Sunday, September 12, 2021

Tun Salleh Abbas belum terbels

 https://facebook.com/story.php?story_fbid=3958334460877249&id=100001022016761


PEMERGIAN TUN SALLEH ABAS: KEZALIMAN YANG BELUM TERBELA DAN PENGHARAPAN YANG BELUM TERTUNAI  


Masih saya ingat lagi bagaimana, setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri mengumumkan di JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur, pada 17 April 2008 bahawa Kerajaan Malaysia akan memberi bayaran ex gratia kepada Tun Salleh Abas atas pemecatan beliau sebagai Ketua Hakim Negara oleh pentadbiran zaman Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Ogos 1988, saya telah menemui Tun Salleh Abas di Hilton Hotel, Petaling Jaya, pada 7 Mei 2008 bagi merundingkan mengenai bayaran ex gratia tersebut.


Tun Salleh Abas waktu itu bertegas tidak akan menerima sebarang bayaran melainkan ia disertai oleh permohonan maaf daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau sifatkan bertanggungjawab penuh ke atas pemecatan beliau atau, jika ini tidak dapat dilakukan, oleh penubuhan suruhanjaya bebas bagi mengkaji keabsahan pemecatan beliau dengan menyebut bahawa jika bukti baru diperlukan oleh kerajaan beliau sedia menyerahkan satu bukti yang beliau tidak pernah keluarkan demi menjaga hati pihak tertentu.


Ketegasan ini Tun Salleh Abas tunjukkan dalam satu surat rasmi peguam beliau menyebabkan Menteri Undang-Undang waktu itu merasa teramat marah sekali serta langsung tidak mahu melayan lagi sebarang permintaan daripada pihak Tun Salleh Abas serta mengharamkan mana-mana pegawai beliau daripada bertemu beliau, tetapi larangan ini saya tidak patuhi dalam mana saya senyap-senyap menemui dan memujuk beliau supaya menerima sahaja bayaran ex gratia tersebut kerana itulah yang terbaik boleh dilakukan waktu itu.


Alhamdulillah, Tun Salleh Abas akhirnya lembut hati dan bersetuju menerima bayaran ex gratia tersebut selain bersetuju memujuk lima rakan atau waris rakan beliau yang lain, iaitu  Datuk George Seah, Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh dan Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, untuk turut menerima bayaran ex gratia tersebut yang menggembirakan Menteri Undang-Undang yang akhirnya turun padang dan pergi sendiri ke kediaman mereka untuk menyampaikannya.


Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam pada itu, berang dengan bayaran ex gratia tersebut dan secara tiba-tiba sahaja mendedahkan kepada dunia melalui blog beliau, Che Det, pada 6 Jun 2008 bahawa pemecatan Tun Salleh Abas sebenarnya bukan berpunca daripada beliau, tetapi adalah berpunca daripada Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Iskandar, yang tidak puas hati atas tindakan Tun Salleh Abas mengadu kepada Baginda dan Raja-Raja Melayu lain berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda.


Dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad, di dalam salah satu daripada mesyuarat mingguan beliau dengan Almarhum Sultan Iskandar, Baginda telah menyatakan ketidak puasan hati Baginda terhadap tindakan Tun Salleh Abas mengadu kepada Baginda dan Raja-Raja Melayu lain berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda (selain satu aduan lain mengenai serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap badan kehakiman) dan meminta beliau menyingkir Tun Salleh Abas daripada jawatan Ketua Hakim Negara.


Fakta-fakta yang ada ialah penggantungan jawatan Tun Salleh Abas (26 Mei 1988) berlaku tiga hari selepas beliau mengarahkan kes rayuan pengharaman UMNO didengar oleh koram penuh Mahkamah Agung (23 Mei 1988), pembatalan arahan Tun Salleh Abas di dalam kes rayuan pengharaman UMNO dibuat hari sama dengan penggantungan jawatan beliau (26 Mei 1988), dan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menyebut kepada beliau mengenai pendirian berat sebelah beliau dalam kes rayuan pengharaman UMNO (27 Mei 1988).


Begitupun, Tun Dr Mahathir Mohamad, di dalam tulisan beliau ini dan di dalam memoir beliau, menafikan bahawa pemecatan Tun Salleh Abas adalah berpunca daripada ketidak puasan hati beliau terhadap tindakan Tun Salleh Abas mengarahkan kes rayuan pengharaman UMNO didengar oleh koram penuh Mahkamah Agung di samping menegaskan bahawa ia adalah berpunca daripada ketidak puasan hati Almarhum Sultan Iskandar terhadap aduan Tu


n Salleh Abas berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda.


Saya sendiri banyak kali menanyakan Tun Salleh Abas mengenai surat beliau kepada Almarhum Sultan Iskandar dan Raja-Raja Melayu lain berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda tetapi beliau berkali-kali juga menafikannya, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad pula, walaupun menyebut di dalam memoir beliau bahawa beliau sedia bersumpah dengan menjunjung al-Qur'an bahawa surat inilah yang menjadi punca pemecatan Tun Salleh Abas, tidak pula pernah menunaikan sumpah ini walaupun dicabar.


Pemergian Tun Salleh Abas hari ini segera mengingatkan saya mengenai pengharapan beliau agar Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada beliau kerana memecat beliau dan agar ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji keabsahan pemecatan beliau tetapi, mengenali Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah hampir mustahil untuk kita mengharapkan beliau berbuat demikian menjadikan satu cara lain perlu difikirkan bagi membersihkan dengan sepenuhnya nama beliau, termasuk kemungkinan penubuhan suruhanjaya bebas.


