Monday, August 9, 2010

Nota Kuliah : Kemerdekaan

KEMERDEKAAN

PERJUANGAN    MENCAPAI KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU :

Perjuangan Peringkat Awal ; Penentangan Bersenjata Menentang Penjajah:

1. Penentangan terhadap Penjajah di Naning :

Pada 17 mac, 1824, melalui Perjanjian Inggeris-Belanda, Naning merupakan sebahagian daripada wilayah Melaka dan pada ketika itu Melaka telah diletakkan di bawah kekuasaan Inggeris. Gabenor Fullerton berpendapat penduduk Naning perlu membayar 1/10 daripada hasil ekonomi kepada Kerajaan Inggeris. Dol Said ( Abdul Said ) iaitu Penghulu Naning telah menentang Inggeris. Dua  kali peperang telah berlaku iaitu pada Julai, 1831 dan 1832 tetapi pada bulan Februari, 1834, Dol Said telah bertindak menyerah diri.

2. Penentangan terhadap Penjajah di Selangor :

Penglibatan Inggeris dalam campurtangan perang saudara antara Raja Ismail ( anak Raja Abdullah ) dan Raja Mahadi ( anak Raja Sulaiman ) telah menimbulkan penentangan penduduk terhadap Inggeris.

3. Penentangan terhadap Penjajah di Perak :

Apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani, J.W.W. Birch telah dilantk sebagai Residen Perak dan beliau tidak mendapat kerjasama daripada Sultan Abdullah dan pembesar Melayu. J.W.W Birch telah dibunuh pada 2 November, 1875 di Pasir Salak.
Di antara faktor-faktor penentangan terhadap beliau ialah hak mengutip cukai telah disekat oleh Inggeris, Sultan Abdullah dipaksa menandatangani serah kuasa kepada Inggeris, perubahan yang dilakukan secara mendadak dan sikap J.W.W Birch yang tidak disenangi oleh penduduk.

4. Penentangan terhadap Penjajah di Pahang:

Pada bulan Oktober, 1808, J.P.Rodger telah menjadi Residen Inggeris di Pahang. Pada tahun 1891, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau telah memimpin pemberontakan terhadap Inggeris. Pemberontakan ini mendapat sokongan rakyat jelata.
Di antara sebabnya ialah kehilangan kuasa dan keistimewaan Sultan dan pembesar Pahang seperti undang-undang Tanah diperkenalkan, kes jenayah dan sivil tidak dihakimi oleh pembesar Melayu, keputusan dibuat oleh Residen dan penghulu diganti oleh pegawai Inggeris, ketidakpuasan Sultan Ahmad menyerahkan kuasa kepada anaknya, Tengku Mahmud dan ketidakpuasan hati rakyat seperti sistem lessen untuk memunggut hasil hutan, dilarang memakai keris, memperkenalkan cukai, sistem kerahan dan sistem denda atau penjara. Pemberontakan ini dapat ditewaskan pada 1895.

5. Penentangan terhadap Penjajah di Kelantan :

Pada Julai, 1909, melalui Perjanjian Bangkok, James Scot Mason telah dilantik sebagai Penasihat Inggeris. Pemberontakan di Kelantan diketuai oleh Haji Hassan Bin Munas ( Tok Janggut ) pada 29 April, 1915.
Penentangan di Kelantan ini disebabkan oleh ketidakpuasan hati Engku Besar Jeram Tun Ahmad kerana digantikan oleh pegawai Inggeris sebagai pegawai daerah di Pasir Putih. Pengenalan Sistem Tanah Baharu, 1915, sistem cukai hasil pertanian dan sikap kasar Pegawai Daerah Pasir Putih terutamanya Che Abdul Latif.
Inggeris berjaya menumpaskan pemberontakan ini pada 24 Mei, 1915 dengan bantuan Sultan Kelantan dan Tok Janggut juga turut terbunuh.

6. Penentangan terhadap Inggeris di Terengganu :

Pemberontakan Tani yang kebanyaknya dari golongan petani telah berlaku pada tahun 1928 diketuai oleh Haji Abdul Rahman Bin Haji Abdul Hamid ( Haji Abdul Rahman Limbong ) di zaman Sultan Sulaiman Badrul Aloam Syah.
Faktor berlakunya pemberontakan ini ialah ketidakpuasan hati pendudukan tempatan ke atas cukai kepala, memperkenalkan sistem Pendidikan barat dan Pas Kebenaran bercucuk tanam dan memunggut hasil hutan oleh Inggeris. Pada 21 Mei, 1928, orang Melayu telah menyerang balai polis dan pejabat daerah di Kuala Berang. Haji Abdul Rahman Limbong telah dibuang negeri ke Mekah dan meninggal di sana pada November, 1929.

