Thursday, May 29, 2014

Sistem pemilihan dan pelantikan Sultan Perak

Sistem pemilihan dan pelantikan Sultan Perak

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pemilihan dan perlantikan Raja bagi Negeri Perak dibuat oleh Dewan Negara.

Dipetik laman web rasmi Pejabat DYMM Sultan Perak, sistem yang diamalkan ialah menerusi kenaikan pangkat bakal Sultan dan tidak mengikut sistem turun menurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya. 

Berikut adalah petikan daripada laman web tersebut.

Raja Pemerintah

Pemilihan dan perlantikan Raja bagi Negeri Perak dibuat oleh Dewan Negara. Sistem yang diamalkan ialah menerusi kenaikan pangkat Bakal Sultan dan tidak mengikut sistem turun menurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya.

Mengikut undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak seseorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah hendaklah mempunyai zuriat yang diakui telah diperanakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh badan dan darah daging Sultan yang kelapan belas. Ianya hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun menurun sehingga yang akhir sekali. Undang-undang Tubuh tidak sekali membenar dan adalah diharamkan memilih dan melantik seseorang Raja Pemerintah selain daripada seorang zuriat daripada Sultan kelapan belas selagi ada hidup seorang zuriat seumpama itu daripada Sultan tersebut dengan syarat Raja Pemerintah itu tiada mempunyai sesuatu cacat yang besar dan berat yang kerananya ia tidak akan diluluskan oleh Hukum Syarak menjadi seorang Raja Pemerintah.

Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih Sultan yang kelapan belas, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang Raja Pemerintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih Sultan yang pertama. Walau bagaimanapun sekiranya tiada zuriat daripada benih Sultan yang Pertama yang difikirkan harus dipilih, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai Raja Pemerintah seseorang lelaki daripada zuriat Sultan yang kelapan belas yang daripada tanah (ibu). Apabila menimbangkan lantikan itu seorang anak perempuan Raja Pemerintah yang telah mangkat akhir sekali, dan jikalau sekiranya tiada seorang pun yang demikian itu, maka hendaklah diutamakan seorang lelaki atau cucu lelaki daripada seorang anak perempuan Raja Pemerintah yang mendahului Raja Pemerintah yang tersebut.

Jikalau sekiranya tiada seorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah, maka pilihan dan lantikan Raja Pemerintah hendaklah diserahkan kepada timbangan, hukuman dan keputusan Dewan Negara. Setelah Raja Pemerintah dimasyurkan, dua orang Bakal Sultan hendaklah dilantik oleh Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara. Dua gelaran yang dipegang oleh Bakal Sultan ialah Raja Muda dan Raja Di Hilir. Gelaran Raja Bendahara telah dihidupkan semula kepada gelaran biasa Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan tidak dengan gelaran Yang Amat Mulia Tuanku Raja Bendahara, Wakilus-Sultan Wazirul-Kabir.

Perlantikan Bakal Sultan adalah berasaskan syarat-syarat sebagaimana yang diwajibkan bagi seorang Raja Pemerintah. Sebelum melaksanakan haknya atau menjalankan tanggungjawabnya, bakal Sultan dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah yang ditetapkan oleh Dewan Negara. Sumpah itu mengandungi perkataan-perkataan yang mengikut perasaan orang yang dilantik. Kemudian barulah gelaran dianugerahkan mengikut adat Melayu.

Walau bagaimanapun sebelum seseorang dilantik menjadi Bakal Sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-raja Bergelar. Gelaran yang diberikan kepada Raja-raja Bergelar ialah Raja Kechil Besar, Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Bongsu, tetapi sekiranya berlaku di mana putera Raja-raja Pemerintah menaiki takhta Kerajaan setelah mangkatnya Raja Pemerintah ini adalah kerana putera itu memegang jawatan Bakal Sultan yang terkanan.

Pada kebiasanya Raja Muda akan dilantik menjadi Raja Pemerintah setelah mangkatnya Raja Pemerintah dan Raja Di Hilir akan mengambil tempat yang dikosongkan oleh Raja Muda dan tempat Raja Di Hilir pula diganti oleh Raja Bergelar Raja Kechil Besar dan seterusnya sehingga jawatan Raja Kechil Bongsu menjadi kosong. Pada lazimnya Raja Pemerintah yang baru akan mengurniakan gelaran Raja Kechil Bongsu kepada Putera sulong Baginda.