Pada 26 Julai 2008, Panel Tokoh-Tokoh Terkemuka Untuk Mengkaji Semula Krisis Badan Kehakiman 1988 Di Malaysia merumuskan: “Bukan sahaja Tun Salleh tidak bersalah sedikit pun dan tiada sebarang tuduhan terhadapnya mempunyai asas, tetapi sebenarnya Tun Salleh telah menjalankan kewajipan perlembagaannya untuk menjunjung dan melindungi doktrin pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang demi kepentingan negara yang lebih besar. Kesimpulan yang tidak dapat dielakkan, ialah pemecatan Tun Salleh adalah non est.”


Begitupun, perlu diingat bahawa Panel Tokoh-Tokoh Terkemuka yang dipengerusikan oleh Bekas Ketua Hakim Negara India, Hakim (Bersara) Mr. J.S. Verma serta dianggotai oleh Hakim (Bersara) Mr. Fakhruddin G Ebrahim, Dr. Pn. Asma Jahangir, Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Mr. Gordon Hughes dan Dato’ W.S.W. (Bill) Davidson adalah ditubuhkan bukan atas inisiatif pihak kerajaan, tetapi atas inisiatif Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Antarabangsa, Lawasia dan Transparency International-Malaysia.


Agak penting juga ialah pembersihan nama Tun Salleh Abas ini akan membawa bersamanya pembersihan nama Almarhum Sultan Iskandar sebagai dalang pemecatan beliau, apa lagi bila asas yang sering digunakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memalitkan nama Almarhum Sultan Iskandar kelihatan terlalu dangkal, iaitu kerana Baginda kononnya tidak berpuas hati dengan tindakan Tun Salleh Abas mengadu kepada Baginda dan Raja-Raja Melayu lain berkenaan bunyi bising kerana kerja-kerja baikpulih di Istana Baginda.

 

Sebab itulah, bila Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi dakwaan ini di dalam memoir beliau, seorang penulis, Ahmad Lufti Othman, menyebut di dalam rencana beliau bertajuk “Menyanggah Memoir Mahathir” pada 8 Mac 2011 bahawa: “Jelas ia satu pembohongan. Kalaupun Agong murka dengan Tun Salleh atas alasan peribadi, Perdana Menteri bertanggungjawab menasihati baginda bahawa kes sekecil itu langsung tidak membabitkan salahlaku kehakiman sehingga memerlukan penggantungan dan penubuhan tribunal.”


Begitulah juga bila Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi dakwaan ini sambil menyebut beliau sedia bersumpah mengenainya ketika berucap di Cooler Lumpur Festival pada 13 Jun 2015, anakanda Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Abdul Majid Idris, menulis di laman Facebook beliau: “Mahathir, please don’t blame people who can’t defend themselves anymore,”  dan: “Mahathir used my father to remove Tun Salleh, period. Tun Salleh is a good man and my father acknowledged that. He has already made his peace with Tun Salleh.”


Sesungguhnya pemergian Tun Salleh Abas pada hari ini adalah satu kehilangan yang amat besar kepada negara kerana, selain pelbagai jasa besar beliau atas pelbagai kapasiti kepada agama, bangsa dan negara, beliau adalah simbol terbesar kepada segala kezaliman yang menghantui negara ini sejak sekian lama, bayangkanlah sahaja apa yang akan berlaku kepada negara kita jika Tun Salleh Abas tidak dipecat dan kes rayuan pengharaman UMNO benar-benar didengar oleh k


oram penuh Mahkamah Agung yang diketuai oleh beliau hari itu.


Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Almarhum dan semoga Allah memakbulkan pengharapan Almarhum yang belum tertunai supaya nama Almarhum dibersihkan.

Tassawuf Digeruni Dajjal

 *TASSAWUF DIGERUNI DAJJAL*


Kisah Tassawuf dan tareqat digeruni Dajjal, orang kafir dan pengikutnya.

 

Kenapa Dajjal, Eropah, Freemason, illuminati sangat benci kepada ilmu tasawwuf dan tareqat?


Sebabnya, tasawwuf mengajarkan kita penyucian hati dan taqarrub (dekat) dengan Allah dan apabila hati suci dan dekat dengan Allah, maka nusrah (pertolongan Allah) akan terzahir seperti yang berlaku kepada para Sahabat Nabi SAW yang hanya dengan 313 tentera dalam keadaan kelengkapan yang kurang, dapat mengalahkan 1,000 tentera kafir yang lengkap bersenjata dalam Perang Badar, begitu juga yang berlaku kepada Sayyidina Khalid Al-Walid r.a, hanya dengan membawa 59 orang tentera terdiri daripada para Sahabat, mereka dapat menghancurkan tentera Rom seramai 60,000 orang yang lengkap berbaju besi dan bersenjata canggih.


Sejarah telah membuktikan peperangan demi peperangan Islam dengan kafir adalah asbab amalan-amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT yang para Ulama' namakan dengan ilmu *Tasawwuf* dan aqidah yang sohih iaitu aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang disusun melalui mazhab oleh Asya'irah dan Maturidiyyah. Cuba baca sejarah Sultan Salahuddin al-Ayubi yang merupakan seorang sufi (ahli tassawuf) dan berakidah Asy'ari dan bermazhab Syafi'e, baca sejarah Sultan Muhammad al-Fatih yang juga seorang sufi dan bermazhab Hanafi dan berakidah maturidi dan ramai lagi para Mujahid lain.


Begitu juga peperangan moden seperti perang Afghan dengan Rusia yang lengkap bersenjata dapat dikalahkan oleh orang Afghan yang pakai senjata murah tapi mereka bermazhab Hanafi, beraqidah Maturidi dan ahli tareqat (sufi) chisty dan lain-lain tareqat, maka tentera Rusia yg lengkap bersenjata itu hancur lebur. Begitu juga dengan para mujahid Chechen yang menentang Rusia juga mempunyai kelengkapan perang yang sedikit tetapi mereka bermazhab Syafi'e, beraqidah Asy'ari dan mengikut tareqat Naqshabandi, dan mereka berjaya menghancurkan musuh dengan zikir.


