Thursday, May 31, 2018

ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP YANG LENGKAP DAN UNIK


Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan unik itu mempunyai tiga perkara yang utama iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Islam itu hukum-hukum dan keterangan-keterangan yang terdiri dari suruhan dan teghan serta meliputi segala bidang kehidupan umat manusia itu mempunyai lima perkara yang asas seperti yang dapat difahami dari hadith Rasulullah SAW ketika Jibrail AS dating bertanya Baginda tentang Islam:-

            “ ……………… ceritakan pada ku ( wahai Muhammad ) tentang Islam?” Baginda menjawab, “ Engkau mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, Muhammad itu hamba dan pesuruhNya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah jika engkau mampu…….”
( mafhum hadith riwayat al Bukhari dan Muslim )
Lima perkara asas tersebut iaitu :

1.  Kalimah Tauhid :
Kalimah Tauhid itu ialah suatu pertuturan kata yang memelihara dan menyelamatkan seseorang dari perkara-perkara yang membahayakan serta memberikan manfaat untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kalimah Tqauhid itu ialah dua kalimah syahadah merupakan kalimah al Taqwa. Ia merupakan anak kunci seseorang untuk menjadi seorang Islam dan memisahkaan Muslim dan Kafir. Ia menjadikan seseorang itu mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat.


2. Solat :
Dalam solat seseorang itu akan dilatih menggunakan segala anggota untuk berusaha dan mengerjakan sesuatu perkara dengan cara yang teratur. Ia menanamkan semangat melakukan amal bakti sama ada yang diw2ajibkan atau digalakan untuk diri sendiri dan masyarakat. Ia mendidik seseorang itu mengenang budi dan mensyukuri nikmat-nikmat dengan melakukan segala kebaikan dan menjauhkan perkara-perkara yang merosakan. Ia mendidik seseorang itu dengan penuh kesedaran untuk mengingati Allah SWT dan berdoa untuk memohon taufik dan hidayahNya ke jalan yang diredhaiNya.

3. Zakat :
Membantu dan menolong orang-orang yang fakir miskin dan orang kesusahan merupakan satu kebajikan dalam Islam terutama dalam pengorbanan harta benda. Harta benda adalah merupakan asas bagi segala urusan dan keperluan dalam kehidupan manusia di dunia. Lantaran itu, pengorbanan harta seperti yang dianjurkan dalam ibadat zakat adalah amat digalakkan sehingga menjadi satu dari rukun Islam.

4. Puasa :
Puasa menjadikan manusia itu hidup sentiasa aman kerana ia dapat menyekat dan menentang runtunan hawa nafsu serta ia melatih diri seseorang itu mengingati bahawa dirinya berada dalam pengawasan Allah SWT. Apabila hawa nafsu dapat dikawal dari melampaui batas larangan Allah SWT, maka diri seseorang itu membawa keharmonian dalam hidup seseorang, keluarganya dan masyarakatnya.

5. Haji :
Hidup memencilkan diri atau mengasingkan diri dari sebarang perhubungan manusia tidak seharusnya berlaku. Perjumpaan, perundingan, persidangan dan perbincangan merupakan cara terbaik menyelesaikan masalah. Lantaran itu, menghadiri perhimpunan untuk kebajikan amat digalakan seperti yang terdapat dalam amalan haji.



Iman dari segi Bahasa berasal daripada perkataan Arab       (         ) yang bermaksud aman atau membentuk keadaan amann dan tenteram. Dalam Ilmu tauhid, imann itu membawa maksud bahawa membenarkan dengan hati, berikrar dengan lisan dan beramal akan ajaran-ajaran yang disyariatkan oleh Allah SWT yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW.
Iman itu mempunyai enam rukun sepereti yang dapat difahamji dari hadith RasululLah SAW ketika Jibrail AS datang bertanya Baginda tenteang :
            “……………… Ceritakan padaku ( Wahai Muhammad ) tentang iman. Baginda menjawab,”Engkau beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, Rasul-Rasul, Hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar …………...”
( Mafhum hadith riwayat al Bukhari dan Muslim )

Enam rukun Iman itu ialah :

1. Beriman dengan Allah SWT:
Mempercayai dengan penuh keyakinan tentang kewujudan, keesaan atau tunggal dan tidak ada yang menyerupaiNya. Beriman kepada Allah SWT bermaksud mempercayai bahawa Dialah yang menghidupkan dan mematikan, pemberi rezeki, tempat pergantungan segala yang di langit atau di bumi. Dia adalah pemilik kepada semua makhluk, menjadi tuan dan pengatur perjalanan alam ini. Dialah tuhan untuk di sembah dengan sebenar-benarnya.  Kita melakukan segala kegiatan hidup mengikut kehendak dan untuk Allah SWT.

2. Beriman dengan Malaikat :
Mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT ada mencipta sejenis makhluk sebagaimana yang dijelaskan dalam alQuran dan alHadith. Beriman dengan para malaikat termasuk dalam mempercayai perkara yang ghaib. Malaikat ini tabiat dan tugas mereka yang sangat berlainan dengan tabiat manusia. Malaikat adalah hamba Allah yang tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau keburukan kepada manusia.

3. Beriman dengan Kitab-Kitab Allah SWT:
Wajib mempercayai bahawa Allah SWT ada menjadi kitabNya yang mengandungi titah perintah, larangan, panduan dan ikutan untuk dilaksanakan oleh umat manusia untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Kitab ini diturunkan kepada Nabi-nabi dan Rasul-Rasul. Setiap orang muslim wajib percaya bahawa Allah SWT ada menurunkan kitab yang terdahulu selain alQuran iaitu alZabur, alTaurat dan alInjil. Kitab Allah ini merupakan panduan-panduan dan perundangan-perundangan Allah SWT yang diwahyukan kepada hambaNya yang terpilih untuk memimpin manusia ke arah  keredhaan Ilahi.

4. Beriman dengan Rasul-Rasul Allah SWT :
Mempercayai bahawa Allah ada memilih seorang hambaNya sebagai rasul untuk menjalankan tugas untuk mentauhidkan Allah SWT, menyampaikan segala hukum, peraturan, segala suruhan dan laranganNya. Sebagai bukti kerasulannya, Allah SWT memberikan mereka mukjizat untuk membenarkan kerasulannya. Dia menjadi petunjuk dan pendoman untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.


5. Beriman dengan Hari Akhirat :
Menyakini bahawa Allah SWT akan membangkitkan kembali manusia setelah dimatikan untuk memberikan balasan yang setimpal dengan amalan manusia di dunia ini. Kebangkitan manusia merupakan keadilan Allah SWT untuk mendapat ganjaran kesejahteraan hidup yang baqa’ di akhirat dengan amalan baik mereka di dunia.

