Wednesday, March 5, 2014

Usah cari masalah!- ketika melahirkan anak?

Usah cari masalah!

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
Kadar kematian ibu ketika bersalin di Amerika Syarikat pada tahun 1900 adalah 1,500 kes bagi setiap 100,000 wanita. Kini angka berkenaan dapat dikurangkan ke tahap minimum iaitu kira-kira 15 kes kematian bagi setiap 100,000 wanita.
Kita perlu berterima kasih kepada pakar sakit puan dan bidan yang mempraktikkan ilmu perubatan moden yang ternyata dapat menyelamat­kan banyak nyawa. Namun bukanlah bermakna kita menolak kaedah perubatan tradisional atau alternatif kerana setiap satu ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Tetapi dalam soal melahirkan anak, pengetahuan mendalam mengenai fisiologi badan wanita, tahap kesihatannya, kedudukan janin dalam kandungan dan segala kemungkinan yang berkaitan dengan kelahiran amat penting. Dan ilmu ini ada pada pakar perubatan moden yang tidak jemu belajar serta meng­kaji perubahan yang dialami seseorang wanita ketika hamil, sekali gus mengurangkan kes kematian ibu atau anak ketika bersalin.

Walaupun dunia perubatan sudah semakin maju, namun kita masih mendengar kes kematian wanita ketika melahirkan anak - sedangkan ia boleh dielakkan apatah lagi di Malaysia yang diiktiraf antara negara yang mempunyai sistem perubatan terbaik di dunia.
Foto
FotoDR Tan

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Prince Court Dr Tan Niap Hong, penurunan kes kematian ini disebabkan ada­nya perubatan moden yang menghalang lebih ramai ibu bersalin mengalami risiko kematian akibat tidak menerima sebarang bantuan ketika melahirkan anak.

“Ironinya, dengan kematian ketika bersalin berada pada tahap yang amat rendah, masyarakat secara perlahan-lahan kembali mempercayai kelahiran semula jadi.

“Lebih menyedihkan apabila ada sesetengah daripada mereka mengecualikan diri daripada menerima sebarang bentuk bantuan atau perubatan moden ketika melahirkan bayi,” katanya.

Memang tiada pakar perubatan yang boleh memaksa seseorang wanita memilih kaedah bersalin mengikut kehendak mereka. Setiap wanita mempunyai hak untuk memilih kaedah melahirkan anak yang diingini tetapi penentuan itu perlulah bersandarkan nasihat doktor yang mencakupi semua aspek khususnya keselamatan. Bahkan doktor tidak menghalang jika sese­orang wanita itu mahu memilih kaedah kelahiran semula jadi atau alami.

“Setiap orang mempu­nyai perspektif berbeza mengenai kelahiran semula jadi. Bagi mereka yang mengalami kesakitan menganggap perubatan moden adalah penyelamat,” katanya.

Tambahnya, ia berbeza bagi wanita yang mempunyai keupayaan menahan sakit dan menganggap kelahiran semula jadi dipercayai amat selamat dan menganggap perubatan moden yang perlu diragui.

Malangnya, ibu itu sendiri tidak mengetahui sama ada bayi mereka sihat atau ada masalah kesihatan termasuklah kecacatan. Ketika ini, mereka sebenarnya memerlukan alat bantuan berteknologi canggih untuk memantau keadaan kesihatan bayi di dalam kandungan.

Falsafah dipegang oleh golongan ini adalah mereka percaya dengan kelahiran semula jadi yang tidak menyakitkan dan menolak untuk menerima sebarang bantuan perubatan.

“Biasanya, mereka bermatlamat untuk tidak mahu mengambil sebarang ubat atau suntikan penahan sakit, pemantauan keadaan bayi di dalam kandungan ketika mahu melahirkan, tiada forseps, episiotomi atau vakum serta pembedahan.

“Memang ramai wanita berhasrat melahirkan anak tanpa menerima bantuan perubatan. Namun mereka akan menerima jika memerlukan.

“Ia sangat berbeza bagi wanita yang benar-benar mahu mengalami proses kelahiran semula jadi. Mereka memilih untuk menggunakan kaedah lain bagi melegakan kesakitan,” katanya.

Tambahnya, antara cara yang dilakukan untuk me­ngurangkan kesakitan adalah hidoterapi, urutan, bersantai, hipnosis, senaman atau mendengar muzik.

Kebaikan dan kelemahan kelahiran semula jadi

a. Kebaikan:

• Ia boleh memperkasakan dan memuaskan diri wanita itu sendiri jika kelahiran semula jadi yang dipilih berjaya. Kejayaan melahirkan anak diang­gap sebagai pencapaian membanggakan.

• Tiada kesan sampingan ubat-ubatan. Ia menjadikan wanita itu lebih peka dan terkawal.

• Secara tidak langsung, ia menggalakkan suami terbabit dalam proses kelahiran.