7. Penentangan terhadap Penjajah di Sarawak :

Sebelum perang dunia kedua, Sarawak telah ditadbir oleh Dinasti Brooke iaitu James Brooke, Charles Brooke dan Charles Vyner Brooke.
Pada tahun 1853, semasa pemerintahan James Brooke telah berlaku pemberontakan yang diketuai oleh Rentap disebabkan James Brooke telah menghapuskan amalan pemburuan kepala.
Pada tahun 1859, semasa pemerintahan Charles Brooke, Sharif Masahor dan Abdul Ghapur telah membunuh pegawai Inggeris bernama Fox dan Steele. Kedua-duanya telah dibuang negeri ke Singapura. Selain itu, pada tahun 1893, satu serangan telah dilakukan oleh Banting di Hulu Sungai Batang Lupar disebabkan penghapusan adat dan tradisi tempatan oleh Inggeris. Banting telah ditewaskan pada tahun 1908.
Pada tahun 1920, semasa pemerintahan Charles Vyner Brooke, Penghulu Asun telah mengetuai pemberontakan di Sungai Kanowit. Penghulu Asun telah menyerah diri dan dibuang negeri ke Lundu pada tahun 1932.

8.Penentangan terhadap Penjajah di Sabah :

Dua pemberontakan telah berlaku di Sabah yang diketuai oleh Mat Salleh di Pulau Gaya dan Antanum di Rundum.
Pemberontakan telah Meletus di Sungai Sugut pada akhir 1894. Inggeris telah menyerang Mat Salleh pada Ogos, 1895. Mat Salleh pula telah menyerang Pekan Pulau Gaya dan pejabat Residen di Ambang. Mat Salleh telah terbunuh pada 31 Januari, 1900.

Manakala pada Februari 1915, Antanum telah mengetuai pemberontakan di Rundum disebabkan cukai yang dikenakan ke atas beras dan ubi kayu, ordinan pembersihan hutan dan kerahan rakyat membina jalan di hutan tanpa upah. Pada Februari, 1915 telah berlaku pemberontakan di Persidangan tetapi gagal dan Antanum telah dihukum bunuh.

2.1.2 Perjuangan Peringkat Keseluruhan.

i. Nasionalisme melayu.

a. Tahap keagamaan.

- Lebih dipengaruhi oleh Gerakan Reformasi Islam di Timur Tengah seperti Sheikh Muhamad Abduh di Mesir
- Lebih dikenali dengan kaum muda.
- Diantara pimpinannya ialah Sheikh Tahir Jalaludin dan Syed Ahmad al Hadi.
- Menerbit majalah seperti Al-Imam, Al ikhwan, Saudara dan Neracha.
- Menubuhkan persatuan untuk pembangunan masyarakat, liberasi dalam pendidikan agama, kebebasan kaum wanita dan pemodenan.
- Elit Melayu tradisional dan ulama menentang mereka.

b. Tahap Sosial dan Ekonomi.

- Lebih bersifat secular
- Tertumpu kepada sosioekonomi orang Melayu.
- Dipelopori oleh kaum Melayu yang berpendidikan Melayu dan Inggeris terutamanya dari Maktab Perguruan Sultan Idris yang dibuka pada tahun 1922.
- Diantara kesatuan yang dilahirkan ialah Kesatuan Melayu Singapura pada tahun 1926 dan Persaudaraan Sahabat Pena pada tahun 1934.

c. Tahap Politik.

- Akibat tekanan bangsa lain
- Akibat pengagihan kuasa pada tahun 1920,
- Lahir parti-parti politik yang memperjuangkan Tanah Melayu untuk Orang Melayu.
- Diantara golongan yang radikal ialah Kesatuan Melayu Nuda pada 1938
- Tujuan kesatuan ini untuk kemerdekaan dan penyatuan dengan Indonesia untuk membentuk Melayu Raya.
- Kurang mendapat sambutan kerana ingin bersatu dengan Indonesia
- Telah melahirkan semangat nasionalisme orang Melayu.

ii. Nasionalisme Cina.

- Kebanyakan orang Cina menganggap Negara Cina sebagai tanah air mereka.
- Rancangan Pembaharuan 100 hari oleh Kang Yu Wei pada tahun 1898 dan Gerakan Revolusioner oleh Dr. Sun Yat Sen telah mempengaruhi semangat nasionalisme orang Cina di Tanah Melayu
- pengaruh Parti Kuomintang dari Negara China telah menpengaruhi penubuhan banyak cawangan parti itu di Tanah Melayu sepanjang tahun 1913.
- Parti Komunis Malaya juga telah ditubuhkan pada tahun 1930 di Tanah Melayu
- Matlamatnya menjadikan Republik Komunis Malaya.
- Telah melakukan pemogokan di antara tahun 1937 – 38
- Ramai tertangkap dan dibuang negeri dan menyebabkan pengaruhnya merosot.

iii. Nasionalisme India.

- Dipengaruhi oleh Kegiatan Antikolonial di kalangan orang Punjabi di India untuk menghalau British dari India.
- Persatuan yang lahir ialah Persatuan India Taiping ( April, 1906 ), Persatuan India Selangor ( 1909 ) dan Persatuan India Singapura ( 1923 ).
- Pada Oktober, 1936 Central Indian Association of Malaya ( CIAM ) telah menggabungkan 12 persatuan India dan 4 buah dewan perniagaan India.
- Kejayaan Parti Kongres di India pada tahun 1947 telah menyemarakan semangat masyarakat India di Tanah Melayu.

