Sunday, September 12, 2021

Aids Haraki

 AIDS HARAKI.


Buku Ihzaru al-Aids al-Haraki yang bermaksud Berwaspadalah Dengan Penyakit Aids Haraki adalah kritikan tajam Ustaz Fathi Yakan terhadap kepincangan yang berlaku dalam gerakan Islam. Ia adalah hasil pemerhatian & pengalaman beliau sendiri yang bergelumang penuh dalam dunia da'wah & politik.


Aids merupakan penyakit yang diperolehi dari cara hidup yang suka bersedap-sedapan. Lalu menyebabkan penghidapnya hilang daya tahan & akhirnya mati sendiri secara perlahan-lahan. Ustaz Fathi Yakan memilih istilah penyakit yang mereputkan itu sebagai bandingan bagi masalah jati diri yang dialami oleh sesebuah gerakan Islam.


⚫ Jati Diri.


Masalah yang paling awal dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah, kondisi jati diri sesebuah gerakan Islam yang tidak cukup kukuh. Ia tidak didirikan di atas asas pemikiran & prinsip yang konkrit serta hala tuju yang jelas.


Sebaliknya ia banyak dibentuk dari sikap fanatik terhadap ketokohan tertentu, atau kepentingan material yang kelak menjadi perebutan antara satu sama lain. Dari gejala tersebut menyebabkan asas kebersamaan dalam sesebuah gerakan menjadi sangat rapuh.


⚫ Mementingkan Kuantiti Lebih Dari Kualiti.


Barangkali terkesan dengan corak sistem demokrasi yang menuntut bilangan angka pengundi, gerakan Islam semakin lama semakin lupa soal kualiti yang perlu dibentuk. Sedangkan jika difikirkan secara mendalam, dengan hanya memiliki ahli yang ramai tetapi tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta tidak berupaya menjadi juru bicara yang berkesan, menyebabkan angka yang ramai itu hakikatnya tetap belum cukup signifikan.


Maka sebenarnya nas-nas yang menekankan soal kualiti itu tetap relevan, walaupun dalam konteks persaingan demokrasi. Dalam persoalan ini, Ustaz Fathi Yakan mengingatkan akan sirah para sahabat yang merasa terlebih yakin dengan ramainya bilangan tentera Islam.


Apabila merasa ramai, menyebabkan terbit rasa angkuh & keluarlah cakap-cakap besar yang sekaligus merapuhkan nilai kebergantungan dengan Allah. Dalam kondisi ketika gerakan Islam memiliki ahli yang terlalu ramai tetapi tidak diterapkan kesedaran yang kritis, menyebabkan kelak pengaruh yang besar itu boleh dipergunakan oleh pihak lain. Hal seumpama ini telah berlaku di negara-negara Arab.


⚫ Tergadai Oleh Pihak Luar.


Sikap sambil lewa mendedahkan diri menerima tawaran dari pihak luar adalah kesilapan yang banyak menghancurkan kredibiliti sesebuah gerakan Islam. Tawaran seperti peluang posisi politik, suapan kewangan atau jaminan perlindungan akan mengakibatkan sesebuah gerakan Islam itu akan mampu dikawal oleh pihak yang menajanya. 


Implikasi dari gejala suka mengambil kesenangan bersifat jangka masa pendek itu, gerakan Islam akan hilang nilai kemandiriannya lantas berada di bawah pengaruh pihak asing. Ustaz Fathi Yakan mengingatkan mentaliti 'orang bagi kita ambil' ini sebagai faktor bagaimana gerakan Islam akhirnya secara tanpa sedar, menjadi proksi bagi pihak yang telah lama membiayai mereka secara lunak. 


Beliau turut mengingatkan berapa banyak gerakan Islam yang hilang nilai kerana berjaya dibeli dengan wang kertas & bantuan persenjataan. Begitu juga beliau mengingatkan ancaman dari badan-badan perisikan yang sentiasa cuba merosakkan gerakan Islam. 


Mereka akan menganalisa titik-titik kelemahan yang ada pada sesebuah gerakan Islam. Kemudian mereka menawarkan dukungan & akhirnya ia mereka akan hancurkan hingga lebur.


Dari peluang-peluang yang disebutkan di atas, sudah pasti akan memunculkan krisis & konflik atas faktor perebutan. Pada masa sama, kelompok yang cuba mencegah perangkap tersebut akan dimangsakan. Ketika itu yang berlegar dalam cakap-cakap sesama ahli gerakan Islam adalah sekitar topik-topik kepentingan politik semata-mata.


⚫ Ancaman Perisikan Luar.


Seringkali campur tangan pihak luar itulah yang menjadi punca lahirnya perpecahan. Kadang-kadang jika dinilai kembali, punca perpecahan pun seakan tidak jelas. Ia sesuai dengan sifatnya sebagai propaganda adu domba yang datang dari perencanaan pihak luar.


