Monday, August 30, 2021

Fiqh Aulawiyyat: Mengutamakan serangan pemikiran

 🔰FIQH AULAWIYYAT | MENGUTAMAKAN SERANGAN PEMIKIRAN🔰


📌 Bagi melakukan perubahan, satu perkara yang perlu diberikan perhatian adalah mengutamakan setiap perkara yang berkaitan dengan pembinaan corak pemikiran. Selain itu, memperbetulkan gambaran dan prinsip dalam pemerhatian dan pekerjaan. Semua itu adalah asas yang kuat untuk setiap perubahan yang diharapkan. Ini kerana, sesuatu yang tidak masuk akal apabila pekerjaan sempurna mengikut prinsip yang benar, tetapi pemikiran pula tidak benar. Seorang penyair berkata:


Adakah bayang-bayang menjadi lurus sekiranya tongkatnya bengkok?


📌 Baik ataupun buruk tindakan dan tingkah laku seseorang itu adalah kesan daripada baik ataupun buruk gambaran mereka terhadap sesuatu perkara. Oleh itu, perang pemikiran bagi memperbetulkan pemikiran yang tersasar dan kefahaman yang salah perlu diutamakan berbanding dengan perkara lain. Perkara ini adalah satu bahagian besar dalam jihad menggunakan al-Quran. Surah Al-Furqan, iaitu surah makkiyah ada menjelaskan perkara ini. Ia juga sebahagian daripada jihad melalui lisan dan penjelasan. Sebuah hadith menyebut, 


"Berjihadlah kamu menentang orang Musyrik dengan harta, jiwa raga, dan lisan kamu."


🔅Perang pemikiran dalam lapangan Islam 🔅


Perang pemikiran mempunyai beberapa medan asas:


◾️Pertama, luar daripada lapangan Islam. Medan ini adalah perang pemikiran dengan golongan Ateis, Kristian, dan Orientalis yang sentiasa menyerang agama Islam. Mereka melakukan serangan pada akidah dan syariat Islam. Serangan mereka juga terarah kepada ilmu warisan dan tamadun umat Islam. Mereka juga melakukan serangan ke atas setiap kebangkitan yang berasaskan Islam.


◾️Kedua, dalam lapangan Islam itu sendiri. Perang pemikiran seperti ini bagi memperbetulkan sudut pandang dalam amalan agama Islam. Perjalanan amalan itu juga perlu dipandu mengikut manhaj yang benar. Begitu juga gerakannya perlu diluruskan supaya bergerak atas jalan yang lurus, menuju sasaran yang tepat. Perbincangan kita berkisar pada medan yang kedua ini. Ini kerana, perubahan dalaman itu adalah asas dan perlu diutamakan.


Tidak diragui lagi, umat Islam mempunyai aliran pemikiran yang pelbagai. Antaranya:


⚡️Aliran pemikiran khurafat


Aliran bersifat khurafat ini mempunyai asas dan ciri-ciri tersendiri, antaranya:


•      Khurafat dalam akidah

•      Mereka-reka dalam amal ibadat

•      Pemikiran yang sempit

•     Taqlid semata-mata dalam bidang fiqh

•     Tingkah laku yang negatif

•      Patuh dan suka mengampu dalam bidang politik


⚡️Aliran literal


Terdapat juga aliran pemikiran literal. Mereka memahami agama secara zahir dalil sahaja. Aliran seperti ini tegas dalam mempertahankan agama. Namun, aliran ini juga mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dapat dilihat pada pengikutnya. Antaranya:


• Perbalahan dalam akidah

• Ibadah semata-mata pada gambaran luaran

• Memahami fiqh secara zahir sahaja

• Hanya mengambil perhatian pada sesetengah perkara

• Rohani yang lemah

• Keras dalam berdakwah

• Fikiran sempit dalam perselisihan pendapat


⚡️ Aliran penentang dan kekerasan


Terdapat juga aliran yang menolak kehidupan bermasyarakat dan semua organisasi yang ada. Kebanyakan pengikut aliran ini bersemangat dan ikhlas dalam perjuangan. Ciri-ciri yang ada pada pengikut aliran ini, antaranya:


•     Tegas dan kuat berpegang pada agama

•     Merasa kemuliaan diri sendiri sehingga mengangkat diri lebih tinggi kedudukannya berbanding dengan masyarakat lain Bersangka buruk terhadap orang lain

•     Kefahaman sempit dalam memahami agama, realiti kehidupan, serta prinsip alam dan masyarakat

•     Gopoh dalam membuat sesuatu perkara sebelum tiba waktunya

•     Mudah mengkafirkan orang lain

•     Menggunakan kekuatan sebagai cara bagi mencapai matlamat


⚡️Aliran sederhana dan tanggungjawab mereka


Terdapat juga aliran yang bersifat sederhana. Aliran pemikiran ini berasaskan kepada pertimbangan yang baik. Mereka juga memahami agama, kehidupan, serta usaha meninggikan agama dengan sederhana dan tepat. Aliran ini juga mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Aliran ini turut memberi tumpuan bagi menzahirkan ciri-ciri berikut:


• Memahami agama secara menyeluruh, pertimbangan yang baik dan teliti

• Memahami realiti kehidupan dengan tidak memandang remeh dan tidak menakutkan. Mereka memahami realiti umat Islam dan realiti pihak musuh

• Memahami peraturan dan undang-undang Allah s.w.t. yang tidak berubah. Lebih-lebih lagi peraturan yang melibatkan masyarakat

• Memahami tujuan utama syariat dan tidak berfikiran sempit pada zahirnya sahaja

• Memahami keutamaan yang perlu diutamakan. Perkara ini berkaitan dengan memahami pertimbangan yang tepat

• Memahami adab-adab berselisih pendapat. Mereka juga memahami perincian dalam agama Islam, seterusnya bekerjasama melakukan apa yang disepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang diselisihkan

• Menghimpunkan fahaman ulama terdahulu dengan ulama semasa. Mereka menggabungkan antara fahaman asas dan semasa Mempertimbangkan antara perkara yang sudah tetap dalam syarak dan perubahan semasa

• Mempercayai, perubahan fikiran, diri, dan akhlak adalah asas kepada perubahan tamadun

• Mempersembahkan Islam sebagai asas perancangan tamadun yang lengkap bagi membangunkan umat. Cara ini juga bertujuan membebaskan umat daripada falsafah material pada zaman ini

•  Menggunakan prinsip mempermudahkan dalam mengeluarkan fatwa dan menyebarkan dakwah

•  Menzahirkan nilai masyarakat dan politik dalam Islam. Contohnya, kebebasan, saling memuliakan, syura, adil dalam masyarakat, dan hak-hak individu

• Perbahasan yang baik dengan pihak lain, iaitu pihak bertentangan yang terdiri daripada orang bukan Islam. Perbincangan juga dilakukan dengan pihak bertentangan daripada kalangan umat Islam sendiri, iaitu orang yang pemikirannya diserang dan mempunyai rohani yang lemah.

• Menjadikan jihad sebagai cara mempertahankan maruah umat Islam dan negara Islam


Ini adalah aliran yang kita percayai. Kita mengajak umat untuk bernaung di bawah aliran ini. Aliran ini adalah aliran yang mempersembahkan Islam yang sebenarnya. Agama Islam yang sama seperti yang Allah s.w.t. turunkan dalam Al-Quran. Agama yang Rasulullah s.a.w. seru dalam hadis dan perjalanan hidup Baginda. Agama yang difahami dan diamalkan oleh para sahabat dan generasi tabi'in. Mereka adalah generasi terbaik untuk umat.


#Harakahsiswa

No comments:

Post a Comment