Tuesday, January 21, 2014

PATUTKAH KERAJAAN CAMPUR TANGAN SILIBUS UNIVERSITI?


PATUTKAH KERAJAAN CAMPUR TANGAN SILIBUS UNIVERSITI?


 

ULASAN Saya ucapkan terima kasih kepada Dr Lim Theck Ghee dan S Thayaparan atas pandangan mereka berkenaan pendirian saya berhubung pelaksanaan mata pelajaran TITAS di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Walaupun pertukaran pendapat itu panas sehingga ada pembaca Malaysiakini yang menggelarkan saya prototaip Umno, saya mengambil sikap positif. Untuk Malaysia maju ke depan, kita mesti berdebat secara terbuka dan menerima kritikan seadanya.

Saya akan terangkan asas kenapa saya mengambil pendirian menyokong TITAS sebelum menjawab beberapa tohmahan yang dilemparkan terhadap saya.

Kefahaman sesama sendiri bina M'sia lebih baik

Soalan yang paling penting adalah soalan yang paling mudah: dengan keadaan masyarakat Malaysia sekarang, apakah kita akan bertambah baik jika kita lebih memahami antara satu sama lain?

Bolehkan kita mengurangkan ketidaksefahaman dan prejudis sesama sendiri jika kita mempunyai pemahaman yang baik mengenai ketamadunan Islam, Melayu, Cina dan India memandangkan tamadun-tamadun ini paling besar pengaruhnya dalam masyarakat kita?

Saya yakin kita akan bertambah baik.

Malah, saya percaya negara akan lebih sentosa jika anak muda pelbagai bangsa menerima positif perspektif berbeza kaum-kaum lain walaupun mereka tidak bersetuju dengan beberapa pandangan kerana stereotaip dan polarisasi dalam masyarakat adalah berbahaya.

Kurangnya kefahaman dan penghargaan mengenai perbezaan budaya dalam masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia sedikit sebanyak memberi kecenderungan kepada stereotaip dan polarisasi.

Makanya, sokongan saya kepada cadangan melaksanankan TITAS di IPTS bermula dari pendirian yang mudah: saya tidak nampak apa salahnya jika kita menggalakkan anak muda kita mempelajari dari satu sama lain mengenai budaya dan kehidupan masing-masing.

Saya faham banyak tentangan terhadap TITAS berpunca dari rasa waswas bahawa ini alasan Umno untuk memaksa budaya dan agama Islam ke atas anak-anak bukan Islam di IPTS.

Walaupun sikap waspada itu boleh difahami, ia mengherot perbincangan sehingga penentangan terhadap TITAS langsung tidak mempertimbangkan kesan baik TITAS dalam melahirkan lebih ramai anak-anak muda Melayu yang faham dan menghargai kepelbagaian kaum.

Contohnya, saya menghabiskan pendidikan prauniversiti hingga pekerjaan pertama di United Kingdom.

Saya bersekolah di sebuah sekolah asrama di Scotland. Maknanya, setiap pagi saya perlu pergi ke gereja kecil di sekolah kerana di situlah perhimpunan sekolah diadakan bersama-sama upacara sembahyang pagi.

Ketika seluruh sekolah menyanyikan lagu-lagu, saya tidak menyanyi pun.

Namun, pengalaman itu menyedarkan saya bahawa orang Kristian (seperti juga orang Islam) mengambil pendirian bahawa penekanan kepada nilai agama dan sejagat baik untuk masyarakat.

Setiap setahun sekali, sebagai ahli orkestra sekolah saya ke gereja untuk membuat persembahan.

Saya mula bekerja di sebuah firma perakaunan di London yang mana 90 peratus rakan kongsinya menganut agama Yahudi.

Walaupun kami tidak pernah berbincang mengenai Palestin kerana ia dianggap sensitif, saya dilayan istimewa sebagai seorang penganut Islam.

Dalam pejabat ada ruang kecil untuk kami menunaikan solat walaupun hanya ada 4 orang Islam di situ.

Setiap tahun, saya mendapat cuti tambahan untuk merayakan Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha.

Walaupun saya terdedah kepada amalan agama lain, tidak pula saya bertukar agama. Malah, saya lebih bersyukur dengan identiti sebagai orang Islam di bumi asing. Ia memberikan saya kekuatan dan rasa kebersamaan dengan orang lain.

Dari pengalaman dan pendedahan itu, saya menjadi seorang Islam yang lebih yakin dan sensitif dengan pegangan lain kerana saya lebih memahami agama Kristian, Yahudi dan lain-lain.

Dari semasa ke semasa, saya pastikan pelajar praktikal di pejabat saya berlainan agama supaya kami boleh belajar dari satu sama lain.

Salah seorang pelajar praktikal saya yang terawal bernama Galvin Wong (kini melanjutkan pengajian di Australia) banyak mengajar saya mengenai masyarakat Kristian di Malaysia mengatasi maklumat yang saya dapati dari buku-buku.

Hujah saya mudah: kita wajar menggalakkan orang muda berpandangan terbuka untuk belajar dari satu sama lain budaya dan agama yang berbeza.