2.2 PERJUANGAN MELALUI PERSATUAN-PERSATUAN

- Kesatuan melayu yang pertama ditubuhkan pada tahun 1926 oleh golongan Melayu Singapura yang berpendidikan Inggeris telah menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura ( KMS ) yang separa politik untuk membaiki kedudukan sosio ekonomi orang Melayu, memupuk kecenderungan berpolitik dan menjadi perantara orang Melayu dengan kerajaan Inggeris. Diantara pemimpin utamanya ialah Mohammad Eunos Abdullah.
- Pada tahun 1934, Persaudaraan Sahabat Pena telah ditubuhkan.
- Pada 18 September 1937, Persatuan Melayu Perak telah ditubuhkan di Ipoh
- Pada bulan Mac 1938, Persatuan Melayu Pahang telah ditubuhkan
- Pada Jun, 1938, Persatuan Melayu Selangor telah ditubuhkan di Kuala Lumpur secara lebih terbuka dan sebagai pertubuhan politik. Ia berusaha untuk mendesak kerajaan British supaya menambahkan bilangan pegawai Melayu dalam perkhidmatan kerajaan, menambah peluang pelajaran untuk memboleh pelajar Melayu melanjutkan pelajaran dan mencadangkan kepada kerajaan agar menghentikan penghijrahan orang asing ke Tanah Melayu. Diantara pengasas dan pemimpin utamanya ialah Tengku Ismail bin Tengku Mohd Yasin, Raja Bot bin Raja Yahya dan Raja Yaacob bin Raja Alang.

- Pada bulan Ogos, 1938, Kesatuan Melayu Muda telah ditubuhkan.
- Pada 9 September 1938, Persatuan Melayu Negeri Sembilan telah ditubuhkan.
- Pada 20 April 1939, Persatuan Melayu kelantan telah ditubuhkan.
- Persatuan Melayu selangor telah menganjur Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu / Persatuan Melayu Semenanjung pada 9 Ogos 1939 di Kuala Lumpur dan keduanya tahun 1940 untuk membincangkan cara untuk memajukan persatuan Melayu tetapi gagal kerana semangat kenegerian dan perasaan cemburu di antara persatuan Melayu.

2.3. KESATUAN MALAYA ( MALAYAN UNION )

i. Pengenalan Malayan Union .

- 10 Oktober, 1945, Parlimen Inggeris telah meluluskan mewujudkan Kesatuan Malaya ( Malayan Union ).
- 12 Oktober 1945, Harold Mac Michael telah dilantik untuk mendapat tandatangan raja-raja Melayu.
- Januari, 1946, Malayan Union telah diluluskan dengan secara rasminya
- Malayan Union diperkenalkan untuk :
- I) penyatuan Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu ,
- ii) mengurangkan kuasa orang Melayu,
- iii) mewarwarkan pemerintahan sendiri kepada orang Melayu mengikut cara politik Inggeris
- iv) mengintergrasikan antara kaum Melayu, Cina dan India.

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke- 19

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KE- 19

1. Matapelajaran : Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk : MENGUTAMAKAN KEHENDAK ALLAH DAN RASUL

3. Ayat : Ayat 1, Surah al Anfal:


يسئلونك عن الأنفال لله والرسول فاتقوا الله وأصلحوا ذات بينكم واطيعوا الله ورسوله ان كنتم مؤمنين

4. Terjemahan:

Mereka bertanya kepadamu ( wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: “ Harta rampasan perang itu ( terserah ) bagi Allah dan bagi RasulNya ( untuk menentukan pembahagiannya ). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaiki keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman. (1)
5. Mafhum:

Daripada ayat ini –

a. Pembahagian harta rampasan perang hendaklah dilakukan mengikut ketetapan Allah.
b. Orang-orang yang beriman dikehenaki bertaqwa kepada Allah, memperelokkan perhubungan sesama manusia dan sentiasa mentaati perintah-perintah Allah S.W.T dan RasulNya. (2)


6. Asbabun Nuzul:

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
“ Barang siapa yang membunuh musuh dia akan mendapat sejumlah bahagian tertentu dan barang siapa yang menawan musuh diapun akan mendapat bahagian tertentu”.

Pada ketika itu orang tua hanya tinggal menjaga bendera, sedangkan para pemuda maju ke medan jihad menyerang musuh dan mengangkut ghanimah. Berkatalah orang tua-tua kepada para pemuda: “ Jadikanlah kami sebagai sekutu kalian semua kerana kami pun turut bertahan dan menjaga tempat kembali kalian semua.”

Kemudian mereka mengadukan perkara ini kepada Rasulullah S.A.W.

Maka turunlah ayat ini sebagai penjelasan bahawa ghanimah itu merupakan ketetapan dari Allah dan janganlah ia dijadikan bahan pertengkaran.

