Wednesday, March 5, 2014

Usah cari masalah!- ketika melahirkan anak?

Usah cari masalah!

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
Kadar kematian ibu ketika bersalin di Amerika Syarikat pada tahun 1900 adalah 1,500 kes bagi setiap 100,000 wanita. Kini angka berkenaan dapat dikurangkan ke tahap minimum iaitu kira-kira 15 kes kematian bagi setiap 100,000 wanita.
Kita perlu berterima kasih kepada pakar sakit puan dan bidan yang mempraktikkan ilmu perubatan moden yang ternyata dapat menyelamat­kan banyak nyawa. Namun bukanlah bermakna kita menolak kaedah perubatan tradisional atau alternatif kerana setiap satu ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Tetapi dalam soal melahirkan anak, pengetahuan mendalam mengenai fisiologi badan wanita, tahap kesihatannya, kedudukan janin dalam kandungan dan segala kemungkinan yang berkaitan dengan kelahiran amat penting. Dan ilmu ini ada pada pakar perubatan moden yang tidak jemu belajar serta meng­kaji perubahan yang dialami seseorang wanita ketika hamil, sekali gus mengurangkan kes kematian ibu atau anak ketika bersalin.

Walaupun dunia perubatan sudah semakin maju, namun kita masih mendengar kes kematian wanita ketika melahirkan anak - sedangkan ia boleh dielakkan apatah lagi di Malaysia yang diiktiraf antara negara yang mempunyai sistem perubatan terbaik di dunia.
Foto
FotoDR Tan

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Prince Court Dr Tan Niap Hong, penurunan kes kematian ini disebabkan ada­nya perubatan moden yang menghalang lebih ramai ibu bersalin mengalami risiko kematian akibat tidak menerima sebarang bantuan ketika melahirkan anak.

“Ironinya, dengan kematian ketika bersalin berada pada tahap yang amat rendah, masyarakat secara perlahan-lahan kembali mempercayai kelahiran semula jadi.

“Lebih menyedihkan apabila ada sesetengah daripada mereka mengecualikan diri daripada menerima sebarang bentuk bantuan atau perubatan moden ketika melahirkan bayi,” katanya.

Memang tiada pakar perubatan yang boleh memaksa seseorang wanita memilih kaedah bersalin mengikut kehendak mereka. Setiap wanita mempunyai hak untuk memilih kaedah melahirkan anak yang diingini tetapi penentuan itu perlulah bersandarkan nasihat doktor yang mencakupi semua aspek khususnya keselamatan. Bahkan doktor tidak menghalang jika sese­orang wanita itu mahu memilih kaedah kelahiran semula jadi atau alami.

“Setiap orang mempu­nyai perspektif berbeza mengenai kelahiran semula jadi. Bagi mereka yang mengalami kesakitan menganggap perubatan moden adalah penyelamat,” katanya.

Tambahnya, ia berbeza bagi wanita yang mempunyai keupayaan menahan sakit dan menganggap kelahiran semula jadi dipercayai amat selamat dan menganggap perubatan moden yang perlu diragui.

Malangnya, ibu itu sendiri tidak mengetahui sama ada bayi mereka sihat atau ada masalah kesihatan termasuklah kecacatan. Ketika ini, mereka sebenarnya memerlukan alat bantuan berteknologi canggih untuk memantau keadaan kesihatan bayi di dalam kandungan.

Falsafah dipegang oleh golongan ini adalah mereka percaya dengan kelahiran semula jadi yang tidak menyakitkan dan menolak untuk menerima sebarang bantuan perubatan.

“Biasanya, mereka bermatlamat untuk tidak mahu mengambil sebarang ubat atau suntikan penahan sakit, pemantauan keadaan bayi di dalam kandungan ketika mahu melahirkan, tiada forseps, episiotomi atau vakum serta pembedahan.

“Memang ramai wanita berhasrat melahirkan anak tanpa menerima bantuan perubatan. Namun mereka akan menerima jika memerlukan.

“Ia sangat berbeza bagi wanita yang benar-benar mahu mengalami proses kelahiran semula jadi. Mereka memilih untuk menggunakan kaedah lain bagi melegakan kesakitan,” katanya.

Tambahnya, antara cara yang dilakukan untuk me­ngurangkan kesakitan adalah hidoterapi, urutan, bersantai, hipnosis, senaman atau mendengar muzik.

Kebaikan dan kelemahan kelahiran semula jadi

a. Kebaikan:

• Ia boleh memperkasakan dan memuaskan diri wanita itu sendiri jika kelahiran semula jadi yang dipilih berjaya. Kejayaan melahirkan anak diang­gap sebagai pencapaian membanggakan.

• Tiada kesan sampingan ubat-ubatan. Ia menjadikan wanita itu lebih peka dan terkawal.

• Secara tidak langsung, ia menggalakkan suami terbabit dalam proses kelahiran.


Kelemahan

• Kesakitan yang dialami boleh meletihkan individu itu jika mengalami tempoh yang panjang untuk melahirkan anak. Keletihan yang melampau boleh menyebabkan mereka tidak berupaya untuk meneran.

• Kawalan yang minimum terhadap bayi boleh meningkatkan pelbagai risiko kepada bayi.

• Menjadi bahaya jika ibu tidak mengendahkan atau melambatkan penerimaan alat bantuan perubatan jika diperlukan.

• Memerlukan orang lain seperti suami atau jurulatih kelahiran untuk memberi sokongan emosi.