Kelemahan

• Kesakitan yang dialami boleh meletihkan individu itu jika mengalami tempoh yang panjang untuk melahirkan anak. Keletihan yang melampau boleh menyebabkan mereka tidak berupaya untuk meneran.

• Kawalan yang minimum terhadap bayi boleh meningkatkan pelbagai risiko kepada bayi.

• Menjadi bahaya jika ibu tidak mengendahkan atau melambatkan penerimaan alat bantuan perubatan jika diperlukan.

• Memerlukan orang lain seperti suami atau jurulatih kelahiran untuk memberi sokongan emosi.

• Kekecewaan atau berasa gagal apabila terpaksa menggunakan alat perubatan disebabkan ibu tidak mampu melahirkan bayi secara semula jadi.

• Jika berlaku komplikasi ketika kelahiran, bantuan mungkin lambat sampai terutama jika bersalin di rumah. Komplikasi kelahiran boleh berlaku tanpa diduga.


Dr Tan menasihati wanita yang mahu melalui proses kelahiran semula jadi supaya perlu menghadiri kelas berkaitan untuk mengetahui cara betul menguruskan kesakitan tanpa bantuan sebarang ubatan.

“Selain itu, sokongan padu daripada pasangan sangat diperlukan bagi mengelakkan wanita itu berasa putus asa hingga mengganggu kesihatan diri dan anak.

“Setiap wanita harus sentiasa bersedia jika ada perkara yang tidak dijangka berlaku kerana mereka perlu ingat banyak perkara boleh terjadi tanpa diduga,” kata­nya.

Tambahnya, kesakitan yang dialami ketika melahirkan bayi juga berbeza dengan wanita lain apatah lagi ia seperti menguji daya tahan seseorang itu.

Namun, perkara paling penting adalah kesihatan ibu dan bayi berbanding matlamat ketika melalui proses kelahiran.

Jangan terlalu mengharapkan kejayaan. Tidak salah untuk memasang impian melahirkan bayi secara semula jadi namun jangan menolak sebarang bentuk bantuan perubatan jika ia memang diperlukan.


Info:

Terdapat beberapa panduan menangani kesakitan dan mengurus proses kelahiran kepada wanita yang dikongsi pakar web di United Kingdom, babycenter.com. Antaranya:


• Dapatkan maklumat lanjut. Lebih banyak yang anda tahu membuatkan diri berasa lebih tenang.

• Bernafas dengan betul dan tenang semasa menghembus nafas.

• Dakap suami atau teman yang menemani ketika di dalam bilik bersalin.

• Minum sedikit air sambil menunggu antara kontraksi.

• Makan makanan yang kaya dengan karbohidrat apabila berasa lapar.

• Kipas diri untuk menyejukkan badan.

• Mengerang sebagai cara menghapuskan rasa malu kerana mengeluarkan bunyi menunjukkan kesakitan adalah cara terbaik melegakan sakit.

• Pegang tangan suami anda.

• Bayangkan bayi bergerak turun ke pelvis dengan setiap kontraksi.

• Bergurau dengan suami untuk melupakan sedikit kesakitan.

• Ciuman (daripada suami, ibu, kakak dan rakan anda).

• Dengar muzik untuk membantu diri berasa lebih tenang.

• Bergerak untuk membuat­kan anda selesa.

• Baring di atas longgokan bantal yang besar (boleh meminta pihak hospital menyediakan bantal atau bawa sendiri).

• Berfikir secara positif: ‘Setiap kontraksi membawa saya hampir kepada kelahiran bayi saya.’

• Bertanya kepada mereka yang mahir mengenai perkara yang kurang difahami. Takut akan membuatkan kesakitan menjadi lebih teruk.

• Menghembus nafas secara perlahan dengan setiap nafas.

• Percayalah dengan badan anda bahawa ia pandai melahirkan bayi.

• Fahami rawatan yang ditawarkan. Jika faham, anda boleh bekerjasama dan memudahkan keadaan.

• Kerap pergi ke tandas kerana pundi kencing yang penuh akan melambatkan kelahiran.

• Berjalan-jalan untuk melegakan lenguh dan sakit dan merangsang kontraksi.

• Cuba tidur dalam masa antara kontraksi.


Kelahiran cabar ketahanan wanita

Ibu hamil melalui proses kelahiran daripada peringkat pertama hingga keempat. Peringkat pertama paling lama dilalui dengan pengecutan rahim berlaku bagi menurunkan bayi ke dalam pelvik ibu untuk dilahirkan.

Pengecutan rahim berlaku beberapa ketika, sekali dan berulang-ulang hingga menjadi semakin kerap. Peringkat kedua apabila servik terbuka sepenuhnya dan bayi dilahirkan, berlaku kurang setengah jam.

Peringkat ketiga menyusuli kemudian sehingga uri dan tembuni yang akan keluar semuanya. Peringkat keempat bermula selepas selesai pe­­ngeluaran tembuni dan uri sehingga beberapa jam sebagai langkah berjaga-jaga.