( Diriwayat oleh Abu daud, al Nasai, ibnu Hibban dan al Hakim dari Ibnu Abbas ) ( 3 )
7. Mufradhat:

يسئلونك
- Mereka bertanya kepadamu

الأنفال
- harta rampasan perang

فاتقوا
- Oleh itu, bertaqwalah

وأصلحوا
- dan perbaiki

واطيعوا الله
- serta taatlah kepada Allah


8. Huraian(4):

Allah S.W.T menyatakan ghanimah ( harta rampasan perang ) adalah hak Allah dan RasulNya.

يسئلونك عن الأنفال لله والرسول
Firman Allah S.W.T : " Mereka bertanya kepadamu ( wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: “ Harta rampasan perang itu ( terserah ) bagi Allah dan bagi RasulNya ( untuk menentukan pembahagiannya )”. Ayat ini menjelaskan bahawa telah timbul pertanyaan di kalangan sahabat mengenai ghanimah. Maka ayat ini menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh mereka.


فاتقوا الله وأصلحواذات بينكم
Firman Allah S.W.T :" bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaiki keadaan perhubungan di antara kamu,”yakni bertaqwalah kepada Allah dalam segala persoalanmu dan perbaikilah persoalan yang terjadi di antara kamu serta janganlah kamu saling menzalimi, bermusuhan dan berselish. Petunjuk dan pengetahuan yang diberikan Allah kepadamu adalah lebih baik daripada apa yang kamu perselisihkan karenanya.

واطيعوا الله ورسوله
Firman Allah S.W.T:“serta taatlah kepada Allah dan RasulNya“ yakni terhadap pembahagiannya di antara kamu menurut cara yang dikehendaki berdasarkan keadilan dan keinsafan.
9. Hukum:

Wajib :

a. Setiap orang Islam wajib mentaat pembahagian ghanimah yang ditentukan.
b. Setiap orang Islam wajib taat Allah dan RasulNya.
c. Setiap orang Islam wajib menjaga persaudaraan Isma.


10. Pengajaran:

a. Ghanumah itu bukan hak mutlah bagi orang Islam mengikuti peperangan.
b. Perhubungan antara orang Islam hendaklah dpelihara.
c. Orang Islam wajib taat kepada Allah dan RasulNya
d. Ketaqwaan hendaklah sentiasa diutamakan..
11. Kesimpulan:

Ayat ini memberikan peringatan bahawa ghanimah bukan harta mutlak individu dan ketaqwaan hendaklah diutamakan dalam semua perkara.
12. Rujukan:

i. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12. Mukasurat 401.

ii. Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007, Mukasurat 87.

iii. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua, Muka surat 355-356.

iv.Muhamad Nasir Ar-Rifa’i; Ringkasan Tafsir Ibnu Katsir, Jakarta; Gema Insani, 1999; Jilid kedua.Mukasurat 485.

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke- 17

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KETUJUH BELAS

1. Matapelajaran : Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk : CIRI-CIRI MUKMIN

3. Ayat : Ayat 71, Surah al Taubah:


والمؤمنون والمؤمنت بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلوة ويؤتون الزكوة ويطيعون الله ورسوله أؤلىك سيرحمهم الله ان الله عزيزحكيم

4. Terjemahan:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa , lagi Maha Bijaksana.(1)

5. Mafhum:

Daripada ayat ini menjelaskan bahawa :
a. Allah S.W.T menerangkan bahawa sifat orang-orang yang beriman itu ialah suka kepada kebaikan, taat kepada Allah S.W.T dan taat kepada RasulNya.
b. Orang-orang yang beriman dijanjikan rahmat daripada Allah S.W.T



7. Mufradhat:

بالمعروف

- Dengan kebaikan

المنكر

- kejahatan

يطيعون

- taat

سيرحمهم

- akan diberi rahmat

عزيز
Maha Kuasa
حكيم

-Maha Bijaksana.

8. Huraian(3):

Setelah Allah S.W.T menceritakan sifat kaum munafik yang tercela, maka Dia menggabungkannya dengan meceritakan sifat-sifat kaum mukminin yang terpuji.

والمؤمنون والمؤمنت بعضهم أولياء بعض

Firman Allah S.W.T : " Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain". Ayat ini orang-orang mukmin itu saling menolong dan mendukung. Perumpamaan kaum mukminin dalam hal mereka saling mencintai dan menyayangi adalah seperti tubuh yang satu. Jika satu organnya mengadu, maka organ tubuh lainnya memberi perhati turut demem dan tidak tidur juga.


يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر

Firman Allah S.W.T :" mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan ”yakni sifat orang-orang mukmin itu sentiasa menyuruh kepada kebajikan dan mencegah kejahatan.

ويقيمون الصلوة ويؤتون الزكوة

Firman Allah S.W.T: ". dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat” Diantara amal maaruf yang dilakukan oleh orang mukmin itu melakukan ketaat dengan mendirikan solat dan berlaku ihsan sesama manusia dengan member zakat.