• Kekecewaan atau berasa gagal apabila terpaksa menggunakan alat perubatan disebabkan ibu tidak mampu melahirkan bayi secara semula jadi.

• Jika berlaku komplikasi ketika kelahiran, bantuan mungkin lambat sampai terutama jika bersalin di rumah. Komplikasi kelahiran boleh berlaku tanpa diduga.


Dr Tan menasihati wanita yang mahu melalui proses kelahiran semula jadi supaya perlu menghadiri kelas berkaitan untuk mengetahui cara betul menguruskan kesakitan tanpa bantuan sebarang ubatan.

“Selain itu, sokongan padu daripada pasangan sangat diperlukan bagi mengelakkan wanita itu berasa putus asa hingga mengganggu kesihatan diri dan anak.

“Setiap wanita harus sentiasa bersedia jika ada perkara yang tidak dijangka berlaku kerana mereka perlu ingat banyak perkara boleh terjadi tanpa diduga,” kata­nya.

Tambahnya, kesakitan yang dialami ketika melahirkan bayi juga berbeza dengan wanita lain apatah lagi ia seperti menguji daya tahan seseorang itu.

Namun, perkara paling penting adalah kesihatan ibu dan bayi berbanding matlamat ketika melalui proses kelahiran.

Jangan terlalu mengharapkan kejayaan. Tidak salah untuk memasang impian melahirkan bayi secara semula jadi namun jangan menolak sebarang bentuk bantuan perubatan jika ia memang diperlukan.


Info:

Terdapat beberapa panduan menangani kesakitan dan mengurus proses kelahiran kepada wanita yang dikongsi pakar web di United Kingdom, babycenter.com. Antaranya:


• Dapatkan maklumat lanjut. Lebih banyak yang anda tahu membuatkan diri berasa lebih tenang.

• Bernafas dengan betul dan tenang semasa menghembus nafas.

• Dakap suami atau teman yang menemani ketika di dalam bilik bersalin.

• Minum sedikit air sambil menunggu antara kontraksi.

• Makan makanan yang kaya dengan karbohidrat apabila berasa lapar.

• Kipas diri untuk menyejukkan badan.

• Mengerang sebagai cara menghapuskan rasa malu kerana mengeluarkan bunyi menunjukkan kesakitan adalah cara terbaik melegakan sakit.

• Pegang tangan suami anda.

• Bayangkan bayi bergerak turun ke pelvis dengan setiap kontraksi.

• Bergurau dengan suami untuk melupakan sedikit kesakitan.

• Ciuman (daripada suami, ibu, kakak dan rakan anda).

• Dengar muzik untuk membantu diri berasa lebih tenang.

• Bergerak untuk membuat­kan anda selesa.

• Baring di atas longgokan bantal yang besar (boleh meminta pihak hospital menyediakan bantal atau bawa sendiri).

• Berfikir secara positif: ‘Setiap kontraksi membawa saya hampir kepada kelahiran bayi saya.’

• Bertanya kepada mereka yang mahir mengenai perkara yang kurang difahami. Takut akan membuatkan kesakitan menjadi lebih teruk.

• Menghembus nafas secara perlahan dengan setiap nafas.

• Percayalah dengan badan anda bahawa ia pandai melahirkan bayi.

• Fahami rawatan yang ditawarkan. Jika faham, anda boleh bekerjasama dan memudahkan keadaan.

• Kerap pergi ke tandas kerana pundi kencing yang penuh akan melambatkan kelahiran.

• Berjalan-jalan untuk melegakan lenguh dan sakit dan merangsang kontraksi.

• Cuba tidur dalam masa antara kontraksi.


Kelahiran cabar ketahanan wanita

Ibu hamil melalui proses kelahiran daripada peringkat pertama hingga keempat. Peringkat pertama paling lama dilalui dengan pengecutan rahim berlaku bagi menurunkan bayi ke dalam pelvik ibu untuk dilahirkan.

Pengecutan rahim berlaku beberapa ketika, sekali dan berulang-ulang hingga menjadi semakin kerap. Peringkat kedua apabila servik terbuka sepenuhnya dan bayi dilahirkan, berlaku kurang setengah jam.

Peringkat ketiga menyusuli kemudian sehingga uri dan tembuni yang akan keluar semuanya. Peringkat keempat bermula selepas selesai pe­­ngeluaran tembuni dan uri sehingga beberapa jam sebagai langkah berjaga-jaga.

Kadangkala komplikasi boleh berlaku semasa kelahiran dan memerlukan intervensi seperti penggunaan vakum, forsep atau pembedahan.


Kelahiran normal

Kelahiran normal paling kerap dilalui ibu. Bayi berkedudukan kepala tunduk ke bawah atau terdahulu keluar. Bentuk rahim ibu yang menyerupai buah pir terbalik memuatkan bayi dalam kandungan dengan kepala di bawah dan punggung di atas.

Kepala bayi adalah bahagian paling keras. Apabila kepala mendahului anggotanya yang lain, laluan faraj secara semula jadi memudahkan bahagian lain menyusuli kemudian.

Kepala yang kurang tunduk atau tegak perlu dibantu agar tunduk ketika dilahirkan. Ada pula kepala bayi mendongak ketika dilahirkan.

Kedudukan begini merumitkan proses kelahiran. Ada yang gagal dilahirkan melalui faraj ibu dan perlu dikeluarkan melalui pembedahan.


