Thursday, May 29, 2014

Tatacara Dipilih Sebagai Sultan Perak

Antara 3 Calon, Siapa Bakal Dipilih Sebagai Sultan Perak Yang Baru?

By Editorial May 28, 2014 : 8:08 pm
Bakal Sultan PErak
Di sebalik kesedihan ekoran kemangkatan Sultan Perak ke-34, DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat tengah hari tadi, ramai mula tertanya-tanya siapakah yang bakal dipilih menduduki tahta pemerintahan kerajaan negeri Perak.
Ini kerana sekiranya dirujuk kepada undang-undang tubuh kerajaan, sistem pemerintahan beraja negeri Perak mempunyai keunikan yang tersendiri.
Berikut adalah antara senarai calon yang dipilih melalui mesyuarat yang akan diputuskan oleh Dewan Negara negeri Perak.
1) Duli Yang Teramat Mulia Raja Nazrin Shah ibni Almarhum DYMM Sultan Azlan Shah
Raja nazrin Shah
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
2) Duli Yang Amat Mulia Raja Dato’Seri Ja’afar bin Raja Muda Musa
Raja Dihilir Perak
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
3) Yang Amat Mulia Raja Dato’Seri Iskandar Zulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Raja Kechil besar
 
 
 
 
 
 
 
 
Berikut adalah maklumat ringkas berhubung pemilihan bakal Sultan :
Secara asasnya negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai sembilan daerah besar dan lapan daerah kecil. Hirarki sistem pemerintahan berajanya berlainan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Setiap bakal sultan akan melalui tangga-tangga raja bergelar sebelum menduduki tahta utama negeri.
Pemilihan dan perlantikan Raja Pemerintah bagi Negeri Perak dibuat oleh Dewan Negara Perak.
Sistem yang diamalkan ialah menerusi kenaikan pangkat Bakal Sultan dan tidak mengikut sistem turun menurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya.
Sistem yang unik ini adalah melalui ikut giliran pemerintahan. Buat masa ini Negeri Perak mempunyai tiga Keluarga diRaja yang memerintah secara giliran. Keluarga yang dimaksudkan ialah dari Keluarga Iskandar, Yusuf dan Abdullah.
Kebiasaannya sekiranya seorang Sultan pemerintah mangkat, bakal pemerintah menggantinya adalah daripada keluarga yang berikutnya, dan keluarga Sultan yang mangkat terpaksa menunggu akan giliran mereka untuk memerintah Negeri mengikut susunan yang telah ditetapkan oleh Dewan Negara.
Oleh itu apabila seseorang Sultan itu mangkat, seluruh keluarga baginda terpaksa mengosongkan Istana didalam masa 100 hari, dan Istana tersebut akan didiami pula oleh keluarga Sultan yang baru.
Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, seseorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah hendaklah mempunyai zuriat yang diakui telah diperanakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh dan darah daging Sultan yang kelapan belas.
Ianya hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun temurun sehingga yang akhir sekali.
Undang-Undang Tubuh tidak sesekali membenarkan dan adalah diharamkan memilih dan melantik seseorang Raja Pemerintah selain daripada zuriat seumpama itu daripada Sultan kelapan belas selagi ada hidupnya seorang zuriat seumpama itu daripada Sultan tersebut dengan syarat Raja Pemerintah itu tiada mempunyai suatu cacat yang besar dan berat yang kerananya ia tidal akan diluluskan oleh Hukum Syarak menjadi seorang Raja Pemerintah.
Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih Sultan yang kelapan belas, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang Raja Pemetintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih Sultan yang Pertama.
Jikalau sekiranya tiada seorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah, maka pilihan dari lantikan Raja Pemerintah hendaklah diserahkan kepada timbangan, hukuman dan keputusan Dewan Negara.
Satelah Raja Pemerintah dimashyurkan, dua orang Bakal Sultan hendaklah dilantik oleh Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara. Dua gelaran yang dipegang oleh Bakal Sultan itu ialah Raja Muda dan Raja diHilir.
Gelaran Raja Bendahara telah dihidupkan semula kepada gelaran biasa iaitu Y.A.Bhg. Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja dan tidak dengan gelaran Y.A.M. Tuanku Raja Bendahara, Wakilus-Sultan Wazirul-Kabir.
Perlantikan Bakal Sultan adalah berasaskan syarat-syarat sebagaimana yang diwajibkan bagi seorang Raja Pemerintah.
Sebelum dilaksanakan haknya atau menjalankan tanggung-jawabnya, Bakal Sultan dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah yang ditetapkan oleh Dewan Negara.
Sumpah itu mengandungi perkataan-perkataan yang mengikut perasaan orang yang dilantik. Kemudian barulah gelaran itu dianugerahkan mengikut adat Melayu.
Walau bagaimanapun sebelum seseorang itu dilantik menjadi Bakal Sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-Raja Bergelar. Gelaran yang diberi kepada Raja-Raja Bergelar adalah seperti berikut,
1. Raja Kecil Bongsu.
2. Raja Kecil Tengah
3. Raja Kecil Sulong
4. Raja Kecil Besar
5. Raja Di Hilir
6. Raja Muda
7. Sultan dan Yang DiPertuan.
Pada kebiasaannya Raja Muda akan dilantik menjadi Raja Pemerintah satelah mangkatnya Raja Pemerintah (Sultan) dan Raja Di Hilir akan mengambil tempat ayng dikosongkan oleh Raja Muda dan tempat Raja Di Hilir pula diganti oleh Raja Kecil Besar dan seterusnya sehingga kejawatan Raja Kecil Bongsu menjadi kosong.
Pada lazimnya Raja Pemerintah yang baru akan mengurniakan gelaran Raja Kecil Bongsu kepada putera sulong Baginda.
Walau bagaimana pun, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyatakan bahawa di dalam pemilihan Bakal Sultan, pertimbangan pertama hendaklah diberikan kepada calon yang paling dekat mengikut tertib susunan kedudukan Bakal Sultan dan kemudian barulah kepada tiap-tiap orang Raja-Raja Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya sebelum menimbangkan seseorang daripada peringkat atas peringkat am daripada mereka yang harus dipilih menjadi Raja Pemerintah

Sistem pemilihan dan pelantikan Sultan Perak

Sistem pemilihan dan pelantikan Sultan Perak

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pemilihan dan perlantikan Raja bagi Negeri Perak dibuat oleh Dewan Negara.