ويطيعون الله ورسوله

Firman Allah S.W.T: “taat kepada Allah dan RasulNya”. Ketaatan kepada Allah S.W.T dan RasulNya merupakan satu sifat yang wajib ke atas orang mukmin. Ketaatan ini adalah mutlak.

9. Hukum:

Wajib :

Setiap orang-orang mukmin itu wajib bersifat seperti berikut :
a. Taat kepada Allah S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W.
b. Saling tolong menolong dalam kebajikan.
c. Mencegah kemungkaran.
d. Mendirikan solat yang fardhu.
e. Memberi zakat.

b. Haram :

Orang Islam diharamkan melakukan kejahatan.


10. Pengajaran:

a. Orang-orang mukminin sama ada lelaki dan perempuan adalah saling tolong menolong di antara satu sama lain.

b. Melakukan amal maaruf dan nahi mungkar merupakan tanggungjawab bersama orang-orang yang beriman.

c. Di antara amal maaruf yang wajib dilakukan oleh orang yang beriman itu ialah mendirikan solat dan ihsan sesama makhluk dengan memberi zakat.

d. Sifat orang yang beriman itu adalah sentiasa taat kepada Allah S.W.T.

e. Rahmat Allah S.W.T sentiasa ke atas orang-orang yang beriman..

11. Kesimpulan:

Ayat ini menerang sifat orang-orang yang beriman dan mereka dijanjikan rahmat oleh Allah S.W.T.


12.Rujukan:

i. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12.

ii. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua.

iii.Muhamad Nasir Ar-Rifa’i; Ringkasan Tafsir Ibnu Katsir, Jakarta; Gema Insani, 1999; Jilid kedua.

iv.Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putra Jaya; 2007.

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke- 7

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KE- TUJUH


1. Matapelajaran : Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk : TANGGUNGJAWAB MENUNAIKAN AMANAH

3. Ayat : Ayat 58, Surah al Nisa’.

ان الله يأمركم أن تؤد وا الأمنت الى أهلها واذا حكمتم بين الناس
أن تحكموا بالعدل ان الله نعما يعظكم به ان الله كان سميعا بصيرا

4.. Terjemahan (i) :
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerah segala jenis amanah kepada ahlinya ( yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hokum di antara manusia, ( Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan ( suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.


5. Mafhum (ii) :

a. Amanah wajib dipelihara dengan sebaiknya dan diserahkan
kepada tuannya.

b. Orang Islam digesa sentiasa berlaku adil dalam setiap perkara
yang dilaksanakan.

6. Asbabun Nuzul(iii) :
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa setelah Fath al Mekah Rasulullah S.A.W memanggil Uthman bin Thalhah untuk meminta kunci Kaabah. Ketika Uthman datang mengadap Nabi untuk menyerahkan kunci itu, berdirilah Abbas lalu berkata: “Ya, Rasulullah S.A.W demi Allah, serahkan kunci itu kepadaku untuk menjaganya di bawah jabatan Siqayah ( urusan pengairan ).” Uthman menarik kembali tangannya.

Maka bersabda Rasulullah S.A.W : “Berikanlah kunci kepadaku wahai Uthman!” Uthman berkata: “Inilah dia amanat dari Allah.” Maka berdirilah Rasulullah membuka Kaabah dan terus keluar untuk tawaf di Bait al Allah.

Kemudian turunlah Jibril membawa perintah supaya kunci itu diserahkan kembali kepada Uthman. Rasulullah melaksanakan perintah tersebut sambil membaca ayat ini.

( Diriwayat oleh Ibnu Marduwah dari al Kalbi dari Abi Salleh dari Ibnu Abbas)

7. Mufradhat (iv):

a.
يأمركم
- Dia menyuruh

b.
تؤد وا
- Menyampaikan

الأمنت
c.
- Amanat

أهلها
d.
- Yang berhak menerimanya

تحكموا
e.
- Kalian tetapkan hokum

بالعدل
f.
- Dengan adil

نعما
g.
- Sebaik-baiknya

h.
يعظكم
- Dia ajari kalian.

8. Huraian (v) :

Ayat ini Allah S.W.T mengabarkan bahawa Dia memerintahkan untuk menunaikan amanat kepada ahlinya ( kepada yang berhak ). Hal itu mencakup seluruh amanah yang wajib bagi manusia, berupa hak-hak Allah terhadap para hambaNya seperti solat, zakat,puasa, kafarat, nazar, dan yang semisalnya. Semuanya merupakan amanah yang diberikan tanpa pengawasan hambanya yang lainnya. Demikian juga hak-hak sebagian hamba atas sebahagian lainnya, seperti simpanan dan yang semisalnya, yang seluruhnya merupakan amanah yang dipercayakan dari sebagian mereka kepada sebagian yang lain tanpa disertai bukti-bukti atas hal itu.

Maka Allah S.W.T memerintahkan agar menunaikannya. Barang siapa yang tidak melakukannya di dunia ini, maka akan dimintai pertanggungjawabannya pada hari Kiamat.