Di Tanah Melayu juga, para pejuang Melayu yang menentang orang kafir penjajah semuanya bermazhab Syafi'e, beraqidah Asy'ari dan ahli Sufi.


Kepada yang biasa dengan sejarah Islam, tentu tahu kisah Nabi Sulaiman a.s. yang mahukan istana Balqis dibawa ke depannya lalu Jin Ifrit menawarkan diri untuk membawa, tapi masa yang dia perlukan agak lama, kemudian seorang ahli ibadat yang merupakan seorang sufi menawarkan diri untuk membawa istana tersebut hanya dengan sekelip mata.


Sejak dari hari itu syaitan, jin, Dajjal, iblis sangat ANTI kepada ahli Sufi kerana *teknologi* mereka lebih hebat. Ahli Sufi memang terkenal sebagai jemaah zikir yang sangat digeruni Dajjal dan pengikutnya kerana nusrah Allah sentiasa bersama mereka kerana Allah berfirman mafhumnya "ingatlah Aku maka pasti Aku akan mengingatimu."


Dajjal dan illuminati berusaha keras untuk hapuskan fahaman sufi dan tareqat daripada umat Islam tapi selama ratusan tahun mereka tidak berjaya. Akhirnya mereka sedar yang jemaah sufi tidak boleh dihapuskan dengan kekerasan tentera sepertimana mereka tidak boleh hapuskan para Sahabat dengan kekerasan. 


Selepas itu apa yang Dajjal cuba lakukan?


1. Mereka jauhkan ahli Sufi dengan amalan-amalan sufi mereka dengan memperkenalkan pelbagai hiburan, wang dan sebagainya sehingga umat Islam pun leka dan sibuk dengan hiburan dan dunia. Sedangkan sejak dahulu kaum Sufi sangat terkenal dengan prinsip zuhud yang tidak ada kebesaran dunia dalam hati mereka seperti hiburan, wang dan lain-lain lagi. Bila ahli Sufi dijauhkan daripada amalan sufi, maka Allah tidak akan membantu mereka lagi lalu mereka dihancurkan oleh tentera kafir.


2. Dajjal dan illuminati tahu mereka tidak dapat memfitnah kaum sufi kerana tidak ada orang Islam yang akan percaya kepada orang kafir, maka mereka wujudkan 3 jemaah seperti yang diceritakan oleh Syeikh Ramadhan al-Butti iaitu jemaah wahabi untuk menyesatkan benua Arab, jemaah Qadiani untuk menyesatkan benua India dan jemaah Baha'iyyah untuk sesatkan benua Asia.


Ketiga-tiga jemaah ini wujud secara serentak dalam satu masa dan mereka berjaya menyesatkan umat Islam secara besar-besaran.


Waliyazubillah

Rentitan perumahan Tanjong Tokong

 Tudia....

Bermula Tubuh Ajk Badan Bertindak Penduduk Tanjung Tokong...tidak begitu dilayan banyak pihak atas nama Badan Bertindak...


Kemudian atas nasihat/cadangan Allahyarham Dato Hamdan Abdul Rahman ( Adun Permatang Pasir) mahu tertubuhya Persatuan Suara Penduduk Tanjung Tokong secara rasmi berdaftar (ROS),maka bermula Penaja berakhir dirasmikan .


Tuan Musannif Zainal Abidin (Ketua Cawangan Pas Tanjung Tokong) di beri amanah sebagai pengerusi oleh penduduk untuk buat Tuntutan rumah ganti rumah bersama rakan rakan yang lain.


Tudia terlibat secara tidak langsung,dari Kertas kosong hingga Kertas penuh Tulisan.


Terima kasih kepada Tuan Haji Halim Salleh YDP Pas Kawasan Bukit Bendera dan Ajknya kekuatan tunjang Tuntutan Rumah Ganti Rumah Kampung Tanjung Tokong.


Tak lupa juga terima kasih pada Pas Penang,Lajnah Tanah Perumahan Pas Pusat /Negeri dan lain lain turut membantu mencapai hasrat Tuntutan Rumah Ganti Rumah.


Pas Penang dah berjaya buktikan Tuntutan Rumah Ganti Rumah boleh dicapai Bukan sekadar cakap cakap.


Ringkas cerita...

Perjuangan Tuntutan Rumah Ganti Rumah memerlukan Istiqamah berpanjangan ,ketahanan mental dan fizikal,ugutan jangan cakap laa...banyak lagi .


Hari ini satu Malaysia dapat saksi Rumah Bernilai RM400,000 harga pasaran sekarang sudah diserahkan kepada penduduk Tanjung Tokong secara percuma oleh pemaju UDA Berhad.


Penduduk Melayu Tanjung Tokong tidak berpindah masih kekal di Pangsapuri Warisan Tanjung.


Syukur...

Tahniah rakan seperjuangan,

Rumah baru sudah terima.


Jom isu borang Pas.


Catitan Tudia

PAS bersama ulama

Ramai yang tidak sedar bahawa PAS atau Parti Islam Se-Malaysia juga turut ditubuhkan bersama oleh ulama yang berbangsa Cina atau berketurunan Cina beliau adalah Tuan Haji Mansur JP.