6. Beriman dengan Qada’ dan Qadar :
Mempercayai bahawa segala sesuatu yang terjadi dan peristiwa yang berlaku adalah menurut ketentuan dan ketetapan Allah SWT. Manusia adalah makhluk ciptaan Allaqh SWT dan sudah tentulah Allah SWT yang menentukan perjalanan gerak-geri dan kelakuan mereka. Allah SWT yang berkuasa sepenuhnya ke atas mereka. Apa yang dilakukan oleh manusia dalam batasan yang diizinkan oleh Allah SWT.

Ihsan seperti yang dapat difahami dari hadith RasululLah SAW ketika Jibrail AS datang bertanya Baginda tentang ihsan :
            “ ………….Ceritakan padaku ( wahai Muhammad ) tentang ihsan”. Baginda menjawab,” Engkau mengerjakan ibadat kepada Allah SWT seolah-olah engkau melihatNya ( memerhatikan keadaanmu ), kiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah SWT tetap memerhatikan keadaanmu…….”.
( mafhum hadith riwayat alBukhari dan Muslim)

Ihsan ialah cara mengerjakan sesuatu ketaatan atau ibadah dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya serta ikhlas kepada Allah SWT. Ia dilaksanakan kepada Allah SWT dengan keadaan seolah-olah dapat dirasai dalam pemerhatian Allah SWT pada zahir dan batin atau hadirkan keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa melihat, memerhati dan mengawasi setiap ketaatan atau ibadah yang dilakukan. Sesungguhnya ihsan ini menjadi pelengkap kepada Islam dan Iman. Tanpa Ihsan tidak sempurna Islam dan Iman.

ISLAM DAN KONSEP-KONSEP ASAS


A. 
MUKADIMAH
Allah SWT yang maha berkuasa telah mencipta berbagai-bagai jenis makhlukNya. Di antara makhluk ciptaan Allah SWT ialah manusia. Manusian adalah merupakan satu makhluk yang paling istimewa jika dibandingkan dengan makhluk Allah yang lain. Manusia itu diberikan satu amanah yang amat tidak mampu dipikul oleh makhluk Allah SWT yang lain seperti bumi, langit,bukit-bukau dan haiwan-haiwan.

Dengan keistuimewaan diberikan aqal dan nafsu, Allah SWT telah memberikan satu amanah yang amat besar dan tidak mampu dipikul oleh makhluk Allah SWT yang lain. Manusia telah dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini berkewajipan untuk menanggung amanah Allah SWT.

Menurut Jumhur Ulama, amanah yang diberikan kepada manusia adalah Islam. Din al Allah yang disebut Islam adalah satu amanah yang telah dibentangkan oleh Allah SWT kepada makhluk-makhlukNya dan kesemua makhluk itu menolak amanah tersebut tetapi manuysia telah sanggup menerimanya. Amanah yang dipertanggung-jawab ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk keluarga, masyarakat dan negara.

PENGERTIAN ISLAM
Dari segi Bahasa, Islam berasal daripada perkataan Arab mempunyai berbagai makna. Perkataan Islam itu adalah nama terbitan dan kata kerjanya ialah perkataan ‘salam” yang bermaksud selamat dan sejahtera atau kedamaian. Ia juga bermaksud menyerah diri, tunduk, patuh dan taat. Ia juga bermaksud tulen dan suci daripada kecacatan zahir dan batin.

Pengertian Islam dari segi istilah atau syara’ pula ialah kepatuhan secara jujur hati, penyerahan diri dan mentauhidkan Allah SWT dengan penuh kesedaran dan kerelaan untuyk mengikuti peraturan hidup yang bersifat intergral dan berakhlak mulia  sebagaimana yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW.



PENGERTIAN AGAMA
Dari segi Bahasa berasal daripada Bahasa Pali yang bermaksud pergi, menuju, atau dating atau dalam Bahasa Arab bererti penyerahan diri, ketundukan dan perhitungan. Agama juga boleh didefinasikan sebagai kepercayaan kepada sifat-sifat dan kekuasaan tuhan serta menerima ajaran dan perintahNya.

PENGERTIAN AL DIN
Secara umumnya al Din membawa maksud suatu cara hidup tetapi dalam bentuk khusus al Din merupakan suatu cara hidup yang sistematik dan teratur telah ditetapkan oleh Allah SWT yang disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW untuk dilaksanakan oleh seluruh umatNya.

PERBEZAAN AGAMA DAN AL DIN
Agama adlah lebih bersifat sesuatu yang hubungannya hanya terbatas antara manusia dengan tuhannya dan kadang-kadang merupakan ciptaan dan khayalan yang dicetuskan oleh pemikiran manusia itu sendiri. Sedangkan al Din adalah system atau peraturan yang mencakupi segenap aspek kehidupan manusia dan hubungannya mempunyai tiga dimensi antarta tuhan, manusia dan alam. Al Din juga meliputi aspek jasmani dan rohani manusia serta bersesuaian dengan fitrah dan pemikiran logik manusia.


Wednesday, May 30, 2018

Fatwa Imam Nawawi kutip harta rakyat


Terdapat satu kisah masyhur berhubung Imam Nawawi yang menjelaskan lagi kemuliaan peribadi ulama terkemuka ini. Menurut riwayat, Sultan Al-Malik Al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.

Keseluruhan ulama fiqh negeri Syam telah menulis menyokong fatwa tersebut, namun baginda belum merasa senang hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya.

Baginda menjemput Imam Nawawi ke istana untuk mendengar sendiri pandangan beliau. Walaupun menerima jemputan sultan, tanpa diduga Imam Nawawi menolak untuk menyokong fatwa itu. Malah dengan berani beliau memberikan alasan penolakannya itu.

“Aku mengetahui bahawa kamu (Sultan Al-Malik Al-Zahir) dahulunya seorang hamba tawanan dan tidak mempunyai sebarang harta benda. Tetapi dengan pertolongan Allah kamu telah menjadi seorang raja. Aku mendengar bahawa kamu ada memiliki seribu orang hamba, tiap seorang mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 orang khadam wanita milik kamu masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai.

“Andai kata kamu membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka aku bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan kamu mengambil harta rakyat.”

Kesimpulannya, Imam Nawawi berfatwa tidak membenar Al-Zahir mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat digunakan.

