Sunday, June 12, 2022

Liqa Fikri : Mempertaut Ukhuwwah

 Abu Umarain:

LIQA FIKRI PAS PUSAT: MEMPERTAUT UKHUWWAH ABNAUL HARAKAH.


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.


Persekitaran KUIZM Taman Melewar yang dahulunya Markaz Tarbiah PAS Pusat berselubung euforia mahabbah dan ceria pada pagi 12 Jun 2022. Pimpinan PAS disemua peringkat memenuhi Dewan Fadhil Noor KUiZM untuk mencicip pesan- pesan berharga daripada murabbi jamaah. PAS telah melepasi umurnya tujuh dekad berjuang dan mendobrak kebatilan ditanah leluhur ini, tak mudah mengumpulkan kekuatan untuk bertahan dalam tempoh yang panjang.


Kekuatan PAS bukan sekadar dengan sejuta ahlinya yang mempunyai iltizam yang tinggi namun disana adanya akar pengikat yang kuat iaitu ukhuwahfillah. Ukhuwwah merupakan prasyarat kemenangan harakah Islam sebagaimana yang diungkapkan oleh Maulana Maududi, pendiri Jamiat Islami yang juga pemikir Islam tersohor. Ustaz Dato Idris Ahmad, Pengerusi Lujnah Tarbiah PAS Pusat telah menggariskan beberapa panduan untuk mengikat batu bata ukhuwwah sesama anggota jamaah Islam ini.


Tips paling asas dan terbaik ialah berbaik sangka dengan semua ahli PAS, jauhi prejudis terutama diera tamkin. Bisikan- bisikan liar pasti merosakkan ukhuwwah semahal tempayan emas¡.Mereka yang tidak ikhlas akan terkeluar atau dikeluarkan oleh ahli, kerana PAS ialah jama'ah yang terdiri dari kalangan orang yang soleh, menyintai kebenaran dan perjuangan islam. Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri tidak akan berjaya. Oleh itu berbaik sangka dengan sahabat adalah perlu, Jauhkan prasangka buruk sesama anggota dan membina perpuakan.


Sifat meraikan semua ahli yang berbagai latar belakang status kedudukan dan tahap akademik adalah perlu. " Ahli- ahli PAS latarbelakang sosio ekonomi pelbagai, darpada PhD sehinggalah yang tak gosok gigi" kata Ustaz Idris bercanda. Janganlah kita mudah mengeluarkan perkataan bodoh jika ahli yang diarah melaksanakan kerja tersilap menerima arahan. Anggaplah tahap pemikiran mereka tidak sama dengan kita. Jika kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati sahabat bagaimana ikatan ukhuwah hendak ditautkan. 


Lahirkan sifat kasih sayang sesama anggota. Biarlah menampakkan kita kasih kepada amilin bawahan terutamanya. Lemparkan senyuman dan manis muka dan ringan mulut untuk berbicara dan bertanya khabar teman-teman kita. Ahli PAS sejujurnya sayang kepada perjuangan ini,bukan wang yang diminta, tetapi ialah kemesraan dan layanan yang mereka dambakan. Mereka lebih berbangga jika pimpinan mereka cakna, " membumi" serta merakyat, mengambil berat terhadap mereka.


Berilah keutamaan kepada ahli PAS ketika memberikan bantuan, jangan tak peduli dan mengkesampingkan kebajikan ahli- ahli yang ditimpa kesusahan. Lihatlah ahli dan amilin yang memang susah dan layak menerima bantuan. Memang kebiasaan ahli PAS tidak meminta walaupun mereka ini orang susah, tetapi kita sebagai pimpinan perlu mengambil berat terhadap keperluan mereka. 


