Thursday, June 12, 2014

Mayat Teoh dikebumi ikut cara Budd

Mayat Teoh dikebumi ikut cara Buddha

BERNAMA | .
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan wanita yang meninggal dunia dan didakwa mualaf Teoh Cheng Cheng atau nama Islamnya Nora Teoh Abdullah, 38, ialah seorang yang bukan beragama Islam.
  
Mahkamah turut membenarkan mayat Teoh diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha selepas wanita itu diisytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia.
  
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Zaim Md Yudin selepas mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).   
  
Dalam penghakimannya, Zaim berkata berdasarkan bukti yang dikemukakan kepada beliau, terdapat keraguan dalam borang permohonan kemasukan Islam si mati yang mengandungi tiga tarikh berbeza selain proses permohonan si mati tidak mengikut prosedur operasi standard Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).
  
"Terdapat keraguan dalam borang tersebut iaitu isu tarikh yang berbeza, ada tiga tarikh. Pertama, tarikh dalam buku daftar iaitu pada 10 Nov 1997, tarikh di muka surat pertama borang permohonan untuk masuk Islam pada 6 Dis 1997 dan tarikh akuan pihak si mati menandatangani borang itu pada 16 Dis 1997.  
  
"Plaintif tidak dapat memberi alasan yang konkrit tentang perkara ini. Mahkamah juga mendapati tarikh 10 Nov 1997 adalah selepas 10 hari si mati melahirkan anak sulungnya, jadi agak pelik si mati yang baru bersalin, hadir ke JAIPP untuk mendaftar masuk Islam.
  
"Dokumen yang dikemukakan plaintif juga tidak mempunyai tandatangan pegawai bertanggungjawab pada borang tersebut. Jadi, timbul keraguan sama ada mungkin berlaku kesilapan manusia semasa proses permohonan si mati atau memang tidak pernah berlaku perkara itu pada tarikh-tarikh tersebut," katanya.
  
Zaim berkata keputusan itu juga berdasarkan keterangan yang dikemukakan teman rapat keluarga serta anak sulung si mati yang menyatakan Teoh tidak mengamalkan cara hidup sebagai seorang yang beragama Islam.
  
Beliau berkata anak sulung si mati yang merupakan saksi keempat menyatakan kali terakhir mereka bersembahyang mengikut ajaran Buddha adalah pada bulan lepas sebelum kematian Teoh.  
Katanya tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan si mati pernah hadir ke JAIPP untuk mendalami agama Islam setelah proses permohonan untuk memeluk agama Islam.
  
Empat orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan iaitu dua saksi bagi pihak MAIPP iaitu wakil pendaftar mualaf dan dua saksi bagi pihak keluarga si mati iaitu teman rapat keluarga serta anak sulung si mati yang berusia 17 tahun.
  
Pihak keluarga diwakili peguam Wan Faridulhadi Mohd Yusoff manakala MAIPP diwakili peguam Noor Asyimah Ramli.
  
Teoh yang didakwa memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarganya, meninggal dunia pada Sabtu lepas, di Pangsapuri Pelangi, Lintang  Macallum dekat sini. - Bernama

No comments:

Post a Comment