Walau bagaimanapun, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyatakan bahawa di dalam pemilihan Bakal Sultan, pertimbangan pertama hendaklah diberikan kepada calon yang paling dekat mengikut tertib susunan kedudukan Bakal Sultan dan kemudian barulah kepada tiap-tiap orang Raja-raja Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya sebelum menimbang seseorang daripada peringkat atau peringkat am daripada mereka harus dipilih menjadi Raja Pemerintah.

Dewan Negara

Dewan Negara, yang dianggotai oleh Bakal-bakal Sultan, seseorang wakil Raja-raja Bergelar, Menteri Besar, Orang Besar Empat, Orang Besar Delapan dan Mufti sebagai ahli-ahli rasmi dan sebelas orang tua dan seorang yang bukan Melayu sebagai ahli-ahli bukan rasmi, adalah ditubuhkan bagi membantu dan menasihatkan Raja Pemerintah dalam menjalankan tugas-tugas Baginda. Di antara tugas-tugas lain Dewan Negara ialah menasihatkan Raja Pemerintah di dalam perlantikan Bakal-bakal Sultan dan Raja-raja Bergelar.

Persidangan Dewan Negara hanya boleh bersidang apabila dititah oleh Raja Pemerintah dan Raja Pemerintah dengan kadar seberapa yang boleh, hendaklah berangkat menghadiri dan mempengerusikan persidangan itu. Sekiranya Baginda tidak berangkat hadir, maka Bakal Sultan yang kanan akan mempengerusikan persidangan itu atau Orang Besar Negeri yang terlebih kanan sekiranya tidak ada sesiapa Bakal Sultan yang hadir.

Tetapi sekiranya persidangan Dewan Negara itu akan membincang pemilihan dan perlantikan seseorang Raja Pemerintah atau pemerintahan seorang Raja Pemerintah, atau lantikan Jemaah Pemangku Raja atau apa-apa perkara lain yang bersangkut paut dengan tubuh badan Raja Pemerintah atau persidangan itu mengagap adalah berfaedah Baginda tidak bersama, maka tidaklah boleh Baginda berangkat hadir dan mempengerusikan persidangan itu. Begitulah juga dengan Bakal-bakal Sultan atau Raja-raja Yang Bergelar.

Orang Besar Negeri Perak

Dewan Negara, selain daripada menasihati Raja Pemerintah dalam perlantikan Bakal Sultan dan Raja-raja Bergelar, juga menasihatkan Raja Pemerintah dalam perlantikan Orang Besar Negeri yang turut membantu Raja Pemerintah dalam menjalankan tugas-tugas hariannya.

Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Raja Pemerintah adalah terdiri:-

Orang Besar Empat yang mempunyai gelaran-gelaran dan fungsi-fungsi tersendiri dan orang-orang lelaki yang lain dengan gelaran Toh Muda Orang Kaya Bendahara diberi.
Orang Besar Delapan yang mempunyai gelaran-gelaran dan fungsi-fungsi tersendiri dan orang-orang lelaki yang lain kecuali gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan dan Orang Kaya-Kaya Mahakurnia dengan syarat-syarat sebagaimana termaktub dalam Seksyen 38 (1) dan (2).
Orang Besar Enam Belas dan memegang gelaran-gelaran tertentu dangan syarat-syarat sebagaimana termaktub di dalam Seksyen 47(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan. Orang Besar Enam Belas yang dilantik hendaklah terdiri daripada orang lelaki yang berjasa kepada negeri.
Orang Besar Tiga Puluh Dua memegang gelaran-gelaran yang telah ditetapkan oleh Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara dan

Tertib kedudukan bagi Orang Besar kecuali Toh Muda hendaklah mengikut tertib kedudukan:-

Orang Besar Negeri mengikut taraf tetapi disyaratkan bahawa Toh Puan bagi Orang Besar Negeri itu hendaklah mengambil tingkat kedudukannya yang hampir di bawahnya.

