Monday, October 13, 2014

Bangkit mempertahankan Kepimpinan Ulamak tanggungjawab kita

Posted on Friday, September 05 @ 22:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
 
oleh Roslan SMS



Posting terakhir saya “Jangan izinkan bahtera ini dibocorkan” ternyata mengundang minat beberapa kalangan. Saya tidak menulis fiksyen apa lagi dongeng, saya bukan penulis upahan yang menulis ikut selera Tuannya (banyak Tuannya bayar dia menjelir lidah sambil menggoyangkan deras ekornya, tapi bila tak bayar akan digigit tuannya sampai lumat), saya sekadar menitipkan realiti yang berlaku, sedang berlaku dan bakal berlaku jika kita tidak berhati-hati. Di masjid ketika mahu solat Jumaat tadi seorang Ketua PAS Cawangan mengucap tahniah atas posting saya itu dan bertegas menyatakan PAS harus terus berjuang atas matalamat “Islam”.

Saya percaya ramai ahli, penyokong dan mereka yang simpati pada PAS dan perjuangan Islam mahu PAS kekal berterajukan para ulamak dalam mendepani perjuangan Islam di Malaysia. PAS dengan kepimpinan ulamak yang menempatkan Majlis Syura Ulamak (yang terdiri dari cerdik pandai Islam yang paling berkelayakan) sebagai badannya yang tertinggi sesungguhnya disegani dan dihormati ramai, kerana ialah satu-satunya gerakan Islam yang masih kekal istiqomah dalam mahu membawa perlaksanaan Islam secara syumul dalam Negara.
Namun PAS bukanlah gerakan teokrasi atau sesuatu yang mirip Mullah Syiah di Iran.
PAS adalah parti politik yang berdaftar yang menerima siapa sahaja yang mendukung dan menyokong dasar perjuangannya. Jangankan para ulamak dan professional, yang tiada pendidikan tinggi, yang tiada pendidikan langsung, yang kaya, yang miskin, yang buta yang celik, semuanya boleh menjadi ahli dan penyokong PAS selagi mana ia berpegang kepada dasar dan matlamat perjuangannya. Malah yang bukan Islam, menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS pun boleh bersama kerana sayang dan cinta pada PAS.
PAS berbeza dari yang lan kerana ia meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya, dan dalam waktu yang sama menobatkan para ulamak sebagai teras kepimpinannya.
Jadi sebenarnya tidak ada ulamak dan professional dalam PAS, yang ada adalah mereka yang ikhlas (ulamak atau professional atau yang tidak ulamak dan tidak professional) mahu memperjuangkan Islam dan berpegang teguh kepada al Quran dan as Sunnah yakni rujukan tertinggi PAS. Oleh kerana rujukan tertinggi PAS adalah yang demikian, bukannya tulisan Smith, Marx atau Keynes atau Rousseau atau Shaw maka yang berada di baris hadapan yang memimpin dan memberi tafsir kepada PAS adalah para ulamak (dalam hal ini lebih tepat lagi Majlis Syura Ulamak), sesuatu yang diterima dan diiktiraf apabila kita duduk di bawah panji-panji PAS.
Kalau seseorang mendakwa diri menjadi ahli hatta pemimpin PAS sekalipun tetapi tidak dapat menerima apa lagi thiqah kepada Majlis Syura yakni kepimpinan ulamak, malah memandang pula mereka sebagai tidak mahir dan lekeh, jelas orang atau pemimpin inilah yang bermasalah. Dia samada telah terlalu besar kepala dan nafsunya atau lebih tepat lagi sudah tidak sesuai, tidak kena tempat untuk duduk di bawah panji-panji PAS.
Oleh itu tak perlulah terbit dengan imaginasi atau dongeng yang kononnya ada projek “Langgar Golongan Profesional” dalam PAS. Kemudian nak dilebih sedapkan lagi dipercik dan digumpalkan rempah-rempah kononnya mahu dekat dan duduk bersama Umno semata-mata untuk melahirkan kebimbangan, kemarahan dan mungkin kebencian ahli-ahli PAS pada golongan Ulamak.
Benar sekarang ini ada gerakan untuk menyatakan taat setia dan thiqah secara terang-terangan kepada Tuan Guru Presiden PAS dan Majlis Syura Ulamak PAS, kerana apa, kerana ahli-ahli semua peringkat mahu PAS terus kekal memperjuangkan Islam berteraskan kepimpinan ulamak. Mungkin ada individu, pihak atau puak merasakan lantaran gelombang ini diri dan puak mereka dilanggar, sedarlah, jika mereka merupakan dalang atau aral yang membocorkan bahtera jemaah atau punya agenda menjatuhkan kepimpinan Ulamak untuk menjadikan PAS lebih liberal, lebih moderat lebih pragmatis ikut suasana maka tidak kiralah samada mereka professional, ulamak, atau siapa sahaja, mereka memang wajar dilanggar dan ditunjukkan jalan keluar dari PAS.
Mengapa mahu dijolokkan fitnah kononnya institusi tertentu dalam PAS (sebut sahaja ulamak) mahu bawa keluar PAS dari Pakatan. Apakah matlamat menghamburkan fitnah demikian? Supaya ahli marah, supaya ahli berubah selera menyokong puak-puak seumpama mereka begitu?
Majlis Syura Ulamak telah menegaskan bahawa PAS kekal dalam Pakatan. Namun kerana PAS adalah rakan kongsi dalam Pakatan yang punya hak yang sama atas konsep konsesus bersama, maka sudah pasti dan tidak salah apabila PAS memberi tafsir akan satu-satu isu itu selari dengan dasar perjuangannya. Adakah apabila kita berbeza, maka dikata ada pihak mahu bawa PAS keluar Pakatan, begitu?
Takkanlah PAS hanya menjadi tukang angguk, mengiakan apa sahaja sedangkan, dasar yang didukungnya begitu besar dan berharga. Bukan professional malah bahlul kalau kita jadikan PAS begitu.
Ada yang punya keyakinan bahawa jika PAS kekal begini, maka ia tidak dapat menang besar. Kalau kerana berpegang pada Islam maka PAS didakwa akan kalah, biarlah, kerana Islam bagi kita yang ikhlas samada professional, ulamak atau apa sahaja lebih mahal dan berharga dari dunia dan segala isinya.
Bagi mereka yang menambatkan diri pada perjuangan Islam PAS ini, mereka insaf bahawa diri dan individu tidak penting dalam perjuangan ini. Yang penting adalah dasar dan matlamat perjuangan. Menang kita bukan atas kehebatan individu atau mana-mana kumpulan dan segmen, tetapi menang adalah atas dasar pertolongan Allah swt. PAS pernah menang besar dan pernah kalah, tetapi semuanya diterima dengan tenang malah jiwa yang besar kerana matlamat perjuangan adalah redha Allah swt.

