KEBANGKITAN serentak Melaka dan Samudera-Pasai pada pertengahan abad ke-13M telah memberikan dampak yang besar kepada perkembangan Islam di Nusantara. Seperti mana Samudera-Pasai yang telah berjaya menjadi pusat gerakan dakwah terbesar di Nusantara, Melaka pula muncul sebagai pusat kebangkitan politik dan ekonomi Islam di Nusantara. Politik dan ekonomi adalah tunjang utama dalam pengembangan dakwah di Alam Melayu. Gabungan kekuatan empayar politik dan pusat perdagangan Melaka dengan pusat dakwah dan gerakan ulamak di Samudera-Pasai telah menghasilkan natijah yang besar kepada Islam. Kedudukan Melaka yang mempunyai hubungan rapat dengan Samudera-Pasai, termasuk hubungan kekeluargaan, kerana kedua-duanya mewarisi Kerajaan Perlak, telah membolehkan Islam menjadi agama yang besar dan berpengaruh dalam tempoh 250 tahun setelah kewujudan kedua-dua kerajaan ini.
Salah satu aspek penting dalam melihat peranan Melaka di Nusantara ialah peng-Islaman kerajaan ini sendiri. Banyak pengkaji mengatakan Samudera-Pasai dan Rajanya telah Islam sebelum mereka bangkit sebagai kuasa politik dan pusat dakwah, tetapi semua pengkaji sepakat bahawa Melaka mewarisi Kerajaan Hindu-Buddha dari Palembang, iaitu tempat runtuhan Kerajaan Buddha Sriwijaya, yang telah ditakluki oleh Kerajaan Hindu Dharmasyah dan Majapahit sejak akhir abad ke-12M. Sekiranya proses meng-Islamkan Melaka gagal, ia akan menjadi gabungan Kerajaan Majapahit dalam meluaskan pengaruh Hindu. Di sinilah letaknya kepentingan peng-Islaman Melaka dalam konteks penyebaran dakwah. Maka proses peng-Islaman Raja Melaka, diikuti oleh peng-Islaman kerajaannya menjadi titik yang penting dalam sejarah Alam Melayu. Memahami proses peng-Islaman Melaka akan turut membantu kita memahami bagaimana Islam berkembang di peringkat awal di Kedah, Kelantan, Terengganu, Jawaka dan Champa di Utara, selain Gerisik di Jawa pada dua abad pertama alaf kedua.
Peng-Islaman Melaka
Peng-Islaman Melaka merupakan titik yang sangat penting dalam sejarah Nusantara kerana di sinilah bermula kebangkitan besar-besaran Islam yang menyebabkan Islam tersebar dengan cepat di seluruh rantau Asia Tenggara. Namun begitu, sebagaimana tradisi di Alam Melayu, peng-Islaman negeri adalah bermula dengan Islamnya Raja, kemudian diikuti oleh rakyatnya. Maka dalam konteks Melaka, hal yang demikian itu juga berlaku. Peng-Islaman Raja Melaka, Seri Paduka Maharaja Parameswara yang dikatakan berlaku pada tahun ke-14 beliau bertakhta di Melaka, mempunyai beberapa teori berdasaran catatan konik Melayu seperti Sejarah Melayu (Silalatus Salatin), Hikayat Raja-raja Pasai dan sebagainya. Sekurang-kurangnya ada lima teori yang disebut oleh para pengkaji berdasarkan sumber-sumber tersebut. Lima teori tersebut ialah:
● Kekaguman Parameswara terhadap amalan solat berjemaah
Kisah kekaguman Parameswara ini bermula ketika baginda melihat perlakuan pedagang Islam dari pelbagai bangsa - Arab, Cina, India dan lain-lain - telah solat berjemaah. Selepas solat bersama mereka bersalaman, bermesra dan berpelukan walaupun berlainan bangsa dan tidak saling mengenali, sehingga menimbulkan kekaguman Parameswara mengenai akhlak dan persaudaraan mereka. Ini mendorong Parameswara bertanya syahbandar, apakah para pedagang yang berlainan bangsa itu telah lama kenal, amalan apa yang mereka kerjakan, siapa Tuhan mereka dan apakah agama mereka? Setelah mendapat penjelasan mengenai hal tersebut dan juga mengenai akhlak orang Islam dalam perniagaan, Parameswara telah memerintahkan supaya ketua orang Islam dibawa Istana, lalu baginda pun memeluk Islam.