Firman Allah S.W.T :

ان الله يأمركم أن تؤد وا الأمنت الى أهلها
Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu Juraij R.A., ia berkata, “Ayat ini diturunkan berkenaan dengan Uthman Bin Thalhah di saat Rasulullah S.A.W mengambil kunci Ka’bah darinya. Beliau lalu masuk ke dalam Baitullah pada Fat-hu Makkah. Di saat beliau keluar, beliau membaca ayat ini. Beliau pun lalu memanggil Uthman dan menyerahkan kembali kunci tersebut.

Ibnu Juraij berkata ( melanjutkan kisahnya ); “Pada saat Rasulullah S.A.W keluar dari Ka’bah sambil membaca ayat di atas, Umar bin al Khaththab berkata: “Ayah dan ibuku menjadi tebusannya, aku belum pernah mendenga beliau membacanya sebelum itu”.

Yang masyhur dalam hal ini, bahwa ayat ini turun berkenaan dengan peristiwa tersebut. Namun baik hal itu benar atau tidak, yang jelas, hukumnya tetap berlaku umum. Kerana itulah, Ibnu Abbas dan Muhammad bin al Hanafiyah berkata: “Ini berlaku terhadap orang yang baik maupun yang zhalim. Yakni perintah untuk setiap orang”.

Firman Allah S.W.T :

واذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
Ini perintah Allah agar menetapkan hokum di antara manusia dengan adil. Muhamad bin kaab, Za’id bin Aslam dan Syahr bin Hausyab berkata: “Sesungguhnya ayat ini diturunkan untuk para umara, yaitu yang berkuasa memutuskan hokum di antara manusia.”

Firman Allah S.W.T :

ان الله نعما يعظكم به
Ertinya, Allah memerintahkan kalian untuk menunaikan amanah, menetapkan hokum di antara manusia dengan adil dan hal lainnya, yang mencakup perintah-perintah dan syari’at-syari’atNya yang sempurna, agung dan lengkap.

Firman Allah S.W.T :

ان الله كان سميعا بصيرا
yaitu, mendengar seluruh perkataan kalian dan melihat seluruh perbuatan kalian.

9. Hukum :

a. Wajib :

· Diwajibkan setiap muslim itu menunaikan amanah.
· Amanah itu wajib diserahkan kepada ahlinya.
· Wajib menghukum dengan adil




10. Pengajaran :

a. Amanah merupakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan.
b. Amanah hendaklah diserahkan kepada ahlinya.
c. Amanah itu merangkupi terhadap Allah dan manusia.
d. Menghukum dengan adil merupakan amanah.
e. Semua akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

11. Kesimpulan :

Ayat tersebut menjelaskan kewajiban menunaikan amanah, memberikan amanah kepada yang ahlinya dan menghukum dengan adil.

12. Rujukan :

i. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12, Mukasurat 200.

ii. Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007, Mukasurat 83

iii. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua, Mukasurat 218.

iv. Yayasan Penyelenggara penerjemahan/Penafsir al Quran,Syaamil al Quran The Miracle 15 in 1, Bandung : PT Sygma Examedia Arkanleema, Tahun 2009. Mukasurat 171.

v..Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 559-561..

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke- 4

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KE- 4


1. Matapelajaran : Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk : JUAL BELI DAN MENGINGATI ALLAH

3. Ayat : Ayat 37, Surah al Nur:


رجال لا تلهيهم تجرة ولابيع عن ذكر الله واقام الصلوة وايتاء الزكوة يخافون يوما تتقاب فيه القلوب والابصر

4. Terjemahan :

( Ibadat itu dikerjakan oleh ) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta member zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.(1)

5. Mafhum :

Daripada ayat ini –
i. Perniagaan merupakan aktiviti yang boleh melalaikan manusia kecuali bagi orang yang beriman.
ii. Dengan keuntungan perniagaan, umat Islam boleh mendirikan masjid dan mengeluarkan zakat. (2)


7. Mufradhat :

لا تلهيهم

tidak dilalaikan

تجرة

perniagaan

بيع

berjual beli

يخافون

mereka takutkan

القلوب

hati

الابصر

pandangan

8. Huraian(3):

Allah S.W.T menyatakan bahawa perniagaan boleh melaiaikan tetapi perniagaan boleh member faedah kepada umat Islam seperti zakat.


رجال لا تلهيهم تجرة ولابيع عن ذكر الله واقام الصلوة وايتاء الزكوة

Firman Allah S.W.T : " ( Ibadat itu dikerjakan oleh ) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta member zakat ”. Maksudnya, mereka mengedepankan ketaatan dan keinginan kepada Allah lebih dari kehendak dan keinginan diri mereka sendiri.


يخافون يوما تتقاب فيه القلوب والابصر

Firman Allah S.W.T :" mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan“
Maksudnya mereka takut kepada hari kiamat. Di hari itu, seluruh hati dan penglihatan manusia menjadi guncang kerana demikian dahsyatnya keterkejutan manusia, begitu melihat melihat hebatnya huru hara yang terjadi pada saat itu.