Kalau dari ukuran moden dan logik akal atau kajian dan analisa bijak pandai mungkin kita yang berkata demikian akan dituduh akan dikira bodoh, tetapi renunglah kata-kata hikamh Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad ketika beliau Timbalan Presiden PAS hampir 50 tahun dahulu:
“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa,  mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya  lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada  diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”.
Dan saya meminjam tulisan YB Ustaz Idris Ahmad Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat:
“Jamaah tidak boleh bergerak seandainya tidak ada semangat ikhlas di kalangan anggota dan pimpinan. Semangat ikhlas inilah yang berjaya dilahirkan dalam tarbiah Pas sehingga mereka berjuang bukan kerana individu tetapi kerana Islam dan jamaah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Pas telah berjaya menanamkan kefahaman Islam sehingga melahirkan ahli yang ikhlas kepada Allah SWT dalam perjuangan. Inilah kejayaan tarbiah yang dianjurkan oleh Pas. Tidak hairanlah kepada kita beberapa orang pemimpin tertinggi  Pas yang telah mengkhianat perjuangan namun ahli Pas tidak pernah mundur walaupun setapak, malahan ini dianggap sebahagian daripada tarbiah untuk melihat sejauhmanakah mereka yang telah tahan diuji semasa dalam perjuangan.”
Kesimpulannya marilah kita bersama-sama memastikan satu-satunya gerakan Islam di Malaysia ini iaitu PAS kekal relevan bertunjangkan kepimpinan ulamak yang sama-sama kita hormati dan segani. Biarlah kita ikhlas walau kelihatan tidak bijak pada mata mereka yang jahil, tetapi di sisi Allah swt kita dilihat ikhlas dan terus diberkati.
Kita akan berdiri ikhlas mempertahankan Tuan Guru Presiden PAS, Majlis Syura Ulamak PAS, dasar dan matlamat perjuangan PAS samada kita menang atau syahid.


No comments:

Post a Comment