta dan dituntut berselawat ke atas Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW, barang siapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda. Ini tidak termasuk mendapatkan syafaat Baginda di akhirat nanti.

Cuma, persoalannya, Selawat Perdana terlalu ‘over’ menonjolkan Rasulullah SAW. ‘Lagu-lagu’ Cinta Rasul yang disampaikan seperti Qasidah dan sebagainya terlalu berlebihan, sehingga membawa kepada tahap ‘pemujaan’ terhadap Nabi.

Adakah Rasulullah mahukan kita memuja Baginda? Sudah tentu tidak. Nasib baiklah Baginda tidak meninggal gambar atau foto Baginda. Jika tidak, saya bimbang, kita akan menyembah Baginda seperti agama lain. 

Memang tidak dapat dinafikan, kita memang dituntut mencontohi Nabi dalam apa jua keadaan dan cara hidup Baginda, tetapi janganlah terlalu berlebih-lebihan sehinggakan mengidolkan Baginda. 

Kita perlu ingat, perkara yang utama dalam Islam adalah akidah. Sebab itu rukun Islam dan rukun iman disusun sedemikian rupa. Rukun iman misalnya, pertama Percaya kepada Allah, diikuti dengan mengimani yang lainnya termasuk kepada para Rasul. 

Begitu juga dengan rukun Islam, pertama mengucap dua kalimah syahadah, diikuti kedua adalah solat. Kalimah Syahadah adalah paling utama.

Solat bukan penanda seseorang itu telah beramal dengan Islam, jika akidah tidak betul. Misalnya, soal mentauhidkan Allah SWT, Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah. 

Bersolatlah dan berselawatlah beribu kali sekalipun, jika akidah tidak betul, semuanya menjadi sia-sia. Sebab itu, akidah perlu dimantapkan sebelum yang lain.  Kenalkan manusia kepada Allah SWT, sebelum kenalkan kepada PesuruhNya iaitu Baginda, Rasulullah SAW.

Kedua, nawaitu menganjurkan program ini hendaklah betul. Jika benar malam perpaduan atas nama Islam, lakukanlah, tanpa ada agenda politik tersirat dan tersurat. 

Saya difahamkan semua pemimpin pembangkang mahu hadir dalam Selawat Perdana Perdana. Tetapi PRK Kajang telah menguburkan segala-galanya. Kita lebih sibukkan PRK. Tak apalah, mungkin kita boleh buat kedua kalinya. 

Apapun, pengalaman yang dilalui pada malam tersebut, selaku ‘pendakwah-pendakwah Astro Oasis, Pencetus Ummah, Duniaku Dakwahku, begitu pahit sekali.

Jadual kami telah disusun oleh pihak Astro Oasis bermula jam 7.00 hingga jam 9.00 malam. Malangnya semua tidak menjadi. Seolah-olah ada tangan-tangan yang tidak mahu kami menonjol.

Pihak penganjur seolah-olah sengaja melambat-lambat jadual kami. Pentas, lampu dan sistem pembesar suara (sound system) tidak bersedia. Program kami hanya bermula selepas jam 8.00 malam, itupun dalam keadaan begitu kelam kabut.

Selepas azan Isyak, pihak kami tidak dibenarkan meneruskan program seperti yang dijadualkan. Kesihan pendakwah yang datang dari jauh tidak dapat memberikan persembahan. 

Pihak yang mendakwa dirinya penganjur mahu mengambilalih. Persoalannya, siapakah ‘penganjurnya’? Apa tujuan mengadakan program ini. Ikhlas kerana Allah atau apa?

Sejujurnya, apabila kami dijemput oleh oleh pihak Astro, dengan niat yang murni untuk menghimpunkan semua pemimpin umat Islam tanpa mengira fahaman politik. Kami menjadi begitu teruja dan bersemangat sekali. 

Atas nama Islam, kami menerima jemputan tersebut. Kami lakukan kerana Allah.

Tidak ada keinginan langsung mahu bersaing dengan stesen tv yang mahu berhijrah. Kami sudah ada ‘trade mark’ sendiri. Tidak perlulah terasa terancam dengan kehadiran kami di situ. 

Kepada stesen TV yang mahu berhijrah, buatlah kerja kerana Allah, bukan kerana yang lain. Hodoh sangat melihat stesen TV mahu menonjolkan diri, siapakah yang lebih Islamik, sedangkan pengisiannya hanya biasa sahaja. 


Apapun sekalung tahniah daripada saya kerana telah menjayakan majlis ini. Walaupun targetnya setengah juta tidak kesampaian, dapat limapuluh ribupun kira jadilah. 

Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah
http://ridhuantee.blogspot.com/




No comments:

Post a Comment