9. Hukum:

Wajib :

i. Setiap orang Islam wajib mendirikam sembahyang.
ii.. Setiap orang Islam wajib mengeluarkan zakat.

b. Harus :

Diharuskan berjual beli.

b. Haram ;

Diharamkan perniagaan yang boleh melalaikan.

10. Pengajaran:

a. Umat Islam digalakkan untuk berniaga.

b. Umat Islam diperintah menunaikan solat dan mengeluarkan zakat.

c. Dilarang perniagaan yang boleh melalaikan.

11. Kesimpulan:

Ayat ini menjelaskan bahawa galakkan kepada umat Islam untuk berniaga tanpa melalaikan seperti meninggalkan solat dan mengeluarkan zakat.

12. Rujukan :

( i ). Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12. Mukasurat 903.

( ii ). Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007, Mukasurat 81.

(iii ). Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 408.

Monday, August 2, 2010

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke-5,

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KELIMA

1.Matapelajaran:Tafsir Ayat al Quran

2.Tajuk: ISLAM ITU MUDAH

3.Ayat: Ayat 101, Surah al Maa’idah:


يايها الذين ءامنوا لاتسئلوا عن أشياء ان تبدلكم تسؤكم وان تسئلوا عنها حين ينزل القرءان تبدلكم عفا الله عنها والله غفور حليم

4.Terjemahan:

Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu bertanyakan ( kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan ( kamu ) dari ( kesalahan bertanya ) perkara-perkara itu ( yang tidak dinyatakan dalam al Quran ); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (1)

5.Mafhum:

Daripada ayat ini menegah orang-orang yang beriman daripada banyak mempersoalkan mengenai perkara-perkara yang boleh menyusahkan diri sendiri.

Di samping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa Islam menggalakkan pertanyaan yang betujuan untuk mencari ilmu.


6.Asbabun Nuzul:

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ada orang suka bertanya kepada Rasulullah dengan maksud untuk mempermainkannya. Ada orang yang bertanya, “Siapakah bapa saya? Dan ada pula yang bertanya; “ Dimanakah untaku yang hilang?”.
Maka Allah menurunkan ayat ini yang melarang orang-orang Mukmin bertanya akan perkara yang bukan-bukan.
( Diriwayatkan oleh al Bukhari dari Ibnu Abbas)2

7.Mufradhat:

لاتسئلوا

Janganlah kamu bertanyakan

أشياء

perkara-perkara

تبدلكم

Menyusahkan kamu

ينزل القرءان

Diturunkan al Quran

عفا الله

Allah maafkan

حليم

Penyabar

8.Huraian(3):

Allah S.W.T memerintahkan agar tidak banyak bertanya kerana ianya mungkin akan menyusahkan.

يايها الذين ءامنوا لاتسئلوا عن أشياء ان تبدلكم تسؤكم

Firman Allah S.W.T : " Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu bertanyakan ( kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu”. Ayat ini merupakan pelajaran dari Allah S.W.T bagi hamba-hambaNya yang beriman. Dia melarang mereka menanyakan aneka perkara yang tidak berguna bagi mereka sebab jika perkara itu diterangkan maka akan menyusahkan bila didengar dan merugikannya.


وان تسئلوا عنها حين ينزل القرءان تبدلكم

Firman Allah S.W.T :" dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu”yakni jika kamu menanyakan tentang perkara yang dilarang untuk ditanyakan ketika diturunkan wahyu kepada Rasulullah S.A.W, maka wahyu akan menjelaskannya kepadamu, hal itu mudah bagi Allah S.W.T

عفا الله عنها

Firman Allah S.W.T: " Allah akan memaafkan hal itu“ apa yang dilakukan olehmu sebelumnya.

9.Hukum:

a.Makruh :

Setiap orang Islam makruh untuk banyak bertanya.

b.Sunnat :
Setiap orang Islam disuruh bertanya untuk mendapatkan ilmu.

c. Haram :

Dilarang bertanya dalam perkara yang tidak berguna.

10.Pengajaran:

i. Islam melarang bertanya dalam perkara yang tidak berguna.

ii. Islam juga melarang terlalu banyak bertanya.

iii. Pertanyaan untuk mendapat ilmu.

iv. Setengah jawapan pertanyaan itu boleh menyusahkan.

v. Al Quran boleh menjelaskan setiap jawapan.

11. Kesimpulan:

Ayat ini memberikan peringatan agar jangan banyak bertanya dalam perkara yang tidak berguna kerana setengah jawapan pertanyaan itu boleh menyusahkan.


12.Rujukan:

1. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12

2. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua.

3.Muhamad Nasir Ar-Rifa’i; Ringkasan Tafsir Ibnu Katsir, Jakarta; Gema Insani, 1999; Jilid kedua.