Nama sebenarnya ialah Haji Mansur Bin Haji Hassan. Ayahnya bernama Haji Hassan juga  dikenali sebagai Hj Hasan Kwantung (Canton). Ayahnya berbangsa Cina yang beragama Islam, yakni Cina yang berasal dari negara China, berambut panjang bertocang. Rumahnya di tengah Pekan Bayan Lepas, Pulau Pinang.


Haji Mansur JP mendirikan sistem pendidikan Islam berasaskan sistem pondok di bahagian pulau, terutamanya di kawasan surau Simpang 3 Bayan Lepas, Kampung Seronok dan Teluk Kumbar. Dan Surau tersebut masih ada sampai sekarang.


Haji Mansur JP berjawatan sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS ( Kalau kini Naib Presiden) yang pertama selepas penubuhan PAS pada tahun 1951. PAS pada waktu itu ada dua orang Naib Yang Dipertua Agung.


Beliau merupakan abang ipar kepada seorang ulama terkenal di Pulau Pinang waktu itu, iaitu Dato Haji Ahmad Badawi, ayah kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi .Manakala salah seorang adik lelaki Hj Mansur JP yang bernama Hj Sururi  

(Bekas Qadi Butterwoth) pula berkahwin dengan anak Sheikh Othman Jalaludin Penanti


Kredit: Harakah TV


-dan ada yang aku ubah untuk menambah dan membetul kan fakta

Gaji dalam Islam

Gaji dalam Islam

Dalam Islam, sesuatu pekerjaan yang dilakukan berdasarkan tawaran, layak mendapat saguhati dari pemberi tawaran itu. Konsep ini disebut sebagai kontrak ji'aalah الجعالة , ianya boleh dibaca (ja'aalah, ju'aalah, ji'aalah) 

Terdapat 4 rukun bagi kontrak ini

1) Dua pihak yang berkontrak (iaitu pemberi saguhati dan pekerja)
2) Sighah kontrak (iaitu lafaz/dokumen perjanjian)
3) Kerja (iaitu tugas yang ditetapkan atau yang ditugaskan)
4) Bayaran (bayaran yang wajib dibayar oleh pemberi saguhati)

Merupa satu kezaliman dan kesalahan yang nyata sekiranya sesuatu kerja yang telah dilakukan oleh pekerja tersebut tetapi dinafikan hak gajinya atau dikurangkan gajinya setelah kerja selesai dilakukan atau juga menafikan hak gajinya setelah perjanjian ditandatangani.

Dan juga satu kesalahan yang nyata bagi sebahagian pemberi tawaran kerja yang mendoktrinkan kerja itu sebagai jihad fisabilillah dan dia jangan persoal tentang gaji.

Jumaah Mubarakah

Aids Haraki

 AIDS HARAKI.


Buku Ihzaru al-Aids al-Haraki yang bermaksud Berwaspadalah Dengan Penyakit Aids Haraki adalah kritikan tajam Ustaz Fathi Yakan terhadap kepincangan yang berlaku dalam gerakan Islam. Ia adalah hasil pemerhatian & pengalaman beliau sendiri yang bergelumang penuh dalam dunia da'wah & politik.


Aids merupakan penyakit yang diperolehi dari cara hidup yang suka bersedap-sedapan. Lalu menyebabkan penghidapnya hilang daya tahan & akhirnya mati sendiri secara perlahan-lahan. Ustaz Fathi Yakan memilih istilah penyakit yang mereputkan itu sebagai bandingan bagi masalah jati diri yang dialami oleh sesebuah gerakan Islam.


⚫ Jati Diri.


Masalah yang paling awal dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah, kondisi jati diri sesebuah gerakan Islam yang tidak cukup kukuh. Ia tidak didirikan di atas asas pemikiran & prinsip yang konkrit serta hala tuju yang jelas.


Sebaliknya ia banyak dibentuk dari sikap fanatik terhadap ketokohan tertentu, atau kepentingan material yang kelak menjadi perebutan antara satu sama lain. Dari gejala tersebut menyebabkan asas kebersamaan dalam sesebuah gerakan menjadi sangat rapuh.


⚫ Mementingkan Kuantiti Lebih Dari Kualiti.


Barangkali terkesan dengan corak sistem demokrasi yang menuntut bilangan angka pengundi, gerakan Islam semakin lama semakin lupa soal kualiti yang perlu dibentuk. Sedangkan jika difikirkan secara mendalam, dengan hanya memiliki ahli yang ramai tetapi tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta tidak berupaya menjadi juru bicara yang berkesan, menyebabkan angka yang ramai itu hakikatnya tetap belum cukup signifikan.


Maka sebenarnya nas-nas yang menekankan soal kualiti itu tetap relevan, walaupun dalam konteks persaingan demokrasi. Dalam persoalan ini, Ustaz Fathi Yakan mengingatkan akan sirah para sahabat yang merasa terlebih yakin dengan ramainya bilangan tentera Islam.


Apabila merasa ramai, menyebabkan terbit rasa angkuh & keluarlah cakap-cakap besar yang sekaligus merapuhkan nilai kebergantungan dengan Allah. Dalam kondisi ketika gerakan Islam memiliki ahli yang terlalu ramai tetapi tidak diterapkan kesedaran yang kritis, menyebabkan kelak pengaruh yang besar itu boleh dipergunakan oleh pihak lain. Hal seumpama ini telah berlaku di negara-negara Arab.


⚫ Tergadai Oleh Pihak Luar.


Sikap sambil lewa mendedahkan diri menerima tawaran dari pihak luar adalah kesilapan yang banyak menghancurkan kredibiliti sesebuah gerakan Islam. Tawaran seperti peluang posisi politik, suapan kewangan atau jaminan perlindungan akan mengakibatkan sesebuah gerakan Islam itu akan mampu dikawal oleh pihak yang menajanya. 