Dipetik laman web rasmi Pejabat DYMM Sultan Perak, sistem yang diamalkan ialah menerusi kenaikan pangkat bakal Sultan dan tidak mengikut sistem turun menurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya. 

Berikut adalah petikan daripada laman web tersebut.

Raja Pemerintah

Pemilihan dan perlantikan Raja bagi Negeri Perak dibuat oleh Dewan Negara. Sistem yang diamalkan ialah menerusi kenaikan pangkat Bakal Sultan dan tidak mengikut sistem turun menurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya.

Mengikut undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak seseorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah hendaklah mempunyai zuriat yang diakui telah diperanakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh badan dan darah daging Sultan yang kelapan belas. Ianya hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun menurun sehingga yang akhir sekali. Undang-undang Tubuh tidak sekali membenar dan adalah diharamkan memilih dan melantik seseorang Raja Pemerintah selain daripada seorang zuriat daripada Sultan kelapan belas selagi ada hidup seorang zuriat seumpama itu daripada Sultan tersebut dengan syarat Raja Pemerintah itu tiada mempunyai sesuatu cacat yang besar dan berat yang kerananya ia tidak akan diluluskan oleh Hukum Syarak menjadi seorang Raja Pemerintah.

Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih Sultan yang kelapan belas, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang Raja Pemerintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih Sultan yang pertama. Walau bagaimanapun sekiranya tiada zuriat daripada benih Sultan yang Pertama yang difikirkan harus dipilih, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai Raja Pemerintah seseorang lelaki daripada zuriat Sultan yang kelapan belas yang daripada tanah (ibu). Apabila menimbangkan lantikan itu seorang anak perempuan Raja Pemerintah yang telah mangkat akhir sekali, dan jikalau sekiranya tiada seorang pun yang demikian itu, maka hendaklah diutamakan seorang lelaki atau cucu lelaki daripada seorang anak perempuan Raja Pemerintah yang mendahului Raja Pemerintah yang tersebut.

Jikalau sekiranya tiada seorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah, maka pilihan dan lantikan Raja Pemerintah hendaklah diserahkan kepada timbangan, hukuman dan keputusan Dewan Negara. Setelah Raja Pemerintah dimasyurkan, dua orang Bakal Sultan hendaklah dilantik oleh Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara. Dua gelaran yang dipegang oleh Bakal Sultan ialah Raja Muda dan Raja Di Hilir. Gelaran Raja Bendahara telah dihidupkan semula kepada gelaran biasa Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan tidak dengan gelaran Yang Amat Mulia Tuanku Raja Bendahara, Wakilus-Sultan Wazirul-Kabir.

Perlantikan Bakal Sultan adalah berasaskan syarat-syarat sebagaimana yang diwajibkan bagi seorang Raja Pemerintah. Sebelum melaksanakan haknya atau menjalankan tanggungjawabnya, bakal Sultan dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah yang ditetapkan oleh Dewan Negara. Sumpah itu mengandungi perkataan-perkataan yang mengikut perasaan orang yang dilantik. Kemudian barulah gelaran dianugerahkan mengikut adat Melayu.

Walau bagaimanapun sebelum seseorang dilantik menjadi Bakal Sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-raja Bergelar. Gelaran yang diberikan kepada Raja-raja Bergelar ialah Raja Kechil Besar, Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Bongsu, tetapi sekiranya berlaku di mana putera Raja-raja Pemerintah menaiki takhta Kerajaan setelah mangkatnya Raja Pemerintah ini adalah kerana putera itu memegang jawatan Bakal Sultan yang terkanan.

Pada kebiasanya Raja Muda akan dilantik menjadi Raja Pemerintah setelah mangkatnya Raja Pemerintah dan Raja Di Hilir akan mengambil tempat yang dikosongkan oleh Raja Muda dan tempat Raja Di Hilir pula diganti oleh Raja Bergelar Raja Kechil Besar dan seterusnya sehingga jawatan Raja Kechil Bongsu menjadi kosong. Pada lazimnya Raja Pemerintah yang baru akan mengurniakan gelaran Raja Kechil Bongsu kepada Putera sulong Baginda.

Walau bagaimanapun, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyatakan bahawa di dalam pemilihan Bakal Sultan, pertimbangan pertama hendaklah diberikan kepada calon yang paling dekat mengikut tertib susunan kedudukan Bakal Sultan dan kemudian barulah kepada tiap-tiap orang Raja-raja Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya sebelum menimbang seseorang daripada peringkat atau peringkat am daripada mereka harus dipilih menjadi Raja Pemerintah.

Dewan Negara

Dewan Negara, yang dianggotai oleh Bakal-bakal Sultan, seseorang wakil Raja-raja Bergelar, Menteri Besar, Orang Besar Empat, Orang Besar Delapan dan Mufti sebagai ahli-ahli rasmi dan sebelas orang tua dan seorang yang bukan Melayu sebagai ahli-ahli bukan rasmi, adalah ditubuhkan bagi membantu dan menasihatkan Raja Pemerintah dalam menjalankan tugas-tugas Baginda. Di antara tugas-tugas lain Dewan Negara ialah menasihatkan Raja Pemerintah di dalam perlantikan Bakal-bakal Sultan dan Raja-raja Bergelar.

Persidangan Dewan Negara hanya boleh bersidang apabila dititah oleh Raja Pemerintah dan Raja Pemerintah dengan kadar seberapa yang boleh, hendaklah berangkat menghadiri dan mempengerusikan persidangan itu. Sekiranya Baginda tidak berangkat hadir, maka Bakal Sultan yang kanan akan mempengerusikan persidangan itu atau Orang Besar Negeri yang terlebih kanan sekiranya tidak ada sesiapa Bakal Sultan yang hadir.

Tetapi sekiranya persidangan Dewan Negara itu akan membincang pemilihan dan perlantikan seseorang Raja Pemerintah atau pemerintahan seorang Raja Pemerintah, atau lantikan Jemaah Pemangku Raja atau apa-apa perkara lain yang bersangkut paut dengan tubuh badan Raja Pemerintah atau persidangan itu mengagap adalah berfaedah Baginda tidak bersama, maka tidaklah boleh Baginda berangkat hadir dan mempengerusikan persidangan itu. Begitulah juga dengan Bakal-bakal Sultan atau Raja-raja Yang Bergelar.