Kaedah forseps

Kelahiran menggunakan forseps dilaksanakan apabila proses peringkat kedua mengalami kelewatan tanpa mengira kedudukan bayi dalam rahim ibu.

Kelambatan mungkin disebabkan tiada kemajuan dan ibu keletihan. Peringkat kedua dalam proses kelahiran seharusnya tidak berlanjutan lebih daripada satu jam bagi ibu yang melahirkan anak sulung dan tidak lebih daripada setengah jam bagi ibu yang melahirkan anak kedua dan lebih.

Kaedah forsep juga dilakukan apabila bayi lemas, ibu menghidap lemah jantung, darah tinggi atau penyakit lain yang membahayakan peringkat kedua.

Doktor mungkin memberikan suntikan pelali setempat pada kemaluan. Episiotomi (menggunting bahagian perineum) dilakukan doktor untuk memudahkan prosedur kelahiran menggunakan forsep.

Doktor memastikan kedudukan forsep tepat, kemudian kedua-dua forsep dikunci. Forsep ditarik dengan perlahan sehingga kepala bayi keluar dari permukaan faraj ibu. Selepas itu proses kelahiran diselesaikan secara normal.


Kelahiran vakum

Penyedutan vakum digunakan sebagai pilihan kelahiran menggunakan forsep. Mangkuk vakum dilekatkan di atas kepala bayi dan sedutan dilakukan dengan alat penyedut khas.

Apabila mangkuk vakum diletakkan di atas kepala bayi, sedutan menyebabkan kulit kepala yang berada di dalam mangkuk vakum tersedut ke dalamnya.

Bahagian itu kelihatan seperti sang­gul orang tua selepas bayi dilahirkan dan hilang beberapa hari kemudian. Vakum diguna untuk membantu ibu melahirkan bayi terutama apabila ibu kurang bertenaga meneran bayi keluar.

Vakum diguna apabila penggunaan forsep merumitkan dan boleh digunakan sebelum servik atau pintu rahim sempurna terbuka. Kepala bayi mesti sudah sampai ke dalam pelvis ibu.


Pembedahan

Ada kala bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan yang dinamakan Caesarean. Kulit, tisu perut dan otot rahim dibedah sebelum bayi dikeluarkan. Kaedah yang kerap digunakan ialah pembedahan pada segmen di bawah pusat.

Antara sebab pembedahan ialah kedudukan bayi melintang atau menyerong, kepala bayi lebih besar daripada ukuran pelvis ibu­nya, ibu terlalu lemah untuk menjalani kelahiran meng­gunakan forsep atau kegagalan kaedah itu.

Pembedahan dirancang untuk ibu yang melahirkan bayi sulung pada peringkat usia lanjut atau kelahiran bayi yang sangat ‘berharga’ selepas beberapa tahun menunggu kedatangannya. Ia dipilih mengatasi kaedah kelahiran lain untuk memastikan bayi selamat.


Kaedah air

Bersalin dalam air masih belum begitu popular di negara ini berbanding di luar negara seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia.

Kaedah ini dikatakan dapat mengurangkan lebih 15 peratus kesakitan dan tekanan emosi ketika melahirkan bayi berbanding cara normal.

Pesakit tidak diberikan sebarang ubat tahan sakit dan air yang digunakan hanyalah air biasa saja tanpa sebarang campuran ubat atau bahan lain. Suhu air di dalam tab atau kolam pula mesti sama dengan suhu badan manusia iaitu 37 darjah Celsius dan paras air pada dada wanita hamil.

Doktor akan memeriksa tekanan jantung dan memantau pesakit serta kandungan, seterusnya menyambut kelahiran bayi apabila tiba masa.

Ibu yang ingin melahirkan akan berendam dalam air sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam sebelum bersalin tetapi ia bergantung keselesaannya.

Biasanya pesakit mula berendam dalam air apabila pintu rahimnya sudah terbuka antara empat hingga lima sentimeter - dengan posisi yang selesa sama ada mencangkung, berbaring atau terlentang.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/05

Imam Syafi'i rahimahullah berkata :

Imam Syafi'i rahimahullah berkata :
"Aku MAMPU BERHUJAH dengan 10 orang yang BERILMU, tetapi aku PASTI KALAH dengan SEORANG YANG JAHIL, kerana orang yang jahil itu TIDAK PERNAH FAHAM LANDASAN ILMU."

Nyamuk Toxorhynchites Berjaya Turunkan Bilangan Kes Denggi

Nyamuk Toxorhynchites Berjaya Turunkan Bilangan Kes DenggiPosted on Wednesday, March 05 @ 12:33:20 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu


Artikel



Mengikut laporan Astro Awani penggunaan Nyamuk Toxorhynchites atau ‘nyamuk gajah’ untuk membasmi wabak denggi telah menunjukkan hasil yang positif.

Satu 'penurunan ketara' kes demam denggi telah dilaporkan di tapak kajian pertama untuk inovasi kawalan pembiakan Aedes ini, menurut Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Di tapak kajian pertama untuk projek ini iaitu Kampung Sri Aman, Subang, tiada kes denggi dilaporkan daripada Ogos 2012 hingga Julai 2013, semenjak projek ini dimulakan pada Jun 2011.
TERESA (kanan) bersama Roslan (kiri) melepas nyamuk Toxorhynchites
di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman 10 oktober 2011

Selepas lima kali program pelepasan nyamuk Toxo telah dijalankan di Kampung Sri Aman iaitu pada Oktober 2011, Januari 2012, Julai 2012, Mac 2013 dan Julai 2013.