Implikasi dari gejala suka mengambil kesenangan bersifat jangka masa pendek itu, gerakan Islam akan hilang nilai kemandiriannya lantas berada di bawah pengaruh pihak asing. Ustaz Fathi Yakan mengingatkan mentaliti 'orang bagi kita ambil' ini sebagai faktor bagaimana gerakan Islam akhirnya secara tanpa sedar, menjadi proksi bagi pihak yang telah lama membiayai mereka secara lunak. 


Beliau turut mengingatkan berapa banyak gerakan Islam yang hilang nilai kerana berjaya dibeli dengan wang kertas & bantuan persenjataan. Begitu juga beliau mengingatkan ancaman dari badan-badan perisikan yang sentiasa cuba merosakkan gerakan Islam. 


Mereka akan menganalisa titik-titik kelemahan yang ada pada sesebuah gerakan Islam. Kemudian mereka menawarkan dukungan & akhirnya ia mereka akan hancurkan hingga lebur.


Dari peluang-peluang yang disebutkan di atas, sudah pasti akan memunculkan krisis & konflik atas faktor perebutan. Pada masa sama, kelompok yang cuba mencegah perangkap tersebut akan dimangsakan. Ketika itu yang berlegar dalam cakap-cakap sesama ahli gerakan Islam adalah sekitar topik-topik kepentingan politik semata-mata.


⚫ Ancaman Perisikan Luar.


Seringkali campur tangan pihak luar itulah yang menjadi punca lahirnya perpecahan. Kadang-kadang jika dinilai kembali, punca perpecahan pun seakan tidak jelas. Ia sesuai dengan sifatnya sebagai propaganda adu domba yang datang dari perencanaan pihak luar.


Bahkan mereka boleh sahaja mencipta kelompok-kelompok tertentu d


i dalam sesebuah gerakan Islam. Sama ada penggeraknya dalam kalangan mereka, atau ahli-ahli gerakan Islam didorong secara lunak hasil manipulasi emosi berdasarkan kajian psikologi mereka.


Malangnya kesedaran terhadap topik-topik seperti ini semakin dijauhkan dari wacana gerakan Islam. Malah jika ditimbulkan, akan dianggap sebagai paranoid. Secara logiknya, eskapisme seumpama ini tidak berlaku dengan sendirinya melainkan ada pencatur yang mencorak kelalaian tersebut.


Penulis buku Soldier of Reason menyatakan hasil dari kajian Rand Corporation terhadap corak kumpulan-kumpulan & parti-parti politik, mereka merumuskan bahawa hakikatnya semua pihak hanyalah menginginkan keuntungan peribadi sahaja. Gagasan, ideologi & slogan hanya sekadar bahan kempen untuk mendapatkan kepentingan peribadi masing-masing. Senario sedemikian selari dengan kritikan Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya, Apa Erti Saya Menganut Islam.


Disebabkan itu, badan-badan perisikan gemar memancing dana untuk menguasai sesebuah gerakan. William Blum dalam bukunya bertajuk Rogue State menceritakan bagaimana badan perisikan AS membiayai Islamis yang tidak terdedah dengan kesedaran berkenaan ancaman intelligent. Selepas mereka dibiayai, mereka pasti akan dihancurkan.


Hal yang sama telah ditunjukkan dalam sejarah peranan Ali Moertopo. Beliau terkenal dengan strategi 'pancing & jaring', iaitu menawarkan pembiayaan & posisi kepada kumpulan-kumpulan Islam. Setelah mangsanya diberi perasaan 'menang', ketika itulah rentapan yang menghancurkan berlaku.


Setakat tinjauan sejarah gerakan Islam, tidak pernah didapati sikap oportunis 'orang bagi kita ambil' ini menghasilkan kekuatan bersifat jangka masa panjang buat gerakan Islam. Melainkan ia akan menatijahkan implikasi-implikasi yang buruk.


⚫ Gopoh Ingin Mendapatkan Kuasa.


Ustaz Fathi Yakan menyatakan bahawa sikap tergesa-gesa ingin mendapatkan kemenangan tanpa diimbangi dengan persediaan yang mencukupi, akan memberi kesan kepada kredibiliti sesebuah gerakan Islam.


Sebahagian dari gerakan Islam juga ditimpa bencana apabila terlibat dalam operasi-operasi subversif terhadap kerajaan, lalu menjadi alasan untuk ia diharamkan. Perkara seumpama ini banyak berlakundi negara-negara Arab.


Kegopohan-kegopohan seumpama ini, merosakkan reputasi gerakan Islam di mata umat & rakyat. Mungkin jarang diperbahaskan apakah implikasi sekiranya gerakan Islam hanya menang meraih kuasa, tetapi umat tidak mempercayainya & tidak mendukung atas dasar kefahaman yang tulen.


⚫ Tidak Kritis Melihat Senario.


Ustaz Fathi Yakan mengingatkan bahawa lemah atau tiadanya kesedaran politik yang hakiki menyebabkan sesebuah gerakan itu akan rapuh. Kesedaran politik di sini bukan bermaksud sekadar mampu berbual secara kedai kopi seputar isu-isu politik.


Sebaliknya yang dimaksudkan adalah, tidak mampu menganalisa & membuat jangkaan-jangkaan yang realistik di sebalik senario politik yang berlaku. Masalah ini semakin membarah jika budaya berfikir, bertanya & berdialog itu dipandang negatif.


Barangkali tabiat ahli gerakan Islam yang lebih selesa hidup dalam kelompok sendiri, menyebabkan berlakunya kesan echo chamber dalam paradigma mereka. Sekaligus menjauhkan mereka dengan realiti yang sebenar.


⚫ Refleksi.