Bahkan mereka boleh sahaja mencipta kelompok-kelompok tertentu d


i dalam sesebuah gerakan Islam. Sama ada penggeraknya dalam kalangan mereka, atau ahli-ahli gerakan Islam didorong secara lunak hasil manipulasi emosi berdasarkan kajian psikologi mereka.


Malangnya kesedaran terhadap topik-topik seperti ini semakin dijauhkan dari wacana gerakan Islam. Malah jika ditimbulkan, akan dianggap sebagai paranoid. Secara logiknya, eskapisme seumpama ini tidak berlaku dengan sendirinya melainkan ada pencatur yang mencorak kelalaian tersebut.


Penulis buku Soldier of Reason menyatakan hasil dari kajian Rand Corporation terhadap corak kumpulan-kumpulan & parti-parti politik, mereka merumuskan bahawa hakikatnya semua pihak hanyalah menginginkan keuntungan peribadi sahaja. Gagasan, ideologi & slogan hanya sekadar bahan kempen untuk mendapatkan kepentingan peribadi masing-masing. Senario sedemikian selari dengan kritikan Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya, Apa Erti Saya Menganut Islam.


Disebabkan itu, badan-badan perisikan gemar memancing dana untuk menguasai sesebuah gerakan. William Blum dalam bukunya bertajuk Rogue State menceritakan bagaimana badan perisikan AS membiayai Islamis yang tidak terdedah dengan kesedaran berkenaan ancaman intelligent. Selepas mereka dibiayai, mereka pasti akan dihancurkan.


Hal yang sama telah ditunjukkan dalam sejarah peranan Ali Moertopo. Beliau terkenal dengan strategi 'pancing & jaring', iaitu menawarkan pembiayaan & posisi kepada kumpulan-kumpulan Islam. Setelah mangsanya diberi perasaan 'menang', ketika itulah rentapan yang menghancurkan berlaku.


Setakat tinjauan sejarah gerakan Islam, tidak pernah didapati sikap oportunis 'orang bagi kita ambil' ini menghasilkan kekuatan bersifat jangka masa panjang buat gerakan Islam. Melainkan ia akan menatijahkan implikasi-implikasi yang buruk.


⚫ Gopoh Ingin Mendapatkan Kuasa.


Ustaz Fathi Yakan menyatakan bahawa sikap tergesa-gesa ingin mendapatkan kemenangan tanpa diimbangi dengan persediaan yang mencukupi, akan memberi kesan kepada kredibiliti sesebuah gerakan Islam.


Sebahagian dari gerakan Islam juga ditimpa bencana apabila terlibat dalam operasi-operasi subversif terhadap kerajaan, lalu menjadi alasan untuk ia diharamkan. Perkara seumpama ini banyak berlakundi negara-negara Arab.


Kegopohan-kegopohan seumpama ini, merosakkan reputasi gerakan Islam di mata umat & rakyat. Mungkin jarang diperbahaskan apakah implikasi sekiranya gerakan Islam hanya menang meraih kuasa, tetapi umat tidak mempercayainya & tidak mendukung atas dasar kefahaman yang tulen.


⚫ Tidak Kritis Melihat Senario.


Ustaz Fathi Yakan mengingatkan bahawa lemah atau tiadanya kesedaran politik yang hakiki menyebabkan sesebuah gerakan itu akan rapuh. Kesedaran politik di sini bukan bermaksud sekadar mampu berbual secara kedai kopi seputar isu-isu politik.


Sebaliknya yang dimaksudkan adalah, tidak mampu menganalisa & membuat jangkaan-jangkaan yang realistik di sebalik senario politik yang berlaku. Masalah ini semakin membarah jika budaya berfikir, bertanya & berdialog itu dipandang negatif.


Barangkali tabiat ahli gerakan Islam yang lebih selesa hidup dalam kelompok sendiri, menyebabkan berlakunya kesan echo chamber dalam paradigma mereka. Sekaligus menjauhkan mereka dengan realiti yang sebenar.


⚫ Refleksi.


Dalam buku Aids Haraki, Ustaz Fathi Yakan merumuskan betapa gerakan Islam perlu secara jujur benar-benar serius dengan Islam. Mewarisi ilmu, hujah, sikap, kefahaman & amalan selari dengan orientasi perjuangan yang telah digariskan oleh Islam.


Sebenarnya sangat banyak tulisan dari tokoh gerakan Islam, yang mengkritik kelemahan bersifat dalaman yang dialami oleh gerakan-gerakan Islam. Sebahagian apa yang telah mereka alami, mungkin sedang dialami oleh gerakan-gerakan Islam yang lain. Muslim yang bijak adalah mereka yang sentiasa mengambil pengajaran.


Abdul Mu'izz Muhammad

18 Februari 2021.

No comments:

Post a Comment