Thursday, June 21, 2018

Asas-asas Syariat - Syariah


SYARI’AH :

Selain daripada mengandungi aqidah, syariat Islam juga mengandungi syari’ah Islam.  Syari’ah Islam itu mengandungi ibadah, muamalat, munakahat, jinayah dan siasah Islamiah.

1.  Ibadat :

Ibadat merupakan nilai Islam yang terpenting dalam membina keperibadian dan memajukan masyarakat. Dalam aqidah, ianya merupakan ikatan hati dan perasaan kepada Allah SWT sedangkan ibadah pula adalah mengambil kira kelakuan manusia dengan Allah SWT.

Dari segi bahasa, kalimah ibadah ini berasal daripada kalimah Bahasa Arab ‘abada’ yang bererti merendah diri, tunduk, taat dan patuh. Dari segi istilah syara’ ialah penyataan ketaatan dan penyerahan diri kepada Allah SWT sama ada dalam tindakan, perlakuan, pergerakan atau aktiviti kehidupan manusia.

Aqidah dan ibadah bermatlamat untuk melaksanakan tujuan manusia dijadikan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini untuk memakmurkan alam ini dengan Islam. Ibadat dalam Islam merupakan hubungan langsung antara hamba dengan penciptaNya; Allah SWT. Ibadah dalam Islam berkonsepkan bahawa segala kegiatan manusia boleh digabungkan dari segi rohani dan jasmani serta antara dunia dan akhirat. Setiap muslim dalam masa melaksanakan kegiatan harian di bumi dengan mencari rezeki dan dalam masa yang sama melakukannya dengan niat ikhlas kepada Allah SWT dan melakukannya batasan syari’at Allah SWT, maka ianya telah melakukan ibadat kepada Allah SWT.

Ibadat itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu ibadat umum dan ibadat khusus. Ibadat umum ialah ibadat yang tidak ditentukan secara khusus dalam al Quran dan al Hadith tentang sifat, syarat dan peraturannya seperti makan dan minum. Ibadat khusus pula adalah ibadatv yang jelas ditentukan sifat, syarat dan peraturan oleh al Quran dan al Hadith seperti sembahyang dan puasa.

2. Muamalat :

Manusia telah dijadikan oleh Allah SWT saling memerlukan di antara satu sama lain. Mereka bergaul dan bertukar ganti antara satu sama lain bagi menampung kekurangan atau mendapat faedah di antara mereka. Tujuan muamalah ini adalah untuk melengkapkan urusan kehidupan dan mengatasi kesulitan yang timbul dalam kehidupan seharian.

Muamalat dalam Islam ialah perhubungan antara sesama manusia dengan manusia. Ianya merupakan kira bicara yang merangkumi perpindahan atau tukar-menukar antara sesuatu barang atau sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Ianya dilaksanakan dengan cara dan syarat yang ditentukan oleh syariat Islam seperti jual beli, sewa-menyewa, upah-mengupah, pinjam-meminjam, urusan pertanian dan perkongsian yang melibatkan antara kedua-dua pihak antara manusia itu sendiri.

3. Munakahat :

Allah SWT telah menjadikan manusia untuk membina dan memakmurkan alam ini. Allah SWT juga telah mencipta segala isi alam ini untuk kelangsungan hidup manusia di dunia ini. Kewujudan manusia adalah bergantung kepada perkahwinan untuk membiakan zuriat. Lantaran itu, Allah SWT telah mengadakan undang-undang kekeluargaan yang dinamakan undang-undang munakahat. Undang-undang ini untuk membina peribadi yang baik, keluarga yang solehah, masyarakat bertamadun dan membina negara berkebajikan yang diredhai oleh Allah SWT sebagaimana yang ditunjukan oleh Rasulullah SAW.

Peraturan ini merupakan ikatan kasih sayang, persaudaraan dan saling mengerti antara lelaki dan perempuan seperti yang disyariatkan oleh Allah SWT. Ikatan kejiwaan ini bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan  hawa nafsu semata-mata tetapi merupakan ikatan kerohanian untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Peraturan ini apabila dilaksanakan mengikut syariat Allah SWT akan mendapat ganjaran dan kurniaan daripada Allah SWT di dunia mahu pun di akhirat.

4. Jenayah :

Islam adalah agama yang memberikan keamanan dan kedamaian kepada seluruh umat manusia. Perbuatan jenayah adalah suatu masalah moral yang dipandang berat oleh Islam. Jenayah merupakan suatu perundangan Islam mengenai sesuatu tindakan yang ditegah oleh syara’ sama ada mengenai ad-din atau jiwa atau aqal atau harta atau pun tubuh badan.
Jenayah dalam Islam itu ialah melakukan sesuatu yang ditegah oleh hukum syara’ seperti membunuh, mencuri dan meminum arak atau pun meninggalkan sesuatu yang disuruh oleh hukum syara’ seperti sembahyang, puasa dan zakat.

5. Siasah :

Siasah Islam itu ialah mengatur, mengelola dan memelihara urusan-urusan umat ini sesuai dengan hukum-hukum syari’ah dan petunjuk-petunjuk dari al Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW. Siasah Islam itu membawa seluruh umat manusia kepada ketentuan-ketentuan syari’ah. Khalifah Islam berfungsi menjaga agama dan mengatur urusan-urusan dunia berdasarkan syari’ah Islamiah.

Pemerintahan Islam itu adalah pemerintahan yang anggota-anggotanya terdiri dari kalangan orang Islam, melaksanakan tanggungjawab beragama Islam dan tidak melakukan maksiat secara terang-terangan, menjalankan hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam dalam pemerintahannya. Pemerintahan Islam itu disebabkan agama pemeluknya, akhlak-akhlak rakyatnya dan perlaksanaan hukum syari’ah Islam dalam negara tersebut.


No comments:

Post a Comment