Dalam buku Aids Haraki, Ustaz Fathi Yakan merumuskan betapa gerakan Islam perlu secara jujur benar-benar serius dengan Islam. Mewarisi ilmu, hujah, sikap, kefahaman & amalan selari dengan orientasi perjuangan yang telah digariskan oleh Islam.


Sebenarnya sangat banyak tulisan dari tokoh gerakan Islam, yang mengkritik kelemahan bersifat dalaman yang dialami oleh gerakan-gerakan Islam. Sebahagian apa yang telah mereka alami, mungkin sedang dialami oleh gerakan-gerakan Islam yang lain. Muslim yang bijak adalah mereka yang sentiasa mengambil pengajaran.


Abdul Mu'izz Muhammad

18 Februari 2021.

Sunday, September 5, 2021

Tujuh Orang Muar menewaskan Malayan Union

 Tulisan ini agak panjang namun saya sarankan bacalah hingga selesai kerana ia mengandungi fakta sejarah yg amat penting untuk kita ketahui.


KISAH SEBENAR DI SEBALIK KEBANGKITAN TUJUH ORANG MUAR YANG BERJAYA MENEWASKAN MALAYAN UNION - BUKANNYA USAHA UMNO / ONN JAAFAR

Oleh : Kamaruddin Abdullah

Langkah Jebat Menentang Malayan Union

Sejarah merupakan satu khazanah penting untuk dipelihara supaya ia akan menjadi satu pengajaran dan iktibar kepada generasi-generasi akan datang. Ia memberi satu gambaran dan fahaman di mana asas serta benteng yang telah dibina oleh orang-orang lama dirasai nikmatnya oleh generasi yang akan menyusulinya.


Walaubagaimana pun, ada peristiwa-peristiwa yang cukup penting dan bermakna tetapi tidak diketahui umum di atas sebab-sebab yang kita sendiri tidak mengetahuinya.


Satu daripada peristiwa yang cukup penting ini ialah kebangkitan tujuh orang anak kelahiran Muar menentang penubuhan Malayan Union.


Alhamdullillah saya masih hidup dan dapat berkongsi cerita sebenarnya kepada anak-anak muda Muar betapa besarnya pengorbanan orang tujuh ini terhadap bangsa, agama dan tanahair kita.


Bacalah cerita sebenarnya :-


Pada 11hb Oktober 1945, dengan senyap-senyap dan tidak diketahui umum, wakil khas kerajaan British yang bernama Sir Harold MacMichael telah tiba di Port Swettenham (sekarang Port Klang) dengan membawa satu utusan serta cadangan iaitu untuk menubuh apa yang dipanggil Malayan Union. Ia adalah gabungan semua negeri-negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu termasuk Straits Settlement iaitu negeri Melaka dan juga Pulau Pinang.


Penubuhan ini akan memberi kerakyatan penuh kepada semua bangsa termasuk bangsa Cina dan India dan mereka akan menjadi rakyat setaraf dengan bangsa Melayu. Disamping itu, semua Sultan dinegeri masing-masing akan hilang kedaulatan mereka dan Sultan-Sultan ini akan bertanggungjawab kepada seorang pemerintah British yang akan bergelar Governor-General.


Setibanya di Port Swettenham, Sir Harold MacMichael terus berangkat ke Kuala Lumpur dengan diiringi oleh Sir Alec Newboult. Di Kuala Lumpur beliau terus pergi ke King's House dan di sini beliau telah berbincang dengan pegawai- pegawai British yang bertugas di Kuala Lumpur.


Untuk menjadikan Malayan Union satu kenyataan, semua Sultan perlu menandatangani satu perjanjian dengan kerajaan British dengan memberi persetujuan yang tidak berbelah bagi.


Ketika itu, Almarhum Sultan Ibrahim Johor merupakan Sultan yang sangat dihormati dan disegani oleh Sultan Sultan negeri lain. Jadi untuk memudahkan tanggungjawabnya, Harold MacMachael disyurkan supaya mendapatkan tandatangan Sultan Johor terlebih dahulu.


Pada 20hb Oktober, beliau telah dapat berjumpa dengan Sultan Johor dan setelah menerangkan butit-butir penubuhan Malayan Union, Sultan Johor pun menandatangani surat perjanjian itu dan bersetuju di atas penubuhan Malayan Union tadi. Dengan ini, kerja beliau menjadi lebih senang dan mudah untuk berbincang dengan Sultan-Sultan negeri lain.


Surat perjanjian di antara Sultan Johor dengan kerajaan British disaksikan oleh Tengku Ahmad dan Encik Abdul Kadir.


Pada 20hb Oktober 1945, MacMichael berjumpa dengan Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah dan Sultan Selangor juga menandatangani surat perjanjian itu. Ia disaksikan oleh Encik Hamzah dan Raja Nong.


Pada 2hb November 1945, Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Riayatudin Al-Muazzam Shah telah menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Tunku Mohammad dan G.E. Mohammad.


Pada 14hb November 1945, Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan menandatangani surat perjanjian itu bersama-sama dengan 4 Undang seperti berikut:

1. Undang Sg. Ujong - Dato Kelana Putra.

2. Undang Jelebu - Dato Shahruddin.

3. Undang Johol - Dato Johol

4. Undang Rembau - Dato Hipap

dan Tengku Sharifah Loyah mewakili Tunku Besar Tampin.

Surat perjanjian ini disaksikan oleh Tengku Nasir, Tengku Jaafar dan Tengku Hussain.


Pada 22hb November 1945, Sultan Perak iaitu Sultan Abdul Aziz telah menandatangani surat perjanjian dengan disaksikan oleh Raja Yusof, Raja Muda Perak dan Dato Temenggong.