Buka Balkan: Islam ke Eropah Timur

KEBANGKITAN Othmaniyah sebagai kuasa politik yang baru bermula sebaik sahaja jatuhnya Daulah Abbasiyah di Baghdad pada 1258M (656H). Pada 1299M (699H), Kerajaan Othmaniyah didirikan di Barat Anatolia, di perbatasan Wilayah Byzantine.
Disebabkan kedudukannya yang bersempadan dengan Kerajaan Romawi ini, Dinasti Othmaniyah bukan sahaja memainkan peranan besar dalam membawa Islam ke Eropah dari arah Timur, bahkan akhirnya berjaya meruntuh Kota Constantinople yang sangat kukuh itu pada 1453M.
Sejarah kemasukan Islam ke Eropah bermula dengan kejayaan tentera Panglima Musa bin Nushair memasuki Andalus menerusi Gibraltar pada tahun 92H. Kemudian, selepas kejayaan Dinasti Alghlabiyah membuka Sicilia pada 212H, Sultan Ibrahim II Aghlabiyah telah berjaya memasuki Semenanjung Itali dan menguasai Kota Bari dan Toranto pada 232H.
Tetapi ia dapat ditawan semula oleh Kerajaan Rom tiga tahun kemudian. Adapun penguasaan lain terhadap Wilayah Eropah hanya berlaku ke atas pulau-pulau di Mediterranean seperti Cyprus, Rhodes dan Crete yang ditawan oleh Muawiyah Abu Sufian pada tahun 29H, iaitu zaman Khalifah Othman al-Affan.
Sultan Murad I: Pemacu kebangkitan Othmaniyah
Sultan Murad I (761-791H) adalah Sultan Othmaniyah yang ketiga, sekali gus cucu kepada pengasas daulah ini, Othman bin Ertughul (656-726H). Sebagaimana ayahnya, Sultan Orkhan bin Othman yang merupakan seorang Sultan yang sangat berambisi dalam meluaskan Wilayah Islam ke atas kawasan-kawasan Kristian Byzantine di sekitarnya, Murad I mulai masuk ke bumi Eropah secara meluas sehingga Constantinople dapat dikepung dari arah Barat. Bahkan, beliau telah memindahkan Ibu Negara Othmaniyah ke Eropah pada 1362M sebagai langkah untuk meluaskan pengaruh Islam ke atas benua itu.
Sultan Murad I adalah seorang pemimpin yang terkenal kerana adil, mencintai jihad, sangat pemberani, dermawan dan kuat beragama, sehingga beliau mendapat syahid pada 1389M (791H). Kejayaan terbesar dalam jihad beliau ialah penguasaan ke atas Adrianople (Edirne) pada 1360M, yang merupakan kota kedua terbesar bagi Byzantine, dan menjadi pintu masuk ke Eropah, khususnya Balkan.
Pada 1363M, Adrianople dijadikan Ibu Negara Othmaniyah menggantikan Bursa. Dari kota ini, Sultan Murad I bergerak menguasai Tenggara Eropah termasuk Balkan, Serbia dan Bulgaria sehingga dapat memaksa Kaisar Byzantine, John V Palaiologos membayar pampasan kepada Daulah Othmaniyah. Beliau kemudiannya mewujudkan dua Pusat Pentadbiran Othmaniyah iaitu di Rumelia bagi Balkan dan Adrianople bagi Asia Kecil.
Perang Serbia: Pembukaan Bosnia dan syahidnya Sultan Murad I
Kejayaan Daulah Othmaniyah menguasai Adrianople pada 1360M telah mewujudkan tiga kuasa politik di Timur Eropah iaitu Constantinople, Daulah Othmaniyah dan Empayar Serbia. Kematian Raja Serbia, Stefan Uros V pada 1371 tanpa putera telah menyebabkan empayar ini melemah.
Sebelumnya, kejayaan Sultan Murad I menguasai Philippoupolis telah menyebabkan Wilayah Othmaniyah membesar lima kali ganda, dan mendorong Paus Urban V menghasut Raja-raja Kristian bangkit melawan Othmaniyah. Raja Serbia, Bosnia dan Falakh telah berpakat menyerang Andrianople pada 1363M tetapi tewas dalam serangan hendap Othmaniyah.
Pada awal 1371M, mereka tewas lagi dalam perang di Maritsa. Sultan Murad I kemudiannya menguasai Samakov, Sofia, Monatsir, Nice dan Salonika sehingga Raja Serbia dan Bulgaria terpaksa membayar ufti.
Walau bagaimanapun, tentera Othmaniyah telah tewas dalam dua pertempuran iaitu dalam Perang Plocnik (1386M) dan Perang Bileca (1388M) yang menyebabkan pasukan Kristian bersemangat semula. Sultan Murad I memindahkan tenteranya ke Ihtiman dari Philippoupolis pada 1388M melalui Velbudz dan Kratovo (Macedonia) serta menyerang Wilayah Kristian di Utara Serbia seperti Kumanovo, Presvo dan Gnjilane dalam pergerakan ke Prestina. Keadaan ini telah mengakibatkan berlakunya Perang Kosovo pada 15 Jun 1389M.
Sultan Murad I bersama dua puteranya, Bezayid dan Yaakob dengan 40,000 tentera berhadapan dengan tentera gabungan Serbia dan Bulgaria yang dibantu oleh tentera Bosnia, Falakh, Albania, Herzegovina dan Poland yang berjumlah 30,000 orang.
Peperangan ini telah membolehkan Daulah Othmaniyah menguasai Wilayah Balkan iaitu negara-negara Bosnia, Herzegovina dan Kosovo hari ini pada 13 Ramadhan 791, di mana panglima perang Kristian, Lazar telah berjaya dibunuh.
Namun begitu, setelah pasukan Islam, Sultan Murad I telah ditikam oleh seorang perajurit Kristian yang berada dalam gelimpangan mayat tentera yang terbunuh. Dengan syahidnya Sultan Murad I, usaha meluaskan pengaruh Islam di Timur Eropah ini diteruskan oleh Sultan Yildirim Beyazid.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
13 Ramadan 1439 / 29 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 30/5/2018