Jentik-jentik nyamuk Toxo bertindak memakan jentik-jentik nyamuk Aedes sekaligus mengurangkan pembiakan pembawa demam denggi.


MBSJ berharap program Toxo dapat terus membantu mengurangkan kejadian kes denggi di kawasan MPSJ.

Pada masa yang sama, kawasan di bawah MPSJ menunjukkan peningkatan kes denggi sebanyak hampir 900% pada 2014.

Program Pengawalan Pembiakan Nyamuk Aedes Menggunakan Nyamuk Toxo adalah dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan bank CIMB yang diperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi menjayakan program ini.

Pihak kesihatan telah mengenakan denda RM50 bagi setiap ekor jentik-jentik aedes. Kalau ada 13 ekor jawabnya sia-sia duit BR1M.

Aedes
Nyamuk Toxo hanya memakan madu bunga dan jentik-jentiknya akan memakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Ia hidup di dalam kawasan hutan hijau dan kerana itulah kawasan berhutan untuk sangat sesuai untuk melepaskan nyamuk dewasa ini yang akan menetaskan jentik-jentiknya dalam tempoh 3 hingga 4 minggu.

Ada sedikit kemusykilan iaitu semasa larva nyamuk ini bersifat kanibal tetapi bila besar menjadi naymuk bersifat harbivora? Entah-entah selepas ini nyamuk gajah ini hisap darah barulah kita pengsan.. gajah!!!

Di sini ada 15 fakta menarik pasal nyamuk.
  1. Nyamuk sudahpun wujud sejak 100 juta tahun lalu (dah lama dah..)
  2. Kira-kira 3,000 spesis nyamuk dikenalpasti dan mempunyai kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan persekitan dengan cepat. Diketahui hidup banyak di kawasan tropika dan juga Artik.
  3. Dari telur ke nyamuk dewasa yang macho hanya mengambil masa 4 hingga 7 hari. Ianya bergantung kepada suhu. (Patutlah banyak sangat nyamuk, cepat betul proses perkembangannya!)
  4. Nyamuk betina boleh hidup sehingga 100 hari, tapi nyamuk jantan hanyalah 10 hingga 20 hari saja. Nyamuk betina bertelur sebanyak 100 hingga 300 biji pada satu-satu masa dan sebanyak 1,000 hingga 3,000 biji sepanjang hayatnya. (Kesian nyamuk jantan, agaknya lepas saja habis ‘tugas’, terus mati..)
  5. Kibasan sayap nyamuk ialah 300 hingga 600 kali sesaat (itu yang datangnya bunyi “nyyyennng” tu..sebab laju sangat sayap dia).
  6. Nyamuk jantan mampu mengesan kahadiran nyamuk betina yang seksi dengan hanya bunyi kibasan sayapnya (memang senjata rahsia ni).
  7. Nyamuk juga boleh kenal nyamuk spesis lain dengan hanya berdasarkan bentuk tompok di sayap (ada tompok rupanya).
  8. Apa makanan nyamuk? Nyamuk makan pelbagai cairan (termasuk darah), dan mineral dari buah-buahan, tumbuhan serta dari sampah sarap dan air bertakung (patutlah banyak nyamuk aedes, dah memang makanannya air bertakung).
  9. Nyamuk mampu terbang sejauh 1.5 kilometer dari habitatnya tapi ada spesis yang mampu terbang sejauh 30 kilometer (jauh perjalanan, ramai ‘pelanggan’).
  10. Bagaimana nyamuk mencari mangsa? Nyamuk mempunyai penglihatan infrared iaitu kebolehan mengesan haba dan juga melalui hembusan gas karbon dioksida. Kita membebaskan haba dan melepaskan karbon dioksida bila bernafas. Senanglah nyamuk ‘target’ kita (kalau pakai selimut tebal, mungkinkah pelepasan haba dapat dikurangkan? Lalu nyamuk tak nampak kita?)
  11. Spesis nyamuk yang paling ganas agresif ialah nyamuk yang hidup di kawasan Artik di Kanada. Satu kajian di mana para pengkaji sengaja mendedahkan kaki, tangan dan badan mereka untuk santapan nyamuk. Keputusannya, 9,000 gigitan dalam masa seminit. Kalau dibiarkan, darah kita akan kering dalam masa 2 jam (pergh..ganas betul tu!)
  12. Nyamuk betina saja yang suka menggigit kita. Darah sumber protein untuk mereka hasilkan telur. Nyamuk jantan hanya menghisap cairan tumbuh-tumbuhan (macam baik jer nyamuk jantan nie..)
  13. Nyamuk memang terkenal menyebabkan penyakit demam malaria, denggi, JE dan sebagainya. Nyamuk juga membawa penyakit kepada haiwan seperti penyakit kecacingan pada lembu dan kuda.
  14. Dilabel sebagai ‘makhluk pembunuh’ sebab penyakit demam malaria sudahpun hampir membunuh setengan dari populasi manusia sejak zaman paleolitik (zaman batu daa..).
  15. Asal usul nyamuk aedes adalah dari Timur Asia. Mereka sampai ke sana melalui tayar-tayar buruk yang diimport (hati-hati dengan tayar buruk)

Nyamuk bunuh nyamuk..
Tak hairan sesama sendiri dalam Pakatan Rakyat pun ada sikap nak "bunuh membunuh"
TEMPAYAN RETAK
ttp://tempayanretak.blogspot.com


Monday, March 3, 2014

Kejatuhan Kerajaan Uthmaniah 3 Mac 1924

Ramai yang tidak menyedari tarikh 3 Mac ialah sejarah pilu ummah, akibat runtuhnya sebuah kerajaan Islam yang telah memayungi sarwajagat dunia Islam termasuk alam Melayu. Kerajaan Islam yang berpusat di Turki itu melingkar jauh kekuasaannya sehinggalah ke Balkan di Eropah.