Pada 2hb Disember 1945, Sultan Kedah iaitu Sultan Badlishah telah menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Encik. M. Shariff dan Encik Yaakub.


Pada 12hb Disember 1945, Raja Perlis pula telah menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Encik Ahmad dan Encik Wan Ahmad.


Pada 17hb Disember 1945, Sultan Ibrahim dari negeri Kelantan telah menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Tengku Ibrahim Petra dan Nik Ahmad Kamil..


Pada 21hb Disember 1945, Sultan Terengganu iaitu Sultan Ismail Nasirudin Shah telah menandatangani surat perjanjian dan disaksikan oleh Dato Omar dan Tengku Halim.


Maka berjayalah Harold MacMichael untuk mendapatkan semua tandatangan Sultan di Persekutuan Tanah Melayu. Ini bermakna rancangan untuk menubuhkan Malayan Union tiada lagi halangan.


Pada 6hb Januari 1946, berangkatlah MacMichael ke England dengan kesemua surat surat perjanjian itu. Pada 22hb Januari 1946, satu kertas putih telah dibentangkan di dalam parlimen kerajaan British untuk kelulusan.


Setelah mendapat kelulusan parlimen kerajaan British, satu Warta Kerajaan British yang mengandungi butir-butir berkenaan penubuhan Malayan Union di Tanah Melayu telah disiarkan oleh pihak berkuasa Pentadbiran Tentera British (BMA) di Tanah Melayu untuk pengetahuan rakyat dan penduduk Tanah Melayu.


Sebaik sahaja tersiar Warta Kerajaan British itu, seluruh bangsa Melayu telah terkejut dan merasa Kertas Putih itu adalah satu cabaran yang tajam, menyentuh maruah bangsa Melayu.


Tidak ada perkataan yang dapat mensifatkan bagaimana perasaan orang-orang Melayu ketika itu .Perasaan geram dan marah yang meluap-luap terhadap perbuatan Kerajaan British dan perasaan kesal dan dukacita terhadap terlanjurnya Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan baginda ke atas perjanjian MacMichael yang memperdayakan itu.


Tetapi apakan daya, semua surat perjanjian itu sudah menjadi kertas rasmi dan tidak dapat diperbetulkan lagi. Nasib bangsa Melayu kini hancur dan kedaulatan bangsa Melayu akan hilang ditanah tumpah darah dato nenek moyang mereka sendiri.


Di Johor Bahru,


Setelah mengetahui butir-butir kandungan Perjanjian MacMichael itu, beberapa orang pemimpin Melayu Johor yang diketuai oleh Dato Abdul Rahman bin Mohammad Yasin telah membantah dengan sekeras-kerasnya.


Sebaik-baik jalan memansuhkan perjanjian itu ialah membuktikan bahawa Sultan Johor telah bertindak diluar batasan Undang-Undang Tuboh negeri dan perbuatannya tidak sah dari segi undang-undang.


Dato Abdul Rahman adalah seorang Majistret yang berasal daripada Parit Bakar, Muar terus pulang ke Muar untuk berjumpa dengan pejuang-pejuang Melayu ketika itu. Di antara orang pertama yang beliau berjumpa ialah Dr. Hamzah bin Hj Taib dan Cikgu Kosai. Dr. Hamzah merupakan anak Melayu Johor pertama menjadi doktor di negeri itu.


Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk menentang perbuatan Sultan, bukan untuk menderhaka kepada baginda tetapi lebih untuk menyelamatkan kedudukan baginda sebagai Sultan berdaulat di negeri Johor.


Apabila mendengar cadangan untuk menentang penubuhan Malayan Union ini, dua orang lagi anak Muar tampil kehadapan untuk memberi bantuan dan kerjasama. Mereka adalah dua beradek yang bernama Cikgu Ahmad Suleiman dan Cikgu Safiah Suleiman.


Di dalam satu jamuan makan malam di rumah Dr. Hamzah Hj. Taib, dua orang lagi penjuang dari Muar menghadir untuk memberi bantuan. Mereka ialah Hj. Hassan Yunos ( sepupu kepada Dato Abdul Rahman) dan Dr. Awang bin Hassan ( saudara rapat dengan Dato Abdul Rahman dan Dr. Hamzah).

Secara kebetulan, Dato Abdul Rahman ketika itu ialah Pegawai Keewangan Negeri Johor, Hj. Hassan Yunos pula ialah Mufti Kerajaan Negeri Johor, dan Cikgu Kosai ialah Pegawai Jabatan Hutan.


Mereka telah membuat satu risalah menerangkan kepada orang ramai bahawa perbuatan Sultan Johor adalah salah disisi undang-undang tuboh kerajaan negeri Johor. Risalah itu disebarkan kepada seluroh negeri Johor dan rakyat Johor mula memberi sokongan kuat kepada gerakan mereka.


Dato Abdul Rahman berhasrat untuk menghadap baginda Sultan tetapi di halang oleh pegawai pegawai istana. Malah kesemua


 mereka telah digantung kerja

 masing-masing tetapi ini tidak

 memantahkan semangat mereka.


Hari demi hari, sokongan rakyat Melayu Johor semakin bertambah dan ini membimbangkan pihak Istana. Pada ketika ini, Dato Onn Jaafar langsung tidak menyebelahi gerakan mereka.


Maka mereka bersepakat untuk menghantar satu petition bantahan kepada baginda Sultan dan setelah berbincang, mereka mencadangkan agar Hj. Hassan Yunos seorang sahaja menghadap baginda Sultan dan statusnya sebagai Mufti Kerajaan Negeri membolehkan perkara ini berlaku.