Menurut Ustaz Idris, "apabila semua amilin  memikirkan untuk mengalahkan musuh, maka jama'ah akan kuat. Selalunya orang yang tidak berkerja atau sedikit kerjanya untuk parti memang terlalu nampak kesalahan sahabat sedangkan beliau hanya asyik mengkritik tanpa apa-apa sumbangan kepada parti. Orang seperti ini amat merbahaya kepada parti. Orang seperti ini amat merbahaya kepada parti dan tidak mendatangkan apa-apa faedah".


"Kelompongan dalam saff jama'ah akan memberi tempat kepada syaitan untuk menyusup masuk ke dalam saff parti. Parti akan kukuh seperti acuan keluli di mana syaitan dan musuh parti tidak dapat mencari lubang pun untuk mencelah masuk dan melakukan kerosakan. Walaupun syaitan datang dengan bala tentera yang banyak untuk menyerang" tambah Menteri Agama (JPM) yang juga Naib Presiden PAS itu.


Pembentangan kedua oleh Presiden PAS  memasakukuhkan lagi kefahaman tentang memaknai ukhuwwah. Tuan Guru DS Abdul Hadi Awang memperingatkan khalayak peserta  tentang Islah al hukumah dengan realiti fan cabaran mendatang.


Era tamkin masakini memerlukan keupayaan mengurustadbir, kompetensi serta meletakkan nuansa perjuangan Islam pada semua peluang  dan ruang yang terbentang. PAS berperanan menyatukan semua kelompok Islam di negara, meminimakan jurang antara kumpulan, elakkan pertembungan agar kuasa yang ada tidak terlepas ketangan mereka yang memusuhi Islam.


(Penulis ialah AJK PAS Pusat,Pengerusi LESTARI)

Friday, June 10, 2022

Hukum Bon Odori

 Pilihan Bahasa:

BAYAN LINNAS SIRI KE-254: HUKUM ORANG ISLAM MENYERTAI PERAYAAN BON ODORI

BAYAN LINNAS 254

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, utusan akhir zaman. Bayan Linnas kali ini akan mengulas isu yang timbul baru-baru ini berkaitan dengan program Festival Bon Odori yang dikatakan akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022.[1] Isu ini telah mendapat liputan meluas sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak yang berpandangan supaya umat Islam di negara ini tidak menyertai Festival Bon Odori kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.[2] Selain itu ada pihak yang berpandangan bahawa perayaan ini hanyalah program kebudayaan dan harus bagi umat Islam untuk hadir dan bersama-sama merayakannya.

Pengenalan ringkas tentang Bon Odori

Obon atau Bon Odori adalah merupakan suatu perayaan orang Jepun yang beragama Buddha, sebagai simbolik merayakan kedatangan roh nenek moyang yang telah mati. Perayaan ini telah disambut di Jepun selama lebih daripada 500 tahun.[3] Menurut kepercayaan mereka, roh nenek moyang akan datang ke dunia bagi menziarahi saudara mara mereka pada setiap tahun sewaktu perayaan Obon berlangsung.[4] Perayaan ini biasanya berlangsung selama 4 hari, iaitu pada hari ke 13 hingga ke 16 pada setiap bulan Ogos, tetapi ia berbeza mengikut tempat-tempat tertentu di Jepun.[5] Perbezaan ini berlaku kerana wujudnya perbezaan kalendar dalam menentukan bulan yang ketujuh. Berdasarkan kalendar solar, bulan yang ketujuh ialah bulan Julai. Manakala berdasarkan kalendar lunar, bulan yang ketujuh adalah bulan Ogos.[6]

Masyarakat Shinto mempercayai perayaan ini dimaksudkan untuk menyambut para leluhur yang datang dan menghibur serta menenangkan roh-roh yang datang kembali ke rumah mereka. Semasa perayaan ini, ahli keluarga akan berkumpul di rumah untuk meraikan roh-roh nenek moyang yang dikatakan kembali ke dunia ini bagi menziarahi saudara mara. Mereka juga biasanya melawat dan membersihkan kubur sambil berdoa. Sebuah Shoryodana (altar)[7], dibina dengan diisi buah-buahan, kemenyan, dan bunga untuk menyambut nenek moyang. Api juga dinyalakan untuk memandu nenek moyang untuk pulang ke rumah dan pada hari terakhir perayaan, tanglung kertas (coachin paper lantern) digantung bagi membantu nenek moyang pulang ke kubur masing-masing. Ada juga yang menggunakan tanglung terapung (floating lanterns) dan dilepaskan ke laut untuk membantu nenek moyang kembali ke alam mereka.[8]