Saya tidak mungkin begitu yakin dengan identiti Islam dan pada masa yang sama kuat memperjuangkan nilai kepelbagaian kaum di negara ini jika saya tidak mendapat pendedahan mengenai budaya dan agama kaum majoriti di UK semasa saya di sana.

Jika pengalaman saya sebagai seorang minoriti beragama Islam di dalam masyarakat Barat (berlandaskan budaya dan agama Kristian-Yahudi) berjaya melapangkan pemikiran saya, saya yakin TITAS pun jika dilaksanakan secara berkesan, akan mempunyai kesan positif yang sama.

Adalah berbahaya jika kita memberi isyarat kepada masyarakat bahawa kita menentang apa-apa tindakan untuk menggalakkan anak muda kita saling mempelajari agama dan budaya sesama mereka.

Jika kita boleh sepakat dengan pendirian bahawa saling memahami adalah penting dalam masyarakat, maka kita wajar menumpukan perhatian menyelesaikan kerumitan praktikal pelaksanaan yang sering mengotorkan pandangan mengenai TITAS.

Jika masalahnya ialah sukatan mata pelajaran yang dirasakan berat sebelah kerana terlalu banyak unsur keislaman, kita boleh merungkai masalah sukatan mata pelajaran.

Tetapi kita tidak boleh menolak satu mata pelajaran yang bertujuan menggalakkan kesefahaman sesama kaum atas alasan sukatan mata pelajarannya dipertikaikan; ia seolah-olah kita menolak penggunaan kereta kerana pertikaikan risiko kemalangan!

Jika masalahnya ialah tidak cukup tenaga pengajar untuk mengajarnya secara berkesan, masa fokus perbincangan perlulah kepada rancangan untuk menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi di IPTS. Dan begitu jugalah dengan masalah-masalah lain.

Di sinilah berbezanya pendekatan saya berbanding yang diambil oleh Dr Lim Theck Ghee dan S Thayapan.

Sedang saya meletakkan keperluan untuk saling belajar dan memahami sesama rakyat sebagai pertimbangan utama, saya tidak dapat melihat di mana pertimbangan ini dalam perkiraan mereka.

Nampak seolah-olah tentangan mereka berpunca dari perasaan was-was dan sinikal mereka mengenai Umno yang telah hilang maruah di mata orang bukan Melayu di negara ini.

Ambil kisah gejala polarisasi

Satu lagi aspek yang langsung tidak diberikan perhatian dari pandangan Dr Lim Theck Ghee dan S Thayaparan adalah berhubung campur tangan kerajaan dalam menentukan sukatan mata pelajaran di universiti.

Saya berpendapat kerajaan wajarlah diberi ruang untuk mewajibkan sesuatu nilai atau agenda bina negara diajar di universiti.

Jika kerajaanlah yang bertanggungjawab memastikan kemakmuran negara, maka kerajaan wajar dibenarkan menggunakan kaedah pendidikan (termasuklah menetapkan sukatan mata pelajaran) untuk membentuk masyarakat, apatah lagi bila pendidikan terbukti sebagai kaedah paling berkesan menyusun semula masyarakat.

Jika kita benar-benar ikhlas mahukan Malaysia bebas dari prejudis perkauman, kita perlu ambil kisah dengan gejala polarisasi di dalam masyarakat kita.

Kita dipisahkan oleh kelas ekonomi dan kelompok manusia yang berbeza jarang bergaul dengan kelompok manusia yang lain (sama ada dipisahkan oleh jurang ekonomi, kaum atau kedua-duanya).

Kalaupun gejala polarisasi ini tidak difikirkan kronik, kita wajar menghapuskan apa jua bentuk polarisasi kerana ia mendorong fahaman stereotaip dalam masyarakat.

Berlatar belakangkan ini, saya berpandangan adalah wajar sesebuah kerajaan campur tangan dalam urusan IPTS untuk menentukan mata pelajaran yang boleh menggalakkan kesefahaman dan saling menghargai di kalangan orang muda.

Soal sama ada sukatan mata pelajaran perlu diseragamkan di semua IPTS atau IPTS berhak membangunkan sukatan mata pelajaran sendiri mengikut garis panduan dan proses akreditasi adalah perkara lain yang boleh dibincangkan kemudian.

Tetapi perbincangan itu adalah atas perkara pelaksanaan dan praktikal, bukannya menentang satu mata pelajaran yang difikirkan boleh meningkatkan kesefahaman dan saling menghargai di kalangan anak muda.

TITAS mengandungi unsur Islam melampau?

Saya juga kecewa dengan Dr Lim Theck Ghee dan S Thayapan (seperti mana mereka kecewa dengan pendirian saya) kerana walaupun mereka lantang menentang TITAS, kedua-dua mereka tidak pula menghuraikan mengenai perkara yang paling dipersoalkan iaitu sukatan mata pelajaran TITAS.

Saya pasti mereka telah mengkaji sukatan mata pelajarannya terlebih dahulu sebelum mengkritik, sebab itu saya hairan kenapa mereka tidak menyentuh mengenainya.