Satu perutusan telah dihantar kepada baginda Sultan supaya menerima kunjungan Hj. Hassan Yunos. Alhamdullillah, baginda Sultan bersetuju untuk berjumpa dengan Hj. Hassan Yunos.


Pada hari yang telah ditetapkan, ramai penyokong-penyokong telah berhimpun di perkarangan Masjid Abu Bakar di Johor Bahru. Jarak antara Masjid Abu Bakar dan Istana Besar tidak lah begitu jauh. Maka berjalanlah seorang diri Hj. Hassan Yunos menuju ke Istana dengan membawa petition tersebut.


Menurut anak Hj. Hassan Yunos iaitu Encik Murad (sahabat rapat saya), apabila ayahnya sampai di tangga Istana Besar, lututnya menggeletar dan susah untuk menaiki tangga. Perasaan takut memang ada tetapi tanggungjawab untuk menjaga maruah bangsa Melayu tidak boleh dipermain-mainkan. Beliau berdoa kehadarat ilahi supaya memberikan dia semangat yang kuat apabila menghadap baginda Sultan nanti.


Setibanya di pintu besar Istana, seorang pegawai Istana menjemputnya keruang tamu sambil menunggu keberangkatan baginda. Tidak lama kemudian, muncullah baginda Sultan, lantas Hj. Hassan terus bangun dan mencium tangan baginda. Di jemputnya Hj. Hassan supaya duduk dan dengan penuh tertib, Hj Hassan menerangkan satu-persatu di mana kesalahan baginda.


Apabila habis penerangan Hj. Hassan Yunos kepada baginda Sultan, barulah baginda sedar yang perbuatan baginda itu adalah salah disisi undang-undang tuboh negeri Johor. Baginda Sultan berjanji dengan Hj. Hassan yang baginda akan menarik balik perjanjian itu.


Maka gembiralah Hj. Hassan bahawa beliau telah berjaya mengajak baginda kembali kepangkal jalan yang sebenar. Baginda Sultan menerima petition itu dan mengucapkan selamat jalan kepada Hj. Hassan.


Suasana di perkarangan Masjid Abu Bakar cukup resah dengan penyokong-penyokong menunggu kepulangan Hj. Hassan dari Istana. Tidak lama kemudian, mereka melihat Hj. Hassan berjalan menuju ke Masjid Abu Bakar dengan mengangkat tangan tanda kejayaan.


Dengan tiba-tiba suasana menjadi riuh rendah, ada yang menjerit-jerit tanda kesukaan dan ada yang menandah tangan kelangit untuk melafazkan kesyukuran kehadrat Allah.


Dato Abdul Rahman dan rakan-rakan seperjuangannya berpeluk-peluk sambil menangis kegembiraan. Mereka telah berjaya mematahkan penubuhan Malayan Union.


Beberapa hari kemudian, baginda Sultan Johor telah menulis sepucuk surat kepada kerajaan British dengan kandungan isinya seperti berikut :-


"Beta tidak dikerasi dan dikejut-kejut dan beta tidak menurunkan tandatangan dengan penuh kemahuan akan tetapi setelah memikirkan semula perkara itu beta berpendapat bahawa beta telah menyain perjanjian itu dengan tidak terlebih dahulu menyiasat dengan sehalus-halusnya seperti yang sepatutnya diperbuat dan malangnya beta tidak sedar akan kesan kesan yang mengenai lebih jauh.


Oleh hal yang demikian, beta suka menyatakan iaitu didalam hal yang demikian beta tidak sanggup lagi bertanggungjawab kepada persetujuan yang beta berikan mula-mula itu."


Setelah mendengar yang baginda Sultan Johor telah menarik balik surat perjanjian itu, kesemua Sultan-Sultan lain telah mengikut jejak yang sama. Maka apabila orang-orang Melayu mendapat tahu bahawa Raja-Raja Melayu telah menarik balik perjanjian mereka, seluruh rakyat Melayu bangkit dengan penuh bersemangat. Di saat inilah baru munculnya Dato Onn Jaafar.


Begitulah pengorbanan yang telah diberikan oleh pejuang-pejuang anak kelahiran Muar kita. Mereka sanggup melawan Sultan bukan untuk menderhaka tetapi untuk menjaga supaya institusi Raja-Raja terpelihara.


Mengapakah mereka digelar Orang Tujoh Muar? Ini oleh kerana hanya tujuh orang yang menandatangani petition kepada Sultan.


Cikgu Kosai sebenarnya berkelulusan tinggi iaitu daripada Cambridge, England. Oleh kerana beliau bermula kerja sebagai seorang guru, maka panggilan Cikgu Kosai cukup mesra dengannya.


Hj. Hassan kemudian menjadi Menteri Besar Johor dengan gelaran Tan Sri. Dr. Hamzah Hj. Taib meninggal dunia semasa masih muda. Dr. Awang Hassan kemudian menjadi Gabenor Pulau Pinang dengan gelaran Tun,


Begitulah kisah perisitwa yang cukup bermakna ini. Marilah kita menghadiahkan Al fatihah kepada tujuh anak kelahiran Muar yang mana jasa mereka kepada bangsa Melayu tidak terhingga besarnya.


Al fatihah buat :

=============


1. Allahyarham Dato Abdul Rahman Mohd. Yassin.

2. Allahyarham Dato Suleiman Abdul Rahman.

3. Allahyarham Tan Sri Hj. Hassan Yunos.

4. Allahyarham Tun Dr. Awang Hassan.

5. Allahyarham Dato Hj Kosai bin Hj Salleh.

6. Allahyarham Encik Ahmad Sulaiman.

7. Allahyarhamah Cik Safiah Sulaiman.


sumber dari : 

==========


Kamaruddin Abdullah 

penulis buku 'Pages From My Past'