Selari dengan peredaran masa, perayaan Bon Odori disambut hanya sebagai tradisi dan kebudayaan Buddha-Confucius dengan aktiviti perkumpulan keluarga pada musim cuti, namun di sesetengah daerah pedalaman sambutan ini masih dianggap sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan.[9]

Hukum orang Islam menyertai perayaan Bon Odori

Pada asasnya umat Islam adalah ditegah untuk menyertai apa-apa perayaan agama lain. Para ulama telah bersepakat bahawa hukum menyertai perayaan agama lain, sama ada dengan ucapan atau tindakan pada pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan tersebut adalah haram jika bertujuan untuk mengagungkan hari perayaan mereka, bahkan majoriti ulama berpendapat bahawa seorang muslim yang mengagungkan syiar-syiar agama lain boleh jatuh ke lembah kekufuran. Manakala individu muslim yang tidak berniat untuk mengagungkannya adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur.[10]  

Dalam surah al-Furqan, Allah SWT memuji golongan yang tidak menghadiri hari perayaan orang-orang musyrik. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.

Al-Furqan (72)

Sebahagian ulama salaf seperti Abu al-‘Aliah, Tawus, Muhammad bin Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain menafsirkan kalimah al-zur dalam ayat di atas sebagai hari-hari perayaan orang musyrik.[11] Oleh yang demikian, dapat difahami daripada ayat ini bahawa Allah SWT memuji individu-individu yang tidak menghadiri perayaan orang-orang musyrik.

Dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

Al-Maidah (51)

Menurut para ulama, apa yang dimaksudkan teman rapat disini adalah menyerupai (tashabbuh) mereka dan membesarkan hari-hari perayaan mereka.[12]

Menurut seorang ulama mazhab Shafi’i, Hibatullah bin al-Hasan al-Lalaka’i:

وَلَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِينَ أَن يَحْضُرُوا أَعْيَادَهُمْ لِأَنَّهُمْ عَلَى مُنْكَرٍ وَزُورٍ, وَإِذَا خَالَطَ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ أَهْلَ المًنْكَرِ بِغَيْرِ الْإِنْكَارِ عَلَيْهِمْ كَانُوا كَالرَّاضِينَ بِهِ وَالْمُؤَثِّرِينَ لَهُ، فَنَخْشَى مِنْ نُزُولِ سَخَطِ اللهِ عَلَى جمَاَعَتِهِم فَيَعُمَّ الْجَمِيعَ، نَعُوذُ بِاللهِ مِن سَخَطِهِ

Maksudnya: “Umat Islam tidak dibenarkan untuk menghadiri perayaan-perayaan mereka (golongan bukan Islam) kerana mereka berada dalam kemungkaran dan kebatilan. Apabila golongan yang baik bercampur dengan golongan mungkar (dengan) tanpa mengingkari mereka, maka mereka seperti redha dan terpengaruh dengan ahli mungkar tersebut. Kami bimbang kemurkaan Allah turun ke atas ke atas kelompok mereka, lalu terkena pada semua. Kami memohon kepada Allah daripada kemurkaan-Nya”.[13]

Al-Imam al-Damiri pula menjelaskan tentang hukuman yang selayaknya menurut syarak bagi mana-mana individu muslim yang menyertai perayaan bukan Islam, kata beliau:

يُعَزِّرُ مَن وَافَقَ الكُفَارَ فِي أَعْيَادِهِم

Maksudnya: Dihukum ta'zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka.[14]