Kepung Kota Safed: Islam kuasai Syam

KEJAYAAN Sultan Salahuddin al-Ayubi mengambil alih Daulah Fatimiyah pada 1171M dan kembalinya Baitulmaqdis ke tangan Islam pada 1187M telah membuka ruang untuk Islam menguasai bumi Syam sepenuhnya. Kejayaan ini bermula dengan kemenangan dalam Perang Salib II atau Perang Hittin pada 583H, diikuti oleh pembukaan Baitulmaqdis pada 27 Rejab 583H. Kejayaan Sultan Salahuddin al-Ayubi merampas semula Baitul Maqdis setelah kota suci itu dijajah oleh Kristian dalam Perang Salib I pada 1099 (490H) telah menggemparkan Eropah.
Ekoran itu, kebanyakan Raja dan Panglima Perang Kristian seperti Fredrick Barbossa (Raja Jerman), Richard The Lion Heart (Raja England), Philips Augustus (Raja Perancis), Leopold (Austria), Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Sultan Salahuddin al-Ayubi yang mengetuai tentera Islam. Gerakan Kristian ini telah mencetuskan Perang Salib III yang berlaku selama lima tahun, berakhir dengan Perjanjian Ramallah pada 588H (1192M), di mana Sultan Salahuddin al-Ayubi telah diakui sebagai penguasa Baitulmaqdis dan semua wilayah menjadi milik Islam, kecuali Acre.
Sultan Salahuddin al-Ayubi: Panglima Terbesar Islam
Salahuddin al-Ayubi (533-589H) adalah antara pemimpin Islam terkemuka dalam sejarah kerana kejayaannya mengambil alih Mesir daripada kerajaan Syiah Fatimiyah serta keberhasilan baginda mengalahkan tentera Salib, merampas Baitulmaqdis dan menjadikan seluruh Wilayah Syam dikuasai oleh Islam. Beliau yang dilahirkan di Damsyik merupakan anak kepada Gabenor Balbek, Najmuddin al-Ayubi. Beliau kemudian dilantik sebagai Panglima Saljuk di Mesir menggantikan bapa saudaranya, Shirkuh. Pada awalnya, beliau adalah tentera Sultan Mahmud Nuruddin Zanki, Raja Saljuk Aleppo yang diarahkan menguasai Mesir pada 1160M, sebelum menjadi panglima pada tahun 1969M.
Selepas menguasai Mesir, baginda telah berperanan mempertahankan Mesir dari tentera Salib Baitulmaqdis yang dipimpin oleh Almaric I. Sebagai panglima tentera, Salahuddin al-Ayubi ketika saat kewafatan Khalifah Daulah Fatimiyah, al-Aidid pada September 1171M, telah mengarah para imam menyebut nama Khalifah al-Mustadi' Li Amrillah (1170-1780M) iaitu Khalifah Abbasiyah di Baghdad, sekali gus mengembalikan Mesir kepada umat Sunni. Setelah kewafatan Sultan Mahmud Nuruddin Zanki pada 1174M pula, Salahuddin al-Ayubi mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Mesir, sebelum bergerak ke Baitulmaqdis bagi menghadapi Perang Salib II pada 583H (1187M).
Menawan Kota Safed: Penguasaan ke atas bumi Syam
Selepas berjaya mengalahkan tentera Kristian dalam Perang Hittin dan menguasai Baitulmaqdis, Sultan Salahuddin al-Ayubi menyedari saki baki kekuatan tentera Kristian masih berpusat di kota-kota Kristian sekitar Syam, dan ia menjadi ancaman kepada Baitul Maqdis. Pada Mac 1183M, baginda bergerak dari Acre menuju ke kubu-kubu lawan di Kawkab, Karak dan Safed, iaitu pusat-pusat pengikut Templer dan Hospitaler, panglima-panglima Kristian. Beliau yang bertujuan menguasai wilayah Kristian itu, bergerak menuju ke Hins al-Akrad, benteng Kurdis, sekali gus menghampiri Antioch, kota pemerintahan Byzantine di Syam.
Gerakan Sultan Salahuddin al-Ayubi telah menawan Kota Jabala pada 18 Jamadil Akhir 538H dan memaksa pemimpin Kristian, Bohemond membebaskan tawanan Islam. Pada 24 Jamadil Awal pula, Kota Lattakia telah tewas, diikuti oleh Kota Sahyun yang jatuh pada 27 Jamadil Awal bersama Kota Balatunus, Aydhu dan Jamahiriyah. Kota Bakas pula tumbang ke tangan Islam pada 6 Jamadil Akhir, diikuti oleh kota Shugr 3 hari kemudian, sekali bergerak menghampiri Antioch. Dalam tempoh antara 16 Jamadil Akhir hingga 2 Syaaban, kota-kota Sarminiyah, Barziyah, Darbsak dan Baghras telah tidak dapat dipertahankan lagi oleh tentera Kristian. Akhirnya pada 3 Syaaban, Aleppo daoat dikuasai oleh Islam.
Baginda memasuki Damsyik pada 11 Syaaban dan singgah di Ma'arat al-Ni'man sehingga Ramadhan 584H. Kota Kristian yang masih berbaki ialah Kawkab, Karak dan Safed. Baginda menghantar Panglima al-Adil dan Sa'adudin Kamshabah ke Karak, sekali gus menguasai benteng-benteng kecil seperti Shawbak, Wu'ayra, Sila' dan Hurmuz. Dengan kejayaan ini, Sultan Salahuddin al-Ayubi membebaskan Raja Humpery IV yang ditawan dalam Perang Hittin. Setelah itu, beliau menghantar Qaymaz an-Najmi untuk menguasai Kawkab, sedangkan Sultan Salahuddin al-Ayubi sendiri bergerak ke Safed pada 12 Ramadan 584H dan terus dapat menguasai kota itu, sekali gus menghabiskan semua kota dan benteng Kristian di bumi Syam.
MOHD FADLI GHANI