Orang Besar Negeri Perak

Dewan Negara, selain daripada menasihati Raja Pemerintah dalam perlantikan Bakal Sultan dan Raja-raja Bergelar, juga menasihatkan Raja Pemerintah dalam perlantikan Orang Besar Negeri yang turut membantu Raja Pemerintah dalam menjalankan tugas-tugas hariannya.

Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Raja Pemerintah adalah terdiri:-

Orang Besar Empat yang mempunyai gelaran-gelaran dan fungsi-fungsi tersendiri dan orang-orang lelaki yang lain dengan gelaran Toh Muda Orang Kaya Bendahara diberi.
Orang Besar Delapan yang mempunyai gelaran-gelaran dan fungsi-fungsi tersendiri dan orang-orang lelaki yang lain kecuali gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan dan Orang Kaya-Kaya Mahakurnia dengan syarat-syarat sebagaimana termaktub dalam Seksyen 38 (1) dan (2).
Orang Besar Enam Belas dan memegang gelaran-gelaran tertentu dangan syarat-syarat sebagaimana termaktub di dalam Seksyen 47(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan. Orang Besar Enam Belas yang dilantik hendaklah terdiri daripada orang lelaki yang berjasa kepada negeri.
Orang Besar Tiga Puluh Dua memegang gelaran-gelaran yang telah ditetapkan oleh Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara dan

Tertib kedudukan bagi Orang Besar kecuali Toh Muda hendaklah mengikut tertib kedudukan:-

Orang Besar Negeri mengikut taraf tetapi disyaratkan bahawa Toh Puan bagi Orang Besar Negeri itu hendaklah mengambil tingkat kedudukannya yang hampir di bawahnya.

Orang Besar Enam Belas

Toh Muda Orang Besar Negeri mengikut tertib kedudukan Orang Besar Negeri yang mengenainya. Gelaran-gelaran yang tiada ditentukan tertib kedudukan dalam bahagian ini mengikut tarikh lantikan bagi mana-mana gelaran yang demikian itu.
Selain daripada menjadi Ahli-ahli tetap Dewan Negara, Raja-raja Bergelar, Orang Besar Negeri, Orang Besar Enam Belas atau Toh Muda kepada Orang Besar Negeri, di atas nasihat Dewan Negara, Raja Pemerintah boleh melantik di antara mereka menjadi Orang-orang Besar Jajahan yang mempunyai fungsi-fungsi berikut:-
Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang harus diamanahkan kepadanya oleh Raja Pemerintah atau oleh Raja Pemerintah dalam Dewan Negara;
Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang diberikan kepada seseorang Orang Besar Jajahan oleh mana-mana undang-undang yang berjalan; dan
Menyempurnakan apa-apa tanggungan dan menggunakan apa-apa hak yang harus diberikan kepadanya oleh mana-mana undang-undang yang berjalan kuatkuasanya pada masa hadapan dalam negeri ini.
Orang-orang Besar Jajahan yang dilantik bertanggungjawab kepada Raja Pemerintah dalam Dewan Negara menerusi Raja Di Hilir bagi kesempurnaan apa-apa tanggungan yang diamanahkan kepadanya dan bagi kegunaan yang betul apa-apa hak yang diberi kepadanya.

ORANG BESAR EMPAT

Y.A Bhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja
Y.A Bhg. Orang Kaya Besar Maharaja Di-Raja
Y.A Bhg. Orang Kaya Temenggong Paduka Raja
Y.A Bhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan

ORANG BESAR DELAPAN

Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa di-Raja
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Seri Panglima Bukit Gantang Seri Amar di-Raja
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Shahbandar Paduka Indera
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Setia Bijaya di-Raja
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan
Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Mahakurnia Indera di-Raja

ORANG BESAR ENAM BELAS

Y.D.H Toh Seri Maharaja Lela
Y.D.H Toh Paduka Indera
Y.D.H Toh Maharaja Dewa
Y.D.H Toh Maharaja Indera
Y.D.H Toh Shahbandar Ulu
Y.D.H Toh Tan Dewa Paduka
Y.D.H Toh Paduka Setia
Y.D.H Toh Sedewa Raja
Y.D.H Toh Paduka Raja
Y.D.H Toh Perdana Indera
Y.D.H Toh Indera Jaya
Y.D.H Toh Seri Bijaya
Y.D.H Toh Seri Lela Paduka
Y.D.H Toh Amar Seri di-Raja
Y.D.H Toh Raja di-Raja
Y.D.H Toh Seri Wangsa

TOH MUDA ORANG BESAR EMPAT

Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja di-Raja
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Temenggong Paduka Raja
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Menteri Paduka Tuan
Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja

TOH MUDA ORANG BESAR DELAPAN

Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Laksmana Raja Mahkota
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa di-Raja
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar di-Raja
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Shahbandar Paduka Indera
Y.D.H Toh Muda Orang Kaya Kaya Setia Bijaya di-Raja
Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Kaya Mahakurnia
Tidak ada Toh Muda Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan

ORANG BESAR TIGA PULUH DUA

Y.D.H Toh Tan Dewa Sakti
Y.D.H Toh Kamar Lela
Y.D.H Toh Seri Indera Lela
Y.D.H Toh Sakna Bongsu
Y.D.H Toh Tan Dewa Raja
Y.D.H Toh Rakna Sakti
Y.D.H Toh Purba di-Raja
Y.D.H Toh Jana Pahlawan
Y.D.H Toh Sa Indera Lela
Y.D.H Toh Bahagia Negara
Y.D.H Toh Amar Pahlawan
Y.D.H Toh Mangku di-Raja
Y.D.H Toh Dewa Mahkota
Y.D.H Toh Sakna Menteri
Y.D.H Toh Demang Perwira
Y.D.H Toh Indera Wangsa
Y.D.H Toh Mekong
Y.D.H Toh Lela Indera
Y.D.H Toh Mahkota Lela
Y.D.H Toh Amar Di Wangsa
Y.D.H Toh Pekerma Wati
Y.D.H Toh Johan Pahlawana
Y.D.H Toh Pendewa Sakti
Y.D.H Toh Kelana Perkasa
Y.D.H Toh Kelana di-Raja
Y.D.H Toh Kohor Alam
Y.D.H Sukar Di Lawan
Y.D.H Toh Pendekar Alam
Y.D.H Toh Bijaya Wati
Y.D.H Toh Puspa Wati
Y.D.H Toh Bahtera di-Raja
Y.D.H Toh Suri Wati

Thursday, May 22, 2014

Tahun-Tahun Masehi Yang Harus Ingati Dalam Dunia Islam

Tahun-Tahun Yang Harus Anda Ingati Dalam Dunia IslamPosted on Friday, May 23 @ 07:04:23 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Agama 


"

Salam..  Sekadar perkongsian maklumat saya melalui wall facebook encik VON ROBINTROP (Id TKO) mengenai tahun-tahun yang penting yang patut anda ingati yang berkaitan dengan Islam..