Selain itu, menurut Abu Hafs al-Kabir, ulama mazhab Hanafi,

لَوْ أَنَّ رَجُلًا عَبَدَ اللَّهَ تَعَالَى خَمْسِينَ سَنَةً ثُمَّ جَاءَ يَوْمُ النَّيْرُوزِ وَأَهْدَى إلَى بَعْضِ الْمُشْرِكِينَ بَيْضَةً يُرِيدُ تَعْظِيمَ ذَلِكَ الْيَوْمِ فَقَدْ كَفَرَ وَحَبَطَ عَمَلُهُ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyembah Allah selama 50 tahun lamanya, kemudian tibanya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan sebiji telur kepada sebahagian golongan musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya.[15]

Ibn al-Haj al-Maliki juga secara ringkasnya turut berpendapat bahawa orang Islam ditegah melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka.[16] Selain itu, Abu al-Qasim berpandangan bahawa tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana ia merupakan suatu kemungkaran.[17]

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam telah memutuskan;

Beberapa ketetapan kriteria perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam adalah sebagaimana berikut:

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
  2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
  3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam"

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula dalam penjelasan berhubung hukum umat Islam menyambut Tahun Baru Cina sebelum ini turut menggariskan beberapa kriteria sepertimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah MKI, dengan tambahan seperti berikut;

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam”ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 
  2. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.[19]

Berasaskan huraian ini, umat Islam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam apa-apa perayaan golongan bukan Islam apatah lagi mengikuti ritual-ritual mereka yang bercanggah dengan prinsip Islam serta mengagungkan syiar agama mereka agar tidak membawa fitnah kepada agama Islam.

Mengenai perayaan Bon Odori, walaupun dikatakan ia telah berevolusi sebagai hanya semata-mata perayaan yang bersifat kebudayaan dengan aktiviti sosial kekeluargaan, namun umat Islam wajib mematuhi hukum-hakam syarak dalam menghadiri sesuatu majlis atau tempat perayaan. Sekiranya dalam majlis berkenaan ada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas, mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya, maka wajib bagi umat Islam menghindarkan diri dari terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Walaubagaimanapun adalah dicadangkan satu kajian lebih lanjut dilaksanakan untuk memastikan kedudukan sebenar perayaan ini dalam realiti pelaksanaannya pada hari ini samaada ia masih mempunyai hubungan dengan kepercayaan yang bersifat keagamaan atau semata-mata kebudayaan yag telah terputus dari kepercayaannya yang asal. Ini bagi memastikan sikap dan pendirian orang Islam terhadap Bon Odori adalah benar-benar menepati hukum syarak.

Berkaitan dengan isu ini, jika sekiranya ia semata-mata budaya, boleh merujuk kepada penjelasan kami terhadap isu-isu Orang Islam Menggantung Tanglung yang boleh dirujuk di link berikut;

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5111-al-kafi-1854-hukum-orang-islam-menggantung-tanglung-tahun-baru-cina

 

[1] Bon Odori, The Japan Club of Kuala Lumpurhttps://www.jckl.org.my/en/events/bon_odori, diakses pada 7 Jun 2022.

[2]Jangan hadir Festival Bon Odori, Berita Harian Online, https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/849418/umat-islam-dinasihatkan-tidak-sertai-festival-bon-odori, diakses pada 7 Jun 2022.

[3] Bon-Odori (Bon Festival Dance), in hamamatsu.com, https://www.inhamamatsu.com/culture/bon-odori.php, diakses pada 7 Jun 2022.

[4] Japan-guide.com, Obon, https://www.japan-guide.com/e/e2286.html, diakses pada 8 Jun 2022.

[5] Bon-Odori (Bon Festival Dance), in hamamatsu.com, https://www.inhamamatsu.com/culture/bon-odori.php, diakses pada 7 Jun 2022.

