Monday, June 6, 2022

Istilah2 Fuqaha Syafieyah

 ISTILAH-ISTILAH FUQAHA’ SYAFIEYAH YANG DIGUNAKAN DIDALAM KITAB-KITAB MEREKA. 


Jika anda membaca kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie dan anda terjumpa perkataan : 


1. al-Imam (الإمام) secara mutlaq, tanpa diqaidkan dengan mana-mana Imam : maka ia merujuk kepada al-Imam al-Haramain, pengarang Matan al-Waraqat.

2. al-Qhadi (القاضي) secara mutlaq, tanpa diqaidkan dengan mana-mana Imam : maka ia merujuk kepada al-Qhadi Husain. 

3. al-Qhadiyān (القاضيان) secara mutlaq : maka ia merujuk kepada al-Qhadi al-Mawardi dan al-Qhadi al-Rawyāni.

4. al-Syārih (الشارح) secara mutlak dan dimakrifahkan : maka ia merujuk kepada al-Imam Jalaluddin al-Mahalli. 

5. al-Syaikhan (الشيخان) secara mutlak, tanpa menyebut nama mana-mana Imam : maka ia merujuk kepada al-Imam an-Nawawi dan al-Imam ar-Rafiè.

6. al-Syuyukh (الشيوخ) secara mutlak, tanpa menyebut nama mana-mana Imam : maka ia merujuk kepada al-Imam an-Nawawi, al-Imam ar-Rafiè dan al-Imam Tajuddin as-Subki.

7. Qola Syaikhuna (قال شيخنا), jika yang menyebutnya itu al-Imam ibn Hajar, al-Khatib asy-Syirbini atau al-Imam ar-Romli, maka Syaikhuna itu merujuk kepada Syaikhul Islam al-Imam Zakariya al-Ansori.

8. al-Ashab atau Ashabuna (الأصحاب / أصحابنا), maka ia merujuk kepada Fuqaha’ Syafieyah yang hidup sebelum al-Imam an-Nawawi dan al-Imam ar-Rafiè. 

9. al-Mutaakhirun (المتأخرون). Lafaz ini merujuk kepada Fuqaha’ Syafieyah yang hidup selepas zaman asy-Syaikhan.

10. an-Nash (النص), maka ia merujuk kepada pendapat al-Imam asy-Syafie.

11. Wa fi qauli kaza (وفي قول كذا)، maka ia merujuk kepada pendapat al-Imam asy-Syafie.

12. Qil (قيل)، maka ia merujuk kepada pendapat-pendapat al-Ashab.

13. al-Azhar dan az-Zohir (الأظهر والظاهر). Lafaz al-Azhar menunjukkan bahawa ada beberapa pendapat al-Imam asy-Syafie sendiri jika kuat khilaf. Maka pendapat yang lebih kuat daripada pendapat-pendapatnya itu dikatakan al-Azhar, manakala yang lain itu dikatakan az-Zohir. 

14. al-Masyhur (المشهور). Lafaz ini juga merujuk kepada pendapat al-Imam asy-Syafie sendiri jika lemah khilaf. Maka pendapat yang kuat daripada pendapat-pendapat yang lain itu, dikatakan qaul al-Masyhur. Manakala, pendapat yang lain itu dikatakan dhoif.

15. al-Asoh dan al-Sohih (الأصح والصحيح). Lafaz ini menunjukkan bahawa ada dua wajah atau beberapa wujuh ashab daripada al-Imam asy-Syafie jika kuat khilaf. Pendapat yang kuat dikatakan al-Asoh, manakala baki pendapat-pendapat itu dikatakan as-Sohih. 

16. al-Sohih dan al-Dhoif (الصحيح والضعيف). Lafaz ini menunjukan bahawa ada dua wajah atau beberapa wujuh ashab daripada al-Imam asy-Syafie jika lemah khilaf. Pendapat yang kuat dikatakan as-Sohih, manakala yang lemah itu dikatakan ad-Dhoif. 

17. Mazhabul Jadid (مذهب الجديد) merujuk kepada pendapat atau fatwa al-Imam asy-Syafie di Mesir. Ia juga disebut dengan qaul al-Jadid.

18. Mazhabul Qadim (مذهب القديم) merujuk kepada pendapat atau fatwa al-Imam asy-Syafie di Iraq. Ia juga dikenali dengan qaul al-Qadim. 

19. al-Jumhur dan al-Ittifaq (الجمهور والاتفاق). Kalimah al-Jumhur merujuk kepada pendapat kebanyakan Ulama’. Manakala, al-Ittifaq pula merujuk kepada pendapat kebanyakan Ulama’ didalam satu-satu mazhab.

20. al-Mujma’ alaihi (المجمع عليه) merujuk kepada kesepakatan pendapat Ulama’ yang berlainan mazhab.


Mempelajari sesuatu Mazhab itu tak semudah yang disangkakan, apatah lagi menguasainya. Maka, jika ada yang melekehkan mazhab-mazhab Fiqh atau pendapat-pendapat ulama’ Mazhab, ketahuilah bahawa dia tak tahu apa itu mazhab. Katakan saja padanya, diam itu lebih baik utk kamu amalkan. 


اللهم ارحمنا وارحم سائر مشايخنا والأئمة الشافعية كلها. وببركتهم علمنا بما ينفعنا وانفع بما علمتنا يا رب العالمين. وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. والحمد لله ورب العالمين.

No comments:

Post a Comment