Negara Turki terletak di Asia kecil dan di sebelah Tenggara Benua Eropah. Kedudukan Turki memang unik, kerana sebahagian besar wilayahnya terletak di Asia, dan sebahagian kecilnya terletak di Eropah. Kedua-dua wilayah yang terpisah ini dihubungkan dengan jambatan yang merentasi Selat Bosporus.

Turki mempunyai sejarah panjang sebagai pusat pemerintahan Islam yang menaungi sebahagian besar ummat Islam. Khilafah Uthmaniah Turki diasaskan oleh Uthman Orthogol, berada di zaman kemuncak semasa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinople daripada Byzantin.

Kehebatan kerajaan Uthmaniah mula semakin lemah diakibatkan oleh perancangan jahat orang-orang Yahudi Dunnama, di mana mereka ini telah memeluk Islam dengan niat untuk menghancurkan Islam daripada dalam (gunting dalam lipatan). Golongan Yahudi juga telah menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Turki. Kemuncak perancangan mereka golongan Yahudi merancang untuk menghancurkan Khilafah Islam. Golongan Yahudi antarabangsa melalui gerakan Freemason yang menguasai media massa telah menonjolkan Mustafa Kamal. Media massa juga telah memainkan peranan penting memburukkan kerajaan Uthmaniah Turki terutama kecacatan peribadi Khilafah yang bergelumang dengan keseronokan. Di Turki, telah ditubuhkan "The Young Turks" pada tahun 1908 gerakan Yahudi ini digerakkan dengan bantuan Freemason. Golongan ini sangat agresif untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II.

Di negara-negara Arab lain pula semangat Nasionalisme Arab telah ditiupkan dengan menganggap kerajaan Turki sebagai penjajah. Negara Barat berusaha meniupkan semangat negara bangsa kepada negara-negara Arab, melalui semangat Nasionalisme Arab inilah Turki mahu dipisahkan daripada saudara-saudara Islam lainnya di seluruh dunia. Perancangan keji Yahudi ini akhirnya berjaya meruntuhkan khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Mustafa Kamal telah naik ke takhta kuasa dan mula menunjukkan kebenciannya kepada Islam dan orang-orang beriman.

Seluruh dasar kerajaan telah dipisahkan daripada Syariat Islam di antaranya menurut Ahmadi Al-Aziz (1998):

1. Tidak mengambil Al-Quran dan Hadis sebagai dasar perlembagaan dan pemerintahan negara.

2. Golongan pemerintah (atasan) dan konco-konconya hinggalah ke menteri-menteri dan wakil-wakil rakyatnya, adalah perompak-perompak terhormat yang mengaut kekayaan rakyat untuk menjadikan mereka kaya-raya hasil menyertai politik.

3. Kebanyakan siaran-siaran radio dan televisyen serta isi kandung majalah, 95% adalah maksiat. Memang ada yang baiknya tetapi cuma sekadar 5% sahaja.

4. Terdapat binaan tugu-tugu dan patung-patung dalam negara, yang mana tugu-tugu dan patung-patung tersebut dibesar-besarkan.

5. Muzik-muzik haram, tari-menari, bergaul bebas, panggung-panggung wayang lucah, mengangkat sembah, pendedahan aurat, arak, judi, zina dan lain-lain lagi dibenarkan berleluasa.

6. Waktu-waktu sembahyang, masjid kosong. Majoriti manusia berkeliaran di luar masjid dengan segala bentuk urusan duniawi.

7. Peminta sedekah, fakir miskin, anak yatim, orang-orang tua dan janda-janda disisihkan.

8. Banyak projek yang sia-sia atau membazir, dengan menggunakan wang berjuta-juta seperti membesarkan tempat-tempat peleseran yang digunakan untuk orang-orang besar sahaja.

9. Polis dan tentera yang sepatutnya bertugas menjaga keamanan tetapi merekalah yang banyak membuat rakyat berasa tidak aman.

10. Para pemimpin apabila ditegur, mereka melenting dan marah-marah. Maka mereka pun berdendam dan mencari peluang mendedahkan pihak yang menegur untuk diambil tindakan.

11. Di satu bandar bernama Balikesir, Mustafa Kamal berucap bahawa agama terpisah dengan urusan harian dan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berbuat demikian. Ini jelas menentang Al-Quran dan Sunnah.

12. Dalam satu ceramahnya Mustafa Kamal pernah menegaskan bahawa mana mungkin sebuah negara maju jika orangnya tidak berpakaian secara moden (mendedahkan aurat). Akibatnya ramai yang telah dibunuh hanya kerana enggan berpakaian secara barat dan mematuhi arahan negara Turki moden.

13. Mustafa Kamal tidak membenarkan kuasa talak pada suami (seperti yang ada dalam ajaran Islam) kerana mengikut undang-undang sivil dari Sweden. Ironisnya, undang-undang ini diperkenalkan beberapa bulan selepas dia menceraikan isterinya.