● Perkahwinan Parameswara dengan Puteri Perlak
Ada riwayat mengatakan bahawa Raja Melaka telah dikahwinkan oleh Sultan Perlak, Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mohammad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M) dengan anakanda baginda, Puteri Ratna. Kerana perkahwinan ini, Parameswara memeluk Islam. Ini bererti Parameswara ada biras kepada Meurah Silu (Malik as-Saleh) (1267-1297M), pengasas Kesultanan Samudera-Pasai, kerana Meurah Silu menikahi saudari kandung Puteri Ratna, iaitu Puteri Ganggang Sari (Puteri Raihani). Maka perkahwinan politico-dakwah ini boleh dianggap punca peng-Islaman Raja Melaka.
● Mimpi Parameswara bertemu Rasulullah S.A.W
Parameswara (Sejarah Melayu mengatakan Raja Kechil Besar atau Sultan Mahkota) diriwayatkan telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan diajak oleh Nabi S.A.W untuk memeluk Islam, lalu baginda memeluk Islam dalam mimpinya itu. Setelah terjaga dari mimpi, baginda mendapati dirinya telah dikhitankan. Setelah itu, baginda menemui Makhdum Syed Abdul Aziz, seorang ulamak dari Jeddah untuk mempelajari dan mendalami Islam.
● Peng-Islaman oleh pendakwah dari Jeddah
Seorang ulamak Arab dari Jeddah, Makhdum Syed Abdul Aziz dikatakan bertanggungjawab meng-Islamkan Melaka, sekali gus mengembangkan agama Allah ini kepada rakyat Melaka. Beliau dikatakan meng-Islamkan Parameswara, dan selepas Raja Kechil Besar memeluk Islam di dalam mimpinya, dengan makhdum ini juga baginda mendalami agama Islam. Makhdum Syed Abdul Aziz disebut sesetengah pengkaji, selepas meng-Islamkan Melaka terus berdakwah di Mindanao, sedangkan selepas peninggalannya, anak beliau Makhdum Maulana Yusof dan cucunya Makhdum Maulana Munawar telah menjadi Qadhi Negeri Melaka. Melaka dalam hampir semua riwayat disebutkan di-Islamkan oleh Makhdum Syed Abdul Aziz dari Jeddah.
● Dakwah Laksamana Cheng Ho
Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam telah melawat Melaka dan Pasai pada awal abad ke-15M, kemudian telah bertemu dengan Parameswara. Parameswara yang terancam dengan serangan Siam telah meminta bantuan Dinasti Ming dari China. Ketika kedatangan kedua Cheng Ho ke Melaka, beliau telah memaklumkan kepada Parameswara bahawa Raja China telah memperkenankan permintaan Melaka dan hal tersebut telah disampaikan kepada Siam supaya tidak mengganggu Melaka. Rombongan Cheng Ho turut disertai ratusan anak kapal yang kebanyakkannya beragama Islam. Di sini berlaku pergaulan dan perkahwinan yang menyebabkan Islam tersebar. Kerana menghargai jasa Cheng Ho dan kemahuan Parameswara untuk lebih rapat dengan China, baginda juga turut memeluk Islam.
Beberapa persoalan yang masih dipertanyakan
Beberapa perbahasan yang dikemukakan sebelum ini telah merungkaikan mengenai tarikh penubuhan Kerajaan Melaka. Penerimaan tahun 1262M (660H) sebagai tahun penubuhan Kerajaan Melaka, bukan sahaja menolak semua tarikh yang lain, tetapi disokong pula oleh teori perkahwinan Parameswara sebagai Raja Melaka dengan Puteri Perlak yang berlaku dalam tahun 1260-anM. Perkahwinan membuktikan bahawa teori baru mengenai penubuhan Melaka adalah lebih tepat. Berkait dengan cara kemasukan Islam pula, daripada pelbagai teori yang dikemukakan di sini, dapat dirumuskan bahawa Islam telah masuk ke Melaka selepas beberapa tahun Kerajaan dibentuk. Ketika Melaka dan Samudera-Pasai baru ditubuhkan, Kerajaan Perlak telah pun menjadi pusat perkembangan dakwah yang awal. Sultan Perlak mengambil langkah politico-dakwah dengan mengahwin puteri-puteri baginda dengan Raja Melaka dan Samudera-Pasai. Jika teori ini diterima, dipercayai Parameswara memeluk Islam sebelum 1267M. Adapun teori-teori mengenai mimpi, kekaguman kepada amalan solat berjemaah dan kedatangan Makhdum Syed Abdul Aziz dari Jeddah tidak menjejaskan teori perkahwinan ini. Bahkan, diketahui umum bahawa Perlak adalah pusat tumpuan pedagang dan pendakwah Arab, maka boleh jadi sahaja Makhdum Syed Abdul Aziz sebelum ini berdakwah di Perlak, kemudian diperintah mengembangkan dakwah di Melaka setelah Parameswara memeluk Islam.