[6] Japan RailPasss, guide to the Obon Festival 2021 in Japan, https://www.jrailpass.com/blog/obon-festival-in-japan, diakses pada 7 Jun 2022.

[7] Sejenis tempat sembahan untuk upacara pemujaan dan perjamuan suci.

[8] Bon Festival, New World Encyclopedia, https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Bon_Festival, diakses pada 8 Jun 2022.

[9] Geradia Teresya, Bon Odori, (Universitas Sumatera Utara, Medan: 2016), 4.

[10] Ali Wanis, alIhtifal bi A’yad al-Kuffar, hlm, 4

[11] Ibnu Kathir, Ismail bin Umar, Tafsir al-Quran al-‘Azim, (Dar Taiyyibah li al-Nasr wa al-Tauzi’, 1999), 6:130

[12] Al-Zahabi, Tashbih al-Khasis bi Ahl al-Khamis fi Raddi al-Tashabbuh bi al-Mushrikin, (Jordan, Dar Amman, 1988), 34

[13] Ibn al-Qayyim, Muhammad bin Abi Bakr, Ahkam Ahl al-Zimmah, (al-Damam: Ramadi li al-Nashr, 1997), 3:1245

[14] Al-Damiri, Muhammad bin Musa bin  Isa, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj (Dar Minhaj: 2004), 9:244.

[15] Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad, Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq (Dar al-Kitab al-Islami: tt), 8/555.

[16] Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad al-Abdari, al-Madkhal (Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, tt), 2/46-48.

[17] Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Zimmah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah), 1/162.

[18] Mohd Rus, Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam Menurut Perspektif Islam, hlm, 90-92

[19] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas Siri ke 48, Islam dan Tahun Baru Cina, https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1829-bayan-linnas-siri-48-hukum-menyambut-tahun-baru-cina, diakses pada 10 Jun 2022

Sumber Gambar: FreeMalaysiaToday


 CETAK    EMEL

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Jabatan Perdana Menteri
Aras 5, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya
No. 3, Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3
62100 Putrajaya, Malaysia.

  : 03-8870 9000
  : 03-8870 9101 / 03-8870 9102
  : ukk[at]muftiwp[dot]gov[dot]my

Hak Cipta Terpelihara © 2021 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Paparan terbaik menggunakan resolusi skrin minimum 1920x1080 pada pelayar web Mozilla Firefox atau Google Chrome versi terkini

Back To Top

Wednesday, June 8, 2022

Bon Odori

 *_BON ODORI_* *MANIFESTASI PLURALISME AGAMA YANG SEMAKIN MENJOLOK MATA*


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.


Jamak agama atau  Pluralisme agama di atas nama keharmonian kaum, keserasian etnik, toleransi beragama  dan merapatkan jurang segregasi kaum adalah racun yang membunuh akidah. Simptom ini makin mencolek mata dan nurani kita semua yang beriman. Berdoa beramai-ramai dengan pelbagai fahaman agama diperkuburan bukan Islam, iftar jamaie di rumah ibadah bukan Islam, kongsi raya bahkan meletakkan semua agama menuju ke arah shurga dan semua agama menuju kearah kebenaran adalah fahaman jamak agama yang membaham kemuliaan Islam. 


Pluralisme agama adalah bayi dibidani daripada pemikiran neo muktazilah, dalam sejarahnya sangat bejat menyerang Indonesia semenjak zaman Bung Karno serta pintu banjir kesesatan Islam inklusif terbuka luas dizaman transisi pasca Mei 1998. Pluralisme di Indonesia ditentang sejak zaman Soekarno lagi, Prof Dr Hamka telah membayar harga yang mahal sehingga dipenjara dalam penjara Cipinang Jakarta. Perkahwinan campur bersemarak termasuk oleh artis dan selebriti, berkongsi rumah ibadah juga tak menjadi kepelikan kepada penyokong pluralisme agama ini.