Ma'rakah Buwaib: Islam bangkit atas Parsi

KEJAYAAN Khalifah Abu Bakar as-Siddiq (10-13H) menyelesaikan pemberontakan golongan Riddah dan Nabi palsu pada zamannya, telah membolehkan Khalifah Umar al-Khattab (13-23H) meluaskan Wilayah Islam di luar Jazirah Arab. Antara sasaran Khalifah Umar al-Khattab ialah dua kuasa besar iaitu Rom di Barat dan Parsi di Timur Tanah Arab.
Gerakan pembukaan wilayah telah dibuat dengan beberapa ketumbukan tentera bergerak ke Utara terutama Wilayah Iraq iaitu Kufah dan Basrah, setelah Khalid al-Walid berjaya membuka Syam pada era Khalifah Abu Bakar. Khalifah Umar al-Khattab telah menemui Mutsanna bin Harithah, Abu Ubaid ats-Tsaqafi dan Sulaith bin Qais al-Ansari untuk menggerakkan cadangannya menakluk Iraq.
Rancangan menguasai Iraq ini sangat penting dalam sejarah Islam kerana ia menjadi pintu masuk bagi menghancurkan Parsi. Bahkan ia menjadi perlaksanaan terhadap janji Nabi S.A.W kepada Suraqah bin Malik untuk memakaikan gelang Kisra Parsi kepadanya.
Selepas Pasri jatuh dalam Perang Qadisiyah pada tahun 14H, Islam segera berkembang ke Asia Tengah dan juga India dalam masa yang relatifnya sangat cepat. Pada zaman Khalifah Ali bin Abu Talib (56-60H), Pusat Pentadbiran Kerajaan dipindahkan dari Madinah ke Kufah di Iraq, kemudian Baghdad menjadi Pusat Kekhalifahan Daulah Abbasiyah sehingga tahun 656H (1258M). Pandangan Khalifah Umar al-Khattab tentang kepentingan umat Islam menguasai Iraq adalah satu cetusan yang besar dalam sejarah Tamadun Islam.
Tentera Islam menuju ke Iraq: Mendepani kekuatan Parsi
Khalifah Umar al-Khattab telah melantik Abu Ubaid ats-Tsaqafi sebagai Panglima untuk membuka Iraq bersama Sulaith bin Qais al-Ansari. Pasukan awal bergerak ke Iraq dengan 7,000 tentera, kemudian bergabung dengan pasukan Khalid al-Walid yang datang lebih awal, Hasyim bin Utaibah pula memimpin 10,000 tentera yang lain, sedangkan 4,000 tentera lagi dikirim di bawah Jarir Abdullah al-Bajalli. Ketika ini, Ratu Buron baru dilantik sebagai Kisra Parsi dan negara mereka dalam keadaan berkrisis. Rustum pula diangkat oleh Kisra Parsi sebagai Panglima Perang mereka.
Dalam perjalanan untuk menakluk Parsi ini, telah berlaku beberapa perperangan iaitu Ma'rakah Namariq, Ma'rakah Saqathiyah dan Ma'rakah Parosma yang melibatkan penaklukan terhadap pasukan Parsi. Pertempuran (ma'rakah) yang lebih sengit berlaku di Sungai Furat yang dikenali sebagai Pertempuran Jambatan (Ma'rakah Jisr).
Tentera Parsi dipimpin oleh Bahman Jadzawih dengan pasukan bergajah, sedangkan 10,000 tentera Islam tidak pernah berhadapan dengan gajah sebelum ini menghadapi masalah kerana kuda-kuda perang Islam ketakutan dengan suara loceng pada gajah-gajah tersebut. Dalam perang ini, Abu Ubaid ats-Tsaqafi dan enam panglima penggantinya telah syahid bersama 6,000 tentera yang lain. Mutsanna bin Harithah yang menjadi panglima kelapan telah berjaya mengundurkan tentera Islam.
Ma'rakah Buwaib: Islam bangkit semula ke atas Parsi
Berita kekalahan tentera Islam dalam Ma'rakah Jisr telah menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab segera mengirimkan beberapa ketumbukan tentera ke Iraq untuk membantu Mutsanna bin Harithah.
Sedangkan Komamdan Parsi, Mahran al-Hamdzani dikirimkan oleh Kisra Parsi untuk membantu tentera mereka. Mutsanna bin Harithah mengarahkan tenteranya berkumpul di Buwaib dan mereka bertemu dengan pasukan Parsi di situ dengan dipisahkan oleh sebatang sungai.
Pertempuran ini terjadi pada 14 Ramadan 13H, apabila pasukan Parsi pimpinan Mahran menyeberangi sungai menghadapi tentera Islam. Mutsanna bin Harithah bertakbir tiga kali sebagai persiapan perang, dan takbir keempatnya membuatkan pasukan Islam mula menyerang Parsi.
Perperangan tercetus dalam pelbagai penjuru, sehingga ada tentera Islam berjaya masuk dalam pasukan Parsi. Komandan-komandan Islam telah berjaya memainkan peranan masing-masing di bawah Panglima Mutsanna bin Harithah, yang menyebabkan pasukan Parsi mula berpecah dan mundur.
Kejayaan Mutsanna bin Harithah memutuskan jambatan di Sungai Furat telah menyebabkan tentera Parsi tersepit dan dapat dibunuh oleh tentera Islam. Seramai 100,000 tentera Parsi terbunuh dalam Ma'rakah Buwaib ini dan memberi kejayaan besar kepada Islam.
Sebaik tamat pertempuran di Buwaib ini, pasukan Islam terus bergerak menguasai Wilayah-wilayah Parsi dan akhirnya menguasai pasar di Khanafis, kemudian menguasai pasar Baghdad. Sesudah itu, Shifin pula jatuh ke tangan Islam.
Siri-siri kekalahan Parsi ini telah membolehkan pengaruh Islam melebar cepat ke Wilayah Majusi itu sehingga membawa kepada Perang Qadisiyah pada tahun 14H yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas, di mana Kerajaan Kisra Parsi berjaya ditumbangkan.
Kemenangan Islam dalam Ma'rakah Buwaib ternyata menjadi titik penting dalam perluasan Wilayah Islam ke Tengah Asia kemudiannya.
MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
14 Ramadan 1439 / 30 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 30/5/2018

Wednesday, July 12, 2017

Kredit kepada Dr. Saadan Man.: Polemik Anjing: Khilaf Fiqh dan Sanggah Budaya Melayu Islam