Kadangkala komplikasi boleh berlaku semasa kelahiran dan memerlukan intervensi seperti penggunaan vakum, forsep atau pembedahan.


Kelahiran normal

Kelahiran normal paling kerap dilalui ibu. Bayi berkedudukan kepala tunduk ke bawah atau terdahulu keluar. Bentuk rahim ibu yang menyerupai buah pir terbalik memuatkan bayi dalam kandungan dengan kepala di bawah dan punggung di atas.

Kepala bayi adalah bahagian paling keras. Apabila kepala mendahului anggotanya yang lain, laluan faraj secara semula jadi memudahkan bahagian lain menyusuli kemudian.

Kepala yang kurang tunduk atau tegak perlu dibantu agar tunduk ketika dilahirkan. Ada pula kepala bayi mendongak ketika dilahirkan.

Kedudukan begini merumitkan proses kelahiran. Ada yang gagal dilahirkan melalui faraj ibu dan perlu dikeluarkan melalui pembedahan.


Kaedah forseps

Kelahiran menggunakan forseps dilaksanakan apabila proses peringkat kedua mengalami kelewatan tanpa mengira kedudukan bayi dalam rahim ibu.

Kelambatan mungkin disebabkan tiada kemajuan dan ibu keletihan. Peringkat kedua dalam proses kelahiran seharusnya tidak berlanjutan lebih daripada satu jam bagi ibu yang melahirkan anak sulung dan tidak lebih daripada setengah jam bagi ibu yang melahirkan anak kedua dan lebih.

Kaedah forsep juga dilakukan apabila bayi lemas, ibu menghidap lemah jantung, darah tinggi atau penyakit lain yang membahayakan peringkat kedua.

Doktor mungkin memberikan suntikan pelali setempat pada kemaluan. Episiotomi (menggunting bahagian perineum) dilakukan doktor untuk memudahkan prosedur kelahiran menggunakan forsep.

Doktor memastikan kedudukan forsep tepat, kemudian kedua-dua forsep dikunci. Forsep ditarik dengan perlahan sehingga kepala bayi keluar dari permukaan faraj ibu. Selepas itu proses kelahiran diselesaikan secara normal.


Kelahiran vakum

Penyedutan vakum digunakan sebagai pilihan kelahiran menggunakan forsep. Mangkuk vakum dilekatkan di atas kepala bayi dan sedutan dilakukan dengan alat penyedut khas.

Apabila mangkuk vakum diletakkan di atas kepala bayi, sedutan menyebabkan kulit kepala yang berada di dalam mangkuk vakum tersedut ke dalamnya.

Bahagian itu kelihatan seperti sang­gul orang tua selepas bayi dilahirkan dan hilang beberapa hari kemudian. Vakum diguna untuk membantu ibu melahirkan bayi terutama apabila ibu kurang bertenaga meneran bayi keluar.

Vakum diguna apabila penggunaan forsep merumitkan dan boleh digunakan sebelum servik atau pintu rahim sempurna terbuka. Kepala bayi mesti sudah sampai ke dalam pelvis ibu.


Pembedahan

Ada kala bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan yang dinamakan Caesarean. Kulit, tisu perut dan otot rahim dibedah sebelum bayi dikeluarkan. Kaedah yang kerap digunakan ialah pembedahan pada segmen di bawah pusat.

Antara sebab pembedahan ialah kedudukan bayi melintang atau menyerong, kepala bayi lebih besar daripada ukuran pelvis ibu­nya, ibu terlalu lemah untuk menjalani kelahiran meng­gunakan forsep atau kegagalan kaedah itu.

Pembedahan dirancang untuk ibu yang melahirkan bayi sulung pada peringkat usia lanjut atau kelahiran bayi yang sangat ‘berharga’ selepas beberapa tahun menunggu kedatangannya. Ia dipilih mengatasi kaedah kelahiran lain untuk memastikan bayi selamat.


Kaedah air

Bersalin dalam air masih belum begitu popular di negara ini berbanding di luar negara seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia.

Kaedah ini dikatakan dapat mengurangkan lebih 15 peratus kesakitan dan tekanan emosi ketika melahirkan bayi berbanding cara normal.

Pesakit tidak diberikan sebarang ubat tahan sakit dan air yang digunakan hanyalah air biasa saja tanpa sebarang campuran ubat atau bahan lain. Suhu air di dalam tab atau kolam pula mesti sama dengan suhu badan manusia iaitu 37 darjah Celsius dan paras air pada dada wanita hamil.

Doktor akan memeriksa tekanan jantung dan memantau pesakit serta kandungan, seterusnya menyambut kelahiran bayi apabila tiba masa.

Ibu yang ingin melahirkan akan berendam dalam air sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam sebelum bersalin tetapi ia bergantung keselesaannya.

Biasanya pesakit mula berendam dalam air apabila pintu rahimnya sudah terbuka antara empat hingga lima sentimeter - dengan posisi yang selesa sama ada mencangkung, berbaring atau terlentang.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/05

No comments:

Post a Comment