Negara kita minggu ini menyaksikan polemik sambutan perayaan Bon Odori, satu perayaan yang berasal daripada Jepun yang diamalkan sejak 500 tahun dahulu. Perayaan ini bukan sekadar santai budaya namun meliputi ritual memuja roh nenek moyang yang diklasifikasikan oleh pihak otoriti agama sebagai syirik terhadap Allah. Menteri Agama (JPM), Datuk Idris Ahmad telah menegaskan agar ummat Islam menjauhi perayaan ini agar tidak tergelincir akidah . Respon yang sama muncul daripada Mufti Pulau Pinang agar ummah menjauhi acara ritual ini. Di negara kita, dalam tahun 1977, perayaan ini dirayakan oleh kelompok ekspatriat Jepun, namun akhirnya kuat tarikan pesonanya digemburkan oleh umat Islam sendiri.


Betapa tololnya umat ini daripada kelas ningrat sehinggalah kutu jalanan yang mempunyai peranti pintar. Tanpa ilmu dan rasa malu kepada Allah, masing- masing memberikan pandangan bermuarakan akal nafsu agar perayaan Bon Odori mempunyai kewajaran untuk disambut. Ini termasuk langkah sumbang kerajaan Selangor yang memberikan keizinan untuk perayaan Bon Odori disambut (lega barangkali apabila PAS bukan sebahagian daripada kerajaan Selangor). Akira Takasaki dan Minoru Hirata pun tidak pernah menyeru agar disambut perayaan puja ruh nenek moyang ini walaupun mereka berbangsa Jepun yang menganut agama Buddha Shinto!.


Dengan terjahan dunia langit terbuka, kelompok penyokong pluralisme agama ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka. Diruang komen medsos , Menteri Agama serta mufti dimaki secara berjemaah seolah-olah melakukan proses Talibanisasi ditanah leluhur ini.


Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman pluralisme agama sebagai cabang daripada kesesatan Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai lokasi dan kondisi. Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.


Isu menyanggah pluralisme agama bukanlah perkara baru, antara yang pernah menjadi isu ialah tentang sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh mufti dan para ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam liberal menolak pandangan mufti dan ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot, dogmatik  atau berfikiran tertutup.


Pada pandangan akal sempit mereka  mereka hukum syariat Islam adalah ciptaan ulama dan fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah hukum-hakam syariat yang qatie. Antara hukum-hakam syariat yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula . Wahai umat Islam jauhi perayaan Bon Odori, jangan jadi manusia tolol yang menolak peringatan yang diberikan oleh ar Rasul SAW.

"Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka termasuklah mereka dalam kaum tersebut".


_(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)_

Monday, June 6, 2022

Pesanan Hasan al Basri kepada dua anaknya

 Hassan Al Basri merupakan seorang ulama dan ahli perniagaan. 


Beliau memiliki dua anak lelaki. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memanggil kedua anak lelakinya, lalu berpesan,


"Bila ayah telah tiada lagi di dunia ini, kamu berdua hendaklah meneruskan perniagaan ayah. 


Cuma ada 2 perkara ayah ingin kamu lakukan.


1. Bila kamu berniaga, jangan kutip hutang.


2. Bila kamu berniaga, jangan kena matahari."


Kemudian Hassan Al Basri mengakhiri hayatnya dan meninggal dunia.


Masa telah berlalu dan selang beberapa tahun, perniagaan si adik semakin merosot dan terus merosot. 


Manakala perniagaan si abang semakin maju dan maju.


Satu hari si Ibu (balu Hassan Al Basri) memanggil anaknya si adik. Lalu bertanya,


Si ibu : "Wahai adik, kenapa perniagaanmu semakin hari semakin merosot?"


Jawab si adik: "Saya ikut pesanan ayah."


Si ibu : "Apakah pesanan ayahmu?"