Kredit kepada Dr. Saadan Man.
Polemik Anjing: Khilaf Fiqh dan Sanggah Budaya Melayu Islam
Kini berulang lagi polemik anjing untuk kesekian kalinya ketika mood Aidil Fitri masih menebal. Awal Ramadan baru-baru ini ada isu anjing dibawa ke meja makan McDonalds. Namun itu hanya melibatkan ceroboh budaya dari kaum lain ke atas sensitiviti dan nilai budaya Melayu Islam, iaitu isu yang mungkin agak mudah dipersepsikan. Namun bila ia melibatkan isu bela dan belai anjing dalam kalangan Melayu Muslim sendiri, polemik ini menjadi kompleks dan mengundang debat tanpa noktah lantaran ia melibatkan isu khilaf fiqh yang tercerna dalam isu nilai sakral budaya Melayu Islam.
Polemik anjing sebenarnya bukan isu besar dalam tasawwur perjuangan ummah kini. Ia hanya juzuk kecil dalam isu furuk taharah yg diulang dalam sekuel debat aliran-aliran semasa di Malaysia ini. Namun ia agak menarik untuk diulas kerana melibatkan hukum agama yang resiprokal dengan nilai tradisi budaya umat Melayu Muslim di samping saat ini juga wabak anjing gila sedang menular.
Sejarah Debat Anjing Di Malaysia
Debat tersohor tentang anjing yang pernah tercatat dalam sejarah Malaya ialah pada 1937 antara Kaum Tua dan Kaum Muda di Istana Sri Cemerlang Kelantan yang dihadiri lebih 2000 audiens. Debat ini dianalisis secara ilmiah oleh ramai cendekiawan termasuk cendekiawan Barat, William R Roff yang juga merupakan second supervisor PhD saya. Sila cari artikel menarik beliau “Whence Cometh The Law? Dog Saliva in Kelantan 1937” di Google Scholars. Artikel ini sangat baik utk dihadam oleh pengkaji ikhtilaf di Malaya. Keputusannya setiap pihak kekal dengan pegangan masing-masing. Kedua pihak bersetuju merujuk isu ini kepada Al-Azhar yang akhirnya merumuskan pandangan status quo sebagaimana dalam fiqh.
2014 juga kecoh tentang program I Want To Touch The Dog yg juga meributkan polemik anjing buat seketika hingga melibatkan campurtangan pihak berkuasa. Sebelum dan selepas itu ada tularan sekali sekala di internet dan media sosial di mana beberapa individu lelaki bani Melayu termasuk yg berjubah memperagakan belaian anjing belaan mereka yang pelbagai jenis. Lalu pelbagai kritikan dan herdikan dihamburkan di blog2 dan di laman sosial kerana seolah mereka ini telah tercampak keluar dari batas agama.
Kini Syawal 2017, seorang wanita Melayu berhijab berlatar pendidikan dari universiti Islam tersohor negara yg membela dan membelai anjingnya muncul dan ditonjolkan di laman sosial dengan motif hakiki yg masih tidak dapat dipastikan. Sama ada tujuannya utk mempromosi satu "nilai budaya" baru berteras fikrah "liberal" untuk bani Melayu sekaligus meroboh benteng tradisi kudus sedia ada, atau semata-mata satu persembahan kecenderungan baru gen Y dan Z yg mahu menampilkan peribadi insan berjiwa halus yang menyayangi haiwan, ia tetap memprovokasi majoriti umat Melayu.
Justeru medan debat anjing dibuka lagi. Debat anjing ini adalah salah satu dari sequel konflik yang panjang antara dua aliran pemikiran di alam Melayu Islam. Ia simbol dikotomi aliran reformis dan tradisionalis yang kekal hingga hari ini walaupun corak, orientasi dan fokus agak berbeza mengikut zamannya. Justeru, oleh kerana anjing isu khilaf dalam fiqh, ia sentiasa menjadi mauduk kegemaran para pendebat dari kedua aliran hingga era millenium ini.
Anjing Dalam Tamadun Manusia dan Tradisi Islam
Dalam tamadun manusia, anjing mempunyai hubungan baik dengan manusia sejak awal lagi terutama sebagai pembantu manusia memburu. Ia antara haiwan yang IQnya tinggi dan memiliki upaya mengesan yang sangat baik serta mudah dilatih manusia. Ia haiwan pertama yang dijadikan sebagai pet (binatang belaan di dalam rumah, disayangi dan dimanjakan dan dianggap sebagai rakan) oleh masyarakat Barat. Banyak variasi baka anjing yang dimanfaatkan oleh manusia sebagai pemburu, pengawal, penjaga, termasuk baka garang spt Rottweiler yang sering menyerang dan membahayakan manusia. Tidak seperti babi, anjing secara umumnya tidak dianggap sebagai binatang yang biasa dimakan oleh manusia melainkan oleh sesetengah bangsa di Asia termasuk kaum Batak di Medan.
Dalam tamadun dunia moden, selain dijadikan pet oleh golongan non Muslim anjing digunakan oleh pihak pasukan keselamatan untuk tujuan pengesanan dan SAR. Terdapat unit khas anjing iaitu K-9 (asal perkataaan canine -anjing) dlm pasukan polis, tentera, bomba, kastam dsb bagi tujuan tersebut. Di Barat, ia juga dijadikan sebagai guide-dog yang membantu memimpin pergerakan dan perjalanan orang buta di luar rumah.
Masyarakat Barat sangat menyayangi anjing, bukan sahaja menganggap ia sahabat baik tetapi menganggapnya sebagai anak yang taat. Jiran sebelah rumah saya semasa di UK memperkenalkan dua ekor anjingnya kepada saya sebagai anak-anaknya yang sangat baik. Menjauhi dan mentakuti anjing di UK adalah satu sikap yang dianggap sebagai tidak bertamadun. Menyantuni dan menyayangi binatang adalah budaya yang asas dalam masyarakat Barat. Sebelum memahami budaya ini, saya dan isteri pernah beberapa kali dikejar dan hampir digigit anjing ketika berjalan balik ke rumah kerana diarahkan oleh pemilik anjing tersebut (yang agak racist mungkin) yang marahkan kami kerana kami mengelak jauh dari anjing yang dibawanya. Rupanya mengelak jauh ketika bertembung dengan anjing dianggap biadab dan seolah-olah kita menganggap anjing itu sangat jijik, atau binatang ganas, sesuatu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat barat.
Dalam Islam, sebagai makhluk ciptaan Allah SWT, anjing ada manfaat yang tersendiri kepada manusia. Dalam al-Quran, watak anjing digambarkan dalam dua sisi, positif dan negatif. Sisi positif:
(i) Sebagai pengawas atau penjaga, iaitu anjing milik Ashab al-Kahfi yang mengawasi gua lokasi persembunyian mereka. Ia disebut berkali kali dalam penegasan bilangan pemuda Kahfi dan perihal tidur mereka (Al-Kahf 18, 22). 
(ii) Sebagai pemburu binatang yg terlatih. Anjing diizinkan dlm al-Quran dijadikan binatang pemburu terlatih bagi menangkap binatang buruan utk si pemiliknya. Dalam tradisi Arab Badawi, mereka menggunakan binatang pemburu seperti anjing, singa, helang dsb utk membantu menangkap binatang buruan (Al-Maidah 4).

Sisi negatif: Sifat anjing yg menjelirkan lidahnya termengah-mengah sama ada dihalau atau dibiarkan, sebagai bidalan kepada golongan pendusta ayat-ayat Allah yg mempertuhankan nafsu (Al-A'raf 176).
Dalam hadis Nabi SAW banyak disebut tentang anjing. Antara yg masyhur ialah hadis jilatan anjing yg perlu dibasuh (disertu) 7 kali; Jibril AS tidak memasuki rumah Nabi SAW kerana terdapat seekor anak anjing sesat di bawah katil baginda, arahan Nabi SAW supaya semua anjing di Madinah dibunuh dan hadis tentang berkurangan pahala orang yang membela anjing di dalam rumahnya. Semua ini dalam konotasi negatif. Dalam kes positif pula Nabi SAW membenarkan anjing digunakan utk berburu dan menjaga tanaman dan ternakan. Pemberi minum anjing kehausan termasuk wanita bernoda Bani Israel juga diampun dosanya menurut satu hadis'.
Allah SWT menjadikan haiwan termasuk anjing utk diambil 'ibrah oleh manusia. Banyak sifat baik anjing yg boleh difikirkan oleh insan. Anjing mudah terlatih dan mendengar kata tuannya. Ibnu al-Marzuban ulama kurun ke 3H mengarang karya sinis terhadap manusia menerusi kitabnya Fadl al-Kalb 'ala Kathir min man Labisa al-Thawb yg menonjolkan sifat-sifat baik anjing dari segi kepatuhan dan kesetiaan berbanding ramai manusia yg selalu ingkar dan diselaputi pelbagai sifat mazmumah.
Jadi, dalam tradisi Islam, anjing dianggap haiwan yg bermanfaat kpd manusia utk membantu menjalankan tugas-tugas tertentu terutamanya bagi masyarakat Badawi. Bagaimanapun penggunaannya adalah terhad kpd tujuan penjagaan kawasan pertanian, penternakan dan menjalankan tugas hirasah. Ia tidak biasa dijadikan haiwan belaan dan belaian manja manusia. Justeru, dari perspektif agama, penggunaan manfaat anjing tertakluk kepada hukum fiqh.
Fiqh al-Kalb
Antara khilaf fuqaha yang panjang dalam isu taharah ialah tentang kenajisan anjing. Tiada dalil qat’i tentang kenajisan anjing dalam al-Quran atau Hadis dan tiada ijmak mujtahidin dalam isu ini. Yang ada ialah petunjuk dan isyarat yang terbuka kepada pelbagai interpretasi fuqaha. Ringkasan khilaf anjing antara fuqaha adalah seperti berikut:
Khilaf paling utama ialah sama ada 'ain atau fizikal anjing itu najis atau tidak:
Jumhur fuqaha dari mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali berpandangan 'ain anjing itu najis, manakala fuqaha Maliki tidak menganggapnya najis. Jika badan anjing kering, fuqaha Hanafiyyah berpandangan tidak najis, tetapi Syafiiyyah dan Hanabilah menyatakan ia tetap najis kerana tabiat anjing yg suka menjilat badannya.