Jika ada fakta2 serta tahun yang meragukan dan punya pandangan lain.. anda bebas memberi koemn dan kita akan betulkan sama2 bagi rujukan kita di masa akan datang..
0571 - Tentera bergajah Abrahah menyerang Mekah
0571 - Nabi Muhammad SAW lahir di Mekah

0595 - Nabi Muhammad SAW berkahwin dgn Khadijah RA.
0610 - Turunnya ayat Quran pertama, Iqra' (bacalah)
0620 - Peristiwa Isra'' Mikraj'
0622 - Peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah
0624 - Peperangan Badar
0625 - Peperangan Uhud
0627 - Peperangan Khandak (parit)
0628 - Perjanjian Hudaybiah
0630 - Penaklukan Mekah oleh tentera Islam
0632 - Haji terakhir Rasulullah SAW
0632 - Rasulullah SAW wafat di Madinah
0632 - Empayar Rashidun terbentuk.di semenanjung Arab
0661 - Empayar Khalifah Umaiyah tertegak di tanah Arab dan Utara Afrika
0750 - Empayar Khalifah Abbasiah berdiri n conquer semua tanah Umaiyah

0756 - Empayar Umaiyah Andalusia di Spain *
0820 - Emirates di Pulau Crete, Mediteranean
0827 - Empayar Islam Aghlabid di Sicily (skang di Italy)
0909 - Empayar Fatimiah di Mesir
1077 - Empayar Khawarizmi terbentuk di Asia Tengah
1100 - Empayar Seljuk Turki terbentuk di Asia Minor
1128 - Empayar Samudera Pasai muncul di Utara Sumatra
1136 - Kesultanan Kedah terbina sampai sekarang
1171 - Terdirinya Empayar Ayyubiah di Mesir *
1228 - Emirates of Granada di Spain
1258 - Empayar Abbasiah musnah diserang Monggol
1299 - Kemunculan Empayar gah Uthmaniyyah Turki

1382 - Mamluk ujud di Mesir *
1402 - Empayar kesultanan Melaka mengembang antar tanah melayu,Sumatra
1441 - Empayar Islam Khanate di Crimea (skang Ukraine)
1475 - Kesultanan Demak muncul di Jawa
1500 - Kesultanan Pahang..sampai sekarang
1505 - Kesultanan Mataram di Jawa
1511 - Melaka dilanggar Portugis
1520 - Palembang di Sumatra
1526 - Empayar terkuat India, Mogul bermula (conquer 90% benua India
1923 - Berakhirnya empayar besar Islam terakhir, Uthmaniyah Turki (Ottoman)

* 0756 - Andalusia...permata bagi tamadun Islam. Segala kerja2 ilmiah telah dilakukan pada era tersebur. Terdapat university2 tersohor di situ. Ramai para intelektual kristian eropah pi belajar di situ. Andalusia adalah saingan empayar Abbasiah di Baghdad. kedua2 empayar ini adalah yg termaju di dunia ketika itu.

* 1171 - Ayyubiah ni atau omputih sebut Ayyubid pengasanya adalah wira yg terkenal di era perang Salib, iaitu Salahuddin al-Ayubi (Saladin). Setelah beliay berjaya menyatukan wilayah muslin di Syam dan Mesir, Saladin berjaya menghancurkan kekuatan Salib di Baitulmaqdis dan berjaya membawa kembali kota itu ke tangan Muslim. Mesir sebelum tu di kuasai oleh emoayar Fatimiah Syiah.
* 1382 - Mamluk ni pegang Mesir selepas era dinasti Ayyubiah, mereka pahlawan tegar ketika menentang sakibaki tentera salib. Zaman Saladin adalah jugak timbang rasa dgn pelbagai perjanjian damai tapi era hujung2 perang salib, depa tak bagi chance langsung sampai habih hilang langsung tanah salib kat timur tengah. Merka berjaya mengemudi Mesir sehingga 1798. Pada tahun 1798 Napoleon seranag Mesir dan mamluk tewas...
 
"
...............................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh:
mr_zaxx
Posted on Friday, May 23 @ 07:04:23 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

peristiwa berdarah yang menyebabkan Kampung Budu, Mukim Benta musnah 122 tahun yang lalu.

Peristiwa 22 Mei wajar dikenang
Wartawan Sinar Harian
22 Mei 2014
  • Peristiwa 22 Mei wajar dikenang Roslizan (kanan) menunjukkan tapak perkuburan lama yang menempatkan jasad 100 pengikut Mat Kilau dan Tok Gajah ketika menentang tentera British.
1 / 1
KUALA LIPIS - Tarikh 22 Mei wajar dikenang dalam lipatan sejarah negeri Pahang berikutan pada tarikh berkenaan berlaku peristiwa berdarah yang menyebabkan Kampung Budu, Mukim Benta musnah 122 tahun yang lalu.

Penggiat Sejarah Lipis, Komander (B) Roslizan Ahmad Mahidin berkata, ekoran perbalahan sesama sendiri antara pembesar bagi merebut Kampung Budu telah mengakibatkan kampung berkenaan jatuh dengan mudah ke tangan British.

“Tanggal 18 Mei 1892, Kolonel Walker bersama Hugh Clifford telah bertindak sebagai wakil politik bergerak menuju Budu dari Raub.

“Mereka ditemani oleh tiga orang inspektor berbangsa Eropah, dua orang Jemadar dan 150 askar Sikh,” katanya di sini, semalam.

Roslizan berkata, ketika sampai di Kampung Budu pada 20 Mei 1892, usaha dilakukan pihak Inggeris memujuk Tok Gajah, Mat Kilau dan pengikutnya untuk berdamai dan menyerah diri.