Orang Besar Enam Belas

Toh Muda Orang Besar Negeri mengikut tertib kedudukan Orang Besar Negeri yang mengenainya. Gelaran-gelaran yang tiada ditentukan tertib kedudukan dalam bahagian ini mengikut tarikh lantikan bagi mana-mana gelaran yang demikian itu.
Selain daripada menjadi Ahli-ahli tetap Dewan Negara, Raja-raja Bergelar, Orang Besar Negeri, Orang Besar Enam Belas atau Toh Muda kepada Orang Besar Negeri, di atas nasihat Dewan Negara, Raja Pemerintah boleh melantik di antara mereka menjadi Orang-orang Besar Jajahan yang mempunyai fungsi-fungsi berikut:-
Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang harus diamanahkan kepadanya oleh Raja Pemerintah atau oleh Raja Pemerintah dalam Dewan Negara;
Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang diberikan kepada seseorang Orang Besar Jajahan oleh mana-mana undang-undang yang berjalan; dan
Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang harus diberikan kepadanya oleh mana-mana undang-undang yang berjalan kuatkuasanya pada masa hadapan dalam negeri ini.
Orang-orang Besar Jajahan yang dilantik bertanggungjawab kepada Raja Pemerintah dalam Dewan Negara menerusi Raja Di Hilir bagi kesempurnaan apa-apa tanggungan yang diamanahkan kepadanya dan bagi kegunaan yang betul apa-apa hak yang diberi kepadanya.

ORANG BESAR EMPAT

Y.A Bhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja
Y.A Bhg. Orang Kaya Besar Maharaja Di-Raja
Y.A Bhg. Orang Kaya Temenggong Paduka Raja
Y.A Bhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan

ORANG BESAR DELAPAN

Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa di-Raja
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Seri Panglima Bukit Gantang Seri Amar di-Raja
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Shahbandar Paduka Indera
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Setia Bijaya di-Raja
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Mahakurnia Indera di-Raja

ORANG BESAR ENAM BELAS

Y.D.H Toh Seri Maharaja Lela
Y.D.H Toh Paduka Indera
Y.D.H Toh Maharaja Dewa
Y.D.H Toh Maharaja Indera
Y.D.H Toh Shahbandar Ulu
Y.D.H Toh Tan Dewa Paduka
Y.D.H Toh Paduka Setia
Y.D.H Toh Sedewa Raja
Y.D.H Toh Paduka Raja
Y.D.H Toh Perdana Indera
Y.D.H Toh Indera Jaya
Y.D.H Toh Seri Bijaya
Y.D.H Toh Seri Lela Paduka
Y.D.H Toh Amar Seri di-Raja
Y.D.H Toh Raja di-Raja
Y.D.H Toh Seri Wangsa

TOH MUDA ORANG BESAR EMPAT

Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja di-Raja
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Temenggong Paduka Raja
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Menteri Paduka Tuan
Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja

TOH MUDA ORANG BESAR DELAPAN

Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Laksmana Raja Mahkota
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa di-Raja
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar di-Raja
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Shahbandar Paduka Indera
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Setia Bijaya di-Raja
Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Kaya Mahakurnia
Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan

ORANG BESAR TIGA PULUH DUA

Y.D.H Toh Tan Dewa Sakti
Y.D.H Toh Kamar Lela
Y.D.H Toh Seri Indera Lela
Y.D.H Toh Sakna Bongsu
Y.D.H Toh Tan Dewa Raja
Y.D.H Toh Rakna Sakti
Y.D.H Toh Purba di-Raja
Y.D.H Toh Jana Pahlawan
Y.D.H Toh Sa Indera Lela
Y.D.H Toh Bahagia Negara
Y.D.H Toh Amar Pahlawan
Y.D.H Toh Mangku di-Raja
Y.D.H Toh Dewa Mahkota
Y.D.H Toh Sakna Menteri
Y.D.H Toh Demang Perwira
Y.D.H Toh Indera Wangsa
Y.D.H Toh Mekong
Y.D.H Toh Lela Indera
Y.D.H Toh Mahkota Lela
Y.D.H Toh Amar Di Wangsa
Y.D.H Toh Pekerma Wati
Y.D.H Toh Johan Pahlawana
Y.D.H Toh Pendewa Sakti
Y.D.H Toh Kelana Perkasa
Y.D.H Toh Kelana di-Raja
Y.D.H Toh Kohor Alam
Y.D.H Sukar Di Lawan
Y.D.H Toh Pendekar Alam
Y.D.H Toh Bijaya Wati
Y.D.H Toh Puspa Wati
Y.D.H Toh Bahtera di-Raja
Y.D.H Toh Suri Wati

No comments:

Post a Comment