Air liur, lembapan (peluh dari tapak kaki dan bahagian domoinya – anjing tiada kelenjar peluh di badannya), darah, kencing, tahi anjing dsb adalah najis ittifaq fuqaha mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali. Bagi fuqaha Maliki air liur dan lembapannya tidak najis tetapi perlu disertu kerana ta`abbud berdasarkan hadis. Kencing dan tahinya adalah najis dan perlu disertu.
Hampr semua fuqaha mengharamkan makan daging anjing kerana kenajisannya (jumhur) dan kerana ia bertaring (Maliki), tetapi ada riwayat bahawa sebahagian fuqaha mazhab Malik yang memakruhkannya.
Membela anjing tanpa sebab syar’ie adalah haram atau makruh berdasarkan hadis berkurangannya pahala seseorang satu qirat atau 2 qirat sehari bagi pembela anjing tanpa tujuan yang dibenarkan. Jumhur ulama menyatakan haram kerana secara mafhum, tidaklah berkurangannya pahala seseorang melainkan dengan dosa kerana dosa hanya terhasil dari perbuatan haram. Justeru membela anjing dalam situasi tiada keperluan syar’ie adalah berdosa. Sebahagian lagi menyatakan makruh kerana istidlal terhadap haram dan dosa tidak jelas dalam nas. Bagaimanapun,tiada seorang fuqaha pun yang mengharuskan anjing diambil sebagai pet.
Perbahasan yang lengkap dan terperinci tentang kenajisan anjing mengikut mazhab boleh dirujuk dalam Fiqh al-Taharah karya Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Salam Tawilah.
Rumusannya, membela anjing untuk tujuan yang syar’ie diharuskan seperti yang telah disebut di atas, iaitu sebagai haiwan pemburu, menjaga ladang, mengawal ternakan, menjaga harta benda dan rumah, mencari orang hilang (SAR), mengesan barangan terlarang spt dadah dsb. Kaedah membelanya telah diperincikan oleh para fuqaha khususnya dari aspek kebersihan dengan tidak membenarkan anjing bebas bergerak di kawasan rumah sehingga tercemar dengan najis.
Dari segi beramal, kita boleh sahaja berpegang kepada keluasan fiqh Islam. Di Malaysia yang umumnya berzhab Syafi’e, fiqh anjing berasaskan mazhab Syafie terpakai secara meluas hatta di Perlis sekali pun yang tidak terikat dengan mazhab Syafi'e. Tetapi jika kita berada di kawasan majoriti penduduknya non Muslim yang membela anjing atau tinggal di barat di mana majoriti rakyatnya membela anjing sebagai pet, boleh sahaja kita yang bermazhab Syafie beramal dengan pandangan mazhab Hanafi atau Maliki berasaskan prinsip umum al-balwa dan raf’u al-haraj.
Pihak berautoriti agama kita telah menggariskan panduan dalam isu anjing. Tidak susah pun untuk mengikut garis panduan berkenaan. Cuma dalam isu mengambil dan membela anjing terbiar di kawasan rumah masih belum ada satu panduan dan pengurusan secara holistik. Dulu ada arwah Pak Mie di Alor Setar yang membela anjing terbiar di kawasan rumahnya sebagai pusat perlindungan. Sekarang ada Norashikin di Melaka yang megusahakan rumah perlindungan anjing dan kucing terbiar. Sebaiknya pihak PBT atau NGO yang menjalankan kerja ini, bukan individu lebih-lebih lagi yang Muslim. Ini boleh mengelakkan fitnah dan elemen sanggah budaya dalam masyarakat Melayu Islam.
Budaya Melayu
Selain babi, anjing adalah binatang yang paling banyak berlaku polemik dalam masyarakat Melayu kini. Dua binatang ini adalah taboo dalam budaya Melayu Islam terutama di Malaysia ini. Bagi Bani Melayu Muslim, babi adalah binatang paling jijik tahap maha, manakala anjing jatuh nombor dua. Nilai ini telah diindoktrinasi sejak generasi datuk nenek moyang kita hingga kini. Amalan syirik, tahayul, judi, rasuah, zina dan dadah pun tidak dapat menandingi kejijikan babi dan anjing dari perspektif kaum Melayu. Ramai yang tergamak makan rasuah tetapi tidak sanggup makan babi padahal kesemuanya haram secara qat’ie. Status mughallazah babi dan anjing tersemat kemas di benak pemikiran mereka dan menjadi nilai yang kudus dalam budaya Melayu Muslim.
Ini sebenarnya adalah satu nilai budaya suci yang tercerna dari yang kefahaman hukum berteraskan fiqh Islam mazhab Syaf’ie. Ia menjadi nilai sejagat masyarakat Melayu yang terpelihara sejak sekian lama. Justeru, sebarang percubaan untuk keluar dari nilai ini dianggap sebagai percubaan menyanggah dan meruntuhkan sistem nilai yang telah well established sejak sekian lama. Hakikat ini yang gagal difahami oleh sebahagian mereka yang cuma mempromosikan belaan anjing sebagai pet. Ia ibarat satu cubaan berunsur jahat atau jahil yang perlu dibanteras atau diperbetulkan. Tidak hairanlah percubaan sebegini akan mendapat tentangan sengit dari masyarakat Melayu Islam. Alasan “ia tidak ada kena mengena dengan Islam” adalah natijah pemikiran sekular dan tidak boleh diterima kerana semua amalan kita tertakluk kepada dosa pahala.
Kecenderungan keluar dari budaya asal berasaskan agama ini seolah-olah menjadi satu trend masa kini. Ini adalah natijah dari cengkaman pemikiran sekular barat dan liberal yang jauh dari nilai, prinsip dan teras agama. Dalam masyarakat elit Kuwait kini, hobi membela anjing sebagai pet semakin membudaya. Di Malaysia ini, percubaan demi percubaan dilakukan oleh mereka-mereka yang tertentu untuk menguji sensitiviti atau mungkin membebaskan diri dari budaya Melayu Islam yang mungkin dirasakan mengongkong atau cuba membawa “Islam versi baru” yang lebih bebas dan melakukan “ijtihad” secara semberono dengan justifikasi akal dan nafsu semata-mata.