Menurutnya, bagaimanapun, demi mempertahankan tanah air tercinta, rundingan tersebut tidak dipersetujui oleh Tok Gajah dan pengikutnya.
“Ekoran kegagalan daripada rundingan berkenaan, maka pada tarikh 22 Mei 1892 pihak Inggeris dengan kejamnya telah menyerang dan membakar Kampung Budu hingga menyebabkan banyak rumah penduduk dibakar serta binatang ternakan terkorban.
“Pihak British telah menyerang Kampung Budu dengan menggunakan senjata yang canggih pada masa itu sehingga menyebabkan kira-kira 100 orang Melayu terkorban,” katanya.
Roslizan berkata, memandangkan pihak Inggeris mempunyai askar yang ramai, menyebabkan Tok Gajah, Mat Kilau dan pengikutnya telah berundur ke Kampung Empau dan bertempur semula dengan Inggeris di situ.
“Akhirnya mereka terpaksa berundur ke Kampung Racap, Tekeong, Chat sehinggalah ke Tualang Padang. Ada antaranya mereka telah lari bersembunyi ke Bukit Raya.

“Setelah beberapa lama selepas pembinasaan yang dilakukan oleh pihak Inggeris, penduduk asal Kampung Budu kembali semula ke kampung halaman mereka dan mula membangunkan semula kampung tersebut dan sekitarnya,” katanya.

Roslizan berkata, perjuangan Tok Gajah, Mat Kilau serta pengikutnya bukan sekadar memperjuangkan tanah air semata-mata, malah turut mempertahankan agama Islam yang suci dari pada dipengaruhi oleh unsur-unsur kafir yang dibawa penjajah.

“Maka wajarlah kita kenang kembali dan memartabatkan para pejuang tulen dengan peristiwa kekejaman Inggeris di Kampung Budu serta kawasan lain,” katanya.

Thursday, May 8, 2014

Orang Cina berjasa menyebarkan Islam di Rembau dan Melaka

Orang Cina berjasa menyebarkan Islam di Rembau dan Melaka
Posted on Thursday, May 08 @ 22:40:21 MYT 
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur


Artikel

"Kalau diperhatikan banyak masjid-masjid lama di Rembau dan Melaka mempunyai senibina bercirikan budaya dari negara China. Misi Laksamana Cheng Ho ke Tanah Melayu dan Tanah Jawa telah banyak mengIslamkan penduduk di sini termasuk Parameswara sendir.

Penemuan batu bersurat di Phang-rang, Vietnam memberi petunjuk bahawa Islam turut disebarkan  dari jurusan selatan Negara China. Besar kemungkinan juga batu bersurat yang ditemui di Terengganu pada 702 H ada kaitannya dengan arus kedatangan Islam dari China. 


Cheng Ho dilahirkan pada tahun 1371 di Distrik Kunyang, Provinsi Yunnan, sebuah wilayah Tiongkok yang sejak lama sudah dihuni masyarakat China pemeluk agama Islam. Cheng Ho berasal dari bangsa Hui, salah satu bangsa minoriti Tionghoa.
Menurut buku "Ahlul Bait Rasulullah SAW & Kesultanan Melayu", Laksamana Cheng Ho (Haji Mahmud Shams 1371–1433) adalah dari keturunan Rasulullah dari Yi-Bu-Lai-Xi-Mo (Ali Zainal Abidin) bin Hou Sai-Ni (Sayidina Hussain) bin Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW.
Diceritakan Parameswara hanyalah dianggap sebagai ketua suku bagi sebuah perkampungan kecil sehinggalah beliau diakui oleh Maharaja China, Yung Lo sebagai Raja Melaka. Cheng Ho telah memerdekakan Melaka daripada Siam. Cheng Ho telah meninggalkan sebuah batu bersurat mengenai pengisytiharan ini namun ianya telah dimusnahkan pada 1512M ketika jatuh ketangan Portugis.
Warna kuning yang menjadi warna kebesaran sultan adalah anugerah kerajaan China yang bermula dengan pelbagai hadiah kebesaran yang dipersembah oleh Cheng Ho seperti payung berwarna kuning.
Ukiran masjid-masjid telah dibantu oleh petukang dari China yang pulang bersama-sama Parameswara yang berangkat dengan 450 orang pengiring setelah menerima jemputan Maharaja Yung Lo selepas Parameswara memeluk agama Islam.
Di Jawa Timur ada dua masjid yang menggunakan nama Masjid Muhammad Cheng Ho di Surabaya dan satunya lagi di Pandaan, Kabupaten Pasuruan.
Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai di kata
Badan dan nyawa saya berikan
Pantun ini memberi gambaran bagaimana orang Cina yang menetap di tanah Jawa datang membantu mempertahankan Melaka ketika Portugis menyerang Melaka.
Pemerintah China dari Dinasti Ming telah mengadakan hubungan dagang yang akrab dengan Melaka sebelum kedatangan Portugis. Dinasti Ming begitu marah apabila Portugis menyerang Melaka. Sebagai tindakbalas, apabila wakil tentera Portugis tiba di tanah besar China, mereka telah diserang, dibunuh atau dipenjara.
Pedagang dari China telah memboikot urusan dagang dengan Portugis di pelabuhan Melaka. Orang-orang Cina di Melaka telah berpindah untuk berdagang melalui Sg Linggi dan di pelabuhan Lubok China, Rembau.
Itulah sebabnya nama tempat ini diberi nama Lubok China. Anak Bendahara Tun Perak iaitu Tun Zainal Abidin telah dilantik menjadi Dato Lubok China.
Oleh kerana itu Dato Syahbandar telah dilantik merupakan Orang Besar Undang di Rembau dari suku Biduanda Sedia Raja (Waris Nan Dua Carak) untuk menjaga perihal pengurusan pelabuhan dan percukaian di Lubuk China.
 


Wednesday, May 7, 2014

Siapa kata hanya PAS parti fundamentalis

Siapa kata hanya PAS parti fundamentalis

Sebagai seorang yang semakin pesimis, saya selalu mengambil jarak dari mengulas tulisan-tulisan di media massa. Bagaimanapun, tulisan cerdas Fathi Aris Omar, "Siapa kata hudud PAS demi undi", berjaya menarik tangan saya mengetik bagi memberi sepintas tanggapan.

Tesis, kalau saya boleh guna istilah ini, Fathi mudah: Bahawa impian PAS melaksanakan hudud adalah bukan demi undi. Tapi, demi agama.

Saya fikir tesis ini sudah ranum. Seraya, sebahagian besar analisa Fathi telahpun diperkukuhkan dengan istilah-istilah, penjelasan-penjelasan dan contoh-contoh yang wajar.