Jawab si adik : "Ayah berpesan, KALAU BERNIAGA JANGAN KUTIP HUTANG. Jadi, semua yang berhutang dengan saya, saya tak pernah minta bayaran. Kalau mereka nak bayar, mereka bayar. Kalau mereka tak bayar, saya tak kan kutip bayaran."


Pesan ayah lagi, "KALAU BERNIAGA JANGAN KENA MATAHARI."


"Kemana sahaja saya berniaga, mesti bawa payung. Jadi semua perniagaan itu tidak kena matahari sebagaimana pesan ayah."


Kemudian, si ibu pergi berjumpa dengan si abang pula, lalu bertanya.


Si ibu : "Wahai abang, ibu lihat perniagaanmu semakin hari semakin maju, apa yang kamu lakukan ?"


Jawab si abang : "Saya ikut pesan ayah."


Si ibu : "Apa pesanan ayahmu?"


Jawab si abang: "Ayah pesan, KALAU BERNIAGA JANGAN KUTIP HUTANG. Jadi , semua saya JUAL TUNAI. Maka, tidak ada orang berhutang dengan saya. Saya ikut pesan ayah, saya tak perlu kutip hutang. Semua bayar tunai."


"Kedua , ayah berpesan. "KALAU BERNIAGA JANGAN KENA MATAHARI." Jadi saya keluar ke kedai waktu subuh. Lepas solat subuh, saya tidak tidur, terus ke kedai. Malam baru saya pulang ke rumah. Jadi, saya tak kena matahari."


—Moral of the story


Perbezaan MENTAFSIR sesuatu perkara menjadikan arah hidup yang berbeza. Kalau kita kata ibadah itu hanyalah di tikar sembahyang semata-mata,


nanti kita akan meninggalkan kewajipan mencari nafkah terhadap keluarga, kewajipan terhadap negara dan ummah keseluruhannya.


Jadi, belajarlah dari ramai guru, banyak membaca untuk tambahkan ilmu, minta اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى beri petunjuk, mohon اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى bimbing kehidupan kita, semoga اللّٰه memberikan taufik dan hidayah.


Mudah-mudahan, dengan kefahaman yang betul, kita di muliakan oleh اللّٰه di dunia dan di akhirat. Nabi صلى الله عليه وسلم pernah bersabda;


“Siapa yang اللّٰه سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى mahukan kebaikan bagi dirinya, akan difahamkan padanya agama dengan sebenar-benar kefahaman”.


Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin

Pesona D'Zahrah

IKIMFm yg

Istilah2 Fuqaha Syafieyah

 ISTILAH-ISTILAH FUQAHA’ SYAFIEYAH YANG DIGUNAKAN DIDALAM KITAB-KITAB MEREKA. 


Jika anda membaca kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie dan anda terjumpa perkataan : 


1. al-Imam (الإمام) secara mutlaq, tanpa diqaidkan dengan mana-mana Imam : maka ia merujuk kepada al-Imam al-Haramain, pengarang Matan al-Waraqat.

2. al-Qhadi (القاضي) secara mutlaq, tanpa diqaidkan dengan mana-mana Imam : maka ia merujuk kepada al-Qhadi Husain. 

3. al-Qhadiyān (القاضيان) secara mutlaq : maka ia merujuk kepada al-Qhadi al-Mawardi dan al-Qhadi al-Rawyāni.

4. al-Syārih (الشارح) secara mutlak dan dimakrifahkan : maka ia merujuk kepada al-Imam Jalaluddin al-Mahalli. 

5. al-Syaikhan (الشيخان) secara mutlak, tanpa menyebut nama mana-mana Imam : maka ia merujuk kepada al-Imam an-Nawawi dan al-Imam ar-Rafiè.

6. al-Syuyukh (الشيوخ) secara mutlak, tanpa menyebut nama mana-mana Imam : maka ia merujuk kepada al-Imam an-Nawawi, al-Imam ar-Rafiè dan al-Imam Tajuddin as-Subki.