Isu anjing sebagai pet ini menyamai isu LGBT, wanita sebagai imam solat jamaah lelaki, kahwin tanpa wali dan saksi, arak harus diminum jika tidak memabukkan dsb, yang dimanifestasikan oleh pemikiran songsang yang cuba dipaksakan terhadap syariat Islam yang suci. Jika kita tidak sama-sama mengawal fenomena songsang ini, tunggulah pelbagai isu pelik lagi yang akan dipromosikan oleh golongan ini.
Rumusan:
1. Anjing ada banyak faedah yang boleh dimanfaatkan manusia. Bagi umat Islam ia boleh dimanfaatkan dalam limitasi yang dibenarkan oleh syariat Islam. Adapun keburukan anjing terutama spesis super garang dan menyerang manusia perlu dihadkan kegunaannya kerana mungkin mafsadahnya lebih besar dari faedahnya. Telah berlaku banyak kes serangan anjing peliharaan dari spesis garang ke atas manusia. Pihak berautoriti tidak sepatutnya membenarkan spesis ini dibela di rumah.
2. Anjing terbiar dan terbukti menyebarkan virus berbahaya spt rabies dsb haruslah dielakkan dan dimusnahkan atau diberi pelalian oleh pihak berkuasa. Ia satu bentuk sadd al-zari'ah sbgmana Nabi SAW mengarahkan anjing-anjing terbiar di Madinah dibunuh kerana mungkin menyebarkan penyakit, menyebabkan kekotoran persekitaran dan menggigit atau menyerang manusia.
3. Pihak kerajaan perlu menyediakan prasarana perlindungan yg bersesuaian utk menempatkan anjing terbiar bagi mengelakkan penyakit dan gangguan. Ini juga boleh mengelakkan fitnah dan persepsi negatif terhadap pencinta binatang khususnya anjing dlm kalangan Muslim yg mengambil anjing terbiar sebagai peliharaan tanpa sebab syar'ie. PBT atau NGO haruslah mengambil tanggungjawab ini dan mengelakkan orang Islam dari berkhidmat di sini.
4. Dalam semua ikhtilaf tentang kenajisan anjing sejak zaman fuqaha hingga kini, tiada keputusan tuntas yang boleh dibuat kerana tabii isu khilaf yang tiada dilalah qat`iyyah dari nas, ia terbuka kepada ijtihad fuqaha’ yang menatijahkan hukum yang bersifat zanni. Lantaran sifat hukum yang zanni dan masih berlegar dalam domain khilaf, ia tidak boleh “dipaksakan” kepada semua umat melainkan dalam 3 situasi: (i) apabila difatwakan; (ii) dijadikan keputusan mahkamah; (iii) dikodifikasikan sebagai perundangan oleh pemerintah. Justeru, dalam konteks Malaysia hari ini, pemerintah di negeri masing-masing boleh membuat peraturan atau undang-undang atau mengeluarkan fatwa yang jelas tentang isu anjing ini. Yang melanggar fatwa dan undang-undang ini boleh dikenakan tindakan. Ini boleh mengelakkan umat Islam dari mempromosikan idea songsang mereka di media umum.
5. Islam menggalakkan umatnya menyayangi binatang, tetapi melalui kaedah yg betul. Menyayangi anjing perlu dibatasi oleh hukum dan tidak boleh dijadikannya sebagai pet. Banyak lagi spesis binatang suci yg boleh dijadikan pet. Jika berpegang kpd mazhab Maliki sekalipun, tiada qawl dari mazhab itu yg mengharuskan anjing dibela sebagai pet. Malah tidak ada qawl dalam mana-mana mazhab dalam Islam harusnya membela anjing sbg pet. Jika sesiapa ingin melakukan ijtihad baru yg berbeza darinya, pastikan anda berkelayakan sebagai mujtahid dan ada kompetensi untuk berijtihad!
6. Membela anjing sbg pet bukan tradisi Islam dan bukan budaya Melayu. Umat Melayu Islam secara tuntasnya tidak boleh menerima anjing sbg pet. Tradisi dan budaya ini diterima sebagai suatu nilai yg sakral oleh umat Islam Malaysia. Budaya ini menjadi uruf yg muktabar dan menjadi 'adah yg muhakkamah.
7. Jika ada bani Melayu yang mahu keluar dari tradisi ini kerana elemen rebel, liberal, raver, hipster, atau mengidolakan western culture sekalipun, maka hilanglah jatidirinya dan mereka perlu berhadapan dengan segala kemungkinan risiko perundangan atau cercaan dan nistaan yg tidak terkawal. Jika kerana jahil, belajarlah dengan guru yang muktabar. Jika tersilap, kembalilah ke dasar agama. Hukum berkaitan anjing dan babi termasuk perkara yang wajib diketahui oleh semua umat Islam (ما يعلم من الدين بالضرورة).
8. Provokasi terhadap nilai yg sudah bersemi sekian lama tidak membantu apa-apa dalam kemajuan tamadun sesebuah bangsa. Apa tujuan dan faedah provokasi sedemikian, hanya sekadar mahu meruntuhkan nilai suci agama dan budaya warisan bangsa.
9. Org mahu keluar dari tradisi dan budaya Melayu Islam perlu belajar lebih tentang kaitan nilai hukum agama dan budaya bangsa dan perlu menghadam fiqh budaya supaya akal mereka tidak direndahkan oleh nafsu dan budaya barat.
10. Jika ada bani Melayu yang kononnya melakukan ijtihad sendiri dengan melaungkan tiada larangan dalam Islam untuk membela anjing, babi dsb sebagai pet, tidak perlulah anda mempromosikan dan berkongsi video, foto dan idea songsang anda di laman sosial sehingga menimbulkan fitnah dan kekecohan. Jika yakin dengan “ijtihad” anda sendiri, amallah secara peribadi dan tidak perlulah kecoh-kecoh di media sosial. Apa tujuan anda berbuat demikian? Untuk populariti, untuk dikecam, untuk mempromosi budaya baru yang menyanggah agama dan budaya atau untuk apa? Apa yang kita lakukan buatlah atas dasar ilmu dan panduan syariat yang jelas. Jangan kerana terikut dengan runtunan nafsu, kita melicikkan akal untuk menjustifikasikannya lalu meruntuhkan prinsip agama.
Allah al-Musta’an
DSM
15 Syawal 1438

Terima kasih sudi baca walaupun agak panjang. Boleh share..