Justeru, tanggapan saya ini adalah tidak lebih dari menolong dalam menempatkan analisa yang Fathi paparkan tersebut ke dalam sebuah kerangka yang mungkin lebih sedikit tersusun, meskipun pada akhirnya ini hanyalah sebuah catatan sederhana sahaja.

Ini kerana, Fathi secara umumnya hanyalah menjelaskan fenomena bagi sebuah konteks parti politik agama, yang mana dalam kes ini adalah PAS.

Namun, Fathi -- secara sengaja mungkin -- telah mengabaikan bahawa fenomena yang serupa juga sedang terjadi pada sebahagian besar kelompok-kelompok yang terdapat di Malaysia.

Misalnya, Fathi menegaskan bahawa PAS meletakkan sistem agama adalah sistem yang tertinggi, hingga mengatasi segala sistem yang sedia ada, termasuklah sistem politik, sistem hukum, sistem ekonomi, sistem ketenteraan, hatta sistem hubungan intim sekalipun.

Hemat saya, ini adalah pandangan yang berdasar.

Sungguhpun begitu, jangan kita lupa, bahawa kebanyakan pergerakan (politik mahupun NGO) di Malaysia turut mengusung kecenderungan yang sama.

Maksud saya di sini, kecenderungan organisasi pegerakan di Malaysia untuk menempatkan sebuah sistem tunggal yang mampu melarutkan semua sistem yang lain.

Slogan eufemisme

Sebagai contohnya, terdapat parti politik lainnya di Malaysia yang berkira-kira bahawa dengan menguasai sistem politik (lewat slogan eufemisme seperti keadilan, hak asasi manusia, kebebasan, ruang awam, rakyat, dll), maka mereka kemudiannya dapat mengubah sistem-sistem yang lain, termasuklah ekonomi, agama, hukum, pendidikan dan lain-lain.

Jadi, dalam hal ini, saya fikir fenomena fundamentalisme bukan hanya terperangkap dalam jasad PAS semata, sebaliknya itu seakan sudah sebati dalam amalan kebanyakan organisasi yang bersifat politik di Malaysia.

Malah, penyakit yang sama juga lebih-lebih lagi menimpa kelompok yang bersifat ideologi (katakan saja, sosialisme, libertarianisme, anarkisme, liberalisme, Trotskyisme, feminisme, dan lain-lain) yang mana kalangan ini percaya pada ideologi tertentu lalu ingin menerapkan seluruh sistem kemasyarakatan (social system) yang sedia ada ke dalam sebuah pandangan-alam ideologi mereka.

Bagi saya, inilah kemelutnya: Di mana terdapat kegagalan kita untuk memisahkan sistem-sistem kehidupan dalam masyarakat, yang mana ini akhirnya berupaya menjadikan sesebuah kelompok itu condong ke arah ekstremisme, atau dalam bahasa Fathi, fundamentalisme.

Sebab itu, sekali lagi, saya sepakat dengan Fathi bahawa PAS adalah sebuah parti fundamentalis. Sepakat, kerana saya mendefinisikan fundamentalisme sebagai keadaan di mana adanya kelompok yang secara sembarangan membahagikan seluruh dunia (lebih tepat lagi: Dunia, dengan D besar) ini antara "kami" dan "mereka", atau dalam kes ini, antara "PAS" dan "bukan-PAS".

Pembahagian semberono ini juga, sebetulnya hanyalah gambaran dari pemakaian kaedah mudah, yang mana ia tidak memerlukan kejelasan operasi, kod, medium, dan program yang teratur dan canggih dalam menganalisa sistem kemasyarakatan.

Kalau anda bukan beragama Islam yang dalam corak PAS, maka ringkasnya anda adalah bukan-Islam-PAS (yang perlu diselamatkan atau perlu dilawan).

Jadi, dengan mempertimbangkan pendekatan pemasukan/ pengecualian (inclusion/exclusion), maka PAS di sini telah memuatkan semua sistem yang sedia ada ke dalam sebuah sistem agama mereka.

Maka, dalam kata lain, bagi PAS, agama adalah sebuah supersistem, yang boleh campurtangan dalam segenap aspek kehidupan bermasyarakat.

Lalu, dengan menjadikan agama sebagai sebuah supersistem, maka seluruh kemajuan analisa moden sebenarnya tidaklah diperlukan lagi. Ini kerana, seluruhnya sudah tertumpuk pada sebuah takrif agama versi PAS.

Persoalan moraliti

Maka, bertitik-tolak dari keadaan inilah, fundamentalisme boleh muncul. Manakala, fundamentalisme agama, sejauh yang saya faham pula, adalah sebuah wabak kepada kelompok yang memikirkan bahawa semua sistem adalah ternaung di bawah payung agama (versinya!).

Dengan mengambil kedudukan ini, maka kita akan dapat melihat sikap puak PAS terhadap tema-tema, seperti yang dikutip Fathi, "rasuah, demokrasi, pilihan raya adil, kebebasan media, kemiskinan, kemerosotan universiti, kerjasama dengan DAP atau Pakatan Rakyat" sebagai hal yang enteng sahaja berbanding dengan agama.

Apapun, sekali lagi, kita tidak sepatutnya menunding sepuluh jari kepada PAS tentang fundamentalisme ini. Ini kerana, fundamentalisme adalah sebuah cabaran bagi pemodenan, dan ini lazim boleh ditemui di dalam kebanyakan pergerakan yang bersifat ideologi dan keagamaan.

Dengan izin, kalau saya boleh memperluaskan lagi konteks ini, maka saya ingin menyatakan bahawa dilema masyarakat kita (yang sedang dalam transisi ke arah moden) ini bukan hanya persoalan perlaksanaan atau penolakan hudud, bahkan lebih dari itu.

Maksud saya ialah, kita pada hakikatnya sedang terjebak dalam persoalan moraliti tatkala mengamati sebarang fenomena kemasyarakatan.

Masyarakat kita, juga seperti masyarakat kebanyakan negara-negara membangun yang lain, memang gagal untuk mengobjektifkan sistem-sistem kehidupan yang sedia ada. Natijahnya, kita dengan mudah akan melakukan pemoralan terhadap segala fenomena kemasyarakatan.

Maaf, sekiranya ada kesulitan untuk memahami tentang frasa "mengobjektifkan sistem-sistem kehidupan" dan "pemoralan."