7. Qola Syaikhuna (قال شيخنا), jika yang menyebutnya itu al-Imam ibn Hajar, al-Khatib asy-Syirbini atau al-Imam ar-Romli, maka Syaikhuna itu merujuk kepada Syaikhul Islam al-Imam Zakariya al-Ansori.

8. al-Ashab atau Ashabuna (الأصحاب / أصحابنا), maka ia merujuk kepada Fuqaha’ Syafieyah yang hidup sebelum al-Imam an-Nawawi dan al-Imam ar-Rafiè. 

9. al-Mutaakhirun (المتأخرون). Lafaz ini merujuk kepada Fuqaha’ Syafieyah yang hidup selepas zaman asy-Syaikhan.

10. an-Nash (النص), maka ia merujuk kepada pendapat al-Imam asy-Syafie.

11. Wa fi qauli kaza (وفي قول كذا)، maka ia merujuk kepada pendapat al-Imam asy-Syafie.

12. Qil (قيل)، maka ia merujuk kepada pendapat-pendapat al-Ashab.

13. al-Azhar dan az-Zohir (الأظهر والظاهر). Lafaz al-Azhar menunjukkan bahawa ada beberapa pendapat al-Imam asy-Syafie sendiri jika kuat khilaf. Maka pendapat yang lebih kuat daripada pendapat-pendapatnya itu dikatakan al-Azhar, manakala yang lain itu dikatakan az-Zohir. 

14. al-Masyhur (المشهور). Lafaz ini juga merujuk kepada pendapat al-Imam asy-Syafie sendiri jika lemah khilaf. Maka pendapat yang kuat daripada pendapat-pendapat yang lain itu, dikatakan qaul al-Masyhur. Manakala, pendapat yang lain itu dikatakan dhoif.

15. al-Asoh dan al-Sohih (الأصح والصحيح). Lafaz ini menunjukkan bahawa ada dua wajah atau beberapa wujuh ashab daripada al-Imam asy-Syafie jika kuat khilaf. Pendapat yang kuat dikatakan al-Asoh, manakala baki pendapat-pendapat itu dikatakan as-Sohih. 

16. al-Sohih dan al-Dhoif (الصحيح والضعيف). Lafaz ini menunjukan bahawa ada dua wajah atau beberapa wujuh ashab daripada al-Imam asy-Syafie jika lemah khilaf. Pendapat yang kuat dikatakan as-Sohih, manakala yang lemah itu dikatakan ad-Dhoif. 

17. Mazhabul Jadid (مذهب الجديد) merujuk kepada pendapat atau fatwa al-Imam asy-Syafie di Mesir. Ia juga disebut dengan qaul al-Jadid.

18. Mazhabul Qadim (مذهب القديم) merujuk kepada pendapat atau fatwa al-Imam asy-Syafie di Iraq. Ia juga dikenali dengan qaul al-Qadim. 

19. al-Jumhur dan al-Ittifaq (الجمهور والاتفاق). Kalimah al-Jumhur merujuk kepada pendapat kebanyakan Ulama’. Manakala, al-Ittifaq pula merujuk kepada pendapat kebanyakan Ulama’ didalam satu-satu mazhab.

20. al-Mujma’ alaihi (المجمع عليه) merujuk kepada kesepakatan pendapat Ulama’ yang berlainan mazhab.


Mempelajari sesuatu Mazhab itu tak semudah yang disangkakan, apatah lagi menguasainya. Maka, jika ada yang melekehkan mazhab-mazhab Fiqh atau pendapat-pendapat ulama’ Mazhab, ketahuilah bahawa dia tak tahu apa itu mazhab. Katakan saja padanya, diam itu lebih baik utk kamu amalkan. 


اللهم ارحمنا وارحم سائر مشايخنا والأئمة الشافعية كلها. وببركتهم علمنا بما ينفعنا وانفع بما علمتنا يا رب العالمين. وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. والحمد لله ورب العالمين.