Kecuali teori Cheng Ho yang hampir tertolak sebagai peng-Islam Parameswara kerana Cheng Ho diketahui datang ke Melaka antara 1405-1412M, iaitu ketika zaman Sultan Mansur Shah (1373-1446M), bukan zaman Parameswara (1262-1282M). Islam telah berkembang pesat ketika ini dan susah menjadi agama negara. Akan tetapi peranan rombongan Cheng Ho dalam meluaskan dakwah Islam tetap validuntuk diterima, kerana saat itu dakwah masih berjalan dan sedang rancak berkembang. Tinggal lagi persoalan ketiga, siapakah sebenarnya yang pertama memeluk Islam. Adakah Parameswara atau Raja Kechil Besar atau Megat Iskandar? Sejarah Melayu mengisahkan peng-Islaman Raja Kechil Besar (1282-1284M), sedangkan Ma Huan, seorang pencatat China mengatakan seorang Raja tua, Megat Iskandar Shah yang di-Islamkan. Manakala riwayat dari Pasai mengatakan Parameswara yang memeluk Islam melalui perkahwinan. Pendapat lain pula mengatakan bahawa yang mengahwini Puteri Ratna itu ialah putera Parameswara, Megat Iskandar Shah. Kerana itu, sesetengah sarjana telah menyimpulkan bahawa ketika berusia tua, Parameswara telah berkahwin dengan Puteri Perlak dan memeluk Islam, lalu menukar namanya kepada Megat Iskandar Shah atau Raja Seri Iskandar Shah, dan memerintah sehingga 1282M.
Melaka menjadi Kerajaan Islam
Setelah Raja-raja Melaka memeluk Islam bermula dari Parameswara hingga Sultan Abu Syahid, perkembangan Islam terus berlaku dengan pesat, di mana rakyat mulai menerima Islam dan belajar hukum-hukum agama yang baru dianuti ini. Ulamak-ulamak Arab dan Samudera-Pasai telah datang ke Melaka. Para ulamak dan pendakwah ini mengambil kesempatan ini untuk berdakwah dan mengajarkan ilmu-ilmu Islam meliputi aqidah, syariat dan akhlak kepada Sultan dan rakyat. Dikatakan pada zaman Sultan Abu Syahid (1341-1343M), amalan-amalan Hindu masih banyak diamalkan walaupun mereka telah beragama Islam. Para ulamak berusaha meluaskan kefahaman kepada pemerintah dan masyarakat, seperti yang digambarkan oleh Sejarah Melayu, “Maka segala Orang Besar-besar semuanya masuk Islam; sekalian isi negeri lelaki perempuan, tua muda, kecil besar; sekalian masuk Islam dititahkan baginda. Maka Raja pun bergurulah pada Makhdum akan tertib sembahyang.”
Setelah kedudukan Islam mulai kukuh dan kefahaman Islam sudah berkembang baik, Sultan Muzaffar Shah (1343-1373M), telah mengisytiharkan Islam menjadi agama rasmi bagi Kerajaan Melaka dan sejak dari itu, Melaka telah bertukar daripada Negeri Hindu kepada Daulah Islam. Sebagai dasar negara, Islam telah dijadikan asas pemerintahan dengan para ulamak menjadi pendamping utama Sultan-sultan, selain para pembesar. Jawatan Qadhi diwujudkan, manakaka para makhdum terus mengajar agama kepada Raja, pembesar dan rakyat. Undang-undang dan peraturan dalam Negeri Melaka mulai menurut kehendak Hukum Islam dan gerakan dakwah diperhebatkan sehingga kedudukan Negeri Melaka dapat mengatasi Kerajaan Samudera-Pasai, bahkan memberikan saingan kepada Majapahit di Jawa. Pada zaman Sultan Mansur Shah (1373-1446M), Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka telah digubal dengan Islam menjadi terasnya. Pengaruh Islam ke atas kedua-dua undang-undang ini amat ketara sehingga ia boleh dianggap teks undang-undang yang terawal di Nusantara. Sultan Alaiddin Riayat Shah (1446-1479M) pula disebutkan telah mengambil pendekatan Khalifah Umar al-Khattab (m. 644M) dalam menyelami masalah rakyat. Sejak Melaka menjadikan Islam sebagai agama negara, Islam telah mencapai kemajuan pesat dan berkembang ke seluruh Nusantara.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
24 Syawal 1439 / 8 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 9/7/2018
Pusat Penyelidikan PAS
24 Syawal 1439 / 8 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 9/7/2018
No comments:
Post a Comment