Namun, apa yang ingin saya tekankan di sini ialah mengenai kegagalan masyarakat kita untuk bertindak dalam lingkungan autonomi sistem, yang mana autonomi sistem ini sebenarnya boleh membantu masyarakat moden untuk berfungsi secara efektif dan lancar.

Maka, dengan kegagalan memastikan autonomi sistem ini, sudahnya kita dengan senang akan jatuh dalam kegiatan pemoralan.

Misalnya, kita akan tergoda untuk menilai sesuatu berdasarkan kepada pembahagian baik-jahat, sepertimana yang sedang PAS lakukan terhadap sebahagian warganegara Malaysia yang menentang perlaksanaan hudud.

Neutral, amoral, non-humanistik

Walhal, konsep autonomi sistem itu mestilah bersifat neutral, amoral, dan non-humanistik.

Saya ingin berhati-hati dengan tiga istilah terakhir yang saya petik ini, kerana kata-kata ini boleh diperbincangkan lagi.

Meskipun begitu, menurut saya, sebahagian besar sisi pandang kita terhadap konsep masyarakat selama ini sudah dicemari dengan tindakan campurtangan (tindakan dari atas), moraliti (sukatan kebaikan-keburukan dalam menilai sesuatu) dan kemanusiaan (manusia adalah segalanya).

Bagaimanapun, hal ini tidaklah saya ingin bahas lanjut, melainkan ada debat yang mungkin akan sampai ke sini.

Pokoknya, apa yang ingin saya nyatakan dalam tulisan ini adalah ringan sahaja: Bahawa wabak fundamentalisme bukanlah penyakit PAS semata, tapi juga penyakit hampir semua kelompok (terutamanya kelompok idealogi dan keagamaan) di Malaysia.

Lantaran itu, kesan fundamentalisme ini tetaplah sama, dengan apa dikumandangkan oleh PAS: iaitu ekstremisme dan keringkasan (simplicity).

Namun, saya akur, bahawa tentu sekali fundamentalisme agama ini barangkali adalah paling lantang digegerkan oleh PAS.

Agama, dalam penakrifan PAS, tidak lain dan tidak bukan adalah sebuah supersistem yang kononnya merupakan penawar kepada seluruh fenomena kemodenan.

Tapi, sejauh yang saya insaf, itu bukanlah penawar. Sebaliknya, apa yang PAS perjuangkan pada tahap awalnya adalah merupakan gangguan (irritation) kepada evolusi masyarakat moden.

Sementara, pada tahap terakhirnya boleh bertukar wajah menjadi supersistem -- sebuah sistem agama gergasi yang mampu menelan serba-serbi.

Dan, malangnya, nama lain bagi supersistem (dalam konotasi politiknya) ini ialah totalitarianisme.

DIAN ERFANI surirumah sepenuh masa dan boleh dihubungi menerusi erfani.dian@gmail.com.

apa kita risau hudud PAS

Untuk apa kita risau hudud PAS?

ULASAN Tidak semua Islamis, termasuk dalam PAS, percaya strategi politiknya harus mengutamakan pelaksanaan hudud. Mereka percaya pada hudud tetapi tidak melihat keutamaannya membuta tuli.

Golongan ini bolehlah digelar "Islamis moderat" atau "rasionalis", bagi membezakan puak fundamentalis totok yang menafsir hudud sebagai keutamaan politik.

Kita gelar mereka ini "moderat" atau "rasionalis" kerana mereka lebih memberatkan realiti semasa dan konteks zaman dalam projek Islamisasi.

Mereka ini "kaum kontekstual" – yang menyusun strategi kuasa melalui kajian, pujukan dan bahasan – berbeza daripada "puak tekstual" yang memberatkan firman kitab suci dalam kerangka pertolongan ghaib dari Tuhan melalui tekanan propaganda.

Semua Muslim, termasuk dalam gerakan-gerakan Islam, yang beriman pada pelaksanaan hudud dan syariah berada dalam dua kelompok besar ini.

Tidak sama dengan Muslim yang ragu atau risau, Islamis moderat ini lebih mempercayai hudud dalam semangat asas atau tujuan pokok agama: Keadilan dan rahmat seluruh alam.

Hudud itu hanya satu "bentuk" kehidupan beragama yang harus bernafas dalam "semangat" agama yang lebih besar.

Mereka melihat "isu keselamatan" yang luas; bukan sekadar pakaian seragam, gelar ketenteraan atau persenjataan. Mereka melihat "persoalan pendidikan", bukan sekadar buku teks, sukatan pelajaran atau bilik darjah.

Fundamentalis percaya hudud sebagai senjata dan pakaian seragam; sebagai buku teks dan bilik darjah; bukan persoalan-persoalan keselamatan dan pendidikan. Mereka melihat "bentuk hukuman", bukannya keadilan, kesejahteraan awam atau kesaksamaan umum.

Islamis moderat atau rasionalis selalunya tidak terburu-buru menyediakan enakmen hudud; sebaliknya mereka lebih memikirkan strategi meyakinkan masyarakat, mengukuhkan kerjasama politik dan mengekalkan populariti kuasa.

Sebab tanpa kuasa, hudud hanyalah angan-angan, buku teks atau kuliah di rumah ibadat.

Fundamentalis totok tidak memberatkan hal ini. Paradoks pelik yang mereka lupakan dalam imaginasi keagamaan; paradoks Tuhan tanpa manusia.

Paradoks atau tidak, fundamentalis lebih yakin pada pertolongan ghaib dari Allah jika kita sungguh-sungguh beriltizam inginkan hudud. Laksanakan dulu, sediakan enakmen, cuba dulu dan kita lihatlah kesannya nanti.

Sebab itu, PAS dalam semangat fundamentalismenya segera meluluskan enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu, masing-masing tiga tahun selepas memenangi pilihan raya umum.

Soal bagaimana mengekalkan kuasa, dan melegakan pengundi agar terus selesa bawah pentadbirannya, bukan isu terlalu pokok. Bagaimana mencipta keyakinan rakyat pada kepemimpinannya dan mensejahterakan mereka, itu bukanlah isu utama.

Biar rakyat tolak, termasuk majoriti pengundi Islam di Terengganu, yang penting -- sewaktu berkuasa, PAS mesti melaksanakan hudud sebagai tiang seri pentadbiran Islamnya.

Tidak penting bagaimana pengundi menaikkan PAS, atas semangat agama atau sentimen lain; yang penting, selepas diberi kuasa, kita mesti laksanakan hudud.