Kejatuhan Islam yang telah memayungi umat selama 600 tahun lebih ini akhirnya telah mewajahkan dunia Islam yang baru, kemunculan negara bangsa akibat pemetaan baru dunia Islam dengan arkitek utamanya ialah empayar Pax Britanica dan Peranchis. Negara umat Islam juga telah difaraidkan dan menuju titik kelemahan paling parah dengan pelebaran faham ilmaniah atau sekularisme. Umat Islam dijajah dan mengalami keterpurukan nilai serta tersudut dalam semua sektorsehingga memunculkan faham pan islamisme untuk mendobrak hegemoni Barat.

Empat tahun selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah juga menyaksikan Imam Hasan Al-Banna menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam, seterusnya gerakan Islam ditubuhkan di bumi umat Islam yang lain. Jamiat Islami ditubuhkan di Sub Continent, Masyumi di Indonesia, Hizbul Muslimin di Malaya, an-Nur di Turki dan pelbagai gerakan Islam kontemporari yang lain.
3 Mac 1924 adalah sejarah luka umat Islam dan ianya akan kembali sembuh dengan ummah kembali berjuang untuk mengembalikan ketuanan Islam. Islam yang berdaulat, negara yang mendokong Syariat serta menjadi pembenteng kepada agama Allah sebagaimana yang telah dilakarkan dalam sejarah Khilafah Uthmaniah.

Penulis ialah Setiausaha Lujnah Dakwah PAS Pusat.

Endometriosis boleh sebabkan kemandulan

Endometriosis boleh sebabkan kemandulan
SITI AISHAH HABIRIN
2 Mac 2014
  • Endometriosis
1 / 1
PENYAKIT endometriosis boleh dikategorikan sebagai unik yang mempunyai banyak teori, namun penyebab sebenarnya masih belum diketahui.

Ramai wanita mungkin tidak menyedari mereka mengalaminya kerana simptom seakan sama dengan rasa sakit ketika dalam keadaan menstruasi.

Perkataan endometriosis berasal daripada endometrium iaitu lapisan dinding atau tisu yang menyaluti permukaan kulit dalam rahim dan penyakit ini dipercayai berlaku apabila darah haid yang sepatutnya turun melalui saluran uterus ke vagina mengalami penolakan ke atas dan kemudian keluar melalui tiub falopio dan menyelaputi dinding luar rahim.

Bendalir yang menyelaputi dinding rahim itu lama kelamaan akan menjadi tebal mengakibatkan organ berhampiran rahim iaitu usus, pundi kencing akan melekat antara satu sama lain dan setakat ini kes yang pernah ditemui - tisu berkenaan boleh merebak sehingga ke paru-paru.

Keadaan ini jika berterusan akan menyebabkan tiub falopio menghasilkan belon cecair yang mengandungi darah lama yang juga dikenali sebagai ‘choclate cyst’ dan ini akan mengakibatkan kemandulan.

Senggugut serius

Ia akan menyebabkan penghasilan telur yang tidak berkualiti dan sukar untuk membentuk janin dan kadangkala tiub falopio terlekat pada dinding rahim dan menyukarkan telur dan sperma untuk bertemu.

Meskipun lagaknya seperti kanser namun ia tidak mengancam nyawa. Endometriosis ini boleh menyebabkan pesakit mengalami sengungut yang agak teruk apabila datang haid sehingga kebergantungan terhadap pil tahan sakit atau suntikan yang juga tidak digalakkan dalam tempoh masa yang lama.

Namun sekiranya ia bertambah serius, pesakit akan turut mengalami rasa senggugut teruk biarpun bukan pada masa datang haid, malah ia berlaku berterusan sehingga menyebabkan kualiti hidup terganggu di mana pesakit akan kerap mengambil cuti sakit.

Kualiti hubungan pasangan suami isteri juga boleh terjejas kerana keadaan ini akan menyebabkan sakit pada bahagian rahim ke bawah apabila melakukan hubungan seks selain turut berasa kesakitan apabila membuang air besar.

Kaedah rawat

Terdapat kaedah untuk merawat keadaan ini, mereka yang mengalami simptom-simptom perlu mendapat nasihat doktor agar masalah dikenal pasti dengan cara diagnosis berdasarkan pengalaman mereka.

Merawat masalah ini dianggap mencabar kerana kebanyakan mereka yang tampil adalah lingkungan produksi dan mahu hamil turut didapati menghidap endometriosis. Bagi mengatasi masalah ini sejenis ubat menghalang haid akan diberi kepada pesakit dalam masa sama pesakit tidak boleh hamil.

Ini kerana endometriosis berlaku jika wanita itu datang haid, jadi untuk mengatasinya wanita itu perlu berada dalam keadaan tidak haid kerana tisu berkenaan akan kering dalam tempoh masa tertentu.

Terdapat sejenis pil boleh menghalang datang haid, bagaimanapun ia hanya boleh diberi tidak melebihi tempoh enam bulan, jika tidak ia boleh menyebabkan rapuh tulang (osteoporosis) atau simptom menopaus, bagaimanapun sekarang terdapat kaedah baharu boleh bertahan sehingga tiga tahun dan waktu itu wanita tidak akan mengalami haid.

Ini merupakan cabaran kepada doktor pakar sakit puan untuk menentukan kaedah paling sesuai, tetapi sekiranya pesakit berumur 45 tahun ke atas dan tidak lagi menginginkan zuriat, maka disarankan mereka menjalani pembedahan buang rahim.