Malah, banyak pembaca yang memberikan pelbagai gelaran kepada saya tidak pun mendalami sukatan mata pelajaran TITAS terlebih dahulu.

Berdasarkan struktur TITAS di IPTA, mata pelajaran ini diajar selama 14 minggu. Pecahan masa yang diperuntukkan bagi setiap komponen sukatan mata pelajaran (yang melambangkan darjah tumpuan) seperti berikut:

NONE

Peruntukan sukatan mata pelajaran yang berunsurkan tamadun Islam sebenarnya sama dengan peruntukan untuk tamadun Melayu, Cina dan India. Malah ada juga peruntukan untuk tamadun Barat.

Berdasarkan kajian dalam tahun 2002 di UUM untuk mengkaji keberkesanan TITAS, majoriti peserta kaji selidik berpendapat sukatan mata pelajaran TITAS tidak cukup kandungan Islam dan gagal meningkatkan kefahaman mengenai Islam!

Sebab itu walaupun saya bersimpati dengan sikap was-was Dr Lim Theck Ghee mengenai Umno dan ketidakjujurannya, adalah tidak bertanggungjawab menolak mentah-mentah TITAS atas alasan semuanya yang bersabit Islam akan dimanipulasi Umno sebagai sebahagian dari agenda sulitnya; tanpa menimbangkan baik dan buruk TITAS terlebih dahulu jika dilaksanakan dengan baik.

Rekod saya menentang Umno dan BN adalah jelas. Saya tidak menyertai politik untuk menjadi dogmatik dan mengambil sikap prejudis terhadap apa-apa yang dimulakan semasa lawan politik saya berkuasa.

Jika ini pendekatannya, maknanya kita tidak memberi ruang dan kepercayaan kepada penjawat awam untuk melaksanakan juga program-program yang baik.

Penjawat awam ini mungkin terpaksa berkhidmat semasa Umno menjadi kerajaan persekutuan, tetapi ramai penjawat awam yang bebas dan ikhlas membangunkan dasar yang baik dan adil kepada semua.

Menangguk di air keruh?

Saya cuba mengambil pendirian objektif dalam menilai baik dan buruknya TITAS.

Pendapat Dr Lim Theck Ghee bahawa saya menangguk di air keruh apabila saya menyuarakan kebimbangan jika penentangan terhadap TITAS akan membuka ruang pelampau perkauman dari Umno untuk terus lantang - itu hak beliau.

Saya berpendapat demikian kerana merasakan waswas Dr Lim Theck Ghee terhadap Umno telah mengeruhkan penilaian objektif beliau terhadap baik dan buruknya TITAS.

Saya juga tidak akan mengambil hati dengan komen S Thayaparan, walaupun saya berharap beliau jangan terlalu cepat menuduh komen saya sebagai "bukti bahawa ramai intelegensia Melayu kurang intelek".

Ia seolah-olah beliau mahu memukul rata bahawa semua intelegensia Melayu itu kurang pintar.

Bahasa dan stereotaip yang beliau gunakan itu boleh dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melebarkan lagi jurang perkauman di negara ini.

Akhirnya, saya mahu kekal ideal dalam pandangan politik saya. Saya mahu bersuara bagi semua rakyat Malaysia, bukan hanya untuk Melayu, atau Cina, atau India, atau Iban, atau Kadazan atau kaum tertentu sahaja.

Saya mahu mengetengahkan dasar yang membawa kebaikan terbanyak kepada seberapa ramai rakyat pelbagai kaum dan membantu membina negara, walaupun pandangan saya mungkin kurang popular.

Bila PKR bersuara mengkritik DEB sehingga ada orang Melayu yang marah, kami berbuat demikian bukanlah kerana ia lunak didengar orang bukan Melayu.

Kami tegas mengkritik DEB kerana negara perlukan pendekatan ekonomi yang lebih adil dan berkesan.

Apabila saya bertegas bahawa manifesto Pakatan tidak akan ditulis untuk memaparkan program tertentu untuk kaum tertentu, berminggu-minggu saya dicaci oleh Hindraf.

Saya tidak berganjak kerana amanah saya adalah untuk bercakap bagi semua rakyat Malaysia.

Justeru, sokongan saya kepada pelaksanaan TITAS tidak ada kena mengena dengan memancing undi Melayu. Saya mendapat manfaat dari pendedahan kepada budaya dan agama yang pelbagai sehingga memberi kefahaman dan mengukuhkan identiti Islam saya.

Saya percaya setiap rakyat Malaysia pun akan mendapat manfaat yang sama bila kita saling memahami dan menghargai.

Jika ada masalah dengan soal pelaksanaan maka perbincangan perlulah berkisar kepada soal pelaksanaan, bukannya mempersoalkan peri penting saling memahami dan menghargai.

Satu hari nanti, saya harap dapat melihat Malaysia yang tiada prejudis perkauman apabila anak muda seperti Galvin Wong meningkat dewasa.

Jika itu impian kita, maka tidaklah salah untuk kita menggalakkan mereka saling belajar dan menghargai budaya dan latar belakang kaum kita yang berbeza (walaupun mulanya ia pendekatan wajib).

 

No comments:

Post a Comment