Kata-kata Tuhan harus dengan pantas dipasakkan begitu sahaja atas kepala-kepala manusia. Lagi pula, bagi fundamentalis, kata-kata suci memang untuk ditukulkan saja ke dalam benak manusia yang banyak kerenahnya.

Namun, sama ada Islamis moderat atau fundamentalis totok, jika strateginya kini mendendangkan agenda hudud, maka tokoh-tokoh PAS tiada pilihan lain kecuali mengazankan seruan yang sama.

(ii)

Di luar lingkungan fundamentalis, Muslim moderat, modenis atau rasionalis melihat agenda hudud PAS dengan sejumlah keraguan pelik.

Bagi fundamentalis, hudud itu ibarat Tuhan yang diktator; manusia harus diam; hanya Tuhan berbicara.

Bagi Islamis moderat atau rasionalis, hudud itu umpama Tuhan yang memimpin di tengah-tengah manusia. Dialog dimungkinkan tetapi keputusan-Nya muktamad.

Bagi Muslim yang bukan fundamentalis dan bukan pula Islamis, hudud itu bicara Tuhan di pentas perdebatan; banyak pertikaian dan banyak pula sanggahannya.

Apakah memang hudud itu sejenis hukuman beku yang tidak boleh diubah-ubah lagi? Bukankah masyarakat sebelum Quran juga pernah melaksanakan hukuman itu?

Apakah sememangnya begitulah maksud Tuhan atau Dia hanya menyampaikan hukuman dalam konteks zaman Nabi Muhammad saja? Kita boleh mengubah "bentuknya" selagi tujuan asasinya –  keadilan – tercapai.

Kita boleh menambah lagi pertikaiannya; kita tidak meragui hukum hudud tetapi tidak yakin PAS boleh melaksanakannya atas was-was kita pada parti itu. Selalunya, dulu, beginilah hujah Umno mempertikaikan "hudud PAS".

Sementara yang lain tercengang-cengang: Apakah sememangnya hudud dapat menyelesaikan kemelut umat?

Tiada negara yang melaksanakan hudud boleh dijadikan contoh; malah pelaksanaan hudud di negara yang kacau (failed states) tidak membawa rahmat yang dihajati.

Seperti solat hajat tidak menemukan kita pesawat hilang; seperti ibadat dan doa kita tidak menambahkan kemanusiaan diri Islam kita.

Semua ritual dan simbolisme agama hanya cabang kebudayaan umat yang tidak meningkatkan darjatnya di mata dunia.

Tidak mungkin hudud dengan automatis merungkai semua malapetaka itu. Jadi, hudud atau tidak, beginilah nasib umat Islam jika hal-hal lain tidak sama-sama dititikberatkan.

Pertikaian lain, yang selalu kita dengar, hudud itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ia akan mewujudkan dualisme perundangan; akan merungkai asas kenegaraan kita yang sekular. Hudud akan memacunya menjadi sebuah negara teokrasi.

Ada juga yang berhujah, saya menolak hudud kerana saya tidak mahu dikawal undang-undang agama, tidak kira Islam, Kristian atau agama apa sahaja!

(iii)

Keraguan dan was-was hudud itu di kalangan Muslim, dan bukan Muslim juga, kadang-kadang sampai di peringkat berhujah dengan tidak konsisten.

Sehingga kaum penentang fundamentalisme agama ala PAS turut termakan propaganda parti itu sewaktu mereka cuba mempertikaikan hudud!

Mereka menolak, atau mempertikai, pelaksanaan hudud atas dua cabang teknikal utama (a) keperlembagaan dan dampak perundangannya, dan (b) keagamaan dan kesan sosio-budayanya.

Cabang pertikaian (a) kini cuba diselesaikan antara Kota Bharu dengan Putrajaya.

Selain azam politik yang kuat, ia boleh diatasi dengan syarat enakmen hudud dibuang nilai sakral agamanya dan dianggap satu ruang perundangan sekular.

Cabang sanggahan (b) boleh dipatahkan dengan cara yang sama, dengan membuang nilai sakral agama.

Ertinya enakmen hudud itu dianggap satu set perundangan yang sama dengan undang-undang ciptaan manusia.

Ia tiada nilai agama dan tidak relevan dirujukkan pada hal-hal keagamaan (kecuali pada mereka yang meyakini sedemikian).

Seperti set perundangan nikah kahwin dan pembahagian harta yang dijadikan berbeza antara Islam dan bukan Islam.

Walaupun Muslim beranggapan hukum-hakam agama harus memandu perundangan nikah kahwin dan pembahagian harta, hakikatnya perkahwinan dan pengagihan harta dua kaedah sekular dan manusiawi yang rutin-rutin saja.

Hakikatnya, tanpa agama, manusia menguruskan sistem pernikahan dan pembahagian aset.

Seperti juga jual beli dan perbankan. Walau Muslim beranggapan sistemnya mempunyai nilai agama (sakral) tetapi perbankan, insuran dan jual beli boleh dikendalikan dengan beberapa cara, termasuk tanpa merujuk agama.

Atas pilihannya, penyimpan wang bukan Muslim boleh mengambil untung dalam kaedah perbankan Islam.

Begitu juga enakmen hudud. Kepada kaum liberal, rasionalis dan modenis Muslim, apa lagi perlu dirisaukan jika kita anggap hudud itu seperti akta sekular?

Ia hanya satu set undang-undang jenayah, selain tidak banyak dilaksanakan, ia juga kelihatan kejam. Apakah anda menolak hudud atas sandaran ini: Kerana ia tidak manusiawi dan bersumberkan sejarah purba?

Kepada bukan Islam, lupakan hudud datang daripada al-Quran atau anggap sahaja kitab suci itu setaraf Das Kapital atau Mahabharata. Apakah agaknya hujah anda?

Kita belum membahaskan merit perundangan hudud atas merit sekularnya tetapi sering risau kerana bayangan sakral agamanya.

Jika hudud itu dibayangkan sebagai satu set perundangan sekular – yang dicipta dari akal, boleh dibantah, dipinda dan singkirkan melalui undi – apakah tafsiran isu hudud boleh membawa kefahaman baru?

Bahagian 1: Siapa kata hudud PAS demi undi

Bahagian 2: Hudud PAS: Apa lagi Najib mahu?

FATHI ARIS OMAR seorang editor di Malaysiakini.