Endometriosis sukar dikesan, namun dengan kaedah laparoskopi ia boleh ditentukan, di mana prosedur ini memerlukan pembedahan kecil melalui pusat untuk memasukkan kamera bagi melihat keadaan sekitar rahim.

Sekiranya didapati pesakit mempunyai endometriosis, pembedahan kecil dilakukan guna kaedah canggih dengan cara ‘membakar’ tisu endometriosis yang berada di luar rahim.

Setakat ini, tiada ubat yang khusus untuk memulihkan masalah ini dan wanita dinasihatkan menjalani kehidupan seimbang dengan mengamalkan pemakanan diet seimbang, kerap bersenam, banyakkan makan sayuran yang mengandungi antioksidan serta tangani stres dengan baik juga dapat membantu.


Bersama pakar, DR Rama Krishna, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan

Sunday, March 2, 2014

8 Keajaiban Solat Tahajud yang umat Islam tak tahu..!!

Sunday, February 23, 2014

8 Keajaiban Solat Tahajud yang umat Islam tak tahu..!!

5424_10151811910656612_1108277778_n

Solat Tahajud

Kisah Motivasi Pagi yang kita nak kongsi hari ini adalah mengenai 8 Keajaiban Solat Tahajud. Solat Tahajud adalah solat yang sangat mulia. Ianya termasuk dalam Solat Sunnat Mu’akad (solat yang dituntut oleh Syara’). Solat Tahajud boleh dikerjakan paling minima sebanyak dua rakaat dan dilakukan sepanjang malam asalkan pelakunya sempat tertidur. Namun waktu yang paling utama untuk melakukannya adalah pada sepertiga akhir dari malam.Pesanan Dari Imam Nawawi:
“Bila engkau tidak mampu bangun malam untuk SOLAT TAHAJUD, juga tidak mampu berPUASA di siang hari,maka ketahuilah bahawa sesungguhnya engkau telah dihalangi untuk melakukannya kerana MAKSIAT dan DOSA yang membelenggumu. Mohonlah perlindungan maksiat dan dosa dari Allah, kerana Dia lah sebaik-baik pelindung..”

Keajaiban Solat Tahajud

Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat selalu melaksanakan Solat Tahajud kerana banyak keajaiban yang terkandung dalam solat tersebut.  Antara 8 keajaiban Solat Tahajud adalah seperti berikut :
 
 1. Tiket ke Syurga
Abdullah Ibn Muslin berkata “kalimat yang pertama kali ku dengar dari Rasulullah Saw saat itu adalah, “Hai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, bagikanlah makanan, sambunglah silaturahmi, tegakkan lah shalat malam saat manusia lainnya sedang tidur, niscaya kalian masuk surga dengan selamat.” (HR. Ibnu Majah).
2. Menjauhi Penyakit
Salman Al Farisi berkata, Rasulullah Saw bersabda, “Dirikanlah solat malam, kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu,  mendekatkan kamu kepada tuhanmu, penebus perbuatan buruk, mencegah berbuat dosa, dan menghindarkan diri dari penyakit yang menyerang tubuh.” (HR. Ahmad)
3. Mengangkat Darjat Manusia
Rasulullah Saw bersabda, “Jibril mendatangiku dan berkata, “Wahai Muhammad, hiduplah sesukamu, kerana engkau akan mati, cintailah orang yang engkau suka, kerana engkau akan berpisah dengannya, lakukanlah apa keinginanmu, engkau akan mendapatkan balasannya, ketahuilah bahawa sesungguhnya kemuliaan seorang muslim adalah pada solat waktu malam.” (HR. Al Baihaqi)
4. Mendapat Rahmat Allah
Abu Hurairah berkata bahwa Rasulullah Saw bersabda, “Semoga Allah merahmati laki-laki yang bangun malam, lalu melaksanakan solat dan membangunkan isterinya. Jika si isteri menolak, ia memercikkan air di wajahnya. Juga, merahmati perempuan yang bangun malam, lalu shalat dan membangunkan suaminya. Jika sang suami menolak, ia memercikkan air di wajahnya.” (HR. Abu Daud)
5. Doa Dikabulkan
Allah SWT berjanji akan mengabulkan doa orang-orang yang menunaikan solat Tahajud dengan ikhlas. “Dari Jabir berkata, bahawa Nabi Saw bersabda, “Sesungguhnya di malam hari , ada satu saat yang ketika seorang muslim meminta kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah memberinya, Itu berlangsung setiap malam.” (HR. Muslim)
6. Penghapus dosa 
Dari Abu Umamah al-Bahili berkata bahwa Rasulullah Saw bersabda, “Lakukanlah Qiyamul Lail, karena itu kebiasaan orang saleh sebelum kalian, bentuk taqarub, penghapus dosa, dan penghalang berbuat salah.” (HR. At-Tirmidzi)
7. Menewaskan Syaitan
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah Saw bersabda, “Syaitan akan mengikat kepala seseorang yang sedang tidur dengan ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang itu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka terlepaslah ikatan pertama, apabila ia berwudhu maka akan terbukalah ikatan kedua, apabila di solat akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasa bersemangat dan ketenangan jiwa, jika tidak maka dia akan malas dan kekusutan jiwa.”
8. Menjaga Kesihatan Rohani Allah SWT menegaskan bahawa orang yang selalu menunaikan solat Tahajud akan dipelihara peribadinya.
Allah Berfirman, “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang melewati malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.” (QS. Al-Furqan: 63-64)
Jom kita sama-sama menunaikan Solat Tahajud untuk kebahagiaan hidup kita didunia dan di akhirat.
Jaga Diri, Hiasi Peribadi. Selamat Beramal & Wasalam.