Kurikulum Takmir JAIPP- Tafsir al Quran ,Minggu ke-3,

KURIKULUM TAKMIR,
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

MATA PELAJARAN : TAFSIR AYAT AL QURAN

MINGGU : KE- 3

1.Matapelajaran : Tafsir Ayat al Quran

2. Tajuk: GALAKAN BERDOA

3.Ayat : Ayat 186, Surah al Baqarah:


واذا سألك عبادى عنى فانى قريب أجيب دعوة الداع اذا دعان فليستجيبوأ لى وليؤمنوابى لعلهم يرشدون
4.Terjemahan:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka ( beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada mereka) ; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu ( dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.(1)

5.Mafhum:

Daripada ayat ini –

i. Allah sentiasa hamper kepada hamba-hambaNya yang selalu berdoa.

ii. Allah sentiasa memperkenankan doa hamba-hambaNya yang beriman. (2)


6.Ashabul Nuzul:

Ayat ini turun adalah disebabkan pertanyaan seorang Badwi kepada Nabi S.A.W :” Apakah Tuhan kami dekat sehingga kami dapat munajat dan memohon kepadaNya ataupun Dia jauh sehingga kami harus menyeruNya?”
Nabi Muhammad S.A.W terdiam sehingga turun ayat ini sebagai jawapan kepada pertanyaan tersebut.
( Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir, Ibnu Hatim Ibnu Marduwaih, Abu Syaikh dan selainnya dari beberapa jalan, dari Jarir bin Abdul Hamid dari Abdah As Sajastani dari as Shalt bin Hakim bin Nuawiyah bin Jaidah dari bapanya dari datuknya.(3)

7. Mufradhat:

سألك

bertanya kepadamu

قريب

sentiasa hampir ( kepada mereka)

أجيب

Aku perkenankan

الداع

orang yang berdoa

فليستجيبوأ لى

dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)

يرشدون

mereka menjadi baik serta betul

8. Huraian(4):

Allah S.W.T menyatakan bahawa Allah S.W>T sentiasa hamper dengan hamba-hambaNya dan sentiasa memperkenankan doa mereka.


واذا سألك عبادى عنى فانى قريب

Firman Allah S.W.T : " Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka ( beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada mereka)”. Maksud ayat ini dijelaskan berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W :
Dari Ahmad meriwayatkan dari Abu Musa al Asy’ari bahawa ia mengatakan,“ Ketika kami bersama Rasulullah S.A.W dalam suatu peperangan, tidaklah kami mendaki batasan, menaiki bukit dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir. Kemudian beliau mendekati kami dan bersabda:
Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kalian, sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Rabb yang tuli dan jauh, akan tetapi kalian berdoa kepada Rabb yang Maha mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Rabb yang kalian seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kalian daripada leher binatang tunggangannya. Wahai Abdullah bin Qais, mahukah engkau aku ajar sebuah kalimat yang termasuk perbendaharaan Syurga? Yaiitu ucapan Lau haula walaa quwwata illaa billaah“
( Diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim serta beberapa rawi lainnya )


أجيب دعوة الداع اذا دعان فليستجيبوأ لى وليؤمنوابى لعلهم يرشدون

Firman Allah S.W.T :" Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu ( dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul“
Maksud ayat ini dijelaskan berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W:
Dari Imam ahmad meriwayatkan dari Abu Sa’id bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Tidaklah seorang muslim berdoa kepada Allah S.W.T dengan doa yang tidak mengandung dosa atau memutuskan tali silaturrahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya satu di antara tiga perkara: (1) boleh jadi Allah S.W.T menyegerakan ( pengabulan ) baginya di dunia, atau (2) Allah S.W.T menyimpan baginya sebagai pahala di akhirat, atau (3) Allah menahan keburukan dari dirinya semisal dengan apa yang ia minta“. Mereka mengatakan:“Kalau begitu kami akan memperbanyak doa“. Beliau bersabda:“ Allah lebih banyak lagi ( pemberianNya)“.


9.Hukum:

Wajib :

i. Setiap orang Islam wajib menyakini bahawa Allah S.W.T sentiasa hampir dengan mereka.

b. Sunnat :

Disunatkan supaya banyak berdoa.

b. Haram ;

Diharamkan berdoa dalam perkara dosa dan memutuskan silaturrahim.

10.Pengajaran:

i. Umat Islam digalakkan selalu berdoa.

ii. Umat Islam diperintah menyakini bahawa Allah S.W.T sentiasa bersama mereka.

iii. Dilarang berdoa dalam perkara dosa dan memutuskan silaturrahim

iv.Allah akan mengakbulkan doa orang Islam yang berdoa.

11.Kesimpulan:

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah sentiasa hampir dengan hambaNya dan menerima doa orang Islam.

12. Rujukan:

1. Sheikh Abdullah Basmeih; Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada Pengertian al Quran, Kuala Lumpur; Darulfikr, 2001; Cetakan ke-12. Mukasurat 70.

2. Kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Putrajaya; 2007, Mukasurat 81.

3. Imam Jalaluddin As sayuthi, Asbabun Nuzul ( terjemahan ), Kuala Lumpur: Victory Agence, 2004: Cetakan Kedua, Muka surat 76..

4.Syaikh Shafiyyurrahman Al Mubarakfuri; Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Bogor; Pustaka Ibnu Katsir, 2008; cetakan pertama, Jilid ke pertama; Mukasurat 588-590.