Ahli Ibadah Terpesona Dengan Kecantikan Pelacur

Ahli Ibadah Terpesona Dengan Kecantikan PelacurPosted on Sunday, March 02 @ 07:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Agama

Al-Hasan meriwayatkan, bahawa dahulu ada seorang pelacur yang sangat cantik jelita. Dia tidak mahu melayani orang yang datang kecuali jika dibayar sebanyak seratus dinar.

Secara kebetulan pada suatu hari ada seorang ahli ibadah yang melihat wajah pelacur cantik itu sehingga membuatkan ahli ibadah itu tertarik dan jatuh cinta kepadanya.



Kerana lelaki ahli ibadah itu mengetahui, bahawa untuk dapat dilayani oleh pelacur cantik itu orang harus memberinya wang sebanyak seratus dinar, maka lelaki ahli ibadah itu akhirnya pergi mencari pekerjaan untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.

Setelah wang sebanyak seratus dinar itu dapat dikumpulkan, dia pun pergi menemui pelacur cantik itu serta berkata kepadanya:
https://fbcdn-sphotos-g-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/t1/s403x403/1902802_10153831774925328_123920850_n.jpg
“Kecantikanmu telah membuatkan aku benar-benar tergoda, oleh kerana itu, aku telah berusaha sedaya upayaku untuk mendapatkan wang seratus dinar sebagaimana yang engkau kehendaki itu.”

Wanita pelacur itu berkata: “Silakan masuk ke rumahku.”

Dengan tidak berfikir panjang, ahli ibadah itu langsung masuk ke rumahnya. Di dalam rumah pelacur yang cantik jelita itu ada tersedia sebuah tempat tidur yang dibuat dari emas. Pelacur itu lalu duduk di atas tempat tidurnya dan berkata: “Marilah segera mendekatiku.”

Ketika lelaki ahli ibadah itu bermaksud untuk memuaskan nafsunya, pada waktu itu juga tiba-tiba ia ingat kepada Allah sehingga menggigil seluruh tubuhnya. Kepada wanita pelacur tersebut lelaki ahli ibadah itu berkata: 

“Biarlah aku pergi saja meninggalkan kamu dan wang yang jumlahnya seratus dinar itu ambillah olehmu!”

Wanita pelacur itu kembali bertanya: “Apakah sebenarnya yang terjadi atas dirimu, bukankah kamu telah tergila-gila kepadaku sehingga kamu membanting tulang dan mengeluarkan peluh untuk mendapatkan wang sebanyak seratus dinar? Pada saat ini kamu telah mendapatkan apa yang kamu inginkan itu, akan tetapi mengapa kamu akan meninggalkan aku?”

Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT dan juga atas kedudukanku selama ini di sisi-Nya. Berkemungkinan kerana aku akan pergi meninggalkan kamu, kamu merasa benci kepadaku, ketahuilah olehmu, sesungguhnya aku juga sangat membenci kamu kerana Allah.

Wanita pelacur itu berkata: “Jika yang kamu katakan itu benar, aku tidak akan bersuami kepada orang lain melainkan kamu.”

Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku keluar!”

Wanita pelacur itu menjawab: “Tidak, kecuali bila kamu mahu menjadi suamiku.”
“Tidak, biarlah aku keluar dari rumahmu ini!” kata lelaki itu.

Wanita itu kembali bertanya: “Apakah yang membuatmu merasa keberatan bila aku memohon kepadamu supaya engkau mahu menikahi aku?”

Lelaki itu menjawab: “Untuk menjadi isteriku boleh saja, akan tetapi aku harus pergi meninggalkan tempat ini kembali ke tempat biasanya aku melakukan ibadah.”

Selepas berkata demikian, lelaki ahli ibadah itu langsung pergi meninggalkan rumah pelacur tersebut. Begitu juga dengan wanita pelacur itu ia ikut serta keluar dari daerahnya untuk bertaubat kepada Allah dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya. 

Wanita pelacur itu terus berjalan, hingga akhirnya ia sampai ke tempat asal lelaki ahli ibadah tersebut.

Kepada ahli ibadah tersebut seseorang datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya permaisurimu telah datang kepadamu.”

Ketika ahli ibadah melihat kedatangan wanita itu, ia terkejut dan langsung terjatuh dalam pelukan wanita pelacur yang cantik jelita itu. Pada waktu itu juga lelaki ahli ibadah tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Melihat keadaan demikian, kepada orang yang hadir wanita pelacur yang telah bertaubat itu bertanya? “Apakah lelaki idamanku yang telah meninggalkanku buat selama-lamanya ini ada mempunyai saudara?”

Orang yang hadir pada waktu itu menjawab: “Ia ada mempunyai seorang saudara lelaki, akan tetapi saudara lelakinya itu hidup dalam keadaan kemiskinan.”

“Jika memang demikian, aku akan menikah dengannya sebagai ganti dari lelaki yang aku cintai ini,” kata wanita itu.

Akhirnya wanita tersebut menikah dengan saudara lelaki ahli ibadah itu dan dari hasil pernikahan tersebut, Allah SWT mengurniakan kepada mereka sebanyak tujuh orang anak yang kemudian ketujuh orang anak tersebut menjadi nabi semuanya.

*Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com
http://detikislam.blogspot.com